30 December 2006

21. Balik ke zaman dulu

Kerajaan dan pimpinan sekarang, sudah kita fahami yang mereka tidak sensitif kepada keresahan rakyat. Mereka tahu rakyat susah tetapi sampai masanya kita dipaksa membayar kemudahan asas yang mahal.

Oleh kerana itu, kesusahan akan mendatang kepada kita semua dengan cepat, kita terpaksa hidup secara orang tua dulu-dulu. Saya ceritakan sedikit bagaimana hidup yang saya alami di kampung sebelum kemudahan asas sampai ke kampung. Hidup ala orang pedalaman boleh meringankan kehidupan kita yang semakin hari semakin terhimpit oleh kesusahan.

Untuk makanan, kita utamakan makan sayur-sayur seperti sawi, bayam dan sayur-sayuran yang hijau. Yang disebutkan ini masih murah. Jadikan sayur-sayur ini sebagai menu utama dan goreng ayam seketul dua sebagai menu tambahan. Saya tidak mencadangkan goreng ikan sebab ikan mahal harganya. Nasinya kita guna beras hancur. Harganya masih murah, boleh didapati di kedai-kedai runcit kaum India. Kita berdoa agar sayur-sayuran ini pun tidak akan dicukai kerajaan. Kalau dicukainya sayur pula nanti, tidaklah kita tahu apa yang akan terjadi.

Kalau ke pejabat, pergi dengan menumpang kenderaan orang lain dan ambil giliran untuk orang lain menumpang kita pula keesokkan harinya. Semasa pergi kerja bawa makanan dari rumah beserta air minuman sekali seperti orang pergi ke sawah. Jumlah wang yang kita simpan dengan cara hidup begini boleh kita bayarkan ke tol. Di zaman pentadbiran sekarang ini kita mesti berhati-hati berbelanja, kalau boleh kita simpan sedikit, bukan untuk bekalan tua tetapi untuk membayar entah apa lagi cukai yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti.

Kalau hendak kurangkan bayar bil letrik yang sudah pun naik, kita pakai pelita minyak tanah. Kita kena balik hidup seperti saya semasa kecil dahulu. Kalau pakai pelita jangan lupa bersihkan lubang hidung apabila bangun esok paginya kerana hidung kita akan berjelaga. Saya faham kehidupan seperti ini kerana itulah cara hidup saya di kampung sehingga pertengahan tujuh puluhan dahulu. Kalau hendak makan daging, kita belinya semasa hari raya sahaja.

Dalam bidang kebersihan diri, kita guna arang kayu untuk gosok gigi. Inilah cara orang tua-tua dahulu membersihkan gigi mereka. Itu sebabnya orang dulu gigi mereka boleh bertahan lama.

Bagi wanita tidak payah pakai bedak yang mahal-mahal. Pakai sahaja bedak nyonya, kerana ia tahan lama. Seketul bedak nyonya harganya hanya RM3 sahaja dan boleh tahan hampir setahun. Bedak nyonya ini masih boleh didapati dengan harga murah di PJ Old Town dan di Bahau. Bedak-bedak mahal ini biarlah menteri-menteri wanita serta isteri- isteri menteri sahaja yang pakai. Menteri pakai kereta kerajaan, mereka tidak payah bayar tol. Minyak kereta mereka pun ditanggung oleh kerajaan, jadi mereka tidak merasa betapa pahitnya hidup seperti rakyat biasa.

Kalau hendak balik kampung, hanya mampu balik setahun sekali iaitu semasa hari raya puasa. Kalau boleh naik bas sahaja. Dari Kuala Lumpur ke Bahau memakan masa empat jam setengah. Walaupun memakan masa yang lama tetapi kurang belanja.

Ini semuanya cara orang-orang tua kita hidup semasa dahulu. Oleh kerana kekayaan negara kita hanya untuk orang yang eksklusif sahaja maka kita kena sedar diri kita semua. Kita tidak layak untuk hidup selesa seperti pemimpin dan orang-orang di sekeliling mereka. Tugas kita hanya untuk mengundi mereka yang berkuasa untuk mereka hidup senang lenang.

