30 September 2012

Tunggu sahaja penggal ini tamat tempohnya

Najib adalah PM pertama yang menjadi ketua negara yang tidak mendapat mandat kepimpinan beliau dari rakyat walaupun sesudah menjadi PM selama empat tahun. Beliau hanya meneruskan mandat Abdullah Badawi dan ini sudah cukup menunjukkan yang Najib menjadi PM dengan meminjam mandat Abdullah Badawi dahulu sahaja.

Najib memangnya tidak pernah di uji dalam kepimpinannya. Beliau selama ini mendapat kedudukan secara percuma dengan bermain dengan sikap ‘play-save’ dan tidak pernah melalui ujian melalui krisis besar dalam kepimpinannya. Najib mendapat segala-galanya dengan percuma dan menaiki kedudukan sekarang melalui permainan selamat dan tidak menunjukkan sikap tegas dalam mana-mana krisis yang telah dilalui oleh UMNO.

Najib bermain politik mengikut resmi air, ‘di mana lekok di situ dia berhenti dan berkumpul’. Dia tidak pernah menentang arus semasa perlu menentangnya. Beliau akan sentiasa mengintai untuk memihak ‘the buttered side of the bread’. Kali ini beliau telah berjaya menjadi Perdana Menteri dengan permainan selamat itu, tetapi sekarang sudah sampai waktunya beliau untuk membuat keputusan yang ‘decisive’ untuk negara.

Tetapi malangnya beliau begitu lembek dan tidak berupaya melakukan apa yang sepatutnya beliau lakukan dalam krisis keyakinan rakyat yang sedang beliau lalui sekarang ini. Krisis keyakinan rakyat ini di tambah pula dengan masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh UMNO iaitu masalah keyakinan kepimpinan di bawah-bawah beliau serta ahli UMNO keseluruhannya. Najib tidak mendapat dukungan padu dari barisan pimpinan UMNO diperingkat tertinggi dan ahli-ahli Jemaah Kabinet yang bersama-sama membarisi kepimpinan dalam kerajaan.

Sebenarnya Najib tidak mengetahui keadaan sebenarnya yang berlaku di peringkat bawahan ini dan ramai merasakan yang Najib akan jatuh oleh kerana beliau tidak merasakan apa yang sebenarnya yang diresahi oleh rakyat. Beliau seperti sifat semula jadi beliau, di dalam politik jika ada masalah cara penyelesaiannya ialah dengan membayar dan membeli perasaan ramai.

Itulah sebabnya beliau membentangkan belanjauan 2013 jumaat lepas dengan menumpukan usaha membeli undi dengan ‘hand-outs’ berbentuk tunai kepada rakyat yang mempunyai pendapatan dibawah RM3000 dalam program BRIM beliau. Tetapi beliau masih lagi enggan untuk membubarkan parlimen kerana ada perasaan kurang keyakinan terhadap sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau Sudah empat tahun menduduki kerusi PM, tetapi beliau masih belum berani untuk mendapatkan ‘endorsement’ rakyat itu.

Selemah-lemah Abdullah Badawi beliau berani memanggil pilihanraya umum hanya selama 6 bulan beliau mengambil alih jawatan PM dari Mahathir Mohammad. Abdullah lagi ‘strategic’ dalam pemikiran beliau. Beliau sedar beliau telah mengambil alih kepimpinan dari Dr Mahathir semasa rakyat hanya menunggu masa untuk menolak Mahathir di dalam pilihanraya 2004 jika Mahathir masih menjadi teraju kepimpinan negara pada 2004 yang lalu. Mahathir bernasib baik kerana beliau telah mendapat ‘signal’ jelas dari rakyat dan beliau bertindak meletakkan jawatan.

Abdullah beruntung kerana semasa itu rakyat terpaksa memberikan sokongan padu kepada sesiapa yang mengambil alih kepimpinan dari Mahathir. Justeru itu Abdullah telah mendapat mandat  yang amat besar semasa PRU 2004.

Sebaliknya Najib telah mengambil alih sudah lama dari Abdullah tetapi sehingga hari ini beliau tidak mempunyai kudrat untuk memanggil pilihanraya lagi. Oleh kerana tempuh penggal ini sudah hampir tiba, jika Najib memanggil PRU sekarang pun, rekod tetap tercatat yang Najib merupakan satu-satunya PM negara yang tidak mndapat ‘endorsement’ peribadi dari rakyat atas kepimpinan beliau. Mungkin oleh kekurangan inilah Najib bertindak untuk bercakap besar dan meninggi seolah-olah beliaulah PM yang paling handal dan berpengaruh.

Oleh yang demikian memanggil PRU itu sekarang atau membiarkan sahaja tempoh penggal ini tamat pada 28hb April tahun depan ia tidak memberikan apa-apa perbezaaannya. Beliau tetap seorang PM yang tidak terbukti mendapat ‘endorsement’ peribadi dari rakyat jelata.

Najib tidak payah bersusah payah memikirkan tarikh pilihanraya itu. Tamat sahaja tempoh penggal ini, iaitu pada 28hb April tahun depan  Dewan-Dewan Undangan Negeri akan terbubar dengan sendirinya. Tidak payah berfikir lagi bagi Najib kerana tentu beliau telah banyak berfikir tetapi belum juga mendapat penyelesaiannya.

Najib mungkin masih belum memahami yang bajet yang beliau bentangkan dua hari yang lepas tidak akan dapat mengubah pendirian sebahagian besar rakyat yang telah membuat keputusan.

Segala kemungkaran politik dan ekonomi yang dilakukan oleh pimpinan UMNO selama ini sudah menjadikan rakyat sudah ‘conclusive’ untuk menolak UMNO kerana terlalu lama masa telah diberikan kepada UMNO untuk kembali kepangkal jalan, tetapi tidak juga berbuat demikian kerana parti itu sudah tidak dapat lagi hidayah yang telah hilang itu.

Ingat pesepsi rakyat terhadap UMNO, ‘UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing’,   di antara satu dengan lain. Persepsi ini tidak dapat membawa UMNO kembali di hormati sepert yang pernah mereka alami pre- Mahathir dahulu.

Lagi pun, pada bila-bila pun PRU itu di adakan, keputusannya adalah 'predictable'. Keputusan sudah berada ditangan rakyat sekarang.

29 September 2012

Bajet 2013, bajet 'bunga telor'

Pilihanraya kali ini sangat mahal harganya. Mahal sungguh untuk pihak pemerintah untuk mempertahankan kuasa yang semakin menipis itu. Semalam hampir dua jam Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita membentangkan bajet 2013 dan begitu ramai yang memanggil saya untuk minum kopi dan memberi komen tentang pembentangan bajet itu.


Saya telah membuat kenduri untuk dua orang anak saya berkahwin dan apa yang saya nampak bajet kali ini banyak memberikan tumpuan kepada ‘handouts’ untuk pilihanraya dan ianya tidak lebih dan tidak kurang seperti pemberian ‘door gifts’ kepada tetamu yang datang untuk kenduri kendara kahwin anak-anak kita.

Salah seorang dari rakan saya yang berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan memberitahu saya seminggu yang lepas yang bajet kali ini adalah bajet ‘bunga telor’. Apabila saya bertanya apa maksud beliau, dengan tegas beliau mengatakan yang bajet kali ini ialah bajet yang menumpukan untuk membeli hati dan jiwa rakyat. BRIM sana BRIM sini dan semuanya itu bukannya memberikan apa-apa faedah jangka panjang tetapi hanya sekadar untuk membeli perasaan rakyat untuk pilihanraya sahaja.

Pemberian ‘bunga telor’ ini hanyalah untuk digunakan buat sementara waktu sahaja iaitu semasa pilihanraya. Najib mengharapkan rasa suka itu akan masih terasa berada di dalam hati pengundi apabila pilihanraya di adakan. Apa yang berlaku selepas itu mereka (BN) tidak peduli kerana jika mereka mendapat mandat lagi BN ada lima tahun lagi untuk mengelentong rakyat sesuka hati mereka.

Najib membentangkan kepada kita semua sebanyak 80 peratus dari belanjawan 2013 ini adalah belajawan menguirus. Hanya 20 peratus sahaja dari jumlah itu untuk membina pembangunan ekonomi negara. Nampak dengan jelas yang kerajaan hanya menumpukan perbelanjaan untuk menampung perkhidmatan awam dan perbelanjaan mengurus yang lain.

Kali ini benar-benar bajet membeli undi dan bajet bunga telor. Bunga telor selalunya nya kita dapati dari seseorang apabila dia menjemput menghadiri majlis perkahwinan yang hanya datang tiga atu empat tahun sekali. Tetapi bunga telor itu tidak dapat memberi faedah jangka panjang pada penerimanya. Ia hanya setakat kenang-kenangan sahaja. Pembayaran ‘one offs’ seperti ini tidak akan membawa apa yang di cita-citakan rakyat untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Ia akan hanya tinggal slogan dan slogan terus-menerus.

Tetapi apa yang kita boleh rumuskan pemberian ‘gula-gula’ ini sangat mahal harganya. Lain-lain perkataan rakyat terpaksa menanggung harga yang begitu tinggi untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya itu.

Itulah sebabnya saya berfikir yang bajet anjuran Pakatan Rakyat itu lebih realistik jika kita memilih untuk mengekalkan negara kita sebagai negara yang maju pada masa yang akan datang serta memberikan keringanan kepada kehidupan rakyat biasa.

Rakyat akan lebih terasa kebaikannya jika hutang PTPTN serta harga kereta yang murah dirasai oleh rakyat kerana ini lebih memberikan munafaat kepada rakyat yang ramai. Mendapat BRIM sebanyak rm500 itu tidak dapat menampung kos penghidupan yang tinggi yang di alami oleh rakyat. Rakyat mahukan joran bukannya mahukan ikan yang cepat busuk itu.

