30 December 2006

21. Balik ke zaman dulu

Kerajaan dan pimpinan sekarang, sudah kita fahami yang mereka tidak sensitif kepada keresahan rakyat. Mereka tahu rakyat susah tetapi sampai masanya kita dipaksa membayar kemudahan asas yang mahal.

Oleh kerana itu, kesusahan akan mendatang kepada kita semua dengan cepat, kita terpaksa hidup secara orang tua dulu-dulu. Saya ceritakan sedikit bagaimana hidup yang saya alami di kampung sebelum kemudahan asas sampai ke kampung. Hidup ala orang pedalaman boleh meringankan kehidupan kita yang semakin hari semakin terhimpit oleh kesusahan.

Untuk makanan, kita utamakan makan sayur-sayur seperti sawi, bayam dan sayur-sayuran yang hijau. Yang disebutkan ini masih murah. Jadikan sayur-sayur ini sebagai menu utama dan goreng ayam seketul dua sebagai menu tambahan. Saya tidak mencadangkan goreng ikan sebab ikan mahal harganya. Nasinya kita guna beras hancur. Harganya masih murah, boleh didapati di kedai-kedai runcit kaum India. Kita berdoa agar sayur-sayuran ini pun tidak akan dicukai kerajaan. Kalau dicukainya sayur pula nanti, tidaklah kita tahu apa yang akan terjadi.

Kalau ke pejabat, pergi dengan menumpang kenderaan orang lain dan ambil giliran untuk orang lain menumpang kita pula keesokkan harinya. Semasa pergi kerja bawa makanan dari rumah beserta air minuman sekali seperti orang pergi ke sawah. Jumlah wang yang kita simpan dengan cara hidup begini boleh kita bayarkan ke tol. Di zaman pentadbiran sekarang ini kita mesti berhati-hati berbelanja, kalau boleh kita simpan sedikit, bukan untuk bekalan tua tetapi untuk membayar entah apa lagi cukai yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti.

Kalau hendak kurangkan bayar bil letrik yang sudah pun naik, kita pakai pelita minyak tanah. Kita kena balik hidup seperti saya semasa kecil dahulu. Kalau pakai pelita jangan lupa bersihkan lubang hidung apabila bangun esok paginya kerana hidung kita akan berjelaga. Saya faham kehidupan seperti ini kerana itulah cara hidup saya di kampung sehingga pertengahan tujuh puluhan dahulu. Kalau hendak makan daging, kita belinya semasa hari raya sahaja.

Dalam bidang kebersihan diri, kita guna arang kayu untuk gosok gigi. Inilah cara orang tua-tua dahulu membersihkan gigi mereka. Itu sebabnya orang dulu gigi mereka boleh bertahan lama.

Bagi wanita tidak payah pakai bedak yang mahal-mahal. Pakai sahaja bedak nyonya, kerana ia tahan lama. Seketul bedak nyonya harganya hanya RM3 sahaja dan boleh tahan hampir setahun. Bedak nyonya ini masih boleh didapati dengan harga murah di PJ Old Town dan di Bahau. Bedak-bedak mahal ini biarlah menteri-menteri wanita serta isteri- isteri menteri sahaja yang pakai. Menteri pakai kereta kerajaan, mereka tidak payah bayar tol. Minyak kereta mereka pun ditanggung oleh kerajaan, jadi mereka tidak merasa betapa pahitnya hidup seperti rakyat biasa.

Kalau hendak balik kampung, hanya mampu balik setahun sekali iaitu semasa hari raya puasa. Kalau boleh naik bas sahaja. Dari Kuala Lumpur ke Bahau memakan masa empat jam setengah. Walaupun memakan masa yang lama tetapi kurang belanja.

Ini semuanya cara orang-orang tua kita hidup semasa dahulu. Oleh kerana kekayaan negara kita hanya untuk orang yang eksklusif sahaja maka kita kena sedar diri kita semua. Kita tidak layak untuk hidup selesa seperti pemimpin dan orang-orang di sekeliling mereka. Tugas kita hanya untuk mengundi mereka yang berkuasa untuk mereka hidup senang lenang.

Kita ahli-ahli UMNO di bawah ini, pandai-pandailah membawa diri. Tugas kita adalah untuk melaungkan istilah SOKONG! SOKONG! baik dalam mesyuarat agung UMNO cawangan, perwakilan Bahagian dan seterusnya di Perhimpunan Agung di PWTC setiap tahun. Samada mereka memerintah secara baik atau sebaliknya tidak penting. Yang penting diumumkan dahulu yang dia bukan Perdana Menteri satu penggal. Di Perlis ada seorang pemimpin cadangkan jawatan MB dipegangnya seumur hidup dan macam-macam kegilaan lain.

Dengan langkah-langkah ini, kita jadi bersedia untuk mengubah cara dan gaya hidup kita seperti yang disarankan oleh Dato Seri Najib.

WASSALAM

29 December 2006

20. Lidah jenis apa ?

Saya ingin terus menulis tentang pesanan dan nasihat Saidina Ali k.wajhah kerana nasihatnya itu adalah nasihat yang paling berkesan setidak-tidaknya kepada diri saya sendiri. Satu lagi pesanannya ialah ‘sifat seseorang itu terselindung di sebalik lidahnya’. Itulah sebabnya apabila seseorang itu jika bersifat tidak ikhlas dan kurang moralnya lidahnya itu akan dengan sendirinya memberikan gambaran sebenar sifat seseorang itu. Seorang yang lemah, pembohong atau pun seorang yang tidak ikhlas dan tidak jujur boleh dilihat dan didengar melalui lidahnya kerana lidahlah yang menyimpan rahsia sifat seseorang itu.

Menilai peribadi pemimpin amat mudah melalui lidah ini, kerana pemimpin selalu bercakap di media masa dari pagi hingga ke malam. Kata-katanya sentiasa didengar oleh rakyat dan rakyat boleh menilai setinggi mana darjat seseorang pemimpin itu terutamanya apabila rakyat sudah mula bersikap berhati-hati dengan pemimpin pada hari ini. Pemimpin tidak boleh lagi bercakap secara “hentam kromo” lagi kerana mereka sudah mula berfikir samada yang dikatakan pemimpin itu benar atau pun palsu.

Berjanji kepada rakyat dengan asas yang lemah untuk melaksanakan janji-janji tadi merupakan fenomena yang sangat tidak digemari mereka. Akhirnya rakyat memberontak di dalam hati mereka. Suatu hari nanti rakyat tidak lagi mahukan apa-apa daripada pemimpin mereka. Mungkin apa yang mereka mahu ialah supaya pemimpin-pemimpin hanya membuka mulut mereka selebar yang mungkin untuk melihat jenis lidah yang ada di dalam mulut pemimpin itu:
"lidah biawak ke atau lidah manusia... ??"

Janji untuk memerangi rasuah tidak sampai ke mana. Malahan rasuah bertambah subur. Pemimpin yang berimejkan rasuah masih kekal di dalam jemaah kabinet. Kalaupun mereka digantikan, rakyat sekarang ini bertanya, siapa yang akan menyertai kabinet baru nanti? Kalau digantikan dengan mereka yang bersifat yang sama bermakna kegiatan rasuah itu hanya digilirkan dengan yang orang yang sejenis juga.

Janji nak pastikan kontraktor mendapat pembayaran dalam tempoh satu dua minggu pun tidak ke mana. Terlalu banyak janji-janji kosong dibuat sehinggakan rakyat sudah tidak lagi berminat untuk mendengar cakap-cakapnya lagi.

Oleh itu kita semua patut menghayati segala pesanan Saidina Ali k.wajhah kerana itulah nasihat yang datangnya dari qalbu yang suci, yang tidak putus-putus bertawassul dengan Allah swt dan solatnya adalah solat yang daimun. Tidak perlu konsep-konsep seperti hadhari yang merupakan satu konsep yang terlalu ‘politically perverted’.


Sekian. WASSALAM.



28 December 2006

19. Pesanan Saidina Ali

Saya telah terbaca sebuah kitab kecil agama kita, dan saya amat tertarik dengan salah satu topik yang sangat berfaedah untuk dibaca oleh kita yang masih terlalu jahil dalam segala-galanya. Kitab yang saya maksudkan ialah kitab Nahjul Balaghah oleh Saidina Ali Ibn Thalib dan kitab Al-Bayan Wattabyeen oleh Al-mam Abu Othman Amru Ibn Bahr Al-Jaahidh r.a. Di dalamnya terdapat 40 nasihat Saidina Ali Karamallah huwajhah untuk semua umat islam sejagat.

Di antara 40 nasihat yang diberinya ialah, insan itu ada tiga jenis. Yang pertama ialah orang yang mengenal Allah, yang kedua ialah mencari kebenaran dan yang ketiga ialah orang yang tidak mengenal Allah dan tidak mencari kebenaran. Orang yang tergolong di kategori yang ketiga tadi ialah golongan yang paling rendah dan tidak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta tuli seperti kambing.

Nasihat ini tentulah satu nasihat murni dan luhur, lebih-lebih lagi ianya datang dari seorang Khalifah Al-Rashideen, salah seorang dari sepuluh sahabat yang dijamin ke syurga. Nasihat dari seorang aulia Allah ini tentulah lebih tinggi nilainya daripada nasihat Abdullah Badawi, Ong Ka Ting, Samy Velu, Lim Kheng Yeik, Dato’ Seri Najib, Mahadzir Khalid, Shahidan Kassim serta pemimpin-pemimpin yang lain.

Saidina Ali k.wajhah memberi nasihat dengan penuh kejujuran dan tiada motif lain selain dari untuk kebaikan umat, kerana dia tidak ada niat hendak jadikan menantunya menjadi khalifah dan untuk mendapat projek-projek untuk keluarganya ataupun untuk membeli kapal mewah dan sebagainya. Nasihat ini tentunya dibuatnya kerana dia tahu apa yang akan melanda masyarakat di akhir zaman ini. Itulah ilmu seorang aulia Allah.

Saya tidak mampu hendak membuat kupasan yang terperinci dalam isu ini tetapi jelas ianya adalah penyakit yang begitu menular di dalam UMNO kita. Tentunya ia merupakan satu fenomena yang sangat serius dan akhirnya menghancurkan kita semua. Secara kebetulan saya pernah menulis isu ini dalam tulisan saya sebulan yang lalu di dalam blogger ini yang bertajuk ‘Burung Balam’ dalam mana saya telah mengupas tentang budaya mengangguk dengan ketua walaupun ketua itu tidak membuat perkara yang baik. Tentunya fenomena ini merupakan salah satu penyebab yang membuatkan kita semua berada dalam keadaan yang ada pada hari ini. Budaya mengangguk ini rupa-rupanya adalah budaya yang sangat buruk mengikut pandangan Saidina Ali k.wajhah.

