28 February 2013

Najib tidak henti-henti berwirid

Dalam masa akhir-akhir ini UMNO telah mengulang-ulangi dakyah yang pembangkang tidak akan berjaya menunaikan janji-janjinya terhadap rakyat. Beliau bercakap perkara yang sama seperti seorang yang asyik berwirid dengan wirid yang sama siang dan malam. Muhyiddin pun sama wiridnya dengan Najib. Mungkin kedua-duanya mempunyai guru yang sama dan agaknya guru mereka ini tentu lah Dr Mahathir.

Setiap kali Najib dan pimpinan UMNO bercakap mereka menekankan yang Pakatan Rakyat hanya pandai berjanji dan tidak akan mampu melaksanakannya. Pimpinan UMNO terutamanya Najib sedang mundar mandir memuji diri beliau sendiri. Beliau terpaksa memuji dirinya sendiri kerana rakyat sudah tidak lagi memandang tinggi terhadap parti yang sakit ini.

Sedangkan Tuhan pun tidak memuji dirinya sendiri. Tuhan mentajallikan Muhammad untuk memuji dan mentauhidkanNya.  Sementara Najib pula tidak payah dan tidak perlu rakyat memberikan pujian itu. Beliau boleh puji dan ‘mentauhidkan’ dirinya sendiri. Najib sudah penat menunggu pujian tetapi tidak kunjung juga tiba, maka beliau terpaksa memuji diri dan kebolehan beliau sendiri. Kalau hendak di sebut dalam bahasa dan peribahasa yang mudah ia berbunyi, ‘masuk bakul angkat sendiri’. Begitulah bunyi nya lebih kurang.

Najib memuji dirinya sendiri seolah-olah beliau mampu mengalih dunia ini. Beliau bercakap dan berkempen seolah-olah beliau boleh menentukan nasib bangsa Melayu dan rakyat Malaysia di dunia sampai akhirat. UMNO lah yang boleh menentukan syurga dan neraka bagi orang Melayu dan tidak ada pihak lain yang berkemampuan seperti kemampuan UMNO itu. Nasib semua orang ada ditangan UMNO. Muhyiddin Yassin  pula berkata jika menolak UMNO ia serupalah seperti menolak rezki.

Katanya (Muhyiddin) jika mengundi dan memberi mandat kepada UMNO setidak-tidaknya dapat juga bantuan BRIM. Rupanya yang UMNO gila-gila berkempen siang dan malam ini ialah untuk memperjuangkan BRIM sahaja dan ini lah rupanya Program Transformasi Ekonomi nya itu.

Najib seperti juga Abdullah dan pimpinan yang lain dalam UMNO itu. Mereka ini ‘bergurukan’ Dr Mahathir. Mahathir tidak mahu rakyat bersusah payah untuk berfikir. Hanya Dr Mahathir dan ‘disciple’ beliau dalam UMNO itu sahaja layak untuk berfikir. Orang ramai hanya perlu mengikut sahaja pemikiran dan tindak tanduk beliau. Apabila pucuk pimpinan UMNO berkata yang hanya UMNO sahaja yang boleh menentukan nasib orang Melayu itu dunia dan akhirat maka orang ramai mesti ikut. Tiada yang lain yang perlu di ikut selain dari UMNO.

Rupa-rupanya UMNO juga mempunyai amalam ‘nafi isbat’ nya. Jika orang mukmin mengaku ‘tiada Tuhan selain dari Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah’, UMNO ada amalan dan wiridnya juga, ‘Tiada yang lain yang boleh menjamin masa depan Melayu dan rakyat, selain dari UMNO dan ahli-ahli UMNO yang tidak tahu berfikir itu adalah pesuruhnya’. Itu lah kehendak Najib yang bergurukan Dr Mahathir itu.
 
Begitulah jauhnya tersasar sikap dan perjuangan kepimpinan UMNO hari ini. Tiada parti lain yang pandai selain dari parti UMNO. Tetapi orang Melayu duduk di takuk lama juga. Sampai ke hari ini Melayu tidak mempunyai ‘consequence’ apa-apa dalam bidang pembangunan dan ekonomi nya selain dari mereka yang masuk dalam gulungan kroni-kroninya yang tamak dan haloba itu.

Sesungguhnya pucuk pimpinan UMNO sejak tiga puluh tahun dahulu tidak mahu merasakan denyut jantung dan perasaan rakyat. Rakyat di biarkan terhimpit pemikiran dan perasaan mereka sehinggakan sudah sampai ke tahap mereka (rakyat) tidak lagi sanggup menahan perasaan marah dan tidak puas hati yang tidak nampak usaha untuk memperbaikinya.

Kini rakyat sudah nekad untuk berubah dan akan melakukannya sendiri dengan menggunakan kuasa mutlak mereka sebagai penentu kepada masa depan negara ini. UMNO tidak mampu untuk berubah untuk memperbaiki diri. Justeru UMNO wajar duduk di petak pembangkang barang sepuluh atau lima belas tahun untuk memperbaiki diri dan lakukan ‘introspeksi diri secara intensif’ semasa zaman rihatnya nanti.

Bagi UMNO menjadi pembangkang tidak perlu di tangisi kerana menjadi pembangkang itu bukannya menjadi penjenayah. Malahan jika UMNO itu terus berkuasa parti itu akan mengembangkan budaya jenayah kepada politik dan ekonomi negara tanpa had.

Kita mesti berubah kerana yang akan merasakan bahagia dan celaka nya nanti ialah kita dan generasi kita sendiri.

27 February 2013

Penangguhan Pilihanraya: Alasan Najib tidak munasabah

Lagi lambat pilihanraya diadakan lagi kuat bukti yang penangguhan yang begitu lama itu adalah disebabkan ketakutan UMNO dan BN menghadapi kekalahan. Seperti yang disebut selalu di sini Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang tidak dipilih sampai penghujung penggal pilihanraya. Selalunya mana-mana Perdana Menteri yang baru mengambil alih jawatan itu tidak akan sabar-sabar untuk mengadakan pilihanraya bagi mendapatkan mandat yang terus dari rakyat.

Seorang Perdana Menteri itu mahu tahu sejauh mana sokongan orang ramai dan itulah yang menyebabkan semua Perdana Menteri sebelum Najib telah memanggil pilihanraya sejurus selepas mangambil alih jawatan itu. Ramai orang berkata Abdullah Badawi itu lemah dan tidak ‘effective’ tetapi apa pun orang kata terhadap beliau, Abdullah telah memanggil pilihan raya selepas empat bulan mengambil alih jawatan PM itu dari pemimpin yang boleh berjalan di atas air, iaitu Dr Mahathir Mohammad.

Abdullah telah mendapatkan ‘endorsement’ dari rakyat dan beliau telah mendapat mandat yag begitu besar, iaitu kedua terbesar selepas pilihanraya tahun 1955 dahulu. Dalam pilihanraya 1955 itu hanya seorang wakil Perikatan yang kalah iaitu Sulaiman Palestin di Pulau Pinang Selatan. Tetapi sehebat-hebat Najib seperti yang di war-warkan oleh UMNO pada hari ini, hendak memanggil pilihanraya pun takut dan tidak berani menghadapi risiko politiknya.

Beberapa hari yang lepas Najib memberitahu kita yang beliau sengaja  menangguhkan pilihanraya ini kerana hendak menunggu hasil Program Transformasi Ekonomi (PTE) yang telah beliau lancarkan itu. Kalau begitulah alasan beliau maka pilihanraya mungkin tidak di adakan dalam tempoh empat atu lima tahun lagi kerana apa-apa program kerajaan yang baru itu akan hanya mendatangkan hasil, jika ada, selepas tempoh yang panjang.

Mengikut perlembagaan tempoh tamat penggal ini ialah 28hb April nanti. Tidak mungkin hasil transformasi ekonomi beliau itu akan kita dapati dalam masa sesingkat itu. Alasan itu amat dangkal sekali dan tidak boleh di terima akal walau pun kepada mereka yang buta huruf.  Najib lupa yang seorang insan itu mempunyai mata hati yang amat mudah untuk melihat siapa yang berbohong dan siapa yang di bohongi.

Apa yang diperkatakan Najib itu tidak siapa yang akan mempercayainya. Hanya kepada yang mahukan beliau berbohong sahaja yang akan memberikan anggukkan kepada kenyataan Najib itu. Isu sebenarnya ialah isu ketidak yakinan beliau terhadap sokongan ramai terhadap UMNO itu dan juga masalah yang mungkin beliau hadapi didalam UMNO itu sendiri.

Kemenangan besar adalah wajib bagi Najib perolehi tetapi harapan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana ramai rakyat telah membuat ketetapan di hati masing-masing untuk meninggalkan UMNO dalam pilihanraya ini dengan memberikan undi kepada pihak pembangkang. Saya selalu bercakap dan ramai lagi manusia telah menunjukkan apa yang bakal di hadapi oleh Najib jika beliau tidak dapat memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya nanti. Bagaimana Najib hendak mendapatkan kemenangan besar sedangkan untuk mendapatkan sedikit lagi sokongan untuk mendapat kemenangan kecil pun tidak akan dapat beliau perolehi.

Bagi saya Pakatan Rakyat hanya perlu untuk menjaga dan mengawal keadaan yang sedang memihak kepada mereka. Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan sedikit kesilapan dalam tindakan mereka menghadapi pilihanraya ini. Pakatan perlu ingat yang mempertahankan sokongan rakyat terhadap mereka sekarang lebih payah dari mendapatkannya. Mana-mana parti dalam PR jangan sekali melakukan kesilapan. Pakatan tidak boleh melakukan kesilapan yang di sengajakan atau pun kesilapan yang tidak di sengajakan.