Pihak BN boleh menuduh PR mengemukakan bajet bayangan yang tidak boleh dilaksanakan dan akan membawa negara kearah kebangkrapan tetapi dalam politik dan siasah mengharap itu adalah satu perkara yang biasa dan dirasai oleh setiap rakyat di mana-mana sekali pun.

Jika PR tidak berjaya melaksanakan janji-janjinya rakyat mempunyai kuasa untuk menurunkan mereka kembali di dalam pilihanraya yang berikutnya. Apabila sampai ke taraf itu maka barulah benar-benar rakyat yang mempunyai kuasa menentu siapa yang perlu di berikan mandat dan bukannya rakyat dipaksa oleh BN untuk menyambung mandat bagi mereka melakukan segala noda dan dosa terhadap politik dan ekonmi negara dan rakyat kita.

Rakyat tidak perlu takut untuk memberikan keyakinan kepada PR kerana jika PR mendapat mandat ke Putrajaya ia hanyalah TOL (temporary occupancy license) bukannya mempunyai hak untuk mendudukinya secara kekal. Itulah kesilapan BN selama ini kerana mereka menganggap Putrajaya itu adalah tempat yang boleh diduduki secara kekal dan boleh melakukan apa sahaja di Putrajaya itu.

Bagi saya bajet kali ini ibarat ‘door gift’ semata-mata, tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Maklumlah pilihanraya akan sampai tidak lama lagi.

Rakyat tetap menjadi penentu dalam pilihanraya kali ini. Rakyat boleh memilih BN, tempat dan sumber rasuah dan salah gunakuasa yang besar atau memilih pihak yang serius untuk membetulkan dan menyelamatkan negara untuk generasi kita yang akan datang.

Jika BN masih mendapat mandat percayalah kita akan menyaksikan rasuah akan berlaku lebih dahsyat lagi pada masa-masa yang akan datang. Kenapa begitu?

Jawapannya mudah. BN akan percaya yang rakyat boleh ditipu setiap pilihanraya seterusnya sampai bila-bila. BN akan memperkuatkan lagi kepercayaannya rakyat, khususnya orang Melayu, akan memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka melakukan rasuah secara terang-terangan.

Mereka akan lebih percaya yang  rakyat terutamanya orang Melayu boleh melupakan dosa dan noda mereka dengan memberikan mereka ‘gula-gula’ apabila pilihanraya mendatang. Apabila sampai ketahap itu tidak akan dapat lagi sesiapa untuk berbuat apa-apa.

Negara hancur dan terus hancur dan tidak siapa lagi boleh memperbaikinya lagi.

27 September 2012

Di antara bajet BN dan bajet Pakatan Rakyat

BN dan Pakatan Rakyat memperagakan bajet 2013 masing-masing. Pihak Pakatan Rakyat telah membentangkan bajet bayangannya dua hari sebelum Najib membentangkan bajet pihak BN. Najib akan membentangkan bajetnya pada Jumaat ini dan dijangka bajet itu adalah bajet pilihanraya. Tanda-tanda bajet itu akan memasukkan banyak peruntukan pemberian tunai kepada rakyat itu adalah jelas dan telah pun diakui oleh beberapa orang pemimpin-pemimpin BN.

Itu tidak memeranjatkan sesiapa kerana Najib begitu popular dengan membeli hati dan jiwa rakyat dengan wang ringgit. Bagi Najib bayar sana, bayar sini adalah cara yang beliau selalu lakukan baik dalam kerajaan mahupun di dalam kegiatan parti. Najib mentadbir kerajaan seperti beliau mentadbir UMNO bahagiannya  di Pekan.

Dalam pada itu PR juga mengemukakan bajet pihaknya untuk membezakannya di antara bajet yang selalu dibentangkan oleh BN. Beberapa pemimpin kerajaan termasuk menteri-menterinya telah mengkritik bajet Pakatan Rakyat dan menuduh PR sedang cuba untuk menarik undi dan bajet anjuran PR itu adalah bajet yang tidak realistik.

Saya hanya hendak memberi komen tentang isu realistik atau tidaknya bajet PR yang dikatakan oleh pemimpin samseng BN seperti Nazri Aziz dan beberapa ‘hulubalang’ BN itu sebagai bahan lawak itu.  Nazri membuat komen yang tidak beretika sehinggakan dia mengatakan bajet anjuran PR itu adalah bajet bodoh. Bagi saya hanya orang bodoh sahaja yang mengenali si bodoh yang lain.

Entah mana letak cerdiknya pemimpin BN seperi Nazri ini tidak pula kita ketahui kerana jika benar mereka itu cerdik masakan rakyat memberontak terhadap BN dan hanya menunggu masa untuk menunjukkan perasaan mereka dalam peti undi nanti. Pemimpin yang bodoh akan sentiasa menganggap pihak lain itu sama bodoh dengan mereka.

Di atas kebodohan pemimpin-pemimpin kerajaan inilah yang membezakan bajet BN yang kita lihat setiap tahun yang tidak pernah tercapai seperti apa yang mereka (BN) bajetkan selama ini. Jika bajet mereka benar-benar berjaya selama ini berjaya dilaksanakan, keadaan keresahan rakyat seperti yang kita semua rasakan pada hari ini tidak akan berlaku kerana dalam pembentangan bajet selama ini semuanya adalah pembentangan yang baik-baik belaka. Tidak ada yang tidak baik tetapi hasilnya kita sama-sama saksikan sekarang.

Oleh yang demikian yang sudah terbukti tidak berjaya ialah bajet BN dan tentulah apa yang dibentangkan oleh kerajaan dalam bajet setiap tahun itu adalah bajet yang tidak realistik dan tidak boleh dilaksanakan dengan sempurna. Janji-janjinya di dalam pembentangan bajet-bajet tersebut tinggal hanya bajet dan tidak pernah terlaksana dengan baik.

Tetapi apa yang saya hendak tekankan ialah dari segi sikap pemimpin-pemimpin BN dengan reaksi mereka terhadap bajet yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat petang semalam itu. Satu perkara yang nyata kita lihat apa sahaja yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat itu tidak elok kepada BN. Jika pembentangan dari PR itu baik tentulah ianya tidak baik bagi BN kerana ia akan memberikan saingan dan mengecilkan serta merendahkan pandangan rakyat terhadap BN yang ‘ego’ dan ‘arrogant’ BN itu.

BN tidak mahu mengaku yang apa yang mereka tidak mampu melakukannya tidak semestinya tidak mampu dilaksanakan oleh pihak lain, dan dalam isu ini pihak Pakatan Rakyat. Pemimpin melakukan ‘equation’ kemampuan Pakatan Rakyat itu sama lemahnya seperti kemampuan BN.

Bajet yang diunjurkan oleh PR itu jika diserahkan kepada BN untuk melaksanakannya tentunya tidak termampu untuk mereka (BN) melaksanakannya kerana kemampuan BN sangat terbatas. Justeru mereka (BN) menganggap apa yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat itu tidak realistik dan tidak boleh dilaksanakan mengikut tahap kemampuan mereka (BN).

Apa yang lebihnya dalam bajet bayangan Pakatan Rakyat itu ialah ia mengandungi elemen moral yang tidak akan ada di dalam bajet BN itu. Pakatan Rakyat dengan keyakinan tinggi memasukkan elemen pembersihan pentadbiran kerajaan dengan membasmi segala ketirisan yang berlaku dalam kerajaan sekarang dan ianya merupakan salah satu dari sumber perolehan untuk mengisi bajet yang telah dibentangkan semalam.

Mengelolakan ketirisan yang sebanyak RM28 billion setahun itu merupakan jumlah yang besar yang kerajaan Pakatan Rakyat boleh memunafaatkannya untuk rakyat jelata. Ianya lebih mengutamakan ‘efficiency’ yang merupakan satu perkara buruk yang sangat ketara dalam pentadbiran BN sejak dua tiga dekad yang lalu.

Apa yang dibentangkan di dalam bajet bayangan ini amat menakutkan pihak BN dan ianya telah memberi bayangan kepada rakyat yang apa yang terkandung di dalam bajet itu merupakan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan jika ada kemahuan dan ketekunan untuk melaksanakan apa yang telah dibentangkan itu.

Tetapi pihak yang mengamalkan rasuah yang sampai ke peringkat ketagihan itu tidak akan dapat menerima bajet bayangan yang telah dibentangkan itu. Sememangnya bajet bayangan PR ini tidak ada ruang untuk pihak yang berkuasa untuk melakukan rasuah dengan sewenang-wenangnya dan sememangnya akan dianggap tidak realistik oleh pihak BN.

Bagi BN semua yang dibajetkan itu mesti ada ‘variables’ yang membolehkan mereka mendapat bahagian dalam semua perbelanjaan kerajaan dalam bentuk komisyen atau sebagainya. Kalau tidak ada elemen yang membolehkan mereka membuat ‘duit luar’ akan dianggap tidak realistik.

26 September 2012

Kepercayaan UMNO adalah segala-galanya adalah pemikiran usang

Kenyataan Dr Mahathir terhadap apa yang beliau katakan sebagai ‘Melayu tidak berterima kasih’ dan ‘tidak bersyukur’ memberikan reaksi yang sangat besar terhadap kewibawaan BN dalam menghadapi PRU yang akan datang. Bagi Mahathir Melayu yang tidak menyokong UMNO itu adalah Melayu yang tidak bersyukur dan Melayu yang tidak berterima kasih.

Kenyataan Dr Mahathir itu telah memisahkan ramai Melayu di antara dua pihak yang bertentangan dengan lebih dalam lagi dan kata-kata Dr Mahathir itu sangat menyentuh ramai Melayu yang sedang dalam pencarian sekarang ini. Mengatakan Melayu tidak bersyukur dan tidak berterima kasih itu adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana adalah tidak wajar untuk menuduh Melayu yang betul-betul Melayu itu tidak bersyukur. Hanya orang Melayu yang benar-benar Melayu sahaja yang tahu isi hati orang Melayu sendiri.


