30 April 2008

Tengku Razaleigh disabotaj

Tengku Razaleigh(TR) telah menzahirkan hasrat beliau untuk menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO pada pemilihan yang akan datang sejurus sahaja keputusan pilihanraya umum ke-12 baru-baru ini.

Hasrat beliau itu dapat sambutan kuat dan ramai pemimpin-pemimpin cawangan dan bahagian telah mula menjemput beliau dengan tujuan bertukar-tukar pemikiran bagi memperkukuhkan UMNO.

Rupa-rupanya, tujuan baik itu ditakuti oleh pihak yang berkuasa. Jemputan ahli-ahli UMNO Kedah yang dijadualkan diadakan pada 19hb Mei ini telah disabotaj oleh pihak tertentu.

Pihak tertentu telah membatalkan tempahan Dewan Institut Tadbir Negara (INTAN) Sungai Petani, Kedah; tempat pertemuan TR dengan ahli-ahli UMNO dijangka akan diadakan.

Inilah dalil yang pemimpin UMNO masih lagi tidak serik-serik dengan penghinaan yang diberikan oleh rakyat terutamanya di negeri Kedah yang telah pun jatuh ke tangan parti pembangkang.

Di sini, segala usaha baik akan digagalkan semata-mata kerana takutkan pemimpin atasan yang kini berada dalam keadaan ‘desperado’.


Sampai bilakah permainan kotor yang dilakukan kepada pemimpin-pemimpin yang sedang berusaha untuk membuat kebaikan ini akan terhenti?

UMNO masih lagi berperangai buruk dan tidak langsung melambangkan sebuah parti yang tertua negara serta parti yang mempunyai pemimpin yang bertamadun.

Penganjur majlis yang dijangka akan dihadiri oleh 2000 orang ahli UMNO itu terpaksa mengeluarkan jemputan yang baru kepada jemputan yang asal bagi memberitahu lokasi dan masa yang baru.

Ini bukankah kejadian yang pertama, kerana pada 26hb yang lalu Mat Taib dan rakan-rakan telah melarikan ketua-ketua cawangan kerana takut mereka akan mendengar ucapan TR di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya atas sebab-sebab yang sama.

Budaya ini sememangnya sudah lama dipraktikkan oleh UMNO dan ini akan lebih melemahkan parti jika ianya tidak dikawal dengan serius.

Kalau sikap ini berterusan maka harapan UMNO untuk kembali releven akan menemui jalan buntu.

Kepada TR, kami berasa simpati dan diharap Tengku akan teruskan sifat sabar yang tinggi yang sememangnya ada pada diri Tengku kerana sesiapa yang sabar akhirnya akan diberkati dan diredhai tuhan, insya-Allah.

Kami, ahli-ahli UMNO yang insaf sangat bersyukur kerana Tengku masih diberikan kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada bangsa dengan penuh azam dan kesabaran.

Kami di bawah sentiasa bersyukur kerana Tengku telah dipanjangkan usia untuk membela kami yang sangat dahagakan sebuah negara yang ditadbir secara baik dan bijaksana.


Hakikatnya jika kita berusaha untuk berbuat perkara yang baik ianya tetap akan dihalang oleh pihak yang batil…itu memang lumrah.

Berbohong itu adalah sifat mustahil bagi tuhan. Tuhan semesta alam menjanjikan kemenangan bagi umatnya yang sabar.

“You may smile last Tengku, but surely it will be the sweetest!”

Sekian……………………………………………………………. Aspan Alias

Borak-borak kosong

Semalam saya dijemput makan tengah hari oleh seorang sahabat yang hampir dengan orang-orang besar UMNO di sebuah restoran jepun di Petaling Jaya.

Beliau meminta saya datang bersama Rashid seorang rakan kenalan bersama untuk sembang-sembang sambil makan.

Kawan saya ini tidak ada topik perbualan selain daripada hal politik yang berkaitan dengan UMNO selepas PU12 ini.

“Aku nak habak kat hang ni! Najib akan lawan Pak Lah hang tau!” dia bercakap secara perlahan-lahan. “Tapi Najib duk diam dulu. Najib is just counting on the right time to announce his decision. Pii Pak Lah!!” katanya dengan penuh keyakinan.

Saya jawab, “Boleh ke Najib lawan PL sedangkan dia jadi buah mulut rakyat dengan bermacam-macam cerita yang tak baik. Macam-macam kita dengar. Altantuyalah! Cerita komisyen kapal selamlah! Dan banyak lagi! Kalau dia jadi pengganti tak ada bezalah!” saya menjawab.

