31 July 2013

Khairy lebih berwibawa pada pandangan ramai

Sementara menunggu bersahur, teringin pula saya untuk memberikan komen tentang pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Oktober ini.

Khairy Jamaludin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, berkata yang beliau belum lagi mengambil keputusan untuk mempertahankan jawatan beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang beliau sedang sandang sekarang. Beliau mengalu-ngalukan sesiapa untuk menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu asalkan sahaja ia dilakukan dengan semangat bersatu dan tidak lari dari asas kewujudan Pergerakan itu.

Sesungguhnya tiada siapa yang patut menahan atau menyekat sesiapa untuk menawarkan diri untuk memegang jawatan itu dan kenyataan Khairy itu sangat tepat dengan semangat kepartian beliau. Saya tidak berniat untuk menyebelahi sesiapa dalam pandangan saya tetapi hanya saya ingin memberikan pandangan sebagai rakyat biasa, kerana UMNO itu adalah parti yang sedang memerintah negara dan tidak salah jika sesiapa juga memberikan pandangan dalam hal yang berlaku dalam UMNO itu.

Khairy telah pun menjadi Ketua Pemuda dan saya tidak mempunyai apa-apa prejudis terhadap pimpinan pemuda yang lain. Bagi saya Khairy sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan menerajui kepimpinan Pemuda kerana, apa pun pandangan sesiapa terhadap beliau itu, Khairy mudah untuk menerima pandangan pihak lain dalam isu Pemuda.

Khairy ‘has gone through the mills’ dalam Pemuda dan pengalaman beliau selama beliau menjadi Ketua Pemuda itu amat bernilai bagi beliau dan Khairy telah banyak belajar melalui pengalaman pahit manisnya menjadi Ketua Pemuda itu. Kalau hendak melihat dari pimpinan yang agak ‘berjenis’ sedikit dikalangan yang ada, Khairy boleh lah dianggap sebagai orang yang sangat berkelayakan untuk meneruskan pimpinan Pemuda itu.

Dalam politik imej dan bagaimana seseorang itu dipersepsikan itu amat penting. Khairy dipersepsikan sebagai seorang pemimpin muda yang ada segala-galanya samada dari segi kelulusan, penampilan peribadi dan beliau bagi saya merupakan seorang yang selayaknya untuk membawa yang menggalas imej serta kegiatan Pemuda itu dalam masa yang panjang.

Jika kita buangkan perasaan prejudis jika ada terhadap beliau, beliau merupakan Ketua Pemuda yang tidak sepatutnya di alih dan di anjak setidak-tidak buat masa yang terdekat ini. Bagi saya kedudukan Khairy yang juga seorang Ahli Jemaah Kabinet negara memberikan satu lonjakan imej yang baru dan beliau mempunyai kemudahan yang lebih baik dari apa yang ada kepada beliau sebelum ini.

Tidak ada pengorbanan yang besar jika Pemuda UMNO mahu mengekalkan Khairy ini sebagai Ketua Pemuda. Jika ada diantara mereka yang mempunyai prejudis terhadap beliau kerana permainan politik ‘competitive’, yang perlu hanyalah menghilangkan perasaan itu dan untungnya kepada Pemuda adalah lebih besar dari kerugian dengan mengekalkan Khairy di kedudukannya sekarang.

Lebihnya Khairy dari banyak pemimpin Pemuda ialah, beliau telah menerima kritikan dengan terbuka hati dan ini merupakan ciri kepimpinan yang perlu disuburkan, kerana sifat tidak dapat menerima kritikan adalah ‘attribute negative’ UMNO selama ini. Khairy telah mendapat perhatian ramai keraana cara beliau menerima dan menguruskan kritikan terhadap beliau selama ini sangat disenangi oleh orang ramai. Jika mana-mana pimpinan itu diterima orang ramai, selain dari dalam UMNO itu sendiri ia merupakan kelebihan kepada seseorang pemimpin itu.Itu yang sangat terserlah ada kepada Khairy.

Bagi saya seseorang pemimpin UMNO yang baik itu bukan sahaja kuat sokongan dari dalam parti, tetapi yang lebih penting lagi bagaimana rakyat ramai yang tidak kena-mengena dengan UMNO itu memandang pemimpin itu sangat penting. Khairy mempunyai kelebihan di sini. Itulah sebabnya orang ramai tidak mahu mendengar hujah-hujah dari mereka yang bersikap ‘competitive’ terhadap beliau yang lumrah dalam UMNO itu.

Jika itu keadaannya maka saya berpendapat Khairy mampu untuk menaikkan imej dan persepsi rakyat ramai terhadap UMNO yang sangat-sangat memerlukan nilai tambahan kepada persepsi buruk rakyat terhadap UMNO itu.

Walau bagaimana pun itu hanyalah pandangan peribadi dari saya dan juga mendapat sokongan dari ramai diantara kami dibawah-bawah ini. Kita dibawah ini mementingkan siapa yang kita anggap selari dengan pandangan ramai dan bukannya hendak berpolitiking yang mungkin sedang berlaku didalam UMNO yang kita tidak tahu.

Pendeknya Khairy mempunyai ‘cut’ untuk memimpin dan mudah di terima oleh masyarakat ramai dan ia amat perlu bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang bagi UMNO. UMNO sebagaimana yang dipersepsikan ramai sudah ketandusan kepimpinan dan jika di anjak dan di alih mana-mana ‘budding leaders’ dalam parti,  itu merupakan tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Saya yakin dan ramai yang berpendapat, Khairy mempunyai ‘disposition’ yang terbaik dikalangan yang ada untuk menjadi peneraju kepada Pergerakan Pemuda jika di lihat dari pandangan rakyat awam yang ramai-ramai ini.

Tidak tahu pula bagaimana pandangan Pemuda UMNO sendiri. Bagi saya pandangan orang ramai adalah penting kerana jika dipandang dari pergerakan pemuda di bahagian-bahagian, pandangan mereka tidak mungkin tepat kerana mereka mempunyai ‘preferences’ mereka sendiri kerana permainan politik dalaman parti itu.

Isu itu kita tidak tahu dan tidak mahu pun mengambil berat terhadapnya. Bagi saya, kuat dalam UMNO sahaja tidak mencukupi tetapi kuat sokongan ramai itu adalah yang terpenting sekali bagi UMNO untuk kembali diterima rakyat.

Tidak ada gunanya menjadi kuat dalam UMNO tetapi tidak mendapat penghormatan dari masyarakat awam yang ramai ini.Kalau di kaji dari sudut mana sekali pun Khairy lebih mudah untuk di bentuk sebagai pemimpin dimasa depan dalam masa yang  tidak berapa lama dari sekarang.

Lagi pun UMNO sudah tidak ada lagi kepimpinan. Jangan di korbankan pemimpin yang boleh di bentuk yang hanya tinggal beberapa 'kerat' sahaja dalam UMNO itu.

30 July 2013

Benarkah negara kita negara aman seperti diperkatakan?

Benarkah negara ini negara yang aman? Benarkah yang rakyat negara kita bukan seperti setengah negara di Afrika dan banyak negara lain yang setiap rakyat bebas kesana kemari dengan selamat? Jika benar negara kita sebuah negara yang selamat untuk bergerak bebas kenapa setiap hari dan minggu kita mendengar tembakan dan pembunuhan berlaku terhadap manusia dan ia berlaku dimana-mana.

Yang terbaru ialah percubaan membunuh Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan yang berlaku di Bahau. Sebelum ini Timbaan Ketua Pengarah Kastam Di Raja Malaysia, Shaharuddin juga di tembak di persimpangan jalan di Putrajaya. Bunuh membunuh sudah menjadi begitu lumrah dan ia di syaki berlaku kerana pihak yang berkuasa terutamanya pihak penguasa seperti Polis dan lain-lain terlibat dengan kegiatan jenayah besar atau melindungi penjenayah kerana ada unsur rasuah yang tidak terkawal.

Apakah benar negara kita negara selamat? Ini persoalan yang sangat penting yang sehingga hari ini tidak ada pihak yang dapat diyakini yang kita semua berada dalam sebuah negara yang boleh di kategorikan sebagai negara yang aman..

Sanjeevan dikatakan menjadi mangsa penjenayah apabila beliau memberi isyarat yang beliau akan membongkar sindiket kegiatan dadah yang mungkin melibatkan pihak Polis. Jika ianya benar tidak sepatutnya Menteri bertanggungjawab awal-awal lagi menafikan yang pihak Polis terlibat dengan kejadian ini. Elok di lakukan penyiasatan dahulu.

Pembunuhan keatas Timbalan Ketua Pengarah Kastam diRaja Malaysia dahulu juga disyaki ada kaitan dengan tugas beliau sebagai seorang penguatkuasa kerajaan yang tinggi dengan kuasa yang tinggi berada ditangan beliau. Jika kita lihat dan pandang betul-betul mereka yang menjadi mangsa pembunuhan atau cubaan membunuh itu melibatkan orang yang berada dalam jabatan dan tugasan yang melibatkan perniagaan.

Selain dari itu dimana-mana berlaku jenayah yang menakutkan rakyat negara ini. Beberapa minggu yang lepas tidak jauh dari rumah saya berlaku usaha untuk membunuh seorang Dr dimana sekumpulan yang bersenjatakan parang telah menetak Dr Pakar Wanita itu sehingga putus empat jarinya serta hampir memutuskan lengannya.

Kalau disenaraikan perlakuan jenayah seperti ini ia amat menakutkan kerana terlalu banyak jenayah yang melibatkan nyawa manusia berlaku seperti ia perkara biasa sahaja. Kita hanya mendengar pembunuhan-pembunuhan seperti ini hanya berlaku di Columbia dan beberapa negara di Selatan Amerika sahaja. Saya percaya lebih ramai lagi manusia mati dibunuh penjenayah dari kematian anggota tentera yang berperang dengan musuh negara dihutan belantara dan persempadanan negara.

