26 February 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang ( bahagian 4)

DEB telah menjadikan penggubal dasar dan pelaksana dasar bekerja begitu tekun dan bersemangat mahu melihat bumiputra khususnya orang melayu mendapat kedudukan yang setaraf dengan bangsa lain adalah tinggi.

Kerajaan telah menubuhkan Petronas, Pernas dan banyak lagi agensi bagi memegang amanah orang melayu yang dirancang untuk diberikan kepada orang melayu pada waktu dan kaedah yang sesuai.

Kerajaan-kerajaan negeri telah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Negeri-negeri di bawah penyelarasan Kementerian Perusahaan Awam bagi memegang dan mengembangkan pegangan bumiputra melalaui agensi yang berkepentingan mereka.

Di peringkat kabinet Jawatankuasa Penyelaras Pelaburan Kabinet yang dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh telah mencadangkan penggubalan dasar-dasar yang begitu efektif dan orang ramai dapat merasakan hasilnya secara ‘direct’ serta memberikan peningkatan kepada taraf ekonmi mereka.

Banyak yang telah dilaksanakan oleh kerajaan hasil kerja Jawatankuasa ini, antaranya penubuhan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan anak-anak syarikatnya ASNB yang ditugaskan untuk menjadi pengurus kepada Skim Amanah yang menjadi agen pemindahan kekayaan negara kepada bumiputra.

Dengan penubuhan PNB, segala syarikat yang dipegang oleh kerajaan yang telah maju dipindahkan ke PNB bagi memulakan proses pemindahan harta tadi kepada bumiputra melalui saham amanah.

Skim ini telah memberikan pulangan yang begitu tinggi kepada pelabur bumiputra dan saya sebagai seorang pegawai kecilan dalam syarikat ini sangat berbesar hati kerana telah berjaya bersama-sama kakitangan yang lain menyempurnakan dasar kerajaan itu.

Setahun setengah sebelum pelancaran ini dilakukan pada 1hb Jun 1981, kami telah memberikan penerangan ke seluruh negara hingga ke struktur pentadbiran yang paling rendah iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menerangkan kepada rakyat tujuan dan matlamat penubuhan PNB dan ASNB itu.

Kami libatkan rakyat untuk menyempurnakan dasar ini kerana kami faham dengan cara ini rakyat akan merasakan yang mereka bersama-sama terlibat dalam proses pembangunan negara.

Itulah sebabnya kita tidak nampak dan mendengar rakyat bersungut di kedai-kedai kopi kerana mereka merasakan apa yang dilakukan kerajan itu melibatkan mereka.

Jika ada pihak-pihak yang ingin menggagalkan usaha kerajaan itu rakyat yang ramai telah mempertahankan tindakan kerajaan itu dengan penuh komitmen dan keyakinan.

Pendek kata, kerajaan semasa itu telah mendapat benteng pertahan yang kukuh dan tiada siapa yang berjaya untuk memperlekeh usaha kerajaan itu.

Tetapi keadaan ini boleh dilakukan dengan mudah kerana pemimpin-pemimpin semasa itu benar-benar nampak keikhlasan serta ketulusan untuk membina kemajuan bumiputra dan tidak ada elemen rasuah dalam kepimpinan.

Apabila tidak ada elemen rasuah maka kerajaan dengan senang menerangkan kepada rakyat tanpa meletakkan projek-projek ini ke dalam kategori ‘OSA’ dan sebagainya.

Sekarang ini pula semua projek-projek yang besar yang orang ramai terlibat di kawal oleh OSA seperti perjanjian antara kerajaan dengan pemegang-pemegang konsessi lebuhraya.

Jika tidak ada elemen rasuah masakan ianya dikawal oleh OSA.

Apabila ini berlaku maka rakyatlah yang sengsara dan apabila rakyat menentangnya maka ramailah pemimpin-pemimpin yang memberi tentangan ini dipanggil ke Bukit Aman untuk disoalsiasat.

Yang patut disoalsiasat ialah pemimpin tetapi yang disiasat akhirnya ialah rakyat pula.

Sebuah Universiti di London, iaitu Universiti Middlesex telah bercadang untuk memindahkan kampusnya dari Trent Park ke Cockfosters dan telah disyaratkan untuk dipamerkan kepada rakyat segala pelan pembangunan kampus di Cockfosters selama enam bulan untuk mendapatkan pandangan orang ramai.

Hasilnya ramai professional telah tampil memberikan komen- komen dan ada yang menentang pembangunan kampus itu kerana akan menmbahkan kesesakan lalulintas kerana Cockfosters tidak cukup kemudahan ‘public transport’ dan banyak alasan-alasan yang lain.