“Don’t worry bro, kita ada cara nak tepih isu-isu tu, hang jangan susah” jawabnya.

“There’s no reason for me to worry bro! If Pak Lah is succeeded by somebody within the same rejected group then the game is over for UMNO as this party will be in oblivion just a day after next General Election! So we won’t worry about UMNO anymore bro,” saya berkata dengan serius.

“By then Pakatan Rakyat will be the government for the day. All of us would surely have nothing more to worry because UMNO will be history. If we are that eager to see the demise of UMNO, Najib would be our best choice to succeed Pak Lah” kata saya lagi.


“Wow bro, imagine Rosmah being the first lady! She would be exceedingly glamourous!
De Facto PM bro!” kata Rashid yang saya rasa menyindir.

“Don’t bring her name in our conversation. It’s not her fault for what she is. The responsibility of shaping the attribute of a wife rests on the husband,” jawab saya menasihati Rashid.

Rashid sambung lagi “Aha, if the fight between the two rejected leaders really happen, it would be very interesting to watch! Surely the kettle will call the pot black or the pot telling the kettle black!"

Kawan saya yang seorang lagi kata, “Bila hang cakap lagu tu aku penin lah. Habih kalau tak Najib siapa yang patut ambik alih Pak Lah? Pak Lah tak laghat dah. Sat lagi dia pii dah!”

Saya menjawab, “Orang melayu ini adalah bangsa yang berkeramat! Yang penting bro, jangan putus-putus berdoa. Kita mesti bertawajjuh serta bertawassul dengan tuhan semoga kita didatangi oleh seorang pemimpin yang boleh membina rakyat dan negara kita dengan betul.”

Itulah di antara perkara yang diperkatakan semasa makan selain daripada cerita-cerita biasa bagi kita yang sudah masuk kategori warga emas ini.

Antara cerita-cerita yang lain termasuklah isu-isu cucu serta anak menantu.

Ada sikit-sikit cerita tentang kawan-kawan yang berkahwin dua, tiga dan empat.

Ada lagi satu, cerita kawan-kawan yang takut bini!

Itu sahaja coretan hari ini……………………………………… Aspan Alias.

29 April 2008

Pak Lah menentang ahli UMNO

Pak Lah(PL) meminta supaya dihentikan tindakan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO mengadakan EGM.

PL telah menunjukkan sikap yang begitu negatif terhadap usaha yang sedang dilakukan oleh ahli-ahli yang sedang berusaha memperkuatkan UMNO dan mahu melihat parti diterima semula oleh rakyat.

Ini membuatkan ramai ahli merasa menyampah dengan kenyataan seperti itu dan PL telah dianggap menentang arus dan tidak menghiraukan langsung perasaan ahli-ahli, sedangkan mereka hanya melaksanakan tindakan yang dibenarkan oleh parti.

PL mesti ingat bahawa ahli-ahli sedang membuat ‘soul searching’ apa yang menyebabkan 32 calon UMNO kalah dalam pilihanraya baru-baru ini.


Rakyat dan ahli-ahli sedang mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu besar cetusan PL dan ahli-ahli Jemaah Kabinet dan barisan pimpinan PL yang lemah yang tidak mempedulikan ahli-ahli dan menifestasi rakyat ramai.

Rakyat sudah tidak tahan dengan kerajaan yang ditadbir oleh beberapa orang ahli keluarganya dan kroni-kroni mereka.

Rakyat melihat dengan mulut yang terlopong apabila menyaksikan keluarga pemimpin besar mereka mengaut kekayaan dengan menggunakan kuasa pengaruh keluarga Perdana Menteri.

Sedarkah PL yang dia mentadbir negara seperti mentadbir syarikat ‘sole proprietor’ yang menyebabkan beliau dibenci oleh rakyat setiap lapisan.

Sedarkah semua pemimpin yang ada dalam kabinet tidak mendapat penghormatan rakyat kerana pe’el mereka yang sombong dan sentiasa mengambil semua isu ‘for granted’ tanpa berusaha untuk membuat suluhan ke dalam diri sendiri.

Sedarkah PL bahawa Najib juga tidak mampu untuk membantu memenangkan calon BN walaupun beliau adalah Pengarah Pilihanraya baru-baru ini, kerana beliau juga mempunyai imej yang tidak baik pada pandangan rakyat.

Najib tidak berusaha membersihkan dirinya daripada isu-isu besar yang dimomokkan oleh PKR dan Anwar sedangkan membawa Anwar kemahkamah merupakan jalan yang terbaik baginya.


