30 January 2007

36. Keng Yaik & Perhimpunan Agong Barisan Nasional (BN)


Cadangan Dato Seri Lim Keng Yaik, Presiden Gerakkan supaya diadakan Perhimpunan Agong Barisan Nasional (BN) baru-baru ini sangat menarik perhatian ramai pihak.

Inilah kali yang pertama seorang Presiden sebuah parti yang menganggotai BN membuat cadangan seperti ini dan tentulah cadangannya itu diasaskan kepada ‘premis’ yang dirasakannya sangat releven untuk kepentingan BN atau pun setidak-tidaknya untuk parti dan bangsanya.

Kalau diteliti dari hujah cadangannya itu adalah disebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota partinya dan rakyat keseluruhanya terhadap pimpinan yang ada pada hari ini.

Presiden Parti Gerakkan itu berkata, perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat dalam banyak perkara terhadap kerajaan, adalah salah satu sebab kenapa perhimpunan itu perlu diadakan.

Rakyat tidak yakin dengan apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan akan membawa apa-apa manfaat, dan ianya nyata petunjuk jelas yang kita sedang menghadapi krisis keyakinan yang sangat serius dan memerlukan perhatian pimpinan.

Perhimpunan Agung Perpaduan Barisana Nasional (BN) itu tentulah dihadiri oleh perwakilan dari semua parti-parti komponan BN dan akan membahaskan isu-isu yang berbangkit, dari isu ekonomi hinggalah kepada isu-isu yang membabitkan kesejahteraan kehidupan rakyat di negara ini pada masa hadapan.

Sebagai pemimpin sebuah parti yang didominasi oleh bangsa cina, beliau tentunya akan memberi tumpuan kepada isu ekonomi yang merupakan isu yang sangat penting bagi komuniti itu.

Yang ditakuti oleh Gerakkan ialah cara menghadapi rakyat yang rata-rata tidak berpuas hati ini semasa pilihanraya nanti.

Selama ini BN tegak kerana sokongan kuat dari kaum cina, kerana empat puluh tujuh peratus orang melayu sudah tidak kekok lagi untuk mengundi parti-parti alternatif.

Dengan keresahan rakyat bawahan yang sangat jelas pada hari ini, ramai pihak berpendapat orang cina tidak akan memberikan sokongan sehebat dulu lagi kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Undi orang melayu dalam pilihanraya kali ini sudah jelas menyebelahi pihak alternatif, dan jika bangsa lain mengurangkan sokongan kepada BN, menafikan kemenangan dua pertiga kerusi di Parlimen memang sudah pasti menjadi kenyataan.

Sekarang ini hanya kebijaksanaan pimpinan sahaja yang mampu untuk mengekalkan sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini.

Seorang sahabat pernah memberikan kata-kata yang sinis kepada saya, “You all in BN can’t be lucky all the time bro! If you people still maintain this kind of leadership style, there is no guarantee that the people would extend the lease to rule this beautiful nation. Just stop vandalizing the country please!”

Saya tidak dapat menjawabnya kerana mungkin ada kebenaran kata-katanya.

Saya hormat sahabat saya itu kerana keikhlasan memberikan pandangannya……Aspan Alias







27 January 2007

35. Rakyat Susah vs Pemimpin Mewah


Belum pun hilang isu Cobra Sultan, kita dihidangkan dengan berita pembelian Jet Eksekutif untuk Perdana Menteri yang kini dalam pembikinan ‘refurbishment’ di Basel, Switzerland.

Saya mendapat tahu melalui blogger RockyBru, Kuda-Kepang dan RPK Malaysia-today yang akan membuat tulisan lanjutan selepas sembahyang jumaat yang akan datang.

Harga jet kali ini ialah USD50 juta dan harga ubahsuai konfigerasinya ialah USD70 juta.

Di sini sahaja jet yang baru ini menelan wang rakyat melebihi RM200 juta.

Dalam isu yang terbaru ini jelas di Malaysia ada dua nilai berita yang mengandungi fenomena perbezaan yang sangat ekstrim.

