08 September 2011

Hentikan polimik Mat Indera ini.

Keluarga Mat Indera mahukan nama Mat Indera dicatatkan sebagai pejuang pembebasan negara (freedom fighter). Baharom Shah adik kepada Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Indera itu berkata Mat Indera adalah seorang begitu komited dengan agamanya merupakan seorang benar-benar seorang freedom fighter bagi membebaskan negara kita dari penjajahan British.

Baharom Shah mahukan saudara kandungnya itu diiktiraf oleh kerajaan sebagai pejuang nasionalis dan bukannya sebagai pertualang kepada kerajaan Malaya kerana semasa itu kita belum berkerajaan sendiri tetapi dibawah kerajaan penjajah British.

Pada tahun 2004, Yayasan Warisan Johor telah mengiktiraf Mat Indera sebagai seorang yang sebaris dengan almarhum Sultan Ismail dan kesemua pejuang kemerdekaan dari Johor.

Apabila kita mempersoalkan isu pejuang negara kita mesti asingkan politik dari isu sebenarnya. Sekarang ini kita membawa isu ini terlalu jauh dan pihak BN khususnya UMNO telah mempolitikan isu ini dengan membabitkan isu komunis semata-mata kerana yang bercakap secara terbuka mengakui dan mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang pembebasan negara.

Tetapi kalau pihak BN yang mengakuinya saya yakin Utusan tidak akan memulakan polimik yang membazir masa ini berlaku di hadapan rakyat yang sudah mual dengan isu-isu yang dipolitikan kerana keadaan terdesak pihak pemerintah pada masa ini.

Secara resminya Yayasan Warisan Johor telah memberikan pengiktirafan kepada Mat Indera sebagai pejuang pembebasan negara dan Mohamad Sabu hanya bersama-sama mengakui hakikat ini. Pengakuan Mohamad Sabu ini telah diselewengkan kerana politik anti Mohamad Sabu yang dilancarkan oleh Utusan, akhbar kepunyaan UMNO ini.

UMNO perlu membuat kenyataan rasmi sekarang untuk mengiktiraf Mat Indera sebagai pengganas komunis dahulu sebelum menuduh dan cuba melibatkan Mat Sabu sebagai orang yang bersimpati dengan komunis.

Setelah UMNO menentukan sikapnya yang menuduh Mat Indera sebagai pengganas komunis maka barulah Khairy Jamaludin atau sesiapa di dalam UMNO untuk berdebat dan bertikam lidah di mana-mana yang beliau suka. Saya menghormati Khairy tetapi Khairy carilah isu lain kalau hendak berdebat kerana masyarakat tahu isu komunis yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PAS ini hanyalah isu yang dipolitikan untuk menagih sokongan ramai dalam pilihanraya nanti. Itu sahaja.

Dalam politik sekilas ikan di air kita sudah tahu jantan betinanya. Elok kita fokuskan kepada isu lain dari isu Mat Indera kerana Mat Indera telah pun di akui sebagai pejuang kebebasan oleh Yayasan Warisan Johor dan tidak ada sesiapa yang mempersoalkannya. Jika pihak UMNO hendak berbahas juga dengan Mat Sabu maka UMNO terpaksa mengambil pendirian yang Mat Indera itu adalah petualang kepada negara. Mahukah UMNO mengambil pendirian itu?

Yang benar tetap benar. Kita mesti mengakui yang UMNO (asal) dulu adalah badan politik yang menyudahkan proses membebaskan negara dari penjajahan British. Sebelum tertubuhnya UMNO itu banyak badan-badan lain telah bertindak untuk mencapai kebebasan itu tetapi British tidak mahu memberikan kebebasan kepada mereka walaupun Britain telah mengambil sikap untuk memerdekakan negara-negara yang mereka jajahi selepas perang dunia yang kedua dahulu lagi.