Alasan Najib yang mengatakan penangguhan pilihanraya ini di sebabkan untuk menunggu hasil PTE beliau itu adalah bukti kukuh yang Najib tidak berkeyakinan untuk memenangkan BN dalam pilihanraya ini. Najib sedang berperang untuk mempertahankan kewibawaan palsu beliau di mata rakyat. PI Balasubramaniam telah kembali untuk membantu apa yang sedang dilakukan oleh Deepak dan lain-lain yang menuduh Najib dengan berbagai-bagai isu yang ganas itu. Isu terhadap Najib datang bertimpa-timpa.

Tetapi isu yang bakal di hadapi oleh lain-lain pemimpin dalam UMNO tidak kurang ganasnya. Jika Muhyiddin mengambil alih sekali pun isu terhadap beliau pun bukannya kecil. Begitu juga isu terhadap lain-lain pimpinan kanan UMNO sekarang ini. Mereka terlalu kaya dengan isu-isu negatif dan tidak siapa pun dikalangan pimpinan UMNO dalam Majlis Tertinggi parti itu tidak mempunyai isu yang tidak mempunyai moral untuk mentadbir negara. Mereka, seperti yang saya selalu katakan itu, adalah dari acuan yang sama.

Pendeknya formula yang paling baik untuk menyelamatkan negara dan kerajaan kita ialah untuk melakukan perubahan dan kita tinggalkan pentadbiran dan politik yang tersangat menghimpit pemikiran rakyat yang dahagakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seperti UMNO ini.

Jika benar Najib seorang yang bertanggungjawab beliau tidak akan melakukan apa yang sedang beliau lakukan hari ini. Inilah dia hasil dari didikan kepada petualang politik negara khususnya orang Melayu Dr Mahathir Mohammad.  Kata perpatah, ‘keruh air di hulu maka keruh dihilir’. Kekeruhan politik negara bermula dari permainan politik Mahathir selama 22 tahun dan budaya politik kini masih di pengaruhi oleh isu Dr Mahathir.

UMNO tidak akan kekal sebagai UMNO parti orang Melayu tetapi ia akan terus menjadi parti untuk segelintiran Melayu yang tamak kuasa dan mempunyai mentaliti ‘migrant’ yang tidak akan dapat di tanggalkan dari imej ini buat selama-lamanya.

Kita tidak tahu bagaimana lagi UMNO hendak menyelamatkan diri mereka untuk masih menjadi parti yang relevan untuk rakyat yang terlalu dahagakan pimpinan yang telus dan jujur untuk menempa hari muka yang mencabar.

26 February 2013

Pemilihan Perdana Menteri secara konvensyen sekarang ini sudah lapuk

Kerajaan negara ini bertambah lemah dari masa ke semasa kerana cara pemilihan pimpinan negara secara konvesyen itu sudah lapuk dan tidak relevan lagi di zaman ini.. Selama ini Perdana Menteri dipilih melalui konvensyen dalam mana Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri. Jika lemah seorang Presiden UMNO itu lemah lah Perdana Menteri negara ini dan berkecamuk lah keadaan negara dan pentadbirannya.

Sesungguhnya cara pemilihan Perdana Menteri dengan kaedah konvensyen ini tidak merupakan pemilihan yang ‘legitimate’ kerana ia hanya di pilih dan di tentukan oleh tiga empat ribu perwakilan yang boleh di jual beli undian mereka dalam pemilihan pimpinan parti UMNO itu. Seorang Perdana Menteri sekarang bukannya di pilih oleh rakyat yang ramai atau setidak-tidaknya oleh Ahli-Ahli Dewan Parlimen yang mewakili semua dan segenap lapisan rakyat yang berbilang kaum dan agama serta cara hidu itu.

Kita sewajarnya memilih seorang Perdana Menteri itu dengan memilih seorang yang mendapat keyakinan dari ahli-ahli Dewan Legislatif Parlimen dan itu sememangnya ada tertulis dengan jelas di dalam Perlembagaan negara kita. Saya yakin jika pemilihan seorang Perdana Menteri itu telah dilakukan seperti yang di kehendaki oleh Perlembagaan itu kita tidak akan mengalami mempunyai seorang Perdana Menteri yang terlalu sarat dengan kontroversi dan masalah peribadi beliau seperti yang sedang kita semua alami sekarang.

Bagaimana kita hendak meletakkan keyakinan kepada tiga empat ribu perwakilan UMNO sahaja untuk menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ini? Kita telah melihat bagaimana sejak hampir tiga puluh tahun dahulu seorang yang bercita-cita tinggi walaupun tidak berkelayakkan telah menjadi Presiden UMNO yang secara automatik menjadi Perdana Menteri kerana pemilihan secara konvensyen ini? 

Seperti yang berlaku sekarang rakyat ramai melalui wakil-wakil mereka di Parlimen tidak dapat menukar Perdana Menteri kerana seorang Perdana Menteri itu adalah Presiden UMNO sahaja. Orang Dayak serta Iban, misalnya, tidak dapat memberikan sumbangan untuk mencari seorang Perdana Menteri kerana wakil mereka bukannya ahli UMNO dan Presiden partinya.

Begitu juga orang Kadazan tidak dapat bersama-sama memilih seorang Perdana Menteri Melayu yang beragama Islam yang baik kerana wakil mereka tidak boleh menentukan siapa Perdana Menteri kita. Jawatan itu hanya boleh di tentukan oleh perwakilan Bahagian UMNO dan Cawangan yang berkumpul di Dewan Merdeka untuk memilih seorang Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Kita memahami yang seorang melayu yang berwibawa wajar di pilih untuk menerajui pimpinan negara tetapi biarlah setiap rakyat, melalui wakil mereka dalam Parlimen itu, mempunyai hak untuk memilih pemimpin Melayu yang mana yang selayaknya menjadi Perdana Menteri itu. Dalam sistem sekarang ini sesiapa yang mempunyai lebihan seperti kekuatan kewangan dan pengaruh di kalangan ahli-ahli yang menjadi perwakilan UMNO itu akan mendapat mandat yang akhirnya menyumbang kepada kelemahan hari demi hari tentang kualiti kepimpinan yang di pilih oleh UMNO untuk menjadi Presidennya dan menjadi Perdana Menteri.

Sekarang ini misalnya,  Najib mungkin tidak di terima dan di persoalkan oleh rakyat jelata tetapi tidak siapa yang boleh menggantikan beliau dengan mudah kerana beliau di pertahankan oleh UMNO itu sendiri. Malahan orang Melayu keseluruhannya pun tidak berupaya untuk menentukan siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri jika mereka tidak menjadi ahli UMNO atau wakil rakyat UMNO di Dewan Parlimen itu.

Itulah sebabnya kini dalam UMNO begitu lemah dan tidak lagi mempunyai moral untuk mentadbir negara tidak dapat diketepikan dengan mudah kerana UMNO akan mempertahankan penyandang yang datangnya dari UMNO itu. Justeru kelemahan UMNO memilih kepimpinan mereka akan menjadikan semua pihak di tadbir oleh pimpinan yang lemah dan akhirnya merosakkan keperibadian kepimpinan dan maruah negara kita tercinta ini.

Oleh kerana rakyat inginkan juga peralihan dan pertukaran Perdana Menteri itu, maka rakyat terpaksa menolak UMNO secara ‘total’ dalam pilihanraya kali ini kerana selagi UMNO memerintah, parti itu akan menonjolkan pemimpin yang sentiasa menjadi persoalan rakyat tentang kewibawaannya itu.

Jadi tidak salah rakyat ramai menolak UMNO untuk mengelakkan negara di pimpin oleh pemimpin yang tidak boleh dipercayai yang di juarakan oleh UMNO itu. Dalam sistem sekarang ini rakyat terpaksa berpakat untuk menolak UMNO secara ‘total’ bagi mengelakkan melayu dari parti ini menjadi Perdana Menteri kerana beliau hanya di pilih oleh perwakilan UMNO yang tiga empat ribu itu sahaja dan bukannya dari rakyat yang ramai.

Kali ini kita lakukan yang terbaik semasa pilihanraya ini bagi memilih pihak yang lain dan membolehkan seorang Melayu berwibawa dipilih untuk menjadi Perdana Menteri negara kita dan tidak lagi kita berada di bawah tadbiran seorang Perdana Menteri yang pengecut dan lemah serta lesu dan tidak bermaya yang mewakili UMNO itu..

Sekarang ini berbagai program perubahan yang di retorikkan oleh pimpinan dan kita mesti percaya yang seorang pemimpin yang penuh dengan slogan dan teori yang besar-besar itu akan hanya kekal dengan teori mereka tetapi tidak akan mampu malakukan apa yang beliau slogankan itu.

Apabila kita melakukan sistem pemilihan melalui peruntukan Perlembagaan itu maka kita boleh memilih seorang pemimpin Melayu yang berwibawa tidak kira beliau datangnya dari UMNO sendiri atau dari Pakatan Rakyat.

Yang pentingnya ia mestilah pilihan rakyat melalui wakil-wakil semua bangsa yang berada di Dewan Parlimen itu. Kita tidak ada pilihan lain sebenarnya.

25 February 2013

Yang merosakkan tidak boleh membaikinya kembali

PI Balasubramaniam telah kembali ke tanah air petang semalam. Beliau di sambut oleh lebih kurang 50 orang di lapangan terbang KLIA. Beliau dikatakan telah kembali dari India di mana beliau dan keluarga telah menetap semasa menghilangkan diri dari negara ini.

Di antara yang datang menyambut beliau kembali itu ialah Seevarasa, seorang Ahli Parlimen PKR serta Cik Gu Bad dan beberapa wakil NGO. Tidak pula nampak kelibat Najib Razak atau Razak Baginda berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Balasubramaniam itu. Dulu Bala ini menjadi orang penting dan Najib telah mengupah orang tengah untuk mencari PI ini, tidak kira malam atau siang. Ingatkan adalah Najib datang menyambut kepulangan Bala semalam.

