31 May 2013

Kritik kerajaan akan dibatalkan pasport mereka? Kenapa begitu?

Dalam keadaan kedua-dua pihak pembangkang dan parti kerajaan sedang berperang mulut berhubung dengan banyak isu, keluar pula kenyataan yang sangat mengelirukan dari Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato' Alias Ahmad. Mengapa dan kenapa kenyataan yang sangat mengelirukan ini dikeluarkan, hanya beliau sahajalah yang tahu.

Dato' Alias telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk membatalkan pasport rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan di luar negara dan ini tidak dapat diterima. Mengkritik kerajaan yang memerintah adalah hak rakyat negara ini dan ia boleh dilakukan di mana-mana, samada di dalam atau dari luar negara.

Kita bersetuju rakyat yang mengkritik dan memburukkan negara itu wajar diambil tindakan seperti itu, tetapi setakat mengkritik kerajaan yang mereka anggap rasuah dan menyalahgunakan kuasa itu bukannya mengkritik negara. Jika seorang rakyat mengkritik kehadiran sistem negara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan apa yang berkaitan dengannya adalah salah bagi negara ini dan wajar pasport mereka dibatalkan.

Tetapi jika seseorang mengkritik kerajaan yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa dan membantutkan usaha memperkayakan perpaduan kaum itu tidak salah dan adalah ‘ultra-vires’ jika tindakan diambil terhadap rakyat itu. Jika semua kritikan terhadap kerajaan itu membolehkan pasport mereka terbatal maka negara kita seolah-olah sebuah negara yang zalim dan tidak bertamadun.

Rakyat dan pemimpin yang meminta pertolongan kuasa asing, misalnya CIA, untuk menumbangkan kerajaan, itu adalah tindakan yang jahat dan perlu pasport mereka itu ditarik balik atau dibatalkan terus. Tindakan ini adalah tindakan memusuhi negara dan Yang Di Pertuan Agong, maka mereka wajar dibatalkan pasport mereka.

Tetapi jika setakat mengatakan Najib atau Muhyiddin sebagai pemimpin yang tidak sesuai dengan negara, itu adalah isu politik dalaman dan tidak sepatutnya pihak imigresen membatalkan pasport mereka. Tuduhan seperti itu pun sememangnya ada kebenarannya.

Apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh mereka yang memegang amanah untuk mentadbir jabatan dan negaranya, kita amat khuatir dengan jenis apa negara kita akan berada pada masa-masa yang akan datang.

Saya secara peribadi berharap Ketua Pengarah Imigresen itu akan membuatkan pencerahan yang betul kerana ramai rakyat yang sedang tertanya-tanya kenapa kenyataan itu keluar dalam waktu yang sangat panas ini. Adakah kenyataan itu untuk menyediakan pemikiran rakyat yang jika ada pimpinan mana-mana pihak yang akan dibatalkan pasportnya nanti, rakyat diminta tidak bertindak dengan cara ganas atau apa?

Ramai yang sangat keliru sekarang ini. Ada pihak yang menggunakan kuasa sejak berdekad-dekad lamanya. Ada pihak yang telah merasakan akan dapat menggantikan kuasa sudah begitu celupar untuk mengambil tindakan dan memenjarakan pihak yang akan digantikannya itu.

Kalau hendak ambil tindakan pun biarlah setelah kuasa diperolehi. Tidak perlu bercakap besar di atas nama ketegasan dan pembaharuan. Apabila ternampak 'rusa di hutan tembak dahulu baru bersorak'. Tetapi mereka ini bersorak baru hendak menembaknya. Belum pun sempat menembak rusa sudah cabut lari.

Bila rusa sudah lari, marah-marah pula kepada semua orang kerana kesalahan sendiri itu. Diri sendiri tidak pernah bersalah.

BN menang kerusi, Pakatan Rakyat menang undi

Kejayaan tidak semesti membawa apa yang kita hajati seratus peratus. Kejayaan UMNO menjadi pemerintah selama lebih lima dekad dahulu akhirnya menjadikan UMNO itu gagal menjadi pengurus kepada kejayaannya. Sebenarnya itulah kegagalan UMNO yang paling besar. Kejayaan besar yang begitu lama dialami oleh UMNO itu telah membawa masalah besar, bukan sahaja kepada rakyat ramai tetapi juga kepada parti itu sendiri.

Kalau dinilai betul-betul kemenangan UMNO dan BN selama ini bukannya terhasil dari kerja baik mereka tetapi disebabkan oleh kuasa ‘incumbency’ yang ada pada mereka. UMNO telah gagal untuk menjadi parti yang diurus dengan baik kerana kepada pimpinannya ia tidak perlu berbuat baik kerana rakyat akan mengikut sahaja kepada siapa yang menang.

Tetapi sejak sepuluh tahun lalu nampaknya keadaan begini sudah berubah kerana rakyat semakin hari semakin bertambah sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan ditambah pula dengan gerakan oleh pihak pembangkang yang begitu kuat. Pembangkang telah menggunakan isu rasuah dan isu besar yang lain yang sudah dirasakan oleh rakyat untuk menjatuhkan kekuasaan UMNO itu.

Keadaan ini ditambah pula dengan gerakan oleh Anwar Ibrahim yang menggunakan keresahan ramai rakyat ini untuk menentang kerajaan melalui demokrasi iaitu melalui pilihanraya. Maka Anwar menjadi ikutan pihak yang muda-muda untuk menekan kerajaan dalam pilihanraya 13 yang lalu walaupun jika disingkap dengan serius Anwar juga mempunyai masalah untuk menjadi pimpinan alternatif kepada pimpinan BN itu.

Jika UMNO betul-betul berjaya menguruskan kejayaan mereka secara baik, tidak mungkin Anwar dan kumpulannya itu dapat sokongan dari ramai. Semasa inilah kaum Cina juga ‘swims with the flow’ dan terus menyatukan kaumnya untuk bersama-sama menentang segala hasil kegagalan UMNO untuk menguruskan kejayaan mereka.

Kaum Cina dan penduduk bandar dan sekitarnya telah bergerak untuk memberikan tentangan terhadap kegagalan UMNO dan sekutunya dalam kerajaan menjaga rakyat dan negara. Bagi menghidupkan semangat penentangan itu maka pihak pembangkang telah mengambil kesempatan dengan isu rasis yang selalu dimainkan oleh BN dan UMNO. UMNO dianggap oleh semua yang menentang sebagai pihak yang rasis dan isu rasis ini sangat berkesan dimainkan oleh pihak Pakatan Rakyat.

Sekarang semua penyokong Pakatan Rakyat memainkan isu yang UMNO dan BN itu rasis sehinggakan yang bercakap tentang isu rasis itu pun tidak memahami apa sebenarnya yang berlaku. Dr Mahathir telah memainkan isu perkauman dengan begitu lantang dan disokong pula oleh NGO seperti Perkasa. Berbagai-bagai cara telah dimainkan isu perkauman itu.

Maka terhasil lah situasi yang begitu kuat menentang terhadap BN kerana isu rasis ini. Baik dari PKR atau DAP, isu ini dimainkan dengan begitu kuat dan ramai rakyat di bandar menentang isu perkauman yang diperbesarkan oleh UMNO dan sekutunya itu. PR mendapat keuntungan di sini.

Tetapi dalam penentangan rakyat terhadap isu rasis yang dimainkan oleh BN itu, maka mereka terlupa untuk memerhatikan kelemahan dan keadaan sebenarnya yang berlaku di dalam gabungan Pakatan Rakyat itu sendiri. Penentangan yang terlalu ‘obsessive’ itu telah menyebabkan pihak yang menentang isu perkauman ini terlupa yang dipihak Pakatan Rakyat ini sendiri ada isu yang sama.

Ada parti dalam PR yang hanya mempunyai dua orang perwakilan Melayu di dalamnya walaupun parti itu mempunyai 93 orang yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN-DUN di seluruh negara. Ini adalah disebabkan terlalu kuat tumpuan terhadap isu perkauman yang dimainkan oleh UMNO sehinggakan isu yang sama juga wujud dengan begitu ketara. Maka apa yang dikatakan sebagai perjuangan ‘multiracial’ itu akhirnya terbukti hanyalah isu politik semata-mata dan bukannya isu perjuangan lagi.

Begitu banyak kiriman email yang saya terima dari rakan-rakan berbilang kaum yang mempersoalkan isu ini tetapi saya memilih untuk tidak menjawabnya kerana saya sesungguhnya tidak tahu jawapannya. Saya hanya memberitahu dalam beberapa jawapan yang saya berikan supaya kita menumpukan terhadap isu petisyen terhadap keputusan pilihanraya dahulu. Isu itu biarkan dahulu.

Saya mengatakan kita hendak lihat yang Mahkamah benar-benar berfungsi sebagai pengadil yang jujur dan jika kedapatan penipuan yang dituduh itu wujud kita wajar melakukan sesuatu untuk memperbetulkannya. Setakat itu sahaja yang dapat saya menjawabnya.

Pendeknya, kita masih terbelenggu dengan isu perkauman yang menebal dan isu ini entah bila akan dapat diselesaikan oleh kita semua. Isu ini relevan kepada kedua-dua belah pihak dan tidak ada pihak yang berkelayakan untuk mengeluarkan isu perkauman itu menjadi isu politik masing-masing.

Mungkin itulah sebabnya keputusan pilihanraya baru-baru ini telah memberikan kemenangan kepada kedua-dua belah pihak. BN berjaya mendapat kemenangan jumlah kerusi dan pihak Pakatan Rakyat pula telah mendapat kemenangan dari undi popular sahaja.

Keadaan ini adalah jawapan kepada situasi dalam mana kedua-dua belah pihak belum lagi berkelayakan untuk mendapat kemenangan mutlak dari rakyat. Keadaan ini akan menambahkan keyakinan kita bahawa dalam perjuangan (jika ada) ketentuan bukannya boleh dibuat oleh kita sendiri, tetapi ketentuan itu datangnya dari ‘nature’ yang penuh dengan keadilan dan hikmah dalam segala-gala yang diputuskannya.

Hanya kita sahaja yang selalu mengaku kuat dan boleh menentukan segala-galanya tanpa ‘campur tangan nature’ itu. Kita selalunya lupa daratan apabila berhadapan dengan penyokong yang puluhan ribu yang berada di hadapan kita sehinggakan kita merasa angkuh dan terlupa kepada diri kita sendiri.