Setiap waktu dan masa kita membaca yang pembunuhan berlaku dimana-mana. Banyak diantara pembunuhan ini berlaku yang berkaitan dengan perniagaan dan wang ringgit. Itu jenayah kolar biru. Bagaimana pula dengan jenayah kolar putih?

Mendengar pemimpin itu rasuah disana sini sudah menjadi pendengaran yang biasa. Itu pun jenayah yang tidak kurang bahayanya dari jenayah pembunuhan nyawa manusia. Jenayah berkolar putih ini amat merbahaya kepada rakyat negara dan jika ini tidak dapat dikawal ia akan menjadikan negara kita tidak aman lagi. Rasuah yang tidak henti-henti dilakukan ini akan membawa banyak mudaratnya kepada rakyat dan negara, kerana jenayah berkolar putih ini berlaku dalam skala yang besar dan akhirnya ia pernah melibatkan pembunuhan kepada manusia yang melakukan jenayah rasuah ini.

Jenayah-jenayah tidak kira ia berkolar putih atau berkolar biru adalah sama. Tidak ada bezanya penjenayah seperti Botak Chin dahulu dengan perasuah dan peragut harta awam yang banyak itu. Kita perlu menganggap sesiapa yang melakukan rasuah itu sebagai peragut atau penyamun  dan perompak itu sama sahaja tarafnya dengan Botak Chin yang sangat terkenal dengan keganasannya merompak diakhir tujuh puluhan dahulu.

Semuanya ini melibatkan keselamatan awam. Malangnya kita tidak mahu memberikan pengiktirafan yang penyamun dan perompak kolar putih itu sama kategorinya dengan penyamun berkolar biru itu.

Jika benar percubaan pembunuhan terhadap Sanjeevan ini adalah kerana ada pihak yang tidak senang dengan tindakannya untuk membongkar sindiket dadah yang melibatkan pihak Polis ia adalah satu kejadian yang sangat menakutkan rakyat ramai. Yang mengesaki tentang penglibatan Polis dalam isu ini adalah bekas Ketua Polis Negara, Musa Hasan sendiri dan ini bukan perkara yang mudah untuk diselesaikan jika apa yang beliau syaki itu adalah benar.

Ramai merasakan kehidupan mereka tidak lagi aman dan tenteram kerana kita telah mendengar yang pihak yang sepatutnya melindungi orang ramai sendiri sudah dipersoalkan kejujuran mereka memikul tanggungjawab melindungi rakyat itu. Jika Polis tidak boleh dipercayai, Mahkamah tidak boleh diyakini serta pemimpin pula tidak boleh berlaku adil dan bersih ia amat menakutkan rakyat. Jika yang ditugaskan melindungi negara itu sendiri terlibat dengan jenayah yang mereka patut mencegahnya, maka tiada lagilah rakyat yang dahagakan keamanan itu tempat untuk berlindung.

Jika semuanya terlibat maka tidak akan ada pihak yang boleh melakukan apa-apa untuk menjaga kesejahteraan negara. Jika kita mengakui perkara-perkara yang berlaku ini melibatkan pihak penguat kuasa undang-undang, maka kita sekarang seolah-olah berada dalam sebuah negara yang tidak aman keseluruhannya.

Kadangkala ada kecederungan untuk mempercayai yang negara kita seolah-olah berada di dalam darurat. Darurat dari pemikiran dan darurat dalam segala-galanya. Harta benda rakyat tidak selamat, kesejahteraan rakyat tidak terjamin dan keselamatan negara sendiri pun belum pasti dapat dilindungi.

Jika semua pihak lebih mementingkan kedudukan dan kekayaan diri dan keluarga sendiri maka tidaklah lagi sempurna kehidupan dalam sebuah negara yang dikatakan sudah merdeka dan aman damai ini.

Lebih teruk lagi ada kumpulan yang hanya mementingkan bangsa dan warna kulitnya sendiri sahaja dengan menyanyikan lagu lama yang mengelirukan orang ramai. Tajuk lagu yang saya maksudkan itu ialah ‘multiracialism’.

Sampai bila kita tidak akan aman…

28 July 2013

Dilema Cina, dilema Melayu dan dilema rakyat serta negara

Tun Dr Mahathir pun ada dilemanya sendiri
Dr Mahathir berkata sekarang negara menghadapi ‘dilema Cina' dalam mana bangsa Cina sedang berada didalam satu dilema samada untuk merebut kuasa politik dan ekonomi negara sendirian dan mengenepikan bangsa Melayu dan sebagainya. Bangsa melayu sedang diusahakan oleh bangsa Cina untuk diketepikan dalam semua bidang. Begitulah bunyinya lebih kurang dalam apa yang beliau tulis dalam blog beliau dua tiga hari yang lepas.

Pengarang buku ‘Malay Dilemma’ ini kini mengarang satu lagi ‘dilema’, kali ini ‘Chinese dilemma’ dan saya tidak berminat untuk menerima pandangan yang tidak diperlukan itu. Sesungguhnya ia bukannya ‘Chinese dilemma’ dan bukannya dilema sesiapa. Yang dalam dilema sekarang ialah rakyat Malaysia sendiri khususnya orang Melayu dan sedikit dari bangsa-bangsa lain di negara ini.

LKS dengan dilemanya.
Ia adalah dilema yang tidak dapat di selesaikan kerana budaya pemikiran dan politik orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya yang buruk yang terbentuk oleh kuasa BN itu sendiri. Dilema ini ditambah oleh sikap dan nilai perjuangan yang dpaparkan sebagai alternatif oleh pihak pembangkang yang juga tidak mampu memberikan penyelesaian terhadap dilema yang di hadapi oleh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Bumiputra termasuk di Sabah dan Sarawak.

Lim Kit Siang (LKS) memberikan reaksi dengan mengatakan Mahathir sebagai rasis kerana mencipta ciptaan barunya iaiatu ‘Chinese dilemma’. Apa yang dikatakan oleh LKS itu tidak salah dan ia adalah benar. Tetapi apa yang tidak terfikir oleh LKS, beliau juga memimpin parti yang terbentuk persepsi yang ia adalah parti yang tertumpu kepada imej parti Cina dan itu jelas dilihat dan kita tengok secara terang-terangan. Itulah sebabnya saya katakan dilema ini bukan sahaja dilema Cina seperti yang diperkatakan oleh Mahathir, ia adalah dilema semua bangsa dalam negara ini.

Rakyat sebenarnya dalam dilema, bukannya Mahathir dan bukan juga LKS. Di satu pihak rakyat khususnya orang melayu dalam dilema yang teramat sangat. Mereka tersepit diantara menerima kerajaan yang korup dan tercemar dalam segala-galanya dengan memilih pihak yang hanya mementingkan bangsanya sendiri dalam perjuangan politik mereka.

DAP telah berjaya menundukkan orang Melayu dan sudah pun ramai yang tampil memberikan sokongan kepada parti yang di dominasi oleh kaum Cina itu. Ini adalah satu trend yang sihat kalau dipandang dari sudut rakyat yang 'ordinary' ini. Fenomena ini tercetus kerana orang Melayu dalam dilema hasil dari ketidak jujuran pimpinan BN khususnya UMNO itu. Tetapi orang melayu telah dipermainkan juga oleh pihak yang memberikan laungan kuat tentang ‘multiracialism’ ini dengan hanya mahukan sokongan dan undi orang melayu sahaja sedangkan ia tetap kekal memaparkan sebagai sebuah parti kaum Cina.

Mungkin di sini betulnya Mahathir kerana tidak adil disangkal yang kita lihat di Pulau Pinang kuasa politik dikuasai oleh DAP yang di dominasi oleh bangsa Cina sedangkan parti DAP itu mencanangkan partinya sebagai parti berbilang kaum. Tidak seorang pun dari Ahli-Ahli Legislatif dari DUN Pulau Pinang di wakili oleh orang Melayu kalau kita lihat wajah mereka satu persatu.

Di Pulau Pinang misalnya orang melayu layaknya hanyalah untuk mengandar dan menampal poster di dinding-dinding bangunan dan tiang telefon semasa pilihanraya umum yang lalu. Mungkin itulah yang dianggap sebagai politik berbilang kaum itu. Kaum Cina menguasai kerajaan dan orang melayu menjadi penampal poster dan menjadi penceramah-penceramah sahaja.

Orang Melayu hanya dijadikan ‘kuda pelejang’ untuk menyerang pimpinan dan orang Melayu yang lain. Orang melayu Islam diberi upah dengan memberikan peruntukkan yang tinggi kepada Majlis Agama Islam dan jumlah peruntukkan untuk kegiatan Islam yang sebanyak itu sememangnya tidak menjadi hal kepada kerajaan P Pinang, negeri yang kaya raya itu.

Tetapi siapa yang bersalah disini, sehinggakan orang Melayu dengan mudah sahaja di jadikan sebagai ‘kuda pelejang’ tadi? Ia mesti bersebab dan penyebabnya ialah kerana kepimpinan Melayu yang sudah menghadapi kekurangan keyakinan dari orang Melayu sendiri? Sebusuk-busuk orang Melayu mereka tidak mahu melihat pemimpin mereka yang rasuah dan tidak bermoral itu? Maka orang Melayu terus dalam dilema dan itulah yang sepatutnya difahami oleh Dr Mahathir.

LKS tidak ada masalah memahami keadaan ini. Kalau tidak masakan beliau dengan mudah menggunakan Melayu yang dalam dilema ini untuk memberikan sokongan kepada DAP dan parti-parti lain dalam PR itu? Sekarang ada pihak yang merasakan sudah menjadi satu dosa jika orang Melayu tidak menyokong DAP itu.

Semuanya ini terjadi kerana dilema rakyat yang sedang tersepit diantara pihak yang rasuah yang mereka benci dan pihak yang menggunakan kelemahan ini untuk memberikan tumpuan kepada kelompok mereka sendiri.

Rasis tetap wujud dikedua-dua belah pihak. Satu pihak bercakap isu rasis, satu pihak lain tidak bercakap tentang isu ini tetapi tindakan serta hasil politik mereka tidak lain dan tidak bukan adalah rasis yang menebal.