Elok kita tinggalkan isu Mat Sabu ini di belakang kita kerana memperbesarkan isu ini mungkin akan terpaksa pula kita semua menulis kembali sejarah kita sendiri. Kita mesti sedar sejarah adalah permainan persepsi.

Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 26 tahun oleh kerajaan Afrika Selatan (apartheid) telah di anggap sebagai ‘traitor’ oleh kerajaan Afrika Selatan (apartheid) tetapi akhirnya beliau dianggap sebagai hero dan pejuang kemerdekaan negara itu selepas negara itu mencapai kemerdekaan dan terlepas dari cengkaman apartheid itu tadi.

Begitu juga Mat Indera di anggap petualang kepada kerajaan penjajah British tetapi telah di anggap sebagai hero apabila negara kita mencapai kemerdekaan dan telah pun diakui oleh Yayasan Warisan Johor tentang perjuangan kebebasan negara kita.

Tidak usah kita berkelahi kerana isu persepsi ini. Tinggalkan sifat ke anak-anakan kita. Kita semua sudah dewasa dan saya berharap janganlah hendaknya membawa mana-mana pihak untuk menjadi budak-budakan dengan mengenengahkan isu yang tidak ada berkesudahan ini.

Jika UMNO mahu menyebelahi penjajah British, anggaplah Mat Indera ini sebagai petualang kepada kerajaan penjajah itu. Tetapi jika kita mahu menyebelahi semua pihak yang telah berkorban untuk kebebasan kita dari British anggaplah Mat Indera ini sebagai pejuang bangsa.

Bagi diri saya, saya menyebelahi pihak yang menentang penjajahan British dan saya anggap Mat Indera sebagai hero dan pejuang bangsa dan kemerdekaan negara.

Saya tidak tahu pula Khairy (UMNO) menyebelahi pihak yang mana.

06 September 2011

MCA tidak payah menang pilihanraya - "Kaum Cina akan masih berada dalam Kabinet," kata Nazri.

Semalam Nazri Aziz membawa berita gembira kepada MCA. Kalau MCA kalah dalam pilihanraya nanti mereka akan dilantik juga untuk menyertai kabinet kerajaan . Mereka boleh dilantik melalui perlantikan sebagai Ahli Dewan Negara yang membolehkan mereka dilantik ke dalam jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

Dengan kenyataan itu bermakna pengundi tidak payah bersusah-payah untuk mengundi MCA kerana mereka akan dibawa ke dalam Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan. Dengan itu, maka Kerajaan di bawah pentadbiran Najib akan bertambahlah Menteri-Menteri yang datang dari kumpulan yang di‘reject’ oleh rakyat. Inilah pandainya Nazri ini.

Setakat ini sudah begitu ramai Menteri termasuk Timbalan Menteri yang dilantik melalui Dewan Negara. Nazri berjanji akan memujuk Perdana Menteri untuk tidak membiarkan bangsa Cina tidak diwakili di dalam Kerajaan tadbiran Najib. Nazri berkata kabinet wajar menjadi kabinet yang multi-racial.

Oleh yang demikian, orang Cina sekarang bolehlah bersama-sama dengan bangsa lain untuk mengundi DAP sepenuhnya untuk menjayakan parti berbilang kaum yang sudah pun menunjukan kemampuannya untuk mentadbir kerajaan bersama-sama rakan kongsinya di dalam Pakatan Rakyat. PKR telah berjaya mentadbir Selangor dengan baik dan PAS pula memang telah pun menunjukkan kemampuannya untuk mentadbir negeri-negeri yang ditadbirnya.

Dalam beberapa tulisan saya tidak berapa lama dahulu, saya pernah menyatakan bahawa MCA dan Gerakan akan tidak ada lagi di Semenanjung tanah air kita ini. Yang akan ada hanya enam puluh lebih kerusi yang dimenangi UMNO dan UMNO akan kesunyian di Semenanjung ini. Justeru itu, saranan Nazri itu adalah kena-mengena dengan keadaan yang akan wujud di Semenanjung ketika itu nanti.

