Dr Mahathir meminta supaya rakyat jangan percaya kepada janji-janji pembangkang khususnya terhadap Anwar
Ibrahim, Ketua Pembangkang. Pandangan itu adalah pandangan beliau dan beliau
berhak untuk memberikan pandangan terhadap sesiapa seperti juga saya mempunyai
pandangan yang sama terhadap beliau (Dr Mahathir). Ini negara demokrasi dan
sesiapa pun boleh dipercayai atau sebaliknya oleh sesiapa juga.
Dr Mahathir sememangnya tidak mahu langsung sesiapa untuk mempercayai Anwar, seteru politik
terbesar beliau. Mahathir mahukan semua orang bersama-sama memusuhi musuh
beliau. Tidak mungkin Dr Mahathir mempunyai pandangan yang baik terhadap Anwar.
Kalau Dr Mahathir bercakap perkara baik tentang Anwar itu merupakan tanda-tanda
yang jelas yang dunia ini akan kiamat tidak lama lagi.
Tetapi banyak pihak lain yang
tidak percaya terhadap Dr Mahathir. Mereka tidak percaya terhadap Dr Mahathir
pun bukannya tidak bersebab. Malahan salah satu daripada sebab kenapa UMNO secara
deras ditinggalkan oleh orang Melayu adalah kerana Dr Mahathir. Orang Melayu
tidak meninggalkan UMNO tanpa sebab. Tidak munasabah UMNO yang begitu lama
berkuasa dengan tiba-tiba ditinggalkan rakyat begitu sahaja. ‘There must be a
cause for a cause’.. kata seorang sahabat saya.
Hanya ramai pemimpin UMNO tidak mahu
tahu kenapa mereka ditinggalkan oleh orang ramai termasuk ahli-ahlinya sendiri.
Mereka (UMNO) masih percaya yang mereka itu masih dikagumi rakyat dan tidak
hairan mereka seperti orang tuli tidak mendengar rintihan rakyat ramai. Sebaliknya
mereka (UMNO) menyalahkan orang lain pula kerana parti itu sekarang mempunyai
sokongan yang rapuh dari rakyat.
Keyakinan terhadap Pakatan
Rakyat, itu merupakan manifestasi rakyat untuk melihat perubahan dan tidak ada
sesiapa yang boleh mempengaruhi sesiapa untuk tidak menyakini pimpinan di sebelah
Pakatan Rakyat itu. Pakatan Rakyat belum mendapat mandat lagi untuk mentadbir Putrajaya
tetapi jika mereka (PR) mendapat mandat rakyat barulah kita tahu samada
janji-janji yang termaktub di dalam manifesto mereka (PR) akan terlaksana atau
tidak.
Tetapi ada bukti-bukti awal yang
kita lihat yang PR mempunyai kredibiliti yang tinggi sebagai pemegang amanah
jika kita jadikan kerajaan-kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sebagai
ukurannya. Maka untuk mencari dan membina keyakinan terhadap Pakatan Rakyat
jika mendapat kuasa untuk mentadbir Putrajaya tidaklah sesusah dahulu.
Oleh itu tidak ada hak sesiapa
untuk menyeru supaya tidak mempercayai Pakatan Rakyat selagi belum diberikan
kuasa mentadbir Putrajaya itu. Belum ada bukti lagi yang PR tidak mampu untuk
menunaikan janji-janjinya kerana belum diberikan peluang untuk mentadbir
Putrajaya.
Di sebaliknya BNlah yang telah
menunjukkan bukti yang janji-janji mereka masih banyak belum tertunai sehingga
hari ini walaupun telah memerintah negara sejak merdeka. BN telah gagal sama sekali
untuk membina sebuah negara yang mana rakyatnya bersatu padu malahan UMNO
menggunakan tektik memecah-belahkan rakyat dengan memainkan sentimen agama dan
bangsa sebagai senjata untuk terus berkuasa. UMNO hanya boleh berkuasa jika
rakyat berpecah-belah.
UMNO khususnya masih belum
berjaya untuk meningkatkan penyertaan orang Melayu dalam bidang industri
sekurang-kurangnya 30% dari kekayaan negara seperti yang terkandung
di dalam DEB dan dasar ini pun sudah tamat sejak 22 tahun yang lalu.
