Sejak lama dulu saya tidak pernah
gagal untuk mengingatkan semua dalam tulisan saya yang UMNO sudah hilang punca
dan tidak mungkin dapat mengenali perjuangannya lagi. Puluhan kali saya
nyatakan yang UMNO sudah hilang segala-galanya, dari rupanya, ‘form’nya dan
perjuangannya. Justeru parti itu tidak akan lagi relevan untuk dijadikan
sandaran rakyat untuk masa depan semua. Yang lebih dari itu UMNO sudah hilang
identitinya, maka sekaligus UMNO sudah tidak ada lagi ‘legitimacy’ untuk
memimpin apa-apa pun.
Semasa saya mula-mula menulis
tentang isu ini berbagai ancaman yang saya terima dari entah siapa dalam blog
saya ini membidas dan melemparkan berbagai bagai tuduhan peribadi terhadap
saya. Tetapi keyakinan diri saya terhadap kebenaran apa yang saya katakan membuatkan
saya bertambah kuat untuk bertahan kerana saya percaya apa yang saya katakan
semasa itu akan sampai bukti kebenarannya. Saya hanya mendengar nasihat dari
beberapa orang sahabat yang rapat secara peribadi dan kesemuanya meminta saya
melihat ke dalam dan lakukan introspeksi diri secara intensif.
Kesemua di antara sahabat-sahabat
saya telah menasihatkan saya, jika saya kekalkan kebersihan dalam pemikiran (purity
of mind), secara ‘natural’ perjuangan untuk menyaksikan perubahan itu akan
terkabul juga akhirnya.
Saya selalu menyatakan dengan
jelas yang UMNO tidak akan kekal lama kerana parti itu sudah hilang arah
perjuangannya. Arah tuju perjuangan parti itu sudah jauh tersasar dan sekarang
tiada seorang pun dalam kepimpinan di peringkat Majlis Tertinggi parti itu memahami
apa yang sepatutnya dilakukan oleh parti itu sekarang. UMNO tidak mampu
berubah. Pimpinan UMNO bukan tidak mahu untuk berubah tetapi mereka tidak tahu
apa yang hendak diubah kerana kefakiran jiwa perjuangan mereka.
Bukti yang terakhir kita saksikan
ialah kegagalan kerajaan untuk membubarkan Parlimen yang sudah sampai ke penghujungnya.
Jawapan kepada soalan kenapa UMNO tidak membubarkan Parlimen itu, ialah kerana
mereka tidak berkeyakinan untuk menang dalam pilihanraya yang akan datang ini. Dalam
masa yang sama mereka tidak mahu mengalami kekalahan. Kenapa UMNO boleh
tidak dapat menerima hakikat menang kalah dalam sesebuah demokrasi itu adalah
perkara biasa?
Selemah-lemah parti pemerintah
dalam mana-mana demokrasi akan mampu untuk menentukan tarikh pilihanraya
umumnya. Australia
telah membuat keputusan untuk mengadakan pilihanraya umumnya pada 14hb Ogos
nanti dan pengumunan ini telah dibuat oleh Perdana Menterinya sebulan yang
lepas. Mereka di sana
akan mengadakan pilihanraya samada mereka menang atau kalah. Itu demokrasi.
Sememangnya itulah cara yang
betul. Memberikan tarikh mengundi itu berbulan-bulan sebelumnya itu akan
mengelakkan daripada rakyat tertunggu-tunggu dan meneruskan spekulasi yang tidak
sihat. Di sini menentukan tarikh mengundi itu dijadikan sebagai kaedah
menunjukkan betapa berkuasanya Perdana Menteri kita. Perdana Menteri kita
beranggapan yang kuasa menentukan tarikh pilihanraya oleh Perdana Menteri itu
dijadikan modal untuk Perdana Menteri itu mempunyai ‘privilege’ untuk
membuatkan rakyat tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu dan keliru.
Akhirnya permainan Perdana
Menteri ini telah memakan tuan dan sekarang rakyat ‘conclusive’ dengan anggapan
yang UMNO sudah terlalu takut untuk memberikan rakyat membuat pilihan. Itu sebabnya
UMNO kian hari kian lemah kerana apabila terasa oleh rakyat ramai yang UMNO itu
takut mengalami kekalahan.
Politik ini adalah ‘game of
perceptions’ dan apabila persepsi rakyat terhadap UMNO itu buruk, maka rakyat
tidak teragak-agak untuk menarik kembali sokongan yang telah mereka berikan selama
ini. Jika UMNO sendiri tidak mempunyai keyakinan diri, masakan rakyat boleh
mengekalkan keyakinan terhadap UMNO itu? Rakyat tidak akan berani untuk
berlindung di belakang parti dan pemimpinnya yang penakut.
Saya selalu berangankan negara
ini memulakan politik dan siasah yang baru bagi mencapai ‘national unity’
kerana itu merupakan ‘ultimate’ bagi sebuah negara yang serius untuk kekal
sebagai negara yang aman dan damai.
Carilah seorang yang
berpengalaman untuk memulakan rundingan di antara pemimpin yang mewakili semua
pihak dan wujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar bersih dari elemen yang kotor
seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Carilah ‘Mandela’ Malaysia
yang tidak ada apa-apa agenda untuk dirinya sendiri selain daripada agenda negara. Kita benar-benar memerlukan negara kita
berada dalam kelompok negara yang betul-betul wujud di atas kehendak pencapaian
‘ultimate’ tadi, iaitu perpaduan national (national unity) yang berkekalan.