30 April 2012

Kerajaan perlu diubah sebelum pilihanraya

Apakah ‘significance’ nya Bersih 3.0 pada hari Sabtu 28 April 2012 yang lepas? Sebenarnya himpunan Bersih 3.0 ini membawa banyak makna kepada politik negara dan ‘consequence’ nya adalah sangat besar yang dialami oleh pemerintah (BN) pada hari ini. Ia bukan setakat perhimpunan 200,000 orang rakyat tetapi ia merupakan satu lonjakan kepada usaha membawa perubahan kepada sistem pemilihan pimpinan dan kerajaan yang sangat nyata hasilnya. Kita akan melihat hasilnya secara beransur-ansur dan rakyat ramai sedang melalui perubahan tentang persepsi politik negara seperti yang dikehendaki oleh masa dan zamannya.

Perhimpunan ini menyaksikan pertambahan kesedaran rakyat yang sistem pemilihan dalam pilihanraya wajar berubah dan tidak boleh mana pihak untuk melakukannya dengan sewenang-wenangnya. Dalam perhimpunan lepas, daripada jumlah peserta yang melebihi 200,000 orang rakyat, kita lihat dengan jelas penyertaan dari berbilang kaum dan yang lebih penting yang perlu kita fahami, ianya merupakan penyertaan daripada kumpulan kelas menengah yang begitu besar.

Selalunya kelas menengah ini akan mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh pemerintah dan banyak negara bergantung kepada sokongan kelas menengah untuk mengekalkan kuasa. Seandainya kelas menengah mula melawan arus, maka tidak ada negara akan kekal dan tidak ada negara yang boleh mempertahankan sistem yang lazim mereka amalkan. Di dalam perhimpunan Bersih yang lalu, kita melihat dan menyaksikan dengan jelas kumpulan kelas menengah begitu ramai tampil memberikan sokongan terhadap penganjur perhimpunan aman ini.

Maka tidak terkejut lagi jika kerajaan pada hari ini akan terpaksa menerima hakikat yang mereka terpaksa mengalah kerana waktu untuk melakukan ‘correction’ terhadap siasah negara sudah sampai, dan ia tidak lagi dapat dihalang. Itulah sebabnya penganjur perhimpunan Bersih ini berhak untuk mengisytiharkan yang Bersih 3.0 ini amat berjaya dan telah mencapai kejayaan yang melebihi jangkaan awal. Ini adalah kerana penganjuran Bersih kali ini telah berjaya mengetuk pintu hati mereka-mereka dalam golongan kelas menengah ini.

Kita mesti akui di dalam sesebuah negara, kelas menengahlah yang akan merasakan kebahagian atau keperitan hasil daripada sesuatu dasar kerajaan dan perlaksanaannya. Negara yang stabil politiknya seperti di England, kelas menengahlah yang menjadi benteng kepada kestabilan keadaan politik negara itu. Golongan ini merupakan lebih daripada 80% rakyat negara itu. Golongan yang terkaya hanya melibatkan kurang dari 10% dan selebihnya daripada golongan yang miskin dan berpendapatan rendah.

Ini pun tujuan dan matlamat kewujudan DEB dahulu, iaitu untuk membina golongan kelas menengah yang besar bagi mencapai matlamat kestabilan negara yang menjadi laluan untuk pencapaian matlamat kita yang ‘ultimate’, iaitu perpaduan nasional. Pelaksanaan matlamat ini pada awalnya telah mencapai kejayaan tetapi DEB itu sendiri telah diabaikan sejak pertengahan 80-an, maka setelah hampir tiga dekad kita sedang merasakan  hangat radang hasil dari terbantutnya pembinaan kelas menengah yang kuat dan jitu.

Setelah kerajaan melaksanakan ‘express projects’ yang raksaksa dengan cara runding terus pada zaman Mahathir, kita telah melihat elemen rasuah dan mengamalkan ‘profiteering’ tanpa had. Maka wujudlah satu kumpulan kecil yang istimewa yang telah mengambil kesempatan untuk mengaut segala peluang dengan persetujuan pemimpin berkuasa yang juga bersama-sama mengambil kesempatan untuk melonggokkan kekayaan yang menggunung untuk keluarga masing-masing. Amalan itu berlanjutan sampai ke hari ini dan tidak mungkin dapat dikawal lagi percambahannya.

Rasuah dan salahguna kuasa berlarutan dan pimpinan kerajaan terlalu dipengaruhi oleh kumpulan kecil ‘warlords’ yang berpengaruh. Itulah sebabnya saya selalu katakan yang pemimpin-pemimpin besar kita sekarang telah mengalami ketagih kepada amalan rasuah yang besar-besar. Dasar untuk memberikan peluang yang ‘equitable’ kepada rakyat sudah diabaikan buat selama-lamanya dan matlamat DEB untuk mencapai tahap 30% kekayaan untuk bumiputra itu jatuh tersembam dan tidak akan dapat dicapai sehingga bila-bila.

Dalam kegilaan membentuk kumpulan kecil ‘warlords’ ini maka golongan menengahlah yang menjadi korban. Kesusahan yang dialami oleh golongan menengah ini bukan kepalang teruknya. Golongan menengah tidak mampu untuk mendapatkan peluang-peluang yang termampu oleh golongan kecil yang kaya-raya ini dan mereka juga tidak layak untuk mendapatkan kemudahan untuk golongan bawahan dengan rumah kos rendah dan keistimewaan yang lain.

'Pemberontakan' golongan menengah ini terhadap pemerintah sudah jelas setelah mereka bersabar menunggu pembetulan kepada dasar perlaksanaan kepada sistem ‘ultra-capitalist’ yang dibentuk serta diwujudkan oleh dasar-dasar yang songsang dan tidak bermunafaat kepada rakyat dan negara. Kerajaan hanya mendengar rintihan golongan ini dengan sambil lewa sahaja dan mereka (pemimpin) berpendapat bahawa mereka boleh memulihkan rintihan mereka dengan membeli perasaan mereka dengan BR1M sebanyak RM500 sahaja.

Di kalangan lebih dari 200,000 orang dalam perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu, adalah mereka yang kebanyakan telah menerima BR1M RM500 itu. Mereka tahu mereka sedang dicuba oleh kerajaan BN untuk membeli sokongan dan perasaan mereka dengan wang ringgit. Itu pun kerajaan masih lagi belum sedar yang rakyat tidak lagi boleh dibeli dengan wang ringgit. Pengumuman Muhyiddin dan Najib bahawa kerajaan akan sekali lagi memberikan BR1M berjumlah seribu ringgit seorang tidak akan menambahbaikan keadaan dan jika dianjurkan sekali lagi perhimpunan Bersih 4.0 nescaya lebih dari 300,000 rakyat akan keluar beramai-ramai untuk menyokong Bersih.

Sesungguhnya rakyat mahukan perubahan yang besar dan mutlak kali ini. Kejayaan terbesar ‘Bersih’ Sabtu lalu ialah kejayaan mengumpulkan ratusan ribu rakyat berbilang kaum daripada kumpulan kelas menengah dan telah berjaya menunjukkan penyatuan dan kebulatan tekad untuk bersama-sama membawa perubahan terhadap kepimpinan negara yang mereka anggap tidak lagi sesuai untuk memperjuangkan nasib masa depan mereka.

Mereka merupakan kumpulan yang telah berputus asa untuk mengharapkan kerajaan hari ini untuk berubah kepada kebaikan. Kalau tidak, masakan mereka sanggup berhadapan dengan kepayahan menghadapi pihak polis yang tidak bertanggungjawab dengan mengadakan agen ‘provocateur’ di kalangan peserta perhimpunan itu untuk membolehkan pihaknya (polis) bersikap dan bertindak tidak berperikemanusiaan terhadap mereka yang berhimpun secara aman itu.

Jika SPR masih tidak bertanggungjawab, tidak mustahil setengah juta manusia akan berkumpul sekali lagi dalam perhimpunan Bersih 4.0 pula. DAN semolek-moleknya elok kerajaan sekarang menyerahkan sahaja kuasa sementara kepada Yang diPertuan Agong untuk membentuk kerajaan sementara bagi memulakan pentadbiran negara yang baru. Kita tidak dapat mengetahui apa yang akan berlaku jika rakyat dan kerajaan terus menerus bertembung seperti yang kita lihat pada hari ini.

Yang diPertuan Agong (dengan persetujuan Majlis Raja-Raja) boleh memberikan kuasa untuk memulakan pentadbiran dan politik baru kepada sesiapa yang Baginda berkenan, dan seelok-eloknya berikan kuasa menyususn semula negara ini kepada seseorang yang mempunyai 'magnanimity' yang tinggi. Selepas segala-galanya diperbaiki dan diperkuatkan barulah dipindahkan kembali kepada rakyat untuk melaksanakan demokrasi yang sempurna.

Pandangan ini, walaupun datangnya dari seorang anak kampung yang 'jembel' seperti saya, tetapi berikanlah perhatian untuk masa depan negara dan generasi kita yang akan datang.

29 April 2012

Kita susun semula negara dari langkah pertama

Saya telah memberikan pandangan peribadi dalam dua posting saya yang lalu. Saya memberikan pandangan yang agak berlainan dan tujuan saya memberikan pandangan itu ialah untuk kita kembali memulakan sistem politik dan siasah yang baru asalkan sahaja berdasarkan kepada perlembagaan yang ada pada hari ini. Matlamat yang saya fikirkan itu ialah untuk kita sebenar-benarnya menuju kepada sebuah negara yang bersatu dan integrasi nasional yang sebenarnya.

Kalau kita asaskan kepada cara dan kaedah yang dilakukan oleh pimpinan kita yang berbilang kaum dahulu, tidak nampak oleh saya masalah jika ia dimulakan sekali lagi untuk matlamat yang baik untuk rakyat dan negara itu. Dalam usaha untuk menyempurnakan usaha pencapaian kemerdekaan kita dahulu, semua bangsa dan kaum telah duduk dimeja perundingan yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman.

Jika kita masih ingat perundingan diantara rakyat berbilang kaum diadakan melalui pemimpin berbilang kaum bagi membulatkan tekad dan pemikiran semua rakyat berbilang kaum untuk bersatu untuk menuju kearah kemerdekaan negara sehingga kita mencapai kemerdekaan. Kebulatan muafakat diantara rakyat berbilang kaum semasa itu meletakkan Inggeris dalam keadaan terpaksa memberikan kemerdekaan kepada negara dengan sistem yang kita ada pada hari ini.

Kita telah berjaya setakat ini dengan kerjasama siasah diantara semua kaum. Orang Melayu telah bergabung dibawah UMNO, orang Cina dibawah MCA, dan India dibawah naungan MIC. Kongregasi ini telah berjaya mendapatkan mandat dari rakyat untuk bersatu dan akhirnya kita mencapai kemerdekaan dan seterus mengisi kemerdekaan itu dengan jayanya sejak dari waktu itu. Kita bersatu diantara kaum untuk membina negara dengan semangat penyatuan yang sentiasa dibajai oleh semua pihak terutamanya kepimpinan parti-parti yang berada di dalam Perikatan dan selepas itu Barisan Nasional.

Kali ini orang Melayu telah berpecah belah kerana dibelahkan oleh pemimpin-pemimpin yang berkepentingan peribadi. Kaum Cina nampaknya boleh diwakili oleh Lim Kit Siang  dan orang India boleh diwakili oleh sesiapa yang dihormati oleh kaum itu. Orang Melayu boleh diwakili oleh sesiapa yang mampu mendapat penghormatan dari kaum Melayu serta berpengalaman dalam pentadbiran dan politik negara.

Penyatuan yang telah berjaya dilakukan oleh YTM Tunku dahulu telah membentuk ketinggian semangat kesatuan dan kita telah melihat bangsa dan negara terjamin keselamatannya, terisi kemerdekaannya dan akhirnya bertujuan untuk mencapai matlamat perpaduan nasional itu. Semua pihak berniat yang satu, iaitu menjaga keharmonian semua rakyat berbilang kaum dengan peruntukkan-peruntukkan yang tegas yang tertulis dan perlembagaan persekutuan kita ini.

Namun waktu dan keadaan telah berubah, mungkin oleh kerana timbulnya pimpinan yang tidak setia kepada matlamat negara iaitu untuk mencapai keharmonian kaum itu. Oleh kerana kepentingan peribadi setengah pimpinan, maka rakyat semua kaum yang muhibbah kehidupan mereka telah mula berpecah dan sentimen perkauman kembali menjadi isu besar dalam politik negara pada hari ini. Isu perkauman yang telah kembali menebal ini amat merbahayakan negara dan kita amat khuatir jika keadaan ini tidak terbendung ia akan menjadi barah kepada negara ini.