Kedua-duanya sama sahaja. Itulah menjadikan rakyat dalam dilema untuk memilih. Apabila mereka (rakyat) berada dalam dilema seperti ini maka akhirnya mereka terpaksa memilih pimpinan dari bangsanya sendiri. Orang Melayu berfikir sebusuk-busuk melayu ada bau Melayunya dan pihak lain pula akan berfikir sebusuk-busuk bangsanya masih ada terhidu bau bangsanya.

Orang Melayu selalunya akan mencium bau baju atau pakaian ibunya untuk menghilangkan kerinduan terhadap ibunya yang baru meninggal. Itulah kaedah dan maksud kata-kata saya tadi.

27 July 2013

BN hendak dijadikan 'multiracial'?- Bhg 1

Timbalan Presiden MCA Liow Tiong Lai mencadangkan agar BN dijadikan sebuah parti ‘multiracial’ sebagai persediaan menghadapi perubahan masa dan zaman bagi mempastikan BN terus relevan pada masa yang akan datang. Cadangan ini selari dengan setengah suara untuk mengakhiri zaman parti-parti politik yang berlandaskan kepada penyertaan keahlian mengikut bangsa-bangsa.

BN setakat hari ini adalah sebuah ‘coalition’ dari parti-parti yang berlandaskan kepada perkauman tetapi jika dipandang dari sudut BN itu sebagai sebuah parti ia sememangnya adalah gabungan yang tersedia sebagai gabungan yang ‘multiracial’.  BN pernah berjaya menggabungkan dan menyatukan rakyat yang berbilang kaum ini dimana rakyat pernah berpadu tanpa menghadapi sebarang masalah.

Kepada rakyat yang sudah berusia mereka tentu merasakan yang dahulunya tidak ada masalah dalam perhubungan diantara kaum. Semasa BN mempunyai kepimpinan kuat masalah perhubungan kaum itu terjalin dan sehingga hari ini mereka yang mempunyai rakan diantara berbilang kaum itu masih lagi berhubung tanpa mempunyai sebarang masalah. Saya sendiri sebagai unit yang kecil dalam masyarakat ini, masih kekal dengan perhubungan yang baik dengan rakan-rakan dari bangsa bukan Melayu.

Perpaduan diantara kaum mula terencat pembinaannya apabila kepimpinan parti-parti seperti UMNO dan MCA serta MIC mula menjadi lemah kerana berbagai sebab yang mereka hadapi. UMNO menggunakan isu perkauman sebagai senjata untuk menakutkan orang Melayu untuik bersama-sama bersatu dengan bangsa bukan Melayu. Pimpinan yang kian hari kian lemah itu terpaksa menggunakan isu perkauman untuk mengekalkan orang Melayu bersatu dibawahnya.

Ini adalah di sebabkan orang Melayu semakin hari semakin menjauhi UMNO kerana masalah dan isu besar yang dihadapi UMNO itu sendiri. UMNO sudah ketandusan kepimpinan disetiap peringkat kerana mereka yang menjadi pemimpin datangnya dari mereka yang tidak berkepimpinan dan tidak dihormati oleh orang ramai.

Apabila UMNO dirasuk oleh penyakit politik wang, maka hanya mereka yang sanggup membeli dan membayar sokongan dari ahli-ahlinya yang lahapkan wang ringgit untuk menjadi pemimpin. Akhirnya UMNO menjadi parti yang tidak berkepimpinan kerana yang berkepimpinan telah diketepikan kerana tidak bermain dengan politik wang itu.

Mereka yang sepatutnya diketepikan oleh perwakilan dan ahlinya masih menjadi pemimpin sehinggakan parti itu ketandusan kepimpinan untuk menghadapi rakyat yang mereka sedang pimpin itu. Tambahan kepada politik wang itu menyusur isu yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin ini bagi mengekalkan sokongan orang ramai khususnya dikalangan ahli-ahlinya, iaitu isu perkauman.

Mengetahui orang Melayu sudah mula mual dengan parti itu maka isu perkauman dimainkan bagi menakut-nakutkan orang Melayu dari meninggalkan mereka. Sememangnya tidak menghairankan jika rasuah menjadi isu besar kerana rasuah selalunya dilakukan oleh pimpinan yang tidak berharga dan lemah. Pimpinan yang lemah tidak akan mampu mengelak dari melakukan rasuah kerana pemimpin seperti ini mempunyai jiwa yang kecil dan kenit. Hanya pemimpin yang mempunyai jiwa besar sahaja yang tidak sanggup melakukan rasuah kerana seorang yang berjiwa besar akan menentukan fokus kepimpinan mereka hanya untuk kepentingan negara semata-mata.

Seperti yang saya sebutkan beberapa kali sebelum ini hanya pemimpin yang berjiwa kecil sahaja yang tidak berani menghadapi realiti dan kehendak negara itu sendiri. Hanya mereka yang fakir jiwanya yang takut untuk menyatukan kaum-kaum kerana jika rakyat berbilang kaum bersatu mereka akan kehilangan kedudukan kepimpinan kerana sifat mereka yang lemah dan miskin jiwa tadi.

Itulah sebabnya cerita perpaduan kaum ini menjadi isu dalam politik masing-masing termasuk dari parti-parti pembangkang tetapi mereka juga sama sikapnya kerana sama-sama miskin jiwa dan fakir pemikiran dan kemampuan mereka untuk memimpin. Masing-masing lemah dan menyandarkan sokongan dengan menaikkan suhu perselisihan keyakinan diantara kaum masing-masing untuk kekal relevan dan berkuasa.

Seruan Timbalan Presiden MCA itu adalah seruan baik, tetapi banyak isu yang harus di selesaikan sebelum BN itu boleh dijadikan sebagai sebuah parti yang ‘multiracial’ agar ia benar-benar-benar berlaku di dalam erti kata yag sebenarnya.

Kita tidak mahu melihat ‘multiracial’ itu hanya dislogankan sahaja kerana ada pihak yang memainkan slogan itu tetapi tidak ada perlaksanaannya kerana seperti yang saya sebutkan beberapa kali, iaitu pimpinan yang miskin jiwa dan kepimpinan mereka. Mereka sentiasa bimbang dan terpaksa berpaut kepada sentimen perkauman keatas kaum yang mereka pimpin itu.

BN seperti yang disebut diatas tadi adalah sebuah pertubuhan politik yang sudah pun ‘multiracial' bentuknya. Hanya keahlian BN itu dianggotai oleh parti-parti yang dianggotai mengikut bangsa masing-masing. Mungkin kali ini semua anggota-anggota MCA, MIC dan UMNO misalnya didaftarkan sebagai ahli-ahli secara terus BN. Selepas itu hanya beberapa isu penting yang lain yang boleh mengikat kepentingan mana-mana pihak dengan ketat agar ia tidak hanya tinggal sebagai retorik pilihanraya yang mengelirukan sahaja.

Jika benar BN boleh di jadikan ‘multiracial’ dalam erti kata sebenarnya, ia perlu di gubal strukturnya dengan kuat dengan kadar yang agak segera untuk mengasaskan ‘foundation’ yang kuat untuk pencapaian matlamat perpaduan kaum itu demi masa depan negara.

Apakah asas-asas yang mesti diperlihatkan dan di bentuk elok kita sambong rencana ini sehari dua lagi.

(bersambong)

25 July 2013

Bilakah politik perkauman akan berakhir?

Bilakah politik perkauman akan berakhir? Sebagai sebuah negara berbilang kaum selagi tidak ada perpaduan kaum yang sejati negara tidak akan kemana-mana. Setiap orang terutamanya dibandar dan separa bandar, mempunyai jiran tetangga dari berbagai kaum. Hidup yang aman bermula didalam keluarga dan diantara jiran tetangga dalam kariah kita.

Kalau kita tidak setuju dengan jiran tetangga kita janganlah berbezaan pendapat dan pandangan itu berbeza di dasarkan kepada perbezaan warna kulit, bangsa dan agama. Perbezaan itu biarlah di dasarkan kepada isu yang tidak ada kena mengena dengan bangsa, agama dan warna kulit.

Ramai orang termasuk diri saya yang kerdil ini amat gembira apabila ada parti yang melahirkan hasrat untuk menjadi parti perjuangan yang berlandaskan kepada ‘multiracialism’, tanpa menggunakan isu kaum dalam semua halnya. Bagi orang seperti saya dan ramai yang lain amat terkeliur dengan perjuangan ini kerana sudah sangat lama kita menunggu masa dan saatnya bagi kita bersatu dan menjadi rakyat Malaysia dan bukannya sebagai bangsa Melayu, Cina dan India atau Kadazan dan Iban.

Oleh kerana sesitiviti dan suasana politik begitu menekan maka ramailah orang Melayu berpusu-pusu menerima perjuangan berbilang kaum ini kerana orang Melayu sendiri mahu melihat perpaduan diantara kaum itu wujud dan bersemi dikalangan rakyat negara kita. Semasa menghadapi pilihanraya baru-baru ini, setiap bangsa bersatu dalam gerakan menentang Barisan Nasional (BN) dan salah satu isu yang dimainkan terhadap BN itu ialah isu perkauman yang BN dituduh begitu menebal permainan politik perkaumannya.

Rupa-rupanya pihak yang memainkan isu perkauman terhadap BN itu juga adalah parti perkauman dan hanya mementingkan ahli-ahli dan pimpinan dari kaumnya sendiri sahaja. Apa yang dilaungkan mereka selama ini hanyalah permainan lidah yang tidak bertulang dan cara mereka bercakap tentang perkauman itu seolah-olah rakyat tidak akan dapat menghidu siapa sebenarnya mereka ini. Sesungguhnya mereka yang melaungkan slogan ‘multiracialism’ itu adalah kumpulan yang hakikatnya adalah parti perkauman yang sangat menebal.

