08 September 2016

Jika benar Dr Mahathir melakukan onar,yang menyokongnya semasa itu ialah Najib, Anwar dan lain-lain



Bahagian 1

Penyokong-penyokong tegar Najib begitu obses dengan lontaran kutukan terhadap Dr Mahathir seolah-olah hanya Dr Mahathir yang mahukan beliau meletakkan jawatan sebagai PM negara ini. Dr Mahathir telah menjadi bahan makian oleh kumpulan yang menyokong Najib ini dengan menyebut dan menyelongkar segala perkara yang mereka anggap sebagai jenayah yang dilakukan oleh Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun itu.

Jika pun benar segala tuduhan mereka terhadap Dr Mahathir mereka tidak terlepas dari dosa-dosa yang dilakukan oleh Dr Mahathir kerana Najib, Anwar Ibrahim dan semua mereka itu ada didalam Jemaah Kabinet Dr Mahathir. Jika Mahathir melakukan jenayah ia bermakna Najib, Anwar dan yang lain-lain itu bersama-sama bertanggungjawab diatas dasar ‘collective responsibility’ sebagai ahli Jemaah Kabinet Dr Mahathir.

Pendeknya mereka yang bertelagah dengan Dr Mahathir merupakan mereka yang bersama-sama berdosa dengan tindakan ala penjenayah jika benar dilakukan oleh Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri dahulu. Perlu diingat Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet itu sama tarafnya, hanya seorang Perdana Menteri itu adalah ‘first among equal’ dikalangan ahli-ahli Jemaah Kabinet itu. Jika membuat sesuatu keputusan baik atau sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua Menteri-Menteri termasuklah Najib, Anwar Ibrahim dan yang lain-lain.

Pendeknya kutukan Najib terhadap Dr Mahathir itu merupakan kutukan terhadap dirinya sendiri. Begitu jugalah kutukan penyokong Najib terhadap Dr Mahathir itu adalah kutukan kepada pemimpin yang mereka sokong itu. Oleh itu elok Najib dan penyokongnya bercakap diatas landasan yang betul jika mahu mengutuk dan mengkritik Dr Mahathir itu.

Tidak boleh Najib mengatakan yang Dr Mahathir adalah penyebab kepada kecelaruan hari ini kerana Najib sendiri adalah ahli kepada Jemaah Kabinet Dr Mahathir. Begitu juga Anwar Ibrahim, beliau merupakan penyokong Dr Mahathir yang paling tegar. Kalau tidak masakan Anwar berucap di PWTC suatu ketika dahulu seraya berkata ‘seandainya boleh ku putar awan dilangit aku akan tuliskan nama mu Dr Mahathir Mohammed’.

Tetapi apabila sudah bertengkar dan berselisih faham mereka ini mengutuk Dr Mahathir yang mereka sokong dengan begitu kuat, seolah-olah tidak ada pimpinan yang lain yang layak untuk memimpin negara ini. Tidak mungkin Dr Mahathir boleh melakukan apa yang beliau telah lakukan seandainya pemimpin-pemimpin dibawah beliau seperti Anwar, Najib dan lain-lain menteri tidak bersetuju dengan tindakan dan apa-apa keputusan yang hendak dilakukan oleh Dr Mahathir. Bagi Najib dan yang lain mengatakan yang buruk tentang Dr Mahathir adalah serupakan memburukan dirinya sendiri.

Bagi rakyat yang ingin mereka lihat ada usaha untuk memperbaiki keburukan yang dilakukan oleh Najib dan kabinetnya, tidak kiralah usaha dilakukan oleh mereka yang pernah melakukan kesilapan dan kesalahan. Yang penting sekarang jika Najib masih berkuasa dengan sewenang-wenangnya negara ini akan hancur lumat dan tidak akan lagi berada dalam keadaan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Pembunuhan UMNO asal oleh Dr Mahathir adalah diatas sokongan semua pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai jawatankuasa penaja parti baru itu. Ingat alamat parti tersebut terdaftar di Seri Perdana dan diantara mereka yang menganggotai jawatankuasa tertinggi penajanya ialah Abdullah Badawi, Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak dan yang lain-lain yang telah menyeleweng itu. Justeru yang dikutuk dan yang mengutuk adalah dari kumpulan yang sama yang sudah tidak sehaluan lagi. Mereka sanggup memusnahkan institusi politik orang Melayu dan sekarang ini mereka ini jugalah yang bercakap tanpa malu tentang perjuangan Melayu dan agamanya.