Setakat ini sahaja yang diizinkan masa untuk saya untuk membuat coretan kali ini. Baca dan fikirkanlah! Tanya diri kita sendiri samada kita tergolong di dalam kategori manusia yang mana hanya diri kita sendiri saja yang tahu.

WASSALAM



26 December 2006

18. Demokrasi dan semangatnya

Kita telah memilih demokrasi sebagai cara memerintah negara dan sistem ini digunapakai oleh banyak negara-negara maju terutamanya di barat. Prinsip asas kepada demokrasi ialah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat. Dengan kata lain, setiap rakyat berhak memilih siapa dan parti apa untuk memerintah mereka melalui proses pilihanraya. Siapa yang mendapat sokongan majoriti dialah yang menjadi pemerintah selama mana yang diperuntukkan oleh perlembagaan sesuatu negara itu. Pendeknya ‘majority rules’.

Di dalam sesebuah negara demokrasi, rakyat dibenar dan digalakkan untuk bebas bersuara serta memberi pendapat secara terbuka. Demokrasi membenarkan rakyat berpersatuan untuk memperjuangkan kehendak dan kemahuan ahli-ahli. Selain dari itu, rakyat bebas untuk mengamalkan agama masing-masing serta dilayan sama rata dan saksama. Yang dipilih pula menghormati kumpulan minority.

Itu merupakan demokrasi yang tulen, ala Westminster Abby. Walau bagaimnpun sistem demokrasi tidak semuanya mengikut ala Westminster Abby di England, kerana banyak negara mempunyai latarbelakang politik yang berbeza dan tidak memungkinkan cara demokrasi di barat itu boleh menjaga kesetabilan negara dan rakyatnya. Banyak negara terutamanya di timur jauh demokrasinya dipimpin bagi memudahkan proses pembinaan demokrasi ketahap yang lebih ideal dapat dilaksanakan secara beransur-ansur.

Tetapi yang lebih penting dalam demokrasi ini ialah memperkayakan semangat demokrasi itu. Semangat ini perlu dipupuk oleh pemimpin yang telah dipilih melalui peti undi tadi. Yang mendapat undi majoriti tidak semesti yang terbaik. Banyak pemimpin pemimpin negara demokrasi, walaupun telah dipilih, menghadapi situasi yang tertekan setelah memerintah kerana kegagalan memenuhi harapan rakyat yang memberi undi di dalam pilihanraya umum. Rakyat yang diberi hak bersuara tadi kadangkala mengadakan demonstrasi jalanan bagi menuntut pemimpin yang mereka pilih dahulu supaya meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pilihanraya yang baru diadakan.

Di sinilah semangat demokrasi jika ditadbir dan diterbiahkan secara baik boleh menyelamatkan keadaan. Ianya banyak bergantung kepada tahap moral seseorang pemimpin itu tadi. Bagi seseorang pemimpin yang mempunyai moral dan akhlak yang tinggi, dia tidak akan berasa terkilan untuk berundur semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara tadi. Mereka tidak akan mendabik dada mengatakan kepada umum yang dia bukannya Presiden atau Perdana Menteri satu penggal atau perkataan-perkataan yang serupa itu. Pemimpin itu patut tahu yang bukannya dia yang menentukan samada dia akan menjadi Perdana Menteri satu penggal atau dua tiga penggal. Itu adalah hak rakyat untuk menentukannya. Dengan kata-kata itu, maka dengan mudah sahaja rakyat ‘menyelami air di dalam tunggak’ dan faham betapa jeleknya pemimpin yang mengaku mentadbir negara yang demokrasi.

Datuk Husein Onn adalah pemimpin demokrasi yang boleh dijadikan contoh yang paling baik. Semangat demokrasi beliau adalah tulen. Semasa beliau mengambil alih kepimpinan negara beliau mewarisi masalah berhubung dengan isu Dato Harun Idris, ketua pemuda UMNO ketika itu. Sedikit sebanyak beliau tahu yang ada segelintir rakyat dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan beliau walaupun beliau mendapat sokongan padu dari Majlis Tertinggi dan Badan-Badan perhubungan UMNO. Beliau dapat merasakan yang perasaan itu wujud di bawah dan sebahagian kecil rakyat jelata. Beliau mengakui yang Dato Harun Idris juga mempunyai penyokong yang besar.

Kalau hendak dikirakan kekuatan Datuk Husein tiada siapa yang boleh menyangkalnya. Maklum sajalah beliau Perdana Menteri. Kuasa yang ada di tangan beliau bukan kepalang besarnya. Kumpulan yang tidak puas hati tadi telah mencalonkan Tuan Haji Sulaiman Palestin, ketua penerangan UMNO untuk mencabar beliau sebagai presiden parti, sebagai tanda protes pada pemilihan parti pada tahun 1978. Tuan Haji Sulaiman hanya mampu meraih hanya 125 undi yang kebanyakkan datang dari perwakilan Selangor dan selebihnya memberi sokongan kepada Datuk Husein Onn.

Walaupun beliau mendapat begitu besar sokongan, beliau merasakan yang beliau perlu hormat kepada pihak minoriti tadi. Beliau tahu ada tanda-tanda sebahagian rakyat tidak menyokong beliau. Di atas semangat cintakan Parti, rakyat dan negara beliau telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden yang disandang beliau pada pemilihan pada tahun 1981 dan memberikan jawatan beliau kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad. Beliau meletakkan jawatan dengan diiringi tangisan rakyat dan ahli UMNO sendiri. Walaupun banyak bahagian UMNO yang menghantar memorandum meminta beliau meneruskan memimpin kita beliau tetap dan bertegas untuk bersara. Seluruh rakyat amat merasakan kehilangan beliau ketika itu. Seluruh rakyat mendoakan kesejahteraan beliau.

Itulah satu insiden yang masih jelas dalam ingatan saya sebagai perwakilan dari bahagian Kuala Pilah waktu itu. Sifat ‘Gentleman’ beliau begitu tinggi dan inilah contoh yang patut diteladani oleh pemimpin pada hari ini. Beliau bersara dan menjalani hidup secara simple selepas itu, sehingga akhir hayat beliau, tanpa kapalterbang jet tanpa kapal-kapal mewah di mana-mana lautan.

Semoga roh beliau diletakkan sebaris dengan roh-roh yang mukmin serta aulia- aulia allah. Amin, Yarabbal aalamin.

WASSALAM.

24 December 2006

17. Melayu Dalam Pencarian

Saya pernah menulis tentang pemikiran orang melayu yang sudah berubah sejak akhir- akhir ini. Mereka sudah mula tercari-cari alternatif kepada UMNO yang mereka rasakan sudah tidak peduli tentang menifestasi mereka yang inginkan pemerintah yang telus dan jauh daripada perkara mungkar. Malah seorang teman pernah berkata “UMNO dan Rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.” Tanpa UMNO rasuah susah hendak berkembang, dan tanpa rasuah UMNO susah hendak kekal memerintah.

PAS merupakan alternatif yang paling hampir kepada mereka. Malahan di kalangan wargakota, PAS mendapat tempat yang selesa di sanubari mereka. Mereka tahu bahawa PAS kecundang dalam banyak pilihanraya kerana peranan media perdana yang telah memburuk-burukan imej PAS pada pandangan mata orang ramai, sedangkan PAS adalah parti halal yang dibenarkan mentadbir kerajaan persekutuan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Sebagai ahli UMNO saya terasa juga cemasnya, tetapi saya nampak pucuk pimpinan tidak menampakkan perasaan cemas mereka maka saya pun berdiam diri. Sebenarnya PAS sudah banyak berubah daripada parti ‘orthodox’ kepada parti yang boleh membawa selera rakyat khususnya kaum melayu. Kalau dahulu parti ini sentiasa membawa imej pembangkang, tetapi sekarang parti ini sudah mula membawa imej alternatif. PAS sedar, selagi mereka membawa imej pembangkang, selagi itulah mereka akan menjadi pembangkang hingga akhir zaman. Sekarang dengan penyertaan ramai cendiakawan melayu, maka PAS sudah mula menampakkan imej alternatif kepada UMNO dewasa kini. Mereka sekarang sudah bersedia menampilkan muka-muka yang berkemampuan dan boleh mentadbir negara dengan baik.

Mereka sedar keadaan pada hari ini sangat subur untuk PAS mendapatkan sokongan pengundi dan kita perlu akui bahawa mereka boleh memerintah jika ada sokongan. Kita dalam UMNO tidak boleh memomokkan lagi PAS pada hari ini kerana masalah dalaman yang dihadapi UMNO sendiri. Rakyat susah hendak percaya jika pemimpin kita dalam UMNO memainkan isu-isu keburukan PAS kerana yang akan bercakap bagi pihak kita adalah dari mereka yang sudah hilang ‘credibility’.

Orang melayu selama ini tidak mahu menghampiri PAS kerana ‘disposition’ PAS yang tidak secucuk dengan orang melayu. Contohnya saya dan ramai yang lain tidak mahu bersama-sama PAS kerana saya tidak mahukan orang-orang Melayu hilang identiti mereka dengan memakai jubah. Orang melayu dijadikan tuhan dengan identitinya sendiri. Saya tidak mahu melihat identiti Arab di sini. Sudah elok dan molek tuhan jadikan kita sebagai orang melayu; kenapa perlu kita tunjuk imej orang Arab?

Kita dijadikan tuhan berbeza-beza dan bersuku-suku untuk kita mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Bukannya hilang akidah kita dengan menjaga keperibadian unggul orang-orang Melayu. Tuhan bukan tengok dari pakaian kita, tuhan tengok dari iman, amalan dan ubudiah kita. Kita diminta berzikir dan bertawajjuh kepada-Nya bukan untuk tempelan-tempelan semata-mata. Fardhu ain merupakan perkara wajib untuk kita dilihat sebagai muslim, tetapi yang lebih penting ialah fardhu kifayah kerana itulah yang akan membawa kita ke syurga. Jubah tidak mampu membawa kita ke syurga, kerana jubah juga merupakan pakain Abu Jahal, kerana Abu Jahal itu adalah orang Arab.