Jika benar UMNO telah berjuang dan berusaha untuk menyatukan orang Melayu tidak akan berlaku perpecahan seperti yang kita alami sekarang ini. Enam puluh enam tahun mengaku sebagai parti yang menyatukan orang Melayu tetapi apa yang kita  sekarang ini hanya menunjukkan kegagalan UMNO untuk melakukannya. Bagi Mahathir dan pemimpin UMNO yang lain bersatunya Melayu itu ada beberapa cara:

Pertamanya, Melayu mesti menyokong UMNO bulat-bulat dan jangan mengambil kira samada UMNO itu jujur atau tidak. Mereka menganggap Melayu mesti dipenjara dan diberi makan sikit-sikit untuk mengelak orang Melayu dari berfikir dan bertindak mengikut kehendak zaman dan waktunya. Kalau pemimpin rasuah ditabur benih-benih nilai yang membunuh orang Melayu sendiri seperti ada sesetengah Melayu yang berkata, “kalau Melayu rasuah itu Melayu, orang Melayu juga yang kaya. Apa yang hendak dicemburukan?”

Apa sahaja yang pemimpin mereka buat jangan dipersoalkan. Yang Melayu mesti lakukan ialah menyokong sahaja dan jangan berbuat apa-apa. Terima sahaja bantuan rakyat 1Malaysia (BRIM) dan bersyukurlah sampai mati. Terima sahaja bantuan dua batang gigi palsu dan terus mengundi UMNO sampai mati. Itu adalah sifat berterima kasih. Kalau tidak menyokong UMNO pulangkan balik gigi palsu itu kepada kerajaan.

Pemandu teksi diberikan empat tayar percuma dan dengan empat tayar percuma itu UMNO mesti disokong tanpa berbelah bagi. Apa yang pemimpin buat di atas jangan dipersoalkan kerana mereka dah dapat empat biji tayar. Banyak lagi pemberian kerajaan yang kecil-kecil ini diperguna untuk menambat jiwa dan hati orang Melayu dan di harap terus menyokong parti itu. Kalau tidak menyokong kononnya orang Melayu akan hilang di dunia ini, tetapi mereka tidak sedar perlakuan pimpinan kita akan membuatkan orang Melayu hilang dunianya.

Cara keduanya ialah dengan membina perasaan benci terhadap bangsa bukan Melayu untuk dijadikan sebagai fakta yang boleh menyatukan orang Melayu. Pakatan Rakyat jika memerintah akan menghilangkan kuasa Melayu dalam politik dan merendahkan martabat agama Islam. Isu ini dimainkan dengan begitu hebat di kampung-kampung dan desa-desa bagi menakutkan orang Melayu untuk memberikan sokongan kepada parti-parti selain dari UMNO.

UMNO itu adalah segala-galanya kepada orang Melayu. Tidak ada UMNO tidak akan selamat orang Melayu itu dunia akhirat. Itulah yang UMNO cuba tanamkan dipemikiran orang Melayu.  Itulah yang telah diyakini oleh orang Melayu sebegitu lama. Tetapi kepercayaan itu tidak lagi kekal dalam pemikiran orang Melayu kerana UMNO sendiri telah menunjukkan yang itu hanyalah satu mitos yang usang.

Janji UMNO untuk membina masyarakat bersatu padu sebagai matlamat yang ‘ultimate’ telah gagal samasekali malahan UMNO pula yang menyuntik perasaan curiga- mencurigai diantara kaum dan agama. Memperbaiki kedudukkan ekonomi orang Melayu juga merupakan satu yang dijanjikan oleh UMNO kepada rakyat tetapi orang Melayu tetap berada ditahap yang lama setelah UMNO melalaikan dasar-dasar yang telah terbentuk sebelum Mahathir mengambilalih kepimpinan. Hanya segelintir orang Melayu yang mendapat segala-galanya dan tidak payah kita ulangi acapkali.

UMNO tidak lagi mempunyai ‘attribute’ sebagai parti yang memerintah dengan sikapnya yang sama seperti parti-parti yang memulakan kejatuhan seperti yang kita lihat dimerata-rata negara didunia ini. UMNO menampakkan sangat rasa ‘desperado’nya untuk kekal berkuasa dan itu tidak lagi ada sifat seperti parti pemerintah yang ‘magnanimous’ yang berlaku adil kepada semua rakyat jelata. 

UMNO gagal untuk memperbaiki diri mereka. Mereka tidak tahu ‘priority’ dalam penyelesaian kemelut politik hari ini. Mereka gagal untuk mengakui bahawa yang paling utama untuk di selesaikan ialah imej dan stigma rasuah yang telah melekat begitu ketara kepada UMNO. Rakyat yang berfikir tahu jika rasuah tidak dapat dihapuskan tidak ada penyelesaian terhadap masalah mereka. Kita tahu jika kerajaan itu kerajaan rasuah tidak akan ada dan terjumpa lagi mereka (kerajaan) membuat keputusan dengan betul.  Rasuah itu adalah pembunuh kepada tamaddun manusia dan jika rasuah berluas-luasa, percayalah negara tidak akan menjadi betul lagi sampai bila-bila.

Dengan keadaan ini ‘mindset’ rakyat sudah berubah dan ianya telah memadamkan segala kerja baik yang terdahulu kerana politik ini berkisar kepada keadan terkini dan masa depan negara.

Jika ‘mindset’ Melayu sudah berubah maka perubahan sebanyak 5 peratus sudah mencukupi  untuk mengalih dan menganjakkan siapa yang akan memerintah negara selepas ini. Orang Melayu bukannya sesuka hati untuk menganjak dan mengalih atau mematahkan BN ini. Mereka bukan mematahkan semata-mata untuk mematahkan. Ianya bersebab dan penyebab ini telah wujud sejak hampir tiga puluh tahun dahulu.

Pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang amat kritikal dan ia akan menentukan samada negara akan masih ditadbir oleh mereka yang tidak boleh dipercayai atau oleh mereka yang akan melakukan perubahan dalam segala-galanya semata-mata untuk menentukan Malaysia kekal sebagai negara yang mempunyai ‘consequence’ di mata masyarakat antarabangsa. Kaum bukan Melayu sudah menentukan sikap mereka. Jika ada perubahan sebanyak 5 peratus dikalangan orang Melayu maka UMNO wajar menerima kenyataan yang sekarang adalah giliran mereka untuk duduk di kerusi pembangkang.

Inilah yang membuatkan Dr Mahathir bercakap tidak berhenti-henti untuk menyelamatkan kuasa yang berada di tangan BN pada masa ini. Segala kritikan beliau terhadap orang Melayu sekarang ini adalah kritikan kepada dirinya sendiri. Kekuatan yang bertambah yang dibentuk oleh pihak pembangkang sekarang telah diperkuatkan lagi oleh Mahathir sendiri.

Kata-kata Dr Mahathir kini merupakan kata-kata yang ‘counter productive’ bagi UMNO dan BN. Lagi banyak Dr Mahathir bercakap lebih mudah lagilah Pakatan Rakyat untuk meneruskan perjalanan ke Putrajaya itu. Orang Melayu mempunyai ‘alternative’ yang banyak, di antaranya PAS akan menjadi pilihan kepada perjuangan orang Melayu bersama dengan Islamnya dan DAP pula telah mengakui yang mereka (DAP) bahawa orang Melayu merupakan tonggak kepada politik dan siasah orang Melayu.

Tiada parti yang selamat tanpa sokongan orang Melayu dan itulah juga sebabnya UMNO merasa tidak selamat kerana kehilangan sokongan Melayu yang agak mendadak sekarang ini.

Sesungguhnya UMNO sedang menghadapi masalah yang tidak dapat digambarkan besarnya dengan kata-kata. UMNO bermasalah dan akan terus bermasalah….. Jika sesebuah parti menghadapi masalah yang besar ia akan meruntuhkan lagi keyakinan rakyat yang akan mengundi.

25 September 2012

Kerugian BNM RM30 billion timbul kembali

Saya berasa lega apabila isu kerugian Bank Negara Malaysia sebanyak lebih dari RM30 billion dalam pertukaran wang asing hasil dari tindakan Nor Mohamad Yakcop yang telah membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan ‘forex trading’ pada 1992 dahulu timbul di dalam sidang Dewan Rakyat. Saya berasa lega kerana saya pernah dibelasah oleh pembaca blog saya semasa itu kerana menulis tentang isu ini. Saya dituduh membuat fitnah dan tidak bertanggungjawab.

Seperti biasa Dr Mahathirlah yang mempertahankan Nor Mohamad Yakcop dan tidak membenarkan Menteri Kewangan semasa itu untuk mengambil tindakan terhadap Nor Mohamad Yakcop. Jika ditanya Nor Muhamad Yakcop beliau dengan tangkas sahaja berselindung di bawah ketiak Dr Mahathir dan berkata tindakan beliau itu adalah di atas arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammed.

Saya berasa lega kerana Parlimen telah bertanya untuk mengetahui berapa jumlah kerugian sebenarnya dalam skandal pertukaran wang asing itu. Kerugian dari pertukaran wang asing ini merupakan kerugian yang terbesar dalam sejarah negara dan tidak ada sebab Nor Mohammad Yakcop tidak boleh diambil tindakan semasa itu.

Perdana Menteri telah memberitahu Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim,  supaya jangan mengambil tindakan terhadap Nor Mohammad Yakcop dan Nor Mohamad Yakcop telah berhenti dari BNM. Selepas kerugian yang dilakukan oleh ketua jabatan perbendaharaan BNM itu beliau telah dinaikkan pangkat dan darjat di dalam kerajaan dengan perlantikan beliau sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan persekutuan.

Di negara ini jika seseorang itu berada di dalam kroni Perdana Menteri dan melakukan kesalahan besar mereka akan dinaikkan pangkat dan tanggungjawab yang lebih besar lagi. Nor Mohammad Yakcop sejak itu telah dinaikkan taraf dan kedudukan beliau oleh Dr Mahathir sehingga beliau menjadi Menteri Kewangan dan sekarang Menteri yang penting dalam Jemaah Kabinet negara.

