“Putrajaya mesti dipertahankan dengan cara apa sekalipun,” kata Najib dalam ucapan penggulungan beliau di perhimpunan Agong UMNO Sabtu lalu. Kata-kata ini membayangkan betapa jelasnya kepercayaan pimpinan kita sendiri bahawa pihak alternatif berkemampuan untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan jika pilihanraya umum diadakan.
Buat kali pertama seorang PM membayangkan garis-garis pertahanan bagi UMNO untuk mengelak daripada PR mengambil alih Putrajaya dengan mengingati orang ramai bahawa jika mana-mana pihak bercita-cita untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan mestilah mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
Peringatan PM Najib telah membayangkan bahawa beliau mempercayai Raja-raja Melayu itu hanya bertanggungjawab untuk mempertahankan UMNO sahaja untuk memerintah meskipun pemimpin-pemimpinnya melakukan perkara yang tidak baik dan tidak bermoral misalnya. Lain-lain perkataan memberikan taarifan bahawa Raja-Raja Melayu mesti mempertahankan UMNO ‘at all cost’. Intepretasi ini amat mengelirukan.
Sudah menjadi persepsi ramai bahawa ucapan Najib menterjemahkan perasaan desperate UMNO kerana kekalahan UMNO lebih banyak kerusi dalam PRU yang akan datang merupakan suatu yang ‘imminent’ maka beliau secara terus dan terang mengajak ahli-ahli UMNO di setiap peringkat untuk melakukan usaha ‘circumvention’ terhadap cita-cita PR untuk menjadi pentadbir kepada Kerajaan Persekutuan selepas sahaja keputusan pilihanraya diumumkan.
Tetapi apa yang disebut oleh PM Najib ‘at all cost’ itu membuahkan pula persepsi baru, iaitu berbuat apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya walaupun dengan permainan kotor. Ramai yang berpendapat tujuan Najib untuk mengeluarkan isu kuasa Raja-Raja sebagai benteng terakhir itu merupakan satu momokan dan menakut-nakutkan pengundi.
Sekarang Najib dan UMNO sedang cuba untuk menggunakan benteng terakhir dan jika benteng ini juga tidak termampu untuk menolak PR ‘marching’ ke Putrajaya maka sampailah hayat UMNO ke penghujungnya. Raja-Raja Melayu yang dihina dan dinista pada 1993 dahulu ini kembali djunjung oleh UMNO kerana keterdesakan parti itu menghadapi rakyat yang ramai ini. Alhamdulillah parti kita sudah sedar bahawa Raja-Raja Melayu itu merupakan institusi penting bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Semasa kuat dahulu, UMNO dan pemimpin-pemimpinnya cuba untuk menghilangkan kuasa Raja-Raja Melayu seperti yang dilakukan oleh British untuk menubuhkan Malayan Union dahulu. Sekarang apabila sudah terdesak barulah hendak mencelah di bawah ketiak Raja-Raja Melayu.
Keputusan Muhyiddin untuk menjadikan sejarah sebagai mata pelajaran wajib, patut kita sokong kerana melalui sejarah itulah kita boleh memberikan pengetahuan kepada generasi muda bagaimana UMNO menghina Raja-rajanya sendiri semasa krisis perlembagaan 1993 dahulu. Tuliskan dalam buku sejarah itu bagaimana BN dan UMNO meminda Perlembagaan Negara, Bab 159 (5) dan 181 (2) dan waktu itulah bermulanya Melayu sedikit sebanyak kehilangan identitinya.
Satu lagi isu yang ditimbulkan oleh Najib ialah bagi UMNO untuk bersedia melakukan perubahan dalam kepimpinan UMNO di peringkat negeri-negeri. Blog ini dan banyak lagi pihak telah memberikan ingatan beberapa tahun dahulu betapa pentingnya transformasi kepimpinan negeri-negeri itu dilakukan dengan mengorbankan pemimpin-pemimpin yang tidak lagi berguna kepada parti.
Kejatuhan beberapa negeri ke tangan pembangkang pada pilihanraya yang lepas yang disebabkan oleh penolakan kepimpinan negeri adalah penyumbang terbesar sehingga UMNO/BN tidak mampu mempertahankan gelombang perubahan semasa itu.