Tetapi pada hari ini PAS sudah mula berubah. Pemimpin-pemimpin muda sudah mula menyertai parti itu dan kecenderungan orang-orang terpelajar untuk menyertai parti itu begitu ketara. Antara nama yang saya minati di dalam PAS ialah seperti Husam Musa, Dr Hatta, Dr Hasan Ali, Dr Rosli Yaacob, Mahfudz Omar dan Nasharuddin Mat Isa. Imej mereka sudah menampakkan kepimpinan. Mereka sudah berpakaian kemas dan mudah untuk berinteraksi. Walaupun saya ahli UMNO tetapi saya memberikan tabik hormat kepada pimpinan baru PAS pada hari ini. Zaman pemimpin PAS yang berpakaian kasut koyak dan berbau badan sudah menjadi sejarah. Sebaliknya, kita ahli UMNO yang sudah mula berpakaian yang tidak kemas kerana sudah kurang mendapat projek, kerana projek-projek adalah untuk segelintir pemimpin sahaja.

Jika UMNO masih belum bersedia untuk berubah, maka peluang untuk kita menjadi parti pembangkang terbuka luas. Kalau perlu diturunkan pemimpin yang merosakkan parti maka kita turunkan mereka. Rakyat sudah lama bersabar dan apabila sampai ke tahap yang tidak memungkinkan mereka bersabar lagi, UMNO akan mendapat hukuman daripada rakyat.


WASSALAM.

16. Balak membawa banjir

Saya tidak pandai hendak membaca hadith-hadith seperti sesetengah pemimpin besar kita, tetapi saya tahu yang banjir besar yang berlaku di Johor, terutamanya Segamat, Gemas dan selatan negeri Pahang adalah kejadian yang diminta-minta berlaku oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini. Apa yang diminta sudah dimakbulkan Tuhan. Pemimpin-pemimpin kita di negeri-negeri terutamanya menteri besar tidak berpandangan jauh dan terus sahaja mengeluarkan kayu-kayu balak kepada kroni masing-masing untuk memperkuatkan kedudukan di dalam parti dan kerajaan.

Hasil dari penebangan hutan yang tidak terkawal ini maka inilah hasilnya yang didapati oleh rakyat. Pepatah ada berkata ‘keruh di hulu, keruhlah di hilir’. Yang dapat kekayaan dari penebangan balak ini semuanya membina mahligai di atas kawasan yang tinggi. Yang menerima kesan buruknya adalah rakyat jelata yang dipengaruhi oleh media untuk mengundi mereka. Apabila pilihanraya menjelma maka hutan menjadi mangsa kerana ditebang untuk belanja pilihanraya.

Budaya mengeluarkan kawasan balak ini bermula semasa pertengah tahun 70an, untuk digunakan sebagai punca kewangan menghadapi pilihanraya. umum. BN yang baru dibentuk perlukan perbelanjaan besar ketika itu. Ini adalah disebabkan Perikatan hampir kalah pada pilihanraya 1969 oleh kerana taukeh-taukeh besar dari bangsa lain ketika itu tidak lagi memberi sokongan termasuk kewangan. Tetapi pemimpin-pemimpin di negeri-negeri sudah mengeluarkan balak ini dengan sewenang-wenangnya kepada penyokong- penyokong mereka untuk kepentingan dan kekayaan sendiri. ‘Compartment’ balak yang diluluskan oleh MB terus sahaja dijual kepada taukeh-taukeh tiong hua dan melayu bagi mendapat kekayaan kilat.

Saya memerhatikan dengan dekat suatu ketika dahulu permainan balak ini mampu untuk menaikkan pemimpin yang tidak berguna dan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengan pimpinan negeri. Pendek kata balak ini selain dari menghasilkan banjir besar ianya juga boleh menghasilkan pemimpin yang tidak berguna kepada rakyat jelata.

Hutan serta bukit-bukau ini adalah pasak kepada bumi ini. Ianya perlu dikekalkan dan dipelihara dengan baik untuk kesejahteraan manusia. Dengan kejadian di Johor terutamanya mestilah menjadi pengajaran kepada semua. Memang tidak munasabah hampir setengah negeri Johor ditenggelami air bah. Segamat memang diketahui umum sebagai tempat pengeluaran balak yang terbesar di negeri Johor. Gemas juga kawasan yang paling luas hutan simpan yang ditebang balaknya sejak 1980 hinggalah pada tahun 2003 dahulu. Walau bagaimanapun banyak ‘Compartment’ yang dikeluarkan oleh MB yang lalu telah dibatalkan oleh DSU Mohamad Hasan semasa beliau mengambilalih jawatan tersebut.

Banjir ini akan tiba lagi pada tahun hadapan. Kayu-kayan yang ditebang kalau pun ditanam semula tidak akan membesar dalam setahun. Kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mengelakkan kejadian buruk ini berulang. Maka ada lagi peluang untuk mengadakan projek besar selepas ini, dan pastinya kita boleh agak siapa yang akan mendapat projek-projek besar tersebut. Untung lagi mereka! Akhirnya rakyat lagi akan dicukai berlipat kali ganda. Kita di bawah hanya mampu melihat. Mereka yakin pilihanraya nanti mereka boleh menang. Kita dipersendakan oleh pemimpin-pemimpin sampai ke tua. Dari saat kita lahir sampai lah sakaratulmaut datang kita dipersendakan. Mereka hidup mewah di atas kesengsaraan rakyat.

WASSALAM.

23 December 2006

15. Melayu malap

Kalaulah Semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih dilaksanakan oleh kerajaan, sudah pasti kepincangan yang kita hadapi masa kini tidak akan seburuk yang kita alami sekarang. Yang menjadi mangsa orang melayu. Hampir kesemua orang melayu dalam kelas menengah sedang menghala kearah kepupusan., sedangkan untuk menjamin kestabilan negara, rakyat kelas menengahlah yang perlu dibesarkan. Malahan itulah sebenarnya cita cita UMNO yang asal.

Malangnya orang melayu tidak terkira. Peniaga melayu selain dari bersaing dengan orang bukan melayu, mereka terpaksa bersaing dengan agensi-agensi kerajaan dalam merebut peluang-peluang perniagaan di negara ini. Masalah ini ditambah pula oleh pengagihan kerja dalam projek-projek besar kerajaan tanpa tender yang terbuka. Saya yakin projek jambatan Pulau Pinang kedua sudah pun diperolehi oleh senarai syarikat-syarikat yang hampir dengan pemerintah.

Semasa zaman perlaksanaan DEB berjalan dengan begitu pesat kerajaan senantiasa melaksanakan program pembangunan yang terus dirasai oleh peniaga-peniaga bumiputra. Sebelum satu-satu program yang mana bumiputra mendapat faedah, kerajaan telah memberi penerangan begitu meluas, kadangkala sehingga dua tahun lamanya kerana kerajaan semasa itu mahukan rakyat faham tujuan sesuatu projek itu dilaksanakan. Di samping itu kita juga mendapat ‘feedback’ daripada rakyat tentang apa-apa masalah yang mungkin akan dihadapi termasuklah masalah politik. Dengan kata-kata lain rakyat bersama terlibat di dalam apa saja keputusan yang dibuat oleh pemerintah.

Semasa itu Jabatan Penerangan begitu aktif masuk ke kawasan pedalaman memberikan penerangan tentang isu-isu yang berbangkit. Sekarang ini rakyat tidak tahu pun apa yang ada di dalam perancangan kerajaan. Rakyat hanya tahu apabila projek-projek tersebut hendak dilaksanakan. Rakyat atau kumpulan NGO tidak boleh mengkritik. “I have the biggest ever mandate given by the People”, katanya. Mandat yang diberikan rakyat itu ialah untuk memerintah secara adil sambil membawa negara ke arah kemakmuran, bukannya untuk bertindak sesuka hati mengikut nafsu-nafsi beliau dan anak menantunya.

Kesusahan rakyat sudah mula sampai ke desa-desa menyentuh kehidupan seharian rakyat lebih-lebih lagi orang melayu. Anak-anak mereka yang berniaga dan bekerja di bandar-bandar sudah tidak dapat lagi membantu ibu bapa dan adik-beradik yang masih bersekolah. Harga barang di bandar sudah terlalu mahal. Ada wang sedikit sebanyak perlu disediakan untuk bayaran tol yang akan naik tidak lama lagi. Kerajaan tidak ada duit dan kita kena bantu kerajaan. Kalau kerajaan tidak ada duit nanti tidak ada projek untuk anak-anak pemimpin kita. Jadi tidak dapatlah hantar ke kampung sebanyak dulu. Sekarang ini datang pula banjir yang menenggelamkan hampir seluruh negeri Johor. Tidak dapat dibayangkan betapa susahnya saudara-saudara kita di sana. Kalau ditanya kepada pemimpin UMNO kita, kenapa fenomena ini berlaku, pemimpin akan menjawab itu adalah ketentuan tuhan. Mereka tidak sedar tuhan itu memberi apa yang meraka tentukan sendiri.

Banjir di Johor ini elok ditulis dalam rencana lain, kerana ianya patut kita jadikan pelajaran dan kesilapan kita jika benar kita orang yang mampu untuk melihat ke dalam diri kita sendiri. Yang penting bukan apa yang kita sudah pelajari, kerana yang lebih penting ialah kemampuan kita untuk belajar dari apa yang berlaku ini.

WASSALAM.

22 December 2006

14. Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Sebagai rakyat yang datang dari keluarga yang miskin, memang saya begitu terasa nikmat sedikit sebanyak dari perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari tahun 1970 sehingga tahun 1990 yang lalu. DEB adalah satu dasar yang telah digubal sebegitu rupa yang mana ianya adalah satu dasar yang telah berkemampuan membina asas ekonomi orang melayu ke tahap yang agak mantap. Pegangan ekuiti bumiputra melonjak begitu ketara dari 2.7 perataus pada tahun 1970 kepada 18.4 peratus pada tahun 1984. Sehari sebelum PM Mahathir turun meletakkan jawatan pada 2003 yang lalu beliau telah mengeluarkan angka rasmi pegangan bumiputra sebagai 18.6 peratus. Ini bermakna kenaikan pegangan bumiputra di antara 1985 sehingga 2003 hanyalah 0.2 peratus. Perlu diingat angka-angka ini termasuklah ekuiti yang dipeganag oleh badan-badan yang memegang kepentingan bumiputra seperti Tabung Haji, FELDA dan banyak agensi-agensi yang lain.

DEB merupakan dasar yang digubal oleh kerajaan pimpinan Tun Razak setelah membuat ‘soul searching’yang mendalam hasil dari kejadian berdarah pada 13 Mei 1969. DEB diterima oleh semua kaum yang pada masa itu memerlukan keamanan dan hidup saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Selain menjadi satu dasar yang kukuh, yang lebih jelas pada masa itu ialah perlaksanaan dasar yang begitu tersusun dan rakyat ramai menerima faedah yang secara terus dari perlaksanaan dasar itu.