Saya telah banyak menulis tentang etika kepimpinan dalam blog ini sejak beberapa tahun dahulu. Manusia yang diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Mahathir, kebanyakannya adalah mereka yang tidak berkelayakan dari sudut moralnya untuk memikul apa-apa tanggungjawab dalam perkhidmatan awam. Bagi Mahathir rekod buruk seseorang itu tidak penting dan mereka diberi kemudahan untuk menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam. Yang penting seseorang itu mestilah taat setia tanpa berbelah bagi. Apa yang akan mendatang hasil dari pilihan yang salah itu tidak penting.

Kalau salah kata sistem dan etika kenegaraan, benar kata Dr Mahathir. Mahathir memang tidak boleh bekerja dengan pemimpin yang baik yang tiada masalah ‘baggage’ peribadi. Lagi besar masalah seseorang itu lagi senang hati Dr Mahathir untuk melantiknya kerana melantik orang-orang seperti ini akan memudahkan beliau untuk mengawal mereka.

Bagi Dr Mahathir sistem dan etika itu boleh dipersetankan. Apa yang akan terjadi kemudian hari itu tidak penting dan semua yang berlaku sekarang ini adalah kerana pimpinan tidak boleh menahan diri dari melantik mereka yang rapat dengan mereka (pimpinan) walaupun tidak mempunyai ‘moral standing’ untuk menjawat jawatan terpenting kerajaan kita. Orang yang mencuri diberi tugas untuk menjaga harta benda rakyat.

Akhirnya tidak ada di kalangan yang dibawa ke tengah oleh Dr Mahathir boleh dipercayai untuk menjaga nasib anak bangsa dan negara seperti yang sedang kita rasakan akibatnya sekarang ini. Penggubal dasar yang diamanahkan untuk menjaga kementerian (Menteri) yang sepatutnya memerhati dan memastikan segala dasar dilaksanakan dengan betul termasuk mengelak daripada rasuah kini bersekongkol dengan pegawai tertinggi kementerian mereka dan bersama-sama melakukan rasuah.

Kalau begitu keadaannya kita hendak bertanya, di manakah rakyat hendak meletakkan harapan mereka yang ramai untuk menjaga negara dan kerukunan rakyat? Sekarang rakyat sudah mual dengan janji-janji yang ditabur oleh pimpinan hari ini, maka adalah tidak salah jika rakyat yang sudah begitu lama melakukan 'soul searching’ untuk bertindak mengikut lunas yang dibenarkan oleh perlembagaan negara iaitu melalui pilihanraya yang akan datang  ini.

Sesungguhnya pimpinan UMNO baru menyedari penolakan rakyat terhadapnya dan barulah kita mendengar pemimpin yang begitu takbur dan sombong merayu dan meminta belas ehsan rakyat tetapi semuanya itu sudah terlalu lambat untuk mendapat pertimbangan rakyat. Pemimpin yang berkuasa kini sudah menjadi kembiri politik merayu dan menadah tangan untuk mendapatkan sambungan mandat rakyat.

Dua tiga hari yang lepas Najib merayu agar beliau diberikan peluang untuk berada di Putrajaya sepenggal lagi seolah-olah pembangkang sudah memerintah lama di negara ini. Selama ini rakyat telah memberikan kepada BN sebanyak 12 kali peluang dan ia bermakna BN telah memerintah selama 12 penggal. Bukankah selama ini BN telah diberikan peluang itu oleh rakyat?

Sepatutnya pembangkanglah yang meminta untuk diberikan peluang penggal ini untuk membuktikan kemampuan mereka mentadbir kerajaan persekutuan kerana PR telah menunjukkan rekod yang baik dalam mentadbir empat buah negeri dalam persekutuan ini. Jika PR tidak berkemampuan untuk melaksanakannya rakyat masih berhak untuk mengembalikan kuasa kepada pihak BN dalam pilihanraya yang berikutnya.

Tetapi buat kali ini mandat wajar diberikan kepada pihak alternatif dan rakyat sudah ramai menerima hakikat yang BN terutamanya UMNO sudah sewajarnya duduk di pihak pembangkang di Dewan Parlimen penggal ini untuk memberi peluang untuk mereka melakukan introspeksi terhadap diri mereka serta memperbaiki diri mereka supaya lebih memahami yang manusia dan makhluk itu sentiasa berubah. Manusia termasuk rakyat negara kita juga ingin bersama berubah kerana mereka bukan makhluk yang statik. Rakyat mahu merasakan ‘ambience’ baru dalam negara setelah begitu jemu mengalami di bawah pentadbiran yang mengelirukan ini.

Rakyat ramai juga ada perasaan. Bukan pemimpin UMNO sahaja yang mempunyai perasaan itu. Bukankah kita ini manusia yang merupakan secantik-cantik kejadian Tuhan? UMNO mesti menghormati rakyat dan jangan terus menerus mempersendakan perasaan rakyat yang sedang melakukan introspeksi diri dengan serius.

UMNO wajar memberhentikan buruk laku ini. Jadilah sebuah parti yang 'gentleman'. Jangan jadi parti ‘gila talak’. Apabila sampai waktu duduk di luar, duduklah di luar.

24 September 2012

Dr M, Melayu mahu bersatu, tetapi bersatu di luar UMNO

Saya telah cuba untuk tidak menulis tentang Dr Mahathir lagi tetapi tidak dapat saya berbuat demikian kerana beliau masih lagi menyalahkan semua orang di atas perpecahan orang Melayu sebagaimana anggapan beliau sekarang. Dalam tulisan beliau dalam Mingguan Malaysia semalam beliau menzahirkan perasaan sedih di atas apa yang telah terjadi kepada orang Melayu yang pada beliau akan hilang kuasa politiknya disebabkan perpecahan sesama sendiri.

Tidak susah untuk memikirkan siapa yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir sebagai Melayu yang tamak kuasa yang telah memecahkan Melayu itu. Ia tidak lain selain dari Anwar Ibrahim yang telah menjadi duri dalam daging kehidupan sepanjang hayat beliau. Mahathir masih lagi bercakap tentang Melayu yang beliau sendiri telah pecahkan dan hasil dari perpecahan itu dilontarkan kesalahannya kepada semua orang kecuali diri beliau sendiri.

Utusan menggambarkan yang beliau telah menangis memerhatikan perpecahan orang Melayu sekarang ini. Tetapi Dr Mahathir mesti faham yang orang Melayu telah lama menangis dan tersedu di atas perbuatan beliau memecahbelahkan pimpinan dan premis perjuangan Melayu iaitu UMNO selama ini. UMNO telah beliau jadikan sebagai alat permainan beliau dengan menggunakan sentimen Melayu yang menebal dan menggunakan simpati dan sokongan Melayu itu untuk kepentingan peribadi beliau.

Kata perbilangan ‘sesal dahulu pendapatan, kesal kemudian tiada gunanya’. Inilah yang patut Dr Mahathir rasakan sekarang dan berhenti mengalih dan melontarkan kesalahan kepada orang lain seperti Pak Lah dan Anwar Ibrahim. Di sini Dr Mahathir perlu merasakan kekesalan di atas permainan politik melampau beliau sehinggakan UMNO tidak ada lagi pemimpin yang mempunyai roh perjuangan yang sejati melainkan pemimpin-pemimpin yang datang secara ‘dubious’ yang kita tidak tahu asal usul perjuangan mereka dan keluarga mereka.

Dr Mahathir telah mendapat segala kehendak politik peribadi beliau tetapi ‘at what cost?’ Berapakah harga yang terpaksa dibayar untuk mempertahankan Dr Mahathir itu? Kerosakan tentunya bermula dari suatu masa dan adalah tidak wajar Dr Mahathir untuk menyatakan yang kerosakan itu bermula dari zaman kepimpinan Pak Lah semata-mata.

Kerosakan yang kita lihat sekarang begitu teruk dan tidak mungkin ianya bermula dari zaman Pak Lah yang baru sahaja empat tahun meninggalkan kuasa setelah menjadi PM hanya selama lima tahun. Pak Lah itu sendiri merupakan pemimpin yang dari awal tidak sepatutnya menjadi Perdana Menteri. Begitu juag Najib dan Muhyiddin yang ada pada hari ini.

Tetapi mereka-mereka ini muncul ke depan kerana ketiadaan dan ketandusan kepimpinan dalam UMNO hasil dari penyingkiran pemimpin-pemimpin yang baik oleh Dr Mahathir dahulu. Berjayalah Dr Mahathir memperolehi apa yang beliau inginkan, iaitu barisan kepimpinan yang hanya ‘mengangguk seperti burung balam’ dalam UMNO. Tetapi Mahathir itu adalah makhluk seperti kita semua juga. Sampai masanya beliau terpaksa bersara dan apabila beliau bersara, di sinilah bermulanya masalah yang kita sedang hadapi sekarang. UMNO sudah menjadi parti yang kekeringan pimpinan, kosong dan tidak bermaya lagi.

Dr Mahathir tidak menjadikan alam yang terbentang luas ini sebagai guru. Padahal bukan kita tidak nampak jika sesebuah negara itu dipimpin oleh seseorang dengan jangkamasa yang terlalu panjang, negara itu akan kehilangan kepimpinan kerana semua mereka yang berkepimpinan itu akan mati ditelan masa. Bukan tidak ada contoh yang jelas yang boleh kita lihat dan dijadikan pelajaran. Presiden Tito memerintah hampir 3 dekad, akhirnya apabila beliau tiada Yugoslavia berpecah menjadi 5 negara kecil yang berperang tiada kesudahannya.