Isu ini jelas dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Saya tidak mahu mencabar sesiapa tetapi saya dengan rendah hati bersetuju untuk berdepan dan berbincang isu ini secara terbuka. Tetapi saya lebih berminat kepada mereka yang mempunyai pendidikan yang asas dari berbilang kaum untuk membuktikan permainan isu perkauman ini adalah semata-mata modal untuk kempen pilihanraya yang lalu sahaja.

Tetapi segala-gala yang mereka sebutkan semuanya palsu semata-mata dan amat sukar bagi kumpulan yang saya maksudkan ini untuk tampil kemuka dan mengaku sebagai parti dengan perjuangan ‘multiracial’ nya selepas ini. Mereka terpaksa menebalkan muka untuk kembali memberikan retorik perjuangan ‘multiracial’ mereka selepas ini.

Pendeknya tiada mana-mana pihak berjaya untuk perjuangan untuk berbilang kaum ini dan ia tidak mungkin boleh dilakukan oleh pihak yang jelas membohongi rakyat ramai ini. Akhir-akhir ini saya berjumpa dengan rakan-rakan yang saya kenali dan juga dari mereka yang menghubungi saya secara peribadi. Mereka berkumpul secara santai seramai dua puluh atau tiga puluh orang dalam satu-satu perjumpaan untuk mengetahui apa yang saya maksudkan sejak akhir-akhir ini. Mereka terdiri dari orang-orang kelas menengah dari berbilang kaum dan mereka serius dan tekun dalam perbincangan secara santai-santai itu.

Saya mulai sedar yang setiap kaum mempunyai niat yang serius untuk melihat perpaduan diantara kaum terjalin dan tidak lagi mahu melihat rakyat dipecahkan oleh kumpulan atau parti yang mahu rakyat berpolitik mengikut ‘flavor’ perkauman kerana selagi keadaan itu wujud negara kita tidak akan kekal aman seperti yang kita semua kehendaki.

Itu jugalah sebabnya blog ini tidak jemu-jemu berpandangan yang kita terpaksa bermula seperti kita berada dalam sebuah negara yang baru. Proses menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum ini belum lagi kemana-mana

Kita terpaksa memulakan negara baru dan segala-galanya baru bagi merubah sistem dan ‘ambience’ politik yang menebal permainan isu perkauman mereka. Rakyat yang inginkan sebuah negara yang rakyat berbilang kaum berpadu perlu menolak dan tidak membiarkan sesiapa atau mana-mana pihak yang rasuah serta menunjukkan sikap dan disposisi sebagai parti perkauman.

Usaha ini wajar dilakukan oleh rakyat semua kaum kerana generasi yang akan datang akan mewarisi sikap dan tabiat kurang baik yang kita tinggalkan nanti. Kalau dilihat dari apa yang sedang berlaku kini tidak ada pihak yang benar-benar jujur dan telus untuk perjuangan ini.

Biar kita bermula dari sekarang. Jika tidak sempat kita menyaksikan kejayaannya biarlah ia dikecapi oleh generasi yang akan datang.

Tahniah kepada BN dan juga PAS di Kuala Besut

BN menang dalam pilihanraya kecil Kuala Besut dengan majoriti yang lebih sedikit dari majoriti yang diperolehi BN dalam PRU yang lalu. Tengku Zaihan memperolehi 8288 undi dan calon PAS Che Long mendapat 5696 undi. Ia memberi makna BN memenangani kerusi Kuala Besut dengan majoriti 2592 undi kali ini berbanding dengan 2434 dalam pilihanraya umum lepas.

Kalau dikaji dari keputusan itu kita sekali gus menerima hakikat yang BN memenangi PRK Kuala Besut betul-betul kerana kedudukan BN sebagai pihak ‘incumbent’ di peringkat negeri dan Persekutuan. Kita ucapkan tahniah kepada kedua-dua orang calon kerana telah memperolehi jumlah undi yang besar. Demokrasi telah terlaksana dan keputusan telah pun kita ketahui.

Seperkara yang nyata BN memenangi PRK ini, tidak boleh mendabik dada kerana dalam pada keseluruhan jentera BN ke Besut sejak hampir sebulan lalu. Ditambah pula dengan kuasa ‘incumbency’ yang diperguna habis-habisan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, tambahan undi untuk BN hanya sebanyak 171 undi sahaja. Kos dalam bentuk pengumuman projek pembangunan Kuala Besut juga begitu besar, ia itu hampir RM3/4 billion.

Pilihanraya kecil ini merupakan pilihanraya kecil yang sangat mahal bagi menentukan kemenangannya untuk mengelak kecelakaan yang mungkin dihadapi oleh BN jika kalah dalam PRK ini.  Begitulah tingginya kos penyelenggaraaan UMNO sekarang ini. Ia ibarat kos penyelenggaraan perubatan seorang tua yang menghadapi penyakit terminal yang serius. Apa yang dicapai oleh BN di Kuala Besut ibarat kata perpatah, ‘mahal rantai dari beruk’.

Kepada PAS, marilah kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana berjaya mempertahankan jumlah undi yang hanya kekurangan sebanyak 171 undi majoritinya walaupun berhadapan dengan kuasa ‘incumbency’ UMNO yang begitu kuat. PAS mempunyai ‘formidable force’ di Besut. Jika PAS diyakini selepas ini sebagai sebuah parti yang berkemampuan untuk menunjukkan imej dan persepsi sebagai sebuah parti yang mampu mengurus kejayaannya, parti ini akan menjadi pilihan rakyat tidak berapa lama lagi.

Kita juga berharap rakyat Besut, khususnya di Kuala Besut akan menikmati nikmat hari raya hasil dari duit raya yang agak ramai yang mendapatnya dalam PRK ini. Tidak tahu pula duit raya yang mereka dapati dalam PRK kali ini akan mereka dapati semasa hari raya tahun hadapan. Diharapkan agar duit raya yang didapati dalam PRK itu akan dapat menampung perbelanjaan hidup sampai ke penghujung hayat mereka.

Pengundi Kuala Besut telah membuat keputusan dan dari saat ini kita terimalah keadaan ini sehingga menghadapi pilihanraya yang akan datang tanpa apa-apa masalah lagi.

Blog ini juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pengundi-pengundi diKuala Besut dan belanjakanlah duit-duit raya yang telah diterima semasa pilihanraya yang baru selesai itu. Hari raya hanya tinggal 14 hari sahaja dari hari ini.

24 July 2013

Pengundi Kuala Besut, corakkanlah politik Terengganu hari ini

Hari ini adalah hari mengundi pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut. Oleh kerana pilihanraya kecil ini diadakan pada bulan Ramadan, tidaklah banyak cerita isu memaki hamun diantara kedua-dua belah pihak. Ramailah yang merasa selesa kerana orang ramai tidak mahu lagi mendengar maki hamun yang tidak henti sejak beberapa tahun dahulu.

Tetapi rupa-rupanya pilihanraya ini merupakan pilihanraya yang sangat genting bagi UMNO kerana jika kemenangan berpihak kepada PAS ia akan meletakkan kedudukan kerusi di DUN Terengganu menjadi seri, 16/16. Kemenangan PAS memberikan isyarat yang UMNO diTerengganu itu berada di dalam keadaan yang amat merbahaya.

Itulah sebabnya kita terdengar pimpinan besar UMNO berulang alik ke Kuala Besut dan ada diantara mereka datang untuk mengimamkan solat berjemaah untuk mendekati rakyat yang sedang dipujuk dan diurut kaki dan tangan mereka untuk memberikan sokongan kepada BN.

Seandainya kedudukan kerusi sama banyaknya maka kalau tidak salah saya mengamati undang-undang, pilihanraya negeri terpaksa diadakan semula. Pilihanraya boleh dielakkan. Jika ada dikalangan ADUN UMNO melompat menyertai PAS maka PAS akan menerajui kerajaan Terengganu tanpa memanggiil pilihanraya kecil negeri. Ini adalah diantara kemungkinan yang mungkin berlaku pasca pilihanraya kecil ini.

Jika hendak mengharapkan ADUN PAS melompat menyertai UMNO ia tidak mungkin berlaku kerana sesiapa yang mempunyai daya pemikiran yang mampu menilai apa yang akan berlaku, tentu sekali ia merupakan tanda yang amat jelas yang UMNO sudah hampir sampai ke penghujung usianya.

UMNO begitu tertekan dengan keadaan di Kuala Besut ini.  Maklum sahaja lah UMNO amat takut kehilangan kuasa. Bagi UMNO untuk berpisah dengan kuasa ibarat hendak memisahkan daging dengan kulit atau memisahkan kuku dengan isi. Bagi UMNO kehilangan kerusi adalah seperti nyawa bercerai dari badan. Tetapi UMNO tetap cuba untuk mempertahankan sokongan rakyat, maka mereka terpaksa membeli undi secara sistematik tetapi mudah difahami oleh rakyat yang berfikir.

Oleh kerana pilihanraya mendahului Hari Raya Aidilfitri maka pengundi di Kuala Besut sedang menerima berbagai-bagai punca duit raya bagi tahun ini. Seronok sungguh pengundi di Kuala Besut menghadapi Hari Raya Puasa kali ini. Ramai yang berjenaka dengan berkata, “kenapalah kawasan aku tidak ada pilihanraya kecil dibulan puasa ini”

Seorang sahabat saya yang berasal dari Kuala Besut yang saya panggil sebagai Joe, berkata, “ Kalaulah aku kekalkan diri aku sekeluarga sebagai pengundi Kuala Besut, raya ini dapat banyak duit raya. Malangnya aku pindahkan nama pengundi aku ke Shah Alam semata-mata aku tinggal di Shah Alam. Mengundi di Shah Alam pun bukannya ada faedahnya, Takkan aku nak mengundi Zulkifli Noordin” katanya sambil berjenaka. “Nak tunggu pilihanraya kecil di Shah Alam pula, Ahli Parlimennya masih segar bugar” Joe meneruskan jenaka beliau.