Satu berita rakyat yang semakin hari semakin tertekan kehidupan mereka, dan berita pemimpin-pemimpin yang sedang gila membelanjakan wang rakyat tanpa perasaan semata-mata untuk memuaskan nafsu shahwat mereka.

Rakyat diminta mengubah cara hidup bagi menghadapi tekanan kenaikan harga barangan sedangkan pemimpin pula mengubah cara hidup mereka dengan kehidupan berseronok dan bersenang-lenang di atas keringat rakyat yang mencurah-curah.

Bukankah rakyat telah membelikan banyak jet-jet untuk pemimpin-pemimpin selama ini?

Inikah kerja yang dikatakan masih banyak yang belum selesai dan terpaksa meneruskan niatnya untuk memimpin kita buat penggal yang kedua seperti yang dikatakannya semasa bercakap kepada Al-Jazeera baru-baru ini?

Inikah nilai Islam Hadari yang diketengahkan kepada rakyat untuk jadi ikutan kita?

Inikah dia sifat sebenar AAB, yang tidak langsung memikirkan hal kepentingan rakyat selain dari mengutamakan kepentingan dan keseronokan peribadi masing-masing?

Inikah sifat seorang yang datang dari keluarga ulamak, dan inikah sebenarnya suruhan Allah swt dan Muhammad saw.

Kita begitu keliru dengan apa yang disuruhnya dan apa yang dilakukannya itu terlalu bertentangan?

Apa benarkah yang dikatakan oleh buku-buku saikoloji dan cerdik pandai yang ini memang sifat pemimpin yang datang dari latar belakang yang lemah?

Pemimpin yang lemah akan bersifat macam si kudung mendapat cincin, macam kera dapat bunga atau yang lebih kasar lagi macam sakai dapat padi?

Wang yang sebanyak RM200 juta itu boleh membantu membangunkan kembali negeri Johor yang dilanda banjir begitu teruk baru-baru ini.

RM200 juta yang dibelanjakan untuk jet eksekutif itu hanya memberi nikmat kepada empat lima orang manusia sahaja, sedangkan lebih setengah juta rakyat akan dapat faedahnya jika wang itu diberikan kepada kerajaan negeri Johor.

KENAPA RAKYAT SAHAJA YANG MESTI BERKORBAN SEDANGKAN PEMIMPIN KITA TIDAK MEMPUNYAI KUDRAT UNTUK BERBUAT PERKARA YANG SAMA?

Ya Allah! Kami memohan perlindunganMu, dari pemimpin yang mabuk ini!....Aspan Alias




23 January 2007

34. Kempen anti rasuah tiada sambutan

Salah satu dari janji-janji Perdana Menteri YAB Abdullah Ahmad Badawi semasa mula-mula mengambil-alih kepimpinan negara pada Oktober 2003 dahulu ialah untuk memerangi rasuah.

Selalunya apabila Perdana Menteri membuat satu-satu ketetapan, ianya akan disambut oleh Ahli Jemaah Kabinetnya dan mereka akan bercakap tentang isu itu di mana-mana mereka berucap.

Tetapi dalam isu rasuah yang disebut oleh PM Abdullah Ahmad Badawi ini, saya belum pernah mendengar seorang pun menteri berucap yang menyokong tindakan menghapuskan rasuah ini.

Kenapa menteri-menteri ini tidak menyahut usaha Abdullah Ahmad Badawi ini melalui ucapan-ucapan mereka?

Ramai yang hendak mendengar mereka melaungkan perkataan seperti, ‘mari kita benteras rasuah! Kita sokong PM untuk membawa sesiapa yang rasuah ke pengadilan!’ dan sebagainya.

Kenapa mereka yang bergegar-gegar bercakap, dan yang tunjuk garang, mengambil sikap membisu tentang isu rasuah ini?

Kita hendak dengar menteri seperti Dato’ Seri Nazri Aziz berucap dengan nada yang garang dan lantang dalam isu rasuah ini seperti dia berucap dalam isu-isu yang lain.

Saya juga kepingin hendak dengar Tan Sri Muhyidin Yassin berucap dalam majlis-majlis besar membidas mereka yang rasuah.