Tetapi tidak ada pula liputan besar-besaran dari pihak media massa perdana seperti TV3 dan lain-lain. Dulu TV3 membuat liputan tentang akuan bersumpah kedua Bala ini secara besar-besaran tetapi kali ini apabila kembali menyatakan yang akuan bersumpahnya yang pertama yang betul dan benar, tidak pula di liputi oleh TV3 dan media perdana yang lain.

Bala telah bersumpah dengan kitab sucinya Bhagavad Gita yang akuan bersumpahnya yang pertama adalah yang benar dan akuan bersumpah kedua itu adalah yang tidak benar. Akuan bersumpah kedua itu adalah di desak oleh keadaan semasa itu kerana tekanan dan sebagainya yang dilakukan oleh Najib dan Rosmah. Bala berkata apa yang telah diperkatakan oleh Deepak itu semuanya benar dan betul belaka.

Tetapi Bala akan mengadakan ‘road show’ nya tetapi tidak akan bersama Deepak kerana beliau akan melakukannya sendiri tanpa Deepak. Bala akan melakukan ‘road show’ nya tidak lama lagi dan akan membongkar segala-galanya berhubung dengan isu Altantuya dan berbagai-bagai lagi yang melibatkan Najib serta Rosmah.

Apabila di tanya oleh pemberita samada beliau tidak takut untuk melakukan pembongkaran isu ini, beliau berkata beliau tidak takut kerana beliau percaya yang tidak mungkin pihak itu membunuh lagi. Kepulangan Bala ini akan mengundang banyak lagi berita yang hangat di negara kita ini. Isu yang terlalu banyak sekarang ini akan bertambah-tambah banyak lagi dalam masa kita menghadapi pilihanraya ini.

Apa pun yang akan berlaku, yang pasti ia akan memberikan impak yang besar terhadap kewibawaan Najib dan keluarga tetapi ia juga membawa padah kepada pihak-pihak yang menyokong Najib dan pimpinan beliau. Sesungguhnya aura Najib tetap merudum dan aura buruk yang melekat kepada Najib itu akan membawa kejatuhan kepada parti dan kerajaan yang di pimpin beliau.

Itu sebab nya saya tidak dapat menidakkan hakikat yang UMNO sedang menghadapi isu yang tidak dapat di uruskan oleh mereka lagi. Tidak ada ruang yang tidak bermasalah dan tentunya keadaan ini akan menjejaskan segala urusan kerajaan dan imej negara. Bagaimana kerajaan hendak menumpukan usaha untuk membina negara sedangkan mereka sendiri sedang menghadapi masalah mereka sendiri.  Tidak mungkin mana-mana pentadbiran itu akan menjadi pentadbiran yang baik jika yang mentadbir itu sendiri mempunyai masalah sendiri yang terlalu besar.

Selalu kita berfikir bagaimana kah UMNO hendak memperbaiki diri kerana pimpinannya tidak tahu dan mengenali yang mana satu yang baik dan yang mana yang tidak baik. Mereka di tekan oleh budaya buruk yang telah terbina begitu lama oleh pimpinan UMNO sejak hampir tiga puluh tahun dahulu.

Dr Mahathir telah menanamkan budaya dan kepercayaan yang membina negara ini ialah pembinaan bangunan yang tinggi-tinggi, jambatan yang terpanjang di dunia atau pun tiang bendera yang tertinggi dalam dunia dan sebagainya. Dr Mahathir telah membina pemikiran rakyat yang negara maju itu adalah negara yang rakyatnya yang kaya raya dan pembangunan fisikal yang boleh di jadikan tempat pelancungan.

Dr Mahathir sendiri tidak tahu yang pembangunan negara (nation building) bukan setakat pembangunan fisikal yang hebat dan besar tetapi juga membina mentaliti yang mempunyai kelas yang baik secocok dengan keadaan waktu dan zamannya. Sikap dan mentaliti orang ramai sudah punah ranah kerana isu ini tidak di bina oleh Mahathir yang memerintah kita selama 22 tahun. Malahan sikap dan mentaliti yang baik dahulu sudah terhapus dan nilai budaya kita telah terhakis dengan begitu teruk sekali.

Tidak ada salahnya untuk sesiapa membina ‘empire’ perniagaan yang besar-besar tetapi apa yang salahnya rakyat telah terbina satu persepsi yang kekayaan itu hanya boleh di perolehi dengan melakukan peniagaan yang bersifat ‘monopolistic’ seperti yang di bina oleh Dr Mahathir dan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan beliau sehingga ke hari ini.

Kita boleh saksikan yang Syed Mokhtar itu tidak ada apa yang boleh di banggakan kerana beliau mendapat sokongan dari pihak kerajaan melalui pengaruh Dr Mahathir untuk mendapatkan segala-galanya tanpa bersusah payah seperti ‘corporate captains’ yang lain. Segala kepunyaan rakyat yang ada di laut dan di darat di berikan kepada Syed Mokhtar dan sekarang sedang mengintai untuk mengambil alih Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) pula.

Tidak ada perniagaan yang beliau bina sendiri dan di perbesarkan. Syed ini hanya menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan apa yang sudah sedia terbina. Budaya ini sudah tertanam dalam benak rakyat kita dengan begitu dalam sekali. Apabila seseorang itu mendapat memiliki harta dan kepunyaan rakyat, orang sebegini di anggap sebagai orang yang berjaya.

Itulah sebabnya untuk memperbetulkan keadaan ini tidak mungkin boleh dilakukan oleh kumpulan yang membinanya. Oleh yang demikian adalah wajib dan penting sekali untuk merubah pimpinan negara secara ‘total’ dan menyeluruh.

Ada seorang rakan saya mempunyai pandangan yang ‘conclusive’ terhadap UMNO sekarang ini. Beliau berkata, “If you want to break anything, give  it to UMNO, and if you want to make it worst give it to UMNO to fix it back”.

Sampai ke hari ini saya teringat dengan kata-katanya itu.

24 February 2013

Rakyat sekarang ini bijak, boleh 'menyelam air dalam tunggak'

Nampaknya politik semakin hari kian kotor. Rupa-rupanya kuasa ini boleh menjadikan seorang manusia itu hilang pertimbangan dan hilang segala keperibadian untuk mendapat atau mengekalkan kuasa. Barulah semua sedar termasuk diri saya ini, yang politik itu adalah kuasa dan kuasa itu adalah politik. Ramai manusia di dalamnya tidak berlandaskan kepada moral dan sedikit nilai ketuhanan yang merupakan ciri-ciri asas manusia yang mukmin.

Menjadikan komen TGNA sebagai mengatakan penerima BRIM itu adalah haiwan merupakan satu permainan politik yang tidak terkira hina dan aibnya. Ia sedang dilakukan oleh pimpinan UMNO dan penyokong-penyokong mereka seperti melalui saluran-saluran TV perdana. Pelakon-pelakonnya termasuklah seorang Perdana Menteri dan seorang lagi Timbalannya. Kedua-dua pemimpin ini yang datang dari keluarga yang baik-baik itu telah hilang segala ciri-ciri manusia yang sedang mencari kehidupan sebagai seorang mukmin. Mereka ini telah mencalarkan keperibadian baik keluarga mereka semata-mata kerana politik.

Semuanya ini adalah kerana kemahuan nafsu mereka untuk mengekalkan kuasa politik yang merupakan perkara yang terenak bagi mereka yang bermain poliik yang tidak berlandaskan kepada ciri-ciri keagamaannya. Najib terlupa yang beliau adalah seorang anak kepada sebuah keluarga yang baik dan Muhyiddin dengarnya adalah dari keluarga yang berimejkan agama yang kuat.

Tentunya tindakan kedua-dua pemimpin terbesar negara ini merupakan tindakan yang menjatuhkan nama ibu bapa mereka dengan memutar belitkan kata-kata orang lain dengan begitu hina dan aib sekali. Kedua-kedua pembesar negara ini tidak mahu mengambil kaedah memperbaiki diri untuk mendapatkan sokongan. Sebaliknya mereka memilih untuk melakukan perkara keji untuk mendapatkan kepentingan politik peribadi dan parti mereka yang kian hari kian menjunam imejnya di mata rakyat itu.

Benarlah kata-kata perbidalan, ‘yang baik itu untuk yang baik dan yang buruk itu untuk yang buruk’ sahaja. Benarlah apa yang dijanjikan oleh Najib yang beliau dan UMNO akan lakukan apa sahaja (at all cost) untuk mempertahankan Putrajaya. Tentulah ia termasuk melakukan kerja sebegini hina dan aib itu bagi menjamin Putrajaya itu dapat di pertahankan. Dengan janji-janji itu Najib bukannya bertindak untuk kebaikan rakyat dan negara beliau sebaliknya untuk kuasa semata-mata. Sesungguhnya sangat hebat pengaruh dan ajaran sesat politik Dr Mahathir ini, iaitu ‘lakukanlah apa sahaja asalkan berkuasa’…..tebalkan muka walaupun setebal tembok di tepi jalan.

TGNA jelas mengatakan pihak yang memberi BRIM itu seolah-olah hendak menjadikan manusia negara ini sebagai haiwan dengan memberikan makan dan selepas di beri makan manusia-manusia ini akan di sembelih seperti haiwan belaan. Itu maksud TGNA. Blog ini pun telah mengatakan perkara yang sama seminggu yang lalu yang menganggap UMNO mahu menjadikan kita semua sebagai haiwan belaan. TGNA tidak mengatakan mereka yang menerima BRIM itu sebagai haiwan.

