08 February 2014

YTM Tunku mempunyai 'sense of humour' yang tinggi

Di antara foto saya dengan Tunku yang dirakam pada tahun 1988.
Jika YTM Tunku Abdul Rahman Putra masih hidup, usia beliau genap111 tahun hari ini. Saya tidak pernah lupa 8hb Februari setiap tahun kerana itu adalah hari jadi beliau. Beliau lahir pada tanggal 8hb Februari 1903 dan mangkat pada 6hb Disember 1990 ketika berusia 87 tahun. Beliau meninggalkan untuk rakyat Malaysia sebuah negara yang merdeka dan beliau adalah penyambung dan penyempurnaan kepada gerakan kemerdekaan negara pada 1957 dahulu setelah melalui liku-liku politik dengan segala masam dan manis perjuangan beliau.

TUNKU telah berjaya membina sebuah negara merdeka setelah berjuang bersama rakan-rakan seangkatan beliau dengan menjawat jawatan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Merdeka pada 31 Ogos 1957. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri jugalah Persekutuan Malaysia terbentuk setelah Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu pada 16 Setember 1963 dahulu.

Beliau bersara sebagai Perdana Menteri pada 1970 setelah beliau merekodkan kecemerlangan sebagai Perdana Menteri Pertama Malaysia Merdeka. Dalam masa yang sama beliau merupakan seorang Perdana Menteri yang mashyur terutamanya dikalangan negara-negara Komanwel dan merupakan seorang Perdana Menteri yang dihormati masyarakat antarabangsa. Diantara sumbangan beliau ialah penyingkiran Afrika Selatan dari Komanwel dengan cadangan dan desakan Tunku Abdul Rahman. Tunku merupakan seorang penyumbang besar kepada tamatnya kerajaan apartheid Afrika Selatan itu.

Tunku seorang yang minat dalam bidang sukan dan semasa beliau menjadi Perdana Menteri, tahap kecemerlangan sukan amat tinggi dikalangan negara serantau. Diantara acara sukan yang sangat dikenang ramai ialah Pesta Bola Merdeka setiap tahun, mengambil sempena tarikh dan waktu menyambut kemerdekaan negara setiap tahun. Banyak lagi acara sukan antarabangsa telah di usahakan oleh Tunku. Sukan yang beliau minat secara peribadi adalah golf dan beliau bermain golf hampir sepanjang usia beliau yang sihat dan bertenaga.

Sepanjang hayat Tunku, beliau telah mengorbankan seluruh kehidupan beliau kepada negara dan semasa beliau meninggal, beliau tidak mempunyai apa-apa kekayaan seperti bekas-bekas pemimpin negara sekarang ini. Dan rekod kecemerlangan perjuangan beliau, telah diketahui umum yang beliau telah mengorbankan segala harta yang beliau ada untuk membiayai perjuangan kemerdekaan di samping mendapat bantuan rakyat yang bersama bergolok dan bergadai untuk mencapai sebuah negara merdeka yang kita semua perolehi hari ini.

Sebagai generasi yang jauh muda dari beliau, saya secara peribadi merupakan peminat kepimpinan yang amat kuat terhadap Tunku dan saya sempat berkenalan dan berbaik dengan beliau semasa pengakhir hayatnya. Saya berbangga sebagai seorang individu yang beliau kenali, walaupun saya mengenali beliau hanya semasa beliau sudah lama bersara dan dalam kesihatan yang sudah menurun.

Saya sempat berulang kerumahnya di Bukit Tunku beberapa hari dalam setiap minggu untuk memberikan penghormati kepada beliau. Walaupun beliau sudah kurang jarak penglihatan beliau, saya tetap merasakan kebanggaan untuk bersama Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, beberapa tahun akhir hayat beliau.

Sikap dan sifat ‘magnanimous’ beliau susah untuk dicari ganti dan beliau sebenar-benarnya menyayangi rakyat berbilang kaum dinegara ini Tunku orang yang sangat sederhana dan begitu tinggi nilai kemanusiaannya. Tunku amat susah untuk dicari ganti.

Sifat periang beliau amat menyenangkan semasa berada bersama beliau walaupun dalam usia beliau yang sudah lanjut dan tidak lagi mempunyai kesihatan yang seperti sedia kala semasa saya mendekati beliau.

Tunku pernah bercerita yang beliau semasa mudanya sangat nakal dan malas belajar. Tunku pernah berkata beliau pernah mendapat kad ucapan tahniah dari ramai kawan-kawan semasa di London kerana beliau lulus peperiksaan yang beliau tidak dudukinya. Beliau hairan bagaimana mereka mengucapkan ‘congratulations’ kepada beliau sedang beliau tidak pun duduk peperiksaan itu.