NS merupakan sebuah lagi negeri yang amat merbahaya jika isu kepimpinan negeri tidak diberikan perhatian serius oleh parti. Zaman pucuk pimpinan untuk berseronok dengan ampuan pemimpin-pemimpin negeri yang tidak laku untuk terus menyambung kepimpinan mereka sudah berakhir. NS perlu perubahan besar jika mahu berselera untuk mendapatkan keyakinan rakyat terhadap BN khususnya UMNO.
Persoalannya sekarang, jika pemimpin-pemimpin ini diketepikan, siapa pula yang menggantikan mereka? Masalah mencari pengganti kepada yang hendak diketepikan ini merupakan isu yang sangat besar, kerana pemimpin yang sebenarnya pemimpin secara relatifnya berada di luar kepimpinan Bahagian dan Negeri.
Usaha untuk mencari benih kepimpinan di setiap Bahagian dan Cawangan sudah terabai sejak 3 dekad yang lalu sehinggakan sudah menjadi persepsi ramai bahawa pemimpin-pemimpin yang berkuasa di peringkat bahagian di seluruh negara merupakan mereka yang tidak mempunyai ‘legitimacy’ sebagai pemimpin.
UMNO di setiap peringkat sudah hilang segala ‘connectivity’nya dengan rakyat pengundi. Sifat angkuh yang tidak mahu menerima pandangan berbeza selama ini telah terbukti menghasilkan UMNO yang kita lihat pada hari ini. Siapa yang hendak melakukan transformasi yang diidamkan oleh pucuk pimpinan pada hari ini? Siapa?
Bagaimana mereka yang perlu ditransformasikan itu melakukan transformasi? Setiap pemimpin di setiap peringkat wajar ditransformasikan dan saya tidak nampak bagaimana ianya hendak dilakukan sebab yang hendak melakukan transformasi itu pun perlu untuk direformasikan.
Persepsi rakyat sudah tidak dapat diperbaiki lagi dan secara logiknya jika transformasi hendak dilakukan pemimpin yang diperlukan untuk melakukan transformasi itu mesti datangnya dari luar barisan kepimpinan di setiap peringkat. Rakyat perlu ditunjukkan bahawa parti serius untuk berubah.
Jika pucuk pimpinan hanya meminta orang dan kepimpinan di peringkat bawahan melakukan transformasi itu ia tidak akan menjadi. Ianya akan terhempas sebelum terbang. Manusia yang patut diberikan tugas transformasi itu mestilah seorang yang dihormati masyarakat berbilang kaum dan budaya di negara ini.
Isi kandungan ucapan Presiden parti baru-baru ini banyak yang tidak perlu disebut kerana semuanya sudah lengkap di dalam Perlembagaan negara. Yang salahnya oleh kerana kepimpinan parti tidak lagi mendapat penghormatan yang sepatutnya maka masing-masing pemimpin dalam BN telah dibiarkan membuat kenyataan-kenyataan yang membayangkan BN itu tidak bersatu dengan baik.
Soi Lek dengan jelas membayangkan ketidakpuasan hati beliau terhadap kandungan ucapan Presiden UMNO itu apabila beliau meminta tidak diungkit lagi tentang bab 151, 152, 153 perlembagaan yang telah sama-sama dipersetujui oleh semua kaum semasa bekerja keras untuk mencapai kemerdekaan kita dahulu.
Soi Lek jelas mahukan peruntukan yang melibatkan keistimewaan orang Melayu itu dipinda dan diubah. Soi Lek jelas mahu perlembagaan kita patut dan perlu diubah dan dianjak. Nampaknya sikap dan pemikiran pemimpin parti kaum Cina itu tidak lagi menyokong perlembagaan kita secara terang-terangan. Mempersoalkan Perlembagaan serupalah tidak menghormati negara dengan terang kerana setiap negara akan melengkapkan Perlembagaannya setelah mendapat persetujuan ramai.