Pihak-pihak yang berkepentingan peribadi dan kepartian telah memainkan sentimen perkauman ini dan ia amat membimbangkan sesiapa yang berfikir tentang masa depan negara dan generasi mereka yang akan datang. Pihak-pihak yang berkepentingan ini telah membawa dan memperkenalkan berbagai slogan yang hanya untuk mengaburi mata dan hati orang ramai, sedangkan tindakan mereka ini hanya berkepentingan politik dan kepartian semata-mata.

Tidak usah disebut di sini lebih dari itu kerana blog ini telah menulis segala-galanya sejak bertahun-tahun yang lalu, tetapi cukup jika kita katakan yang politik negara kita tidak mungkin mampu dipulihkan lagi selagi barisan kepimpinan UMNO yang ada pada hari ini masih berkuasa dan menguasai segala-galanya. Ia sudah cukup untuk kita mencari jalan penyelesaian secara ‘unorthodox’ yang mungkin belum terfikir oleh banyak orang.

Jika begini keadaan seperti yang kita alami sekarang, tidak mungkin akan dapat membawa penyelesaian melalui pilihanraya kerana badan yang menguruskan hal ehwal pilihanraya tidak telus dan tidak ‘professional’ dari atas sehingga ke-bawah-bawah.

Semua institusi demokrasi dinegara ini telah menjadi alat permainan mereka yang berkuasa dan institusi-institusi ini tidak lagi berperanan untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara tetapi hanya menjadi alat untuk kepentingan kumpulan yang berkuasa semata-mata.

Jika pentadbiran sementara dapat diwujudkan maka pentadbiran ini boleh membetulkan semua institusi-institusi yang sudah tercemar ini kembali kepada fungsi dan tanggungjawab yang sebenarnya terhadap negara dan rakyat.

Setelah semuanya diperbetulkan maka kita kembalikan kepada rakyat untuk mencari kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi yang sebenarnya. Barulah kita mempunyai kepimpinan negara yang ‘legitimate’ seperti yang dikehendaki oleh rakyat dan demokrasi itu sendiri.

28 April 2012

Kita mulakan sebuah negara baru: itu sahaja cara penyelesaian masalah negara

Hari ini hari yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat yang dahagakan keadilan dan kesaksamaan bersiasah. Rakyat sudah tidak lagi menerima cara suruhanjaya pilihanraya mengendalikan pilihanraya dinegara ini. Ratusan ribu rakyat dijangka membanjiri ibu kota untuk menunjukkan bantahan terhadap SPR yang tidak telus dan suruhanjaya yang telah dicemari dengan politik UMNO dan BN. Ketua kepada suruhanjaya pilihanraya rupa-rupanya adalah ahli UMNO dan beliau tidak layak untuk mengendalikan pilihanraya dengan adil dan saksama.

Semuanya ini menyakitkan hati rakyat yang bakal mengundi dan memberikan mandat kepada siapa yang mereka yakini. Sambutan awal menunjukkan yang sambutan terhadap Bersih 3.0 ini adalah menyeluruh di negara ini dan di negara-negara lain di mana rakyat Malaysia tinggal. Laporan awal dari Melbourne, Australia menunjukkan sambutan yang di luar dugaan kerana adalah dijangkakan yang seramai 5,000 rakyat Malaysia akan berhimpun untuk menyokong desakan supaya SPR telus dan jujur dalam pengendalian pilihanraya yang akan datang. Ianya akan diadakan di Federal Square yang berhadapan dengan Flinders Station di kotaraya itu serentak dengan himpunan di Kuala Lumpur.

Saya juga mendapat panggilan daripada rakan kenalan yang berada di kotaraya-kotaraya lain seperti di Perth, London, dan lain-lain, yang menyatakan sokongan terhadap tindakan Bersih 3.0 ini dan akan mengadakan perhimpunan yang sama di sana. Nampaknya kali ini sambutan rakyat di seluruh dunia begitu kuat dan ini akan menentukan hala tuju dan keadaan politik negara kita tidak lama lagi.

Sekarang Pengerusi SPR telah ternyata seorang ahli UMNO, maka tuduhan pihak pembangkang yang SPR dipenuhi dengan ahli-ahli UMNO akan terbukti benar. Kalau begitu keadaannya maka SPR memang sepatutnya tidak lagi boleh diyakini rakyat. Maka ternyata jugalah yang satu lagi institusi demokrasi telah tercemar selepas banyak lagi institusi demokrasi dilacuri bermula daripada zaman pentadbiran Dr Mahathir dahulu.

Justeru, PRU tidak boleh diadakan selagi seluruh pengurusan SPR dan kakitangannya dikeluarkan daripada institusi itu. Selagi mereka berada di dalamnya, selagi itulah perjalanan PRU tidak akan berjalan dengan adil dan saksama. Bacul sungguh pimpinan negara kita ini. Tidak ada kerja lain selain daripada menipu dan membohongi rakyat.

Kita sudah terlalu jauh ditipu dan dikelirukan oleh pimpinan UMNO dan BN ini.  Saya kira selepas Bersih 3.0 ini, rakyat akan terus bangkit menentang kezaliman yang sudah menjadi permainan pihak yang memerintah hari ini.

Bagi saya pemimpin-pemimpin kita sekarang ini telah keterlaluan menjolok mata kita semua. Kita patut desak semua pimpinan pada hari ini meletakkan jawatan dan ini adalah satu-satunya cara untuk membetulkan keadaan dan kecelaruan yang kita hadapi hari ini.

Najib dan keseluruhan pimpinan wajar meletakkan jawatan. Serahkan negara kita kepada ‘care-taker governmant’ dan perbetulkan segala-gala yang tidak betul dalam kerajaan kita hari ini sebelum kita memanggil pilihanraya umum ke-13 ini.

Selepas ini elok diadakan pula himpunan Bersih 4.0 dan semua rakyat di bandar dan di desa-desa, yang tua dan yang muda, daripada berbagai-bagai bangsa dan agama, menuntut kerajaan hari ini meletakkan jawatan. Lepas satu masalah, timbul lagi satu masalah yang dilakukan oleh pihak pemerintah untuk mengongkong pemikiran rakyat.

Pengongkongan pemikiran rakyat ini amat merbahaya kepada perkembangan dan kemajuan rakyat kerana kita khuatir jika rakyat akan percaya yang cara pengendalian oleh BN merupakan cara untuk menjaga negara yang betul. Ini amat bertentangan dengan kehendak asas pembangunan pemikiran rakyat yang ingin maju untuk menghadapi tuntutan kemajuan global.

Rakyat sekarang sudah mempunyai asas kukuh untuk menuntut keseluruhan kepimpinan negara untuk meletakkan jawatan. Selesaikan dahulu isu SPR kerana SPR tidak boleh diyakini lagi untuk menjadi pengendali kepada pilihanraya yang adil kepada semua pihak.

Kita terpaksa memulakan keadaan baru dalam politik negara. Biarkan pihak yang lain yang lebih terbuka dan demokratik untuk menyusun dan merancang sistem yang kukuh untuk memastikan keamanan negara serta keharmonian rakyat dapat dicapai sehingga ke tahap yang tertinggi.

Berikan tanggungjawab kepada sesiapa yang mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk berunding dengan semua kaum dan agama seperti yang dilakukan oleh YTM Tunku Abdul Rahman dahulu dengan memanggil ketua-ketua pimpinan semua kaum dan duduk ke meja rundingan. Ia mendapatkan membentuk sebuah negara yang mempunyai nafas politik yang baru yang akhirnya terbentuk sebuah negara yang mana rakyatnya bersatu-padu dan menikmati kekayaan negara secara 'equitable' buat jangka masa yang panjang.

Kalau dahulu kita boleh memulakan negara bernafas baru kerana perundingan yang jujur di antara kaum, mengapa kita tidak boleh lakukannya sekali lagi. Itulah sebabnya untuk melakukannya, keseluruhan kepimpinan kerajaan pada hari ini perlu meletakkan jawatan dan mulakan perundingan itu dalam jangkamasa yang terdekat ini.

27 April 2012

Lim Guan Eng dan pemimpin PR yang lain juga berhak mendapat liputan

Tuntutan Bersih 3.0 merupakan satu ‘extension’ kepada tuntutan yang dibuat dalam Bersih 2.0. Negara memerlukan undian daripada rakyat siapa yang sepatutnya diberikan mandat apabila habis tempoh penggal pilihanraya, sekurang-kurangnya selepas 3 tahun atau sebelum tamat tempoh 5 tahun. Tuntutan yang dilakukan oleh rakyat melalui Bersih 3.0 ini merupakan tuntutan yang adil dan munasabah dan sepatutnya tidak menjadi halangan untuk dilakukan oleh rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara dan kaedah pilihanraya diadakan.

Daripada 8 tuntutan yang diminta oleh rakyat itu saya hanya ingin menyentuh hanya satu daripada kesemua tuntutan itu, iaitu ‘accessibility’ yang ‘equitable’ untuk semua parti yang bertanding dan menawarkan cadangan-cadangan jika diberi kepercayaan oleh rakyat. Mendapat liputan yang saksama daripada media arus perdana itu merupakan perkara yang paling asas di dalam sesebuah demokrasi kerana melalui media itulah pihak-pihak yang menawarkan diri untuk mendapat kepercayaan rakyat itu dapat dilakukan.

Di dalam demokrasi-demokrasi besar liputan media arus perdana itu merupakan isu yang telah menjadi lumrah. Di Indonesia misalnya, sebuah negara yang suatu ketika dahulu dikatakan dikuasai oleh diktator Suharto pun telah bertukar menjadi sebuah demokrasi yang besar di mana semua pihak yang bertanding diberikan masa untuk berutusan dengan rakyat yang akan membuat pilihan melalui media perdana mereka.

Di Myanmar, pihak pembangkang telah diberikan peluang dan masa untuk berucap di kaca TV arus perdana mereka. Kita semua tahu bahawa negara itu adalah di bawah perintah junta tentera sejak berapa lama dahulu. Negara itu mengikuti perubahan yang positif dalam mendemokrasikan sistem pilihanraya di sana.

Mereka menerima hakikat bahawa di dalam demokrasi semua pihak berhak untuk mendapat liputan yang saksama daripada media perdana. Singapura yang kita menganggap sebagai sebuah negara demokrasi terpimpin pun ada masa dan ruang untuk pembangkang memberikan pandangan dan perbahasan melalui TV arus perdana negara itu. Semasa diktator Marcos memerintah Filipina dahulu pun ada beberapa saluran TV negara itu yang membenarkan pandangan yang bersalah-salahan dalam TV arus perdana negara itu.

Hanya di negara ini sahaja pembangkang tidak dibenarkan berkempen melalui TV arus perdana sedangkan kita mendabik dada mengaku sebagai sebuah negara yang demokrasi. Jika pembahagian masa untuk berutusan dengan rakyat melalui media perdana, maka tidak akan timbul masalah tuduhan yang pembangkang itu memfitnah seperti yang lazim dilakukan oleh pihak pemerintah. Orang ramai akan dapat menilai samada yang dikatakan oleh pemimpin pembangkang itu fitnah atau sebagainya.

Jika pihak pemerintah bertanggungjawab, pembangkang wajar diberikan ‘accessibility’ yang agak ‘equitable’ terhadap penggunaan media masa perdana untuk menjawab tuduhan-tuduhan pihak pemerintah terhadap pembangkang. Di negara ini memberikan masa untuk pembangkang bercakap melalui TV arus perdana seolah-olah sudah menjadi perkara yang aneh sedangkan itu merupakan rukun pilihanraya yang sangat asas di dalam sesebuah demokrasi itu.

Lim Guan Eng, Tok Guru Haji Hadi serta Anwar Ibrahim secara moralnya berhak untuk bercakap melalui TV perdana negara. Itu asas demokrasi dan jangan dinafikan perkara yang benar dan jangan membenarkan perkara yang tidak benar.

Berlaku adillah supaya demokrasi kita dapat berkembang dengan baik tanpa dikotori oleh elemen-elemen jahat yang membayangkan kelemahan kita sendiri. Rakyat sudah pandai membaca dan menilai semua tindak-tanduk yang mencemarkan keunggulan demokrasi itu.

Kita perlu ingat taktik mengelirukan rakyat untuk mendapatkan sokongan merupakan taktik yang sudah ketinggalan zaman. Sikap kita mesti berubah mengikut kehendak masa dan zamannya. Saya percaya jika media perdana memberikan hak yang asasi ini kepada pihak pembangkang rakyat tidak perlu melakukan tuntutan melalui Bersih 3.0 ini kerana pemimpin pembangkang boleh meluahkan segala rasa ketidakadilan itu melalui media perdana.

Pembangkang tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini kerana yang menyebabkan Bersih 3.0 perlu diadakan adalah kerana sikap pihak pemerintah sendiri. Ingat, negara ini rakyat yang punya.