Apabila kita disentak dengan kejutan kegagalan, maka disalahkan semua yang lain kerana kegagalan kita itu. Tetapi kita juga faham bagaimana perasaan yang gagal ke Putrajaya itu sedangkan sehari dua sebelum itu mereka sudah terasa seperti sudah berada di Putrajaya. Kita telah mendengar banyak amaran yang diberikan terhadap banyak pihak yang mereka akan diambil tindakan dan berbagai-bagai ancaman lagi.

Selalu kita terlupa seolah-olah kekuatan yang ada kepada kita itu adalah kekuatan kita sendiri. Kita merasakan seolah-olah tiada apa yang lebih kuat dari kita. Terlupa yang kuasa Tuhan itu Maha Perkasa dan penentu kepada segala-galanya.

Elok masing-masing melakukan introspeksi terhadap diri kita sendiri secara intensif. Insyallah, akan mendapat jawapannya.

29 May 2013

Hanya yang bersih layak membersihkan yang lain

Daim Zainuddin kembali aktif memberikan komen tentang keputusan pilihanraya 13 yang baru lalu. Daim yang pada awalnya meramalkan bahawa BN akan hanya mengekalkan kerajaan NS, Pahang dan Johor sahaja kini jelas tidak menjadi. Beliau tidak lagi dianggap ‘dukun’ dan ‘pawang’ yang hebat seperti yang dianggap oleh ramai sebelum PRU yang lalu.

Daim berkata jika orang bertanya, saya akan meminta Najib diketepikan kerana kegagalannya mempertahankan kewibawaan BN yang hanya mendapat 133 kerusi sahaja. Daim beranggapan bahawa semua penasihat Najib yang ramai-ramai itu sepatutnya dipecat kerana kegagalan itu. Daim mengakui bahawa beliau telah menasihatkan supaya Najib jangan pedulikan kaum Cina dalam siri kempen beliau (Najib) kerana kaum Cina sudah menunjukkan keengganan mereka menyokong BN.

Daim selanjutnya berkata apa yang sepatutnya Najib tumpukan ialah kepada kawasan-kawasan yang BN telah tewas dengan tipis di samping menjaga kawasan-kawasan yang BN telah menang dalam PRU 2008 dahulu. Bagi Daim adalah membazirkan wang sahaja memberikan tumpuan terhadap kaum Cina kerana mereka sudah membelakangkan BN dengan jelas.

Pandangan Daim ini jelas-jelasnya menunjukkan betapa kuatnya jiwa perkauman beliau dan jika inilah nasihat yang diambil oleh Najib atau sesiapa pun maka tidak salahlah tanggapan banyak pihak yang BN itu adalah parti yang rasis. Itulah sebabnya saya selalu menganggapkan yang BN sudah ketinggalan zaman bagi rakyat dan negara ini. Pandangan Daim itu menambahkan bukti lebih jelas lagi yang BN itu adalah parti yang tidak mampu memimpin rakyat keseluruhannya tetapi hanya memimpin sebahagian daripada kaum Melayu dan Bumiputra sahaja.

Tetapi yang paling menarik, ialah perbezaan pandangan Dr Mahathir yang mahukan Najib berhenti jika keputusan PRU 13 yang baru selesai ini lebih buruk dari keputusan PRU12 yang dipimpin oleh Abdullah Badawi pada 2008 dahulu. Jika Daim mahukan Najib bersara dan memberikan tugas berat ini kepada Muhyiddin, Mahathir sebaliknya mahukan Najib kekal kerana dalam UMNO sudah tiada lagi pilihan dalam UMNO lagi.

Pandangan kedua-dua ‘warlords’ UMNO ini berbeza dan bagi saya kedua-dua mereka ini tidak perlu lagi memberikan nasihat kepada pucuk pimpinan UMNO. Pasangan kembar Mahathir/Daim inilah yang menjadi penyebab besar kenapa keadaan UMNO itu menjadi keadaan sebegini sekarang ini. Mereka berdua inilah yang menyumbang kepada melekatnya stigma rasuah dan salahguna kuasa dalam UMNO itu.

Lagipun tidak ada sesiapa yang berada dalam pimpinan UMNO sekarang menerima apa-apa pandangan dari kedua-dua ‘warlords’ UMNO ini. Pertamanya, kedua-dua ini mempunyai agenda peribadi sampai ke mati. Keduanya, tidak ada siapa dalam barisan kepimpinan UMNO itu layak menerima nasihat lagi kerana bagi pandangan ramai, mereka sendiri tidak akan dapat dan berupaya untuk memperbaiki keadaan UMNO itu lagi.

Pendeknya, penasihat-penasihat ini tidak layak memberikan apa-apa nasihat kepada mereka yang tidak perlu dinasihatkan lagi. Ia akan menjadi seperti si buta menasihati si pekak sahaja. Sebaliknya kedua-dua pihak ini perlukan nasihat, baik Daim/Mahathir mahupun keseluruhan kepimpinan MT UMNO itu.

Nasihat untuk kedua-dua belah pihak ini ialah supaya mereka membuka minda dan memberikan laluan kepada pihak yang ketiga yang berpengalaman untuk menyusun sebuah negara yang baru dalam semua bidang bagi menjaga kestabilan negara dalam jangka panjang.

Dalam keadaan sebegini rupa adalah tidak ‘viable’ bagi mana-mana pihak yang sedang bertentangan untuk mendapatkan mandat kerana di pihak yang membangkang pun masih terlalu banyak isu yang perlu mereka selesaikan. Bagi pendapat saya mewujudkan pentadbiran dalam sebuah negara baru yang disusun dari mula adalah amat penting.

Kita bukannya tidak ada pengalaman membaharui negara ini. Ia telah dilakukan oleh pimpinan kita pada selepas masalah bertembungan di antara kaum berlaku pada 1969 dahulu. Apa yang berlaku pada 1969 dahului serupa dengan apa yang berlaku sekarang. Perbezaannya hanyalah dalam kemelut sekarang ia tidak akan membabitkan pertumpahan darah di antara kaum kerana semua kaum tertumpu untuk melihat sebuah negara yang bersih daripada rasuah dan berbagai-bagai elemen buruk.

Masalah yang sedang kita hadapi sekarang bukan boleh diselesaikan dengan kumpulan ini dapat menumpaskan kumpulan yang itu. Kalau masih lagi kita memikir dalam kotak seperti yang lazim kita lakukan sekarang ini, maka tidak akan ada perubahan yang berlaku. Masalah akan tetap sama kerana dari segi sikap dan persepsi masing-masing yang sedang bertempur politik tidak ada banyak perbezaan dan jika salah satu daripada dua pihak yang mendapat mandat sekali pun.

Masalah yang asas bagi kita untuk mendapatkan siasah yang betul dan menepati piawaian sebagai sebuah negara demokrasi yang tulen. Apabila seseorang itu sudah matang pemikirannya mereka akan sedar bahawa berdemonstrasi dan berhimpun dengan hiruk pikuk itu tidak akan jumpa penyelesaiannya. Kita anggap sahaja negara kita sebagai negara baru dan biarlah mereka yang mempunyai ‘magnanimity’ yang tinggi memulakan sebuah negara yang seolah-olah sebuah negara yang baru merdeka.

Tidak payah kita memaki hamun di antara satu dengan lain dengan menggunakan bahasa yang kesat seperti manusia yang tidak mempunyai emak bapak. Mereka yang terlalu biasa dengan maki hamun itu adalah daripada orang yang terlalu kosong dan fakir jiwa mereka.

Jiwa yang panas itu adalah jiwa manusia yang tidak aman dan tenteram pemikiran mereka. Ini merupakan pandangan saya dan saya tidak mampu untuk menulis pemikiran orang lain.

Saya tidak pernah menegah orang lain berfikir macam mana sekali pun, maka saya juga tidak mahu berkelahi oleh kerana pemikiran saya pula. Hormati pandangan saya seperti saya menghormati pandangan orang lain. Saya tidak pernah memaki hamun mereka yang tidak sealiran pemikiran dengan saya. Kalau saya luahkan rasa tidak bersetuju dengan pandangan mana-mana pihak pun tidak pernah saya memaki hamun dan menggunakan bahasa yang kotor untuk menundukkan pihak yang tidak sealiran dengan saya itu.

Kita sedang hidup pada zaman kemajuan dan adalah penting bagi kita menilai cara kita berfikir samada sesuai dengan keadaan masa dan zaman sekarang ini.

Memaki hamun seorang yang mempunyai pemikiran yang berbeza dengan kita itu hanya lazim kita dengar berlaku pada zaman batu dahulu sahaja.

28 May 2013

Pakatan Rakyat elok boikot Parlimen dan DUN-DUN seluruh negara

SPR hari ini mencabar Anwar dan Pakatan Rakyat untuk memboikot Parlimen jika benar-benar yakin ada penipuan dalam pilihanraya 13 yang baru lalu ini. Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad mencabar Anwar untuk memboikot Parlimen. SPR seterusnya mempersoalkan Pakatan Rakyat kenapa menerima keputusan yang memihak kepadanya (PR) di Selangor dan Pulau Pinang.

Cabaran SPR ini wajar diterima oleh Anwar kerana sememangnya tidak bermoral jika Anwar dan PKR menerima keputusan itu jika berkeyakinan ada penipuan besar dalam PRU yang lepas ini. Tetapi bagaimana pula penerimaan PR terhadap kemenangannya di Pulau Pinang dan Selangor? Kata Dato' Wan Ahmad, mereka yang menyertai perhimpunan itu adalah orang yang sama yang menerima keputusan pilihanraya di Pulau Pinang dan Selangor.

Adakah perlu Pakatan Rakyat menolak kemenangan di kedua-dua negeri itu kerana penipuan tentunya berlaku di negeri-negeri ini juga. Jika Anwar benar-benar jujur dengan tuduhan itu maka beliau sepatutnya memulakan ‘initiative’ untuk membubarkan Dewan-Dewan Undangan negeri Pulau Pinang dan Selangor kerana berkeyakinan berlaku penipuan yang besar-besaran dalam pilihanraya yang lalu.

Kita tunggu reaksi Anwar terhadap cabaran SPR ini dan reaksi dari Anwar merupakan satu perkara yang sangat ‘interesting’ untuk disaksikan bersama-sama.