Politiknya tiada, agamanya pun hancur dan tidak keruan hala tujunya. Itu sebabnya blog ini sejak bertahun-tahun dahulu meramalkan barangan tiruan tidak akan tahan lama. Umno yang ada pada hari ini adalah Umno tiruan dan tidak mungkin sama kualitinya dengan Umno yang pimpinan bunuh dahulu. Pembunuhan Umno lama dahulu bukan sahaja melibatkan parti Umno itu sahaja, malahan ia telah menjahanamkan semangat pengasingan kuasa dalam negara kita.

Politik dan eksekutif telah menguasai badan kehakiman serta legislatif. Sejak itu kuasa tertumpu ditangan Perdana Menteri Dr Mahathir dan PM-PM seterusnya, dan yang lebih buruk sekali keadaannya ialah dibawah Perdana Menteri Najib. Perdana Menteri Malaysia sekarang lebih kuat kuasanya dari Presiden AS kerana PM negara ini boleh memasukkan dan mengeluarkan orang dari penjara. Mahkamah hanya merupakan ‘rubber-stamp’ sahaja dan tidak tahulah bagaimana generasi yang akan datang menerima keadaan ini.

Bagi blog ini isu 1MDB ‘is a done issue’ dan segala yang wajar dilakukan oleh rakyat wajar dilakukan dengan sepenuhnya. Tetapi yang lebih penting lagi ialah kehancuran ‘struktur’ politik dan kerajaan merupakan satu perkara yang besar dan jika ia tidak ditangani dengan segera dan cara yang betul, negara akan musnah dan ia tidak akan lagi mempunyai ‘form’ dan budaya yang sepatutnya ada bagi sesebuah negara yang maju atau negara yang ingin maju seperti yang dilaungkan oleh ramai pemimpin tetapi tidak memahami apa yang mereka laungkan itu.

Tidak mungkin pemimpin-pemimpin dari dalam kabinet hari ini boleh dan mempunyai kemampuan untuk melakukan ‘structural changes’ ini kerana mereka adalah penyumbang kepada kerosakan struktur politik dan kerajaan hari ini. 'To the ethics of democracy once there is a change in the country's leadership the entire current cabinet should resign as they have failed as the managers of the country as mandated by the people'.

Mereka yang ada pada hari ini hanya akan melebarkan lagi masalah ketegangan antara kaum dan impian untuk mencapai ‘ultimate’ kita iaitu perpaduan nasional tidak mungkin tercapai sampai bila-bila.


Sekian buat kali ini.

7 comments:

Anonymous said...

biasa lah bila kelahi tak nampak dah benda lain cuma nampak keburukan orang lain sampai lupa bagaimana mereka bersama berganding tenaga menzalimi dan berbuat kemungkaran. Apakah mereka merasa rakyat dah lupa bagaimana mereka menjadi penyokong kuat Mahathir dan menjadi Pembela Tegar Mahathir ketika itu. Nak kata haram jadah memang jelas haram jadahnya golongan mereka ni. Barangkali benarlah orang UMNO ni jenis munafik yang nyata lagi durjana.

Namun bak kata bidalan orang putih " what goes around comes around " kita sama-sama tunggu bagaimana pula diorang akan memaki dan mencaci Najib bila Najib dah tidak lagi berada di kedudukan sekarang. Apakah mereka akan katakan bila terbukti penyelewengan Najib akan membawa kepada kehancuran kepada Najib, Rosmah dan UMNO seluruhnya. Tunggu lah sesungguhnya ketentuan itu amat hampir

Anonymous said...

Yang peliknya kenapa tuduhan, makian ke atas Najib tak diambil kira. Walhal sekiranya terbukti berlaku penyelewangan, kenapa sampai kini tiada pendakwaan rasmi dilakukan.Kenapa tidak dilaporkan kepada DYMM yang mana DYMM mempunyai kuasa mutlak ke atas PM. Kenapa??
Tetapi yang sinisnya sudah bertahun perkara yang sama dilontarkan oleh puak pembangkang sehingga Mahathir masuk campur dan yang menjengkelkan ialah dia nak buat demonstrasi jalanan. Saya terpaksa kata Mahathir2, apa la ku nak buat ni. Mengata orang awak yang lebih. Tepuk air didulang, terpecik ke muka sendiri. Bagai meludah ke langit.