25 April 2012

Adakah berdosa besar jika tidak bersama UMNO?

Masih ada saki baki penulis di dalam maya ini yang mengkritik keras tindakan saya menyertai DAP. Bermacam-macam tuduhan dilemparkan terhadap diri saya dan beberapa orang bekas ahli UMNO yang bertindak menyertai parti ini, kononnya kami telah menjual bangsa dan  agama kami. Saya ulangi saya tidak mengurangkan Melayu saya dan tidak  mengurangkan kepercayaan saya terhadap agama saya.

Saya hairan kenapa mereka ini menggunakan isu agama dan bangsa sebagai isu terhadap diri saya, sedangkan salah satu sebab saya keluar daripada UMNO itu ialah kerana parti itu menggunakan isu agama secara keterlaluan dan sebaliknya apa yang dilakukan oleh pemimpin parti itu semuanya bertentangan dengan agama dan bangsa. Bagi mereka agama itu menjadi tempelan sahaja sedangkan Islam itu sepatutnya menjadi cara hidup mereka (ad-din).

Bercakap tentang isu agama di sana sini tetapi entah apa yang dilakukan terhadap agama mereka pun, kita tidak tahu dan payah untuk difahami. Islam kata orang, Islam kata mereka. Tetapi dalam bercakap pasal Islam dan membaca ayat-ayat suci dalam perhimpunan agong Pemuda, parti itu hanyalah sebagai tempelan sahaja kerana apa yang mereka lakukan hampir kesemuanya bertentangan dengan kehendak Islam. Rasuah tidak terkawal dan hampir kesemua di antara pemimpin parti itu sedang kemaruk dan penagih rasuah yang tegar.

Semuanya itu bertentangan dengan Islam. Entah siapa guru dan pendidik mereka dalam agama ini saya tidak tahu. Kalau UMNO serius tentang agama dan akidah, saya berharap UMNO memanggil seramai mana sadiqiah Islam dan membuat perbincangan dan tunjukkan kepada kami semua nas-nas dalam Al-Quran dan kitab-kitab tulisan ulamak-ulamak muktabar yang menyatakan bahawa menyertai DAP itu adalah haram. Kita juga mahukan mereka menunjukkan dalil-dalil serta nas-nas yang jelas yang orang Islam diwajibkan menyertai UMNO untuk selamat dunia dan akhirat. Kalau ada terjumpa bukti-bukti ini beritahu kami yang telah menyertai DAP ini. Jika boleh berikan ketetapan, apa hukumnya menyokong dan mendukung pemimpin yang rasuah yang memerah harta rakyat tanpa batas ini.

Saya tidak berani menggunakan agama kerana saya takut kepada perlanggaran aqidah. Tetapi selagi tidak dibuktikan yang agama kita menegah umatnya menyertai DAP saya tidak berganjak dan sesiapa pun boleh teruskanlah bercakap dengan cara hipokrit itu. Saya kembali menyebut isu ini kerana masih ada saki-baki mereka yang berfikiran kuno bahawa Melayu itu mesti menyokong UMNO kerana mereka beragama Islam. Kepada mereka asalkan mereka beragama Islam mereka mesti menyokong UMNO walau macam mana rasuah sekali parti yang wujud pada tahun 1988 dahulu itu.

Kita mesti faham bahawa DAP dan parti-parti dalam komponen PR sedang berhempas-pulas untuk memerangi rasuah yang dicegah oleh agama itu. UMNO tidak ada hak untuk menentukan aqidah sesiapa kerana merekalah yang sepatutnya melakukan instrospeksi diri dan fahami apakah kedurjanaan yang mereka telah lakukan kepada bangsa dan agama mereka.

24 April 2012

Mahathir kata, yang pandai menyertai PAS, yang bijak menyertai PKR dan yang pintar menyertai DAP

Memang sudah menjadi adat dan cara hidup semua bangsa dan agama mengenang jasa dan budi orang itu memang menjadi tuntutan. Hidup tidak mengenang budi ‘ibarat kacang lupakan kulit’. Itulah perbilangan Melayu yang semua orang tahu. DAN sememangnya orang Melayu mengenang jasa.

Hanya sekarang politik tidak dapat membezakan antara siapa yang patut mengenang jasa dan siapa yang telah memakan jasa. Itulah sekarang menjadi tuntutan Najib apabila beliau melawat Pulau Pinang dua hari yang lepas. Najib seperti pemimpin UMNO yang lain sentiasa menuntut orang Melayu dan rakyat untuk mengenangkan jasa UMNO dan pemimpin-pemimpin besarnya yang telah lalu dan yang sedang berkuasa pada hari ini.

Katanya kita mesti ingat kepada jasa Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad serta Abdullah Badawi. Mereka ini semuanya berjasa kepada orang Melayu dan negara, kata Najib. Kata-kata Najib itu ada benarnya tetapi mengenang jasa itu biarlah bertempat dan kena pada orangnya serta tepat pada sasaran di mana jasa itu dikenang. Kita tidak boleh mengenangkan jasa kepada mereka yang tidak berjasa seperti mereka yang telah membinasakan perjuangan dan tamadun bangsa kita sendiri.

Saya  berpendapat  Dr Mahatnir sepatutnya mengenang budi parti yang telah mengangkat beliau ke mercu kekuasaan, tetapi Mahathir menggunakan kuasa hasil daripada mengenang jasa orang Melayu dengan membinasakan parti itu pada suatu ketika dahulu. Jasa parti itu besar kepada beliau tetapi beliau tidak mengenangnya kerana beliau merasakan ahli-ahli UMNO tidak lagi mahu lagi mengenang jasanya.

Beliau tidak mahu menerima yang ahli-ahli UMNO sudah keberatan untuk memberikan jasa lagi kepada beliau kerana sebab-sebab yang kita dengar semasa ramai dari ahli-ahli UMNO mahukan beliau dibersarakan setelah memberikan jasa yang begitu besar kepada beliau. Justeru beliau telah membiarkan UMNO itu mati walaupun kuasa yang diberikan rakyat kepada beliau boleh menyelamatkan parti itu daripada terkubur.

Beliau adalah Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri semasa itu yang sepatutnya menggunakan kuasa yang ada kepada beliau mengikut Akta Pertubuhan 1965 sek 70 yang membolehkan beliau menggunakan kuasa itu untuk menghidupkan mana-mana pertubuhan yang diharamkan oleh mahkamah. Beliau enggan menggunakan akta itu kerana  beliau mahukan UMNO itu  mati terus dan menggantikannya dengan parti baru yang menggunakan nama ‘UMNO’ yang keramat itu.

Maka wujudlah satu parti yang meminjam nama UMNO yang telah terkubur itu. Apa yang hendak diterima kasihkan kepada pemimpin-pemimpin seperti ini? Kenapa hendak memaksa orang ramai khususnya orang Melayu yang berjiwa tulen dalam perjuangan mereka untuk mengenang ‘jasa’ yang seperti ini? Inikah dia yang dinamakan jasa?

Selepas dan bermula dari saat itu kita tidak lagi mempunyai pemimpin-pemimpin yang jujur untuk perjuangan selain daripada memperjuangkan untuk mengisi perut dan keluarga masing-masing. Pemimpin-pemimpin berkomplot sesama sendiri untuk naik takhta kepimpinan dan melakukan perkara-perkara yang menjadi persoalan kepada rakyat. Masalahnya rakyat begitu perlahan untuk sedar tentang perlakuan yang telah merosakkan keseluruhan ‘fabric’ politik orang Melayu khususnya dan rakyat amnya. Hanya sekarang baru ramai rakyat telah sedar dan mereka memulakan langkah untuk bertindak melawan arus yang deras ini.

Dalam keadaan inilah Najib dan barisan pimpinan mundar-mandir untuk memujuk kembali rakyat menyokong mereka. Najib telah menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita sedar yang apa yang dijanjikan oleh UMNO sejak 54 tahun yang lalu masih menjadi janji dan isu pada masa ini.

Janji untuk memajukan kaum Melayu tidak pernah tercapai walaupun setiap pilihanraya isu memajukan orang Melayu menjadi bahan kempen pihak BN dan UMNO. Tiada UMNO Melayu akan mati, kata mereka. Tetapi Melayu wujud sebelum UMNO wujud lebih-lebih lagi kewujudan UMNO baru yang lebih muda dari anak bongsu saya. Bagaimana Melayu hendak memberikan keyakinan jika masa lima dekad tidak mampu untuk menambah equiti bumiputra misalnya.

UMNO hanya melalui kegiatan siasahnya dengan slogan besar-besar tetapi tidak ada pun satu daripada slogan yang diwarwarkan itu membuahkan hasilnya. Semasa slogan Bersih, Cekap dan Amanah dahulu tiada satu yang bersih, tiada nampak kecekapannya dan jauh sekali ada sifat amanah kepada bangsa Melayu kita. Malahan zaman itulah rasuah mula menjadi-jadi dan masa itu jugalah bermulanya berlakunya noda-noda berlaku terhadap politik dan ekonomi negara.

Kata orang, keruh air di hulu keruhlah air di hilir. Kekalutan zaman inilah yang menyebabkan kita mendapat warisan yang kita lihat pada hari ini. Kekalutan yang begitu parah yang rakyat hadapi hari ini tidak mungkin bermula pada zaman Pak Lah. Ianya bermula setidak-tidaknya 20 tahun sebelum kekalutan itu sampai ke tahap hari ini. Tidak adil kita letakkan kesalahan itu kepada Pak Lah kerana siapa yang melantik Pak Lah itu wajib bertanggungjawab bersama-sama.

Apa yang hendak kita katakan lagi jika Mahathir sendiri berkata, yang pandai menyertai PAS, yang cerdik menyertai PKR dan yang pintar menyertai DAP. Kata-kata itu bukannya datang daripada pemimpin-pemimpin dalam komponen PR tetapi dari mulut Dr Mahathir sendiri. Kalau begitu kata Mahathir, yang bodoh itu menyertai parti apa?

Saudara jawablah sendiri.

23 April 2012

Testimonial siapa yang lebih baik?...Tunku dan Hussein atau yang lain-lain?

Semalam PM Najib di Pulau Pinang, negeri yang telah begitu maju dan telah pun menjadi negeri yang mendahului negeri-negeri lain dalam pelaburan pembuatan tahun lepas. Pinang diikuti rapat oleh Selangor dalam sektor yang sama dan kedua-duanya adalah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Najib kali ini menjanjikan bulan dan bintang kepada negeri P Pinang jika BN kembali memerintah negeri itu.

Janji pemimpin BN itu adalah janji dari parti yang telah jatuh ke dalam gaung dan kali ini ia memberikan janji kepada orang-orang yang telah mencampakkan BN ke dalam gaung itu. Lawatan ini adalah lawatan dalam siri kempen pilihanraya ke13 nanti dan Najib masih melagukan lagu-lagu lama yang sudah tidak masuk 'carta lagu popular mingguan' lagi.

Lagunya yang dinyanyikan di Pulau Pinang semalam bertajuk ‘ingat kepada jasa lama’ dan ‘jangan tinggal daku’ yang telah dinyanyikan oleh pemimpin UMNO setiap kali pilihanraya sampai. Lagu ini serupa seperti lagu ‘selamat hari raya’ nyanyian biduawanita negara Saloma. Lagu ‘selamat hari raya’ hanya berkumandang semasa kita menghampiri hari raya puasa. Lagu-lagu ini datangnya bermusim. Bila habis hari raya hilanglah lagu selamat hari raya. Begitu jugalah lagu nyanyian Najib.

Tidak ada modal lain selain dari meminta rakyat dan orang Melayu khususnya untuk berterima kasih kepada BN dan mengenang jasa-jasa pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir serta Abdullah Badawi. Najib menggunakan nama-nama pemimpin yang terdahulu sebagai 'testimonial' untuk mendapatkan sokongan yang berterusan dari rakyat. Najib dan UMNO pimpinannya sedang kepanasan kerana dalil-dalil yang jelas telah dilihat yang BN akan menghadapi pilihanraya yang paling getir dalam sejarah negara merdeka kita.

Tetapi Najib tidak pula nampak yang ‘testimonial’ nama-nama pemimpin yang disebut beliau itu tidak boleh meyakinkan rakyat untuk menerimanya bulat-bulat. Setidak-tidaknya dua dari nama yang disebutnya itu tidak berada didalam UMNO semasa mereka meninggal dunia. Tunku Abdul Rahman sehingga akhir hayat beliau tidak mahu menyertai UMNO kerana parti itu tidak lagi mempunyai ‘attribute’ sebagai parti yang mempunyai intregiriti untuk memerintah. Begitu juga Tun Hussein Onn. Kedua-dua bekas pemimpin besar UMNO ini tidak mahu menyertai UMNO sama sekali.