Itu sebabnya rakyat sudah sedar yang mereka hendak dijadikan kita semua ini sebagai binatang belaan dan mereka menolak UMNO itu dengan hebat sekali sehinggakan UMNO hampir menjadi parti yang dipandang seperti haiwan kurap di tepi jalan sahaja. UMNO mahukan orang ramai seperti kerbau pembajak sawah yang luas dengan memberikan rumput-rumput dan rumbai sebagai makanan mereka (kerbau). Akhirnya hasil padi itu di masukkan kedalam kepuk padi bagi tikus-tikus gemuk memakannya dan kerbau itu disembelih untuk di jadikan rendang hari raya.

Kenyataaan maksud TGNA yang mengatakan UMNO cuba untuk menjadikan manusia sebagai haiwan dengan memberi BRIM itu di putar belitkan dengan mengatakan penerima BRIM itu adalah seperti haiwan. Kerja memutar-belitkan kata-kata Tok Guru itu dilakukan oleh Najib dan Muhyiddin sendiri.

Betul lah, dan benarlah Najib ini sebagai seorang yang menepati janji-janjinya. Janjinya untuk melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya itu benar-benar beliau lakukan walaupun dengan menjadikan rakyat seperti lembu dan haiwan belaan itu.

Najib dan Muhyiddin masih berfikir yang rakyat sekarang ini masih naïf dan tidak dapat membaca niat sebenar mereka dalam isu ini. Ketahui lah yang rakyat sudah pandai ‘menyelam air dalam tunggak’. Mereka (rakyat) tidak boleh diperbodohkan lagi…..

Aura UMNO itu sekarang sudah jatuh menjunam dan ia akan menjatuhkan penyokong-penyokong mereka sendiri….percayalah!

23 February 2013

Tindakan empat General (B) sertai PR kerana bencikan rasuah

Minggu lepas empat bekas General dari ketiga-tiga cawangan angkatan bersejata Malaysia telah bertindak nekad untuk terjun ke dalam arena politik dan menyertai Pakatan Rakyat.

Apa kah yang menyebabkan mereka bertindak menyertai Pakatan Rakyat itu. Persoalan ini sangat penting kerana sesuatu tindakan yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan itu mesti bersebab. Untuk mengetahuinya elok kita ikuti sebahagian dari kata-kata mereka:-


LEFTENEN GENERAL (B) DATUK ABDUL GHAFIR ABDUL HAMID, Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat

“Pembelian melalui rundingan terus dan bukan melalui tender terbuka menyebabkan rasuah menjadi-jadi. Jika di kumpulkan keseluruhannya sejak mula berkhidmat sehingga bersara pada 2005 ia lebih kurang RM75 billion”


LAKSAMANA PERTAMA (B) IMRAN ABDUL HAMID, Bekas Ketua Logistik Markas Armada TLDM

“Mengapa RM 9 billion? Sedangkan semasa saya berkhidmat, perjanjian TLDM dan Kementerian Pertahanan untuk membeli 27 kapal, hanya RM6 billion. Mengapa baru buat 6 petrol vessel?”


BRIG GENERAL ABDUL HADI ABDUL KHATAB, Bekas Panglima Logistik di Markas Logistik Udara.

“Saya cabar Zahid Hamidi dan Panglima TUDM, beritahu siapa hilangkan enjin jet? Kes seperti Scorpene, pembelian helicopter dan banyak lagi sehingga hari ini tidak ada jawapan”


BRIGED JENERAL (B) DATUK NAJMI AHMAD, Bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat)

“Campur tangan (UMNO) melampau hinggakan pegawai-pegawai kerajaan susah menjalankan tugas masing-masing. Ini pencabulan terhadap gulungan profesional. Ia berluasa dan perlu diperbetulkan”


Tindakan keempat-empat bekas General ini memberikan semangat yang kuat untuk semua melakukan perubahan dan tentunya kata-kata mereka ini lebih telus dari kata-kata dan jawapan-jawapan yang di berikan oleh Menteri Pertahanan atau sesiapa yang ada di dalam kerajaan itu.

22 February 2013

Pembubaran Parlimen: Hari ini atau bila pun apa bezanya?

Hari ini telah dispekulasikan sebagai hari pembubaran Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. Ramai telah menghubungi saya samada berita itu benar atau tidak. Jawapan saya standard, “saya tidak tahu, tanya Najib atau Rosmah” Siapa kita untuk mengetahui perkara penting itu. Terpenting bagi kita ialah dengan memberikan perimbangan serta berfikir sejenak sebelum memangkah semasa dalam bilik mengundi itu nanti.

Bagi saya samada pembubaran itu dilakukan pada hari ini tidak penting. Yang penting kita sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk negara kita. Kita jangan tertipu dengan dakyah karut yang kita ikuti selama ini. Di negara ini kita boleh mengundi sesiapa sahaja dan tidak seperti apa yang di dakyahkan yang negara kita ini hanya selamat jika UMNO memerintah. Sememangnya pimpinan UMNO sedang mendagu dan merayu supaya diberikan peluang sepenggal lagi seperti yang di minta oleh Najib di Kuching semalam.

Najib merayu untuk BN di berikan sepenggal lagi seolah BN telah memerintah hanya sepenggal yang lalu. Beliau terus merayu agar diberikan sepenggal lagi walaupun telah di beri peluang sejak merdeka dahulu memerintah negara ini. Sepatutnya yang merayu untuk meminta sepenggal itu adalah pihak pembangkang bukannya pihak kerajaan. Tetapi tidak mengapalah, kerana rakyat ramai yang membuat keputusan samada untuk memberikan BN sepenggal lagi walaupun telah berpenggal-penggal mentadbir kita.

Sebenarnya Najib masih belum berkeyakinan untuk membubarkan Parlimen, tetapi oleh kerana penggal Parlimen sudah sampai ke penghujung nya maka beliau akan terpaksa membubarkannya juga atau di biarkan sahaja penggal ini terbubar dengan sendirinya pada 28hb April nanti. Itu tidak ada apa-apa salahnya jika Najib memilih untuk berbuat demikian.

Tidak ada sebab untuk Najib tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen itu sedangkan jika beliau membubarkan Parlimen pada hari ini Najib tetap mencatat rekod seorang Perdana Menteri yang tidak di pilih oleh rakyat. Persepsi itu tidak dapat di hilangkan jika Najib membubarkan Parlimen hari ini atau besok. Sudah alang-alang tunggu sahaja sampai penghujung bulan April nanti.

Tindakan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri tidak juga menjadi kesalahan kerana sebagai sebuah negara Persekutuan, Dewan Legislatif Negeri itu adalah hak negeri untuk menentukan tarikh pilihanraya bagi kawasan-kawasan Undangan Negeri nya. Jangan kita persoalkan tindakan itu kerana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Selangor dan Persekutuan kita. UMNO tidak payah sibuk dengan urusan kerajaan Negeri Selangor kerana UMNO sudah di tolak oleh rakyat Selangor.

Kerja dan tugas UMNO yang penting sekali sekarang ialah untuk menentukan yang mereka melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang negara. UMNO sendiri mempunyai masalah besar. Biarkan PAS, DAP serta PKR dengan urusan mereka kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk mempastikan perancangan untuk melakukan perbezaan dengan BN jika mereka di beri peluang untuk mentadbir Putrajaya selepas PRU  ini.

Tidak salah untuk UMNO bertahan, tetapi untuk bertahan UMNO sendiri tidak berkeyakinan. Ramai di antara pemimpin mereka menzahirkan perasaan mereka kepada saya sehari dua ini. UMNO mempunyai banyak ‘factions’ dan mempunyai ‘warlords’ mereka termasuk Dr Mahathir sendiri. UMNO sedang menghadapi tekanan dari rakyat dan dalam pada menguruskan tekanan rakyat itu, parti itu sendiri wujud tekan menekan sesama sendiri.

Puak Dr Mahathir memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan jika boleh mereka mahukan Najib berhenti untuk memberikan Muhyiddin peluang menerajui PRU ke13 ini. Serba salah puak Mahathir ini nampaknya. Begitu juga puak Muhyiddin. Kalau hendak berkeras untuk menekan Najib, pilihanraya sudah hampir dan akan menjejaskan keputusannya nanti. Tidak berkeras pun tidak boleh kerana UMNO sedang dalam keadaan telur di hujung tanduk.

Satu isu yang terbesar akan mereka (UMNO) hadapi ialah masalah calon pilihanraya untuk UMNO dan BN. Jika Najib biarkan Muhyiddin menentukan calon UMNO ia serupa lah memberikan parang tajam kepada Muhyiddin untuk Timbalannya itu gunakan untuk memenggal politik Najib seperti yang di kehendaki oleh Mahathir. Setakat yang saya tahu sudah berbelas Ketua Bahagian yang dulunya adalah pengikut totok Najib dengan senyap-senyap telah berpihak kepada Muhyiddin.

Tidak tahu lah kita samada Najib maklum tentang perkara ini tetapi yang pastinya mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib. Mereka ingin bergantung kepada dahan yang baru tetapi tidak tahulah kita samada mereka terasa bahawa dahan yang baru ini pun akan tumbang bersama pokok besarnya (UMNO) dalam pilihanraya nanti. Bagi UMNO, parti ini sudah sampai ke persimpangan.

UMNO tidak mempunyai jalan selain dari mengakui kesulitan mereka dalam pilihanraya kali ini. Itu pun tidak mengapa kerana dalam demokrasi sememangnya UMNO boleh di jatuhkan seperti yang di alami oleh mana-mana parti di dalam mana-mana negara demokrasi. Tetapi UMNO tidak rela menghadapi kekalahan kerana masing-masing ‘warlords’ dalam UMNO itu mempuyai rekod buruk masing-masing yang mereka takutkan jika parti itu tidak berkuasa lagi.