Kita ahli-ahli UMNO di bawah ini, pandai-pandailah membawa diri. Tugas kita adalah untuk melaungkan istilah SOKONG! SOKONG! baik dalam mesyuarat agung UMNO cawangan, perwakilan Bahagian dan seterusnya di Perhimpunan Agung di PWTC setiap tahun. Samada mereka memerintah secara baik atau sebaliknya tidak penting. Yang penting diumumkan dahulu yang dia bukan Perdana Menteri satu penggal. Di Perlis ada seorang pemimpin cadangkan jawatan MB dipegangnya seumur hidup dan macam-macam kegilaan lain.

Dengan langkah-langkah ini, kita jadi bersedia untuk mengubah cara dan gaya hidup kita seperti yang disarankan oleh Dato Seri Najib.

WASSALAM

29 December 2006

20. Lidah jenis apa ?

Saya ingin terus menulis tentang pesanan dan nasihat Saidina Ali k.wajhah kerana nasihatnya itu adalah nasihat yang paling berkesan setidak-tidaknya kepada diri saya sendiri. Satu lagi pesanannya ialah ‘sifat seseorang itu terselindung di sebalik lidahnya’. Itulah sebabnya apabila seseorang itu jika bersifat tidak ikhlas dan kurang moralnya lidahnya itu akan dengan sendirinya memberikan gambaran sebenar sifat seseorang itu. Seorang yang lemah, pembohong atau pun seorang yang tidak ikhlas dan tidak jujur boleh dilihat dan didengar melalui lidahnya kerana lidahlah yang menyimpan rahsia sifat seseorang itu.

Menilai peribadi pemimpin amat mudah melalui lidah ini, kerana pemimpin selalu bercakap di media masa dari pagi hingga ke malam. Kata-katanya sentiasa didengar oleh rakyat dan rakyat boleh menilai setinggi mana darjat seseorang pemimpin itu terutamanya apabila rakyat sudah mula bersikap berhati-hati dengan pemimpin pada hari ini. Pemimpin tidak boleh lagi bercakap secara “hentam kromo” lagi kerana mereka sudah mula berfikir samada yang dikatakan pemimpin itu benar atau pun palsu.

Berjanji kepada rakyat dengan asas yang lemah untuk melaksanakan janji-janji tadi merupakan fenomena yang sangat tidak digemari mereka. Akhirnya rakyat memberontak di dalam hati mereka. Suatu hari nanti rakyat tidak lagi mahukan apa-apa daripada pemimpin mereka. Mungkin apa yang mereka mahu ialah supaya pemimpin-pemimpin hanya membuka mulut mereka selebar yang mungkin untuk melihat jenis lidah yang ada di dalam mulut pemimpin itu:
"lidah biawak ke atau lidah manusia... ??"

Janji untuk memerangi rasuah tidak sampai ke mana. Malahan rasuah bertambah subur. Pemimpin yang berimejkan rasuah masih kekal di dalam jemaah kabinet. Kalaupun mereka digantikan, rakyat sekarang ini bertanya, siapa yang akan menyertai kabinet baru nanti? Kalau digantikan dengan mereka yang bersifat yang sama bermakna kegiatan rasuah itu hanya digilirkan dengan yang orang yang sejenis juga.

Janji nak pastikan kontraktor mendapat pembayaran dalam tempoh satu dua minggu pun tidak ke mana. Terlalu banyak janji-janji kosong dibuat sehinggakan rakyat sudah tidak lagi berminat untuk mendengar cakap-cakapnya lagi.

Oleh itu kita semua patut menghayati segala pesanan Saidina Ali k.wajhah kerana itulah nasihat yang datangnya dari qalbu yang suci, yang tidak putus-putus bertawassul dengan Allah swt dan solatnya adalah solat yang daimun. Tidak perlu konsep-konsep seperti hadhari yang merupakan satu konsep yang terlalu ‘politically perverted’.


Sekian. WASSALAM.



28 December 2006

19. Pesanan Saidina Ali

Saya telah terbaca sebuah kitab kecil agama kita, dan saya amat tertarik dengan salah satu topik yang sangat berfaedah untuk dibaca oleh kita yang masih terlalu jahil dalam segala-galanya. Kitab yang saya maksudkan ialah kitab Nahjul Balaghah oleh Saidina Ali Ibn Thalib dan kitab Al-Bayan Wattabyeen oleh Al-mam Abu Othman Amru Ibn Bahr Al-Jaahidh r.a. Di dalamnya terdapat 40 nasihat Saidina Ali Karamallah huwajhah untuk semua umat islam sejagat.