Oleh itu, ‘testimonial’ yang mana satu yang harus dihormati oleh orang Melayu sekarang? Adakah perlu menghormati ‘testimonial’ Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn atau ‘testimonial’ pemimpin-pemimpin selepas mereka ini? Agak-agaknya ‘testimonial’ yang mana yang lebih berintregriti dan mempunyai rekod yang bersih?

Isu ini penting kerana kedua-dua pemimpin ini telah begitu jelas menunjukkan pendirian yang tidak secocok dengan UMNO. Kalau kita hendak mengenang jasa pemimpin-pemimpin terulung negara ini maka kita wajar memilih untuk bersama dengan pendirian mereka. Penentangan mereka terhadap UMNO itu tentunya berkait dengan perjuangan mereka untuk siasah rakyat khususnya untuk orang Melayu.

Kalau Tunku dan Hussein tidak lagi berselera dengan UMNO sehingga akhir hayat mereka, bagaimana kita semua mempunyai selera dengan parti ini?

(Bab mengenang jasa pula akan bersambung besok atau lusa).

20 April 2012

Kuasa bukannya hak milik kekal, ia hanya TOL sahaja

Negara kita semakin hari semakin bercelaru dengan berkembangnya budaya samseng dan semua samseng-samseng ini adalah mereka yang menyebelahi pihak berkuasa. Pihak yang berkuasa sedang dalam keadaann desperado untuk mempertahankan kuasa dan mereka sedang mabuk dengan kuasa itu. Tindakan sekumpulan samseng memukul dan membelasah mahasiswa-mahasiswa yang sedang menuntut keadilan untuk masa depan mereka di Dataran Merdeka semalam amat menyayat hati. Mungkin sekarang ramai yang tidak merasa apa-apa tetapi orang yang miskin seperti saya dan ramai yang lain amat memahami perasaan mereka.

Nampaknya tidak ada siapa yang boleh menuntut apa-apa yang mereka anggap hak mereka dalam negara kita lagi. Sesungguhnya inilah kesilapan orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang selama ini terlalu memberi muka kepada BN untuk memerintah negara ini sejak merdeka. Sebagaimana yang saya sebut selalu pihak berkuasa seolah-olah tidak boleh dipersoalkan lagi kerana mereka menganggap negara ini adalah hak mereka sahaja untuk berkuasa maka siapa sahaja yang mempunyai pendapat yang berlainan akan dipukul dan dicederakan.

Apabila mereka merasakan kuasa akan hilang maka mereka bertindak bukan sahaja membiarkan samseng-samseng melakukan apa sahaja ke atas anak-anak muda yang sedang menuntut keadilan dan berjuang untuk masa depan mereka dalam negara mereka sendiri. Pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab pula membuat kenyataan-kenyataan yang memihak kepada samseng-samseng ini dan mengutuk tindakan mahasiswa untuk melakukan apa yang mereka wajar lakukan.

Dengan apa yang berlaku di Dataran Merdeka semalam ianya menunjukkan bukti jelas bahawa parti yang sedang memerintah benar-benar dalam keadaan tersepit dengan puluhan isu besar yang sedang menghadapi mereka. Tuntutan mahasiswa ini merupakan isu besar kerana ia melibatkan setiap ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bakal menghadapi zaman pendidikan tinggi dan isu ini menusuk dalam  sanubari mereka.

Dengan apa yang berlaku di Dataran Merdeka itu juga menunjukkan yang selama ini kita tidak pernah menyangka yang apa yang berlaku di negara-negara mundur telah berlaku di negara kita sendiri. Tekanan terhadap masyarakat marhean sudah menjadi kebiasaan pada akhir-akhir ini dan nampaknya kita sedang menuju ke arah sistem di negara-negara Afrika dan negara-negara mundur di dunia ini.

Tidak ada satu pihak pun yang menyalahkan kumpulan samseng-samseng ini seolah-olah mereka memang memihak kepada mereka (samseng-samseng) ini. Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin, menyatakan bahawa tidak ada siapa yang menyuruh mahasiswa untuk berdemonstrasi dan kenyataan beliau itu seolah-olah memberi gambaran bahawa mahasiswa ini memang patut dibelasah oleh kumpulan-kumpulan samseng ini.

Di manakah pihak polis dan anggota-anggota keselamatan yang lain? Tidakkah pihak polis faham bahawa mereka itu adalah polis kepada rakyat dan bukannya polis untuk mempertahankan pihak yang berkuasa tanpa mengira salah benarnya? Inikah sistem dan cara pemerintah yang patut dikekalkan untuk menjamin keselamatan masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita?

Saya memberikan pandangan yang lebih serius kali ini. Jika inilah budaya yang dibenarkan berkembang oleh pemerintah hari ini maka sudah menjadi kewajipan dan fardhu kifayah untuk kita menolak habis-habisan parti pemerintah yang membiarkan perkembangan budaya gila ini. Kita tidak boleh membiarkan samseng-samseng memerintah kita. Kita mahukan pemerintah yang memerintah kita dengan daya pemikiran, bukannya dengan menggunakan lengan dan buku lima atau dengan otot-otot besar.

Kalau sekarang keadaan sudah begini buruk, adakah budaya ini akan berkurangan jika mereka ini terus dibiarkan mendapat mandat rakyat? Parti pemerintah mesti faham yang perasaan dan pemikiran tidak boleh ditekan. Lagi ditekan ia akan mendapat reaksi yang bersalah-salahan. Itu adalah ‘nature’.

Politik samseng ini merupakan satu petanda politik yang bankrap. Cara ini adalah cara politik pihak yang terdesak. Politik cara ini adalah politik zaman batu. DAN politik secara ini adalah politik tidak bertamadun. Politik sepatutnya ada perlawanan psychology dan persepsi. Ini bukannya politik siapa yang mempunyai otot yang besar. Politik menggunakan otot ini adalah politik bacul dan ianya berlaku sebelum tamadun manusia bermula.

Kalau kita sudah merasakan akan tewas dalam politik bertamadun, kita mesti memperbaiki politik itu dengan politik yang lebih bertamadun mengikut waktu dan zamannya. Jika tertewas dalam politik ia merupakan kemenangan kepada pihak lawan dalam sistem demokrasi. Jika kita sudah tidak dapat lagi mandat rakyat kita mesti membuat introspeksi ke dalam diri kita sendiri.. 'There must be a cause for a cause’.

Itulah sebabnya demokrasi ini merupakan sistem yang adil. Dalam sistem ini yang menang akan menerajui pemerintahan dan yang kalah mesti menerimanya kerana bukan mereka yang punya kuasa itu. Kuasa itu kepunyaan rakyat dan tidak boleh sesiapa atau mana-mana pihak untuk menekan dan memaksa mereka menyokong kita.

Kuasa pemerintahan dalam sistem demokrasi bukannya hak milik kekal. Kuasa yang kita pegang itu hanyalah pegangan sementara atau pun lebih mudah dikenali sebagai T.O.L sahaja. Kalau kita mempunyai lesen untuk memegang kuasa sementara sahaja kita perlu mengikut undang-undang dan syarat yang ditetapkan.

Dalam konteks kerajaan kita, kerajaan mesti jangan rasuah dan menekan rakyat yang telah memberikan mereka kuasa sementara tadi. Jika kita lakukan juga rakyat boleh mengambil kembali lesen TOL itu  dan memberikan pihak lain pula lesen untuk menduduki tanah TOL itu.

Tetapi parti pemerintah hari ini menganggap lesen TOL itu sebagai hak milik kekal. DAN dalam konteks UMNO dan BN mereka menekan pula pihak yang memberikan menumpang di tanah TOL itu tadi. Ini budaya apa?

Nampaknya pihak berkuasa terminta-minta sangat mereka diusir dari tanah TOL itu. Tidak mengapa. Apabila mereka datang untuk memperbaharui lesen TOL itu nanti, jangan kita sambung lagi. Itu sahaja cara kita untuk memberi tahu mereka bahawa mereka selama ini hanya duduk di tanah TOL sahaja, bukannya di tanah milik kekal.

Pengakhir kata, elok kita nasihatkan pihak yang sedang mabuk dengan kuasa ini supaya jangan berperang dengan rakyat yang merupakan empunya kuasa. Rakyatlah yang menentukan kepada siapa yang mereka hendak mandatkan pemerintahan dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kalau masih inginkan kuasa, jangan berperang dengan rakyat. Tunjukan fe’el dan kelakuan yang setimpal dengan kehendak pemimpin yang punya tamadun yang tinggi.

18 April 2012

Sedangkan beruk pun takut memanjat pokok tua yang tinggi, takkanlah .......

Secara peribadi, saya menyokong tuntutan mahasiswa supaya PTPTN dimansuhkan. Saya telah menulis tentang isu ini sejak dua tahun yang lalu apabila kita semua nampak PTPTN ini sebenarnya merupakan satu perkara yang boleh membantutkan pembentukan ‘human capital’ seperti yang disebut-sebut oleh pemimpin kita. Setakat ini seramai 130,000 orang graduan telah disenaraihitamkan oleh PTPTN kerana gagal membayar balik pinjaman yang mereka terima dari PTPTN ini.

Hari-hari saya terbaca pemimpin-pemimpin kita, baik menteri-menteri atau pun penyokong UMNO yang seperti biasa sentiasa menyebelahi pemimpin yang tidak prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh graduan-graduan muda kita yang bermasalah ini. Setengah daripada penyokong membuta tuli dan pengampu UMNO sekarang ini menyokong kata-kata pemimpin untuk mendapat ‘point’ untuk termasuk ke dalam senarai ‘winnable candidate’ dalam pilihanraya yang semakin hampir ini. Menjadi calon adalah perkara yang ‘ultimate’ bagi ramai pemimpin UMNO sekarang ini.

Walaupun saya menyokong sepenuhnya tuntutan pelajar-pelajar ini, saya begitu ‘pessimistic’ tentang kejayaan tuntutan ini kerana PTPTN ini bukan setakat membiayai pelajar dengan memberikan pinjaman pembiayaan pelajaran. PTPTN ini wujud kerana ‘business’ besar kepada kroni-kroni besar dalam ‘industry’ pelajaran ini. Ratusan IPTS wujud di negara ini dan lesen IPTS-IPTS ini diperolehi oleh kroni-kroni besar dari IPTS-IPTS ini bergantung kepada PTPTN untuk mendapat sumber kewangan melalui pelajar-pelajar yang kehausan pendidikan ini.

Untuk memendekkan cerita yang panjang, PTPTN ini hanya memberikan keuntungan besar kepada pengusaha-pengusaha bidang pendidikan swasta negara kita sahaja. Ramai di antara yang berada di dalam Lembaga Pengarah IPTS ini merupakan kroni-kroni dan yang memegang kepentingan peribadi mereka. Budaya berniaga secara senang ini memang sudah sebati didalam pemikiran rakyat. Kebanyakkan daripada IPTS-IPTS ini tidak mencari keuntungan yang berpatutan tetapi mereka merupakan kumpulan ‘profiteers’ gergasi yang mengambil kesempatan atas keperluan asas rakyat ini.

Banyak kali blog ini menulis tentang pelajaran percuma untuk rakyat dan ini bukannya cadangan yang ganjil atau pandangan yang ‘isolated’. Banyak negara memberikan pendidikan kepada rakyatnya secara percuma. Negara-negara itu bukan pun negara pengeluar minyak seperti negara kita.

Malahan pelajaran percuma ini bukannya tidak pernah berlaku di negara ini. Dari awal kemerdekaan sehingga ke tahun tujuh puluhan, mahasiswa kita diberikan biasiswa di peringkat universiti dan mereka telah  ditanggung oleh kerajaan. Semasa itu wujud ‘state scholarship’ dari setiap negeri-negeri dalam Persekutuan ini dan ada juga ‘federal scholarship’ yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Petronas dan Bank Bumiputra telah memperuntukkan banyak biasiswa semasa itu. Ribuan biasiswa telah disediakan oleh Petronas dan BBMB kerana Tengku Razaleigh Hamzah yang mengetuai kedua-dua syrikat GLCs ini telah bertegas untuk menjadikan pelajaran sebagai ‘ingredient’ penting untuk pembangunan negara kita.

Jika dahulu sebelum negara kita melalui zaman kemajuannya, kerajaan telah memberikan biasiswa kepada semua mahasiswa, kenapa pula sekarang negara yang dikatakan oeh pemimpin kita sebagai negara hampir maju ini memberhentikan pemberian biasiswa kepada rakyatnya? Pada zaman itu tidak pernah kita mendengar pelajar memohon pinjaman untuk belajar di peringkat universiti.

