Issue Felda dan FGV sudah berlarutan begitu lama. Hanya
ianya tidak begitu dihebohkan sebelum ini kerana negara sedang berhadapan
dengan isu-isu yang terlalu besar di bawah pentadbiran sekarang ini sehinggakan
isu yang begitu besar pun ditutupi dengan isu-isu yang lebih besar yang tidak
pernah dijangka berlaku di negara kita ini.
Isu 1MDB tidak akan surut kerana ianya merupakan satu isu
yang begitu jelas sebagai isu penyalahgunaan kuasa dan korupsi yang tidak
terperi besarnya. Belum pun isu 1MDB, SRC dan isu-isu besar seperti GST dan
yang lain-lain yang melibatkan tanggungan hidup seharian rakyat isu Felda
kembali timbul. Kali ini isu Felda ini sudah menjadi besar yang boleh
mempengaruhi kredibiliti pimpinan negara yang sudah sedia tercemar dengan
begitu buruknya sekarang ini.
Kali ini isu FGV dengan pergeseran
di antara Presiden syarikat FGV dengan pengerusi Lembaga Jemaah pengarahnya TS Isa
Abdul Samad. Merata-rata kedengaran berbagai pihak mendesak supaya Isa
meletakkan jawatan termasuk desakan dari generasi kedua Felda yang secara terbuka
mahukan Isa bersara daripada memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah
syarikat gergasi yang disalahurus oleh elemen-elemen yang menjengkelkan yang
ternyata tidak boleh dilindungi lagi.
Bagi pandangan orang seperti saya
Isa sememangnya patut secara sukarela bersara kerana ia melibatkan kredibiliti
Lembaga Pengarah dan pengurusan syarikat itu. Sebagai sebuah syarikat yang
tersenarai dalam pasaran Saham Kuala Lumpur FGV perlu menjaga kredibilityinya
sebagai sebuah syarikat awam bagi menjaga kepentingan pemegang-pemegang sahamnya
termasuk pemegang-pemegang saham minoritinya.
Setakat ini belum lagi terdengar
Bursa Saham bertindak untuk mengendalikan kekusutan syarikat dalam kawalannya.
Sepatutnya Bursa Saham Kuala Lumpur menggantung perdagangan sahamnya di BSKL buat
seketika sehingga isu ini selesai. Isa pula sepatutnya berundur sebagai
Pengerusi Lembaga Jemaah Pengarah FGV kerana ia melibatkan intergriti syarikat
terbesar ini. Kita bukan menuduh siapa yang bersalah dan yang benar tetapi
itulah amalan etika bagi mereka yang menguruskan syarikat awam yang tersenarai
di Pasaran Saham di mana-mana sekali pun di dunia ini. Dalam hal ini Pengerusi
dan Ahli Lembaga Pengarah FGV tidak boleh dikecualikan dari mengamalkan etika
yang diguna pakai oleh mana-mana syarikat awam.
Jika pengurusan di bawah kelolaan
Presiden syarikat ini yang bersalah ia merupakan tanggungjawab Pengerusi
Lembaga Pengarah untuk mengambil ‘accountability’nya. Presiden pengurusannya
sepatutnya mengambil ‘responsibility’nya dan Pengerusi Lembaga Pengarahnya mengambil
‘accountability’nya.
Isa tidak boleh berdiam diri
dengan desakan untuk beliau berundur dengan bertempek yang beliau tidak bersalah.
Ini bukan masalah salah benar tetapi masalah etika dan intergriti sesebuah
syarikat awam yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Isa mesti faham
yang beliau bukannya pengerusi syarikat kilang padi di kampungnya atau pun
syarikat peribadi beliau.
Dalam pada itu BSKL sepatutnya
mengambil tindakan pantas dengan menggantung perdagangan sahamnya di BSKL buat
sementara ini. Isu FGV ini terlalu besar dan ramai juga yang kehairanan kenapa
sahamnya masih didagangkan di Bursa Saham terus-menerus sedangkan syarikat
sedang berhadapan dengan isu kredibiliti yang amat serius.
Secara 'parallel'nya rakyat dan pemegang saham terdengar rungutan tentang kerugian besar FGV ini yang mencecah hampir RM13 billion ini dan heboh diperkatakan yang Isa sebagai Pengerusinya telah mengambil tempat seolah-olah beliau sebagai orang yang telah mengambil keputusan-keputusan yang kurang baik dan memaksa pengurusan untuk melakukan tindakan-tindakan yang tidak betul sehinggakan berlaku pergeseran antara beliau dengan pengurusan.
Oleh kerana isu ini sudah sampai
ke tahap yang meruncing maka adalah wajar bagi Isa menunjukkan sikap beretikanya
dengan berundur dan mengambil ‘accountability’ tadi secara jujur dan terbuka.
Itulah sepatutnya amalan yang beliau patut ada dalam menguruskan sebuah syarikat
awam. Mempengerusikan lembaga pengarah syarikat awam berbeza dengan cara
menguruskan jawatan politik seperti jawatan Menteri Besar atau Menteri yang
pernah beliau pegang dahulu.
Walaubagaimanapun yang penting
sekarang ini, Bursa Saham Kuala Lumpur wajar menggantung perdagangan saham FGV
serta merta bagi menjaga kepentingan pemegang sahamnya terutamanya bagi
pemegang-pemegang saham minoritinya.