Walau apa pun PRK Kuala Besut ini akan membawa banyak makna yang tersirat. Kemenangan PAS akan membayangkan yang UMNO hanya menunggu masa untuk terkubur. Jika UMNO memang persepsinya tidak lain adalah di sebabkan kuasa wang ringgit dan itu juga tidak akan kekal lama sokongannya.

UMNO tidak lagi mampu bersandar kepada kekuatan kepimpinannya. UMNO hanya bersandar kepada kuasa yang ada ditangan. Pimpinan UMNO dan beberapa pimpinan yang di sebelah pembangkang sekali pun mempunyai jiwa yang kecil. Pimpinan yang berjiwa besar tidak akan berdendam dan menekan.

Pimpinan yang berjiwa besar  akan memaparkan dengan jelas apa yang hendak mereka lakukan tanpa takut dan segan, takut-takut tidak diterima oleh pengundi. Pimpinan yang berjiwa besar tidak akan terkeluar kata-kata seperti yang terkeluar dari mulut Ahmad Said yang mengakui yang UMNO perlu hanya membela siapa yang menyokong UMNO sahaja.

Tetapi jika dipandang dari sudut yang lain, tidak boleh juga dipersalahkan orang seperti Ahmad Said ini, kerana rakyat merelakan mereka berbuat demikian. Tidak ada siapa yang akan menjadi pemimpin tanpa sokongan dan kerelaan rakyat itu sendiri.

Jika pemimpin itu berjiwa besar ia tidak akan melanggar janji-janjinya sebelum pilihanraya. Hanya jiwa yang kecil dan kenit sahaja yang hanya menumpukan politiknya kepada kaumnya sendiri walaupun telah melaungkan perjuangan untuk berbilang bangsa dengan gah dan berterusan.

Pimpinan yang berjiwa kecil sahaja yang berlindung kepada kumpulan dan bangsanya sendiri dan tidak berani dan berkeyakinan berlindung dari rakyat yang berlatar belakangkan berbilang kaum. Perasaan kurang keyakinan kepada diri sahaja yang bertumpu kepada bangsanya sendiri sahaja dan menggunakan isu ‘multiracialism’ itu hanya sebagai retorik semata-mata untuk kegunaan semasa pilihanraya sahaja.

Perlu diingat pemimpin negara ini wajar mempunyai kualiti yang selari dengan keperluan kepimpinan berbilang kaum dan agama sahaja.

Itu sebab kita mula terlihat orang ramai sudah mula tidak bertumpu kepada bangsa dan cara hidup. Mereka memilih untuk berpolitik berdasarkan kepada agama dan Islamlah yang menjadi landasan perjuangan mereka.

Ramai yang sudah berkeyakinan yang Islam itu adalah agama yang universal kerana jika Islam yang memimpin, maka orang Hindu yang mengikutinya akan menjadi Hindu yang baik, dan jika orang Budhist yang mengikut kepimpinan Islam itu mereka akan menjadi Budhist yang baik.

Islam itu sesungguhnya merupakan agama perpaduan dan itulah sebabnya parti-parti yang berlandaskan perjuangan Islam itu sentiasa mendapat dugaan yang besar. Bagi mereka yang serius dengan keperluan kehidupan yang lengkap elok kita bermula dengan kawasan Kuala Besut.

Segala-galanya boleh bermula di sini. Seperti yang saya selalu sebutkan akhir-akhir ini PAS perlu melatih parti itu yang mampu untuk mengendalikan kejayaan mengikut kehendak waktu dan zamannya. Itu pun adalah tuntutan Islam.

21 July 2013

Di tandingi atau tidak jawatan parti , UMNO akan tetap sama sahaja

Ramai yang meminta saya memberikan komen tentang perhimpunan agung UMNO oktober ini yang kini sudah sampai ke fasa kempen mengempen yang kuat diantara pemain politik UMNO hari ini. Tahun ini adalah tahun pemilihan parti dan tentulah ia mendapat tumpuan istimewa dari orang ramai.

Tumpuan ini di sebabkan ia berkait dengan UMNO. Pertamanya UMNO itu adalah parti pemerintah dan tidak hairan ia menjadi tumpuan ramai. Tumpuan terhadap parti itu lebih kuat lagi kerana parti itu telah menjadi isu besar kepada rakyat dan negara. Lagi pula UMNO baru sahaja selesai bersama dengan parti-parti lain melaksanakan tuntutan perlembagaan persekutuan untuk mengadakan pilihanraya setiap lima tahun.

Keputusannya sudah diketahui umum. UMNO mendapat kelebihan sedikit kerusi dari PRU ke12 tetapi jika dihitung dari kemenangan yang diperolehi oleh ahli-ahli parti dalam BN, ‘coalition’ itu telah kekurangan sebanyak tujuh kerusi berbanding dengan PRU ke12 dahulu.

Mahu tidak mahu kita terpaksa akui yang UMNO masih menjadi pilihan rakyat khususnya orang-orang Melayu. Orang Melayu yang keluar menyokong kempen pilihanraya yang begitu ramai sebelum PRU ke 13 itu diadakan, kembali berduyun-duyun memberikan sokongan kepada UMNO kerana orang diatas pagar terutamanya orang Melayu merasa kehilangan keyakinan yang kekal terhadap Pakatan Rakyat disaat-saat akhir.

Sebab kenapa mereka berkurangan keyakinan kerana ada parti dalam Pakatan Rakyat hanya dikuasai oleh kaum Cina sahaja. Maka perjuangan kita untuk mencapai matlamat perpaduan kaum yang hampir terjadi akhirnya tidak tercapai juga. ‘It crashed before taking off’. Jika dihitung-hitung dalam keadaan dan situasi sekarang ramai yang yakin UMNO akan tetap menang dalam pilihanraya yang akan datang walaupun dengan majoriti yang lebih kecil dari PRU 2008 dan 2013.

Jika di kira dari kemenangan parti secara individu UMNO merupakan parti yang akan menang lagi dalam PRU yang akan datang. Jika sekarang UMNO memenangi 89 kerusi, jika parti itu melalui pilihanraya sekali lagi UMNO mungkin memenangi 70 kerusi pula. Dari segi itu UMNO tetap akan memenangi jumlah kerusi yang terbesar.

DAP tidak mungkin memenangi 70 kerusi dan lagi pun hampir kesemua kerusi yang dimenangi oleh DAP sudah pun mereka menangi. Jika pada keseluruhan nya BN kalah tetapi sebagai sebuah parti secara individunya UMNO akan tetap diminta menubuhkan kerajaan. Hanya apabila UMNO gagal menubuhkan kerajaan melalui rundingan-rundingan dengan parti-parti lain untuk menubuhkan kerajaan campuran, barulah Pakatan Rakyat dengan gabungannya mungkin mampu untuk menubuhkan kerajaan alternatif.

Itu sebabnya UMNO menjadi perhatian ramai terutamanya apabila pemilihan parti sampai.  UMNO sudah hilang keyakinan ramai walaupun parti itu mungkin dapat bertahan dengan keadaan yang lebih lemah lagi pada masa yang akan datang.

Yang mendapat perhatian khusus ialah tentang pemilihan dua kerusi tertinggi parti itu. Ada pihak yang mahukan kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dan ada yang mahu jawatan itu dipertandingkan. Tidak payah kita bersusah payah memberikan pandangan samada jawatan-jawatan itu patut dipertandingkan kerana samada ia ditandingi atau tidak ia tidak akan memberikan apa-apa faedah tambahan kepada parti itu.

Pertandingan selalunya dilakukan untuk mencari siapa yang paling layak untuk memimpin. Najib telah gagal dengan jelas maka ada suara-suara meminta Muhyiddin mengambil alih kedudukan Najib dengan beliau menandingi Najib dalam pemilihan ini. Tetapi apa kelebihan Muhyiddin dari Najib dan apakah nilai tambahan yang Muhyiddin boleh sumbangkan kepada parti?

Blog ini tidak lekang dari memberikan pandangan yang jika Najib diambil alih oleh mereka yang ada dalam Majlis Teringgi parti itu ia tidak akan membawa apa-apa perubahan. Muhyiddin atau mana-mana diantara Naib Presiden parti itu datangnya dari acuan yang sama. Nilainya sama, sikapnya sama dan imejnya sama. Jika kita hendak bukti yang Muhyiddin pun tidak akan dapat menyumbang kepada perubahan bolehlah UMNO menggantikan Najib dengan Muhyiddin.

Dalam tempoh yang sekejap sahaja akan terbukti keadaan akan sama sahaja kerana mereka adalah sama. Itu bukan perubahan namanya. Mereka dari resepi yang sama. Ibaratnya seperti kueh bahulu. Kueh bahulu itu rasanya sama sahaja walaupun ia berbeza bentuknya. Kalau dibuat kueh bahulu dengan bentuk ikan pula kali ini ia akan tetap sama rasanya dengan yang berbentuk buah manggis misalnya. Ia tetap bahulu. Rasanya tetap rasa bahulu.

Dari membazir masa berkelahi dan berpuak biarkan sahaja Najib terus menjadi pemimpinnya. ‘Consequence’ nya akan sama juga samada Najib atau Muhyiddin yang memerintah dan mengetuai kerajaan. UMNO akan terhempas juga akhirnya.

UMNO itu juga ibarat kereta tua yang selalu rosak dan terkandas. Kereta yang belum terlalu teruk kerosakannya boleh di tukar alat-alat ganti di bengkel. Tetapi jika hampir kesemua komponen dalam enjin kereta itu terpaksa diganti dengan ‘spare-parts’ nya maka lebih baik kereta itu dilakukan 'overhaul' samasekali. Atau ditukar kereta itu terus dengan kereta yang baru. Kalau sayang kepada ‘brand’ kereta itu, ditukar sahaja kereta dengan jenama yang sama yang baru.

Pendeknya jika dalam Perhimpunan Agung UMNO pemilihan dibuat diantara mereka dalam Majlis Tertinggi sekarang sebagai seorang yang memandang dari luar ini, elok dilupakan sahaja niat untuk menandingi jawatan tertinggi parti itu.