Mahathir tersangat takut jika Pakatan Rakyat menang dan Anwar menjadi Perdana Menteri. Mahathir bukan sedikit masalah yang beliau lakukan terhadap diri beliau sendiri semasa memegang kuasa dahulu. Itulah yang menyebabkan beliau bermatian menegakkan benang basah UMNO hari ini. Najib pun begitu. Beliau takut jika Pakatan menang dan terpaksa menghadapi Anwar jika Pakatan menang.

Jika UMNO menang dengan tipis sekali pun, Najib terpaksa menghadapi hari akhir kepimpinan beliau dan ini juga menakutkan beliau sendiri. Apa kah Muhyiddin mampu untuk tidak mengambil tindakan terhadap Najib jika beliau mengambil alih kuasa? Najib tahu dalam UMNO tiada siapa yang mempunyai ‘allegiance’ terhadap pemimpin yang mereka sokong sebelumnya. Najib akan menangis kesaorangan. Itu sudah banyak berlaku dalam UMNO kerana setiap pemimpin dalam UMNO itu adalah pimpinan yang lemah dan mereka hanya di ikuti oleh mereka yang berkepentingan peribadi. Semua mereka itu akan mengikut dan bersama-sama mengutuk pimpinan yang telah pergi yang pernah mereka dukung dahulu.

UMNO sudah tidak ada lagi pemimpin yang ‘magnanimous’ seperti dahulu. Dendam mendendam sudah menjadi amalan mereka. Kata perpatah Melayu, ‘mati ayam mati tungau’ Berhenti sahaja Najib maka Najib akan terpaksa menghadapi zaman gelap beliau sampai akhir hayat.

Najib sekarang memang tidak boleh bertahan lagi. Hanya jika beliau ada sedikit kemampuan untuk berfikir sahaja boleh menyelamatkan beliau dari menghadapi zaman gelap beliau nanti. Hakikatnya Najib akan lebih selamat jika pembangkang mendapat mandat dari orang lain dalam UMNO itu mengambil alih kepimpinan beliau.

Najib tahu Mahathir tidak akan membela beliau dan Muhyiddin jauh sekali untuk melakukannya. Apa tah lagi jika UMNO yang sekarang mempunyai kecenderungan untuk tewas dalam pilihanraya kali ini bersama parti komponennya MCA dan MIC yang sudah pasti akan tewas kali ini.

21 February 2013

UMNO perlu menjadi pembangkang untuk kebaikan negara dan parti itu sendiri

Tali hayat UMNO sudah begitu halus dan bila-bila masa boleh putus dan menjatuhkan parti itu. Kalau hendak di kira dari sudut politiknya, tidak ada sebab kenapa UMNO itu mesti wujud lagi dan akan di ketepikan oleh rakyat kali ini. UMNO hanya bergantung kepada kuasa wang dengan pembelian undi melalui BRIM dan berbagai-bagai kaedah lagi. Parti itu hanya bergantung kepada kekeliruan rakyat dalam membuat pemilihan kerana ini lah kali pertama membuat keputusan untuk memberikan sokongan kepada parti-parti alternatif negara.

Menghadapi tekanan rakyat ini amat merunsingkan UMNO kerana parti itu belum berpengalaman menjadi pembangkang. Tidak seperti parti-parti yang ada di negara demokrasi yang maju, UMNO belum pernah di jatuhkan dan berasa amat perit untuk menanti saat-saat masuk ke Dewan-Dewan Legislatif sebagai pembangkang. Dalam demokrasi setiap parti wajar bersedia untuk ditewaskan dalam pilihanraya. Kalah dalam pilihanraya ini seperti manusia yang wajib menghadapi mati. Mati itu wajib dan begitu juga lah parti-parti yang berada di dalam mana-mana demokrasi di dunia ini.

Parti Labour Britain dan Parti Conservative negara itu telah bergilir-gilir mentadbir negara mengikut kemahuan dan kehendak rakyat nya. Begitu juga di Amerika Syarikat di mana parti Demokrat dan Republican telah hampir seratus kali bertukar-tukar tempat duduk di dalam Dewan Legislatif mereka.

Di Malaysia oleh kerana inilah kali pertama parti pemerintah merasakan mereka akan mengambil giliran untuk duduk di petak pembangkang, mereka merasakan ketakutannya. Bebagai-bagai cara untuk berkubu dari serangan dan pengaruh parti pembangkang dilakukan oleh UMNO dan BN.  Kekalahan kepada UMNO dan pemimpin merupakan saat-saat masuk neraka dan memisahkan UMNO dengan rakyat yang mengundi itu ibarat memisahkan kulit dari daging. Masih ada sedikit lagi sikap dan kepercayaan orang ramai khususnya orang Melayu yang kekalahan UMNO itu merupakan nasib malang yang menimpa negara dan rakyat.

Momokan ini sudah di tanam sejak setengah abad dan ia sebati dalam benak orang Melayu terutamanya di kalangan yang dewasa dan tua. Kebobrokkan UMNO begitu tebal sehinggakan orang yang cerdik dan pandai pun menjadi bingung setelah menyertai UMNO kerana pengaruh budaya songsang yang terbentuk dalam parti itu sudah se begitu lama. Mereka yang pandai berfikir pun akan hilang kemampuan untuk berfikir secara rasional apabila aktif dalam UMNO.

Bukan sedikit di antara mereka yang berpelajaran tinggi yang terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu. Rupa-rupanya pelajaran dan pendidikan tidak dapat menyaingi sikap mengampu dan membodek yang telah terbentuk dalam parti itu selama ini. Kita melihat melalui kaca TV hampir setiap hari dalam mana ahli-ahli akademik yang bergelar Professor dan Vice Chancellor Universiti di negara ini bersama-sama menyanyikan lagu lama yang di nyanyikan oleh UMNO selama ini.

Professor-Professor ini di berikan ruang dalam saluran TV tempatan menyanyikan lagu-lagu yang bersenikata ciptaan UMNO. Di antara nya ialah ‘tidak ada UMNO negara akan berkecai dan Melayu akan hilang di dunia ini’. Lagu yang akhir-akhir ini yang di nyanyikan oleh Mahathir ialah pembangkang tidak berpengalaman untuk memerintah dan bermacam-macam lagi yang membayangkan kesombongan pimpinan UMNO yang beranggapan hanya UMNO mampu mentadbir negara.

Dr Mahathir lebih tahu yang Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir negeri-negeri yang di tadbirnya dan inilah yang menyakitkan Dr Mahathir. Mahathir tidak ada sayangnya kepada negara tetapi beliau hanya mahukan rakyat mendengar nasihat beliau untuk kepentingan beliau sendiri. Beliau sedaya upaya mengarahkan segala kesalahan kepada Abdullah Badawi sedangkan Abdullah ada lah pilihanan beliau sendiri.

Sekarang ternyata Abdullah Badawi lebih berhemah setelah bersara dan tidak membuka mulut busuknya untuk memberikan racun yang berbisa kepada rakyat. Abdullah tidak bercakap semborono sahaja sedangkan Mahathir masih berleter sedangkan leteran beliau itu hanya di anggap seperti leteran orang tua yang sedang sakit terlantar sahaja. Mahathir sentiasa berada di dalam kerugian kerana beliau sudah tidak lagi menjadi seorang yang bergelar negarawan negara. Ciri-ciri seorang negarawan sudah hilang dari beliau. Beliau tidak akan mendapatkan ciri-ciri negarawan itu sampai bila-bila.

Seorang yang berjiwa bersih tidak akan merasa gusar seumur hidupnya. Seorang yang tidak melakukan kesalahan tidak akan merasa resah dan gundah gulana dan sebagai seorang rakyat negara demokrasi beliau tidak seharusnya merasakan kehilangan kuasa dari rakyat itu akan menjadikan beliau hidup dalam kesedihan. Sampai masa untuk menjadi pembangkang, jadilah pembangkang yang baik. Mahathir sendiri pernah menasihatkan kita semua, untuk menjadi pemimpin yang baik, perlu merasakan dan mengalami sebagai pengikut yang baik.

UMNO mesti ikut contoh-contoh yang baik.yang kita lihat di rantau kita sahaja. Liberal Demokrat Jepun telah kembali berkuasa setelah di ketepikan oleh rakyat Jepun beberapa ketika. Congress Party of India telah kembali berkuasa setelah parti itu diketepikan oleh rakyat negara demokrasi terbesar di Asia itu. Apa yang boleh menghalang UMNO untuk berkuasa kembali setelah Pakatan Rakyat memerintah barang sepenggal dua. Tetapi perbaiki lah moral parti itu dahulu semasa berada di petak pembangkang.

Jadilah parti yang tidak boleh di persepsikan oleh rakyat sebagai parti yang rasuah. Selagi UMNO tidak berundur buat sementara, UMNO tidak mungkin akan mampu untuk memperbaiki diri. Lagi pun sememangnya sampai masanya untuk pembangkang pula menjadi kerajaan. Jika Mahathir mengatakan pembangkang tidak mempunyai pengalaman untuk memerintah negara, nah…kali ini kita beri peluang. Kita boleh tengok sendiri samada tohmahan Mahathir, Najib dan lain-lain terhadap pembangkang itu benar atau tidak.

Apa yang kita hendak resahkan. Yang akan mengganti pentadbiran kerajaan ialah parti PAS, DAP dan PKR, bukannya parti komunis dari mana-mana negara. Sebaliknya pula UMNO perlu membuktikan yang parti itu mampu menjadi pembangkang yang baik untuk menyuburkan demokrasi negara dengan lebih baik dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa.