Tun Razak senantiasa bersedia dengan pemimpin-pemimpin yang bersemangat dan memahami perasaan rakyat dan berkemampuan untuk menyempurnakan matlamat dasar tersebut. Antara pemimpin yang bertungkus-lumus ketika itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah, anak muda yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman dan digilap oleh Tun Abdul Razak. Tengku Razaleigh merupakan orang harapan Tun Razak untuk membantu melaksanakan DEB walaupun Ku Li hanya melepasi usia dua puluh tahun ketika itu. Selain dari teknokrat seperti Ku Li dan lain-lain, Tun Razak telah bersedia dengan pelaksanaan yang baik iaitu pegawai kerajaan yang begitu komited terhadap perlaksanaan dasar-dasar tersebut.

Pada waktu itu kami di bawah, bekerja begitu serius dan amat takut jika kami tidak mencapai kehendak penggubal dasar semasa itu. Siang dan malam kami bekerja dan kami tidak teringat pun hendak mencari komisyen atau mencari perniagaan semasa bekerja. Siang dan malam kita melihat angka pegangan kekayaan bumiputra dalam negara kita. Amat menyeronokkan kami melihat angka yang naik begitu baik sehingga angka itu meningkat ke paras 18.4 peratus semasa saya dan ramai rakan-rakan yang lain berehat pada tahun 1984.

Saya berasa amat kesal apabila DEB mulai diabaikan pada pertengahan dekad lapan puluhan. Kalau diteliti dari angka-angka tadi jelas yang peningkatan pegangan bumiputra amat ketara antara tahun 1970 sehingga 1984, dan kenaikan angka tersebut amat perlahan dari tahun 1984 ke tahun 2003.

Kenapa ada perbezaan? Kalau kita ingin menyemak sebab perbezaan ini, elok kita lihat dari segi siapa yang mengendali dan melaksanakan DEB tersebut. Apabila ada kecenderungan pemimpin hendak mencari kekayaan pada pertengahan dekad lapan puluhan dahulu maka DEB mulai dilalaikan. Terbantutlah usaha kita untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputra ke tahap 30 peratus pada tahun 1990, dan dihancurkan terus oleh kepimpinan pada hari ini. Kalau sanggup pembaca menunggu kupasan saya yang tidak sepertinya ini, tunggu coretan saya yang akan datang. Setakat ini sudah terlalu panjang tulisan ini. Orang kita susah nak baca rencana panjang-panjang.


Wassalam.




20 December 2006

13. Rais dan Utusan

Pagi ini saya mendapat pangilan telefon dari beberapa orang kawan meminta saya membaca Utusan Malaysia keluaran hari ini. Antara yang memanggil ialah kawan lama saya, namanya Adam seorang bangsa ‘tiong hua’ yang telah memeluk agama suci kita dan berkahwin dengan seorang eksekutif melayu di Kuala Lumpur. Apabila saya bertanya kenapa, dia berkata, “You should be proud of your state mate leader Rais Yatim! I am so exhilarated by his statement over Utusan-NST merger’s issue. I thought he was just like other ministers who dare not express their disagreement in the media. Have you met him lately?” Saya berseloroh “I have not met him for ages. I was still young when I last met him”. “You should read it bro, at last we can hear a Malay leader speaking”, katanya.

Saya terus sahaja ke kedai membeli surat khabar Utusan yang sudah sepuluh tahun saya tidak membeli dan membacanya. Maka tahulah saya kenapa si Adam serta kawan kawan lain tadi meminta saya membacanya. Memang benarlah kata kata kawan saya tadi . Setakat ini yang benar-benar jelas melahirkan perasaan tidak setuju dengan usaha menggabungkan Utusan dengan NST adalah DSU Rais Yatim. Dengan kenyatan beliau itu, ianya menunjukkan kepada kita bahawa masih ada pemimpin melayu yang bertegas dalam isu Utusan ini.

Saya coretkan cerita ini kerana peristiwa tadi membayangkan rasa dahaga rakyat di bawah ini untuk mendengar kata-kata yang menyejukkan bangsa melayu. Lebih lega lagi apabila pujian itu datangnya daripada seorang tiong hua yang menganut agama kita. Orang melayu sekarang merasakan yang mereka sudah tidak ada pemimpin lagi. Itu juga melambangkan betapa jeleknya rakyat memandang kepada mana-mana pemimpin yang megemukakan cadangan penggabungan itu.

Sikap DSU Rais ini tidak mengejutkan sesiapa yang tahu sejarah dan perjuangan orang melayu. Orang melayu patut diberitahu apa istimewanya Utusan kepada orang yang mengaku dirinya Melayu. Saya tidak pandai membuat kupasan tentang sensitiviti Utusan ini. Mungkin DSU Rais boleh membuat ‘articulations’ tentang isu ini dengan baik. Saya tidak sepandai dan sebijak beliau. Tetapi saya tahu dan bersetuju dengan beliau bahawa jika cadangan penggabungan ini tetap juga dilakukan maka itu merupakan pengkhianatan kepada orang melayu yang tidak ada tolok bandingnya. Saya rasa Hishamuddin Husein patut melayangkan kerisnya kerana jiwa dan roh orang melayu sudah hendak terjual. ‘Panglima tepuk’ Nazri Aziz senyap terus nampaknya.

Ramai yang mengharapkan agar orang seperti DSU Rais boleh meyakinkan pemimpin lain bahawa usaha gila ini wajib dibatalkan. Kita tidak boleh membuat keputusan hanya berdasar pertimbangan kewangan semata-mata. Kepada individu-individu yang inginkan keuntungan peribadi daripada usaha ini, elok dibatalkan niat buruk ini. Carilah jalan lain untuk mengisi kantung wang tuan-tuan semua. Gunakanlah kuasa secara jujur. Jangan tamak dan jangan jadi macam si kudung dapat cincin.


Saya tamatkan coretan ini dengan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato Seri Utama Rais Yatim kerana keikhlasan beliau ke hadapan menentang usaha yang menakutkan orang melayu ini.


WASSALAM.

19 December 2006

12. Siakap senohong

Dalam keadaan ekonomi yang terlalu meruncing ini, hanya rakyat sahaja yang berkorban. Yang terakhir ialah kenaikan tol untuk lima ‘concessionaires’ dalam kawasan Lembah Kelang. Alasan yang diberikan oleh kerajaan ialah masalah subsidi yang besar yang terpaksa di tanggung oleh kerajaan kepada ‘concessionaires’ tersebut. Di sini mari kita bertanya pada Samy Velu, apa kerajaan buat untuk membantu rakyat dalam masalah ini? Selama ini segala tanggungan bayaran tambahan diberikan kepada rakyat. Kalau macam itu cara mentadbir, maka pihak kerajaan tidak berbuat apa-apa, hanya rakyat yang menanggungnya.

Saya pernah membawa usul di dalam perwakilan bahagian untuk dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO pada pertengahan lapan puluhan. Saya mencadangkan supaya rakyat diberi penerangan yang terperinci tentang apa-apa projek besar yang kerajaan hendak laksanakan. Kalau hendak membina lebuhraya, contohnya, rakyat wajib diberitahu rancangan dengan terperinci tentang projek lebuhraya termasuklah tentang kenaikan tol nya. Rakyat sepatutnya tahu segala perjanjian dengan ‘concessionaires’ jumlah tol yang dikenakan dan bila kenaikan tol akan dibuat. Dengan cara ini barulah rakyat dapat memberikan maklumbalas. Dalam lain perkataan jika tol dipersetujui untuk di naikkan maka ianya adalah persetujuan bersama dengan rakyat. Dengan cara itu rakyat tidak dikejutkan dengan kenaikan mendadak seperti ini.

Apabila kita hendak membangunkan satu- satu projek besar yang memerlukan pembayaran dari pihak rakyat, mereka mesti di beritahu kerana yang akan membayarnya orang ramai. Rakyat sepatutnya di bawa berunding dan penerangan perlu di buat setidak- tidaknya setahun sebelum projek itu mula dilaksanakan. Barulah rakyat terlibat bersama dan masalah protes yang sangat dibenci ini akan jauh berkurangan. Samy Velu mesti ingat rakyat sudah dibebankan dengan cukai jalan yang tinggi kenapa di bebankan dengan tol lagi?

Samy Velu hanya memenuhi sensitivi kerajaan dan ‘concessionaires’ tanpa memikirkan rakyat yang sudah begitu terseksa dengan cukai- cukai yang tidak terkira jumlahnya. Selepas ini apa pula yang naik?

Kepada Samy Velu, kami ingin memberi nasihat. Jangan berbohong banyak sangat. Alasan yang tol di negara ini adalah yang terendah di dunia adalah bohong. Dari London ke Wales tol yang dikenakan kepada rakyatnya hanyalah dua paund sterling walaupun jarak perjalanan itu melebihi 450 kilometer. Dari New York ke Washington tolnya hanya USD2.50 sahaja walaupun jauh perjalanannya hampir seribu kilometer. Jangan bohong lebih-lebih Dato Seri.


Siakap senohong
Gelama ikan duri
Banyak cakap bohong
Lama-lama jadi pencuri.

Sekian sahaja. WASSALAM.

18 December 2006

11. Penyakit kurap

Penyakit kurap merupakan penyakit kulit yang dihidapi oleh orang-orang di kampung masa dahulu. Sejak tiga puluh tahun dahulu penyakit ini sudah mula hilang oleh kerana taraf kesihatan rakyat sudah bertambah baik. Kalau pun ada lagi, mungkin ianya wujud di pedalaman yang jauh dari kemudahan kesihatan.

Selalunya kurap ini hinggap di punggung dan ianya sangat gatal. Kulit kita akan jadi kemerah-merahan apabila hari panas. Sesiapa yang dihinggapi penyakit kurap seseorang itu akan cuba sedaya upaya untuk mengelak kurapnya di tiup angin, kerana jika terkena pada tiupan angin pesakit itu akan merasa pedih tidak tertahan. Selalunya jika angin bertiup pesakit ini akan mengadap angin yang bertiup kerana takut angin akan melanggar punggungnya yang berkurap itu. Jika angin datang dari barat, pesakit ini akan menghadap ke barat, jika angin bertiup datang dari timur dia akan menghadap ke timur. Begitulah keadaan pesakit kurap kerana dia tidak mahu angin terkena pada kurapnya.

Maka itulah sebabnya saya katakan pemimpin-pemimpin kita terpaksa tunduk kepada orang berkuasa di atas kerana konsep kurap tadi. Dari mana angin bertiup di situlah mereka mengadap. Walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan dan ahli keluarganya itu tidak betul dan menyesatkan mereka tidak berani untuk melawannya, kerana takut kurap akan terkena angin.