Kalau sekadar untuk bertanding semata-mata untuk bertanding sahaja bolehlah bertanding. Kalau bertanding pun elok juga kepada setengah penggiat parti itu. Setidak-tidaknya perwakilan mungkin dapat “BRIM” pemilihan UMNO.

Dapat juga mereka menukar kereta atau setidak-tidaknya dapat juga menukar ‘sport-rim’ kereta mereka. Perwakilan semasa pemilihan tinggi nilainya.

Setakat seramai 146,000 perwakilan sekarang pimpinan yang kaya raya masih boleh dan masih berupaya untuk ‘kawtim’ disana sini.

20 July 2013

Rakyat tidak mahukan orang baik, mereka mahukan pemimpin yang baik

Baiknya mengadakan pilihanraya dalam bulan puasa, adalah nyata. Pilihanraya kecil Kuala Besut memberikan buktinya. Tidak ada kata-mengata yang keras diantara kedua-dua belah yang bertanding kecuali beberapa insiden yang tidak menyenangkan telinga mendengarnya.

Walau bagaimanapun keseluruhannya, tetap tidak kedengaran tuduh menuduh yang kuat terutamanya dari pihak BN. Selalunya BN akan membuat berbagai cara untuk menang termasuk melakukan perkara yang tidak beretika terhadap PAS. Tiga puluh empat tahun yang lalu kawasan ini jugalah yang telah mengadakan pilihanraya kecil dalam bulan puasa jika tidak silap ingatan saya.

Kali ini BN menumpukan usaha dengan berkempen secara biasa sahaja, iaitu menumpukan kepada janji-janji pilihanraya. BN telah mengumumkan berbagai-bagai projek kepada penduduk Kuala Besut bagi memancing sokongan pengundi kerana Kuala Besut adalah tempat dalam mana PAS juga mempunyai pengaruh yang besar.

Hanya satu yang amat menarik dalam janji-janji BN apabila sampai pilihanraya. Muhyiddin Yassin, merupakan Pengarah PRK ini dan beliau mempunyai ‘tendency’ menjadikan sungai sebagai bahan kempen beliau. Dalam pilihanraya umum yang lalu Muhyiddin berjanji untuk mendalamkan Sungai Golok. Kali ini beliau berjanji pula untuk mendalamkan Kuala Sungai Besut  bernilai RM250 juta.

Tidak tahulah bagaimana rakyat Kuala Besut menerima janji mendalamkan sungai itu. Di Kelantan janji mendalamkan sungai Golok tidak mendapat perhatian rakyat di negeri itu. Selepas ini tidak tahulah sungai mana pula yang hendak didalamkan oleh Muhyiddin. Mungkin kita tunggu mana-mana PRK yang akan datang dimana kawasan-kawasan itu mempunyai sungai dan parit-parit yang besar.

Janji-janji BN untuk membangunkan kawasan negara dan negeri serta kawasan ini sememangnya isu biasa dan dalam sesuatu pilihanraya ia tidak lagi menjadi isu relevan bagi rakyat untuk menentukan sikap mereka untuk menyokong mana-mana pihak.

Pimpinan kita terlupa, rakyat bukannya mudah menerima umpan-umpan seperti ini untuk menyokong. Itu sebabnya dikawasan perbandaran dan separa bandar janji-janji dan sogokkan kerajaan tidak mendapat perhatian. Tindakan Najib memberikan bantuan besar kepada sekolah India dan Cina serta wang BRIM tidak memberikan banyak munafaat kepada BN itu sendiri.

Masalahnya Najib telah membentuk ‘equation’ pemikiran rakyat sama dengan pemikiran beliau sendiri. Beliau berfikir yang rakyat sama lahapnya dengan pimpinan UMNO dalam hal wang ringgit ini. Ternyata Najib tidak sensitif dengan naluri rakyat yang dahagakan kelainan dari yang biasa mereka alami.


Rakyat ramai masih menumpukan kepada isu nasional dan di antaranya ialah imej rasuah yang melekat rapat dengan BN itu menjadi penyebab kenapa BN tidak mampu mendapat tambahan kerusi dalam PRU yang lalu malahan mendapat jumlah kerusi yang lebih rendah lagi.

Hilangnya keyakinan terhadap institusi demokrasi itu menjadi tumpuan rakyat. Mereka masih mempersoalkan isu kebebasan institusi Kehakiman dan Polis misalnya. Sebanyak lebih dari RM4 billion telah dibelanjakan untuk BRIM tetapi rakyat tetap menunjukkan protes dalam PRU yang lalu.

Itu sebabnya pembangkang mendapat tambahan sedikit kerusi kerana rakyat sudah mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada pembangkang walaupun ada parti-parti pembangkang yang tidak sebaik mana pun mendapat sokongan. Rakyat telah menerima janji pembangkang tanpa berfikir panjang. Bagi mereka UMNO dan BN mesti dikuburkan walaupun belum tentu parti yang mereka sokong sekarang ini mampu memenuhi janji-janji mereka.

Ramai yang percaya termasuk orang Melayu sendiri yang ada parti yang menjanjikan ‘multiracialism’ nya tetapi tidak ada bukti yang mereka telah dilakukannya. Rakyat masih menerima janji mereka kerana perasaan geram mereka kepada UMNO.

Bagi saya PAS merupakan parti yang sangat relevan bagi orang Melayu jika tidak berkehendakkan kepada UMNO lagi. Hanya yang perlu bagi PAS dari sekarang ini ialah untuk menentukan yang pimpinan parti itu mempunyai kemampuan untuk mentadbir kerajaan sahaja. Rakyat mahu melihat PAS menjadi parti yang proactive tentang memajukan parti itu kepada parti yang mampu mentadbir sebuah kerajaan.

Dalam tulisan saya beberapa minggu lepas saya menarik perhatian ramai dengan mengkritik parti yang sangat penting untuk orang Melayu dan Islam ini. Dari menumpukan kepada berhimpun PAS semestinya menghantar pimpinan mereka secara bergilir-gilir berkursus pentadbiran di universiti-universiti atau pusat latihan terkenal di dunia ini bagaimana untuk mentadbir sebuah kerajaan.

Itu sahaja yang kurangnya dalam PAS. Rakyat gusar kerana setelah PAS diberikan peluang mentadbir Kedah parti itu tidak sensitif untuk memberikan tanggungjawab mentadbir kepada mereka yang lebih mahir dari pimpinan yang sedang memimpin.

Bagi saya di Kuala Besut ini kemenangan PAS boleh memberikan anjakan pemikiran baru kepada PAS kerana tidak ada kekurangannya kepada PAS kecuali kekurangan imej mampu mentadbir itu sahaja.

PAS perlu ingat satu perkara penting. Rakyat bukan sahaja memerlukan orang yang baik, tetapi yang lebih penting ialah pemimpin yang baik. Orang yang baik dengan pemimpin yang baik itu adalah dua perkara yang berbeza. Ustaz Azizan misalnya, adalah orang yang sangat baik bagi saya, tetapi beliau bukanlah pentadbir yang baik. Jika PAS mampu menghilangkan imej tidak tahu menguruskan kejayaan, PAS akan menjadi parti yang paling relevan dihari muka.

Pemutusnya untuk PAS melakukan kerja penambah baikan keadaan ia memerlukan semangat untuk melakukannya dari rakyat. Pengundi Kuala Besut mungkin boleh memulakan untuk membina semangat itu dengan memberikan kemenangan kepada calon PAS walaupun dengan majoriti yang kecil sekali pun.

Lagi pun seperti yang saya sebutkan beberapa hari yang lepas, kemenangan kepada UMNO bukannya menguntungkan pun. Lagi pun janji Muhyiddin untuk mendalamkan sungai di Kuala Besut itu pun entahkan bila akan didapati oleh orang Kuala Besut.

Jangan terleka dengan janji-janji dari mana-mana pihak.

19 July 2013

Penggabungan MCA, Gerakan dan SUPP isu menarik

Akhir-akhir ini kedengaran di sana sini yang MCA sedang menguruskan rundingan agar kesemua parti yang di dominasi oleh kaum Cina bersatu menjadi satu entiti politik yang berkesan.

Khabarnya Gerakan telah bersetuju untuk mengabungkan partinya dengan kedua-dua parti Cina itu dengan hanya meminta satu syarat iaitu MCA perlu menjadikan parti itu sebagai parti yang 'multiracial' seperti Gerakan dan SUPP. Chang Ko Yuon meminta MCA supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah parti ‘multiracial’ kerana parti yang berdasarkan kepada bangsa sudah tidak relevan lagi.

Jika usaha menggabungkan parti itu berjaya maka jumlah keahlian parti-parti dalam BN akan berkurangan menjadi 12 sahaja dan ini akan memudahkan lagi mentadbir BN pada masa-masa yang akan datang. Saya dikhabarkan yang usaha penggabungan ini adalah satu-satunya cara bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada kepada parti-parti yang di dominasi oleh kaum Cina.

Penggabungan ini merupakan satu tindakan perubahan yang drastik dan ia menampakkan yang pimpinan parti-parti ini serius dan ini lah sebenarnya yang mahu dilihat oleh rakyat. Parti-parti atau pertubuhan yang tidak melakukan perubahan adalah sebuah pertubuhan, kewibawaan pertubuhan itu akan beransur-ansur kurang keampuhannya dalam menghadapi rakyat yang ramai.

Ketiga-tiga parti ini telah mengalami kekalahan yang terbesar dalam sejarah penubuhan parti-parti tersebut dan ini merupakan isu yang biasa dalam sejarah sesebuah parti itu. DAP pernah menghadapi kekalahan teruk dalam pilihanraya 1995 dan beberapa kali dalam pilihanraya negara, begitu juga PAS. PKR hanya mempunyai satu kerusi di Permatang Pauh suatu ketika dahulu.

Tetapi parti-parti ini kembali menjadi besar penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Keadaan berubah mengikut keadaan dan masa. Jika dalam PRU13 yang lalu MCA dan Gerakan serta SUPP menjadi mangsa keadaan politik semasa itu, itu adalah perkara dan kejadian biasa dalam politik bukan sahaja di negara ini tetapi juga dimana-mana negara lain juga.

