24 December 2006

16. Balak membawa banjir

Saya tidak pandai hendak membaca hadith-hadith seperti sesetengah pemimpin besar kita, tetapi saya tahu yang banjir besar yang berlaku di Johor, terutamanya Segamat, Gemas dan selatan negeri Pahang adalah kejadian yang diminta-minta berlaku oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini. Apa yang diminta sudah dimakbulkan Tuhan. Pemimpin-pemimpin kita di negeri-negeri terutamanya menteri besar tidak berpandangan jauh dan terus sahaja mengeluarkan kayu-kayu balak kepada kroni masing-masing untuk memperkuatkan kedudukan di dalam parti dan kerajaan.

Hasil dari penebangan hutan yang tidak terkawal ini maka inilah hasilnya yang didapati oleh rakyat. Pepatah ada berkata ‘keruh di hulu, keruhlah di hilir’. Yang dapat kekayaan dari penebangan balak ini semuanya membina mahligai di atas kawasan yang tinggi. Yang menerima kesan buruknya adalah rakyat jelata yang dipengaruhi oleh media untuk mengundi mereka. Apabila pilihanraya menjelma maka hutan menjadi mangsa kerana ditebang untuk belanja pilihanraya.

Budaya mengeluarkan kawasan balak ini bermula semasa pertengah tahun 70an, untuk digunakan sebagai punca kewangan menghadapi pilihanraya. umum. BN yang baru dibentuk perlukan perbelanjaan besar ketika itu. Ini adalah disebabkan Perikatan hampir kalah pada pilihanraya 1969 oleh kerana taukeh-taukeh besar dari bangsa lain ketika itu tidak lagi memberi sokongan termasuk kewangan. Tetapi pemimpin-pemimpin di negeri-negeri sudah mengeluarkan balak ini dengan sewenang-wenangnya kepada penyokong- penyokong mereka untuk kepentingan dan kekayaan sendiri. ‘Compartment’ balak yang diluluskan oleh MB terus sahaja dijual kepada taukeh-taukeh tiong hua dan melayu bagi mendapat kekayaan kilat.

Saya memerhatikan dengan dekat suatu ketika dahulu permainan balak ini mampu untuk menaikkan pemimpin yang tidak berguna dan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengan pimpinan negeri. Pendek kata balak ini selain dari menghasilkan banjir besar ianya juga boleh menghasilkan pemimpin yang tidak berguna kepada rakyat jelata.

Hutan serta bukit-bukau ini adalah pasak kepada bumi ini. Ianya perlu dikekalkan dan dipelihara dengan baik untuk kesejahteraan manusia. Dengan kejadian di Johor terutamanya mestilah menjadi pengajaran kepada semua. Memang tidak munasabah hampir setengah negeri Johor ditenggelami air bah. Segamat memang diketahui umum sebagai tempat pengeluaran balak yang terbesar di negeri Johor. Gemas juga kawasan yang paling luas hutan simpan yang ditebang balaknya sejak 1980 hinggalah pada tahun 2003 dahulu. Walau bagaimanapun banyak ‘Compartment’ yang dikeluarkan oleh MB yang lalu telah dibatalkan oleh DSU Mohamad Hasan semasa beliau mengambilalih jawatan tersebut.

Banjir ini akan tiba lagi pada tahun hadapan. Kayu-kayan yang ditebang kalau pun ditanam semula tidak akan membesar dalam setahun. Kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mengelakkan kejadian buruk ini berulang. Maka ada lagi peluang untuk mengadakan projek besar selepas ini, dan pastinya kita boleh agak siapa yang akan mendapat projek-projek besar tersebut. Untung lagi mereka! Akhirnya rakyat lagi akan dicukai berlipat kali ganda. Kita di bawah hanya mampu melihat. Mereka yakin pilihanraya nanti mereka boleh menang. Kita dipersendakan oleh pemimpin-pemimpin sampai ke tua. Dari saat kita lahir sampai lah sakaratulmaut datang kita dipersendakan. Mereka hidup mewah di atas kesengsaraan rakyat.

WASSALAM.

2 comments:

Anonymous said...

Ocl0v9 The best blog you have!

Anonymous said...

5bNO3I write more, thanks.