Oleh kerana tugasnya hanya untuk mencari arah tiupan angin maka mereka tidak ada masa untuk membuat kerja-kerja lain. Maka itulah sebabnya jika Pak Lah ke lapangan terbang beribu-ribu orang menghantarnya untuk sekadar mencium tangan, sedangkan tangan ibu bapanya tidak diciumnya. Inilah satu-satunya negara seorang perdana menteri dihantar oleh ribuan manusia yang inginkan perhatian PM. George Bush, Tony Blair, King Abdullah, Putin, Presiden Bambang dan mana- mana pemimpin dunia tidak ramai yang menghantar ke lapangan terbang kecuali beberapa orang pegawai dan ahli keluarga mereka.

Ramai juga yang saya kenal berbuat begitu, dan jika ditanya kenapa perlu pergi mereka kata, “Bro, cari makanlah! Udah sistem macam tu, teman gagahkan pergi ke airport tu.” Saya tanya samada dia dapat apa- apa projek, dia jawab,”Teman nak cuba cari KJ ni jumpa dia dulu barulah tau dapat ke tak dapat.”

Cerita Kurap ini pendek sahaja tetapi boleh dijadikan pelajaran kepada sesiapa yang ingin belajar. Orang tua-tua berpesan “Jadikan alam sebagai guru.”

Sekian adanya. WASSALAM.

10. Melayu mula terpinggir

Petang semalam, sabtu 16hb Disember saya bertemu dua orang kawan yang minta saya cuba mendapatkan pekerjaan untuk anaknya yang baru sahaja pulang dari Australia dengan membawa ijazah Bachelor in Commerce. Mereka begitu rungsing dan kecewa kerana anak mereka amat sukar untuk mendapat pekerjaan walaupun telah melalui temuduga beberapa kali. Saya pun bertanya kenapa anak-anak mereka gagal untuk mendapat pekerjaan, kerana saya juga menhadapi masalah yang sama. Anak saya adalah graduan dari United Kingdom.

Setelah membuat perbandingan antara kami, maka didapati kebanyakan syarikat menjadikan bahasa mandarin sebagai ‘compulsory’ untuk bekerja dengan mereka. Saya telah menyemak akhbar-akhbar lama dan meneliti ruang ‘iklan pekerjaan’. Hampir 80 peratus iklan-iklan itu membuktikan yang bahasa mandarin telah dijadikan syarat untuk bekerja di negara ini. Nampaknya bangsa melayu sudah mula terpinggir dan tiada siapa yang ke hadapan untuk membetulkan keadaan ini. Hendak kita harapkan pemimpin UMNO, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mengenal masalah rakyat yang dipimpinnya.

Saya amat bimbang dengan apa yang terjadi ini, kerana saya tahu dan sedar tidak ada siapa di kalangan pemimpin negara termasuklah pemimpin yang menghunus keris sedar tentang apa yang berlaku, jauh sekali untuk menyelesaikan masalah besar ini. Negara ini negara kita yang telah ada dasar-dasar yang digubal untuk kita orang-orang melayu, tetapi syarikat-syarikat ini mengadakan syarat tambahan ini secara terbuka tanpa segan silu kerana mereka tahu pemimpin-pemimpin kita sedang lena dengan pangkat-pangkat besar yang penuh glamour.

Inilah bukti-bukti yang nyata bahawa pemimpin-pemimpin kita yang ada di atas itu hampir semuanya adalah pemimpin palsu, yang hanya pandai beretorik dengan sokongan media perdana yang berat sebelah. Orang ramai sudah sampai naik jemu dan muak melihat pemimpin bercakap tentang semangat melayu. Dengan syarat tambahan ini maka peluang pekerjaan hanyalah dikuasai oleh bukan melayu. Melayu akan ketinggalan di dalam bidang pekerjaan walaupun ada bergulung-gulung ijazah dari dalam dan luar negara.

Mana melayunya Abdullah Badawi, mana dia kepimpinan Najib, mana dia Hishamuddin yang menghunus keris ke hulu ke hilir dan mana dia pemimpin-pemimpin yang lain dalam UMNO yang mengaku berwibawa dan bersemangat melayu? Tidak ada seorang pun di dalam majlis tertinggi bercakap tentang masalah melayu yang dipimpinnya. Saya cadangkan kepada PM supaya berhenti membawa usul pencantuman Utusan dengan NST, dan cerita ‘ Mergers and acquisitions’. Selesaikan masalah ini dahulu kerana ini isu penting. Jangan hanya memikirkan untuk melaksanakan projek besar yang boleh membayar komisyen kepada orang yang saudara kasihi sahaja. Orang yang saudara tidak kasihi ini juga perlukan perlindungan. Kalau tidak mampu, saya cadangkan supaya saudara berhenti sahaja. Jangan menyusahkan rakyat. Rosak betul UMNO di bawah kepimpinan sekarang ini.

Apabila UMNO kalah nanti yang akan dipersalahkan ialah kami di bawah ini. Bila ditegur dia marah, tidak ditegur kita menyampah. Menteri-menterinya asyik mengampu PM sahaja, dan kalau tidak puas hati bercakap di belakang. Bila di depan PM dia tunduk pula. Yang sengsara rakyat di bawah. Dalam tulisan saya esok atau lusa saya akan ceritakan tentang penyakit kurap. Mungkin cerita ini sesuai dengan keadaan kepimpinan hari ini.

Tunggu. WASSALAM.

17 December 2006

9. PM tidur




Sekarang sudah pukul 2 pagi, Ahad 17hb Disember 2006 dan saya baru balik ke rumah dari warung minum kopi dengan seorang bekas ahli parlimen dari Terengganu. Saya bertanya kepadanya samada beliau menjadi perwakilan dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini. Beliau menjawab, “Saya perwakilan”. Saya terus bertanya tentang ucapan penggulungan Presiden, dengan cepat dia menjawab, “Dia tak gulung pun, dia lipat". Saya tidak faham apa maksud ‘lipat’ itu, dan minta dia jelaskan.

Perwakilan ini memberi sebab kenapa Pak Lah tidak menggulung ucapannya. Bagi beliau, ucapan penggulungan mestilah menyentuh tentang isu-isu yang ditimbulkan oleh perwakilan di dalam persidangan itu. Tetapi presiden ini tidak berbuat begitu sebab segala isi kandungan ucapannya itu seolah-olah telah disediakan sebelum persidangan dimulakan.


“Bagaimana boleh jadi begitu?” tanya saya kepada beliau. “ Dia tidak jawab perkara-perkara yang ditimbulkan oleh perwakilan” katanya. Beliau sambung lagi “ Presiden tidak fokus! Dia selalu tidak berada dalam dewan semasa persidangan. Dengar ceritanya Presiden tidur dalam bilik rehat Dewan Merdeka. Sudah puas tidur baru duduk dikerusinya. Kuat sungguh presiden kita ni tidur. Benarlah kata Tun Mahathir yang beliau hanya boleh fokus selama lima belas minit sahaja. Itu sebabnya ucapan penangguhannya tidak macam ucapan presiden-presiden sebelum ini dalam ucapan penangguhan mereka. Itu sebabnya dia berucap tidak selari dengan apa yang diucapkan oleh perwakilan. Itu maksud saya dia lipat tu!” kata perwakilan itu.

“Ucapan Timbalan Presiden macam mana?” tanya saya. “Najib memang out do Pak Lah! macam langit dengan bumi. Ucapan Pak Lah tidak ada arah dan hala tuju. Kalaulah dia nakhoda kapal muntah semua kelasi dibuatnya. “Perwakilan-perwakilan macam mana?” tanya saya lagi. “Macam presiden jugak, tidak kurang yang tidur. Ramai jugaklah yang tepuk, tetapi saya pun tidak tau kenapa mereka bertepuk. Mungkin nak elak dari tertidur kut!” katanya.

Selepas itu beliau tidak mahu lagi cerita pasal perhimpunan agung lagi. “Lebih baik kita cerita pasal filem P.Ramli ke, atau cerita pasal ikan ke atau cerita pasal yang lain-lain. Pak Lah tidak akan berubah! Dia akan bawak kita semua tidur macam dia. Di Majlis Tilawah al-Quran dia tidur dan majlis di istana negara pun dia tidur. Mana-mana pun dia tidur!. Mari kita semua tidur! PM kita kaki tidur” katanya. Saya jawab "Wah!! hebat PM kita! Dia boleh tadbir negara sambil tidur. Bukankah itu satu kelebihan PM kita jika di bandingkan dengan mana-mana PM di seluruh dunia?" Perwakilan itu senyum dan benar-benar mengalihkan ceritanya kepada tajuk lain.

Sebenarnya kita dengar cerita PM tidur ini di mana-mana. Mari kita berdoa agar PM kita tidak tidur di majlis-majlis rasmi.

ASSALAAMUALAIKUM.


13 December 2006

8. Mentadbir negara atau Persatuan sepak takraw ??

Hari ini saya terbaca wawancara PM kita dengan akhbar terkemuka di Thailand, The Bangkok Post. PM kata telah genap tiga tahun yang menyeronokkan dan merasa puas hati dengan pencapaiannya selama tiga tahun ini. Pada keseluruhannya beliau menzahirkan rasa seronok selama beliau ditunjuk oleh Dr Mahathir menjadi penggantinya. Agaknya beliau terlalu lama untuk mendengar pujian-pujian yang tidak kunjung tiba maka beliau memilih untuk menggunakan wawancara ini untuk memuji dirinya sendiri.

Kepada mana-mana manusia yang ingin menjadi insan mukmin, tentu tahu yang Allah SWT pun tejalikan Muhammad untuk berzikir dan bertahmid serta memujinya dan Allah sendiri berselawat ke atas Muhammad. Allah yang bersifat maknawi itu tidak memuji dirinya sendiri sedangkan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta segala kandungannya adalah miliknya.

Yang menjadi perhatian ramai, ialah tuduhan beliau yang Tun Mahathir telah memasukkan pasir ke dalam periuk nasi menantunya. Apa yang dibuat TDM hinggakan pasir masuk ke dalam periuk Khairy? Yang kita tahu periuk yang beliau dapat itu pun adalah pemberian TDM. Yang dikritik oleh TDM dan orang ramai ialah peranan Khairy yang boleh membawa negara ke arah kehancuran jika Pak Lah membuat keputusan dengan pengaruh menantunya itu. Yang ditadbirnya adalah negara, bukannya Persatuan Sepak Takraw Kepala Batas. Rakyat ada hak untuk memberi pandangan dan kritikan dalam hal dan cara negara ditadbir. Ini negara demokrasi. Negara ini bukannya hak beliau dan keluarga beliau sahaja.

Bagaimana pula dengan ramai ahli perniagaan yang terpaksa gulung tikar yang berpunca dari peranan Khairy dan kroninya mempengaruhi proses pemberian projek- projek besar oleh kerajaan untuk kepentingan kroni-kroninya. Selagi Pak Lah tidak mengikut etika kepimpinan yang betul selari dengan negara demokrasi ini, selagi itu lah kritikan akan datang dari semua sudut.