Dan sememangnya tuduhan, makian, cacian ke atas Mahathir ada asasnya bersandarkan kepada era Mahathir dahulu dan tindakan terkini bersama dengan pembangkang. Tidak kah tindakan itu mengundang pelbagai andaian memandangkan dia dulu pernah menjadi PM dan kita sendiri tahu bagaimana reaksinya terhadap pembangkang. Dan tidakkah kamu tahu yang Mahathir juga melakukan sesuatu tetapi lontar batu sembunyi tangan. Malas nak cakaplah apa yang Mahathir buat tetapi satu Malaysia tahu.

Dan takkanlah kamu tak tahu kenapa Pak lah, Najib sebagai TPM terpaksa akur dengan apa yang Mahathir putuskan. Ke kamu tak tahu yang Mahathir boleh buat keputusan sendiri. Ke kamu tak tahu ke yang Mahathir akan bertindak ke atas mereka yang tidak bersetuju dengan nya. Kamu tanya la mereka yang pernah berkhidmat dengan Mahathir.


Perkara yang paling memalukan ialah bila Mahathir berjabat tangan dengan Anwar, bekas TPM yang disingkirkannya dan dia disumbatkan ke dalam penjara, bertahun tahun. Tapi Mahathir pandai, dia lontar batu sembunyi tangan.

Kamu ingat Anwar saja saja nak berjabat tangan dengan bekas bos dia yang dia sendiri tahu maruahnya tercalar. Dan Anwar tahu muslihat Mahathir. Sorry my ex Bos, pisang takkan berbuah dua kali. Dan maaf kata, mereka penjilat tegar Mahathir begitu beria ia mengatakan yang ini merupakan satu petanda baik untuk menyatukan parti Mahathir dengan Anwar. Takkan kamu semua tak boleh fikir.

Dan kini saya mula memikirkan ada pihak2 tertentu yang ingin menjatuhkan Najib tetapi sampai sekarang Najib masih jadi PM. Perkara ini yang membingungkan Mahathir. Kesian dia. Takpa lah, dia yang nak, pandai pandai dialah macam mana nak buat.

Najib pula berkeyakinan yang dia tidak bersalah walau apa sekali tuduhan dilemparkan keatasnya, dia masih berupaya untuk menangkis segala tuduhan dan tidak takut atau gentar walaupun diheret ke mahkamah kerana dia tahu ini semua tuduhan yang tiada bukti lansung.

Jadi kalau kamu, AA ada bukti yang kukuh tentang penyelewengan oleh Najib, sila buat tuduhan rasmi kepada DYMM. Saya nak tengok macam mana pembangkang nak buat.

Pasal tiada buktilah, puak pembangkang melakukan provokasi serta serangan senyap yang begitu sikologi yang mana salah satu kaedah ialah dengan melemparkan tuduhan2 yang subjektif berkali2 sehingga orang ramai termakan dengannya dan akhirnya dapat menanam rasa benci yang amat sangat ke atas Najib. Ini tidak mustahil kerana pembangkang sudah begitu berpengalaman melakukannya.

Saya berpandangan UMNO tetap utuh dan semakin matang setelah belajar dari perkara yang lepas. Hanya mereka yang terpedaya sahaja bersama mereka yang saya fikir mengkhianati diri sendiri serta menjual maruah sendiri dan tidak rasa malu sedikit pun.

Jadi, AA tak payahlah keluar artikel yang panjang2 macam ni. Tapi belajarlah dari pengalaman yang lepas dan fikir2kan lah.

Selamat berjuang Najib.

Anonymous said...