Saya selalu membuat anologi memimpin negara ini biarlah ibarat kita bermain gasing. Orang bermain gasing akan memusing dan memangkah gasing itu secara bergilir-gilir. Selama ini hanya pembangkang terutamanya PAS dan DAP sahaja yang memusing gasing untuk dipangkah. Sekarang UMNO ambil lah giliran untuk memusing gasing untuk PAS, DAP dan PKR pula mengambil giliran untuk memangkah. Baru kita tahu pihak mana yang lebih baik sebagai pemangkah dan pihak mana yang lebih baik sebagai pemusing gasing.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO beriya-iya untuk memberikan pembangkang peluang untuk mentadbir negara ini bagi membuktikan pembangkang itu tidak tahu mentadbir negara.ini. Jika terbukti pembangkang tidak boleh mentadbir, barulah UMNO dapat membuktikan tuduhan mereka itu benar. Barulah UMNO boleh kembali untuk berkuasa jika di restui rakyat dan di izin Tuhan.

Apabila UMNO menjadi pembangkang semasa itu barulah UMNO sedar yang selama ini mereka berkuasa hanyalah kerana bergantung kepada rakyat yang keliru (confused) oleh momokan mereka (UMNO) selama ini. Semasa itu nanti barulah UMNO dapat memperbaiki sikap mereka dan tahu yang sebuah parti itu tidak boleh melakukan rasuah dan berniaga di atas sokongan rakyat.

Selama ini pemimpin UMNO hanya memperniagakan rakyat dengan bermodalkan rakyat yang memberikan mereka mandat itu. Semasa itu nanti barulah UMNO tahu yang pemimpin tidak boleh mengambil wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak-anak mereka yang gagal seperti yang berlaku ke atas Mirzan Mahathir dahulu.

Dalam waktu UMNO duduk di petak pembangkang, barulah UMNO akan tahu bahawa kos projek yang di naikkan kerana hendak komisyen itu menjadikan harga pembekalan alat peperangan tentera itu menjadi mahal dan di bayar oleh rakyat. Masa itu nanti barulah UMNO tahu bahawa memberikan pelajaran percuma dan menghapuskan tol lebuhraya seperti yang ingin dilakukan oleh Pakatan Rakyat itu benar-benar boleh dilaksanakan.

Perlaksanaan pendidikan percuma dan menghapuskan tol itu tidak membankrapkan negara. Menghapuskan tol itu hanya akan memberhentikan kutipan yang dilakukan oleh pemegang ‘konsessioner’ lebuhraya yang telah mengutip wang rakyat ramai hampir-hampir RM30 billion bagi lebuhraya utara selatan sahaja. Setiap keluarga akan beruntung kerana dapat menggunakan sumber kewangan mereka dalam jumlah ribuan ringgit setahun untuk perbelanjaan yang lain.
                                        
Pemberian BRIM itu tidak membawa apa-apa erti kerana RM500 atau seribu ringgit sekali sekala yang rakyat terima itu akan di gunakan untuk membayar saman AES sahaja. Tetapi pemberian pelajaran percuma melibatkan setiap rakyat yang belajar merasakan nikmatnya sedangkan BRIM yang sejemput itu hanyalah untuk satu keluarga sahaja.

Itu sebabnya penting pemimpin UMNO duduk di petak pembangkang kerana mereka selama ini tidak tahu yang pengurusan kewangan yang baik dan telus itu boleh memberi faedah kepada rakyat ramai.

Dalam masa menjadi pembangkang itu juga UMNO boleh belajar yang pemimpin tidak payah membawa penyanyi pop antarabangsa untuk berkempen. Semasa itu juga UMNO akan tahu jika negara ditadbir dengan baik, maka rakyat tidak perlu menanggung beban perbelanjaan besar untuk pemimpin berkempen keseluruh negara dengan kos yang tinggi. UMNO akan tahu kewibawaan pimpinan dan kebersihan pimpinan itu sendiri akan berkempen untuk kerajaan yang berkuasa.

Semasa itu nanti barulah UMNO sedar yang selama ini parti mereka itu sepatutnya menjadi pembangkang lebih lama dahulu. Mana-mana pemimpin UMNO yang sedar dan mahu memperbaiki diri mereka akan sedar dan mengakui bahawa selama ini UMNO tidak sepatutnya berada sebagai kerajaan sebegitu lama.

Tetapi bak kata perpatah Inggeris, ‘better late than never’. Jika kita tidak lakukannya dalam pilihanraya ini, ia akan terlalu lewat untuk memperbaikinya. Kita lakukan sekarang ‘and it’s now or never’.

20 February 2013

Berjuta ahli UMNO menyertai pembangkang dalam peti undi

Sekarang tektik UMNO untuk mendapatkan ‘mileage’ politik sangat rendah tarafnya dan memalukan. Akhir-akhir ini satu ‘trend’ lama yang diperbaharui sedang berlaku, iaitu menunjukkan dalam berita dan buletin utama TV3 tentang pengisytiharan ahli-ahli PAS menyertai UMNO. Hampir setiap malam ia dilakukan oleh media perdana negara. Apabila saya melihat isu ini dilakonkan melalui TV3 dan saluran TV media perdana yang lain saya teringat semasa UMNO melakukan perang psikologi terhadap Parti Melayu Semangat 46 dahulu.

Semasa itu setiap malam kita menyaksikan kemasukkan ahli-ahli Semangat 46 dalam UMNO. Parti S46 hanya mempunyai 350,000 ahli tetapi kalau dikira jumlah ahli S46 keluar parti yang disiarkan oleh TV3 itu melebihi 1 juta orang. Tektik ini tektik lama tetapi masih digunapakai oleh UMNO yang begitu terdesak dengan gerakan rakyat seluruh negara untuk menyaksikan perubahan dalam kepimpinan negara.

Saya masih teringat cerita penyampai berita TV yang saya kenali semasa itu. Pada zaman itu pembaca berita selalunya merupakan seorang wartawan berita dalam masa yang sama. Oleh itu mereka tahu hal keadaan sebenarnya. Pembaca berita ini telah menelefon memberi tahu saya yang beliau akan membaca berita mengenai kemasukan 150 orang ahli Parti S46 ke dalam UMNO sedangkan sebenarnya hanya 10 orang sahaja yang berbuat demikian. “Semuanya bohong bro!” katanya.

Saya pun menjawab sambil berseloroh, “Tak apalah. Tapi kalau boleh semasa kau baca berita bohong itu, kau kenyit-kenyitlah mata kau tu. Orang yang menontonnya akan fahamlah yang kau baca itu berita bohong." Dia tidak menjawab hanya ketawa berdekah-dekah sahaja.

Sesungguhnya inilah cara ‘desperado’ UMNO selama ini. Tetapi mereka tidak menyedari satu perkara yang saya selalu menulis tentangnya. Dalam pilihanraya kali ini berjuta ahli-ahli UMNO akan keluar parti semasa berada di dalam peti undi nanti. Ia telah berlaku dalam pilihanraya yang lalu dalam mana lebih dari sejuta ahli-ahli UMNO telah memangkah simbol Pakatan Rakyat, dan ia akan berlaku dengan lebih hebat sekali. UMNO tahu ini akan berlaku lagi kali ini.

Itulah sebabnya Dr Mahathir meminta setiap pemimpin-pemimpin bahagian seluruh negara berikrar di hadapan beliau yang mereka tidak akan melakukan sabotaj terhadap UMNO itu.  Dr Mahathir tahu perkara ini akan berlaku dan beliau faham dengan sedalam-dalamnya isu ini kerana beliau merupakan pensabotaj UMNO yang paling terkenal. Mahathir merupakan pensabotaj UMNO yang paling hebat kerana perkara itu dilakukannya dalam pilihanraya yang lalu.

Kalau Mahathir, seorang yang telah diangkat begitu tinggi oleh partinya sanggup mensabotaj UMNO itu, apa yang boleh menahan ahli-ahli biasa yang tidak mendapat apa-apa kepentingan untuk melakukan sabotaj terhadap UMNO itu? Kalau bapa sudah kencing berdiri, apa yang boleh menahan anak-anak tidak kencing dan berak sambil berlari?

Isu ini sebenarnya isu besar. Contohnya di Negri Sembilan sahajalah. Pengerusi Perhubungannya tidak mendapat sokongan dari kebanyakan atau hampir keseluruhan Ketua-Ketua Bahagian dalam Negeri itu. Mohammad Hasan sememangnya tidak boleh menjaga UMNO NS itu, tetapi entah kenapa beliau masih berada di sana. Saya tidak tahu apakah jampi serapah yang beliau lakukan kerana beliau masih mengetuai UMNO di negeri adat itu.

Tetapi jika diketepikan Mohammad Hasan siapa pula yang hendak mengambil alih tempat beliau? Itu pun merupakan satu persoalan besar juga. Di NS semua pemimpin yang berkebolehan tidak mendapat tempat kerana permainan Ketua Perhubungan yang takut pada bayang-bayang. Isa Samad, semasa menjadi Menteri Besar, hanya mengumpulkan rakan-rakan guru sekolah beliau sahaja untuk menjadi EXCO kerana mereka pandai menggeli pundi-pundi beliau (Isa).

Puluhan orang yang berkebolehan diketepikannya kerana takut kepada bayang-bayang. Semua yang berkebolehan mati begitu sahaja. Isa pun seperti Dr Mahathir juga, takut kepada orang yang beliau anggap akan menjatuhkan beliau. Itu sebab di semua peringkat dalam UMNO itu tidak ada lagi kepimpinan.

Akhirnya Dr Mahathir sendiri mengakui yang UMNO sudah busuk sampai ke ususnya, tetapi sejak kebelakangan ini beliau masih menyokong parti yang beliau anggap sudah busuk sampai ke situ. Itu sebabnya Dr Mahathir tidak boleh dijadikan ikutan kerana beliau seperti Ibrahim Ali, akan menyelekoh dengan tiba-tiba dalam hal politik ini. Mungkin itulah sebabnya Dr Mahathir dengan Ibrahim Ali, itu mempunyai ‘chemistry’ yang baik dan secocok serta saling menyandar di antara satu dengan yang lain.