Rupa-rupanya yang berjaya cemerlang itu ialah Tunku Abdul Rahman Tuanku Muhamad (Yang diPertuan Agong Pertama) dari Negeri Sembilan yang berjaya dan bukannya beliau. “Depa ingat ayah yang lulus periksa, depa tak tau yang lulus periksa tu ialah Tuanku Abdul Rahman dari NS. Ayah periksa pun tak duduk, macam mana boleh luluih!” katanya tersenyum kepada saya.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila saya bertanya kepada beliau kenapa masih hisap rokok dalam usia 85 tahun. “patik nak tanya, kenapa ayah hisap rokok lagi. Ayah kan dah tua?” Tunku dengan pantas menjawab, “Biak pi lah… memang patut mati pun, umur ayah sudah 85 tahun. Dulu ada sorang doktor selalu minta ayah berhenti hisap rokok, takut kalau ayah mati cepat. Tapi ayah buat tak tau aja. Sampai sekarang ayah hidup lagi”

“Doktor mana yang nasihat tu ayah?” saya terus bertanya. Tunku jawab, “Adalah sorang doctor tu. Dia pun dah mati lama daah!” jawabnya sambil gelak kecil dalam keadaan kurang tahap penglihatan itu. Sesungguhnya beliau mempunyai ‘sense of humor’ yang tinggi dan amat selesa bersama beliaudalam keuzuran beliau itu.

Saya tidak dapat melupakan pemimpin ulung kita ini walaupun saya hanya mengenali beliau semasa hujung hayat beliau dan kita wajar mendoakan roh beliau agar sentiasa berada sebaris dengan roh-roh syuhada dan sentiasa dalam keampunan Allah swt. Hasil perjuangan dalam kehidupan, beliau meninggalkan negara yang merdeka.

Mangkatnya Tunku dalam keadaan sebagai orang biasa, tiada harta dan anak-anak beliau tidak mempunyai apa-apa kekayaan yang beliau tinggalkan untuk mereka. Beliau tidak ada jet mewah dan beliau tidak meninggalkan anak-anak dengan ‘business empire’ yang besar-besar dan tidak ada keturunan beliau yang beliau letakkan sebagai pemimpin besar negara dan negeri. Tunku tidak pernah menggunakan kedudukan beliau untuk menyusahkan rakyat membayar hutang perniagaan anak-anaknya.

Jasa Tunku amat besar kepada negara dan kita bersyukur dengan apa yang ada pada kita hasil perjuangan beliau dengan rakan-rakan seperjuangan beliau yang semuanya sudah tiada lagi bersama kita kini. Kehadiran Tunku dalam dunia ini semata-mata untuk negara Persekutuan Tanah Melayu, Persekutuan Malaysia dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tunku juga memainkan peranan dikalangan negara-negara Islam dengan usaha gigih beliau menubuhkan OIC selepas beliau bersara dari jawatan awam negara kita sebagai Perdana Menteri. Amat besar jasa beliau kepada dunia dengan ubudiah yang bernilai tinggi kepada kehendak agama dan umat keseluruhannya. Beliau tiada slogan yang besar-besar dan tiada retorik dalam kepimpinan beliau.

Al-fatihah

11 comments:

Anonymous said...

Pemimpin sebenar ialah pemimpin yang berusaha memimpin dan menyatukan rakyat.Hanya pemimpin berjiwa penjajah sahaja yang memecah belahkan rakyat,boros dan mengaut kekayaan untuk diri sendiri.

Anonymous said...

Kebanyakan pemimpin sekarang asyik memboyotkan perutnya dengan menggambil kesempatan mengaut segala hasil harta rakyat, tak kisah dengan cara apa sekali untuk mendapatkannya,rasuah pasti tak lari itulah antara cara mau cepat kaya..tengok saja mereka kaya raya naik jet lagi berlibur..

Anonymous said...

Pak Aspan,

Sifat peribadi Tunku ada positif dan negatifnya. Namun keseluruhannya saya bersetuju bahawa Tunku Abd Rahman selaku bekas PM dan bapa kemerdekaan Malaysia adalah jauh lebih baik berbanding PM PM Malaysia yang lain.

Selaku anak kelahiran Kedahm kebanyakan kami mengenali hati budi beliau, ramah, baik hati dan sememangnya suka bergurau. Ini jauh beza jika dibandingkan dengan seorang lagi bekas PM berasal dari Kedah.