Apabila membisu seperti ini ianya menampakkan Najib tidak berani bertindak dan seolah-olah mengiyakan dan mengaku tentang kebenaran isu-isu yang dipaparkan oleh pembangkang.

Sedarkah PL bahawa cara penyelesaian dengan membawa Mat Taib ke persada kepimpinan membuatkan rakyat jemu, kerana pemimpin ini adalah pemimpin yang kurang dihormati oleh rakyat.

Saya yakin bahawa Mat Taib dibawa ke dalam kerajaan kerana beliau pandai memberikan ‘amusement’ kepada PL sedangkan semua orang tahu beliau pernah membohongi Tuanku Sultan Selangor suatu ketika dahulu dan banyak lagi isu panas mengenai dirinya.

Apabila seorang pemimpin terbukti berbohong maka dia tidak lagi layak memimpin kerana berbohong itu melanggar etika kepimpinan dan sekaligus tidak layak lagi untuk memimpin.

Kalaupun benar PL hendak mencari pemimpin yang boleh diharapkan untuk membina semula imejnya, Mat Taib bukanlah orangnya.

Sedarkah Pak Lah bahawa pemimpin-pemimpin di kelilingnya tidak boleh membantu beliau sebaliknya membawa padah kepada beliau sendiri yang sudah sedia ada lemah.

Isu-isu rasuah dan seks meliputi ramai di kalangan pemimpin yang kita pertaruhkan nasib masa depan anak cucu kita.

Sedarkah PL bahawa dalam keadaan sebegini ramai ‘opportunist’ yang akan datang kepada beliau kononnya untuk membantu tetapi di sebaliknya mereka hanya bertujuan untuk mendapatkan projek besar.

Kumpulan ini berjanji untuk membantu menaikkan imej PL yang sudah merudum ke bumi.

Kumpulan ini juga sedar bahawa PL, Najib dan ramai yang lain sudah tidak dapat diterima oleh rakyat lagi.

Oleh kerana keadaan seperti inilah ahli-ahli bertindak dengan mengadakan EGM untuk memperkuatkan semangat mereka kembali kerana pemimpin mereka tidak mampu untuk membina semangat mereka.

Tiada siapa yang berani ke hadapan untuk memimpin dengan menawarkan diri untuk membetulkan keadaan ini melainkan Tengku Razaleigh Hamzah yang bersedia untuk memimpin UMNO yang sedang dalam kecundang ini.


TR membuat cadangan dengan hati serta pemikiran yang terbuka dan beliau telah melambangkan sifat ‘magnamity’ yang begitu tinggi.

Kalaulah ramai pemimpin seperti TR maka negara tidak akan menghadapi permasalahan yang kita hadapi sekarang.

Beliaulah yang membuat kenyataan yang terawal selepas menerima keputusan buruk BN baru-baru ini supaya cawangan-cawangan serta bahagian mengadakan EGM kerana beliau menghormati pandangan ahli-ahli di bawah.

Beliau sedar bahawa kekuatan UMNO sebenarnya terletak pada ahli-ahli di bawah, dan sekarang TR meminta mereka membuat sesuatu untuk mengembalikan kekuatan ini dengan mengadakan EGM.


Kita ahli-ahli di bawah sepatutnya menyelar kenyataan seorang Presiden parti yang cuba untuk memerangi pemikiran ahli yang inginkan perubahan drastik kepada parti kita.

PL masih lagi tidak sedar kapal ‘TITANIC’ yang dinakhodakannya sudah hampir tenggelam.

Kepada PL dan Najib, sedarlah, sedarlah, sedarlah!!!. Berundurlah, berundurlah kamu berdua.

Jika kamu berdua berundur maka kamu sudah melakukan pengorbanan yang besar kepada negara.


Sekian………………………………………………………… Aspan Alias.

26 April 2008

Pak Lah desperate

Dalam keadaan kita bermurung dan mendengar saranan demi saranan supaya Pak Lah (PL) meletakkan jawatan kita diberitahu bahawa beliau akan memanggil ketua-ketua cawangan seluruh negara ke Putrajaya bermula 3hb Mei ini.

Ramai berpendapat, tindakan PL ini melambangkan perasaan ‘desperado’ beliau untuk mengekalkan jawatan yang orang ramai minta beliau tinggalkan.

Populariti PL menjunam dengan teruknya dan beliau sedang cuba untuk memperbaiki perasaan kurang yakin rakyat terhadap beliau.