Presiden Marcos, seorang yang mula pemimpin yang demokratik akhirnya menjadi diktator dan memerintah selama 20 tahun, akhirnya Filipina sehingga hari ini belum lagi dapat bangun ke tahap yang mereka pernah alami dalam tahun enam puluhan. Begitu juga Indonesia yang diperintah Suharto selama 30 tahun menjadi haru-biru dan baru sekarang sahaja negara tersebut  telah kembali menjadi negara yang disegani dan negara demokrasi terbesar selepas India di Asia ini.

Kita boleh perhatikan di mana-mana negara yang pemimpinnya memerintah sebegitu lama, akan mewarisi negara yang sarat dengan korupsi yang susah untuk dibendung. Euthopia, Algeria, Indonesia, Filipina, Zimbabwe dan terlalu banyak contoh yang membuktikan yang negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin terlalu lama akan menghadapi penyakit politik dan sosial yang besar dan memakan masa yang panjang untuk diperbetulkan.

Tuduhan Mahathir yang orang Melayu telah berpecah belah dan menganggap Melayu mudah lupa, tetapi elok kita ingatkan yang Mahathir sendiri sudah terlalu banyak perkara yang beliau telah lupa. Beliau terlupa kepada hakikat yang segala perbuatan kita akan diadili oleh rakyat pada masa yang akan datang. Ada di antara penyokong tegar UMNO membenci saya kerana saya tidak berhenti-henti menyebut perkara yang lama. Tetapi kalau tidak ada yang lama masakan ada yang baru.

Perbuatan pemimpin akan disebut sampai bila-bila. Apa yang dilakukan oleh Mahathir itu merupakan sejarah yang baru dan masih ramai yang hidup dan mengingatinya. Sejarah tetap diperkatakan selalu walau selama mana pun usia sejarah itu. Abu Jahal telah mati lebih dari 1400 tahun dahulu, namun namanya tetap disebut dengan apa yang dia telah lakukan.

Firaun tetap menjadi bacaan sejarawan walaupun zaman Firaun tu telah berlalu lebih dari 3 ribu tahun yang lalu. Sesiapa pun tidak boleh mengelakkan sesiapa dari menyebut hal sejarah walaupun sejarah itu telah berlalu ribuan tahun yang lalu. Sejarah tetap sejarah dan ia akan tetap menjadi bahan telaah rakyat di masa yang akan datang.

Dr Mahathir tidak boleh menyalahkan apa yang berlaku kepada orang Melayu kepada orang lain. Mahathir telah membiarkan UMNO menjadi reput dan apabila sampai ke tahap UMNO sudah tidak dapat diperbaiki lagi ini, beliau masih hangar-bingar menyebut isu ini seolah-olah beliau tidak ada kena mengena dengan keadaan yang berlaku ini.

Orang Melayu sedar yang mereka telah berpecah-belah. Maka mereka (orang Melayu) sekarang begitu ‘conclusive’ mengambil keputusan untuk bersatu di luar UMNO dan BN. Jika pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, termasuk dengan Dr Mahathir sekali inginkan perpaduan, saya mencadangkan supaya mereka-mereka ini turut sahaja kehendak orang Melayu untuk berpadu di luar UMNO itu. Pemimpin UMNO harus menerima pandangan banyak pihak yang kali ini pembangkang akan menang secara ‘outright’. Tsunami politik akan lebih hebat lagi dari tsunami 2008 dahulu. Siapa yang tidak percaya dengan pandangan ini, itu hak masing-masing.

Menganggap Melayu akan selamat hanya di bawah UMNO sahaja merupakan satu mitos yang tidak boleh diikuti dan dipercayai. “Enough is enough,” kata seorang pemimpin UMNO sendiri kepada saya semalam. Beliau seterusnya berkata, “selagi kita meyakini UMNO selagi itulah pemikiran kita diperangkap. Buat itu tak boleh buat ini tak boleh. Sampai bila kita hendak diperangkap dan perkuda oleh pimpinan yang hanya memikirkan kepentingan mereka semata-mata?”

Kita sudah tidak ada masa untuk mendengar ‘gelembong’ UMNO lagi.

23 September 2012

Suaram, Scorpene, Altantuya dan dana asing

Isu Suaram dengan tuduhan terhadapnya mendapat bantuan dana asing hebat dimainkan oleh pihak BN. Selepas ini tidak tahu apa pula yag akan dihadapi oleh Suaram dan NGO-NGO yang lain yang tidak sebulu dengan pihak yang berkuasa. Najib berkata biarkan pihak yang berkuasa melakukan penyiasatan. Katanya, lagi kurang kita bercakap lagi baik.

Tindakan berkuasa terhadap Suaram bukanlah satu isu mengejutkan kerana Suaram membuatkan ada pihak yang ‘mandi tak basah dan tidur tidak lena’ dibuatnya. Suaram ada isu yang besar yang diketengahkannya dan ia melibatkan pemimpin-pemimpin dan kroninya dalam isu komisyen pembelian Scorpene yang besar itu. Isu komisyen itu menghasilkan pembunuhan Altantuya Shaaribu, seorang wanita jelita yang dikatakan berkaitan dengan pemimpin besar negara kita.

Isu Altantuya tidak dapat tidak terpaksa dibongkar. Isu pembayaran komisyen Scorpene dan Altantuya itu kait mengait dan kedua-dua isu itu tidak dapat dipisahkan jika kita mahu menyiasat salah satu darinya. Siasat satu akan melibatkan lagi satu isu dan kedua-dua isu itu merupakan isu yang akan membabitkan tindakan jenayah pihak-pihak tertentu yang berada di atas persada kuasa negara kita.

Jika isu penyaluran dana asing itu benar-benar salah ia mestilah ada peruntukan yang menunjukkan yang penerimaan itu salah mengikut undang-undang kita. Saya bukan seorang peguam dan saya tidak tahu untuk membuat komen terhadap isu penyaluran dana asing itu.

Tetapi Suaram mesti teruskan meneliti tentang penyaluran wang rakyat terhadap penerima rasuah dan kroni kepimpinan yang terlibat seperti yang disebut-sebut bukan sahaja oleh kita tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa. Isu Scorpene dan Altantuya ini juga satu penyaluran dana dari kantung rakyat kepada kumpulan yang tamak haloba yang sanggup menjahanamkan wang rakyat yang bersusah-payah membayar cukai kepada perbendaharaan negara.

Jika Suaram menghadapi isu ini, ia adalah disebabkan tindakannya untuk membongkar penyelewengan dan jenayah negara. Malahan isu yang dibawa oleh Suaram sehingga ke negara Perancis, negara yang membekalkan kapal selam Scorpene itu adalah lebih penting, apatah lagi jika ia membabitkan isu kehilangan nyawa seorang wanita yang berkait dengan pembelian kapal selam yang suatu ketika dahulu tidak dapat menyelam itu.

Orang ramai merasakan oleh kerana ketelusan pentadbiran kerajaan Perancis itu maka tidak ada apa-apa yang akan dilindungi dan ia akan membolehkan kita menyelami segala isu-isu yang berbangkit tentang jenayah yang berlaku dalam skandal besar ini.

Rakyat jangan terbawa-bawa dengan tindakan pihak berkuasa di sini kerana tindakan terhadap Suaram itu tidak lain dari isu hendak memalingkan pandangan dan tumpuan rakyat terhadap isu yang sangat sensitif ini.

Kita dapati Suaram mendapat sokongan moral dari banyak NGO-NGO tanahair kerana Suaram begitu berani untuk membongkar isu Scorpene ini hingga ke akar umbinya. Rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang menyebabkan isu ini timbul dan kenapa sampai ada nyawa yang melayang kerananya.

Pembunuh kepada Altantuya telah pun mendapat keputusannya ia itu, mereka dijatuhkan hukuman mati, tetapi apa yang tidak langsung disebut dalam perbicaraan itu ialah ‘motive’ pembunuhan itu.

Kita mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku.

22 September 2012

Mahathir mahukan orang Melayu berlindung di bawah UMNO walaupun sudah busuk sampai ke ususnya

Dr Mahathir berkata di Johor Baru dua hari lepas yang pemimpin yang baik perlu menerima teguran yang membina. Ini pun Mahathir benar dan betul tetapi jika kritikan itu diarahkan kepada beliau itu adalah satu kesalahan besar. Apabila beliau ditegur dan ditandingi secara demokratik beliau mengambilnya sebagai satu tindakan memalitkan tahi ke muka dan beliau tidak dapat menerimanya. Hasilnya beliau secara sistematik telah mengharamkan partinya sendiri.

Apabila sistem dan undang-undang yang masih baik semasa itu mampu untuk memulihkan parti yang beliau haramkan itu, maka sistem itu dibunuhnya dengan menceroboh Badan Kehakiman yang sepatutnya bebas dari pengaruh eksekutif. Empat orang hakim Mahkamah Agung telah dipecat termasuk Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas melalui penubuhan ‘tribunal’ yang amat tercemar cara penubuhannya.

Apabila semua sistem berada di tangan beliau, Dr Mahathir bertindak mengikut kehendak hatinya sendiri. Tidak lagi sistem demokrasi yang betul kerana semuanya boleh dilakukan oleh Dr Mahathir dan itulah yang membolehkan beliau terus berkuasa dengan rakus selama 22 tahun itu. Jika sistem tidak tercemar Dr Mahathir tidak akan dapat kekal kerana populariti beliau telah jatuh hasil dari pemilihan 1987 itu.

Di Johor itu juga Dr Mahathir telah menasihatkan yang pemimpin tidak tunggu lama-lama dan memberikan peluang kepada pemimpin lain untuk naik. Seseorang pemimpin mesti memahami isyarat yang didapati dari bawah supaya seseorang itu tahu bila untuk turun. Nasihat ini membuatkan kita lebih yakin yang Mahathir adalah seorang yang benar-benar mudah lupa dan hanya pandai memberi nasihat kepada orang lain sahaja.