Melantik mereka dari MCA yang akan ditolak rakyat itu tidak lebih untuk menjadi teman mentadbir sahaja. Itu pun kalau BN masih cukup kerusi untuk memerintah kerajaan Persekutuan ini. Mereka akan berada di dalam kerajaan sebagai wakil kaum Cina yang tidak ‘legitimate’ kerana memasuki kabinet melalui pintu belakang kerana telah disekat untuk memasukinya melalui pintu hadapan.

Tetapi jika BN tidak mempunyai cukup kerusi untuk memerintah, maka UMNO sendiri tidak dapat melantik diri sendiri ke dalam Jemaah Kabinet kerana tidak lagi mendapat mandat yang cukup untuk memerintah negara.

Buat masa sekarang ini Nazri patut bercakap untuk ‘survival’ UMNO itu sendiri dahulu dari bercakap untuk menyelamatkan parti yang sudah diketepikan oleh bangsanya sendiri. Nazri patut sedar bahawa UMNO sendiri sedang menghadapi masalah sokongan daripada sebahagian besar orang Melayu yang menjadi tunjang sokongan selama kini.

Kecenderungan jelas orang Cina untuk menyokong DAP menyebabkan MCA akan hilang dari badan-badan Legislatf dan UMNO akan hanya mendapat sokongan saki baki orang Melayu yang belum tergerak untuk mengundi PAS dan parti-parti pembangkang yang lain.

05 September 2011

Takziah kepada keluarga Noramfaizul

Sebelum saya memperkatakan apa-apa saya serta seisi keluarga menzahirkan perasaan sedih dan pilunya di atas kehilangan seorang anak muda Noramfaizul yang telah meninggal dunia di Mogadishu minggu lepas kerana terkena tembakan dari arah yang tidak di ketahui. Kapada isteri serta anak-anak beliau dan keseluruhan ahli keluarga Noram faizul menerima kejadian ini sebagai takdir yang datangnya dari Tuhan yang maha Esa.

Ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Apabila sampai ajal ianya tidak dapat ditangguh atau dipercepatkan walaupun sesaat. Itu adalah janji kita dengan Tuhan sebelum kita lahir ke dunia ini. Seratus dua puluh hari sebelum kita lahir segala-galanya telah ditentukan untuk seseorang manusia yang hidup di dunia ini. Hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahui segala-galanya yang telah, sedang dan yang akan berlaku kepada semua makhlok semesta alam ini.

Menerima Qada’ dan Qadar seperti ini adalah wajib kerana itu adalah ketentuan yang maha esa. Itu adalah hakikat yang mesti diterima oleh mereka yang beriman kepada Tuhan. Tiada apa yang berlaku yang bukannya ketentuan Tuhan.

Tetapi oleh kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di hari muka maka manusia telah diberikan agama serta undang-undang serta etika terhadap keseluruhan umat untuk melakukan segala apa kerja dengan berhati-hati dan itu juga adalah tuntutanNya yang sangat penting untuk diterima sejujur-jujurnya.

Hidup kita bersyariat dan dikawal oleh undang-undang serta disiplin dan kehidupan kita mesti ada unsur-unsur agamanya. Itulah sebabnya kita orang Islam selalu mendengar para guru-guru fiqah yang Islam itu adalah addin yang mengawal kehidupan zahiriah kita sentiasa. Itu sebabnya dalam kehidupan kita ada dosa dan pahala kerana yang akan menanggung bahagia atau celaka itu ialah roh kita. Tubuh kita akan kembali kepada asal dari mana ianya dijadikan.

Di samping menerima hakikat yang ajal itu di tangan Allah swt, tuhan maha esa itu juga memperingatkan kita untuk mentarbiah syariat dengan sepenuhnya dan biarkan hakikat itu berada di tanganNya sepenuhnya. Kehidupan kita wajar melalui tata-cara yang telah di tetapkan oleh undang-undang serta tadbiran hidup bersyariat.