Bagi saya dan tidak kurang ramainya di bawah ini, bukan tidak bersetuju dengan ‘rally’ itu, tetapi perhimpunan itu elok dilakukan setelah Mahkamah memutuskan kesahihan ada berlakunya penipuan itu. Bukan sedikit jumlah orang yang akan turut bersama dalam perhimpunan itu jika benar SPR telah melakukan kecuaian dengan penipuan besar-besaran itu.

Tetapi jika Anwar tidak menerima cabaran untuk memboikot Parlimen dan menolak keputusan pilihanraya termasuk di Selangor dan Pulau Pinang itu maka Anwar akan dipersoalkan keluhuran niatnya mengadakan perhimpunan-perhimpunan itu. Bukan tidak ada cara bagi sesiapa untuk memaksa SPR dibubarkan setelah didapati benar-benar penipuan itu dilakukan oleh badan yang menguruskan pilihanraya negara ini.

Tetapi biarlah penipuan itu disahkan oleh pihak Mahkamah dahulu. Apabila selesai semua kes yang dibawa ke Mahkamah itu barulah kita tahu di mana penipuan berlaku dan di mana penipuan tidak berlaku. Maka jika tidak terdapat penipuan itu di Pulau Pnang dan Selangor maka tidak payahlah mengadakan pilihanraya di kedua-dua negeri itu.

Tetapi jika Mahkamah pun tidak diyakini boleh memihak pada yang benar, maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi oleh Anwar ini juga jangan menerima keputusan pilihanraya di Pulau Pinang dan Selangor itu.

Jika terbukti ada penipuan yang besar-besaran saya sendiri akan turun bersama-sama yang ramai untuk menyertai perhimpunan itu. Mungkin ramai yang akan menjawab hujah ini yang Mahkamah pun tidak akan mengadili isu ini dengan adil, maka elok kemenangan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor juga wajar ditolak oleh Anwar. Seperti tuduhan Anwar penipuan berlaku di mana-mana, maka tentulah ia juga berlaku di kedua-dua buah negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat itu.

Apabila Mahkamah mengesahkan penipuan juga berada di kedua-dua negeri itu, maka pilihanraya mungkin terpaksa dilakukan di negeri-negeri itu. Jika tidak sabar untuk melalui SOP yang betul untuk menyelesaikan isu ini saya juga ingin bersama meminta agar Pakatan Rakyat menolak bulat-bulat keputusan pilihanraya di seluruh negara.

Pakatan Rakyat mesti memboikot Parlimen dan semua Dewan-Dewan Legislatif di semua negeri dalam Negara kita ini. Semua ahli-ahli Legislatif yang mewakili Pakatan Rakyat wajar memboikot persidangan di kedua-dua Dewan Legislatif Persekutuan dan negeri-negeri dalam Persekutuan ini.

Di Selangor kesemua 44 orang Dewan Undangan Negeri Pakatan jangan hadir dalam sidang Dewan Undangannya. Begitu juga di Pulau Pinang kesemua 30 orang Dewan Undangan Negeri itu jangan memasuki Dewan Undangan semasa persidangan DUN negeri itu.

Di Dewan Parlimen pula biarlah 133 orang ahli Dewan Lagislatif dari BN sahaja yang hadir sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung dengan isu penipuan ini. Kalau sudah tidak sabar lagi menunggu penghakiman mahkamah itu maka, sementara ini boikot sahaja semua Dewan-Dewan Legislatif Persekutuan dan Negeri-Negeri itu.

Semua mesti berkorban untuk keharmonian rakyat dan negara

Semalam kita terbaca kenyataan Mahathir yang tiada siapa yang berkelayakan untuk mengganti Najib walaupun sebelum itu beliau berpendapat berlainan. Sebelumnya Mahathir pernah menyatakan yang Najib perlu diganti jika prestasi BN dalam PRU13 yang lalu lebih lemah daripada PRU12 pada 2008 dahulu. Semalam Mahathir mengaku pula yang tidak ada yang layak untuk menggantikan PM Najib. Sekaligus ia memberi makna yang Muhyiddin tidak layak untuk menggantikan Najib walaupun BN telah menunjukkan prestasi terburuk dalam mana-mana PRU yang lepas-lepas.

Jika dicari pengganti di kalangan MT yang ada, sememangnya tiada pengganti untuk Najib kerana menggantikan Najib dengan sesiapa di kalangan pimpinan dalam MT itu, ia bukanlah satu perubahan. Semua mereka itu seperti yang selalu saya sebut, datang dari acuan yang sama. Dari Abdullah, Najib dan sesiapa sahaja di kalangan mereka dalam MT UMNO itu menjadi pewaris kepada kepimpinan hari ini, keadaan dan ‘environment’ politik negara tidak akan berubah. Keadaannya akan sama sahaja.

Apa yang dikatakan oleh Mahathir itu betul. Tetapi jika UMNO mahukan perubahan, parti itu perlu mengalihkan ‘ambience’ politik jauh dari keadaan sekarang. Maksudnya UMNO perlu memilih mereka yang dari luar MT itu. Jika ini tidak dilakukan maka UMNO tunggu sahajalah ketentuan yang akan dilakukan oleh rakyat dalam PRU14 yang akan datang. Itu tidak akan dapat dielakkan.

Itu sebabnya dalam posting yang semalam saya menulis tentang betapa perlunya negara ini memulakan perubahan yang drastik untuk mengelakkan rakyat berada dalam keadaan sekarang. Pandangan ini adalah pandangan yang sejujur-jujurnya dan pihak pembangkang tidak perlu melakukan apa-apa lagi untuk berkuasa jika transformasi sebenar dan drastik tidak dilakukan sekarang.

Pandangan buruk rakyat terhadap UMNO dan BN tidak dapat diubati lagi. Sekarang sudah sampai satu tahap jika pimpinan UMNO bercakap benar pun sudah tidak diyakini lagi oleh rakyat dengan sepenuhnya. Stigma negatif yang sedang melekat di batang tubuh UMNO itu sudah tidak boleh dihilangkan lagi.

Justeru apa yang dikatakan oleh Mahathir itu ada kebenarannya, yang tiada siapa yang berkelayakan menggantikan Najib kerana mereka di sekeliling Najib dan MT UMNO itu adalah serupa PM Najib juga. Maka tidak payahlah diganti jika ada pihak hendak menggantikan Muhyidin dengan Najib. Jika UMNO serius hendak berubah orang yang paling sesuai untuk diberikan kuasa itu adalah ‘council of elders’ dan mereka yang ada pada hari ini terpaksa berkorban dan mengundurkan diri.

Ada yang menyebut pengganti kepada yang ada sekarang adalah kerajaan perpaduan yang telah pun ditolak oleh Azmin Ali dalam Kongress tahunan PKR dua hari lepas. Tetapi mana-mana parti pun tidak boleh menentukan keadaan sekarang kerana ini adalah pandangan rakyat yang mahukan semua pihak bersatu dalam satu ‘congregation’ kepimpinan yang melibatkan semua pihak.

Apabila semua pihak bersetuju untuk bersatu maka masing-masing pihak terpaksalah ‘berseri-beri’ kata orang tua-tua. Maksudnya tidak semua pihak atau individu mendapat semua yang mereka mahukan. Dalam proses ini setiap pihak dan individu tertentu mesti bersedia untuk berkorban walaupun terpaksa meletakkan jawatan atau melupakan kehendak peribadi untuk menjadi orang yang paling berkuasa.

Jika pihak yang sedang memimpin sekarang tidak berkemampuan untuk bertahan dan berbuat baik, mungkin tindakan mengundurkan diri mereka boleh membawa keharmonian kepada rakyat dan kerajaan kita. maka pengunduran itu adalah satu kerja baik yang akan dikenang oleh rakyat sampai bila-bila.

Maksudnya ada pihak yang boleh berjasa kepada negara dengan mendapatkan kuasa dan ada pihak lain yang perlu berundur untuk maksud yang sama. Tidak juga terlupa kepada pihak yang mesti melupakan hasrat untuk berkuasa semata-mata untuk kepentingan negara. Yang pentingnya kesemua pihak ini membantu untuk mewujudkan kebaikan dalam negara dan keharmonian rakyat keseluruhannya.

Sesungguhnya setiap orang itu boleh melakukan kebaikan untuk yang ramai ini, asalkan sahaja setiap yang terlibat itu jujur untuk melihat kebaikan yang kita hendak wariskan kepada generasi negara yang akan datang.

Tetapi selalu usaha baik itu gagal kerana ada di antara yang ramai itu terpengaruh dengan bisikan 'khatir' yang mahukan kita sentiasa berpecah-belah. Melawan bisikan jahat 'khatir' itulah sebenar-benar perjuangan yang paling besar di sisi Tuhan yang Maha Esa. DAN peperangan melawan bisikan 'khatir' ini adalah peperangan sepanjang hayat bagi mereka yang ingin tergolong dalam manusia yang mukmin.

27 May 2013

Negara perlu disusun semula dari alif, baa, taa

Serius, negara kita wajar disusun semula segala-galanya. Kita tidak lagi mempunyai sistem sebuah kerajaan yang ‘sustainable’ dalam segala bidang. Semuanya sudah tidak boleh dipakai lagi dan jika tiada perubahan maka kita tidak akan lagi berada di dalam sebuah negara yang berkerajaan yang benar-benar selari dengan kehendak demokrasi dan kehendak kemajuan dunia masa kini.

Keyakinan terhadap semua institusi demokrasi sudah sampai tahap terendah dan tidak diketahui lagi samada kita ini akan maju ke tahap dunia pertama atau berundur dan menggelongsor ke tahap kerajaan dunia ketiga. Kita membiarkan kepimpinan kerajaan menyerang dan merobohkan semua institusi demokrasi. Sistem kehakiman, kepolisan, undang-undang dan berbagai-bagai lagi telah dilacurkan. Kita seolah-olah sedang tinggal di dalam sebuah negara yang sama tahap kewibawaannya seperti Zimbabwe, Mali, Congo dan lain-lain.

Jatuhnya kewibawaan sesebuah negara dan kerajaan itu berkait rapat dengan kewibawaan pemimpin-pemimpinnya. Di negara kita sistem yang ada sudah tidak diyakini lagi oleh bukan sahaja rakyat kita sendiri, tetapi telah menjadi cemuhan masyarakat antarabangsa. Sudah tiada pihak yang serius untuk melakukan perubahan untuk mengembalikan negara kita ke tahap yang pernah kita alami dahulu.