Kenapa Dato’ Seri Ali Rustam, Dato’ Seri Shahidan Kasim, dan yang lain-lain tidak menjadikan isu rasuah ini sebagai isu yang wajib disebut di dalam majlis-majlis rasmi, sedangkan penyakit rasuah ini adalah penyakit nombor satu sekarang ini?

Kenapa? Kenapa? Dan mengapa????

Saya tidak ada jawapannya. Mungkin orang lain boleh menjawabnya.



Wassalam..

22 January 2007

33. Anwar-Mahathir berdamai?

Tulisan Datuk Ruhanie Ahmad di dalam bloggernya http://www.kuda-kepang.blogspot.com/ pada 22hb Januari 07 agak menarik.

Tajuk tulisannya yang berkisar tentang perdamaian Anwar-Mahathir itu adalah satu kemungkinan yang memang biasa didalam politik.

Saya tidak mahu membuat ulasan mengapa dan kenapa kemungkinan perdamaian itu terjadi tetapi lebih memikirkan tentang kebaikan yang akan dirasai jika pemimpin-pemimpin ini berdamai.

Jika kedua orang pemimpin ini berdamai ianya akan mengurangkan perbalahan diantara kita dan kita boleh menghadapi masalah yang sangat getir yang dihadapi rakyat ketika ini dengan lebih mudah.

Anwar dan Mahathir masing-masing sudah merasakan pengalaman pahit dalam politik masing-masing.

Diatas kesilapan Dr Mahathir, beliau telah pun mengakui kesilapannya dengan membuat pilihan yang salah selama ini, dan tentunya beliau merupakan orang yang paling kecewa dengan apa yang berlaku sekarang.

Bagi Anwar pula, beliau telah pun melalui pembersihan diri setelah dipenjara selama lebih enam tahun dan sudah cukup pembalasan yang diterimanya.

Tidak payahlah kita menambah-nambah pembalasan kepadanya, kerana Anwar telah pun menerima pembalasan jika benar dia telah melakukan kesalahan.

Bagi saya penjara Sungai Buluh itu merupakan neraka di dunia ini dan Anwar telah pun berada di dalam ‘neraka’ ini selama enam tahun.

Orang islam tentunya percaya bahawa sesiapa yang telah keluar dari neraka, orang itu adalah dianggap bersih dan tiada tempat lain baginya selain dari syurga.

Yang belum dibersihkan ialah pemimpin-pemimpin yang rasuah dan rakus pada hari ini yang masih belum dipenjarakan.

Apabila Anwar yang telah bersih atau dibersihkan itu memohon menyertai UMNO adalah tidak baik jika dia disekat untuk menyertai parti kita ini.

Yang tidak mahu melihat Anwar menyertai UMNO itu hanya mereka yang takut pada bayang-bayang dan yang merasa rendah diri yang keterlaluan.

UMNO itu Melayu, dan Melayu itu adalah UMNO! Itulah kata-kata ramai pemimpin, dan jika ada orang melayu disekat menjadi ahli UMNO, ianya merupakan satu tindakan ‘ultra vias’.

UMNO itu hak orang melayu. Sesiapa yang menyekat kemasukannya itulah sebenarnya petualang bangsa.

Jika benar perdamaian ini berlaku ianya adalah dialu-alukan, dan ini adalah satu tindakan yang sangat mulia.

Khalid Alwalid merupakan seorang yang sangat memusuhi Muhammad saw, tetapi akhirnya Khalid Alwalid telah berdamai dengan Nabi Muhammad dan seterusnya menjadi pejuang islam yang tersohor hinggakan dia diberi gelaran ‘Pedang Allah’.

Peperangan Sifin merupakan peperangan islam dengan islam yang pertama dalam mana satu pihak diketuai oleh Saidina Aishah yang dibantu oleh Muawiyah telah berperang dengan kumpulan Saidina Ali karamallah huwajhah.

Tetapi kedua-duanya berperang kerana menegakkan agama Allah.

Jika Anwar dan Mahathir bersatu untuk menegakkan kembali perjuangan orang melayu yang telah luntur ini, mengapa pula kita tidak menyokongnya?…Aspan Alias