Akhirnya Universiti itu terpaksa menukar pelan pembangunan dan struktur bangunan dan mengadakan bas-bas untuk membantu pergerakan ribuan pelajar di kampus itu.

Inilah satu contoh yang jelas bagaimana sebuah kerajaan menghormati rakyat yang telah memberikan mandate kepada mereka.

Di negara kita rakyat diperlakukan seperti lembu: tugas kita hanya untuk menyokong mereka dan membiarkan mereka melakukan pentanbiran songsang dan membiarkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa dengan berleluasa.

Jika rakyat marah-marah mereka akan dipersalahkan: yang tidak bersalah hanyalah perdana menteri dan pemimpin-pemimpin di sekelilingnya walaupun dia membazirkan wang rakyat berjoli-joli dengan jet-jet mewah dan dibatalkan skim bantuan buku teks untuk rakyatnya hendak belajar
.

Tulisan bersiri ini akan disambung dalam dua tiga hari lagi…………..Aspan Alias.

24 February 2007

44. Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 3)

Sebahagian daripada apa yang dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Razak untuk DEB bermula sejak pentadbiran Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj.

Contohnya, penubuhan Bank Bumiputra Bhd (BBMB) dilakukan sebaik sahaja Kongres Melayu yang pertama pada tahun 1965 dalam mana salah satu keputusan kongres itu ialah untuk menubuhkan sebuah bank perdagangan untuk dipunyai oleh bumiputra melalui pegangan kerajaan.

Encik Raslan Abdullah dan Tengku Razaleigh ditugaskan untuk melaksanakan keputusan Kongres Melayu ini dan diminta mewujudkan BBMB dalam jangka masa yang singkat.

Encik Raslan Abdullah dapat bersama BBMB hanya seketika, kerana beliau meninggalkan kita dalam satu kemalangan jalanraya di Kuala Lumpur, maka Tengku Razaleih telah meneruskan usaha menubuhkan BBMB dan kita akhirnya berjaya mempunyai sebuah bank kebanggaan serta simbul keupayaan melayu di dalam bidang kewangan.

Dengan tertubuhnya BBMB maka bermulalah orang melayu beransur-ansur menapak ke bidang kewangan yang mana sebelum itu orang melayu tidak bermimpi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak pernah dimimpikan sebelum itu.

Menubuhkan sebuah bank bukanlah kerja yang susah; pergi ke pendaftar syarikat dan tubuhkan sahaja bank itu dan terus pindahkan semua akaun kerajaan ke dalam bank itu.

Tetapi yang merumitkan ialah penerimaan orang melayu terhadap sistem perbankan semasa dekad enam puluhan itu.

Bagi orang melayu semasa itu bank merupakan satu institusi haram yang melibatkan aktivitinya dengan elemen ‘riba’, yang haram di sisi agama suci kita.

Bilangan orang melayu yang bekerja di dalam bidang perbankan semasa itu boleh dikira dengan jari, maka itulah sebabnya BBMB terpaksa mengambil Encik Khoo Kay Peng sebagai pengurus cawangan yang pertama BBMB di Jalan Melaka untuk membantu melatih anak-anak melayu kita dalam bidangan pengurusan bank.

Tengku Razaleigh telah berusaha untuk meyakinkan orang melayu bahawa institusi bank amat perlu diwujudkan dan dikembangkan jika bangsa kita hendak setanding dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia ini.

Jabatan penerangan telah begitu aktif memberikan penerangan di seluruh negara untuk meyakinkan rakyat dan UMNO begitu aktif memberikan keyakinan kepada rakyat betapa pentingnya sistem perbankan kepada kemajuan dan jaminan kehidupan generasi yang akan datang.

Akhirnya kewujudan BBMB menjadi kenyataan dan Tengku Razaleigh telah berjaya menjadikannya sebagai bank terulung di negara ini dan menjelang tahun 1974, BBMB telah mewujudkan cawangan di London, New York , Hong Kong, Singapura dan Tokyo.

Tengku Razaleigh bukan sahaja menjadikan BBMB sebagai institusi kewangan yang maju tetapi beliau telah menjadikannya sebagai egen perubahan minda melayu yang penting untuk membawa orang melayu ke arah kehidupan moden.

Langkah pertama yang beliau lakukan ialah memperuntukkan jumlah wang yang besar melalui BBMB untuk meningkatkan taraf orang melayu di bidang professional dengan memberikan ribuan biasiswa kepada bumiputra untuk belajar di dalam dan luar negara.

BBMB telah menterjemahkan semangat kebangsaan pemimpin-pemimpinnya kepada usaha-usaha yang ‘organic’ untuk merubah orang melayu yang hidup terkongkong dengan kehidupan ‘conventional’ kepada hidup yang moden mengikut waktu dan zamannya.