Dulu negara kita adalah negara yang paling hampir kepada tahap dunia pertama dan negara maju.sejurus kita mencapai kemerdekaan dahulu. Pencapaian kemajuan yang dimaksudkan bukannya dari segi pembangunan fizikal semasa itu, tetapi sikap dan suasana kepimpinan semasa itu jauh lebih baik dari masa sekarang. Dulu kepimpinan kita begitu masyhur dengan kewibawaan sebagai pemimpin sebuah negara yang cepat mencapai tahap negara maju.

Tetapi bagi pimpinan sekarang mereka mengaku dan memuji diri sendiri yang kita telah hampir ke tahap itu. Tetapi apakah benar kita sudah menghampiri tahap dunia maju seperti yang digembar-gemburkan itu? Kalau kita sebut negara maju itu apakah definasi negara maju sebenarnya? Adakah cukup dengan membina bangunan tinggi-tinggi yang hampir setinggi awan itu untuk menjadi kayu pengukur kemajuan itu?

Adakah sudah mencukupi jika kita membina jambatan panjang-panjang atau membina tiang bendera yang tertinggi di dunia itu sudah melayakkan kita digolongkan ke dalam negara maju? Bagaimana dengan sikap dan nilai pemikiran kita tidak perlu dibina untuk melayakkan kita menjadi sebuah negara maju? Tidak perlukah kita membina kepimpinan yang beretika dahulu sebelum kita menjadi negara maju?

Apakah sebenarnya ciri-ciri penting yang perlu ada sebelum kita boleh menganggap negara kita sudah mencapai ke tahap negara maju itu? Pendeknya tahukah kita semua apa dia negara maju itu?

Negara maju itu adalah sebuah negara yang matang. Kematangan negara itu bukan setakat mencapai kemajuan fizikalnya tetapi kematangan yang meliputi bidang kehidupan yang lain. Kematangan sesebuah negara itu boleh kita lihat dari segi politiknya, kemajuan pemikiran rakyat lebih-lebih lagi pemikiran pimpinannya. Negara maju yang matang mempunyai rakyat yang hidupnya penuh dengan etika kehidupan seharian dan lebih-lebih lagi dari segi sikap mereka terhadap semua isu yang ada di depan mata mereka.

Dalam sebuah negara maju sistem kehakiman mereka tidak boleh dipengaruhi oleh politik dan menyebelahi sesuatu pihak. Pihak eksekutifnya tidak boleh masuk campur dalam hal yang berkaitan dengan kehakiman itu. Sistem kehakiman kita suatu ketika dahulu adalah badan bebas tetapi dihancurkan oleh pimpinan kerajaan (executive) semasa pimpinan seorang Perdana Menteri yang boleh berjalan di atas air dahulu.

Di England badan yang mengendalikan pilihanraya tidak menunjukkan sikap seperti pimpinan SPR di sini yang menunjukkan ‘thumbs up’ di depan media setelah BN berjaya mengekalkan mandat walaupun mandat yang bertambah kecil. SPR di sini seolah-olah adalah salah satu dari anggota Barisan Nasional yang berbelas-belas itu.

Di negara maju anggota Polisnya lebih menumpukan tenaga untuk menjaga keselamatan negara dan tidak seperti di sini di mana anggota Polisnya lebih menumpukan perhatian kepada pemimpin pembangkang sahaja. Jenayah bertambah-tambah dan segala jenis jenayah nampak seperti tidak ada kawalannya. Polis sudah hilang ‘priority’ terhadap tanggungjawabnya.

Mereka lebih percaya yang perhimpunan anjuran PKR itu lebih bahaya daripada kumpulan penyamun yang sentiasa mengintai-ngintai untuk menyamun rumah-rumah yang boleh mereka masuk untuk menyamun. Pendeknya seluruh sistem dan kewibawaan kerajaan sudah tidak boleh lagi diperbaiki oleh pimpinan yang ada sekarang ini.

Seperti yang selalu saya sarankan, negara kita perlu melakukan transformasi, bukan seperti yang dianjurkan oleh Najib tetapi transformasi yang hakiki. Kita terpaksa memulakan dengan menyusun kembali negara ini dari ABC atau alif baa taa.

‘The elders have to take charge’ buat sementara untuk menyusun kembali negara yang telah tersimpul mati dengan kemelut dan masalah yang tidak kunjung selesai itu. ‘Budak-budak’ yang tidak berhenti-henti berkelahi itu duduk di tepi dahulu, hisap curut atau rokok daun, atau duduk bersama saya di kedai kopi mamak mana-mana.

Untuk memulakannya biarlah mereka yang memahami selok-belok siasah dan pentadbiran dan mempunyai roh sejati untuk memperbaiki keadaan ini. Najib hanya pandai bercakap tentang ‘national reconciliation’. Tetapi beliau juga adalah pihak yang terlibat dalam pergaduhan untuk mengekalkan kuasa dengan orang yang hendak mendapatkan kuasa itu.

Jika Najib benar-benar jujur untuk matlamat itu, beliau sepatutnya mempunyai otot yang cukup kuat untuk mendisiplinkan ahli-ahli partinya untuk tidak berkata dan bertindak tanpa mempunyai ‘clue’ yang betul untuk melakukannya.

26 May 2013

Pembongkaran perjanjian rahsia Anwar dan Najib tidak mengejutkan

Sekarang terbit isu baru tentang perundingan sulit di antara Najib dengan Ketua Pembangkang, Anwar untuk menghormati keputusan pilihanraya yang ke 13 yang lalu. Perundingan itu diatur oleh Jusuff Kalla, bekas Naib Presiden Indonesia yang telah berusaha mengadakan perjanjian di antara kedua-dua belah pihak. Kedua-dua Najib dan Anwar bersetuju untuk menghormati keputusan pilihanraya itu, tetapi Jusuff mengatakan Anwar telah memungkiri janji beliau untuk menghormati keputusan pilihanraya yang telah diadakan pada 5hb Mei lalu.

Begitulah politik di negara ini. Kedua-dua bergaduh, tetapi minta orang luar untuk mendamaikan dan membuat perjanjian senyap-senyap dan selepas itu tidak menghormati perjanjian. Itulah namanya ‘janji politik’. Cerita perjanjian ini tersiar di seluruh dunia. Tidak perlu kita marah kepada sesiapa di seluruh dunia sebabnya pihak di sini yang meminta orang luar dari negara ini untuk mengamankan kita.

Apabila bekas Naib Presiden Indonesia itu membuka segala rahsia dan perjanjian sulit itu, kedua-duanya menafikan memulakan tidak memenuhi janji. Najib terus terang menuduh Anwar yang tidak memenuhi janji untuk menerima keputusan pilihanraya itu dengan bergerak beramai-ramai untuk berhimpun menentang keputusan pilihanraya itu. Sebaliknya Anwar memberikan alasan yang beliau tidak dapat meneruskan perjanjian itu kerana BN telah mencuri kemenangan Pakatan Rakyat.

Itu sebabnya jangan berjanji dengan seteru politik dan jika kita sudah lama melalui asam garam politik beberapa pimpinan kita, ia tidak pula susah untuk mencari sebab kenapa perjanjian ini berlaku dan kenapa ia dimungkiri.

Sebelum pilihanraya diadakan, pihak PR yang ditunjangi oleh Anwar telah merasakan pihaknya akan berjaya menundukkan BN buat kali pertamanya dalam sejarah kemerdekaan negara. Tentulah Anwar mahukan pihak BN untuk menerima keputusan itu dengan baik dan jangan melakukan apa-apa tindakan yang tidak diingini.

Anwar pun telah membuat beberapa telahan apa yang akan berlaku jika PR menang dalam pilihanraya itu termasuk melakukan perkara yang tidak diingini. Anwar begitu yakin PR akan menang dan beliaulah akan menjadi Perdana Menteri. Najib pun menerima cadangan Anwar itu. Orang yang menjadi perantaraannya ialah Jusuf Kalla, bekas Naib Presiden Indonesia.

Tetapi apabila sangkaan Anwar yang PR akan menang itu meleset, maka jelaslah yang cita-cita beliau untuk menjadi Perdana Menteri itu tidak kesampaian. ‘Confidence’ yang begitu tinggi untuk menang telah memberikan keputusan yang di luar jangkaan Anwar. Rupa-rupanya BN tidak payah berbuat apa-apa lagi kerana telah memenangi mandat rakyat dan menang tipis dengan jumlah 133 kerusi, cukup untuk menubuhkan kerajaan minoriti sejurus selepas awal pagi 6hb Mei yang lalu.

Sebenarnya Anwar sememangnya terlalu yakin yang pilihanraya kali ini akan menjadikan beliau Perdana Menteri. Anwar sudah mula memberikan amaran kepada banyak pihak yang beliau akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang telah melakukan kerja yang tidak baik jika menjadi Perdana Menteri. Saya pun ada keyakinan kuat yang Anwar akan menjadi Perdana Menteri dan saya gembira kerana akhirnya demokrasi di negara ini mampu menukar kerajaan.

Tetapi saya, sebagai orang Melayu, tambahan pula orang yang terdidik di kampung yang terpencil, saya merasakan ada yang tidak kena sedang berlaku di kalangan pihak PR sendiri. Saya merasakan pihak Pakatan Rakyat telah terlalu ‘over confident’ dan saya merasakan perasaan yakin yang keterlaluan itu akan memusnahkan harapan pihak Pakatan.

Lantas saya menulis dengan memperingatkan pihak Pakatan Rakyat supaya ‘jangan membuangkan air di dalam tempayan semata-mata terdengar guruh di langit’. Saya juga mengingatkan sesiapa yang berkenaan, ‘burung yang terbang jangan dipipiskan lada’ dan ‘duduk dahulu sebelum berlunjur’ dan berbagai-bagai lagi.

Justeru apabila apa yang dijangka itu tidak menjadi maka berlakulah tuduhan dari PR yang BN telah melakukan penipuan. Anwar terus mengadakan perhimpunan mengajak anak-anak muda supaya berhimpun menentang keputusan PRU itu. Saya tidak menolak kemungkinan penipuan itu, tetapi belum lagi nampak buktinya sehingga isu itu dihakimkan oleh Mahkamah Tinggi nanti. Di peti undi tempat saya membuang undi di Seri Menanti Kuala Pilah, tidak ada pula elemen tipu menipu ini.