Sekarang rakyat yang masih muda telah menerima padahnya kerana disenaraihitamkan oleh kerajaan kerana tidak mampu untuk membayar balik pinjaman yang kesemuanya telah pergi kepada IPTS-IPTS dan kapitalis kroni-kroni pemimpin-pemimpin kita. Kerajaan kita telah mengambil kesempatan atas keperluan yang terdesak rakyat untuk belajar dengan menjadikan pinjaman PTPTN sebagai syarat utama sebelum menerima pelajar masuk ke kampus-kampus mereka.

Kerajaan sepatutnya membayar segala kos pembelajaran rakyat di peringkat universiti ini. PTPTN telah menjadikan graduan-graduan kita tidak ‘marketable’ lagi di dalam pasaran pekerjaan kerana telah disenaraihitamkan oleh PTPTN. Bagaimana graduan- graduan muda ini hendak memajukan diri mereka jika mereka masih terbelenggu dengan hutang seperti menghadapi ‘along-along berlesen’ seperti PTPTN ini.

Saya begitu teruja untuk memberikan pandangan terhadap komen Dr Mahathir yang meminta semua yang tidak bersetuju dengan PTPTN supaya tidak mengambilnya dan meminta supaya mereka memulangkan kembali pinjaman yang telah diambil mereka itu. Ini merupakan komen yang amat menyakitkan yang datang dari seorang pemimpin besar sedangkan mereka yang berdemonstrasi itu adalah mereka yang bakal menghadapi masalah seperti yang sedang dihadapi oleh mereka yang telah keluar dan mendapat ijazah mereka itu.

Dr Mahathir tidak boleh menjawab secara begitu kepada mereka yang sedang memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan pelajaran secara percuma seperti rakyat di kebanyakan negara di dunia ini. Jika kita ambil ‘equation’ yang saya anggap sebagai ‘silly’ ini, saya juga ingin mencadangkan kepada Mirzan, anak beliau yang telah menggunakan pengaruh bapa beliau mengambil wang rakyat sebanyak RM1.8 billion yang telah digunakannya untuk menyelamatkan perniagaannya pada 1998 dahulu. Tidak ada sebab Mirzan mengambil wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaannya selain daripada sebab dia anak Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad sehingga ke pentadbiran Najib ini telah membazirkan wang rakyat sehingga bertrillion ringgit tetapi pinjaman anak-anak muda yang sedang memulakan kehidupan mereka dikejar dan dipintas oleh undang-undang yang menekan seperti tekanan PTPTN ini. Anak-anak muda hanya inginkan pendidikan percuma, bukannya hendak menyelamatkan perniagaan mereka seperti yang dilakukan oleh Mahathir dalam isu menyelamatkan anaknya daripada tersadai dalam perniagaannya.

Slogan ‘rakyat didahulukan’ itu nampaknya hanyalah satu lagi slogan karangan pimpinan UMNO yang tidak mempunyai daya perjuangan yang  kuat. Alasan negara akan bangkrap jika PTPTN dimansuhkan itu adalah alasan hingusan yang sepatutnya ditolak oleh rakyat. Jika ketirisan yang begitu besar yang berlaku di dalam kerajaan dapat dibendung, tidak ada masalah untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat kerana pendidikan percuma itu merupakan perkara yang biasa di kebanyakan negara yang tidak menghadapi ketirisan dalam kerajaan mereka.

Apabila pihak pembangkang menjanjikan pelajaran percuma, pimpinan UMNO memekik-mekik dan terlolong dan menuduh pembangkang tidak akan dapat mengotakan janji-janji itu dan itu merupakan janji-janji kosong semata-mata. Pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Dr Mahathir Mohamad menganggapkan pembangkang tidak mempunyai daya pentadbir yang baik seperti mereka. Kerana mereka (BN) tidak mampu menyelesaikannya mereka anggap orang lain pun tidak akan mampu melakukannya.

Pemimpin-opemimpin UMNO begitu kenyang dengan rasuah dan ketirisan yang berlaku di dalam kerajaan pimpinan mereka, maka mereka mengambil pandangan yang pembangkang juga akan melakukan perkara yang sama jika diberikan mandat mentadbir negara ini.

Sekarang rakyat setidak-tidaknya mempunyai harapan untuk mendapatkan tuntutan mereka itu dengan memberikan sokongan kepada kerajaan alternatif. Jangan hiraukan kutukan pihak UMNO itu kerana kita tidak boleh mengharapkan orang yang terlalu kenyang untuk bekerja keras untuk kita.

UMNO dan BN telah memerintah kita selama 54 tahun dan nampaknya perkara-perkara yang karut marut tetap berlaku dengan percambahan yang begitu ketara. Sekarang BN sudah kita lihat mempunyai ketidakmampuan untuk melakukan perkara yang penting untuk masa depan rakyat ini maka kita berikanlah kepercayaan ini kepada pihak PR untuk melakukannya.

Untuk mendapatkan penghapusan PTPTN ini rakyat terpaksa mengambilalih Putrajaya melalui Pakatan Rakyat. Itu sahaja yang boleh dilakukan oleh mahasiswa dan ibu bapa kepada mahasiswa-mahasiswa ini untuk mencapai apa yang mereka tuntut pada hari ini. Kita lupakan dan ketepikan sahaja BN kali ini.

BN sudah jelas tidak mampu mentadbir dengan baik lagi kerana pemimpin-pemimpin yang rasuah tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan dengan baik dan saksama. 54 tahun itu sudah terlalu lama untuk sesuatu parti memerintah sesebuah negara.

Pokok kelapa yang berumur 54 tahun itu sudah terlalu tinggi dan merbahaya untuk dikekalkan. Bak kata seorang sahabat saya, “beruk pun takut untuk memanjat pokok kelapa yang terlalu tinggi dan tua itu.”

15 April 2012

Let's be adults, YAB

Merasakan diri sendiri itu sebagai hebat dan ‘invincible’ itu merupakan kesilapan yang susah hendak diperbaiki oleh seseorang yang mempunyai sifat itu. Jika mereka yang jenis ini menjadi pemimpin mereka akan dianggap sebagai pemimpin sombong dan selalunya pemimpin seperti ini akan memandang rendah orang lain dengan begitu mudah. Hasilnya akan timbullah masalah kepimpinan (leadership crisis) yang tidak sepatutnya berlaku.

Krisis ini sememangnya boleh diatasi hanya dengan menjadi pemimpin yang merendah diri. Saya tidak dapat mencari sebab kenapa seseorang itu apabila menjadi pemimpin dia menjadi sombong dan tidak mahu merendahkan diri di hadapan rakyat pimpinannya. Orang lain semuanya bodoh dan dia sahaja yang betul dan benar. Di negeri saya, Negri Sembilan, ada pemimpin besar yang tidak mahu merendah diri kerana pangkatnya besar dan wang ringgitnya banyak, walhal 'it doesn't cost him even 10 cents to be humble'.

Beliau ini merasakan dirinya itu datang dari syurga (paradise). Jika ada yang tidak bersetuju dengannya dia akan menjawab dengan sombong, “ahh, dio tu bukan boleh mendalamkan air pun”. Semua orang lain tidak boleh mendalamkan air. Ramai juga yang datang memberitahu saya yang beliau menganggap saya sebagai pemimpin nyamuk sahaja. Kata-kata nista ini keluar hanya setelah saya menyertai Parti Tindakan Demokratik pada Januari yang lalu.

Saya tahu saya bukannya seorang pemimpin, tetapi saya tahu untuk menilai siapa yang boleh memimpin. Saya tahu saya bukan seorang yang pandai tetapi saya pandai menyelam air dalam tunggak. Saya tahu saya ini bukan orang kaya tetapi miskin, tetapi saya tidak fakir dari segi pemikiran. Tetapi saya tetap bersabar melihat dan mendengar telatahnya yang pada saya menjadi penyumbang kepada kejatuhan parti yang dipimpinnya.

Saya tidak sepatutnya menjadi bahan ejekannya kerana yang patut ditumpukan ialah untuk menautkan kembali UMNO yang berpecah-belah di bawah kepimpinannya. Saya bukan lagi berada di dalam parti pimpinannya dan kekurangan kredibiliti kepimpinannya merupakan salah satu sebab yang banyak kenapa saya tidak mahu berada di dalam jemaah yang haru biru itu.

Walaupun saya bukan pemimpin seperti beliau, tetapi ramai di antara ahli-ahli parti yang dipimpinnya itu datang menemui saya acapkali dan mereka tidak segan silu mengkritik beliau. Namun saya tetap berdiam kerana masih ada rasa pertalian persahabatan dengannya walaupun saya tidak berada lagi di dalam parti pimpinannya.

Kadangkala terasa juga sakitnya apabila orang mengkritik beliau, kerana maklumlah saya bukan mengenali beliau dari jauh tetapi mengenali beliau dari dekat…sedekat-dekatnya. Saya tidak pernah menyusahkan beliau secara peribadi sejak beliau menjadi Ketua Eksekutif di negeri adat kami itu. Saya tetap sedaya upaya untuk membezakan di antara politik dengan perhubungan peribadi. Saya berharap beliau juga bersikap begitu memandangkan beliau adalah seorang ‘social climber’ yang berjaya.

Saya mengambil keputusan untuk menulis sedikit tentang isu ini kerana saya telah dihujani oleh banyak pertanyaan dari orang UMNO yang datang menemui saya. Mereka bertanya samada benar atau tidak yang saya pernah berpesan kepada beliau melalui pemandunya yang saya meminta beliau menjaga kereta MB itu baik-baik kerana selepas pilihanraya nanti saya akan mengambil alih tugas beliau.

Kenapa beliau memilih untuk berbohong kepada orang ramai di belakang saya. Saya tidak pernah berkata begitu dan saya tidak pernah mengenali pemandu beliau. Saya pun tidak pernah pergi berjumpa dengan beliau sejak beliau menjadi MB. Lagi pun bila pula saya beritahu beliau yang saya bercita-cita untuk mengambil alih jawatan beliau? Kali terakhir saya berjumpa setelah bertahun-tahun ialah semasa beliau datang kerumah kami dikampung kerana menziarahi jenazah cucu saudara saya yang meninggal, kalau tidak silap saya 5 bulan yang lepas.

Saya kecewa mendengarnya kerana beliau cuba memesongkan pandangan orang ramai terhadap saya dan fitnah ini datang dari seorang sahabat yang pernah menjadi teman minum di warung-warung sebelum beliau menjadi orang besar yang bergelar dan bernama itu. Untuk makluman beliau, saya masih lagi minum di warung-warung tempat beliau minum dengan saya dahulu. Di situ sahaja tempat yang saya masih mampu untuk membasahkan tekak saya.

Akhirnya melalui blog kecil saya ini saya memohon kepada YAB itu supaya menjadi lebih dewasa sedikit. Saya bukan orangnya yang mampu menggugat beliau. Saya hanya seorang pejuang jembel sahaja dalam politik di NS itu. Saya tidak ada nama dan tidak ada gelaran besar-besar untuk membuatkan beliau hilang akal untuk bercakap bohong terhadap diri saya yang begitu kecil dan kerdil ini. Politik itu politik juga, tetapi jangan biarkan politik itu menjadikan diri kita seperti kanak-kanak yang masih merah kulitnya.

Kepada beliau saya sedar yang saya hanyalah seorang pemimpin nyamuk seperti yang beliau anggap terhadap saya itu. DAN saya juga memang tidak boleh mendalamkan air. Saya mengaku itu semua, tetapi jangan buat cerita bohong terhadap diri saya.Lebih baik tumpukan masa untuk menyelesaikan krisis kepimpinan yang sedang dihadapi oleh BN Negri Sembilan itu dahulu.

Let’s be adults, YAB.

Salam.

Chua Soi Lek keletihan; kaum Cina muktamad menolak MCA

Chua Soi Lek semasa berada di Johor Bahru semalam telah menzahirkan perasaan kecewa beliau kerana kaum Cina tidak menyokong MCA sedangkan MCA telah begitu banyak berjasa kepada bangsanya selama ini. Orang Cina katanya, memilih untuk memberikan pujian dan sokongan terhadap pembangkang yang kata beliau tidak ada jasa kepada negara selama ini.

Bagi saya, Chua Soi Lek (CSL) begitu naïf pandangannya terhadap politik dan sejarah yang melatar belakangkan keadaan ini. Pada asasnya orang Cina memang sudah lama tidak menyokong PERIKATAN dan seterusnya selepas Perikatan di ambil alih oleh BN pada tahun 1974 dahulu. Orang Cina hanya memberikan sokongan terhadap parti kerajaan semasa pilihanraya 1955 sehingga PRU 1965 sahaja.

Semasa hendak mencapai kemerdekaan dahulu parti Perikatan ditubuhkan yang terdiri dari UMNO yang mewakili orang Melayu, MCA yang mewakili orang Cina dan MIC yang mewakili kaum India. Pergabungan ketiga-tiga parti inilah yang membawa kepada kemerdekaan yang dipimpin oleh UMNO pada tahun 1957 dahulu. Sekarang UMNO itu sudah tiada lagi kerana dibunuh oleh orang yang gila kuasa pada 1998 dahulu.