Dalam kes Noramfaizul ini ajalnya telah sampai semasa bertugas di Mogadishu. Tetapi syariat untuk bekerja di negara yang tidak stabil dan merbahaya itu sewajarnya di lakukan dengan persedian ciri keselamatan yang kukuh untuk petugas-petugas seperti Noramfaizul dan yang lain-lain.

Kita mesti menerima yang keselamatan diri msing-masing merupakan perkara yang terpenting untuk di pastikan dan kita tidak boleh menerima apa yang di katakan oleh Azeez Rahim yang beliau telah mendapat jaminan dari pihak polis dan keselamatan negara itu semata-mata. Hanya kita yang lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan kita serta jemaah kita sendiri.

Saya sependapat dengan pandangan yang Azeez Rahim, Presiden Club Putra 1Malaysia dan Bernama di pertanggungjawabkan kerana mengambil isu keselamatan ini dengan begitu mudah dan mengambil isu keselamatan ini ‘for granted’. Ini bukan isu politik tetapi isu keselamatan rakyat yang sedang melakukan tugas kemanusiaan di negara yang bergolak itu.

Azeez patut tahu yang di negara Mogadishu itu seramai 27 orang petugas kemanusiaan telah mati semasa bertugas sejak 2007 yang lalu. Kita tidak boleh beranggapan yang apa yang berlaku kepada orang lain tidak boleh berlaku kepada diri kita sendiri.

Saya menyokong segala usaha ubudiyah yang baik ini tetapi kita mesti menyediakan ciri-ciri keselamatan yang baik sebelum kita melakukan kerja baik ini. Jangan pula kita hilang semangat untuk melakukan kerja yang sama pada masa-masa yang akan datang.

Sekali lagi saya mengucapkan takziah kepada keluarga Noramfaizul Mohd Nor dan memohon agar bersabar menghadapi keadaan yang sangat menyedihkan ini. Saya berharap roh beliau berada sebaris dengan yang syahid akan menjadi ahli Jannah.

Al-Fatihah.

04 September 2011

Tidak hilang bisanya jika ular menyusur akar

Perbezaan kepimpinan antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain adalah satu perkara yang biasa. Tunku Abdul Rahman dan Tun Abd Razak ada perbezaan dan antara Tun Razak dan Husein Onn pun berbeza. Begitu jugalah Dr Mahathir dan Abdullah Badawi lagi banyak perbezaannya.

Tetapi yang paling besar perbezaannya ialah Dato' Seri Najib Razak kerana ada satu perkara yang secara lazimnya boleh dikatakan tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara dan juga tidak ada atau jarang berlaku di dalam negara maju atau separuh maju di dunia ini.

Yang dimaksudkan ialah peranan seorang isteri Perdana Menteri yang terlalu besar dalam urusan Perdana Menteri seharian. Ada perbilangan yang menyebut, di sebalik kejayaan seorang lelaki itu, di belakangnya mesti ada wanita yang berperanan. Dalam agama kita pun ada menyebut, seorang isteri itu boleh menaikkan darjat seorang suami dan juga boleh meruntuhkan kewibawaan serta kepimpinan suami.

Hawa dijadikan dari rusuk kiri nabi Adam as. Begitulah hakikat kejadian Hawa dari sudut kejadian dan kewujudan manusia yang berlainan jantina ini. Hawa tidak dijadikan dari kepala Adam untuk dijunjung dan tidak juga dijadikan dari kaki untuk dibuat pengalas.

Cerita kejadian Hawa dari rusuk kiri Adam itu besar maknanya. Dari sudut simboliknya Hawa dijadikan dari rusuk kiri itu ialah untuk berada di sisi Adam (seorang lelaki) bagi menemani hidup suami isteri serta memberikan semangat kepada segala perbuatan atau perjuangan Adam tadi (lelaki).