“Mahal betul untuk menegakkan Pak Lah ini,” kata seorang bekas menteri kepada saya.

Banyak waktu dihabiskan untuk kepentingan peribadi, dan tentunya akan memakan belanja yang banyak selain daripada membuang masa pemimpin-pemimpin cawangan semata-mata untuk menegakkan benang yang basah.

Akhirnya nanti, PL akan menjadi PM yang paling banyak menghabiskan masa untuk berpolitik daripada memberi fokus kepada mentadbir negara.

Sebenarnya, jika PL hendak menambahkan sokongan daripada rakyat beliau mestilah dilihat bekerja dengan kuat untuk memperbetulkan pentadbiran negara dan tunjukkan bahawa beliau benar-benar serius untuk membina semula kelemahan kerajaan yang dipimpinnya.

Saya tidak tahu siapakah penasihatnya sehinggakan beliau sanggup berbelanja jutaan ringgit semata-mata untuk kepentingan politik peribadi beliau.

PL masih lagi melakukan perkara-perkara yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan sebaliknya akan menuduh pihak-pihak lain apabila rakyat bertindak menentang kerajaan.

Contohnya, beliau telah menuduh pihak-pihak lain melakukan sabotaj terhadap parti sedangkan kelemahan kepimpinan dan politik keluarga yang diamalkannya itu sendiri merupakan tindakan sabotaj kepada parti.

Bagi saya, hasrat untuk menaikkan kembali imej beliau ke tahap yang dahulu tidak akan kesampaian kerana jarang-jarang sekali rakyat mana-mana negara akan menerima dan mempercayai pemimpin yang telah ditolak.

Apapun alasan yang diberikan untuk menghalalkan tindakan ini, rakyat akan melihatnya sebagai tindakan yang ‘desperate’, imej yang sangat buruk bagi seseorang pemimpin.

Cara yang terbaik bagi PL untuk membersihkan namanya ialah dengan bersara dan berehat dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya berbuat perkara lain yang lebih memberi faedah kepadanya.

PL sepatutnya memilih untuk mengikuti contoh Datuk Husein Onn yang meletakkan jawatan apabila beliau mendapati sebilangan ahli-ahli parti tidak berpihak kepada beliau walaupun tentangan terhadap beliau tidaklah seberapa.

Beliau (Datuk Husien) tidak mahu melihat partinya berpecah-belah demi memastikan UMNO itu tetap utuh dan dihormati rakyat terutamanya kaum asing.

Apabila PL masih lagi mahu terus bertahan dalam keadaan sekarang ini, orang ramai mula berfikir bahawa beliau ingin menutup pekong-pekongnya dahulu sebelum bersara.

Pendek kata, bermula 3hb Mei ini akan bermulalah tindakan ‘desperado’ PL yang akan disaksikan oleh bukan sahaja ahli-ahli UMNO dan rakyat malahan juga masyarakat antarabangsa.

Tindakannya ini boleh diibaratkan seperti memasukkan air ke dalam telinga untuk mengeluarkan air yang sedia ada di dalam telinga itu.

Saya tidak pasti sama ada PL sedar bahawa rakyat sedang memerhati dengan teliti segala tindak-tanduknya sebagai pemimpin lemah yang amat sayangkan jawatan dan kepentingan keluarganya.

Kita penat melihat pemimpin seperti ini yang sanggup memperjudikan nasib bangsa dan negaranya semata-mata hendak menyelesaikan masalah yang beliau sendiri lakukan.

Saya berharap PL dapat menggunakan pemikiran sendiri sedikit sebanyak daripada mendengar 100% cakap-cakap orang kelilingnya yang mempunyai kepentingan peribadi.

Orang kelilingnya tentulah mengambil kesempatan atas masalah yang beliau sedang hadapi.

Masa keadaan kelam kabut inilah orang-orang yang menasihatkan Pak Lah ini menjadi orang penting dan mungkin dapat peluang ‘bisnes’ besar dalam sekelip mata.

Semasa air keruh inilah lukah-lukah dipasang untuk menjerat ikan yang besar-besar.

PL seperti biasa pasti tidak sedar akan permainan ini kerana beliau ini susah untuk memikirkan perkara yang berat-berat.

Akhirnya nanti PL tentu akan tahu jua tetapi waktu itu segala-galanya sudah terlambat.

Semoga Tuhan memberi hidayah kepada pencetus Islam Hadhari ini!

Sekian…………………………………………………………………Aspan Alias