Dalam lain-lain perkataan, semua kaum telah berjasa untuk mendapatkan tarikh pengisytiharan Kemerdekaan itu, iaitu pada 31hb Ogos 1957 dahulu dan Perikatanlah yang telah menyudahkan kerja-kerja perjuang Kemerdekaan sebelum wujudnya UMNO dahulu. Sebelum wujudnya UMNO, gerakan untuk mencapai kemerdekaan telah bermula dan kita tidak boleh melupakan nama-nama seperti Pak Sako, Ahmad Boestamam dan lain-lain yang ramai itu.

Mari kita pendekkan cerita. Daripada PRU yang pertama lagi MCA merupakan rakan kongsi UMNO dan MIC yang telah bekerja keras untuk memberikan sokongan kepada Perikatan dan dalam PRU itu Perikatan telah memenangi 51 kerusi dari 52 yang dipertandingkan. Calon Perikatan tunggal yang kalah ialah Hj Sulaiman Palestin. MCA juga telah mendapat sokongan semua kaum Cina dan didalam pilihanraya 1959 dan 1965 kaum Cina masih memberikan sokongan kuat kepada Perikatan. Semasa itu kaum Cina lah yang telah memberikan sokongan kepada MCA sehinggakan Perikatan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

Parti-parti dalam Perikatan ini mempunyai keahlian yang berdasarkan kepada kaum. Matlamatnya ialah untuk UMNO mendapatkan sokongan orang Melayu, MCA dari sokongan kaum Cina dan MIC untuk mendapatkan sokongan dari kaum India. Formula ini telah berjaya untuk mendapatkan kemenangan yang besar kepada Perikatan.

UMNO bertanding dikawsan-kawasan Melayu dan MCA bertanding dikawasan-kawasan bandar yang kebanyakkan pengundinya dari kaum Cina, MIC walaupun tidak ada tempat yang mempunyai pengundi kaum India terbesar tetapi telah diberikan beberapa kerusi yang bercampur-campur komposisi kaumnya. Itulah formula dan resipi kejayaan Perikatan semasa itu.

Tetapi keadaan berubah dan pada PRU 1969 kaum Cina telah menarik sokongan dari MCA dan telah menjejaskan prestasi Perikatan dan dalam pilihanraya itu Perikatan terutamanya MCA telah kehilangan banyak kerusi dan kaum Cina telah mengalih sokongan mereka kepada parti yang baru iaitu parti Gerakan yang baru ditubuhkan oleh Syed Husin Al-Atas dan Gerakan telah mendapat kuasa untuk membentuk kerajaan Pulau Pinang.

DAP telah mendapat beberapa kawasan ditengah-tengah bandar di Lembah Kelang dan Lembah Kinta. Kota Melaka telah dimenangi oleh DAP dengan calonnya Lim Kit Siang. PAS juga telah menambah beberapa kerusi termasuk kerusi Kota Setar di Kedah yang telah menewaskan Dr Mahathir Mohammad, calon Perikatan semasa itu.

Selepas PRU inilah MCA tidak lagi mendapat sokongan sepenuhnya dari kaum Cina. Ini yang Chua Soi Lek mesti ingat supaya tidak mengumpat kaumnya dengan sewenang-wenangnya. Semasa itu Soi Lek belum pun wujud dalam politik MCA di mana-mana peringkat sekali pun.

Hasil dari pertumpahan darah diantara kaum pada 13 Mai 1969, 3 hari selepas pilihanraya itu, negara telah mengisytiharkan penubuhan Majlis Tindakan Negara (MAGERAN) dan Parlimen telah digantung. Tun Abd Razak selaku Timbalam PM semasa itu, telah menjadi Pengarah MAGERAN yang diperuntukkan oleh Ordinan Dharurat. Kuasa sepenuhnya ada pada Tun Razak dan beliau mula melaksanakan tugas untuk menggubal daar-dasar baru dengan matlamat yang satu iaitu 'perpaduan nasional'.

Banyak dasar-dasar baru digubal untuk mencapai perpaduan nasional itu tetapi kita hanya sentuh tentang politik yang berkaitan rapat dengan matlamat perpaduan nasional tadi. Tun Razak telah memanggil kesemua parti politik untuk bergabung dibawah apa yang kita sekarang kenali sebagai Barisan Nasional (BN) Di Semanjung parti Gerakan bersetuju untuk menyertai BN untuk bersama UMNO, MCA, MIC supaya tidak banyak pertentangan diantara parti-parti dalam negara ini, kerana pertentangan parti itu bermakna pertentangan diantara kaum.

Justru untuk menjaga representasi dalam kerajaan MCA terpaksa dibela oleh UMNO (orang Melayu) dengan memberikan pemimpin-pemimpin tertinggi MCA turun bertanding dikawasan yang majoriti pengundinya orang Melayu. BN tidak mahu pemimpin-pemimpin utama MCA kecundang kerana kaum Cina mempunyai pilihan seperti DAP sebagai wadah perjuangan mereka.

Itu sebabnya kita perhatikan Presiden MCA bertanding dikawasan Labis dan MIC bertanding dikawasan Segamat, Johor. Pemimpin-pemimpin besar MCA tidak bertanding dikawasan majoriti pengundi dari kaumnya sendiri. Oleh itu Soi Lek mesti faham yang MCA selama ini hanya boleh selamat dikawasan majoriti pengundinya dari kaum Melayu. Penolakan kaum Cina terhadap MCA memang sudah lama. Kalau tidak masakan pemimpin-pemimpin utama parti itu hanya bertanding dikawasan majoriti pengundi dari kaum Melayu.

Rungutan Soi Lek itu agak tidak tepat. Beliau bersungut seolah-olah selama ini orang Cina memberikan sokongan padu kepada MCA sedangkan yang bersatu padu memberikan sokongan kepada MCA adalah kaum Melayu. Hanaya segelintiran kaum Cina yang menyokong parti itu selama ini bertindak menarik sokongan terhadap MCA sekarang ini.

Apabila orang Melayu sudah ramai yang menolak UMNO maka MCA juga mendapat tempiasnya maka MCA pada hari ini hanya menunggu masa untuk pecah belah dan akan kecundang di dalam PRU yang akan datang ini. Tuduhan MCA yang ramai diantara calon-calonnya tewas dalam PRU yang lalu adalah oleh kerana UMNO itu ada asasnya. Itulah sebabnya ada suara-suara dalam MCA sendiri mahukan MCA tidak lagi menjadi sebahagian dari BN.

Yang MCA patut marahkan ialah UMNO kerana jika UMNO kecundang kali ini maka MCA akan terkubur dalam politik negara. Sekarang 'trend' yang ada ialah rakyat berbilang kaum sekarang sudah letih dengan isu perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan juga MCA. Mereka tahu sentimen perkauman yang diperbesarkan oleh UMNO atau MCA itu hanyalah sebagai taktik menakut-nakutkan orang Melayu dan Cina yang jika BN kalah maka akan timbul huru hara dan jelas isu itu tidak termakan oleh rakyat sekarang ini.

Rakyat mahukan perpaduan diantara kaum, maka mana-mana pihak yang memainkan isu perkauman secara automatik ditolak oleh rakyat. Rakyat berbilang kaum tidak mahu lagi bergaduh diantara mereka semata-mata kerana dihangatkan oleh parti-parti dalam BN.

Rakyat berbilang kaum kini mahu bersatu tetapi mereka mahu bersatu diluar BN. Itu pun sebabnya parti-parti dalam PR mendapat sokongan kerana ‘attribute’nya sebagai parti-parti berbilang kaum.

CSL patut memahami yang orang Cina bukannya tidak sayang kepada MCA tetapi mereka lebih sayangkan perpaduan yang hanya boleh dirasai diluar BN. Selagi mereka menyokong BN selagi itulah lagu-lagu lama yang bersifat rasis itu berkumandang dimainkan oleh UMNO dan MCA. Itu sebabnya orang Cina memberikan sokongan padu kepada DAP kerana sifat DAP sebagai parti berbilang kaum.

Orang Cina telah mengambil keputusan untuk menyokong pihak yang tidak memainkan isu perkauman dan agama lagi. CSL sepatutnya melakukan introspeksi dirinya sendiri dan cari jalan untuk membetulkannya walaupun kita tahu jawapannya yang sebenarnya; MCA seperti UMNO tidak mungkin berubah.

Nampaknya biarlah rakyat yang melakukan perubahan tu.

10 April 2012

Allah sentiasa bersama dengan orang zuhud, tidak kira mereka dari parti atau bangsa apa

Saya sedang melalui pengalaman baru dan pengalaman ini sangat berharga bagi saya. Pengalaman yang saya maksudkan ialah mengenali lebih dekat lagi sikap melayu UMNO. Rupa-rupanya masih banyak yang saya kurang faham tentang ahli-ahli UMNO walaupun saya berada didalam parti itu selama 40 tahun. Agaknya saya tidak memahami pemikiran diluar kotak kerana saya terlalu taksub kepada UMNO itu semasa saya berada didalamnya.

Saya hanya memahami dengan lebih dekat lagi sikap dan pemikiran mereka sejak saya mengambil keputusan menyertai Parti Tindakan Demokratik, parti momokan UMNO sejak 46 tahun yang lalu. DAP itu komunis, DAP itu chauvinistik, DAP itu anti Melayu dan anti Islam dan DAP itu segala-galanya yang buruk. Segala ‘superlatives’ buruk di berikan kepada DAP.

Yang menjaga Islam itu hanya UMNO, Yang berjuang untuk melayu itu hanyalah UMNO, yang mempertahankan agama itu UMNO , yang anti komunis itu UMNO dan semua yang baik dan syumul itu UMNO. Mereka seolah-olah mengaku mereka sahaja yang akan masuk syurga dan saya yang masuk DAP ini akan menjadi ahli neraka. Tetapi kumpulan ini tidaklah ramai. Sebagaimana yang saya telah tulis dahulu penyertaan saya dalam DAP mandapat sokongan ramai orang Melayu juga.

Tetapi yang saya hendak komen ini adalah untuk memberi respon kepada segelintiran orang Melayu Islam yang menyatakan yang saya ini telah menjual bangsa dan agama kerana menyertai DAP. Apa yang saya jualkan pun saya tidak tahu, kerana saya tidak menjual agama saya dan bangsa saya. Malahan salah satu sebab saya menyertai DAP itu ialah kerana pada hakikatnya UMNO lah menjualkan bangsa dan agamanya.

UMNO hanya kekal dengan menterbiahkan syariat semata-mata. Mereka hanya menumpukan kepada hukum hakam agama sahaja. Tetapi hukum hakam itu sendiri diubahnya. Islam menegah umat melakukan rasuah. Islam menganggap perasuah itu serupa orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi rasuah itulah yang dilakukannya dan ia merupakan pertentangan yang ‘head-on’ terhadap agama Islam yang dilaungkannya. Selepas makan rasuah mereka bercakap tentang melayu masuk DAP itu sebagai penjual agamanya.

Saya bukan orang yang pandai tentang agama tetapi saya mengakui yang agama islam itu merupakan addin, atau apa yang kita fahami sebagai cara hidup. Perwakilan UMNO diperhimpunan agong parti itu setiap tahun bercakap pasal addin ini, tetapi mereka tidak pernah mengaddinkan agama anutan mereka. Segala syariat dan rukun yang perlu kita sempurnakan itu ialah untuk mengasaskan umat mengaddinkan agamanya. Maksudnya hidup jangan bertentangan dengan syariatnya, dan kehidupan mesti melakukan amal makruf nahi mungkar.

Tetapi UMNO melakukan perkara yang terbalik. Mereka melakukan ‘amal mungkar nahi makruf’. Mereka selalu melakukan yang mungkar dan tidak melakukan yang makruf. Rasuah itu kerja mungkar. Menggunakan kuasa secara salah itu mungkar. Menambah harga belian barangan dan alat senjata untuk mendapat komisyen melalui ‘consultant-consultant kangkong’ itu mungkar. Menggunakan wang rakyat untuk membiayai kenduri pertunangan anak itu mungkar. Membotakkan hutan untuk menebang balak sehingga licin itu mungkar, membunuh orang itu mungkar, mengambil wang rakyat untuk selamatkan perniagaan anak itu mungkar, mengaibkan orang lain itu mungkar.dan banyak lagi kerja mungkar dilakukan oleh UMNO dan BN.

Tetapi kumpulan kecil ini menuduh saya menjualkan agama saya dan bangsa saya kerana menyertai DAP. Saya yang tahu, yang saya tidak kurang Islam saya dan tidak kurang Melayu saya setelah menyertai DAP.