DAP sudah sampai ketahap maksima dari jumlah kerusi yang boleh dimenanginya. Terutamanya di Semenanjung Malaysia ini. Itu lah sebabnya parti itu menumpukan tenaga di Sabah dan Sarawak bagi mengembangkan pengaruhnya dan menambah bilangan penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Hampir kesemua kerusi di Semenanjung yang dijangkakan boleh dimenangi oleh parti itu telah pun di menanginya.

Jika diikuti formula ilmu statistik DAP sudah sampai ke ‘apex’ nya dan jika ada pergerakan statistik kepada parti itu ia akan hanya menunjukan penurunan. Sebagai sebuah parti yang telah memerintah sebuah negeri seperti P Pinang, parti DAP akan terjumpa dan berhadapan dengan masalah yang lazim dihadapi oleh sesebuah parti pemerintah.

MCA, SUPP serta Gerakan boleh memperbaiki diri semasa dalam kejatuhan dan jika mereka mampu menunjukkan perubahan, tidak terkejut bagi banyak pihak yang parti-parti itu akan bertambah sokongan dari rakyat dalam pilihanraya yang akan datang. Lagi pun dalam kekalahan yang mereka hadapi sekarang secara ‘natural’ nya semua pemimpin yang menjadi isu semasa menghadapi PRU ke 13 yang lepas akan tiada lagi dibarisan pimpinan mereka dan ini akan memberikan imej baru kepada penampilannya kepada rakyat yang begitu mendesak buat masa ini.

Tidak ada satu parti pun boleh menguasai bangsa yang mendominasi sesuatu parti. Contohnya DAP telah cuba mendapatkan kuasa waktu yang terbaik semasa PRU yang lalu. DAP tahu jika ada pun kesempatan untuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan, PRU ke 13 yang lalu adalah masa yang terbaik baginya.

Itu sebabnya parti itu beriya-iya memberikan sokongan dan berpadu dengan PKR bagi mendapatkan sokongan dari ‘secondary source’ untuk mencukupkan kekuatan untuk menubuhkan kerajaan bersama PKR. Tetapi dalam usaha itu ‘coalition’ dalam Pakatan Rakyat tidak mendapat kata sepakat dalam banyak isu yang berkaitan dengan keadaan semasa.

Dalam usaha mendapatkan sokongan padu dari kaum bukan Melayu secara total DAP juga telah melakukan kesilapan dengan menawar isu nama Allah kedepan secara rasmi. Akhirnya Pakatan tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk berkuasa bersama rakan kongsi mereka kerana PAS telah tidak berjaya memenangi kerusi yang sepatutnya dimenanginya kerana isu Allah itu. PAS telah menjadi defensif dalam isu ini, dan isu ini adalah isu yang terlalu ‘unnecessary’ yang ditimbulkan oleh DAP.

Impak jangka panjang kepada DAP adalah besar kerana dengan isu itu telah mengurangkan keyakinan bangsa Melayu dan strategi menggunakan sokongan PAS dalam Pakatan Rakyat yang dilakukan secara yang mereka lakukan dalam PRU yang lalu tidak mungkin boleh diulanginya lagi. Orang melayu rata-rata, termasuk penyokong PAS sendiri berkata dengan nada kecewa yang saya berjumpa berkata, mereka tidak akan ‘dipatuk ular dari lubang yang sama’ pada pilihanraya yang akan datang ini. “Once bitten twice shy” kata seorang pemimpin PAS yang hampir dengan saya.

Tetapi kita tidak perlu marah dengan DAP berbuat demikian kerana semasa itu parti itu merasakan itu sahajalah waktu dan ketikanya bagi mereka mempunyai peluang untuk duduk di Putrajaya bersama rakan kongsinya pimpinan Anwar Ibrahim. Keyakinan mereka terlalu tinggi sehinggakan mereka merasakan banyak isu dan janji-janjinya tidak perlu dipenuhi dan selepas berkuasa mereka boleh mempertahankan kedudukan dengan pengaruh ‘incumbency’ yang mereka bakal perolehi.

Apa yang dilakukan oleh DAP sememangnya memberikan kebaikan kepada parti itu, tetapi tindakannya itu telah membantutkan sokongan orang Melayu kepada PAS dan PKR sendiri. Oleh kerana itulah PR akhirnya tidak berjaya memenangi DUN di Negeri Sembilan, misalnya kerana diatas beberapa isu yang dilakukan oleh DAP, PKR telah gagal untuk memenangi satu kerusi pun dalam kawasan Kuala Pilah. PKR yang rata-rata dianggapkan akan memenangi tiga kerusi DUN di kawasan Kuala Pilah akhirnya kecundang kerana ribuan yang sepatutnya memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat telah kembali memberikan sokongan kepada UMNO dan BN.

DAP walaupun menang dalam kesemua kerusi yang ditandingi mereka, PKR dan PAS pula kecundang dan rata-rata keluarga dan rakan-rakan yang hampir dengan saya memberitahu yang ‘intrigue’ yang dilakukan oleh DAP itu hanya boleh di applikasikan hanya sekali sahaja. Selepas ini orang Melayu akan lebih berhati-hati dan akan melihat tindakan parti itu dengan lebih khusus lagi.

Tetapi itulah politik disini. Kadangkala strategi menjadi, kadangkala kecundang. Tetapi yang nyata di Negeri Sembilan, misalnya peralihan sokongan dan tumpuan bagi mereka yang berada diatas pagar bermula dari saat parti itu mengumumkan tiada orang Melayu dan Islam menjadi calon dalam pilihanraya itu. Itu amat bertentangan dari janji-janji awalnya. Ia telah mengakibatkan PAS dan PKR kecundang di kawasan-kawasan majoriti Melayu di timur negeri itu.

Niat dan cita-cita untuk merasakan kuasa di Putrajaya tidak kesampaian dan parti itu terpaksalah mencari dan mendapatkan strategi yang baru bagi mendapatkan sokongan kali ini. Oleh itu dalam situasi sebegini jika parti-parti yang di dominasi oleh kaum Cina boleh bersatu mereka boleh menjadi saingan kuat kepada DAP dihari muka dan pastinya situasi kali ini akan berlainan secara 'total' jika mereka (MCA,SUPP dan Gerakan) berjaya memperbaiki keadaan.

Proses pemulihan bagi parti-parti MCA, SUPP dan Gerakan akan hanya tercapai jika masing-masing sedar betapa perlunya mereka melakukan perubahan secara jelas dan telus. Jika parti-parti ini dapat menunjukkan kejujuran kepada rakyat dengan niat yang difahami bersih, tidak ada sebab kenapa parti-parti itu akan kembali mendapat tempat dihati rakyat yang ramai.

18 July 2013

Alvin, Vivian, Zulkifli Noordin dan lain-lain mesti diambil tindakan

Di waktu negara sedang menghadapi ketandusan kepimpinan ini, banyak isu dan perkara yang tidak berpatutan timbul hasil dari kekurangan kepimpinan itu. Segala cita-cita perjuangan negara bukan sahaja terbantut malahan keadaan bertambah buruk dan menakutkan.

Semua bercakap isu yang mereka tidak memahami dengan betul atau bercakap tanpa kejujuran. Isu penyatuan kaum adalah isu besar yang di sebut oleh semua pihak baik dari pihak kerajaan mahu pun dari pihak pembangkang, tetapi tidak ada satu pihak pun yang jujur tentang perjuangan yang mereka laungkan.

Sekarang timbul isu besar lagi. Isu hasil dari kelakuan nakal sepasang anak muda, Alvin Tan dan Vivian menjadi isu dan semua pihak bercakap, tuduh menuduh diantara satu dengan lain sehingga menjadi panas dan membosankan. Keadaan semakin merumitkan sampaikan tidak siapa lagi yang boleh memberikan punca kenapa keadaan politik ini menjadi sebegini rupa.

Saya percaya jika ada satu pihak yang lebih betul dari pihak yang lain tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Jika ada pihak yang betul tentulah ramai yang akan memihak kepada yang betul kerana di situlah ‘sanctuary’ kepada rakyat yang sedang dalam pencarian. Isu seperti ini bersabit dengan kepimpinan, samada pimpinan yang lemah atau pun pimpinan yang tidak jujur atau oleh kerana kedua-duanya sekali.

Jika perkara tidak serius masakan pasangan Alvin dan Vivian ini boleh melakukan perkara yang sejahat yang mereka lakukan terhadap agama kita? Tetapi keburukan yang sangat jahat yang dilakukan oleh pasangan muda ini tentulah bersebab. Mesti ada puncanya. Kenapa mereka yang masih muda sudah pandai menyentuh dan menyakitkan kita dengan provokasi yang mereka lakukan itu?

Puncanya itulah yang wajib kita fahami dan diperbaiki. Kalau kita lihat dan pandang betul-betul, mereka yang menjadikan isu ini lebih panas ialah nama-nama seperti Zulkifli Noordin, Bung Mokhtar dan beberapa orang yang lain dalam mana nama-nama ini adalah nama-nama yang tergulung kepada ‘tin-tin kosong’ yang tidak mampu memberikan tambah nilai kepada politik negara kita.

Betul, mengambil tindakan terhadap pasangan muda ini adalah amat wajib kerana tidak ada siapa yang beragama akan merestui perlakuan mereka. Tetapi saya tidak salah jika saya katakan yang keadaan ini berlanjutan kerana pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan itu tidak bersikap adil. Kenyataan-kenyataan mereka-mereka seperti Zulkifli Noordin, Ibrahim Ali dan ramai lagi yang bersifat provokatif terhadap agama lain tidak pula diambil tindakan.

Selagi sikap berat sebelah pihak penguasa dan mengambil tindakan secara ‘selective’ maka selagi itulah isu-isu seperti ini akan berlaku tanpa henti. Sekarang budaya provokasi diantara agama ini sudah berlarutan dan ini tidak akan selesai selagi tidak ada tanda-tanda pihak berkuasa berkemampuan untuk bersikap adil dan saksama.