Keistimewaan untuk bumiputra dikuasai oleh segelintiran kroni-kroni pimpinan
UMNO dan orang Melayu biasa tidak mendapat faedah dari DEB itu.
Apa yang sepatutnya dirasai oleh
Bumiputra yang ramai itu semuanya dibolot oleh segelintiran yang rapat dengan
mereka yang berkuasa. Rakyat telah lama bersabar dan telah pun memberikan
banyak peluang untuk UMNO memperbaiki keadaan di atas nama kesinambungan kuasa
dan berbagai-bagai lagi alasan. Tetapi UMNO mengambil kesabaran rakyat itu
sebagai kelemahan dan boleh diperkotak-katikkan mengikut kehendak nafsu dan
syahwat mereka sahaja.
‘Maintenance’ untuk mengekalkan
UMNO dan kepimpinannya amat tinggi. Apabila parti itu kehilangan banyak
sokongan maka pimpinannya terpaksa melakukan tindakan-tindakan yang sangat
mahal harganya dan semua kos penyelenggaraan UMNO itu ditanggung oleh rakyat
jelata. Program ‘walkabout’ Najib di seluruh negara melibatkan perbelanjaan
beratus juta ringgit dan semua perbelanjaan itu adalah tanggungan rakyat
belaka.
Tidak usah kita ulangi apakah dia
yang saya katakan sebagai kos penyelenggaraan yang tinggi itu kerana isu itu disebut dan ditulis acap kali oleh banyak pihak. Tetapi UMNO banyak isu lain
yang kita tidak memberikan tumpuan dan isu-isu itu memang selayaknya menjadi
sebab untuk rakyat menolak parti itu dalam pilihanraya yang akan datang ini.
Kita tidak boleh terpengaruh
dengan ajakan Dr Mahathir untuk tidak menyokong Pakatan Rakyat itu kerana
Mahathir berkata-kata seperti itu hanyalah untuk menyelamatkan diri beliau
sendiri. Mahathir mahukan kita bermusuh dengan semua musuh beliau. Apa yang
ditakuti oleh Dr Mahathir jika Pakatan memerintah, ialah beliau (Mahathir)
tidak boleh hidup dalam sebuah negara dan kerajaan yang bersistem. Beliau telah
memerintah selama 22 tahun dengan sistem beliau sendiri dan tidak memberikan
kepada sistem-sistem yang lazim kita lihat dalam mana-mana negara demokrasi
tulen.
Jika kita pulihkan sistem yang
betul dan lazim bagi sebuah negara demokrasi, maka Dr Mahathir akan dipintas
oleh sistem itu dan sistem itu tidak akan membolehkan Dr Mahathir hidup dengan
senang hati. Jika benar Dr Mahathir sebagai seorang yang telus dalam
pentadbirannya beliau tidak perlu takut dengan sistem pentadbiran yang baik.
Dalam keadaan sekarang, Dr
Mahathir tidak boleh berdiam diri dan beliau sudah tidak mampu untuk bertahan
sebagai seorang negarawan seperti yang diperbesarkan oleh penyokong-penyokong
tegar beliau. Beliau terpaksa terus berpolitik dan kita tidak nampak bagaimana
beliau boleh berhenti berpolitik. Beliau tidak ada lagi masa untuk hidup
sebagai seorang negarawan. Malahan inilah yang Dr Mahathir tidak akan mampu
mencapainya tahap sebagai seorang negarawan sepanjang hayat beliau.
Setakat ini beliau (Mahathir)
masih lagi seperti seorang pegawai penerangan untuk UMNO yang sudah luntur
sokongan hari demi hari ini. Kita tidak pernah terlintas dalam pemikiran kita
yang pada suatu hari kita akan terjumpa seorang pemimpin yang memerintah negara
begitu lama akhirnya tidak dapat berhenti daripada bermain politik peribadi
sepanjang hayatnya seperti Dr Mahathir ini.
Walaupun beliau sudah bersara
dari jawatan PM beliau masih lagi berpolitik, seolah-olah ada agenda dan hajat
beliau yang masih belum tercapai. Hanya beliau sahaja yang tahu, walaupun orang
ramai boleh mengagak sebab-sebab beliau jadi begitu.