Elok kita kaji dan fahami apa itu addin Islam. Islam itu merupakan agama yang mempunyai nilai yang ‘universal’ dan nilai ‘universal’ itu adalah suci kerana Islam itu suci. Nilai-nilai Islam itu dipraktikkan oleh banyak kerajaan yang pemimpinnya tidak beragama Islam. Di England pemimpin-pemimpinnya melaksanakan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya. Pentadbiran negara itu tinggi nilai Islamnya dan mereka mengaddinkan cara Islam.

Etika kepimpinanya tinggi. Blunkard, menteri dalam negerinya, telah mengambil tindakan meletakkan jawatan kerana satu kesalahan etika kepimpinan yang bernilai Islam itu. Beliau telah mempercepatkan permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk ‘amah’nya. Apabila diketahui umum beliau meletakkan jawatan semata-mata mempercepatkan permohonan teman wanita beliau itu. Mereka bukannya orang Islam tetapi mereka pula yang mengaddinkan Islam. Itu menunjukkan yang Islam itu merupakan nilai ‘universal’ yang baik dan suci.

Bandingkan dengan negara kita yang pemimpin-pemimpinnya melaungkan Islam ini. Apa yang saya sebutkan dalam para awal tadi membuktikan kita hanya pandai bercakap tentang Islam tetapi tidak berdaya untuk mengaddinkan Islam itu. Menteri-menteri kita yang beragama Islam, tidak kira yang masih muda atau yang sudah tua ganyut masih mencari dan memompong harta rakyat tanpa segan silu. Setelah bersara masih lagi mencari peluang menggunakan pengaruh, nama dan gelaran untuk mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi.

Semua harta kekayaan negara hanya untuk segelintiran kroni sahaja. Syed Mokhtar, contohnya, dibentuk dan dibantu untuk membolot semua perniagann dilaut, diudara dan dibumi. Pemimpin UMNO yang besar-besar takut kepada kapitalis yang terbentuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat yang ramai.

Sebaliknya orang Melayu yang sepatutnya mendapat apa yang telah ditandatangani secara rasmi mengikut undang-undang dinafikan hak mereka. Rakyat Kelantan sehingga hari ini tidak mendapat royalti minyak seperti yang dipersetujui dalam perjanjian ‘vestine’ yang ditanda-tangani pada 27hb Mei 1975 yang lalu. Semua rakyat Kelantan yang rata-rata orang Melayu dibohongi kerana mereka (UMNO) supaya rakyat Kelantan menyokong UMNO. Islam kah ini? Kata islam itu adalah addin, kenapa tidak diaddinkan Islam itu? Kata rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mana dia semuanya itu?

Pemimpin-pemimpin UMNO hanya pandai bercakap tentang addin, tetapi tidak mahu melaksanakan addin itu. Bercakap itu berbelit-belit dan bercabang-cabang lidah mereka. Kalau hendak diikutkan hati mahu rasanya kita meminta supaya pemimpin-pemimpin UMNO membuka mulut mereka lebar-lebar supaya kita nampak apa jenis lidah yang ada didalam mulut mereka itu…lidah manusia atau pun lidah biawak?

Sekarang sampai saya menjawab tuduhan terhadap saya yang saya telah menjualkan agama dan bangsa saya. Sekarang siapa yang sebenarnya menjual agama dan bangsanya? saya atau pemimpin-pemimpin UMNO, yang besar dan yang kecil, yang muda dan yang tua ganyut itu?

Yang penting bagi saya ialah, apabila kita beragama akhirnya kita mesti kuat untuk mengaddinkan agama itu. Kita wajar bersama kerajaan yang mampu mengaddinkan pentadbiran dengan nilai-nilai yang dituntut agama. Setelah jemu menunggu satu kerajaan yang mengaddinkan agamanya tidak kunyung sampai, maka saya tidak lagi mahu bersama parti yang telah menjual agamanya dan bangsanya seperti UMNO itu. Saya mengambil tindakan keluar untuk mencari kerajaan yang mengaddinkan Islam itu.

Didalam UMNO agama dan bangsa itu hanyalah bahan retorik mereka semata-mata tetapi apa yang mereka lakukan setelah mendapat kuasa semuanya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan addin Islam itu….rasuah sana rasuah sini… Di atas rasuah di bawah pun rasuah.

Dimanakah nilai dan addin Islam itu berada? Ia berada di Kelantan, Kedah, P Pinang dan Selangor, kerajaan pimpinan TS Khalid Ibrahim. Di Pulau Pinang rasuah terlalu minima. Begitu juga di Selangor. Di Selangor pimpinan TS Khalid Ibrahim pasti tidak akan ada rasuah seperti rasuah PKFZ yang mencecah angka sehingga RM12 billion. Itu baru satu projek. Banyak lagi contoh-contoh jika kita mahu buktikan. Agama sentiasa dilacurkan dan diabaikan.

Tetapi UMNO kini menyampah pula bila pihak lain berjaya mengaddinkan Islam itu kerana mereka hanya mengaku sebagai parti dan pejuang Islam selama ini tetapi tidak berjaya hendak menjadikan Islam itu sebagi addin. Malahan cara UMNO dan penyokongnya memilih untuk menghina orang lain, mencarut dengan kata-kata kotor yang layaknya untuk orang kafir sahaja. UMNO yang mengakui sebagai Islam juga perlu memahami yang rasuah itu adalah kerja kafir kerana ia bertentangan dengan Islam.

Apa-apa kejayaan yang terbukti mampu dilakukan oleh kerajaan PR dinafikan. Pemimpin-pemimpin dan penyokong tegar UMNO selalunya tidak akan dapat mematahkan debatan pihak alternatif, justru mereka memilih untuk mencarut dan mereka menunjukkan kekosongan didalam benak mereka.

Akhirnya wajar kita semua memikirkan siapa kita disisi Tuhan dan agama. Jangan senang-senang menuduh orang lain menjual Islam dan bangsanya. Buatlah ‘instrospeksi’ terhadap diri masing-masing sebelum mengkafirkan orang lain.

Bertawajjuh lah kepada Rasul dan bertawassul lah kepada Allah secara intensif. Insyallah Tuhan tetap bersama kita. Tuhan akan tetap bersama sesiapa yang zuhud, tidak kira seseorang itu menjadi ahli parti Liberal Democrat Britain, ahli parti Demokrat Amerika Syarikat , atau ahli DAP Malaysia dan parti KIMMA Malaysia.

Dosa yang tidak terampun ialah mendua dan mensyirikan Tuhan. Itulah sebabnya saya tenang sahaja apabila meninggalkan UMNO dan menyertai DAP kerana yang saya tinggalkan itu adalah parti politik yang hampir usang, bukannya meninggalkan Tuhan.

Tak tahu pula saya meninggalkan UMNO satu tindakan syirik. Setahu saya ia bukannya tindakan syirik tetapi tindakan yang dituntut.

Semua yang Mahathir lakukan adalah 'constructive'. Semua yang orang lakukan itu 'destructive'

Dr Mahathir semalam berkata demonstrasi jalanan itu adalah ‘destructive’ kepada negara. Isu demonstrasi sememangnya isu yang tidak boleh diterima oleh Dr Mahathir sejak dulu sehinggalah sekarang. Demonstrasi jalanan hanya dibolehkan semasa para mahasiswa melakukannya untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970 dahulu sahaja. Bagi beliau demonstrasi semasa itu perlu kerana demonstrasi itu adalah untuk menjatuhkan Tunku yang beliau benci.

Penunjuk perasaan kumpulan India Muslim Pulau Pinang yang mengaku sebagai orang kuat UMNO itu perlu kerana ianya diadakan kerana hendak menjatuhkan kerajaan P Pinang tadbiran Lim Guan Eng. Pada Dr Mahathir penunjuk perasaan itu tidak merosakkan malahan amat perlu diadakan sehinggakan usaha untuk menghantar sebiji kek yang berbentuk tahi itu pun direlakan oleh UMNO. Semuanya boleh…mengikut slogan Malaysia Boleh!

Slogan Malaysia Boleh itu membolehkan sesiapa melakukan apa-apa. Yang tidak boleh hanyalah melawan Presiden UMNO dan menentang UMNO yang kian hari kian korup dan tidak boleh diberi muka lagi. Menghalang pemimpin kita dari melakukan rasuah itu tidak termasuk dalam slogan Malaysia Boleh kerana rasuah itu merupakan satu perkara atau kegiatan yang dibolehkan oleh UMNO dan BN.

Dr Mahathir berkata negara kita bukan Syria. Benar, negara kita bukan Syria tetapi kita hanya hendak duduk di Dataran Merdeka menunjukkan perasaan rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara pilihanraya diadakan. Tujuan rakyat berdemonstrasi secara aman itu ialah untuk mengelakan apa yang berlaku di Syria itu berlaku disini. Berdemonstrasi untuk menuntut kebaikan itu salah kepada Dr Mahathir walaupun dengan hanya duduk dengan tertib di Dataran Merdeka.

Menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak pemimpin tidak ‘destructive’, tetapi duduk menunjuk perasaan itu membawa kerosakan. Kerugian BNM kerana terlibat dengan pertukaran wang asing yang melibatkan rm30 billion itu tidak ‘destructive’ tetapi duduk secara aman menuntut yang rakyat itu ‘destructive’

Membunuh badan siasah yang memperjuangkan bangsa Melayu pada tahun 1988 dahulu itu tidak ‘destructive’ tetapi menuntut sistem pilihanraya yang adil dan saksama itu salah dan merosakkan negara. Beliau keluar dari UMNO apabila Pak Lah tidak membenarkan beliau menjadi ‘parallel Prime Minister’. Itu tidak ‘destructive’.kerana beliau yang melakukannya.

Menghancur sistem perundangan dan kehakiman yang beliau lakukan dahulu tidak ‘destructive’. Duduk berkumpul beramai-ramai di Dataran Merdeka itu ‘destructive’. Banyak lagi yang dilakukan oleh Dr mahathir tidak ‘destructive’. Semua yang dilakukan oleh pihak lain itu semuanya ‘destructive’.

Kalau kita hendak dilabelkan sebagai orang dan kumpulan yang ‘constructive’ kita mesti jadi burung balam…mengangguk…mengangguk dan mengangguk sahaja apa yang dilakukan oleh UMNO dan pemimpin besarnya seperti Dr Mahathir Mohammad.

Apabila rakyat sudah menjadi burung balam, barulah dinamakan rakyat yang bersatu…bersatu merelakan segala keburukan yang mereka lakukan terhadap negara. Apabila negara hancur itu salah pembangkang. UMNO tidak juga salah.

09 April 2012

Jalan ke syurga penuh dengan onak dan duri, jalan ke neraka penuh dengan keju dan roti

Rakyat khususnya orang Melayu sudah sampai masanya untuk berfikir jauh diluar kotak. Sampai masanya rakyat memilih untuk memulakan pembetulan dengan merubah keadaan negara dari mula. ‘We have to start anew’. Cara berfikir yang usang patut dibuang kerana kita orang Melayu yang sudah kononnya dibela oleh parti Melayu, UMNO selama 54 tahun tidak berdaya untuk membantu bangsanya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain walaupun perlembagaan telah memperuntukkan keistimewaan untuk orang Melayu.

Jika selama 54 tahun UMNO gagal menaikkan taraf ‘competitiveness’ orang Melayu, apa pula alasan pimpinan kita untuk meminta orang Melayu untuk terus menyokong UMNO dalam pilihanraya yang akan tiba ini. Peluang untuk mendapat hasil yang sama juga adalah besar…..walhasil balik asal.. Kalau kita berikan mandat lagi kepada UMNO keadaan Melayu akan lebih teruk lagi. Yang pasti akan berterusan dan berkesinambungan ialah bertambahnya gejala rasuah dan menyalahgunakan kuasa akan bertambah besar lagi.

Kita tidak boleh lagi memberikan harapan kepada UMNO kerana jika selama lebih 5 dekad parti itu telah gagal masakan kali ini dengan kepimpinan yang lebih tidak senonoh ini akan memperbaiki keadaan orang Melayu. UMNO dan kegagalan adalah dua perkataan yang sinonim. UMNO itu kegagalan, kegagalan itu adalah UMNO. Jangan malu-malu untuk mengakuinya.

Lagi satu ‘attribute’ UMNO itu ialah ia sinonim dengan rasuah. Saya selalu berkata ‘UMNO dan rasuah itu adalah ibarat aur dengan tebing…saling menyandar diantara satu dengan lain. UMNO tidak boleh hidup tanpa rasuah dan rasuah tidak akan berkembang tanpa UMNO’. Maka UMNO, kegagalan dan rasuah itu adalah ‘attribute’ penting sebagai cara pengenalan parti itu. Masakan parti ini boleh diyakini setelah membuktikan kegagalan setelah mendapat mandat selama 54 tahun.