Isyarat yang beliau harus bersara telah ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO apabila beliau hanya memenangi 43 undi di dalam pemilihan parti 1987 dahulu. Hampir separuh dari perwakilan memberikan isyarat supaya beliau berundur tetapi keengganan beliau untuk berbuat demikian itulah yang menyebabkan beliau membunuh UMNO dan menyalahkan pihak lain di atas pengharaman UMNO itu.

Mahathir terus sahaja menubuhkan parti yang baru yang diberi nama yang sama seperti parti yang beliau bunuh itu semata-mata untuk membina sokongan ramai tanpa pemimpin-pemimpin yang tidak sebulu dengan beliau. Itulah penyebabnya kenapa Tunku A Rahman dan Hussein Onn tidak berada di dalam UMNO semasa mereka ini meninggal dunia.

Mahathir ini seperti Kamal Attaturk yang mempunyai sikap, ‘you do what I ask you to do, don’t do what I do’.

Mahathir tidak konsisten dengan pendirian beliau dan beliau tidak dapat lari dari mengharapkan politik kepartian yang sempit walaupun sudah berada dalam usia yang begitu lanjut. UMNO katanya adalah parti yang lemah dan busuk hingga ke usus. Dia juga berkata UMNO itu dianggotai oleh orang-orang yang bodoh. UMNO juga katanya menggunakan cara membeli undi dengan pembayaran BR1M dan banyak lagi komen-komen buruk yang beliau lemparkan kepada partinya itu.

Tetapi beliau sekarang mundar-mandir untuk meminta rakyat memberikan sokongan kepada UMNO yang sudah lemah longlai itu. Saya tidak ingin menyebut kenapa beliau menjadi begini, tetapi rakyat faham yang beliau bermasalah jika PR mendapat mandat.

Itulah sebabnya rakyat berharap jika PR mendapat mandat kali ini, jangan sekali-kali melakukan perkara yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang didorong oleh kepimpinan Mahathir selama 22 tahun itu.

Rakyat wajar mengambil keputusan sendiri. Kita telah mendengar nasihat dan galakan pemimpin seperti Dr Mahathir ini dan telah terbukti membawa padah kepada parti dan negara.

Jika semua nasihat beliau selama itu betul, masakan beliau wariskan UMNO yang sedemikian rupa. Beliau bolehlah menyalahkan Pak Lah tetapi kesalahan beliau memilih Pak Lah sebagai pengganti beliau sendiri itu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kerana apa beliau memilih Pak Lah? Kerana beliau sangkakan yang Pak Lah boleh beliau kotak-katekkan seperti yang beliau lakukan terhadap Ghaffar Baba dan Najib sekarang ini.  

Rakyat mendengar kata-kata beliau yang UMNO itu parti yang sudah busuk sampai ke usus, tetapi kerana kepentingan politik peribadi beliau masih ingin Melayu ini berlindung dengan parti ini.

Begitulah nasib bangsaku. Hanya digunakan untuk kepentingan politik peribadi pemimpin-pemimpin mereka. Walau sebusuk mana pun parti itu Melayu diminta oleh Mahathir untuk berlindung di bawahnya.

20 September 2012

Ramalan Dr M akan salah lagi rasanya...

Betulkah pandangan Dr Mahathir yang BN akan menang tipis dalam PRU yang akan datang? Ada yang bertanya samada ramalan ramai yang UMNO akan tumbang ada kebenarannya. Dr Mahathir meramalkan kemenangan untuk BN, tetapi kemenangan yang tipis. Dr Mahathir juga mengakui yang BN akan menjadi kerajaan yang lemah dan akan menghadapi masalah ‘defection’ selepas pilihanraya dan sebagainya. Mahathir meramalkan yang BN akan mendapat majoriti 2/3 jika BN menghadapi PRU kali ini dengan lebih kuat dan melakukan pemilihan calon dengan tepat.

Keupayaan Dr Mahathir untuk menelaah keputusan PRU itu menjadi persoalan kepada yang berfikir. Dalam pada UMNO menghadapi masalah yang besar sekarang, mana mungkin UMNO itu akan mendapat kemenangan majoriti 2/3 di Dewan Parlimen? Walau bagaimana pun sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir sendiri berhak untuk meramalkan keputusan PRU itu nanti, kerana pilihanraya itu pun belum diadakan lagi.

Pihak lain pula ramai yang meramalkan Pakatan Rakyat (PR) akan menang ‘hands down’ dan akan melakukan perubahan besar kepada lanskap politik buat pertama kali dalam sejarah kemerdekaan negara kita. Dr Mahathir berkata yang Pakatan Rakyat ini hanya sekumpulan manusia yang berpakat-pakat untuk melakukan kejahatan. Tetapi semua pakata-pakat yang beliau lakukan sekarang terbukti sebagai pakat-pakat jahat untuk kepentingan segelintiran pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja.

Salah satu dari dua ramalan itu akan menjadi kenyataan: samada yang mengatakan BN akan kalah atau pun pihak yang mengatakan BN akan kekal memenangi PRU itu nanti. Tetapi apa yang hendak saya nyatakan di sini ialah, tidak semua ramalan Dr M itu menjadi kenyataan. Ramai yang berkata Dr Mahathir hanya berkata-kata dengan apa yang beliau hendak dengar sahaja.

Pada tahun 1985 dahulu beliau meramalkan yang PBS (Parti Bersatu Sabah) yang baru sahaja wujud tidak akan berjaya mengalahkan parti Berjaya dan kerajaan yang dipimpin oleh Harris Salleh di Sabah. Dr Mahathir mempunyai keyakinan seratus peratus yang Berjaya akan dapat mengekalkan mandat dalam pilihanraya negeri pada tahun itu kerana PBS adalah parti baru dan tidak mungkin berjaya.

Dr Mahathir begitu berkeyakinan yang Berjaya akan berjaya dan beliau terus memberikan sokongan terbuka kepada Berjaya untuk mengekalkan kuasa di Sabah. Dr Mahathir dalam ucapan beliau di Sabah dalam kempen pilihanraya itu telah berucap dengan penuh keyakinan dan beliau berjanji yang beliau akan berenang atau tenggelam bersama Berjaya.

Akhirnya Berjaya telah tumpas dengan teruknya sehinggakan Harris Salleh sendiri telah kalah di kawasannya sendiri, di Tenom. Tetapi Dr Mahathir berubah pendirian dan tidak mahu tenggelam bersama Berjaya seperti yang beliau janjikan semasa kempen pilihanraya itu. Dr Mahathir sedar yang beliau telah tersalah membuat ramalan terhadap keputusan pilihanraya negeri itu. Dr Mahathir terus berenang dan membiarkan sahaja Harris Salleh tenggelam sendirian.

Sesungguhnya tidak mustahil jika UMNO mengalami keadaan seperti yang dialami oleh Berjaya. Apabila rakyat mahukan perubahan, keadaan itu akan wujud dengan sekelip mata sahaja.

Rakyat akan menolak dan meruntuhkan parti yang telah terlalu lama menjadi ‘sanctuary’ kepada semua pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni yang rakus selama ini.

Rasanya Dr Mahathir akan tersalah ramal lagi kali ini...

18 September 2012

Putrajaya itu Kerajaan Persekutuan, bukannya Kerajaan Pusat

Sudah lama saya hendak menyebut secara khusus tentang apa yang saya hendak perkatakan ini walaupun saya pernah menulis tentangnya secara rambang dan tidak khusus kepada sesiapa yang hendak bercakap tentang kenegaraan dan politik. Tetapi oleh kerana kita dapati kesilapan ini masih terlalu jelas dan tidak diperbaiki saya ingin menyebutnya kali ini.

Saya ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin kita dan semua yang mahu mendengarnya bahawa negara kita ini adalah sebuah negara persekutuan. Di negara kita tidak ada kerajaan pusat. Di Putrajaya itu adalah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan (federal government), bukan kerajaan pusat (central government).

Negara yang mempunyai kerajaan pusat adalah negara-negara ‘unitary’ seperti Thailand, Indonesia dan banyak negara-negara lain. Negara kita terbentuk di atas persetujuan kerajaan-kerajaan negeri yang berdaulat untuk membentuk bersama sebuah gabungan persekutuan. Harus diingat yang negeri-negeri yang berada di dalam persekutuan ini hanya wujud pada 2hb Feb 1948 apabila negeri-negeri yang berada di dalam semenanjung ini menandatangani perjanjian persekutuan itu.

Maka terbentuklah sebuah negara persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya mencapai kemerdekaan pada 1957 dahulu. Pada tahun 1963 tanggal 16 September persekutuan ini disertai oleh Sabah dan Sarawak maka persekutuan ini dinamakan Persekutuan Malaysia. Hari kelahiran Malaysia itu baru sahaja dirayakan buat kali yang ke-49 dua hari yang lepas.

Isu ini penting untuk difahami dan diperbetulkan supaya kita mengenal negara kita yang sebenarnya. Dato Rais Yatim patut menggunakan istilah ini melalui media perdana kita kerana terlalu ramai di kalangan rakyat yang menganggap Putrajaya itu sebagai pusat pentadbiran kerajaan pusat, walhal ia adalah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

Kalau di Thailand, kotaraya Bangkok itu adalah pusat pentadbiran kerajaan pusat kerana Thailand adalah sebuah negara ‘unitary’ dan negara gajah putih itu tidak ada kerajaan negeri di bawah naungannya. Itu sebabnya kerajaan pusat Thailand secara moralnya berkuasa sepenuhnya ke atas setiap inci negara itu.

Nampaknya pemimpin besar kita di Putrajaya selalu bersikap seperti pemimpin sebuah negara ‘unitary’ kerana banyak perkara yang menunjukan mereka tidak menghormati kedaulatan kerajaan dan rakyat negeri-negeri yang tertentu. Mereka mungkin terlupa yang Malaysia ini adalah gabungan negeri-negeri yang berdaulat yang telah bersetuju dan bersepakat untuk berada di dalam sebuah negara persekutuan.