Kalau dahulu bab-bab dalam perlembagaan ini tidak dipersoalkan kenapa sekarang pula dipersoalkan? Kita bukan tidak tahu jawapan kepada soalan itu. Jawapanya ialah parti itu dan pemimpinnya sudah tidak relevan kepada bangsanya sendiri. Kenapa orang Cina tidak memberikan sokongan kepada parti itu lagi?
Jawapannya ialah kerana orang Cina memerhatikan bahawa MCA adalah parti yang bersekongkol dengan UMNO yang menjadi tunjang kepada BN tidak mempunyai kekuatan lagi, dan tidak dihormati sebagai parti yang parti yang didukung oleh orang Melayu sendiri.
Orang Melayu pula tidak lagi mahu memberikan sokongan padu kepada UMNO kerana terlalu ramai orang Melayu yang mereka tidak mempunyai faedah kepada mereka kerana faedahnya hanya diperolehi oleh hanya segelintiran orang Melayu yang mempunyai hubungan dengan mereka yang berkuasa. Walaupun mereka mempunyai keistimewaan dalam dasar-dasar yang tertentu mereka dapati yang mereka hanya mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang berkuasa sahaja yang dapat memanfaatkan keistimewaan itu.
Pendeknya, mereka berpendapat bahawa pembahagian rezeki dan peluang bukan didasarkan kepada dasar yang ada itu, tetapi dasar itu dimanipulasi oleh mereka yang ada hubungan istimewa dengan yang berkuasa. Keadaan sudah terlalu parah sehinggakan orang Melayu sudah tidak lagi mempercayai kata-kata dan janji-janji pemimpin walaupun dasar yang digubal untuk mereka itu ada dan nyata kewujudannya. Mereka tidak salah jika membuat tekaan yang apa-apa dasar yang disebut oleh Najib dalam perhimpunan agong UMNO itu tidak akan terlaksana seperti apa yang dijanjikan.
Sebenarnya rungutan ini sudah lama kita dengari, tetapi pemimpin kita mengambil segala-galanya ‘for granted’. Oleh kerana sejak berdekad orang Melayu memberikan sokongan tanpa berbelah bagi tetapi mereka dikecewakan satu demi satu. Justeru ucapan yang berbunyi seperti halalintar sekalipun amat payah untuk meyakinkan rakyat yang sudah mempunyai persepsi yang buruk terhadap kerajaan pada hari ini.
Jadi cara yang paling cocok untuk dilakukan ialah pengorbanan pimpinan yang ada pada hari ini. Jika terpaksa memberikan kepada seorang pemimpin yang mampu setidak-tidaknya untuk membawa pimpinan dari parti-parti yang berbagai di negara ini untuk berunding dan menggubal segala dasar-dasar yang baik untuk semua pihak maka ianya mesti dilakukan segera.
Kata-kata Najib yang memberikan ingatan yang kita mesti lakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya itu merupakan satu ugutan kerana Najib tidak menyebut apa maksud beliau apabila mengatakan ‘akan berbuat apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya’ memberikan gambaran yang kita berkuasa akan melakukan perkara yang tidak diingini ramai asalkan sahaja kuasa berada di tangan kita.
Kata-kata itu bagi saya merupakan kata-kata yang amat merbahaya. Ianya membayangkan bahawa beliau tidak sanggup menerima keputusan rakyat dalam pilihanraya.
Kalau tidak sanggup menerima keputusan yang tidak memihak kepada kita maka cari sahaja jalan supaya kita tidak mengadakan pilihanraya lagi. Itulah sebabnya pemimpin-pemimpin kita patut dari dulu lagi mendekati perasaan rakyat dan bukannya menggunakan kuasa eksekutif semata-mata untuk kekal berkuasa.
Jika rakyat menolak kita, kita wajar menerimanya kerana kesalahan letaknya kepada kita. Kita tidak mahu menerima teguran dan terus menerus melakukan perkara yang tidak disukai orang ramai.
Apabila rakyat menolak kita kita menyalahkan semua pihak dan tidak mahu menyalahkan diri kita sendiri. PAS salah, PKR salah, Pak Lah salah, Raja Petra salah, Nik Aziz salah, Kit Siang salah, Guan Eng salah dan semua pihak salah. Yang tak pernah salah hanyalah UMNO dan BN.