Setelah Isa digantikan oleh Mohammad Hasan, orang ramai ingat akan berlaku peningkatan mentaliti dalam UMNO itu kerana semasa Mohammad mula-mula menjadi MB ramai orang Negeri Sembilan beranggapan yang beliau itu adalah pemimpin yang turun dari langit ketujuh. Tetapi akhirnya keadaan di negeri itu lebih teruk dari apa yang UMNO alami semasa Isa menjadi Menteri Besar dahulu. Lagi rendah kredibiliti wakil rakyat di negeri itu, mereka itu jugalah yang sedang dipertahankan oleh Mohammad. Kerana apa? Kerana  rasa rendah diri beliau dan takut kepada bayang-bayang sendiri.

Sekarang ini tinggallah pemimpin-peimpin yang pucat-pucat, seperti orang yang bercacing ‘kerawit’, untuk memimpin negeri itu. Itu sebabnya orang Melayu di Negeri Sembilan lebih mengenali Taufek, ADUN tunggal PAS, di sana dan ramai orang-orang Melayu UMNO akan berpindah randah di dalam peti undi nanti.

Lama juga saya berada dalam parti itu dahulu dan saya tahu apa yang sedang berlaku. Mungkin saya tidak tahu apa yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpinnya tetapi saya dapat merasakan yang ahli-ahli biasa dalam UMNO itu sudah lumpuh semangat nya dan tidak berdaya untuk mempertahankan arus perubahan di kalangan rakyat yang ramai. Siapa yang hendak menidakkan pandangan saya ini, mereka boleh berbuat sekendak hati mereka. Tetapi hakikatnya UMNO sudah lumpuh kerana pimpinan UMNO telah membunuh benih-benih kepimpinan sebegitu lama bukan sahaja di NS tetapi di seluruh negara.

Sekarang UMNO hanya tinggal dari kalangan yang ‘buta mata hati’ tentang politik dan siasah. Tetapi oleh kerana semuanya dalam kategori yang sama mereka menganggap mereka yang menentang seperti saya ini sebagai pengkhianat kepada negara.

Sesungguhnya pengkhianat itu akan menganggap semua yang lain itu pengkhianat seperti mereka juga. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Sampailah masanya UMNO itu duduk di petak pembangkang untuk mendapatkan masa bagi melakukan perubahan dalamannya.

Kalau orang besar-besar macam Dr Mahathir boleh beralih-alih perjuangannya kenapa pula orang biasa seperti kita ini takut untuk melakukan seperti apa yang beliau telah lakukan itu?

Dalam pilihanraya dulu beliau minta rakyat memilih calon, tetapi sekarang beliau meminta orang memilih parti pula. Dia ingat orang ramai ini siapa? Beliau mesti ingat pengundi-pengundi sekarang terdiri dari manusia yang berfikir, bukannnya haiwan belaan yang boleh dicucuk hidungnya.

19 February 2013

Sebenarnya siapa menggigit tangan yang memberi?...Dr Mahathir atau...

Kali ini peneroka Felda pula yang menjadi sasaran kempen Dr Mahathir dalam siri lawatan beliau berkempen pilihanraya yang akan datang ini. Peneroka Felda merupakan satu golongan besar yang mampu melakukan perubahan kepada struktur politik negara kerana kumpulan ini merupakan kumpulan yang besar dan berkolompok dan menjadi rebutan kepada semua pihak yang bersaing dalam setiap kali pilihanraya.

Dr Mahathir seperti biasa menggunakan isu membalas budi untuk mendapatkan sokongan peneroka bagi UMNO yang kian hari kian menipis sokongan dari rakyat termasuk orang Melayu sendiri. Kalau selama ini peneroka Felda menjadi kubu untuk UMNO tetapi kali ini arus perubahan yang sedang berlaku di negara sekarang sudah menular ke dalam penempatan peneroka di rancangan Felda.

Isu menggigit jari pihak yang memberi makan itu tidak timbul dalam politik kerana peneroka juga merasakan tanggungjawab mereka terhadap negara yang mereka cintai itu. Mereka sudah tidak mahu terikut-ikut dengan nasihat lapuk dari pimpinan UMNO dan BN sekarang kerana peneroka juga bertanggungjawab terhadap  keselamatan masa depan anak-anak dan generasi mereka.

Nasihat Dr Mahathir itu satu nasihat yang terbalik arahnya. Sepatutnya nasihat itu datangnya dari peneroka kepada pimpinan UMNO yang telah menggunakan kebaikan hati peneroka selama ini sebagai satu kelemahan yang boleh diambil kesempatan dan dijadikan sebagai dahan-dahan bengkok untuk kera-kera liar meniti.

Peneroka juga mempunyai hati dan budi yang tinggi dan kerana hati budi yang tinggi terhadap negara itulah mereka sudah ramai keluar bertindak untuk menolak satu kerajaan yang tidak boleh menjamin masa depan rakyat dan generasi mereka. Peneroka terutamanya bagi generasi kedua sekarang ini mengambil tanggungjawab untuk bersama membanteras kelakuan pimpinan yang rasuah dan menggunakan kesempatan keatas rakyat termasuk peneroka yang baik hati selama ini.

Negara yang memberikan mereka tanah dan ladang dan mereka telah bersetuju untuk membayar segala apa yang mereka telah dapati. Mereka tahu dan memahami yang kerajaan telah mengambil segala kesempatan ke atas mereka untuk keuntungan golongan kapitalis besar yang menjadi kroni kepada kerajaan dan parti yang memerintah. Letih rasanya untuk mengulangi apa yang UMNO telah lakukan terhadap mereka.

Hanya peneroka tahu dan faham yang mereka mula bertindak untuk melakukan perubahan itu di atas sebab-sebab dan alasan yang kukuh. Lagipun sememangnya tanggungjawab mereka untuk bersama rakyat yang lain untuk menukar kerajaan yang sedang ketagih rasuah dan gila kuasa sekarang dengan kerajaan yang baru yang lebih meyakinkan.

Masakan kerana budi kerajaan itu perlu dibalas dengan sokongan berterusan walaupun kerajaan itu telah melakukan segala gejala yang buruk terhadap negara sekarang ini. Memberikan sokongan terhadap mereka yang telah menyeleweng itu adalah satu fardu kifayah dan ia wajib dilakukan dalam pilihanraya ini. Kita ada kata-kata dan perbidalan bagi menguatkan alasan untuk menukar kerajaan hari ini, iaitu ‘raja yang adil raja disembah, raja yang zalim raja disanggah’.

Apa yang benar-benar merosakkan negara serta siasahnya ialah kerana sikap kita menggunakan nilai berterima kasih itu tanpa berlandaskan kepada moral yang betul. Apa yang sedang dan telah pun ditanam oleh pihak kerajaan ialah untuk mereka terus menerima terima kasih kepada mereka walaupun mereka sudah hilang kelayakkan moralnya untuk mentadbir negara kerana perlakuan buruk yang terbentuk oleh kerana kuasa yang mereka (UMNO) tidak rela melepaskannya.

Bagi Dr Mahathir isu ini sememangnya isu yang paling mudah bagi beliau dan beliau tidak mempunyai alasan lain untuk memberikan sebab kenapa mereka mesti terus berkuasa. Nilai membalas budi ini pun tidak ada dalam diri Dr Mahathir itu sendiri. Mahathir telah menggigit tangan Hussein Onn dengan secara halus kerana mahukan jawatan yang di pegang oleh orang yang melantik beliau itu sendiri.

Mahathir telah meninggalkan UMNO ciptaan beliau semasa menghadapi pilihanraya yang lalu. Yang terlebih besarnya Mahathir telah menggigit parti UMNO yang telah menaikkan beliau dengan mengharamkan parti itu pada tahun 1988 dahulu. Mahathir telah membuang secara sistematik semua rakan-rakan seperjuangannya dalam kerakusan kuasa yang beliau  telah nikmati dengan sokongan rakan-rakan beliau sendiri.

Orang yang baru dua puluh tahun menyertai UMNO ini tidak akan memahami siapa Dr Mahathir ini sebenarnya. Tetapi kenaifan mereka tidak boleh menghalang sesiapa yang telah melalui sejarah dari awal politik negara kita. Mahathir bukannya menjadi Perdana Menteri kerana kekuatan beliau, tetapi kerana pengorbanan rakan-rakan seperjuangan beliau yang akhirnya beliau ketepikan secara sistematik itu.

Bagaimana Dr Mahathir hendak menyorokkan sifat menggigit tangan yang memberikan beliau makan kepada mereka yang sudah lama terlibat dengan politik negara kita ini? Dr Mahathir boleh temberang sekehendak hati beliau tetapi kepada yang mampu untuk mentelaah kejadian-kejadian yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri tidak akan dapat lari dari mengakui yang hampir kesemua gejala buruk yang terbentuk di dalam UMNO itu adalah hasil tangan Mahathir sendiri.

Sekarang orang yang telah menggigit tangan dan jari semua orang yang memberikan beliau segala-galanya ini menasihatkan orang lain supaya jangan menggigit tangan yang memberi itu. Entah apa sebabnya Mahathir sedang begitu kelam kabut dengan pertukaran pemikiran rakyat kali ini hanya beliau sahaja yang tahu.

Tetapi hukum akal mengatakan Mahathir merupakan orang yang terlalu takut kepada perbuatan dan kesalahan yang telah beliau lakukan sendiri. Beliau takut kepada demokrasi dan beliau tidak mahu menerima ‘consequence’ kepada demokrasi itu.

Itulah sebabnya demokrasi itu bukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya tetapi demokrasi itu wajar selari dengan moral demokrasi itu sendiri. Dr Mahathir tidak mampu untuk melaksanakan demokrasi selari dengan moralnya sekali.