Di antara 40 nasihat yang diberinya ialah, insan itu ada tiga jenis. Yang pertama ialah orang yang mengenal Allah, yang kedua ialah mencari kebenaran dan yang ketiga ialah orang yang tidak mengenal Allah dan tidak mencari kebenaran. Orang yang tergolong di kategori yang ketiga tadi ialah golongan yang paling rendah dan tidak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta tuli seperti kambing.

Nasihat ini tentulah satu nasihat murni dan luhur, lebih-lebih lagi ianya datang dari seorang Khalifah Al-Rashideen, salah seorang dari sepuluh sahabat yang dijamin ke syurga. Nasihat dari seorang aulia Allah ini tentulah lebih tinggi nilainya daripada nasihat Abdullah Badawi, Ong Ka Ting, Samy Velu, Lim Kheng Yeik, Dato’ Seri Najib, Mahadzir Khalid, Shahidan Kassim serta pemimpin-pemimpin yang lain.

Saidina Ali k.wajhah memberi nasihat dengan penuh kejujuran dan tiada motif lain selain dari untuk kebaikan umat, kerana dia tidak ada niat hendak jadikan menantunya menjadi khalifah dan untuk mendapat projek-projek untuk keluarganya ataupun untuk membeli kapal mewah dan sebagainya. Nasihat ini tentunya dibuatnya kerana dia tahu apa yang akan melanda masyarakat di akhir zaman ini. Itulah ilmu seorang aulia Allah.

Saya tidak mampu hendak membuat kupasan yang terperinci dalam isu ini tetapi jelas ianya adalah penyakit yang begitu menular di dalam UMNO kita. Tentunya ia merupakan satu fenomena yang sangat serius dan akhirnya menghancurkan kita semua. Secara kebetulan saya pernah menulis isu ini dalam tulisan saya sebulan yang lalu di dalam blogger ini yang bertajuk ‘Burung Balam’ dalam mana saya telah mengupas tentang budaya mengangguk dengan ketua walaupun ketua itu tidak membuat perkara yang baik. Tentunya fenomena ini merupakan salah satu penyebab yang membuatkan kita semua berada dalam keadaan yang ada pada hari ini. Budaya mengangguk ini rupa-rupanya adalah budaya yang sangat buruk mengikut pandangan Saidina Ali k.wajhah.

Setakat ini sahaja yang diizinkan masa untuk saya untuk membuat coretan kali ini. Baca dan fikirkanlah! Tanya diri kita sendiri samada kita tergolong di dalam kategori manusia yang mana hanya diri kita sendiri saja yang tahu.

WASSALAM



26 December 2006

18. Demokrasi dan semangatnya

Kita telah memilih demokrasi sebagai cara memerintah negara dan sistem ini digunapakai oleh banyak negara-negara maju terutamanya di barat. Prinsip asas kepada demokrasi ialah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat. Dengan kata lain, setiap rakyat berhak memilih siapa dan parti apa untuk memerintah mereka melalui proses pilihanraya. Siapa yang mendapat sokongan majoriti dialah yang menjadi pemerintah selama mana yang diperuntukkan oleh perlembagaan sesuatu negara itu. Pendeknya ‘majority rules’.

Di dalam sesebuah negara demokrasi, rakyat dibenar dan digalakkan untuk bebas bersuara serta memberi pendapat secara terbuka. Demokrasi membenarkan rakyat berpersatuan untuk memperjuangkan kehendak dan kemahuan ahli-ahli. Selain dari itu, rakyat bebas untuk mengamalkan agama masing-masing serta dilayan sama rata dan saksama. Yang dipilih pula menghormati kumpulan minority.

Itu merupakan demokrasi yang tulen, ala Westminster Abby. Walau bagaimnpun sistem demokrasi tidak semuanya mengikut ala Westminster Abby di England, kerana banyak negara mempunyai latarbelakang politik yang berbeza dan tidak memungkinkan cara demokrasi di barat itu boleh menjaga kesetabilan negara dan rakyatnya. Banyak negara terutamanya di timur jauh demokrasinya dipimpin bagi memudahkan proses pembinaan demokrasi ketahap yang lebih ideal dapat dilaksanakan secara beransur-ansur.