Jika begitu keadaannya maka Putrajaya tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya terhadap negeri-negeri yang berada di dalam persekutuan ini seperti yang sedang mereka lakukan sekarang ini. Putrajaya wajar ingat yang negeri-negeri di dalam persekutuan ini adalah negeri-negeri yang berdaulat dan Putrajaya wajar mempunyai perhubungan dengan negeri-negeri di dalam persekutuan dengan berhemah seperti kita menghormati mana-mana negara yang berdaulat yang lain. Putrajaya juga mesti menerima hakikat yang negeri-negeri itu semuanya mempunyai kerajaan yang beraja (kecuali Melaka. P Pinang Sabah dan Sarawak) dan negeri-negeri ini juga mempunyai Dewan Lagisltif mereka sendiri.

Tetapi mungkin isu ini tidak diambil berat oleh pihak pemerintah, itulah agaknya kenapa kerajaan BN di Putrajaya itu selalu tidak menghormati kerajaan-kerajaan setengah negeri terutamanya kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Agaknya inilah sebabnya Putrajaya telah mencemari semangat persekutuan itu dengan menyekat pembayaran royalti minyak kepada rakyat Kelantan semata-mata kerana rakyat Kelantan memilih kerajaan yang tidak sebulu dengan Putrajaya.

Dalam ucapan Najib akhir-akhir ini menunjukan kesombongannya yang berkata kerajaan ‘pusat’ telah memberikan pembangunan di negeri itu sebanyak ini dan di negeri ini sebanyak ini seolah-olah itu bukan tanggungjawab Putrajaya tetapi sebagai satu ‘favor’ yang besar dari Putrajaya. Semuanya itu sememangnya tanggungjawab kerajaan persekutuan. Najib sendiri mesti menggunakan istilah ‘kerajaan persekutuan’ kepada kerajaan yang beliau pimpin dan bukannya ‘kerajaan pusat’.

Sebelum kita dapat membetulkan perkara-perkara yang lain elok kita memahami dahulu asas kewujudan negara kita. Jika boleh gunakanlah istilah yang betul tentang perkara ini. Kerajaan yang diketuai oleh Najib di Putrajaya itu adalah kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan pusat.

Pihak yang ingin mewujudkan kerajaan ‘unitary’ yang berpusat di Kuala Lumpur dahulu ialah gagasan Malayan Union yang hendak dibawa oleh British dahulu dan telah ditentang oleh rakyat Malaya dahulu. British telah cuba untuk menghilangkan sempadan-sempadan negeri-negeri di dalam semenanjung ini dan merampas kuasa Raja-Raja Melayu dan dan menggantikan tugas Raja-Raja itu dengan tugas-tugas ceremonial sahaja. Mengikut perancang British Kuala Lumpur adalah ibu negara Malayan Union itu….tidak ada kerajaan negeri dan Dewan Legislatifnya lagi.

Kepada Najib dan semua pemimpin kerajaan pada hari ini elok dibezakan di antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan pusat. Kalau kerajaan kita adalah kerajaan pusat tidak ada Majlis Raja-Raja yang mewakili setiap negeri yang berdaulat itu dan mewakili salah seorang dari baginda untuk mengambil giliran menjadi Yang Di Pertuan Agong setiap lima tahun seorang di peringkat persekutan.

Di negara ini tidak ada kerajaan pusat. Yang kita ada ini adalah kerajaan persekutuan, walaupun dalam banyak hal Putrajaya bertindak seperti kerajaan ‘unitary’ yang ingin dibawa oleh Malayan Union dahulu terutamanya kepada negeri-negeri yang partinya sudah hilang kuasa.

Itulah saya selalu sebutkan dalam tulisan saya, jika Malayan Union dahulu ditentang kewujudannya oleh kita tetapi semangat Malayan Union itu bertambah kuat akhir-akhir ini, tetapi dilakukan oleh bangsa dan rakyat kita sendiri.

17 September 2012

Pilih Perdana Menteri mengikut perlembagaan, bukannya 'by convention'

Dalam UMNO istilah berkorban memang istilah biasa kita dengar. Semua orang bercakap tentang pengorbanan termasuk Najib Tun Razak yang meminta semua orang berkorban untuk negara dan bangsa dan cara pengorbanannya ialah dengan memberikan sokongan kepada beliau dan UMNO. Bagi beliau definasi pengorbanan ialah memberikan sokongan terus kepada beliau dan UMNO dalam apa pun keadaannya.

Sesungguhnya Najib bukanlah orang yang cocok untuk bercakap tentang pengorbanan dalam perjuangan. Berkorban ialah satu tindakan yang dilakukan untuk kebaikan perjuangan sehinggakan tindakan itu boleh mengurangkan kedudukan dan kekayaan seseorang itu. Tunku A Rahman Putra telah menjual segala harta beliau untuk UMNO dan negara. Onn Jaafar telah diceritakan oleh keluarga beliau semasa beliau meninggal dunia beliau tidak mempunyai harta dan wang ringgit semata-mata kerana perjuangan.

Pengorbanan Tun Razak pula berbeza. Beliau tidak mengambil kesempatan di atas kedudukan beliau untuk membuat harta benda kerana berkorban bagi kesejahteraan negara. Beliau dari keluarga yang baik dan adalah Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang. Ramai lagi pemimpin di zaman dahulu berkorban untuk perjuangan parti dan negara. Tengku Razaleigh di katakan telah mendermakan tanah beliau yang begitu tinggi nilainya untuk meletakkan bangunan UMNO yang berdiri megah di kotaraya Kuala Lumpur itu.

Saya menyebut perkara ini, kerana istilah pengorbanan ini merupakan satu istilah yang sangat besar dan tinggi nilainya dan bukan mudah untuk mendapatkannya dari sesiapa jika dilihat dari sudut perjuangan negara. Apabila kita mendengar pemimpin hari ini  bercakap tentang pengorbanan ramai yang tidak dapat menerimanya, malahan ia menjadi bahan jenaka bagi sesiapa yang mendengarnya.

Tidak usah kita bertanya kepada ramai orang. Kita hanya bertanya kepada Najib sahaja yang sekarang terlalu acap beretorik tentang pengorbanan itu? Seingat kita Najib mula berkecimpung dalam politik apabila beliau mengambil tempat ayahanda beliau yang meninggalkan kita pada Januari 1976 dahulu secara percuma. Semuanya di adakan untuk beliau secara percuma. Malahan semua jawatan dan peningkatan beliau sehingga hari ini beliau dapati secara percuma.

Najib tidak pernah diuji dalam sepanjang hayat politik beliau kerana beliau anak Perdana Menteri. Kita tidak tahu samada Najib faham atau tidak apa dia yang dikatakan pengorbanan itu. Sekarang kita bertanya siapa yang berkorban dan siapa yang dikorbankan? Apa pengorbanan Najib kepada parti selama ini selain dari parti yang tidak putus-putus berkorban untuk beliau.

Dalam keadaan UMNO menjadi persoalan rakyat bolehkah Najib melakukan satu pengorbanan besar terhadap parti dan negara? Tidak kah boleh Najib melakukan hanya satu pengorbanan terhadap negara dalam keadaan negara dan politik nya sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat menggila pada hari ini?

Rakyat sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap kewibawaan pimpinan negara yang diketuai Najib dengan isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang tidak ada hadnya lagi pada hari ini. Malahan krisis keyakinan ini bukan sahaja kepada Najib tetapi pada keseluruhan kabinet dan kerajaan negara.

Rakyat telah berkorban sampai ke peringkat optimanya dengan bersabar selama ini dengan mengharapkan supaya kepimpinan menghentikan melakukan dosa dan noda terhadap rakyat. Sebenarnya apa yang diseru oleh Najib tentang pengorbanan itu telah di arah kepada sasaran yang salah. Najib telah menyeru mereka yang telah terlalu banyak berkorban hati dan jiwa di atas segala kelakuan dan sifat sumbang kepimpinan sekarang terhadap mereka (rakyat).

Apa sebenarnya cara pengorbanan yang rakyat perlukan dari Najib dan barisan kepimpinan negara dan kerajaan keseluruhannya? Rakyat pada asalnya mahukan kerajaan pimpinan Najib. Yang diperlukan jadilah kerajaan yang jujur dan tidak rasuah dan mengambil kesempatan di atas kerelaan rakyat memberikan sokongan selama ini. Jagalah khazanah rakyat dengan baik dan tidak di selewengkan. Misalnya jika harga kontrak LRT Ampang harganya RM1.1 billion pastikan harganya tetap ditahap yang sama dan bukannya dinaikan harganya menjadi RM1.8 billion.

Ini tidak. Oleh kerana rasuah ini sudah menjadi ketagihan kepada pimpinan kita ia tidak dapat lagi di hentikan. Setiap projek besar dan kecil ada sahaja tambahan kos untuk kepentingan kewangan orang yang berkuasa. Sampai bila keadaan ini harus berlarutan sedangkan mandat yang di berikan rakyat selama ini adalah untuk mereka menjaga khazanah negara bukannya untuk mereka melakukan rompakan di siang hari.

Najib begitu bersungguh-sungguh meminta rakyat berbelanja secara wasatiyah tetapi beliau sendiri berbelanja wang rakyat seperti wang itu boleh di petik dari pokok sahaja. Berbelanja untuk lawatan ke England yang hanya memakan masa empat lima hari melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta. Di manakah wasatiyah yang di sebut-sebut dengan fasih oleh Najib itu.

Isu ini menjadi sebutan ramai sejak bertahun tahun dahulu dan sekarang rakyat ramai yang sudah mengambil pendirian yang ‘conclusive’ yang UMNO dan pimpinan tidak boleh lagi di berikan mandat. Budaya buruk ini sudah tidak dapat di perbaiki lagi dan ia tidak akan baik sampai bila-bila. Bersara seorang di gantikan dengan seorang yang lain tetapi yang menggantinya akan bersikap dan bersifat yang sama juga. Mereka yang pergi dan datang itu datangnya dari acuan yang sama.