Tunku Abdul Rahman tidak memberi anakanda beliau Tunku Nerang memainkan peranan samada dalam politik mahu pun perniagaan semasa beliau menjadi perdana menteri. Itu jugalah amalan mana-mana perdana menteri negara demokrasi yang maju, kerana itulah etika yang betul. Anak dan menantu tidak boleh langsung terlibat dalam politik dan berniaga dengan kerajaan.

Kalau benarlah PM menjadikan Islam sebagai panduan kepimpinannya, elok beliau faham bila dan di mana tempatnya untuk bercakap tentang anak dan menantunya. Selagi sikapnya memberi fokus kepada keluarga selagi itulah rakyat akan menjauhkan sokongan dari beliau. Pemimpin yang tidak jujur memang senang melatah sebab dia telalu banyak perkara yang hendak dilindunginya. Kalau yang hendak dilindungi itu terlalu besar tidak mungkin ianya mampu ditutupi dengan nyiru. Lambat-laun rakyat akan tahu juga.

Satu-satunya cara Pak Lah untuk mengembalikan nama dan imej yang baik ialah dengan mengundurkan diri secara terhormat. Untuk mendapatkan penghormatan tidak semestinya dengan menjadi Perdana Menteri. Berundur dari jawatan itu pun boleh mendapat penghormatan orang ramai.

Sekian coretan hari ini. Jumpa lagi dalam dua atau tiga hari. Wassalam.

10 December 2006

7. Kasih bapa

‘Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa tiada bersempadan’. Begitulah sifat seorang bapa atau pun ibu kepada anak-anak yang dianugerah Tuhan. Kadangkala sayangnya seorang bapa itu keterlaluan sehinggakan anak serta ahli keluarga itu sampai dibiarkan mempengaruhi kehidupan dan tanggungjawab sibapa itu dalam kehidupan seharian. Kadangkala anak-anak boleh menjadikan kita melanggar etika dan tanggungjawab kita dalam menyempurnakan fungsi kita sebagai pemimpin.

Keutamaan dipusatkan kepada keperluan anak-anak, menantu dan ahli keluarga yang lain dan melalaikan tanggungjawab kepada masyarakat yang dipimpinnya. Yang boleh memandu kita dalam masalah ini ialah keimanan yang mampu melawan nafsu diri sendiri. Itulah sebabnya melawan nafsu sendiri itu merupakan satu ibadah yang sangat tinggi disisi tuhan. Apabila kita diberi amanah untuk menjaga negara dan rakyat, kita akan diduga dengan hebat kerana iblis dan syaitan akan sentiasa menhampiri kita untuk menyesatkan kita sehingga akhir kalam. Kita akan dipengaruhi untuk melakukan perkara-perkara yang dicegah agama walaupun kita bergegar-gegar menggunakan ayat ayat Tuhan semata-mata untuk dijadikan sebagai ‘insulation’ kepada kelemahan kita hasil dari pengaruh iblis dan syaitan.

Sesungguhnya melawan hawa nafsu itu merupakan perjuangan yang berterusan sehingga kita berhadapan dengan sakratul maut. Di dalam Peperangan Khandak, Islam mendapat kemenangan tipis setelah berperang dengan begitu hebat sehingga tentera Islam pimpinan Muhammad SAW hampir tewas. Sesudah peperangan selesai dan tentera Islam berjaya mengalahkan tentera musyirikin, Saidina Ali karamullahuwajha telah bertanya kepada Muhammad SAW ‘Apakah peperangan yang lebih besar dari peperangan Khandak ini ya Rasullullah?’ Muhammad menjawab ‘Peperangan yang lebih hebat dan besar ialah perang melawan nafsu kita sendiri’.

Begitulah besarnya jihad kita jika berjaya melawan nafsu serakah kita untuk tidak menggunakan kedudukkan kita untuk kepentingan anak menantu dan keluarga kita. Jika benar kita ini berjuang untuk Agama, Bangsa dan Negara, kenapakah pemimpin yang diberikan mandat ini membiarkan budaya mengutamakan keluarga ini bermaharajalela di negara kita? Pemimpin-pemimpin kita terlalu lemah untuk memerangi ‘tentera iblis’ ini.

Jika itu keaadaannya biarlah rakyat yang melawannya, kerana pemimpin kita terlalu ‘kenyang’ untuk berjuang.

05 December 2006

6. Mahkota dengan sengkek

Perhimpunan agung UMNO baru-baru ini jelas menampakkan pertembungan antara kebenaran fakta dan budaya penyampaian yang tidak sempurna. Akibatnya ucapan perwakilan-perwakilan dianggap menyentuh isu-isu sensitif dan mengakibatkan respon yang tidak positif dari parti-parti komponen BN. Di sebaliknya pula adalah nyata apa yang di katakan oleh perwakilan itu adalah benar. Melayu sudah hilang kuasa ekonomi hasil dari pengabaian Dasar Ekonomi Baru(DEB)yang telah diterima dan dihormati oleh semua bangsa. Kita sudah tidak boleh lagi bertindak untuk menyempurnakan semangat DEB kerana kita kini dipimpin oleh pemimpin lemah yang tidak mampu untuk mendapatkan penghormatan dari pemimpin dan ahli-ahli parti komponen yang lain. Kita tidak lagi mampu untuk menyatakan kepada pemimpin BN yang lain bahawa orang melayu dan bumiputra masih memerlukan bimbingan untuk mencapai sekurangnya 30 peratus pegangan ekuiti dalam negara kita. Ada parti komponen masih lagi tidak yakin yang Bumiputra hanya menguasai hampir 19 perataus kekayaan negara masa ini. Malahan angka ini termasuklah kekayaan yang dipegang oleh badan-badan yang mempunyai kepentingan bumiputra, seperti Felda,Tabung Haji dan lain lain. Yang menyedihkan lagi pucuk pimpinan kita tunduk kepada tekanan Lim Keng Yeik serta pemuda MCA. Tanpa segan-silu pucuk pimpinan Umno terus memberi amaran kapada perwakilan-perwakilan yang menimbulkan isu ekuiti bumiputra di perhimpunan agung.

Masalahnya sekarang ialah pemimpin UMNO tidak ada kebijaksanaan untuk menghadapi cabaran yang begitu mendesak dari pemimpin-pemimpin komponen. Sebenarnya merekalah (MCA/GERAKAN) yang mendapat keuntungan besar dari perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. Oleh kerana perwakilan-perwakilan kurang bijak membuat 'deliberations', maka inilah padah yang kita hadapi. Keadaan ini memperjelaskan yang perpaduan antara kaum sudah mula terhakis dan ini memerlukan kepimpinan UMNO yang benar-benar mahir dalam mentadbir negara yang mempunyai 'diversities' dalam budaya, agama adat resam dan cara hidup.

Sebelum ini tidak ada bunyi suara sumbang yang datang dari parti komponen seperti yang berlaku akhir-akhir ini. Sekarang suara itu semakin hari semakin lantang. Akhirnya kita pula yang tunduk dengan mengambil tindakkan keatas tiga orang perwakilan kita. Kita didenda kerana bercakap benar. "Saying right thing is forbidden". Kalaulah begini sampai bila pemimpin kita terpaksa berubah pendirian apabila mendapat kritikan dari MCA dan Gerakkan. Kalau benar kita sayangkan bangsa kita, kita wajib meletakkan jawatan apabila kita sudah tidak diyakini oleh orang ramai. Setidak tidaknya itu boleh membuktikan yang kita benar-benar hendak menjaga kepentingan rakyat, khususnya kepada orang melayu. Tidakkah Pak Lah inginkan nama yang harum yang akan disebut-sebut oleh generasi yang akan datang?

UMNO lebih dipandu oleh kehendak bangsa asing dari cuba mendengar keluhan bangsa sendiri yang menjadi ahlinya. Ramai pemimpinnya menjadi kaya raya dan setiap yang kaya raya itu mesti ada bangsa asing di belakangnya. Bagaimanakah pemimpin-pemimpin ini hendak mendengar keluhan kita? Setiap kejayaan mesti ada bangsa asing di sebaliknya termasuk kejayaan Monsoon Cup di Terengganu baru-baru ini. Pemimpin kita kini sudah menjadi bahan ketawa orang lain. Mereka yakin mereka boleh mendesak apa-apa yang perlu bagi kepentingan mereka disebabkan kelemahan pimpinan UMNO. Sesungguhnya kalau dikaji dari segi hakikatnya UMNO kini hanya bergantung kepada bangsa asing untuk 'survivalnya'. Lain-lain perkataan hampir keseluruhan kepimpinan merupakan boneka kapada bangsa asing.

Kepimpinan sebenarnya lahir secara natural di dalam diri seseorang itu. Kualiti kepimpinan itu boleh dilihat dari etika seseorang itu memimpin. Kita ada pemimpin-pemimpin seperti ini di dalam UMNO tetapi malangnya mereka ini dipinggirkan. Di negara maju keluarga Perdana Menteri serta keluarga ahli-ahli jemaah kabinetnya dicegah untuk berniaga dengan kerajaan, walaupun perniagaan kecil. Itu etikanya yang di pakai oleh kepimpinan negara maju yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Dulu Pak Lah mendapat sokongan ramai kerana hendak membawa kepimpinan beretika. Tetapi anaknya mendapat kontrak-kontrak besar dari Petronas dan yang lain-lain. Mana dia menteliti kelas pertamanya? Apabila ditanya kenapa dia membantu birasnya di dalam kes Oil For Food Iraq, dengan selamba dia menjawab, "Takkan tak boleh rekomen kut!". Itu jelas membayangkan yang beliau tidak mampu untuk memimpin negara kita. Beliau tidak ada beza dengan kita yang 'sepak kertas' dibawah ini. Beliau akan merasa tersinggung bila rakyat tidak yakin dengan kata-katanya. Jadi teringat pula kapada kata-kata "Bodohnya tak boleh di tegur, cerdiknya tak boleh diikut". Yang sengsara akhirnya rakyat jelata.

Rakyat akhir-akhir ini sudah sampai ke persimpangan. Mereka sudah mula melihat kepada alternatif. Mereka sudah sedar bahawa UMNO di bawah kepimpinan sekarang tidak boleh diharap lagi. Mereka rata-rata sedar bahawa kalau UMNO bertindak seperti musuh kepada ahli yang inginkan kebaikan maka hayat UMNO kita ini dikhuatiri akan berakhir. Janganlah menggunakan agama untuk menutup kerja-kerja tidak beretika dengan mengutamakan keluarga. Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Belajarlah etika kepimpinan kelas pertama dulu sebelum menyebutnya di khalayak ramai.