Tetapi yang lebih penting dalam demokrasi ini ialah memperkayakan semangat demokrasi itu. Semangat ini perlu dipupuk oleh pemimpin yang telah dipilih melalui peti undi tadi. Yang mendapat undi majoriti tidak semesti yang terbaik. Banyak pemimpin pemimpin negara demokrasi, walaupun telah dipilih, menghadapi situasi yang tertekan setelah memerintah kerana kegagalan memenuhi harapan rakyat yang memberi undi di dalam pilihanraya umum. Rakyat yang diberi hak bersuara tadi kadangkala mengadakan demonstrasi jalanan bagi menuntut pemimpin yang mereka pilih dahulu supaya meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pilihanraya yang baru diadakan.

Di sinilah semangat demokrasi jika ditadbir dan diterbiahkan secara baik boleh menyelamatkan keadaan. Ianya banyak bergantung kepada tahap moral seseorang pemimpin itu tadi. Bagi seseorang pemimpin yang mempunyai moral dan akhlak yang tinggi, dia tidak akan berasa terkilan untuk berundur semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara tadi. Mereka tidak akan mendabik dada mengatakan kepada umum yang dia bukannya Presiden atau Perdana Menteri satu penggal atau perkataan-perkataan yang serupa itu. Pemimpin itu patut tahu yang bukannya dia yang menentukan samada dia akan menjadi Perdana Menteri satu penggal atau dua tiga penggal. Itu adalah hak rakyat untuk menentukannya. Dengan kata-kata itu, maka dengan mudah sahaja rakyat ‘menyelami air di dalam tunggak’ dan faham betapa jeleknya pemimpin yang mengaku mentadbir negara yang demokrasi.

Datuk Husein Onn adalah pemimpin demokrasi yang boleh dijadikan contoh yang paling baik. Semangat demokrasi beliau adalah tulen. Semasa beliau mengambil alih kepimpinan negara beliau mewarisi masalah berhubung dengan isu Dato Harun Idris, ketua pemuda UMNO ketika itu. Sedikit sebanyak beliau tahu yang ada segelintir rakyat dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan beliau walaupun beliau mendapat sokongan padu dari Majlis Tertinggi dan Badan-Badan perhubungan UMNO. Beliau dapat merasakan yang perasaan itu wujud di bawah dan sebahagian kecil rakyat jelata. Beliau mengakui yang Dato Harun Idris juga mempunyai penyokong yang besar.

Kalau hendak dikirakan kekuatan Datuk Husein tiada siapa yang boleh menyangkalnya. Maklum sajalah beliau Perdana Menteri. Kuasa yang ada di tangan beliau bukan kepalang besarnya. Kumpulan yang tidak puas hati tadi telah mencalonkan Tuan Haji Sulaiman Palestin, ketua penerangan UMNO untuk mencabar beliau sebagai presiden parti, sebagai tanda protes pada pemilihan parti pada tahun 1978. Tuan Haji Sulaiman hanya mampu meraih hanya 125 undi yang kebanyakkan datang dari perwakilan Selangor dan selebihnya memberi sokongan kepada Datuk Husein Onn.

Walaupun beliau mendapat begitu besar sokongan, beliau merasakan yang beliau perlu hormat kepada pihak minoriti tadi. Beliau tahu ada tanda-tanda sebahagian rakyat tidak menyokong beliau. Di atas semangat cintakan Parti, rakyat dan negara beliau telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden yang disandang beliau pada pemilihan pada tahun 1981 dan memberikan jawatan beliau kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad. Beliau meletakkan jawatan dengan diiringi tangisan rakyat dan ahli UMNO sendiri. Walaupun banyak bahagian UMNO yang menghantar memorandum meminta beliau meneruskan memimpin kita beliau tetap dan bertegas untuk bersara. Seluruh rakyat amat merasakan kehilangan beliau ketika itu. Seluruh rakyat mendoakan kesejahteraan beliau.

Itulah satu insiden yang masih jelas dalam ingatan saya sebagai perwakilan dari bahagian Kuala Pilah waktu itu. Sifat ‘Gentleman’ beliau begitu tinggi dan inilah contoh yang patut diteladani oleh pemimpin pada hari ini. Beliau bersara dan menjalani hidup secara simple selepas itu, sehingga akhir hayat beliau, tanpa kapalterbang jet tanpa kapal-kapal mewah di mana-mana lautan.

Semoga roh beliau diletakkan sebaris dengan roh-roh yang mukmin serta aulia- aulia allah. Amin, Yarabbal aalamin.

WASSALAM.