Berhenti Najib dan di gantikan dengan Muhyiddin pun tidak akan merubah keadaan kerana Muhyiddin pun datang dari acuan yang serupa. Acuan yang di bentuk oleh Dr Mahathir dahulu sangat ‘effective’. Acuan itu telah membentuk barisan yang gunanya untuk menipu dan memerah harta benda rakyat sampai kekeringan.

Sampai bila rakyat hendak berkorban perasaan ini tidak dapat kita ketahui, tetapi tanda-tanda sudah nampak jelas yang rakyat sudah mula tidak lagi mempercayai apa-apa yang dikatakan oleh pimpinan sekarang.

Kalau benar Najib serius tentang pengorbanan, hanya satu yang beliau patut lakukan: berpakat di kalangan pimpinan UMNO, panggil perhimpunan agong khas, kesemua barisan kepimpinan itu berhenti dan berikan ahli yang ramai-ramai memilih seorang pemimpin yang tidak berada di dalam acuan yang dibentuk oleh Dr Mahathir itu. Jika hendak dilakukan, adakan sebelum pilihanraya ini.

Itu sahaja caranya untuk UMNO mendapat kepercayaan rakyat ramai. Kurang dari itu, jangan terkejut jika Najib merupakan Perdana Menteri dari UMNO yang terakhir. Semuanya ini adalah kerana Najib hanya pandai bercakap tentang pengorbanan tetapi beliau sendiri tidak mahu berkorban walaupun sedikit untuk negara.

Najib mesti memahami satu hakikat yang beliau menjadi Perdana Menteri bukan kerana sokongan rakyat ramai. Beliau menjadi PM kerana konvensyennya Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri. Presiden UMNO pula dipilih oleh empat ribu perwakilan UMNO sahaja. Di mana 'legitimacy' pemilihan seorang PM oleh rakyat?

Saya kira kali ini elok kita pilih Perdana Menteri mengikut peruntukan perlembagaan: iaitu seorang ahli Legislatif Melayu yang mendapat kepercayaan Dewan Parlimen itulah yang akan menjadi Perdana Menteri.

15 September 2012

Najib minta semua rakyat berkorban. Dia bila pula nak berkorban?

Saya ingin menyambung posting saya siang tadi dan saya masih mahu menyebut tentang bagaimana pentingnya perlembagaan negara dihayati dan dijunjung oleh semua. Perlembagaan itu memberikan jaminan kepada semua rakyat untuk hidup aman dan damai dikalangan semua rakyat berbilang kaum.

Perlembagaan itulah yang menjaga segala-galanya untuk sebuah negara dan rakyat yang merdeka. Apabila ada kerajaan yang berpelembagaan maka tentulah ada undang-undang untuk menjamin keselamatan bagi semua pihak untuk melakukan apa yang boleh dilakukan oleh perlembagaan serta undang-undang itu sendiri maka ia bukanlah negara yang bertamaddun.

Hishamuddin Hussein semalam berkata yang kerajaan tidak menjamin keselamatan penggerak dan penjelajahan pembangkang. Sebagai seorang menteri yang menjaga keselamatan negara, jika keselamatan untuk menjauhi tindakan membaling cat dan kerja mensabotaj kegiatan siasah mana-mana pihak maka beliau adalah seorang menteri yang tidak bertanggungjawab atau pun tidak mengetahui tanggungjawab yang terbeban keatas bahu beliau.

Hisham tahu yang melakukan kerja-kerja hina itu adalah penyokong UMNO yang beliau menjadi pemimpin besarnya. Jika untuk menjaga keselamatan sebuah bas dan program parti-parti politik pun tidak ada kesanggupan bagaimana rakyat hendak meletakkan harapan untuk keselamatan negara keseluruhannya? Hisham tahu yang penyokong UMNO akhir-akhir ini mempunyai moral yang rendah. Beliau sepatutnya bertanggungjawab untuk memperbaiki keadaan ini. Hisham tahu yang UMNO memang suka mensabotaj. perbuatan pihak lain termasuk mensabotaj calon mereka sendiri.

Sebelum pilihanraya ahli-ahli UMNO akan sabotaj program parti-parti pembangkang, tetapi apabila sampai waktu pilihanraya mereka akan sabotaj parti dan calon partinya sendiri. Ahli-ahli UMNO serta penyokongnya sememangnya mempunyai ‘attribute’ yang buruk ini. Justeru adalah tidak wajar lagi parti ini untuk terus di berikan mandat kerana parti ini tidak mahu menjamin keselamatan rakyat yang ingin melaksanakan kehidupan biasa dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada hari ini elok kita melakukan segala introspeksi terhadap kita sendiri samada kita ini benar-benar berada di dalam sebuah negara yang aman dan selamat untuk hidup.

Semalam juga kita mendengar ucapan PM Najib semasa merasmikan perwakilan UMNO bahagian Pekan. Beliau melandaskan ucapan beliau kepada agama dan tuntutanNya. Kata beliau jika UMNO tidak bersatu segala usaha UMNO tidak akan di berkati Tuhan.

Najib berkata pemimpin wajib berkorban untuk kepentingan negara dan bangsa. Najib juga memberi ingatan yang Melayu hancur lebur jika UMNO diketepikan dan banyak lagi nasihat yang beliau berikan. Semuanya bersandarkan kepada kehendak Tuhan dan agama.

Tetapi persoalannya adakah Najib dan kumpulan pimpinan hari ini bersedia untuk berkorban? Bersediakah Najib berhenti dan bersara kerana kepimpinan beliau merupakan kepimpinan yang paling di ragui oleh rakyat. Jika dulu orang berkata yang kepimpinan Pak Lah merupakan kepimpinan yang paling buruk tetapi kita sekarang sedar yang kepimpinan Najib sendiri adalah yang lebih buruk dalam sejarah negara.  Kalau tidak masakan beliau sendiri mengakui yang pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang paling sengit yang di hadapi oleh UMNO.

Tidak kah pimpinan Najib dan kumpulan mereka ini sedar yang mereka perlu melakukan pengorbanan seperti yang di sebutkan Najib itu? Apa yang rakyat mahu Najib berkorban ialah untuk menahan nafsu menggunakan kedudukan beliau untuk memerah rakyat. Jika harga kontrak MRT Ampang itu berharga RM1.1 billion biarkan lah harga itu bertahan setakat itu. Janganlah memberikan kontrak itu kepada kroni beliau dengan harga yang di tambah sampai RM1.8 billion.

Kerja seperti ini bukan Najib yang berkorban. Kerja ini merupakan kerja mengorbankan rakyat. Begitu juga dalam isu Scorpene yang pada asalnya berharga lebih kurang RM3.8 billion akhirnya dibeli barangan pertahanan itu dengan harga RM7.6 billion. Apakah ini pengorbanan Najib. Sebaliknya rakyat lah yang selalu berkorban untuk pemimpin-pemimpin rakus di negara ini.

Cakap-cakap berkorban yang diluahkan oleh Najib itu memedihkan telinga yang mendengarnya kerana Najib beranggapan yang semua rakyat boleh di perbodohkan dengan retorik liar dan kata-kata seperti ini tidak lagi laku kepada mereka yang tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mungkin beliau boleh bercakap di Pekan tetapi janganlah hendak beliau bercakap di tempat lain.

Dalam dua isu dari yang banyak-banyak itu, saya ingin bertanya kepada Najib samada Tuhan marah atau tidak kepada beliau. Jika beliau berkata Tuhan marah kepada pimpinan yang tidak jujur, agaknya Tuhan marah atau tidak kepada siapa yang bertanggungjawab memerah wang rakyat dalam jumlah berbillion untuk kroni dan diri mereka. Tidak ada pula dalam sedikit yang saya tahu tentang agama ini Tuhan memberikan ‘exemption’ kepada setengah manusia seperti PM dan Menteri Pertahanan negara Malaysia.

Adakah Najib berfikiran membeli kelengkapan untuk pertahanan negara dengan harga yang tinggi dengan menggunakan wang rakyat dan mendapat komisyen yang ratus kali ganda itu hanya salah kepada orang lain dan tidak terhadap beliau dan kroni beliau?

Itulah sebabnya rakyat tidak lagi memberikan penghormatan kepada kepimpinan sekarang. Alasan yang Melayu akan hilang di dunia ini jika UMNO tidak dikekalkan berkuasa itu merupakan retorik yang sudah basi. Najib mesti berfikir yang Melayu wujud lebih lama dari UMNO. Sebenarnya keadaan itu adalah terbalik. Jika UMNO masih mahu memimpin Melayu UMNO mesti berubah secara ‘drastic’. Barisan pimpinan  sekarang wajar meletakkan jawatan dan serahkan kepada ahli-ahli untuk memilih barisan kepimpinan baru.

Sekaranglah waktunya kalau Najib benar-benar hendak menunjukkan yang beliau melakukan apa yang beliau katakan iaitu BERKORBAN! Jangan hanya pandai mengorbankan rakyat sedangkan beliau sedikit pun tidak mahu berkorban untuk negara dan rakyat yang sangat diperlukan oleh mereka sekarang.

Bagaimana pun rakyat tetap mahu menjaga negara yang merdeka ini dan mereka (rakyat) bertanggungjawab untuk memilihara negara dengan memberikan peluang kepada kumpulan pilihan. Ini sahajalah caranya untuk kita memelihara negara dan rakyat dan hentikan memberikan sokongan kepada pihak yang telah terlalu lama memerintah yang kini boleh dikatakan sebagai kumpulan yang kufur nikmat itu. Ramai yang percaya jika Najib melakukan pengorbanan bersama-sama barisan kepimpinnya dengan bersara sahaja maka ia merupakan satu nikmat yang bakal di alami oleh rakyat yang sedang dalam pencarian sekarang ini.

Kita pelihara negara kita dan di ucapkan Selamat Hari Malaysia yang ke 49 tahun.