Saya agak ramai kenalan dikalangan OKU-OKU (orang kuat UMNO) kerana kehadiran saya dalam UMNO itu mencecah 4 dekad lamanya. Hanya saya tidak begitu bergaul dengan pemimpin-pemimpin besar kerana saya ini tidak sama dengan ‘wave length' mereka, tetapi saya tidak putus-putus berhubung dan dihubungi ramai pemimpin-pemimpin kecil-kecilan parti ini.

Mereka juga bersetuju yang UMNO itu sudah hilang segala plot untuk mentadbir sebuah negara demokrasi seperti negara kita. Mereka bukan tidak mahu berubah tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak berubah. Setakat ini mereka hanya tahu untuk mendapat undi dan mentadbir, tetapi apa yang hendak ditadbir atau apa yang perlu dilakukan untuk mengisi keperluan negara ini mereka sudah tidak berdaya lagi. Kerana apa mereka jadi begini? Jawapannya ialah kerana mereka tidak dapat menanggalkan budaya memikirkan kehidupan mereka secara peribadi.

Jika pemimpin tidak dapat memberikan tumpuan terhadap fungsi siasah mereka, maka tidak mungkin mereka dapat menggubal dasar-dasar baru untuk kepentingan negara. Mereka menjadi lesu kerana mereka enggan dan tidak berani berfikir diluar kotak. Rakyat sudah berfikir dalam ruang lingkup yang luas tetapi UMNO masih lagi tidak berubah dan pemikiran UMNO tidak berkembang mengikut perkembangan masa dan waktunya. Itulah sebabnya UMNO dan penyokong tegarnya sentiasa menyalahkan orang lain apabila rakyat mempersoalkan mereka disisi siasah negara kita ini. UMNO tidak pernah menyalahkan diri sendiri.

Perbuatan UMNO selalu membuatkan orang marah, tetapi bila orang marah mereka melakukan berbagai fitnah melalui media massa yang diketuai oleh Utusan dan TV3. Mereka tidak memahami kenapa orang ramai marah tetapi bertindak untuk melakukan tekanan terhadap mereka yang mengkritik mereka.

Kalau begitu keadaannya, apakah lagi alasan untuk mempertahankan parti ini? Isu yang kita semua dengar setiap hari ialah isu mengenang budi dan membalas budi, satu isu yang sudah luntur kerana itulah isu yang diperbesarkan sejak negara merdeka dahulu. UMNO mahukan orang ramai membalas budi dengan menyokong mereka melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Bagi UMNO mereka mesti disokong walaupun melakukan berbagai-bagai kemungkaran politik dan ekonomi terhadap rakyat dan negaranya. Rupa-rupanya UMNO mengharapkan rakyat memberikan sokongan walaupun mereka tidak lagi memperjuangakan bangsanya lagi……semata-mata kerana budi lama.

Yang kita tahu yang berbudi itu ialah UMNO yang telah dibunuh oleh Dr Mahathir dahulu. UMNO lama dahulu ditubuhkan diatas premis kesatuan dan penyatuan rakyat, sebaliknya UMNO yang baru ini diwujudkan diatas perpecahan orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO itu.

Oleh kerana pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak mengubah partinya kita meminta semua orang Melayu melakukan perubahan ini. Kita boleh melakukannya. Dalam pilihanraya 2008 dahulu jumlah pengundi Melayu adalah 5.5 juta dan dari jumlah ini hanya 2 juta sahaja orang melayu memberikan undi kepada calon-calon Melayu, lebih dari 3 juta Melayu telah menolak UMNO tanpa segan silu.

DAN dari jumlah itu 1.5 juta ahli UMNO telah memilih untuk mengundi parti-parti alternatif. Asas untuk memberikan waktu berihat kepada UMNO memang sudah ada dengan jumlah ahlinya yang ramai yang telah mengundi pembangkang. Tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh lakukan sekali lagi bagi memberikan impak besar terhadap kumpulan perasuah tegar ini.

Selamatkan harta benda rakyat yang masih terbaki sedikit sebanyak itu. Mereka yang telah menyapu bersih harta rakyat itu tidak akan bertanggungjawab kepada tindakan mereka. Yang akan sengsara adalah generasi kita yang akan datang. Menyelamatkan generasi kita merupakan fardhu kifayah besar dan itu adalah tuntutan agama kita juga.

Tetapi kita harus menerima hakikat yang usaha untuk melakukan kebaikkan merupakan satu usaha yang perlu melalui kepayahan. Kata seorang ulamak yang muktabar, 'jalan ke syurga itu berliku-liku dan penuh ranjau dan onak dan jalan ke neraka itu pula penuh dengan roti dan keju yang teramat enak rasanya'.

Kepada semua yang insaf, marilah kita berjuang walaupun terpaksa melalui segala onak dan duri itu, kerana penghujung perjuangan itu adalah adalah kebahgiaan kepada rakyat dan negara.

08 April 2012

"Jangan bersikap sombong dan mungkir janji" kata Najib. Sejuk rasanya hati mendengarnya, tapi.......

"Dua perkara yang terpenting untuk diingati oleh pemimpin, pertamanya jangan bersikap sombong, dan jangan tidak tepati janji", kata PM Najib di Temerloh semalam. Saya dan sesiapa juga bersetuju dengan ungkapan Najib itu, baik kawan dan lawan dalam politik. Kata-kata itu memang satu nasihat dan peringatan yang baik kepada semua. Bak kata anak-anak muda sekarang ‘gua caya lu Najib’.

Tetapi itulah diantara sebab kenapa UMNO dimarahi dan dipersoalkan oleh rakyat. ‘Attribute’ pemimpin UMNO adalah kesombongan mereka serta sikap tidak menepati janji. DAN dalam artikel ini kita boleh tambah lagi apa-apa yang melekat sebagai stigma yang tidak dapat dipisahkan dari parti pemerintah itu. Apa yang dinasihati Najib itu, itu lah yang ada kepada UMNO.

UMNO begitu sombong kepada rakyat dengan mengugut rakyat supaya jangan tinggalkan UMNO kerana jika UMNO ditinggalkan, mereka tidak akan dapat menentukan nasib yang baik untuk rakyat yang ramai. Hanya UMNO sahaja yang boleh mempastikan kehidupan yang baik untuk rakyat dan ‘there is no life without UMNO’. Kepercayaan yang segala-galanya adalah dari Tuhan Semesta Alam tidak dipakai lagi. Mereka telah cuba mengalihkan keyakinan ramai yang, ‘there is life without UMNO’.dan ‘there is life after UMNO’.

Justru, sikap UMNO yang cuba mengambilalih kerja Tuhan itulah yang menyebabkan rakyat bertambah jemu terutamanya kepada mereka yang berfikir dan diselarikan dengan keimanan didalam diri mereka. UMNO hanyalah sebuah parti yang dipergunakan akhir-akhir ini (sejak 3 dekad yang lalu) hanya untuk membina kesombongan dan ke egoan pemimpin-pemimpin yang menerajui parti itu.

Janji-janjinya untuk membela bangsanya tidak pernah diberikan tumpuan. Jika benar UMNO menunaikan janji-janjinya, kenapa Melayu masih berada ditahap ini walaupun UMNO telah menerajui kepimpinan negara sejak merdeka sehinggalah ke hari ini? Janji-janji untuk membela bangsanya semakin menghampakan apabila hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra itu hanya diambil kesempatan oleh hanya segelintiran Melayu yang istimewa sahaja. Mereka tidak membela bumi-putra dan mereka hanya memberikan pembelaan kepada putra-putra semata-mata.

Yang ‘bumi’ tidak dapat pembelaan dan apabila bumi yang rata-rata masih miskin ini diambil kesempatan diatas kesusahan mereka dengan membeli sokongan dengan harga RM500 sahaja sekali dalam 5 tahun. Maka beraturlah ribuan ‘bumi’ yang fakir dan lapar untuk menerima RM500 dari pemimpin-pemimpin UMNO.dan pemberian sebanyak itu dipaparkan kepada dunia melaluii media massa perdana untuk menunjukkan yang rakyat mereka boleh dijadikan sebagai peminta sedekah dimata masyarakat sehingga keperingkat antarabangsa.

Segala daging batang pinangnya dibolot oleh ‘putra-putra’ mereka sahaja. ‘Putra-putra’ ini adalah dari keluarga pemimpin sahaja. Lepas bapa pindah pula kuasa kepada putra-putra mereka. Nasihat Najib dan pimpinan yang lain di Temerloh itu sepatutnya di arahkan kepada mereka sendiri. Pemimpin sepatutnya membela Bumi-putra, bukannya hanya membela putra-putra semata-mata. Jangan ditinggalkan ‘Bumi-bumi’ melata ditepian masyarakat yang dikuasai oleh ‘putra-putra’ sahaja. Kerajaan dan pimpinan mesti membela Bumi-bumi bersama dengan putra-putra yang sudah kaya raya melalui jalan halal dan haram itu.

TETAPI, benarkah rakyat hanya marah terhadap pemimpin yang sombong dan mungkir janji sahaja? Tidak kah pemimpin-pemimpin yang berkuasa hari ini tidak diyakini oleh rakyat kerana banyak isu lain? Isu yang utama yang berhadapan dengan pimpinan UMNO dan BN hari ini ialah isu rasuah yang berada dalam lingkungan RM ratusan billion dan sekarang sudah ada bukti yang angka itu sudah mencecah sehingga RM.1.3 trillion sejak sepuluh tahun lalu?

Rakyat marah-marah kerana rasuah yang berlaku disetiap peringkat pentadbiran, dari peringkat Persekutuan sehingga keperingkat Daerah dan berlaku diseluruh Negara. Di peringkat daerah para pentadbir berlumba-lumba dengan rakyat biasa untuk merebut peluang kehidupan melalui jalan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang dan moral. Pegawai-pegawai diperingkat daerah ramai yang mendaftarkan syarikat diatas nama anak atau isteri untuk merebut peluang yang sepatutnya untuk rakyat yang mereka tadbir.

Siapa diantara pemimpin yang memantau keadaan ini? Jawapannya tidak ada. Gejala rasuah ini telah diabaikan sejak sekian lama dan sampai ketahap rakyat sudah tidak lagi dapat menerimanya. Sekarang ini gejala rasuah yang sangat mengerikan ini sudah tidak dapat dikawal lagi kerana hampir semua yang berada dalam kuasa hari ini terlibat secara ‘direct’ atau ‘indirect’ dalam kegiatan hina ini.

Budaya ini telah menjalar ke segenap lapisan kepimpinan sehinggakan ramai diantara mereka menjawab kritikan seperti yang kita buat terhadap mereka dengan berkata, “kalau kau berkuasa pun kau akan belasah juga”. Mereka menyamakan sikap kita dengan sikap mereka kerana mereka sudah percaya yang rasuah besar itu adalah budaya kepimpinan hari ini.

Bagi kumpulan ini rasuah itu adalah kemestian bagi sesiapa yang memerintah kerana semasa mereka yang sudah mula berfikir dalam kehidupan sudah melihat rasuah ini dihadapan mata mereka sendiri. Tetapi mereka tidak sedar yang negeri-negeri kepimpinan PR telah membuktikan yang rasuah itu boleh ditangani.

Di Pulau Pinang contohnya kontraktor tidak payah menggunakan ‘cable’ politik untuk mendapatkan kerja kontrak. Kontraktor-kontraktor hanya memerlukan ‘internet cable’ sahaja kerana semua sebutharga dilakukan ‘on-line’. Dengan cara ini kos sesuatu kontrak itu akan menjadi rendah kerana elemen kos pembayaran komisyen sudah tidak ada dalam didalam sebutharga mereka itu.

Tidak ada kronisma dan tidak ada rasuah dan kepada sesiapa yang tidak mempunyai 'connection' politik pun boleh bersama-sama berpeluang mendapatkan kerja-kerja yang sebelum ini hanya diperolehi oleh sekumpulan kecil orang-orang istimewa sahaja. Bagi kerajaan P Pinang dan Selangor serta kerajaan PR yang lain, semua rakyat itu adalah istimewa belaka.

Dengan acara itu tidak akan adalah situasi dalam mana kos yang diperuntukkan untuk membeli peralatan senjata yang bernilai RM5 billion dinaikkan kapada RM9 billion kerana hendak memasukkan elemen komisyen kepada mereka yang berkuasa didalam pembelian peralatan senjata dan perang negara kita.

Bayangkan jika BN tidak lagi berkuasa maka peluang untuk membenteras jenis rasuah yang begitu sistematik yang dilakukan oleh pemimpin hari ini akan dihapuskan. Wang yang digunakan untuk rasuah sekarang ini, sebaliknya akan dapat digunakan oleh PR untuk kesejahteraan rakyat. Jumlahnya bukannya kecil...tetapi berbillion-billion ringgit.