Seperti ibu-bapa yang mempunyai sikap ‘limau masam sebelah’ terhadap anak-anak, kerukunan keluarga itu tidak akan tercapai. Tidak akan aman keluarga yang kita pimpin jika kita sendiri mempunyai sifat ‘limau masam sebelah’ itu. Anak-anak tidak akan berasa aman dan tidak akan menghormati diantara satu dengan lain dalam keluarga itu.

Sebagai penguasa kepada keluarga kita mesti mempunyai kesabaran yang tinggi. Jika marah tidak boleh ditunjukkan marah kita secara berlebihan. Bak kata orang tua-tua, ‘jika harimau yang ada di dalam diri kita, kita keluarkan kambing’. Kita mesti mampu untuk menyejukan keadaan.

Tetapi dalam isu Calvin dan pasangannya ini, semua pihak telah memanaskan keadaan sehinggakan orang yang bergelar Ahli Legislatif seperti Bung Mokhtar bercakap lebih cepat dari berfikir. Beliau telah menuduh seorang Ahli Parlimen yang lain bertanggungjawab diatas perlakuan Calvin dan pasangannya itu. Ini adalah satu tindakan yang amat memalukan bukan sahaja kepada kita yang mendengarnya tetapi sepatutnya ia juga akan memalukan dirinya sendiri.

Bagi saya ‘by all means’ pasangan Alvin dan Vivian ini mesti di ambil tindakan. Tetapi kita juga ingin melihat Zulkifli Noordin juga diambil tindakan yang sama kerana beliau telah melakukan kerja yang lebih buruk dari pasangan muda ini dalam isu provokasi agama ini.

Tetapi Zulkifli Noordin tidak diambil tindakan malahan diberikan pula penghormatan parti untuk menjadi calon bagi parti pemerintah dalam pilihanraya yang lalu. Tindakan memberikan kestimewaan terhadap Zulkifli ini merupakan satu tindakan yang ‘beyond comprehension’ bagi mereka yang mempunyai pemikiran walaupun serendah mana pun pemikiran mereka..

Tidak ada pihak yang befikir dan bertindak secara jujur. Jika ada pihak yang jujur dan meyakinkan, keadaan seperti ini tidak akan terjadi. Sebelum pilihanraya baru-baru ini ada pihak yang telah memanaskan isu kalimah Allah yang begitu sensitif walaupun pilihanraya sudah hampir tiba. Entah kenapa isu itu ditimbulkan dalam ucapan resmi dan ini menjadikan isu keagamaan itu tidak mampu dikawal sehingga hari ini.

Pendeknya tidak ada pihak yang boleh diharapkan untuk menjadi penyelesaian terhadap isu perpecahan diantara kaum dan agama ini. Semuanya bermain politik kepartian yang tidak ada tolok bandingnya. Masing-masing hanya mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasilkan keuntungan bagi parti dan kehendak peribadi masing-masing.

Setakat ini tidak ada satu pihak pun yang berkemampuan untuk menjadi sandaran dan harapan untuk melakukan penambah-baikan terhadap isu sensitif agama dan perkauman ini.

Masing-masing mendapat kejayaan diatas keperitan orang lain dan ini tidak akan kekal lama. Kebenaran akan timbul juga akhirnya secara ‘natural’. Sikap bohong itu adalah  sifat mustahil bagi Tuhan yang Maha Adil dan Saksama itu. Kita tunggu sahaja.

“God tells no lies’.

17 July 2013

Kalau hendak menempah songkok, jangan tempah dari tukang kasut

Sahabat rapat saya pernah memberitahu rakan-rakan, kalau hendak menempah songkok, tempahlah dari orang yang mahir membuat songkok. Jangan menempah songkok dari pembuat kasut, nanti songkok akan rupa kasut. Di sebaliknya jangan menempah kasut dari pembuat songkok kerana kasut kita akan diperbuat dari bahan-bahan untuk membuat songkok dan kasut itu tidak akan tahan lama.

Maksud kata-katanya itu ialah jika diberikan satu tanggungjawab kepada orang yang tidak ahli, maka tanggungjawab itu tidak akan terlaksana dengan baik seperti yang sepatutnya. Itulah sebabnya jika diberikan amanah kepada orang yang rasuah maka amanah itu akan di lalaikan kerana orang rasuah hanya pandai dan berfikir bagaimana hendak mendapatkan wang dan harta secara rasuah.

UMNO mempunyai kecenderungan besar untuk melakukan kesilapan ini kerana UMNO tidak serius dalam apa yang di laungkannya. UMNO memberikan tanggungjawab untuk menjayakan satu-satu matlamat kepada mereka yang tidak faham tentang matlamat yang diberikan kepada mereka. Jika diberikan tempat yang tinggi untuk menjaga harga barang makanan seperti harga ayam misalnya, harga ayam akan menjadi lebih tinggi lagi.

Apabila tidak berjaya menjaga dan mengawal harga ayam itu, dia akan menuding jari kepada pengguna dan meminta pengguna supaya tidak makan ayam. “Tukar menu” katanya dengan tidak bertanggungjawab.

Dalam hal kepimpinan sesebuah negara mereka yang sepatutnya dipertanggungjawabkan ialah mereka yang mempunyai sifat ‘magnanimity’ yang tinggi. Perdana Menteri tidak boleh melantik sesiapa yang hanya pandai ‘menggeli pundi-pundi’nya sahaja. Siapa yang membuatkan dia sedap yang itulah yang dipilihnya. Selalunya sesiapa yang pandai mengampu itu adalah mereka yang tidak mempunyai kepandaian.

Orang yang tidak mempunyai kepandaian akan mengampu dan membodek lebih dari mereka yang mempunyai kepimpinan dan pandai melakukan dan melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Kalau seseorang itu orang yang pandai ia tidak perlu mengampu dan ‘menggeli pundi-pundi’ Perdana Menteri sahaja. Mereka mengampu kerana hendak menutupi kelemahan mereka sendiri.

Bagi seorang pemimpin utama yang mempunyai kuasa melantik pula, nilai samada dia seorang yang betul cemerlang juga bergantung kepada ketahanannya untuk menolak pengampu-pengampu itu. Jika dia seorang yang betul-betul mempunyai kredibiliti yang benar, beliau akan dengan sendirinya tahu yang mengampu beliau itu adalah orang yang tidak pandai melaksanakan tanggungjawab jika diberikan tugas. Tetapi jika beliau tidak tahu yang pengampu-pengampu itu tidak akan membantu beliau untuk melaksanakan dasar yang digubal beliau akan melantik mereka untuk menyertai kabinet misalnya.

Tetapi oleh kerana kelemahan pucuk pimpinan maka beliau telah melantik mereka-mereka yang pandai berlakun dihadapan beliau dan mengampu sepanjang masa. Jika PM Najib benar-benar seorang yang serius untuk melaksanakan janji-janjinya untuk memajukan negara, beliau sepatutnya melantik mereka yang berwibawa untuk diberikan apa-apa tanggungjawab terhadap kepentingan negara.

Tetapi hakikatnya PM Najib adalah seorang yang lemah, sehinggakan apa yang dirancang yang besar-besar untuk negara telah tidak diyakini rakyat apabila melihat tukang kasut diberikan tanggungjawab untuk membuat songkok dan tukang songkok diberikan tugas untuk membuat kasut seperti yang saya sebutkan tadi.

Mahu tidak mahu kita wajib mengakui hakikat ini. Bagimana kita hendak menolak hakikat ini jika sebuah agensi kerajaan yang sangat penting kepada rakyat seperti Tabung Haji diberikan kepada Azeeez Rahim misalnya. Bagaimana rakyat hendak menambah keyakinan terhadap Najib jika Azeeez Rahim dijadikan orang penting untuk melaksanakan dasar yang digubal kerajaan itu? Bagaimana kita meminta serigala untuk menjaga kambing belaan kita?

Kita bukan cemburu kepada Azeeez itu tetapi kita memandangnya dari sikap dan kredibiliti orang yang melantiknya. Azeeez tidak perlu dipersalahkan tetapi orang yang melantik beliau itulah yang salah. Hanya yang kita tahu, keputusan beliau (Najib) melantik Azeeez Rahim itu sudah cukup untuk menilai setara mana kewibawaan kepimpinan Najib itu sendiri?

Itulah sebabnya UMNO sudah hilang banyak keyakinan dari rakyat dan juga dikalangan ahli-ahlinya sendiri. PM Najib seolah-olah sudah tidak tahu lagi mengenali buah bacang dan buah epal. Tidak kenal beza diantara beruk dengan kera. Tidak kenal perbezaan diantara kerbau dengan lembu, jauh sekali untuk menentukan berbezaan diantara rasa daging lembu dan kerbau.

Najib tidak kenal diantara orang baik dengan pemimpin baik. Najib benar-benar seorang pembawa dalil hari hendak kiamat. Yang baik dikatanya buruk dan yang buruk dianggapnya baik. Jika beliau sudah tidak tahu yang mana satu hitam dan yang mana satu putih maka tidak hairan jika rakyat dan ahli-ahli UMNO merasa keliru kesemuanya.

Kalau ada pun sedikit peluang untuk UMNO dan BN itu kekal, ia adalah disebabkan kelemahan pihak ‘alternative’ pula. Jika kedua-dua pihak mempunyai kelemahan yang nyata maka kelebihan UMNO itu hanyalah diatas pengaruh ‘incumbency’ yang ada kepada mereka sahaja.

Ada parti-parti dipihak pembangkang pun mempunyai isu yang tidak sejalan dan selari dengan apa yang mereka laungkan. Di situ sahajalah ada sedikit peluang untuk UMNO kekal dengan kelebihan kerusi yang kecil dari pembangkang dalam PRU yang akan datang.

Isu itu mungkin boleh kita sebut dan bahaskan apabila sampai masa dan ketikanya nanti.