Tetapi isu yang dibangkitkan oleh Asian Wall Street Journal yang menceritakan yang Jusuf Kalla telah menuduh Anwar memungkiri janji itu sebenarnya tidak mengejutkan sesiapa yang memahami politik Anwar.

Sebenarnya Anwar sudah begitu ‘over confident’ untuk menang dan tidak mahu BN berbuat angkara jika Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat. Persediaan pihak PR di Hotel One World untuk mengumumkan kemenagan pihak Pakatan Rakyat akhirnya tidak jadi diadakan. Sejurus selepas tengah malam BN telah mengumumkan kemenangan 112 kerusi dan akan terus menubuhkan kerajaan walau sekecil mana pun majoriti yang diperolehinya.

Saya secara peribadi menerima Anwar seadanya kerana saya faham memungkiri janji dan setiakawan ini sudah menjadi perkara yang sudah ‘inbuilt’ di dalam diri beliau dan tidak akan dapat dibuang lagi.

Semasa beliau menentang Datuk Hj Suhaimi Kamarudin sebagai Ketua Pemuda pada 1982 dulu, sampai sehari sebelum pertandingan itu Anwar masih beriya-iya meyakinkan Hj Suhaimi yang beliau tidak akan menandingi Hj Suhaimi.

Tetapi pada hari pertandingan itu Anwar mengumumkan akan menentang Hj Suhaimi dan terus Anwar menang dengan kelebihan 10 undi. Haji Suhaimi turun pentas di Dewan Persidangan Dewan Bahasa dan Pustaka itu dengan rasa tertipu dan terus merudum politiknya sampai ke hari ini.

Anwar juga berikrar tidak akan melawan Ghaffar Baba yang beliau anggap sebagai bapa beliau. Tetapi di akhir-akhir masanya Anwar mengumumkan akan menentang Ghaffar sebagai Timbalan Presiden dan Ghaffar pun terpaksa melepaskan jawatan beliau dengan rasa tertipu seperti perasaan yang sama yang dialami oleh Hj Suhaimi pada 1982 dahulu.

Apa yang hendak dibisingkan oleh Jusuff Kalla jika perkara yang sama berlaku lagi? Saya hanya duduk di tepi melihat adegan lakonan bersiri ini dengan penuh minat. Saya pun hendak juga melihat apa kesudahan kepada drama bersiri yang panjang ini. Masing-masing berhak untuk membuat pemerhatian sendiri.

Marilah kita bersetuju dan menghormati pandangan masing-masing. Ini negara demokrasi. Saya tidak bercadang untuk menyekat sesiapa untuk menyokong sesiapa. Saya pun bukannya sesiapa dalam politik negara ini. Saya hanya seorang pemerhati yang berpengalaman 'menyelam air dalam tunggak'. Itu sahaja.

25 May 2013

Peluru habis, palembang tak alah jua

Selama ini kita merasakan kekuatan gerakan perubahan ini begitu efektif dan perubahan itu tetap berlaku dalam pilihanraya yang lalu. PRU13 pun sudah selesai dan kita telah mendapat keputusannya. Hasilnya PKR tidak menerima keputusan pilihanraya kerana mereka percaya ada berlaku penipuan besar dalam pilihanraya itu. Sekarang rakyat berpusu-pusu berhimpun di mana-mana, di Petaling Jaya, Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan dan yang terakhirnya di Kuala Terengganu. Malam ini ada lagi perhimpunan di ‘vicinity’ Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Itulah demokrasi dan tidak ada salahnya mana-mana pihak mengadakan perhimpunan itu untuk meluahkan perasaan bengis dan marah kita. Lagipun sememangnya sudah biasa kita bersama dalam perhimpunan seperti itu. Bagi diri saya yang tidak ada apa-apa ini pun telah menjelajah dan menjejakkan kaki di banyak tempat dan daerah untuk memberikan penerangan betapa perlunya perubahan dilakukan di negara ini. Tidak ada rasa letihnya semasa itu kerana semangat untuk berubah itu sememangnya begitu tinggi dan ditambah pula dengan sambutan yang begitu menggalakkan.

Hasilnya BN tetap memenangi PRU itu walaupun dengan jumlah kerusi yang menguncup. Sekarang wujud pula fenomena baru. Rakyat berkumpul kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya. Kalau dilihat daripada sambutan ramai tidak ada sebab BN kekal memenangi pilihanraya itu, tetapi keputusannya BN tetap diberikan mandat. PKR tidak mahu menerima keputusan pilihanraya ini kerana dikatakan pilihanraya itu sarat dengan penipuan di mana-mana. Mahkamah akan menentukan samada keputusan pilihanraya itu benar-benar dipenuhi dengan penipuan.

Jika Mahkamah memutuskan yang penipuan benar-benar berlaku, maka akan berlaku lagilah perhimpunan-perhimpunan besar-besaran dan Tuhan sahajalah yang tahu bila isu itu akan berakhir kerana segala-galanya adalah dalam penentuanNya semata-mata. Sebelum keputusan dibuat pun telah banyak kali perhimpunan itu diadakan dan sambutannya menggalakkan dengan kehadiran yang ramai untuk memberikan sokongan. Saya berharap rakan-rakan yang berjuang ini akan mendapat apa yang mereka hajati dan rakyat kembali hidup seperti biasa dengan aman dan tenang.

Tetapi sebagai seorang yang sudah begitu lama meniti kehidupan gerakan seperti ini, tentulah saya tidak mahu mereka kecewa lagi. Saya telah merasakan pahit maungya berjuang dan apa sahaja keputusan dan hasilnya nanti mesti diterima dengan syukur. Dalam perjuangan jangan berasa tertekan apabila menghadapi kekalahan. Kekalahan itu adalah makanan kepada pejuang asalkan sahaja mereka menerimanya sebagai salah satu dari perkara yang perlu dijangka.

Persoalannya sekarang, adakah pihak yang membangkang ini akan akhirnya berjaya? Jawapannya tetap berada dalam ketentuan Tuhan Maha Esa. Hanya sebagai manusia yang hanya menggunakan akal sahaja ini, ramai yang bertanya samada isu ini akan berjaya membuahkan hasil itu? Ada yang bertanya, adakah usaha ini tepat pada sasarannya? Ada di antara mereka bertanya dan menjawab sendiri dan berkata, ‘peluru habis palembang tak alah jua’.

Alah atau tidaknya Palembang itu, ia tetap berada dalam ketentuan Tuhan. Anda teruskan sahaja usaha itu tanpa memikirkan apa hasilnya. Samada berjaya atau sebaliknya akan ditunjukkan Tuhan akhirnya.

Hanya kita perlu ingat satu perkara, jangan sekali-kali ‘berkokok di atas tunggul yang rapuh’. Kokokan itu akan senyap apabila tunggul rapuh itu tersembam menyembah bumi. Takut-takut nanti tiada tunggul tempat hendak berkokok lagi.

Baik dari pihak kerajaan, mahu pun di pihak pembangkang nasihat dan pandangan ini, sama-sama kita ingati.

Kalau UMNO jatuh, jangan salahkan rakyat atau sesiapa

Penahanan beberapa aktivis politik dua hari lepas amat membimbangkan ramai kerana kita tidak lagi boleh membuat penentuan samada demokrasi di negara ini bertambah maju atau mundur ke belakang. Apa yang kita lihat sekarang rally dari pihak pembangkang itu dianggap sebagai protes jalanan dan saya tidak bersetuju dengan label itu. Selepas PRU ini tidak pula saya teringat satu pun protes jalanan yang dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya itu.

Yang ada hanyalah sekumpulan pemimpin dan manusia yang tidak berpuas hati dan itu bukannya protes jalanan. Tetapi tentulah mereka terpaksa berjalan melalui jalan-jalan menuju ke arah tempat perkumpulan itu. Takkanlah mereka terbang dan mendarat di tempat perkumpulan itu dianjurkan.

Label yang diberikan kepada mereka yang memprotes ini adalah label yang tidak adil. Bagi mereka yang berfikiran yang baik tidak ada salahnya jika mereka berkumpul secara aman dan berucap samada secara lembut atau secara panas kerana mereka bukannya berkumpul untuk membuat huru-hara.

Tetapi saya faham kenapa pemerintah begitu gusar dengan gerakan rakyat yang berkumpul itu. Kita memahami yang implikasi buruknya bukan kecil dan jika ia berterusan UMNO tidak akan dapat merehatkan fikiran mereka. UMNO akan terus merasakan keresahannya walaupun ada kuasa di tangan. Apabila UMNO berada dalam situasi ini mereka tidak akan lagi mampu membuat keputusan dengan baik lagi.

Penahanan empat orang aktivis itu adalah salah satu bukti kukuh yang UMNO sudah tidak lagi berjaya melakukan usaha yang baik terhadap rakyat. Walaupun pihak Pakatan Rakyat belum lagi membuktikan kesahihan tuduhan penipuan yang dilakukan oleh BN, tetapi implikasi buruknya tetap diterima oleh UMNO dan BN itu. Kita boleh bayangkan apa yang bakal berlaku jika PR berjaya membuktikan melalui penghakiman Mahkamah yang penipuan itu sah berlaku dalam PRU ke 13 itu.

Saya tetap berpendirian yang pihak kepimpinan UMNO dan BN wajar menguruskan masalah besar ini secara jujur dan telus. Harus difahami memperbaiki imej dan sangkaan buruk rakyat terhadap UMNO itu perlu dilakukan dengan segera kerana buat masa ini sangka buruk rakyat terhadap UMNO dan kepimpinannya terlalu rendah dan buruk sekali.

UMNO itu sudah sampai ke penghujungnya dan jika tidak ada keterbukaan UMNO itu memahami masalah rakyat dengan parti itu maka UMNO tidak lagi perlu menelah apa yang akan berlaku. Jawapannya UMNO akan tumbang dan akan menjadi bahan sejarah. Kalau itu kehendak UMNO maka tidak lagi perlu melakukan apa-apa, selain dari menunggu sahaja saat kejatuhannya.

Kalau sudah sampai saat itu, tanggung sahajalah segala dosa dan noda yang mereka (kepimpinan UMNO) telah lakukan. Bukan tidak ada yang menegur, hanya diri sendiri yang leka dan tidak sedar-sedarkan diri.

24 May 2013

Bahasa melambangkan bangsa, kata-kata melambangkan apa?