Sebagai seorang nasionalis dan teknokrat, Tengku Razaleigh memberikan fokus kepada pelajaran kerana pelajaran sahaja yang boleh membina sebuah bangsa yang maju dan setanding dengan bangsa lain.

Beliau telah memberikan tumpuan dengan memberi latihan kepada anak-anak melayu untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang kewangan ini.

Selain daripada BBMB, Tengku Razaleigh dalam masa yang sama telah memulakan penubuhan PERNAS dan membuat persediaan untuk penubuhan Petroleum Nasional Bhd (Petronas) dan banyak lagi syarikat-syarikat awam kerajaan dan kabinet Tun Razak telah memberikan kelulusan dan kerjasama yang kuat untuk mewujudkan badan-badan ini demi kepentingan negara.

Segala syarikat-syarikat kerajaan ini telah dipindahkan penyelarasannya di bawah Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Sejak dari pertengahan tujuh puluhan, semua syarikat awam kerajaan seperti Bank Bumiputra, Pernas, Petronas, dan yang lain-lain diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri.

‘Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang’ bahagian keempat akan menysul dalam sehari dua lagi. …………………………………………………..Aspan Alias

21 February 2007

43. Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 2)

Dalam dekad tujuh puluhan UMNO dan pemimpinnya sangat di hormati oleh rakyat semua kaum kerana ketelusan dan keikhlasan pemimpin sangat mudah dirasakan oleh mereka.

Penggubal dasar bekerja kuat dan tekun maka pelaksana dasar juga mengikut langkah pimpinan untuk bekerja kuat untuk menyempurnakan segala keputusan kerajaan dengan ikhlas.

Jentera jentera kerajaan begitu gigih bekerja dan saya masih teringat Jabatan Penerangan begitu aktif memberi penerangan di kampung-kampung untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang sesuatu projek yang melibatkan mereka.

Rakyat merasakan mereka terlibat bersama didalam satu-satu pelaksanaan dasar dan mereka merasa mereka di ajak bersama didalam proses membangunkan negara.

Kepimpinan YTM Tunku, Tun Razak dan Datuk Husein adalah kepimpinan yang tinggi magnamitinya dan mereka tidak ada perasaan rendah diri, seperti takut dijatuhkan oleh kepimpinan yang lain.

Jika ada pun perasaan tidak puas hati rakyat takala itu pemimpin sanggup menguindurkan diri seperti yang di lakukan oleh YTM Tunku dan Datuk Husein Onn.

Semasa itu pucuk pimpinan tidak berlumba-lumba untuk memecah rekod menjadi PM yang paling lama atau sikap bebangga-bangga dengan kejayaan masing-masing.

Penggubalan Dasar Ekonomi Baru(DEB) telah di tentang oleh media-media asing dengan begitu hebat dan menuduh Tun Razak dan barisan kabinetnya bersikap tidak adil kepada bangsa-bangsa asing dan hanya menumpukan kepada prmbangunan bangsa melayu.

Tetapi di dalam negara kita, bangsa-bangsa bukan bumiputra menerima DEB dengan senang hati kerana mereka faham yang perpaduan itu hanya boleh dikecapi dengan penghapusan kemiskinan tanpa mengira kaum serta menghilangkan pengenalan sesuatu kaum itu melalui fungsi ekonomi mereka.

Pemimpin dan rakyat seiring dan sejalan didalam usaha melebarkan rakyat kelas menegah dengan mengurangkan perbezaan pendapat diantara yang berada dan tidak berada.

UMNO pula jelas telah mengambil sikap untuk membentuk ratusan ribu bumiputra untuk menjadi ‘millionaire’ dan tidak bertindak untuk menjadikan tujuh lapan orang ‘billionaire’.

Pemuda pimpinan Datuk Harun Idris, telah menjadi pendesak dan Pemuda UMNO memainkan peranan yang begitu effektifdalam pelaksanaan DEB.

Saya yang begitu muda semasa itu dilantik didalam beberapa biro Pemuda UMNO dan saya masih ingat kami telah menjelajah keseluruh negara untuk memastikan syarikat-syarikat besar mengambil bumiputra bekerja di perengkat pengurusan syarikat mereka.

Saya berpengalaman pergi ke syarikat IBM, Nestle, Dumex dan banyak lagi untuk membuat siasatan dari jabatan ‘Human Resource’ mereka untuk mempastikan syarikat-syarikat tersebut menambah pegawai-pegawai pengurusan ke peringkat 30 peratus sebagaimana yang telah di tetapkan oleh DEB.