Kepada penoroka Felda, tuan-tuan semua berhak memantau kelakuan dan sikap pimpinan yang ada sekarang. Apa yang saudara lakukan dalam pilihanraya nanti mestilah berdasarkan kepada moral kepimpinan yang ada pada hari ini dan tidak semata-mata mengenang jasa pihak yang telah menjadikan negara kita ini tidak mempunyai siasah dan politik yang bermoral.

Kalau hendak mengenang jasa itu kenanglah jasa negara, bukannya kepada parti yang sedang dalam ketagihan dan kerakusan kuasa itu. Tidak wajar kita mempercayai laungan UMNO yang orang Melayu akan hilang segala-galanya jika UMNO hilang kuasa.

Malahan jika orang dan pemimpin UMNO yang ada pada hari ini terus mendapat mandat, Melayu akan hilang dunianya dan segala-gala yang ada pada mereka sekarang ini. Peneroka mesti ingat UMNO telah di beri isyarat sejak dua puluh tahun lebih dahulu untuk memperbetulkan keadaan tetapi mereka tidak melakukan apa yang wajar.

Sekarang ini UMNO melutut pula untuk terus mendapatkan sokongan ramai. Janji-janji mereka untuk memperbetulkan keadaan ini telah kita dengar setiap kali pilihanraya mendatang, tetapi kita lihat sendiri tiada apa yang dilakukannya untuk memperbaiki imej dan moral mereka walaupun masa yang banyak telah diberikan kepada mereka untuk berubah.

UMNO sudah hilang segala-galanya. Jika benar UMNO itu parti yang bertanggungjawab selama ini masakan negara kita berada dalam situasi yang kita alami sekarang ini. Ingat, UMNO tidak akan berubah. Jika ada pun perubahan ia adalah perubahan yang seperti kata perbilangan Inggeris, perubahan ‘from bad to worst’.

Kita kena berubah. ‘It’s now or never!’.

18 February 2013

UMNO itu pertubuhan haram, maka tidak sah memimpin negara

UMNO sedang sibuk untuk meminta ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk melakukan siasatan ke atas isu pemilihan CEC parti DAP di Pulau Pinang Januari lalu. Hishamuddin Hussein, baru sahaja menghadapi malu kerana meminta ROS mengambil tindakan terhadap DAP kerana gagal menghantar laporan persidangan tahunan DAP dalam jangka masa yang telah di tentukan. Ketua Pengarah ROS juga berkata dengan nada yang sama.

Tetapi akhirnya telah jelas yang isu itu merupakan isu yang tidak wujud kerana laporan yang di perlukan itu sesungguhnya telah di hantar oleh DAP pada 8hb Februari yang lepas. ROS telah memohon maaf kepada DAP kerana kesilapan itu. Hishamuddin berkata di Johor dua hari yang lepas mengakui yang laporan yang di hantar oleh DAP pada 8hb Februari itu tidak sampai ke pengetahuannya. Ketua Pengarah ROS juga mengakui kesalahan tidak mengetahui yang DAP sudah pun menghantar laporan itu ke pejabat ROS dalam tempoh yang di benarkan.

Hishamuddin terus berkata apabila laporan itu sudah dihantar sekarang sampailah masanya ROS menyiasat tentang tuduhan yang DAP telah melaksanakan pemilihan secara tidak betul dan berlaku penipuan dalam proses pemilihan CEC itu. Oleh kerana pilihanraya sudah hampir dan ternyata DAP telah mendapatkan sokongan dan meningkatkan pengaruhnya di kalangan rakyat berbilang kaum. Maka parti ini sedang menghadapi tekanan yang berbagai-bagai dari pihak kerajaan, dan kali ini menggunakan isu yang kononnya ada penipuan dalam pemilihan CEC bulan Januari yang lepas.

Sesungguhnya ROS bebas untuk melakukan siasatan itu kerana sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap isu ini, tidak siapa pun boleh menghalang ROS melakukan penyiasatan berdasarkan kepada laporan yang di buat oleh beberapa orang ahli DAP sendiri itu. Kita faham pihak kerajaan dan Kementerian yang bertanggungjawab sedang berusaha melakukan apa sahaja untuk memberikan tekanan terhadap DAP yang kian hari kian berpengaruh termasuk dikalangan orang Melayu sendiri.

Tetapi saya tidak mahu menyentuh tentang penyiasatan itu, tetapi saya hanya hendak memberikan pandangan yang sebenarnya yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri. ROS mesti melakukan siasatan terhadap UMNO yang mempunyai hampir 20,000 cawangan itu.

Kita semua tahu UMNO sudah tidak wujud secara moralnya di cawangan-cawangan di seluruh negara. Tidak banyak cawangan yang bergiat dan UMNO sesungguhnya sedang menghadapi ‘brain death’ di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan di seluruh negara. UMNO merupakan parti yang melakukan penipuan dihampir kesemua bahagian di seluruh negara termasuk di bahagian Pekan, tempat Najib menyandarkan harapan dan masa depan beliau.

Boleh dikatakan hampir 50 peratus dari cawangan-cawangan di seluruh negara bermesyuarat agong cawangan mereka tidak mencukupi korum mesyuarat. Ahli-ahli yang terdaftar dengan parti itu sendiri tidak berminat untuk menyertai kegiatan parti itu termasuk untuk hadir dalam mensyuarat agong cawangan mereka sendiri. Tetapi tidak ada pun cawangan yang dimatikan atau digantung oleh ROS.

Kebanyakkan ketua-ketua cawangan telah membuat laporan palsu dan jumlah cawangan yang melakukannya adalah dalam jumlah ribuan. Banyak minit-minit mesyuarat cawangan-cawangan UMNO di palsukan kerana cawangan-cawangan itu gagal mendapatkan korum yang secukupnya bagi mesyuarat agong cawangan mereka. Cawangan-cawangan ini akan menghantar perwakilan ke persidangan tahunan bahagian dan ini secara otomatik akan menjadikan persidangan perwakilan bahagian itu terbatal kerana kehadiran perwakilan dari cawangan-cawangan yang haram di seluruh negara.

Maka dengan sendirinya semua perhimpunan agong UMNO di Kuala Lumpur setiap tahun itu adalah persidangan-persidangan yang haram dari segi undang-undang pertubuhan negara. Jika benar ROS betul-betul bertanggungjawab terhadap tugas dan fungsi jabatan itu, maka UMNO perlu di siasat dan saya boleh memberikan jaminan yang penyiasatan itu akan lengkap dalam masa sehari dua sahaja kerana perkara ini berlaku di dalam ribuan cawangan-cawangan parti itu.

UMNO baru ini telah memasukkan klausa dalam perlembagaan parti itu di mana tidak boleh sesiapa pun dibenarkan membawa parti itu ke mahkamah oleh ahli-ahli yang tidak berpuas hati. Kandungan Bab ini adalah di sebabkan UMNO tidak berkeyakinan yang mereka mampu melunaskan syarat dan peruntukan dalam bab atur-peraturan parti itu dan Pimpinan UMNO Tertinggi takut parti itu akan menghadapi kes-kes mahkamah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya yang bertimbun-timbun.

Itu bezanya di antara DAP dengan UMNO. Ahli-ahli DAP boleh membawa kes ketidak puasan hati ahli-ahlinya kemuka pengadilan sedangkan ahli-ahli UMNO tertekan kerana tidak dibenarkan oleh perlembagaan mereka untuk membawa partinya ke mahkamah.

Sesungguhnya tanpa melakukan apa-apa penyiasatan pun kita tahu UMNO yang baru ini adalah sebuah parti yang haram dari sudut undang-undang pertubuhan. Parti itu parti yang menekan terhadap ahli-ahlinya. Sesiapa yang membawa kes parti mereka ke Mahkamah akan dipecat dan tidak ada tempat untuk merujuk untuk penyelesaian masalah mereka. Itulah sebabnya UMNO sudah mati sebenarnya kalau kita lihat dari segi undang-undang dan etika serta moral nya.

Cawangan-cawangan yang merupakan tempat kuasa di perolehi itu tidak berfungsi lagi. Sesungguhnya UMNO sudah tiada lagi kerana UMNO tidak dapat dikawal lagi oleh mana-mana badan dan Jabatan Penguat kuasa Pertubuhan.

Saya ulangi, UMNO itu adalah parti yang haram yang sedang berkuasa dan tentulah kerajaan yang sedang dipimpin oleh UMNO itu bukanlah kerajaan yang ‘legitimate’ lagi. ROS boleh lakukan apa sahaja terhadap DAP dan belum tentu lagi ada penyelewengan dalam pemilihan parti itu.

Tetapi yang pastinya UMNO adalah haram dari segi pertubuhannya kerana di setiap peringkat khususnya di banyak cawangan-cawangan nya, minit mesyuarat mereka adalah minit mesyuarat yang palsu. Justeru, semua pemegang jawatan dalam UMNO di setiap peringkat sekarang ini sepatutnya di batalkan oleh ROS serta merta. Saya tidak berapa berani untuk melabelkan UMNO itu sebagai pertubuhan haram, tetapi keadaan macam itu lah lebih kurang.

Oleh itu elok ROS mengarahkan UMNO mengadakan mesyuarat agong cawangan-cawangan, persidangan perwakilan bahagian-bahagian serta perhimpunan agong sekali lagi untuk memberikan ‘legitimacy’ kepada Najib sebagai Presiden dan semua ahli yang menganggotai Majlis Tertinggi itu.

Buat masa sekarang mereka sedang memegang jawatan-jawatan itu secara haram dari segi undang-undang pertubuhan. Selesaikan masalah UMNO dahulu sebelum menyelesaikan tuduhan terhadap DAP itu.

Itulah sebabnya rakyat mahukan perubahan dari sebuah kerajaan yang ‘tidak legitimate’ kepada sebuah kerajaan yang ‘legitimate’. Kita lakukan dalam pilihanraya ini nanti. Jangan undi parti yang tidak sah.