Pilihanraya ke 13 sudah hampir sebulan berlalu dan keputusan sudah pun diketahui. BN masih kekal dengan bilangan kerusi yang lebih menirus iaitu hanya 133 semuanya. Undi ‘popular’ pun jatuh di bawah yang diperolehi oleh pihak Pakatan Rakyat. BN hanya mendapat 47% undi popular dan dengan kerendahan undi popular itu menjadikan BN hanyalah sebuah kerajaan ‘minority’ dalam erti dan hakikat sebenarnya.

Entah berapa puluh billion ringgit dibelanjakan secara ‘direct’ atau secara tidak langsung untuk menambat hati rakyat untuk mendapat kemenangan 2/3 bertambah jauh. Jika dilihat daripada cara perbelanjaan menghadapi pilihanraya itu BN sepatutnya mendapat 3/3 kemenangan. Begitulah seperti yang saya perkatakan beberapa kali, kos untuk mempertahankan BN ini terlalu tinggi.

Kalaulah berbelanja sampai puluhan billion ringgit semata-mata untuk mendapat 133 kerusi sahaja ia jelas merupakan kekalahan besar BN jika dipandang dari sudut moralnya. Nasib baiklah bagi BN kerana masih ada saki baki pengundi yang masih dibeli dan dikelirukan dengan isu perkauman yang dimainkan oleh BN itu.

Jika tuduhan pihak Pakatan Rakyat wujudnya bantuan pengundi haram dalam PRU13 lalu, maka sah UMNO dan BN sudah menjadi pihak yang sudah tidak laku lagi. Tetapi itu perkara yang biasa. Ramai orang yang tidak meminati jejaka yang buruk dan tidak ada rupa, tetapi masih dikahwini oleh ramai wanita kerana wang ringgit mereka walaupun tanpa rasa kasih dan sayang sejati.

Orang yang tidak punya rupa selalunya terpaksa berbelanja tinggi untuk mengambil hati isteri yang mereka mahu berkahwin dengan mereka kerana wang ringgit semata-mata. Kekurangan yang ada kepada diri mereka ini terpaksa ditutupi dengan harta dan wang ringgit, kereta besar dan berbagai-bagai lagi untuk menampung kekurangan itu.

Sebaliknya, ramai yang tiada harta yang bertimbun, masih kekal dengan keluarga yang mereka bina dengan anak-anak yang cergas dan bersayang-sayangan antara satu dengan lain di dalam keluarga itu. Ini adalah keluarga yang mempunyai nilai yang tinggi walaupun tidak mempunyai wang jutaan ringgit. ‘Bukit sama didaki lurah sama dituruni. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah’.

Begitulah kehidupan mereka yang mempunyai nilai kehidupan yang tinggi dan sentiasa disalut dengan iman serta keperibadian yang mulia di sisi adat dan agamanya. Keluarga seperti ini selalunya adalah keluarga yang sederhana dan mempunyai keperibadian yang tinggi. Cara mereka bercakap pun tidak celupar dan mereka ini selalunya dari golongan yang dihormati oleh masyarakat sekeliling mereka.

Mereka ini selalunya kalau tidak bersetuju dengan pandapat orang lain mereka akan berkata-kata dengan kata-kata yang baik yang mampu memberikan makna yang sama dengan mereka yang celupar tadi. Mereka ini juga selalunya melambangkan yang mereka adalah dari darah dan keturunan yang baik-baik dan kita boleh tahu yang mereka mempunyai ibu dan bapa yang relatifnya baik latar belakang keluarganya. Orang sederhana ini selalu menjaga nama baik ibu bapa mereka dengan mempunyai ‘disposition’ yang baik.

Ada juga satu kumpulan yang satu lagi. Kumpulan ini selalunya bercakap dengan keperibadian perongos. Apabila tidak bersetuju dengan pandangan pihak lain mereka akan memaki hamun orang lain itu dengan kata-kata yang kesat dan menjengkelkan. Mereka ini selalunya berbangga kerana dapat mengeluarkan kata-kata nesta yang tidak mempunyai adat dan adab, jauh sekali untuk menjaga nama baik ibu bapa mereka yang membesarkan mereka.

Itu sebabnya apabila kita bergaul dengan luas, kita akan berhadapan dengan banyak perangai manusia yang berlainan latar belakang mereka. Setiap di antara yang kita gauli itu boleh kita membuat andaian yang agak ‘conclusive’. Kita boleh mengatakan dalam pemerhatian kita, ‘orang itu macam tidak mempunyai ibu bapa’ misalnya. Di dalam hati kita, kita akan bercakap ‘kesian dia tu, macam orang tidak pergi sekolah’ atau pun sebaliknya kita juga akan tahu, ‘wah anak siapa tu, baik dan elok percakapannya, mesti ibu bapanya dari orang yang baik-baik’.

Semuanya ini datangnya dari cara percakapan dan pergaulan mereka. Kata orang, hanya ‘mutu mengenal manikam’. Jangan tersalah sebut, nanti tersebut hanya ‘Muthu mengenal Maniam’ pula.

Dalam politik kita akan berhadapan dengan semua ragam ini baik dari yang menyokong pemerintah mahu pun dari mereka yang menyokong pihak yang membangkang. Apatah lagi sebagai penulis blog kecil seperti yang saya ada ini. Setiap hari saya berhadapan dengan mereka yang perongos dan tidak mempunyai sifat yang elok untuk didengar.

Selalu perdebatan di antara mereka yang berselisih faham dalam isu yang saya tulis masing-masing menghina pihak yang lain dengan kata-kata nesta yang tidak sepatutnya terkeluar dari mulut seorang yang terdidik dengan baik oleh ibu bapa masing-masing. Kata-kata mereka setengahnya tidak langsung terfikir oleh orang yang bersekolah  kerana ada kata-kata dan perkataan yang buruk seperti bodoh, bingai, bangang dan celaka terkeluar dari mulut mereka ini.

Ada yang mengatakan pihak musuhnya babi, anjing dan banyak lagi istilah-istilah ciptaan baru yang semuanya kotor dan mengaibkan. Mereka ini mengaibkan diri mereka sendiri dengan mengeluarkan kata-kata nesta ini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimanalah nasib ibu bapa mereka yang telah pergi buat selama-lamanya itu? Bagaimanakah mereka hendak mendoakan ibu bapa mereka yang sudah pergi dengan nilai seperti ini?

Tidakkah mereka mempunyai rasa kasih sayang dan hormat kepada ibu bapa mereka kerana perbuatan mereka itu melambangkan ibu bapa mereka? Bukankah kita ini datangnya dari rahim ibu kita hasil perkongsian di antara ibu dan bapa kita? Kata perbilangan bagaimana acuan begitulah bentuk kuihnya.

Kita boleh tidak bersetuju tetapi bercakaplah dengan baik kerana bercakap dengan baik pun memberi makna yang sama. Fikir-fikirkanlah pandangan ini kerana bahasa itu melambangkan bangsanya.

Dengan kata-kata kita itu ia melambangkan samada kita ini adalah dari keturunan sengkek atau dari keluarga yang bertamadun.

UMNO sendiri yang terminta-minta untuk ditumbangkan

Saya yang tidak berapa pandai ini pun merasakan yang UMNO sudah sampai ke penghujung usianya. Saya bukan menentang tindakan menahan rakan-rakan perjuangan saya oleh pihak Polis, kerana itulah makanan pejuang-pejuang sejati. Bagi pihak yang berjuang mereka merasakan mereka bertindak dengan kebenaran dan bukan sedikit manusia yang menyokong mereka.

Tetapi seperkara yang tidak dapat dinafikan, pihak berkuasa tidak mencari jawapan kenapa keadaan sebegini berlaku. Pihak parti pemerintah tidak pula berusaha dan mendengar keresahan rakyat selama ini. Apabila terdesak maka ditahan orang itu dan orang ini sewenang-wenangnya. Saya tidak dapat menerima tindakan kerajaan menahan mereka semalam.

Ruang untuk pemerintah membetulkan keadaan semakin hari semakin sempit. Bukan sedikit teguran dibuat terhadap parti pemerintah sejak banyak tahun dahulu, tetapi UMNO tidak mahu berubah dan terlalu leka dengan kuasa. Rakyat sudah berani keluar untuk menentang secara terbuka dan ia hanya memberikan keyakinan ramai yang UMNO tidak dapat dipulihkan lagi. Yang jelas sekarang rakyat pula yang mengambil tindakan untuk berubah.

Saya merasakan yang keadaan begini akan terus menerus berlaku dan tidak ada pihak yang mampu untuk meredakan perasaan mereka yang hilang keyakinan terhadap UMNO itu. Tidak adil jika kesalahan itu hanya diletakkan kepada rakyat. UMNO sepatutnya menerima dan mengakui seratus peratus kesalahan itu. Selalu saya berkata UMNO sudah hilang punca seolah-olah sudah hilang hidayah kerana masih melakukan kesilapan walaupun usia UMNO itu semakin luput. Hendak berbuat baik tetapi mereka sudah tidak lagi tahu apa dia yang baik untuk mereka lakukan.

Penahanan tiga aktivis semalam tidak melunturkan perasaan marah rakyat. Pihak pemerintah mesti mengakui bahawa rakyat marah itu bukan tidak bersebab. Tidak mungkin mereka marah semata-mata untuk marah. Bukannya usaha yang kecil untuk keluar malam dan berjuang dengan tidak ada hentinya.

Malam tadi ribuan rakyat berada di sekitar Balai Polis Jinjang untuk memberikan simpati kepada Tian Chua, Tamrin Ghaffar dan Harris Ibrahim yang ditahan Polis semalam. Ini bukannya perkara kecil. Jika tekanan kuat dilakukan oleh pihak berkuasa pun ia tidak melunturkan perasaan marah rakyat itu.

Pihak kerajaan mesti faham, yang mereka kendalikan sekarang ini bukannya haiwan. Mereka adalah manusia yang kebanyakan mereka adalah kumpulan muda yang terpelajar. Mereka tidak mahukan kerajaan melakukan tekanan. Jika kerajaan sentiasa memberikan tekanan sebegini, pihak pemerintah akan pasti kehilangan sokongan lebih buruk lagi daripada pilihanraya yang lalu.