Setiap pengurus atau pengarah HR syarikat-syarikat tersebut memberikan layanan baik dan bersetuju untuk menambah bilangan bumiputradi dalam peringkat pengurusan mereka.

Syarikat-syarikat yang kami temui itu akan memberikan lapuran kepada biro penyertaan bumiputra Pemuda UMNO apabila mereka mengambil setiap bumiputra di dalam syarikat-syarikat mereka.

Pemimpin UMNO khususnya pemuda adalah ‘hands on’ terhadap isu isu dan terus sahaja mengambil tindakkan untuk menyelesaikan segala msalah dan tidak hanya ber RETORIK seperti pemuda hari ini.

Maka itulah sebabnya pemimpin UMNO sangat di hormati oleh rakyat semasa itu.

Sekarang keadaan berlainan: ramai rakyat yang sakit mata melihat pemimpin-pemimpin kita apabila terserempak di dalam kedai-kedai makan atau dimana-mana.

Mereka bersikap prejudis yang tinggi terhadap pemimpin kita dan tidak memberikan pandangan yang tinggi lagi.

Mereka melihat UMNO sebagai perosak dan hanya membawa negara kearah kejatuhan.

Saya sambung tulisan ini dua tiga hari lagi…………………AspanAlias

20 February 2007

42. Skim Pinjaman Buku Teks - Rakyat dibohongi lagi

Saya membaca banyak berita dari blogger-blogger dan sejak dua hari yang lepas ramai yang memilih isu pembatalan skim pinjaman buku teks kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah.

Diantara yang saya tertarik ialah apabila saya terbaca kuda-kepang dimana Datuk Ruhanie Ahmad begitu berang dengan keputusan kerajaan yang membatalkan keputusan untuk memberikan kemudahan skim pinjaman buku teks tersebut.

Saya tidak hairan kenapa Datuk Ruhanie marah-marah kerana beliau adalah bekas Ahli Parlimen Malaysia yang tahu bagaimana kecewanya rakyat khususnya ibu bapa murid-murid yang sudah lama tertunggu-tunggu skim tersebut.

Malahan saya sendiri mendapat panggilan talipon dari puluhan rakan-rakan saya yang kecewa kerana dolak dalik kerajaan yang selama ini mereka junjung dan sokong .

Alasan yang rm 100 juta adalah terlalu tinggi untuk dibiayai oleh kerajaan merupakan alasan yang tidak masuk akal.

Kenapa di umumkan persetujuan untuk mengadakan skim ini jika kerajaan tidak mempunyai kemampuan?

Kenapa pula kerajaan yang mengaku hebat dan mewawarkan angka perdagangan negara sudah mencapai rm 1 trillion tidak mampu untuk memberikan kemudahan yang begitu asas kepada rakyat ramai yang memerlukan bantuan itu?

Kalau rm 100 juta sangat susah untuk di peruntukkan kenapa pula pucuk pimpinan boleh mencari jalan untuk membeli jet-jet mewah untuk PM.

Bukankah kapal terbang mewah itu berharga melebihi rm 200 juta?

Kalau untuk pemimpin segala-galanya boleh diadakan, kenapa yang diperlukan oleh rakyat tidak dapat usahakan.

Pucuk pimpinan sudah selesa dengan jet-jet yang sedia ada tetapi kerana hendakkan kelesesaan yang ‘optimum’ kerajaan sanggup membeli kapal terbang mewah yang mahalnya tidak ada tolok bandingnya.

Semasa saya hendak menghantar anak-anak saya belajar keluar negara negara Germany adalah salah satu pilihan saya.

Saya dapati di negara tersebut semua pelajar termasuk pelajar asing dari seluruh dunia boleh belajar dengan percuma.

Berbillion euro di belanjakan untuk pelajaran percuma di belanjakan oleh negara tersebut dan saya tidak nampak kenapa pimpinan kita tidak mampu mengusahakan rm 100 juta untuk rakyatnya.

Kenapa pucuk pimpinan tidak berusaha seperti yang diusahakannya untuk membeli kapal terbang mewah yang tidak memberi faedah kepada negara selain dari menjahanamkan wang rakyat?

Pembatalan ini memang meyakinkan orang ramai yang pimpinan hari ini tidak ada moral dan tidak tahu untuk menysun ‘priorities’ dalam mentadbir negara.

Kalau sudah diumum kita desak supaya kerajaan meneruskan perlaksanaan skim pinjaman buku teks tersebut.

Kerajaan wajib hentikan pembohongan ini.

Jika pembohongan ini berterusan, rakyat akan meminta pemimpin-pemimpin kita membuka mulut besar-besar untuk melihat samada lidah yang ada didalam mulut mereka itu ‘lidah biawak atau lidah manusia’………………… Aspan Alias.