Hawa sebagai seorang wanita diasuh, dijaga dan dilindungi oleh Adam dalam kehidupan mereka. Seorang wanita itu dijadikan untuk sentiasa di sisi dan bersama semasa senang dan susah serta melaksanakan kehidupan mengikut apa yang telah digariskan oleh yang Maha Pencipta dengan syariat kehidupan sekali melalui agamanya dan adat sesuatu kaum dan masyarakat itu.

Adat dan adab itu berbeza mengikut bangsa dan keturunannya. Tetapi adat dan adab itu tidak boleh melanggar syariat serta adat yang berlandaskan kepada syarak yang telah ditetapkan oleh agama jika seseorang itu yakin dan percaya bahawa Tuhan itu adalah ‘definite’ dan ‘infinite’. Selalunya adat serta adab itu akan berlandaskan kepada syarak dan kitabullah.

Kita bukan menafikan peranan isteri atau wanita itu. Wanita khususnya seorang isteri itu memang besar peranannya dalam kehidupan seorang suami termasuk suami yang menjadi pemimpin yang bertanggungjawab untuk memimpin.

Tetapi peranannya hanya di belakang tabir dan tidak selalu terlihat oleh masyarakat ramai. Kata pepatah adat, perundingan biarlah berlalu di dalam gelap tetapi adatnya dilaksanakan di tempat yang terang.

Peranan Siti Khadijah sebagai isteri Muhammad saw boleh dijadikan contoh kerana tidak ada isteri yang semulia Siti Khadijah. Walaupun Khadijah seorang yang kaya-raya dan insan yang memberikan segala semangat kepada junjungan kita, Siti Khadijah tetap memainkan peranan di belakang tabir. Segala urusan dan perbincangan untuk tindakan Muhammad dirundingkan di rumah (dalam konteks yang disebutkan tadi sebagai rundingan di dalam gelap) tetapi syariatnya serta adatnya ianya dilakukan oleh Muhammad secara terangan.

Siti Khadijah adalah isteri manusia teragung iaitu Rasul pilihan Tuhan, tetapi Khadijah tidak hidup dengan glamour atau menunjuk-nunjuk kepada umum akan kedudukannya. Siti Khadijah tidak pernah menonjolkan dirinya kepada khalayak ramai kerana yang memimpin serta membawa makalah Islam itu adalah Muhammad saw.

Muhammad adalah ketua kepada dunia dan alam ini bukan setakat menjadi PM kepada mana-mana negara sahaja. Yang ditadbir oleh Muhammad ialah dunia dan alam ini. Bagi masyarakat Melayu, isteri itu adalah pembantu yang paling hampir kepada suaminya tetapi adalah kurang adat serta adabnya jika isteri pula yang menonjolkan diri dengan tiada hadnya.

Keadaan seperti ini ia bukan sahaja memberikan kepayahan kepada suami untuk menghadapi orang ramai yang dipimpinnya tetapi ianya merupakan perlanggaran terhadap adat dan adab bangsa kita itu tadi.

Apa yang dipersoalkan oleh Naib Presiden PAS, saudara Mahfuz Omar tentang slot untuk isteri PM dalam mesej hari raya itu adalah berkaitan dengan adat dan adap kita sebagai seorang Melayu dan Islam dan penonjolan isteri Perdana Menteri itu adalah terlalu jauh tersasar daripada ‘attribute’ orang Melayu dan Islam itu tadi.

Pada pandangan Mahfuz, penampilan isteri PM seperti ini belum pernah berlaku sebelum ini dan ianya adalah terlalu menjolok mata jika dipandang dari sudut adat dan adab orang Melayu.

Lagipun, seperti yang disebutkan dari awal tadi bahawa Hawa itu asalnya adalah dari rusuk kiri Adam dan wajar berada di sisi suami sahaja, bukannya mengatasi suami kerana Hawa bukan dijadikan dari kepala Adam.

Penghujung hujah, ‘tidak hilang bisanya ular jika ia menyusur akar’.