Tidak akan ada kesudahannya dan tidak mungkin UMNO mampu memperbetulkannya lagi. Oleh yang demikian apa yang sepatut dilakukan oleh siapa bagi membetulkan yang salah dan menampal yang koyak tadi?

Jika benar terdapat penipuan dalam pilihanraya yang lalu setelah mahkamah membuat keputusan, maka tidak ada jalan lain selain daripada kerajaan sekarang berundur. Kerajaan sekarang tidak boleh lagi mengaku mereka berkuasa melalui proses demokrasi kerana telah terdapat penipuan itu. UMNO akan hanya mampu bertahan seketika jika mahkamah memutuskan tiada penipuan dan mengakui yang pilihanraya telah berjalan dengan betul mengikut cara yang betul.

Tetapi bolehkah mahkamah memutuskan PRU 13 yang baru selesai ini tidak ada penipuan? Jika ada penipuan maka tidak syak lagi UMNO terpaksa berundur dengan cara terhormat walaupun pilihanraya di kawasan-kawasan yang didapati ada penipuan diadakan semula.

Penahanan terhadap Tamrin, Tian Chua dan Harris itu amat memberi kesan kepada kredibiliti kerajaan. Saya berharap ketiga-tiga mereka akan dibebaskan tanpa apa-apa tindakan susulan yang diambil terhadap mereka.

Saya memohon agar kerajaan cukup-cukuplah melakukan penahanan sesiapa kerana rakyat sedang memerhatikan keadaan dengan rapi. Sekarang bukan zaman UMNO yang mengaku boleh menghantar songkok untuk mewakili calon dan terus menang dalam pilihanraya.

UMNO dan BN akan hanya mempunyai sedikit peluang jika UMNO tunjukkan yang parti itu benar-benar melakukan transformasi habis-habisan dengan melakukannya sekarang juga. Lewat dari sekarang kita boleh kira UMNO sudah tamat riwayatnya.

Jika UMNO tidak memperbaiki diri sekarang juga ia bermakna UMNO sendiri yang mahu mereka ditumbangkan bukannya rakyat yang saja-saja mahu menumbangkan mereka.

23 May 2013

Kalau di sana 2x5, di sini 5x2... Jawabnya sama....10

Seminggu yang lepas heboh diperkatakan oleh Zahid Hamidi supaya rakyat meninggalkan negara ini jika tidak bersefahaman dengan sistem pilihanraya di negara ini. Dua hari lepas timbul pula desakan dan seruan supaya siapa yang tidak bersetuju dengan sistem yang ada supaya tinggal di dalam hutan. Seruan yang ini datangnya dari Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO, Selangor.

Seorang meminta supaya meninggalkan negara dan yang seorang lagi meminta sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang supaya tinggal di dalam hutan. Apabila kita sarat dengan pemimpin yang ‘gila’ seperti ini, sememangnya tidak dapat sesiapa menyalahkan rakyat memberontak dalam pemikiran mereka. Rakyat mahukan kepimpinan yang selari tahap dan kemampuan mereka untuk berfikir dan bertindak mengikut waktu dan zamannya.

Kita tidak kisah dengan Noh ini, kerana beliau bukanlah seorang pemimpin yang perlu diberikan perhatian. Beliau hanyalah seorang daripada ramai yang memimpin kerajaan yang begitu keliru dengan kedudukan yang mereka sandang. Kumpulan pimpinan seperti ini adalah kumpulan pemimpin yang tidak tahu bagaimana mereka boleh menjadi pemimpin. Adakah mereka menjadi pemimpin kerana main politik wang, atau menaiki hairaki parti dengan mengampu atau apa? Yang pasti mereka naik bukan kerana mereka itu kepimpinan.

Dulu saya selalu berkata dalam UMNO bercakap benar itu adalah haram dan salah dan mereka yang bercakap benar wajar disingkirkan. Dalam UMNO, pemimpin mereka terpaksa bersifat menekan terhadap mereka yang tidak disukai kerana pimpinan di dalam parti itu tidak tahu untuk berhujah kerana mereka bukannya pemimpin yang sejati dan ‘genuine’. Kalau ditanya kenapa dan bagaimana mereka menjadi pemimpin mereka tidak akan tahu jawapannya.

Pemimpin lemah seperti pemimpin UMNO tidak akan senang dengan sistem demokrasi yang sebenarnya. Mereka tidak akan tertahan dengan kritikan dan pandangan yang berlainan daripada kemampuan mereka berfikir. Mereka selalunya ego dan jangan sekali berbeza pendapat dengan mereka. Mereka tidak berupaya berpolitik dalam keadaan demokrasi. Sebenarnya pemimpin UMNOlah yang sepatutnya dihalau keluar atau dihalau ke dalam hutan. Merekalah yang sebenarnya tidak menerima sistem demokrasi itu. Itulah sebabnya mereka kadangkala terpaksa menipu dan melakukan jenayah demokrasi itu secara besar-besaran.

Pada siapa yang sudah berumur akan tahu bagaimana demokrasi sebenarnya tidak boleh diterima oleh pimpinan UMNO itu. Apabila Mahkamah meminta UMNO mengadakan pemilihan sekali lagi kerana ada penipuan dalam pemilihan UMNO dalam tahun 1987 yang lalu, Mahathir tidak mahu memenuhi tuntutan undang-undang itu. Mahathir lantas mencari jalan agar UMNO itu diharamkan dan wujudkan UMNO yang baru, UMNO yang ada pada hari ini. UMNO tidak tahan dengan demokrasi itu dan itu merupakan penyebab kerana UMNO begitu dipandang rendah oleh rakyat hari ini.

Jadi kalau Noh Omar hendak bercakap besar atau Zahid hendak menghalau orang lain, UMNO itu sendiri mesti dikaji, apakah UMNO itu sebenar-benarnya terletak di atas landasan demokrasi yang sebenarnya? Noh mesti sedar yang UMNO itu wujud atas ketidak-mahuan pimpinan UMNO itu sendiri menerima demokrasi. Itu secara tulennya. Menipu di sana dan menipu di sini.

Itu sebabnya saya tidak begitu terkeliur untuk bersama ‘rally’ anjuran Anwar ini kerana Anwar sendiri adalah seorang pendukung kepada pengharaman UMNO itu dan menjadi Naib Presiden kepada Jawatankuasa Penaja UMNO baru itu. Parti baru itu ditubuhkan di Seri Perdana pada Februari 1988. Kepada yang muda-muda yang tidak pun bergiat atau masih main tali seluar lagi semasa itu, tidak akan dapat merasakan apa yang orang seperti saya rasakan.

Anwar pernah berkata semasa beliau bersama Dr Mahathir, “Kalau dapat ku pintar awan di langit, akan ku tuliskan namamu Mahathir,” begitulah kuatnya Anwar menyokong Mahathir yang tidak demokratik itu. Jadi bagaimana Anwar mengajak kita untuk melakukan ‘rally’ setiap malam kerana tidak mahu menerima keputusan  PRU 13 itu? Sekarang ramai di kalangan kita tidak percaya kepada Mahkamah.

Barang diingat Anwar jugalah yang bersama-sama merobohkan sistem Mahkamah semasa itu bersama Dr Mahathir dan sekarang bolehkah beliau mengkritik ketidak-adilan Mahkamah itu jika ia masih berlaku? Anwar jugalah yang menyokong penyingkiran Hakim-Hakim Mahkamah Agong yang diketuai oleh Tun Salleh Abas dahulu.

Saya menyebut ini kerana yang hendak membetulkan keadaan itu juga adalah orang yang mewujudkan keadaan yang tidak betul itu. Baik dalam PKR atau UMNO itu mereka adalah dari acuan yang sama sahaja. Itu maksud saya sejak akhir-akhir ini. ‘Buntut kuali mengatakan buntut belanga itu hitam’... Bagaimana orang-orang seperti saya hendak yakin? Itulah sebabnya juga saya merasa kasihan terhadap mereka yang bersorak siang dan malam bersama Anwar menuduh negara tidak demokrasi?

Kalaulah Anwar itu tidak dipecat kerana kesalahannya sendiri dahulu, sekarang Anwar sudah menjadi Perdana Menteri BN dan akan mengekalkan keadaan yang sama juga untuk mengekalkan kedudukannya. Saya mungkin mendapat kritikan kuat dari ramai tetapi apa boleh saya buat? Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana itulah kebenarannya?

Itu sebabnya mana-mana parti yang tidak telus pemilihan di dalam partinya itu tidak akan kekal lama. Lama-lama nanti parti yang kuat itu akan lemah juga kerana akhirnya kebenaran akan timbul juga.

Tidak kira parti-parti itu di pihak BN atau pembangkang, jika pemilihan pimpinan partinya tidak telus akhirnya parti itu akan menjadi parti kebencian ramai. Hanya masa akan menentukannya.

‘Bagaimana hendak menutupi bangkai gajah dengan nyiru sahaja’? Tidak boleh.

21 May 2013

Tiada kerajaan 'minority' akan bertahan lama

Apa yang hendak dihairankan jika ramai rakyat samada melalui parti-parti pembangkang atau NGO-NGO atau orang persaorangan mempersoalkan hal kepimpinan dalam kerajaan minoriti yang ada pada hari ini? Di mana-mana negara pun jika kerajaannya dipimpin oleh kerajaan minoriti keadaan seperti yang sedang dihadapi oleh BN sekarang adalah kejadian biasa.

Itulah sebabnya kita melihat banyak kerajaan menubuhkan kerajaan campuran. Kerajaan Britain sekarang adalah kerajaan campuran apabila tidak ada parti yang menang secara mutlak. Kerajaan Australia adalah kerajaan campuran selama satu penggal yang lalu dan akan mengadakan pilihanraya lagi pada September nanti.

Tiada parti yang mendapat kemenangan yang tipis, boleh bertahan dan apa yang dihadapi oleh BN hari ini adalah keadaan yang sama dan dijangka tidak akan bertahan lama. Dalam memperbetulkan keadaan ini, semua pihak terutamanya kepada pihak yang menang dengan kerusi yang kecil itu mesti melakukannya secara baik dan jujur dan pertimbangannya hanyalah terhadap kesejahteraan rakyat sahaja, dan tidak yang lain.

Jangan ada pertimbangan yang lain dari itu kerana jika ada pertimbangan lain ia sudah pasti akan membantutkan usaha penyatuan itu. Apabila ada perundingan dan perbincangan ia wajar meletakkan kepentingan negara lebih dari yang lain. Jika PM Najib mahu melakukan perundingan itu beliau perlu tegas dan tidak mudah digoyang oleh elemen-elemen ugutan dari dalam UMNO itu sendiri.

