Apa yang dikatakan oleh Dr
Mahathir yang UMNO itu sudah terbalik semakin nampak kebenarannya. Kita lihat
sahaja telatah Presidennya dalam Perhimpunan Agung yang baru selesai petang
semalam. Beliau menuduh Dr Mahathir telah memecah-belahkan UMNO sedangkan isu
yang berbangkit adalah isu yang beliau lakukan sendiri. Persoalan tidak satu
pun dijawab tetapi beliau mengakui dirinya di pihak yang benar.
Beliau tidak berani menyaman WSJ
kerana berita tentang skandal 1MDB dan yang berkaitan. Tidak terasa malu pula
apabila tidak berani untuk menyaman New York Times atau Sarawak Report yang
melaporkan semua tindakan Najib yang tidak betul pada pandangan akhbar
tersebut. Tuduhan tidak berjawab tetapi yang bersalah Dr Mahathir pula.
Kenapa tidak berani menyaman akhbar-akhbar tersebut jika beliau berada di pihak
yang benar dan kenapa menyalahkan Dr Mahathir pula. Dr Mahathir bukan
keseorangan, malahan jutaan rakyat Malaysia menunggu-nunggu bila Najib akan
bersara.
Hishammudin berkata Muhyiddin
sepatutnya meminta maaf kerana menyentuh isu 1MDB. Yang belum menunjukkan dan
membuktikan ia tidak bersalah ialah Najib sendiri. Selagi tiada jawapan dari
Najib tentang isu 1MDB dan derma politik sebanyak RM2.6 billion itu, Najib
tetap tidak dapat lari dari persepsi buruk yang beliau menerima wang sebanyak
itu secara haram dan sekali gus tidak melayakkan beliau secara etikanya menjadi
pemimpin negara.
Sebuah negara berdaulat tidak
boleh dipimpin oleh pemimpin yang telah terjejas imejnya di mata masyarakat
dunia. Pendeknya, yang melakukan kesalahan meminta yang menegur untuk memohon maaf
pula. UMNO sudah terbalik. Yang salah dikatakan benar, dan yang menegur dan
tidak terlibat dengan isu kesalahan itu diminta memohon maaf pula atas sebab
memecah-belahkan parti. Yang menyebabkan isu ini menjadi besar ialah kerana
Najib mahu beliau terlepas tanpa diambil tindakan di atas segala kesalahan
beliau. Maka diterbalikkan isu dengan meminta Muhyiddin memohon maaf pula.
Sesungguhnya ketakutan Najib
kepada rakyat sudah jelas dengan cara beliau mengupas isu yang besar terhadap
beliau. Beliau seorang yang besar dan beliau takut kepada orang ramai kerana
beliau tahu apa kesalahan beliau. Najib ibarat Gajah. Gajah adalah haiwan yang
sangat besar, belalainya pun besar dan panjang tetapi ia takut dengan semut.
Najib bertindak menggertak mereka
yang tidak bersalah. Najib mahu bertindak terhadap mereka yang sayangkan parti
dan negaranya dan mereka yang tidak dituduh seperti tuduhan yang beliau hadapi.
Najib jelas sudah tertutup hijabnya untuk melihat kebenaran dan beliau sedang
bergelumang dengan elemen racun hidup yang berbisa ia itu ‘Greed. Anger. And
Foolishness’. Najib sudah hanyut dalam ketidak-jujurannya dan juak-juaknya
sedang melakukan apa sahaja untuk menegakkan benang basah Najib.
Apa pun selagi beliau tidak
menjawab dengan jelas tentang isu 1MDB, lebih-lebih lagi tenat isu RM2.6
biilion itu, Najib tidak terlepas dari menghadapi hukuman rakyat kali ini. Najib
boleh pilih untuk terjun seorang diri atau membawa UMNO itu terjun bersamanya ke lembah
yang sangat dalam itu.