Tunku kembali ke Pencipta tanpa kekayaan yang gah samada untuk diri mau pun keturunan beliau. Ini jauh beza dengan bekas PM kelahiran Kedah yang menggunakan kedudukannya mengaut kekayaan negara untuk kaum kerabatnya. Malah dipenghujung usianya yang kian hampir dengan alam barzah, ketamakan bekas ini semakin menjadi jadi.

Sikap haloba bekas PM kelahiran Kedah keturunan Kerala ini malah sanggup meninggalkan legasi ketamakan beliau melalui anaknya Mukhriz, dan ketamakan serta sifat haloba ini kelihatannya akan bersama mengiringi jasad dan rohnya sampai ke liang lahad kerana tidak ada tanda tanda pun sedikit penyesalan akan perbuatannya itu.

Saya yakin Allah akan memberi pembalasan sewajarnya terhadap hambanya yang ingkar dan menzalimi orang lain, kalau tidak di dunia ini...akan terlaksana jua diakhirat nanti.

Anonymous said...

Secara peribadinya Tunku memang merupakan seorang pemimpin berjiwa besar. Parti dokongannya pula diharamkan oleh mahkamah dan dibuat pula klon yg baru, semuanya berpunca oleh serakah manusia bernafsu 'toot' (tidak gamak untuk disebutkan). Kemangkatan Tunku diluar keahlian parti klon baru itu, yg nyata kini sedang merosakkan kehidupan rakyat majmuk di negara kesayangan Tunku ini. Diandaikan Tunku masih lagi hidup sekarang, tentu sekali jiwanya merana, menyaksikan Malaysia yg diimpikannya sedang bergelumang dgn pelbagai kemungkaran hasil kerja parti klon tersebut. Al-Fatihah.

awang batuburok said...

Salam Pak Aspan....

Satu catatan sejarah yg menyentuh hati dan perasaan rakyat marhain spt saya.
Memang menyedihkan apabila kepimpinan negara telah dikuasai oleh "syaitan syaitan yg dikenali" bermula dlm tahun 1980an.

Rakyat perlu bangkit membuat perubahan utk menyelamatkan negara yg tercinta ini.

kampong lad said...

kedah telah mengeluarkan 2 bapak. artikel ini mengisahkan bapak yg pertama, semua orang tau siapa dia (al-fatehah utk almarhum), & sekoq lagi ialah bapak penswastaan, bapak inilah punca kpd segala penderitaan rakyat sekarang.

Anonymous said...

"Sikap haloba bekas PM kelahiran Kedah keturunan Kerala ini malah sanggup meninggalkan legasi ketamakan beliau melalui anaknya Mukhriz, dan ketamakan serta sifat haloba ini kelihatannya akan bersama mengiringi jasad dan rohnya sampai ke liang lahad kerana tidak ada tanda tanda pun sedikit penyesalan akan perbuatannya itu""

Really ??? My happiest life during the tenure of dr. Mahathir being a Malaysian PM..i was 12 years old on 1982...yeeh ..semoga allah memberkati segala jasabaik dr. Mahathir dan juga Allahyarham Tunku Abdul Rahman.. agaknya apa contribution orang yang selalu suka kondem orang ni... Dr. Mahathir..saya masih merindukan harga petrol seliter rm1.10 semasa pemerintahan ayahanda..everything was cheap..now...semua mahal..BN..Pakatan all bullshit..UMNO is bulshit..Pakatan is BUllshit + hyprocrite..Malaysian love hyprocrite people because we are hyprocrite...

Anonymous said...

Mudah2an roh Tunku mendapat keampunan dan dirahmati Allah

Anonymous said...

Anon 13:59
Pd usia 43 thn, sepatutnya bincanglah dgn matang serta berakhlak. Kebanyakan ulasan kami adalah dr orang jauh lebih berusia drp anda. Banyak peristiwa bersejarah negara telah kami lewati, termasuklah peristiwa 13 mei 1969, ketika itu anda belum dilahirkan lagi. Dimasa itu gula dijual pd harga 25 sen sekati dan masih belum menggunakan sistem metrik iaitu 42 sen sekilo. Pucuk paku tidak laku untuk dijual.

Anonymous said...


Anon 13.59

Kalau ye pun nak ambik upah, buatlah kerja yang halal....

Anonymous said...

Pada masa sekarang ..ADAKAH LAGI PEMIMPIN YANG TIDAK MENGUMPUL HARTA ..
SIFAT IKHLAS .. AMANAH ..
HANYA UNTUK PERUT SENDIRI DAN 7 KETURUNAN ..
SERUPA SAJA PEMIMPIN DIDALAM @ DI LUAR..