Sekarang nyata memilih Perdana Menteri secara ‘convention’ iaitu seorang Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri sudah jelas tidak lagi ‘feasible’. Ini di sebabkan UMNO sudah tidak mampu lagi mewujudkan kepimpinan yang ber ‘consequence’ untuk negara kita.

Penyelesaian mesti dilakukan dengan kadar segera kerana jika ada kelengahan, ia akan membawa kepada situasi yang lebih buruk lagi kerana situasinya akan lebih buruk pada masa akan datang dalam kadar yang cepat pula. Kelalaian UMNO selama ini menyebabkan parti itu sudah tiada yang berkepimpinan maka rakyat terpaksa mencari orang yang mampu untuk melakukan perubahan itu.

Jika UMNO tidak mahu bertindak segera melakukan perubahan ini, maka yang jelas parti itu akan kecundang dan jika pimpinan hari ini masih dengan acara dan ragam yang sama maka rakyat akan memberikan persepi UMNO tidak mahu berubah dan sudah bersedia untuk ditumpaskan. Jika itu berlaku UMNO tidak boleh menyalahkan sesiapa termasuk ahli-ahlinya sendiri kerana bersikap degil dan tidak memahami apa yang dikehendaki rakyat sebenarnya.

Sememangnya UMNO dan BN sedang menurun sokongan ramai. Semasa Abdullah Badawi yang dikatakan oleh setengah pihak seorang Perdana Menteri yang ‘tidur’ dan tidak bersedia untuk membuat persiapan menghadapi pilihanraya, beliau tetap mendapat 140 kerusi dalam PRU 12 yang lalu.

Di sebaliknya semasa pentadbiran Najib yang sudah tersedia maklum dengan masalah yang ada di hadapan beliau dan telah melakukan kerja keras. Tetapi kerja keras beliau hanya mendapat kejayaan hambar dengan jumlah kerusi yang lebih rendah dari PRU sebelumnya.

Bagi melakukan perubahan ini kita mesti akui dahulu yang UMNO serta BN sudah sampai kepenghujungnya dan ia memerlukan pembaharuan yang besar-besaran. Melakukan pembaharuan itu wajib dengan menampilkan seorang yang disegani dan boleh membantu membawa situasi politik yang berbeza dari yang ada pada hari ini. Itu dahulu yang mesti dilakukan. Selagi ada baki-baki situasi politik sekarang ini wujud, usaha untuk melakukan pembaharuan itu tidak mudah dicapai.

Pihak yang mahu melakukan perubahan ini mesti membawa rakyat berfikir dalam ‘environment’ yang baru supaya masing-masing akan merasa kebersamaan dalam melakukan perubahan dan membina negara yang bersatu padu itu. Semua pihak wajar merasakan keterlibatan mereka dalam usaha ini. Apabila dibawa rakyat bersama untuk mencapai penyatuan ini, maka rakyat akan bersama-sama menjaga apa yang telah diputuskan bersama itu.

Saya selalu membawa isu ini kerana saya sedar yang UMNO akan kecundang dan pihak yang mengambilalih pun tidak mungkin berjaya melakukan perubahan sepenuhnya. Yang menang tidak akan dapat semua dan yang kalah tidak akan kehilangan semua. Justeru masalah perbalahan itu akan tetap wujud.

Bagaimanapun ini hanyalah pandangan peribadi jika diberikan ruang untuk difikirkan bersama. Jika tidak abaikan sahaja pandangan ini dan teruskanlah dengan perbalahan yang anda sekalian sedang lalui sekarang.

20 May 2013

Tanpa disuruh pun, ramai yang telah meninggalkan negara

Isu Zahid Hamidi yang sedang ‘berperang’ dengan pihak pembangkang berhubung dengan isu kenyataan Menteri Dalam Negeri itu semakin hangat. Zahid bersedia menghadapi usul untuk mencela beliau di dalam Parlimen yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang dan beliau tidak takut dengan ‘ugutan’ penasihat DAP itu.  Zahid yang sejak akhir-akhir ini nampaknya menjadi panas baran dengan tuduhan terhadapnya yang datang bertalu-talu.

Zahid yang saya kenali rapat tidaklah seorang yang panas baran. Beliau seorang yang mudah didekati dan sentiasa bergurau jika bertemu rakan-rakan lama seperti saya dan yang lain. Tetapi apabila sampai isu ini beliau nampaknya bertambah panas baran dan tidak diketahui apa yang menyebabkan beliau menjadi begitu. Sememangnya tanggungjawab yang beliau pikul itu bukannya tanggungjawab yang ringan maka Zahid perlulah melebihkan kesabaran beliau apabila menghadapi isu panas seperti ini.

Zahid telah meminta sesiapa yang senang dengan sistem demokrasi negara lain berpindah sahaja ke negara-negara tersebut dan meninggalkan negara ini. Saya sendiri telah menulis dan melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Zahid itu tetapi tulisan saya itu adalah pandangan ikhlas dari seorang rakyat yang mahu merasakan bertanggungjawab terhadap negara kita yang kita punyai bersama-sama ini.

Sesungguhnya tidak payah sesiapa  menyuruh sesiapa untuk meninggalkan negara ini. Tanpa kenyataan Zahid itu timbul pun, sememangnya sudah jutaan rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke negara lain untuk kehidupan yang lebih baik. Mereka yang tinggal hanyalah orang seperti saya dan yang lain yang tidak mempunyai pilihan selain dari negara ini. Di mana bumi dipijak di situlah langit saya junjung, seperti kata perbilangan Melayu yang popular itu. Itulah sebabnya saya tidak silu untuk bercakap benar kerana saya mahukan satu-satunya negara yang ada untuk saya tinggal menunggu mati ini.

Lebih-lebih lagi sekarang ini, terlalu ramai rakyat Malaysia sedang berusaha untuk berhijrah dan ini adalah kenyataan dan hakikat sebenarnya yang berlaku. Masing-masing mempunyai sebab masing-masing untuk berhijrah, tetapi di antaranya sememangnya ramai berniat untuk berhijrah kerana tidak senang dengan keadaan yang sedang berlaku di negara ini.

Tetapi ini semua adalah fenomena yang biasa sejak dulu lagi. Kezaliman pimpinan Qing Dynasty, iaitu dynasty yang terakhir dari 26 dynasty negara China, menyebabkan ramai rakyat Cina berhijrah ke merata tempat didunia ini dalam kurun ke-19 dahulu, termasuklah Malaysia (dulu Malaya). Kumpulan yang tertekan dan miskin dari China itu telah berhijrah ke negara lain dan mereka yang berhijrah inilah yang menjadi kaya-raya di negara yang baru mereka diami termasuk di Malaya suatu ketika dahulu.

Saya tidak terkejut dengan perasaan tertekan rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke Eropah, Amerika dan Australia dan lain-lain telah mendapatkan kehidupan yang baik di negara baru mereka. Penghijrahan ini sememangnya boleh merubah keadaan kehidupan mereka di negara yang baru mereka diami itu.

Sememangnya semuanya ini memberikan hikmah kepada mereka yang tertekan dan lantas meninggalkan negara ini.

Hijrah ini merupakan satu fenomena yang benar dalam Islam. Muhammad saw sendiri diperintah Tuhan untuk berhijrah ke Medinah dan Muhammad berjaya memajukan Islam di Medinah. Yap Ah Loy menjadi kaya raya setelah berhijrah ke Malaya dahulu dan kumpulan pendatang dari China inilah yang telah memberikan sumbangan kepada pembangunan negara kita ini.

Sekarang kaum Cina diterima sebagai rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjaga negara ini dengan baik dan mereka dijamin dan dilindungi oleh perlembagaan negara kita. Kaum Cina sekarang bersama-sama menjaga negara ini dengan bangsa-bangsa lain dan bersama-sama memastikan yang negara ini tidak dicemari oleh kerakusan rasuah dan salah guna kuasa oleh mana-mana pihak.

Tetapi di mana-mana negara di dalam dunia ini ada rakyat tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di dalam negara mereka. Lantas oleh kerana tidak tahan dengan apa yang berlaku mereka berhijrah termasuk mereka dari negara ini.

Ada beberapa sebab kenapa ramai rakyat kita berhijrah. Ada yang berhijrah itu tidak lagi senang melihat apa yang berlaku dalam negara ini, maka mereka ini membawa kekayaan mereka keluar negara di tempat mereka berhijrah itu. Kekayaan mereka ada yang terhasil dari usaha sendiri dan ada juga dari tindakan rasuah yang tidak ada hadnya seperti yang berlaku di dalam negara ini.

Ada yang berhijrah kerana tidak tahan dengan kehidupan miskin di sini dan bertindak untuk memperbaiki kehidupan dengan bekerja di negara lain dan beransur-ansur membina kehidupan masing-masing di tempat dan negara yang lain.

Berbalik kepada polimik di antara LKS dengan Zahid itu adalah polimik politik semata-mata dan saya menyeru jangan dipanjangkan isu ini kerana kita di bawah ini sudah keletihan dengan permainan politik pemimpin di atas sana. Kita di bawah ini dijadikan mereka ini sebagai alat mereka untuk menongkat langit dan mencapai ‘self-actualization’ masing-masing dalam politik mereka dengan mengetuk semangat dan ‘sensitivity’ rakyat yang ramai ini.

Saya berharap isu Zahid dengan LKS ini dihentikan sahaja. Kita di bawah ini ingin melihat dan membaca isu ini adalah yang membazirkan pemikiran kita di bawah ini. Elok jika Anwar berehat barang sebulan dua untuk menenangkan pemikiran rakyat serta pemikiran beliau sendiri.

Mungkin setelah rakyat dapat berehat sedikit nanti barulah pihak mana-mana untuk kembali ‘berjuang’ untuk mencari apa yang hendak dicapai itu. Apabila rakyat sudah berehat dengan secukupnya mungkin rakyat akan kembali berdiri dan berjuang di belakang Anwar dengan berhimpun siang dan malam serta pagi dan petang.
 
Bak kata anak-anak muda sekarang, ‘berjuang! Jangan tak berjuang!’ atau ‘lawan, jangan tak lawan’. Lepas itu tepuk tangan kuat-kuat.