Di Singapura, cenderahati yang diterima oleh menteri-menteri dipulangkan kembali ke khazanah negara. Mereka tidak dibenarkan membawa pulang hadiah-hadiah itu. Begitu sekali tinggi etika kepimpinannya. Itulah sebabnya mereka sudah mampu untuk menjajah kita. Mereka tahu ramai pemimpin disini mudah dibeli. Di sini etika di letak ke belakang. Bila disoal pemimpin kita berselindung di sebalik undang-undang. "Tunjukkan bukti," katanya. Maka itulah sebabnya etika adalah lebih tinggi dari undang-undang kerana etika datang dari displin dan harga diri yang tinggi.
Displin yang tinggi membuatkan negara mereka kuat dan mampu membeli harta strategik kita. Mereka tahu kalau bayar komisyen kapada orang yang berpengaruh dengan kepimpinan, pasti boleh lulus. ADA FULUS, BOLEH LULUS.


Akhirnya mari kita renung kata orang tua-tua dahulu, "Kalau raja itu menjadi tukang sapu sampah dia tetap raja, tetapi kalau sengkek dipakaikan mahkota sekali pun, dia tetap sengkek."

WASSALAM

01 December 2006

5. Introspeksi UMNO

Saya ingin membawa kembali ahli-ahli UMNO berfikir serta bertanya sejauh manakah parti kita boleh bertahan untuk menghadapi cabaran zaman moden yang serba terbuka dan pantas ini. Pemimpin- pemimpin kita masih lagi menggunakan isu- isu projek dan kontrak kerajaan untuk mendapatkan dukungan serta sokongan rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Parti kita masih bercakap yang UMNO adalah parti terbesar yang sudah mempunyai ahli melebihi 3 juta orang. Malahan MAJLIS TERTINGGI telah menubuhkan satu biro khas untuk menambah ahli yang diketuai oleh salah saorang Naib Presidennya. Persoalannya adakah keahlian yang besar boleh menjamin kekuatan parti dan tetap akan memerintah negara sampai bila-bila?
UMNO sekarang ibarat badan besar yang gemuk yang menghadapi pelbagai jenis penyakit yang serius.

Kalaulah projek dan kontrak kerajaan serta ahli yang besar menjadi kubu untuk mempertahankan sokongan rakyat, maka ini adalah satu kesilapan yang sangat besar malahan keahlian besar lebih membawa masalah daripada membantu menambah kekuatan kita. Lebih besar jumlah keahlian lebih besar masalah yang akan timbul di peringkat cawangan serta bahagian. Apabila ahli bertambah, cawangan pun akan bertambah. Maka perebutan jawatan di peringkat cawangan akan membawa masalah apabila pilihanraya tiba. Kumpulan yang kalah akan cenderung untuk mengundi parti lain jika perbalahan itu terlalu besar. Bagi mereka memegang jawatan di peringkat cawangan itu penting kerana projek projek kecil selalunya diberikan kapada ahli-ahli jawatankuasa cawangan. Maka menjadikan kontrak kerajaan dan keahlian yang besar adalah merbahaya bagi parti dalam jangka masa panjang.

Apa sebenarnya strategi yang baik untuk mengekalkan kekuatan dan terus diyakini rakyat? Kalau pun ada cadangan- cadangan yang baik mampukah pemimpin kita untuk melaksanakannya?

Inilah persoalan yang besar yang menjadi perbualan pokok dibawah kerana imej pemimpin pada hari ini tidak sampai ketahap yang boleh diyakini lagi. Pemimpin- pemimpin hari ini tidak ada ‘Magnanimity’ langsung kecuali seorang dua yang masih ada. Yang seorang dua ini pun dipinggirkan kerana takutkan bayang bayang sendiri. Akhirnya pemimpin- pemimpin yang berkelayakan tidak diberikan peluang untuk membetulkan keadaan. Yang duduk di dalam jemaah yang penting hanyalah pemimpin yang ‘artificial’ yang tidak tahu apa- apa selain dari mengumpul kekayaan peribadi dan kroni- kroni mereka. Mereka ini jugalah yang menggunakan semangat kebangsaan dan bertopengkan agama untuk menutup kecacatan pada kepimpinan mereka.

Rakyat sudah jemu dengan pengumuman bermacam dasar yang kononnya untuk kepentingan rakyat. Tetapi perlaksanaannya tidak membolehkan rakyat merasakan nikmatnya. Kalau tak kenal PM atau menantunya, atau kroni menantunya, tak mungkin kita dapat projek-projek yang kita kehendaki. Bagaimana orang yang tidak dikenali oleh keluarganya hendak berniaga. Inilah masalahnya jika Perdana Menteri terlibat dalam pembahagian projek- projek. Sepatutnya, PM dan jemaah menteri itu tugasnya hanyalah untuk menentukan dasar yang digubal itu dilaksanakan mengikut dasar pembahagian yang telah dipersetujui. Kalau Pak Lah benar-benar serius untuk meningkatkan tahap pemikiran kita semua ini ketahap ‘mentaliti kelas satu’ maka beliau tidak sepatutnya menggunakan pengaruhnya untuk menawarkan projek-projek besar dan kecil kapada sesiapa yang beliau atau menantunya kehendaki.

Tony Blair tidak tahu pun siapa yang mendapat projek projek di England ataupun di Britain. Menteri-menterinya sering diserang media dan badan-badan NGO secara terbuka jika didapati melakukan perkara yang tidak sesuai dengan dasar yang ditetapkan. Jika PM Tony Blair dikritik oleh pemimpin dan ahli partinya sendiri, tidak ada pengampu-pengampu yang membelasah media atau individu pengkritik tadi untuk mengambil hati PM seperti Zahid, Nazri, Mahadzir Khalid atau Shahidan yang ada di Malaysia ini.

Di sini pengkritik-pengkritik akan dibelasah oleh nama-nama yang saya sebutkan tadi kerana hendak naik pangkat dari Timbalan Menteri ke Menteri penuh. Yang sudah menjadi menteri berhajat untuk menambah sepenggal lagi dan yang ada masalah rasuah berkehendakan kes mereka diketepikan dan berbagai-bagai lagi keperluan peribadi. Saya tidak nampak bagaimana mereka-mereka ini hendak membawa rakyat Malaysia masuk ke perkarangan ‘Mentaliti Kelas Satu’, sedangkan mereka adalah dari golongan yang tidak punya kelas yang diwarwarkan Perdana Menteri itu. Semuanya retorik .... letih kita dibuatnya.

Saya rasa Pak Lah tidak payah lah marah apabila rakyat mempersoalkan kewibawaannya. Sebaliknya Pak Lah patut berfikir kenapa ramai orang tidak yakin dengan kata-katanya. Kata orang-orang alim, pemimpin yang baik akan senantiasa membuat introspeksi terhadap diri sendiri. Lihatlah ke dalam selalu! Kalau rasa tidak mampu untuk mengembalikan keyakinan rakyat seperti mula-mula beliau menerajui negara dulu, yang paling baik beliau patut lakukan ia lah mengundurkan diri secara terhormat. Saya berharap tidak ada pengampu-pengampu yang akan mengambil kesempatan dengan cadangan ini untuk membodek lagi dengan membelasah saya. Saya ini orang kecil. Bukannya ada apa apa ‘consequence’ pun.

Sekian. Saya hendak masuk tidur.


30 November 2006

4. Burung Balam

Budaya ‘Burung Balam’ di dalam UMNO semakin hari semakin menebal. Apa yang dikata pemimpin mereka terus mengangguk walaupun apa yang dikatakan itu tidak munasabah. Ke hulu kata ketua ke hulu mereka pergi. Yang penting apa ketua kata itu benar…jangan disanggah. Ahli-ahli dianggap seperti kerbau, guna mereka untuk bekerja siang dan malam. Apabila UMNO kuat mereka bermaharajalela dan menggunakan kuasa bagi mengumpul harta macam ‘Qarun’ di zaman jahiliah dahulu. Mereka tahu ahli-ahli akan ikut apa kata ketua. Kami di bawah dilakukan seperti kerbau, membajak sawah yang luas. Apabila waktu menuai tiba, tikus di kepuk padi yang kenyang.

Saya teringat waktu saya kecil dahulu, saya ditugaskan oleh ibu saya untuk menjaga seekor kerbau. Setiap petang saya menarik kerbau tersebut dari sawah padi ke kawasan pondok yang saya sekeluarga tinggal. Dalam saya mengendalikan kerbau itu saya dapat satu pelajaran tentang sifat haiwan ini. Saya ingin berkongsi pengalaman dan pelajaran yang saya dapat dari sifat kerbau ini.

Setiap kali saya menarik kerbau ini, saya tidak ada apa-apa masalah. Haiwan ini akan ikut sahaja malahan tali yang di ikat dihidungnya itu kendur sahaja. Begitulah pengalaman saya bertahun-tahun menjaga kerbau itu. Jalan yang kerapkali saya lalui adalah jalan yang sama. Adakalanya saya cuba untuk mengikuti jalan yang lain, tetapi waktu itu saya dapati kerbau itu tidak mahu mengikut jalan yang berlainan ini. Tali yang mengikat hidung kerbau itu didapati terik. Saya tidak berdaya hendak menarik kerbau itu, maka saya terpaksa mengikut jalan yang lazim saya lalui.

Rupa-rupanya haiwan pun tidak mahu mengikut tuannya secara membabi buta. Adakalanya dia mengikut kata dan adakalanya dia membantah. Berdasarkan pengalaman ini saya sangat hairan bagaimana kita ahli UMNO yang merupakan manusia yang lengkap sifatnya dan mempunyai akal fikiran, boleh mengikut apa sahaja yang dikata pemimpin walaupun arahan pemimpin itu tidak munasabah. Kita hanya mengikut membabi-buta walaupun tiada tali yang mengikat hidung kita.

Seluruh jentera parti dan kerajaan berkumpul di Kubang Pasu untuk memastikan Tun Mahathir tidak dipilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung UMNO yang baru selesai pada 17hb November yang lalu. Hilang segala pertimbangan pucuk pimpinan dengan mengajar dan mengajak ahli-ahli UMNO untuk melupakan jasa-jasa pemimpin yang telah banyak berjasa kapada UMNO dan rakyat, termasuklah kapada beliau sendiri. Inilah didikan Presiden UMNO kita yang baru ini.

