Anwar berkata ‘Pakatan Rakyat is
the rightful government to this country’ kerana mendapat 52 peratus dari undi rakyat negara ini dalam pilihanraya yang lalu. Kerjasama secara tidak
formal ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu telah berjaya mengumpul
sebanyak 52 peratus dari undi rakyat berbilang kaum dalam PRU yang lalu
walaupun BN memenangi dalam jumlah kerusi yang di pertandingkan. Itu sistem
kita selama ini, dalam mana pihak yang mendapat jumlah kerusi yang terbanyak
akan menjadi kerajaan.
Tetapi jumlah sokongan rakyat
sebanyak 52 peratus itu mungkin tidak lagi menjadi kenyataan jika pilihanraya
diadakan sekali lagi kerana tentunya sebilangan besar dari penyokong PAS tidak
lagi akan menyokong Pakatan Rakyat apabila isu hukum hudud timbul. DAP menentang
keras hukum hudud itu walaupun suatu ketika dahulu pimpinan utamanya telah
berjanji untuk menghormati perjuangan bangsa dan agama lain dinegara ini.
Apa pun DAP ada hak untuk tidak
bersetuju kerana Islam itu bukan agamanya kepada kebanyakan pemimpin dan ahli
parti itu. Malahan parti itu telah meminta PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat
dan sekali gus dari segi moralnya Pakatan Rakyat hanya mempunyai dua parti
sahaja dalam Pakatan pembangkang itu. Justeru peratusan sokongan yang memihak
kepada pembangkang sudah pastinya berkurangan dari 52 peratus yang digembar
gemburkan itu.
Jadi pengakuan Anwar yang PR itu
merupakan pihak yang secara politik dan moralnya adalah parti yang sepatutnya
menjadi kerajaan itu sudah tidak relevan lagi. DAP telah dengan jelasnya
meminta PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan parti itu berkata yang dalam politik
tidak ada persahabatan dan permusuhan yang berkekalan, maka DAP merasakan ini
adalah masanya untuk mengambil tindakan berpisah dengan PAS kerana perbezaan
yang sangat jelas dalam banyak hal perjuangan dan matlamat parti masing-masing.
Seandainya PAS benar-benar tidak
lagi bersama dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak akan menghadapi masalah moral
kerana sememangnya dari awal penubuhannya, perjuangannya adalah untuk meningkatkan
Islam yang hendak diaddinkan dalam pentadbiran kerajaan negara ini. Malahan
jika PAS benar-benar parti yang mempunyai moral dan maruah yang tinggi, parti
itu sepatutnya menyahut cabaran DAP itu kerana ini merupakan keputusan yang
menjadi penentu kepada masa depan parti itu samada parti yang boleh diyakini
dan tidak berbohong dipandangan mata rakyat.
PAS boleh memberikan penjelasan
yang baik dalam isu hudud ini jika parti itu benar-benar mahu melaksanakan
hudud di negeri Kelantan. Kelantan adalah salah sebuah negeri yang menganggotai
Persekutuan ini dan Kelantan adalah sama seperti negeri lain yang memberikan
sumbangan kepada kedaulatan negara. Kedaulatan negara datangnya dari penyertaan
negari-negeri yang berdaulat dalam Persekutuan ini kerana negeri itu juga
mempunyai legislatif nya sendiri.
Tiada apa salahnya jika negeri
itu mempunyai undang-undangnya sendiri yang berlainan dari undang-undang
diperingkat persekutuan dan negeri-negeri yang lain. Amerika Syarikat juga
adalah sebuah negara Persekutuan yang dianggotai oleh 52 negeri di dalamnya dan
ada negeri-negeri dalam Amerika Syarikat yang mana sebahagian dari
undang-undangnya berbeza dengan undang-undang dinegeri-negeri lain dalam AS
itu.
Maka tidak ada kesalahannya jika
di Malaysia
ini Kelantan dibenarkan melaksanakan hukum hudud itu memandangkan negeri itu
mempunyai 97 peratus dari rakyatnya adalah dikalangan orang Melayu yang
beragama Islam.
Hanya yang perlu menjadi fokusnya
sekarang ini, tentukan undang-undang hudud itu adalah hudud yang sebenarnya dan
ini belum ternyata lagi berjaya atau gagalnya perlaksanaannya di Kelantan.
Malahan sebagai seorang Islam saya ingin melihat undang-undang hudud ini
terlaksana di Kelantan yang akhirnya nanti dapat membezakan undang-undang mana
yang lebih baik dari yang ada sekarang ini.
Alasan hudud ini menyalahi
perlembagaan negara adalah alasan yang lembek. Negeri-negeri berdaulat itu ada
undang-undang tubuh dan enakmen syariahnya sendiri yang boleh dipinda untuk
kehendak rakyat negeri itu. Yang penting kerajaan persekutuan memberikan
sokongan yang secukupnya bagi negeri ini untuk melaksanakan undang-undang itu.
Kita bersetuju yang undang-undang
hudud ini wajar dilaksanakan dengan begitu berhati-hati agar ia tidak
menjejaskan negara, tetapi ia tidak semestinya menjadi alasan kenapa hudud itu
tidak perlu dilaksanakan di Kelantan. Mungkin ia memerlukan penglibatan ramai
sadaqiah Islam peringkat antarabangsa yang berwibawa untuk membantu bagi
perlaksanaan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum itu di negeri Kelantan yang
97 peratus dari rakyatnya yang beragama Islam itu.
Mungkin bukan mudah untuk
memulakan perlaksanaannya tetapi tidak salah untuk diusahakan dan memulakan
perlaksanaannya dalam keadaan berhati-hati dan cermat. Yang pentingnya dalam
tidak beberapa lama selepas perlaksanaannya kita dapat membuktikan hukum dan
undang-undang Islam itu mampu untuk menunjukkan kewibawaannya dari hukum-hukum
civil yang ada hari ini.
Jika ia gagal menunjukkan bukti
itu maka yang gagal nanti ialah PAS, bukannya hukum Allah itu. Kegagalan
adalah sifat mustahil bagi Allah s.w.t..
Tiada apa yang gagal bagi Allah kerana nyawa dan nafas kita sendiri
adalah dari Allah dan terbentangnya dunia dan alam ini adalah kenyataan
kehebatan yang mustahil boleh dibandingkan dengan sesuatu.
Masakan hukum dan undang-undang
agama yang diturunkannya itu adalah undang-undang yang gagal memberikan
keadilan kepada umat sejagat.
Berbalik kepada isu sokongan 52
peratus kepada PR yang di sebut oleh Anwar itu, hakikat sebenarnya sekarang ini
keadaan 52 peratus yang memihak kepada PR itu bukan lagi satu kenyataan dan ia
telah menjadi sejarah bukan kerana sesiapa tetapi kerana PR itu sendiri.