Cerita yang dibawa olih AA cukup menarik tetapi bagi mereka yang dah pekak bisu dan buta bukan tidak ada mana tetapi menyalahkan sesiapa yang menyebarkan berita yang betul .Setiap Akta di negara ini ada menteri atau penunggunya dan mereka inilah yang putuskan sama ada perlu dibawa ke pengadilan atau sebaliknya . Siapakah yang melantik menteri2 berkenaan jika bukannya PM yang dari segi moralnya setiap perkara high profile sebelum dibawa kepada pengadilan ianya perlu dapat restu dari penunggunya . Nak naas nak buat sesuka hati terutama kes2 yang libatkan maruah politik apalagi maruah orang tertentu .
Di UK kini terdapat saorang ahli parlimen veteran Keith Vaz mempengerusikan jawatan kuasa terpenting dituduh terlibat kes sek dengan pelacur sejenis . PMnya berkata kalau pemimpin dah tercalar dengan kes2 tertentu macam mana rakyat bolih meyakininya dan eloklah berhenti. Dalam tempoh lima hari Keith dah letak jawatan sebagai pengerusi jawatan kuasa terpenting itu besar kemungkinan akan letak jawatan sebagai ahli parlimen. Keith tu bukan orang Islam dan kesnya libatkan peribadi dan tidak pun dibawa ke mahkamah tetapi atas dasar maruah dan tanggung jawab dia letak jawatan. Kita ni dah hilang maruah dan integriti berpegang sasa orang itu bersih selagi tidak didapati bersalah olih mahkamah . Ini telah ditanamkan olih penjajah untuk rosakkan sistem politik orang yang gila kuasa dan harta sementara mereka yang mendidik kita dah tak ikut pegangan berkenaan .
Dalam kes rm2.6 bilion semua tahu duit dah masuk akaun sasa orang hinggakan rakyat kerugian rm2.6 bilion dan sasa orang itu untung rm2.6 bilion . Bila jumlah ini dipersoalkan yang menerima duit tu membisu lepas cakap merapu lepas kata derma dari raja Arab tetapi rakyat tahu duit tu dari 1MDB . Bolih pula dia kata 1MDB punya asset lebih dari hutang sedangkan asset yang ada tanah rakyat yang dicuri sementara hutang 1MDB timbul dari bond yang dikeluarkan tetapi duit dari bond tersebut digunakan untuk berpoya2 dan beli asset peribadi dan sebahagiannya berjumlah rm2.6 bilion masuk akaun peribadi orang tertentu .Surah Al-Baqarah ada menyatakan bagi mereka yang dah buta bisu pekak tidak akan beri sebarang kesan yang ini samalah dengan balaci UMNO menyokong secara mutlak tanpa belah bagi seolah2 pemimpin itu betul dan maksum.....Mantan PM pun kita ada dengar berbagai2 cerita tetapi keuntungan peribadi dengan bagi tu jelas dan terbukti macam PM tidak ada . Rm2.6 bilion bukankah berupa untung peribadi sedangkan kerugian ditanggung rakyat....Ini belum lagi diungkit siapa yang telah beli asset tersebut dan juga belum ditanya bersediakah pembeli tanah tersebut untuk junjung kepentingan kerajaan.....

Anonymous said...

Anon 01:01 wrote:
"Kenapa tidak dilaporkan kepada DYMM yang mana DYMM mempunyai kuasa mutlak ke atas PM. Kenapa??"

Anon 01:01, dari gua mana kamu keluar? Dah tu, pi cuci kaki, dan pi sambung tidor balek.

Anonymous said...

Politik diplatform - "made in westminster" ini tidak payahlah nak kita tuduh buruk sangat-sangat kat seseorang yang sedang berkuasa atau yang sudah menjadi 'bekas dan parut-parut' kuasanya. Semua para pemainnya adalah orang-orang yg hanya mengambil peluang dan kesempatan...tidak ada yang jitu sokongannya. Ramai yang menjadi lalang dengan hanya menunggu tiupan angin sekian-sekian lajunya mengikut musim. Betapa pula yang mengikut tiupannya dengan tersangkut "hutang" dalam usaha mengaut laba untungnya.
Hikmahnya pada episod orang melayu berpolitik pada hari ialah: Bagaimana caranya untuk menegur atau menghukum kepada mereka yang mejadi 'ketua pemimpin' bila dia sendiri menjadi petualang kepada negaranya sendiri?
Inilah ujian untuk semua Melayu yang Allah kurniakan kepada kita. Inilah momen dan peluang kepada kita di sini mencari solusinya. Ianya sungguh saspen lagi thriller wayangnya. 'Kita merancang...Allah juga merancang! Kurangkan kutuk mengeji...lebihkan positifnya...! Semoga semua Melayu 'tersedar diri' Amin....!

Anonymous said...

Anon 01:01 ni jenis bongot dan bangang,orang menulis dia pun nak menulis pada hal dia sebenarnya tak tahu apa2,dok dengar cakap2 orang saja, kesian orang macam ni dok buat dosa kering....

Anonymous said...

Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai kepentingan dengan mana-mana parti politik, saya mengharapkan sebuah kerajaan yang boleh menjaga kepentingan rakyatnya. Sentiasa memikirkan kebajikan rakyatnya, mengambil berat atas keluhan rakyat dan mencari jalan untuk menaikan taraf hidup rakyat supaya lebih baik daripada pemimpin yang terdahulu.

Sebagai rakyat biasa, saya juga menilai pemimpin daripada apa yang mereka perbuat dan perkatakan kat atas sana dan saya nampak para pemimpin hanya sibuk memperkaya dan mempertahankan diri masing-masing.

Jadi lu fikir la sendiri...