Pada hari pertama dia menjadi Perdana Menteri, beliau berucap di Pulau Pinang di hadapan ribuan rakyat jelata sambil berkata, “MARILAH BEKERJA DENGAN SAYA, JANGAN BEKERJA UNTUK SAYA” Rupa-rupanya beliau menyeru kita bekerja denganya untuk ‘Mengerjakan’ Tun Mahathir. Akhirnya Mahathir menerima tikaman keris yang diberikan kapada penggantinya itu. Kalau Tun Mahathir yang berjasa kapada beliau diperlakukan sedemikian rupa, bagaimana beliau hendak mengingati jasa kita semua yang kerdil ini. KITA INI BUKAN ANAK ATAU MENANTUNYA !!

SEKIAN BUAT HARI INI ...





28 November 2006

3. Anjing Sukom

Sebagai seorang yang berasal dari kampung pedalaman banyak juga pengalaman yang boleh dijadikan pelajaran untuk menempuh kehidupan dalam bidang yang berbagai. Malah kita boleh belajar dari haiwan haiwan yang mampu untuk mengajar kita menilai perbezaan di antara kita sesama manusia apatah lagi kita yang mempunyai minat bersiasah.

Saya dilahir dan dibesarkan dikampung yang begitu jauh dari kehidupan moden ini. Api eletrik dan air ‘dalam bosi’ hanya dapat kami nikmati pada penghujung tahun 70an. Kampung kami semasa itu masih menjadi tempat orang memburu landak, pelanduk dan lain lain haiwan untuk makanan orang kampung semasa itu. Kami tidak mampu untuk ke pasar yang begitu jauh dari kampung kami. Sayur-sayuran kami tanam sendiri, dan jika hendak makan daging kita tunggu orang-orang kampung yang dapat hasil buruan seperti pelanduk, kijang dan sebagainya atau sembelih haiwan ternakan seperti itik dan ayam.

Di antara pemburu-pemburu yang saya kenal ialah saorang tiong hua bernama Ah Fatt kalau tidak silap pengingatan saya. Dia pemburu babi dan kadangkala dia memburu rusa. Ah Fatt mempunyai sepuluh ekor anjing untuk pemburuannya. Anjing anjing ini dinamakan ANJING SUKOM dan tugas anjing-anjing ini ialah untuk menghambat rusa bagi membantu Ah Fatt menembaknya. Apabila rusa sudah dihambat, maka Ah Fatt dengan pantas menembak rusa itu dan terus sahaja melapah rusa tersebut.

Semasa Ah Fatt melapah rusa tersebut maka anjing-anjing sukom tadi mulalah menyalak tidak sabar-sabar untuk mendapatkan upah menghambat rusa tadi. Ah Fatt pantas memotong sepuluh kerat tulang-tulang rusa untuk diberikan kapada sepuluh ekor anjing tadi. Maka senyaplah anjing-anjing tadi, menggigit tulang yang dilemparkan oleh Ah Fatt. Ah Fatt mendapat daging batang pinang, anjing sukom sangat berpuas hati dengan secebis tulang. Setelah mendapat tulang tadi anjing-anjing sukom ini merasakan seperti “Dunia Ana Yang Punya” menggigit tulang sebatang seekor. Sampai keakhir hayatnya Ah Fatt kaya raya tetapi anjing-anjing sukom tadi tidak tahu dimana.

Cerita yang sependek ini pun boleh dijadikan pelajaran. Dalam plot cerita tadi kita nilailah diri kita dalam konteks UMNO. Kita akan akhirnya tahu samada kita ini adalah ‘Ah Fatt’ atau ‘anjing sukom’. TEPUK DADA TANYALAH SELERA.

2. Singa Raja Binatang

Pemikiran pemimpin dan ahli UMNO sudah jauh mundur ke belakang walaupun pemimpin nombor wahidnya berretorik untuk meningkatkan pemikiran rakyat ke tahap pemikiran kelas satu. Bagaimana cita-cita itu boleh dicapai sedangkan pemimpin yang kononnya memperjuangkan 'Mentaliti Kelas Satu' itu sangat jauh dari mentaliti tahap itu. Bukan tujuan saya untuk memberikan markah atau memandang rendah kepada kelas pemikiran pemimpin ini, tetapi cukup jika saya katakan apa yang dikatakannya itu memang beliau tidak boleh mencapainya. Bukan dia orangnya yang layak untuk memperkatakan perjuangan sebesar itu. Bukan dia! Bagi saya lebih molek dia cari isu-isu lain yang dia boleh lakukan. Pesan orang-orang tua, kalau nak mengukur baju biarlah mengikut badan sendiri.

Presiden parti kita ini sudah banyak sangat berangan-angan. Tidak berapa lama dahulu beliau berkempen Kepimpinan Beretika. Kempen itu tidak pergi ke mana-mana, malah tiada siapa di kalangan pemimpin yang ada pada hari ini ada etika kepimpinan kecuali beberapa orang pemimpin didikan Almarhum Tunku A Rahman dan Tun Razak yang masih ada di kalangan pemimpin-pemimpin kelas tiga pada hari ini. Tidak susah bagi kita untuk mengetahui sebab-sebab kempen-kempennya tidak menjadi. Dengan mudah sahaja kita tahu yang kempen retorik beliau ini adalah 'idea' yang didapati dari pihak ketiga yang beliau tidak dapat memahami dengan sepenuhnya. Beliau mengumumkan kempen-kempen tersebut semata-mata untuk menunjukkan kelainan dalam teks ucapan. Pelan pelaksanaan tidak disediakan. Jika benar pemimpin kita ada etika kepimpinan, tidak mungkin UMNO begitu bercelaru pada hari ini.

Ahli-ahli UMNO termasuk pemimpin-pemimpinnya sudah jauh terkeliru dalam perjuangan. Mereka tidak tahu kenapa mereka dipilih jadi pemimpin. Mereka akhirnya tidak tahu bagaimana hendak memimpin. Itulah sebabnya di dalam Islam kita mesti memilih pemimpin kerana kepimpinannya, bukan kerana takut kapadanya.
Singa adalah raja seluruh binatang. Singa jadi raja bukan kerana binatang-binatang di hutan sayang padanya tetapi kerana mereka takut kepada singa yang ganas itu. Jadi jika mendapat pemimpin seperti singa maka wazirnya akan menjadi serigala yang bercakap besar seperti hulubalang mempertahankan singa untuk kekal menumpang kuasa singa tadi. Apabila serigala mengganas maka anjing-anjing akan bersama-sama menyalak kerana memang sifat anjing hanya taat pada siapa yang memberi makan walaupun dia dikurung oleh tuannya. Apabila ada pihak yang hendak masuk ke rumah tuannya untuk mengambil kembali barang-barang yang dicuri tuannya, maka anjing-anjing ini akan dilepaskan untuk membaham mangsanya itu. Maka yang lain-lain ini hanya dijadikan kambing yang boleh dijual atau disembelih untuk juadah singa- singa dan serigala-serigala serta anjing-anjing tadi.

Akhirnya kita hanya dikambingkan. Itu sahajalah layaknya kita ini. JUMPA LAGI. Selepas ini saya hendak bercerita. Tajuk cerita saya ialah 'Anjing Sukom'. Tunggu besok!

27 November 2006

1. Kata-kata Hang Tuah

Lama juga rasanya saya menyertai UMNO serta bergiat bersamanya, tetapi belumlah saya merasakan kebimbangan seperti yang saya alami sekarang ini. Perasaan cemas dan bimbang ini amat jelas dirasakan bersama oleh ramai ahli-ahli serta rakyat jelata amnya. UMNO sekarang sudah tidak lagi sama dalam semua aspek, baik dari segi perjuangan, rupa bentuknya malah ianya sudah hilang segala identitinya yang asal dan akhirnya sudah pasti tidak mampu untuk menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan orang melayu dan bangsa- bangsa lain sejajar dengan fungsinya sebagai parti tunjang untuk perpaduan rakyat majmuk Malaysia.

UMNO kini sudah menjadi parti untuk manusia-manusia eksklusif. Perjuangan pemimpin di setiap peringkat hanya untuk kepentingan material peribadi yang keterlaluan sehinggakan ahli- ahli di bawah diperlakukan seperti lembu untuk kepentingan pemimpin-pemimpin atasan. Kami dibawah sentiasa dipersalahkan jika ada apa-apa masalah kapada parti. Orang yang lama sudah tidak dipedulikan pandangan mereka. Akhir-akhir ini kecenderungan untuk menerima bulat- bulat pandangan budak-budak yang masih mentah dan berhingus sudah begitu nyata.

Ahli-ahli di bawah dididik untuk mengamalkan ‘herd mentality’ dan tidak boleh mengkritik pemimpin walau sebesar manapun kesalahan yang dilakukan oleh mereka, lebih-lebih lagi kepada pemimpin nombor satu negara. Malahan bercakap benar adalah menjadi kesalahan besar bagi mereka yang mengaku melaksanakan pentadbiran dengan keterbukaan. Tugas perwakilan-perwakilan di perhimpunan UMNO hanyalah untuk tepuk tangan dan memuji pemimpin nombor satu negara.

Kita diminta bersatu untuk terus melindungi mereka yang rakus kuasa walaupun mereka tidak mampu mentadbir negara. Sesiapa sahaja yang memberikan pandangan yang berbeza dengan pucuk pimpinan dengan pantas oputunis-opotunis politik akan mengambil kesempatan. Zahid Hamidi begitu pantas membelasah Mukhriz Mahathir apabila Mukhriz memberikan komen yang betul terhadap ucapan dasar presiden di perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. Reaksi Zahid Hamidi tidak lebih daripada membodek dan mengambil hati Perdana Menteri, kerana menjadi Menteri adalah matlamat ketua bahagian Bagan Datoh ini. Zahid tahu yang PM perlukan suara-suara seperti ini. Memang ini adalah sifat pemimpin yang lemah seperti Pak Lah, yang perlukan pujian-pujian untuk menutup kelemahan kepimpinannya. Sekarang ini ramai pemimpin seperti Zahid yang berada dalam UMNO.

Sehingga hari ini, ahli-ahli tidak dapat mencari jalan untuk memberikan pandangan yang berbeza walaupun kita diminta menyelesaikan masalah mengikut saluran yang betul. Dimanakah saluran itu? Sampai bilakah ahli-ahli disekat untuk menyuarakan pandangan yang ada kelainan? Kalau ada silalah beritahu. Kami hendak tahu saluran itu kerana kalau ia penting untuk dibincang secara terbuka bagi menyelamatkan bangsa dari terjerumus ke lembah kehinaan. Kata-kata Hang Tuah yang "Melayu Tidak Akan Hilang Di Dunia" itu benar. Di mana- mana ada melayu. Akan tetapi kalau inilah kualiti kepimpinan yang kita harapkan untuk menjaga warisan kita saya sudah yakin MELAYU AKAN HILANG DUNIANYA.