02 November 2011

A dead fish swims with the flow.

Saya telah menerima beberapa email dari mereka yang mengikuti tulisan saya bertanyakan samada saya boleh memberikan komen tentang perlantikan Nalla Karrupan sebagai ahli Dewan Negara. Nalla telah mengangkat sumpah petang tadi dengarnya.

Nama Nalla ini dikenali ramai kerana penglibatan beliau secara rapat dengan Anwar dan popular dengan persepsi ramai yang beliau pernah menjadi ‘tennis partner’ kepada Anwar Ibrahim. Beliau merupakan di antara orang yang paling hampir dengan Anwar semasa Anwar ada sikit-sikit kuasa dahulu.

Apabila Anwar di penjara dengar ceritanya beliau kehulu ke hilir mencari naungan baru dan cara yang paling senang bagi beliau ialah dengan bermain politik dan mengambil tindakan menyebelahi musuh-musuh politik Anwar dan membuka segala cerita sensitive tentang Anwar kepada khalayak ramai untuk menghampiri pihak yang berkuasa.

Secara peribadi saya tidak mengenali orang yang bernama Nalla Karrupan ini tetapi saya diberitahu beliau di gunakan oleh musuh Anwar untuk menekan sahabat lamanya itu. Tindakan Nalla itu tentulah akan dibayar dan perlantikan beliau ke Dewan Senate ini adalah satu dari cara memberikan imbuhan terhadap jasa beliau kepada pemimpin yang berkuasa dengan membidas Anwar secara terbuka.

Ramai lagi yang lebih layak untuk di lantik tetapi Nalla Karupan mempunyai kelebihan lain; iaitu mengampu dan melakukan perkara yang ‘amusing’ terhadap pihak yang memusuhi Anwar.

Orang seperti ini ramai di kalangan kumpulan yang hampir dengan Anwar dahulu. Kalau nak sebut seorang dua, diantaranya ialah bekas Setiausaha Politik Anwar Ezam Mohd Nor, Eskay, seorang lagi sahabat Anwar yang berpaling tadah sokongan kepada menyokong musuh politik Anwar.

Saya tidak dapat memberi komen yang detail terhadap Nalla dan mereka yang serupa sikapnya dengan Nalla ini. Tetapi cukup jika saya katakan mereka-mereka ini adalah kumpulan ‘cari makan’ dan membunuh karektor sahabat sendiri yang pernah memberikan nikmat kepada mereka ini adalah perkara biasa.

UMNO memang memberikan keutamaan kepada mereka yang jenis ini kerana ahli-ahli UMNO tidak mungkin menentang kerana ahli-ahli ramai dalam UMNO itu hanya di jadikan sebagai dahan bongkok tempat kera-kera liar meniti.

Orang seperti Nalla dan Ezam Mohd Nor ini memang ramai. Orang-orang seperti ini adalah ibarat ikan mati. Mereka ini hanya dan sentiasa berada ‘on the buttered side of the bread’ serta akan berenang seperti ikan mati. Ada perbilangan Inggeris yang sesuai untuk mereka ini, iaitu ‘dead fish swims with the flow’.

Kalau ditakdirkan pihak lain yang diberi mandat untuk berkuasa orang-orang seperti ini masih akan selamat kerana mereka bijak untuk menghampiri mereka yang mempunyai kuasa. Orang-orang seperti ini amat ramai di dalam UMNO. Orang-orang seperti ini akan akhirnya membidas UMNO dan BN serta pemimpinnya jika pihak lain yang akan berkuasa. Mereka akan lebih pandai dari pihak lain untuk membidas dan membinasakan UMNO apabila pihak lain pula yang akan berkuasa.

Saya mengatakan mereka sebagai ikan mati dan akan berenang mengikut arus sungai. Tetapi ada setengah pihak yang lain memberitahu saya yang mereka seperti ini merupakan ‘political prostitute’.

Bagi saya, perbilangan yang paling sesuai untuk mereka ini ialah ‘a dead fish that swims with the flow’ kerana mereka tidak akan mampu untuk berenang melawan arus.

Cukuplah komen saya setakat itu. Kalau komen lebih-lebih nanti ramai pula yang membidas saya dengan kata-kata nesta seperti anjing, babi dan sebagainya. Penyokong-penyokong UMNO garang-garang semuanya dan mereka amat fasih menyebut istilah-istilah kotor itu,; lebih fasih dari bertahmid dan menyebut perkara-perkara yang baik-baik.

01 November 2011

Sekali ombak memukul, sekali pantai berubah

Segala-galanya berubah mengikut waktu dan masanya. Dunia pun berubah apatah lagi makhlok-makhlok lain ciptaan tuhan yang Maha Esa itu. Yang tidak berubah hanya zat tuhan yang tidak bermula dan tidak berakhir.

Kalau kita iktikatkan tubuh badan kita sendiri sebagai alam yang kecil, kita sendiri nampak dan terasa perubahannya. Kalau dulu kita penuh dengan tenaga apabila sudah tua kita akan kekurangan tenaga dan kudrat itu secara beransur-ansur.

Dulu kita boleh berlari seratus meter dengan kepantasan 11.67 saat kini kita hanya mampu untuk melakukan larian itu dalam kepantasan 116.7 saat dalam seratus meter. Semasa mudanya kita berambut tebal dan berwarna hitam, tetapi kebanyakan di antara kita apabila tua rambut kita akan menipis dan beruban pula. Jadi rupa kita pun berubah dan semuanya berubah.

Itulah sebabnya agama kita pun memberikan kenyataan yang kita mesti hidup mengikut waktu dan zamannya. Dalam peperangan kita wajar bersiap sedia dengan peralatan peperangan yang moden dan tidak lagi menggunakan panah dan pedang.

Walaupun harganya mahal tetapi kita tidak boleh mengelak dari mempersiapkan alat persenjataan canggih dengan secukupnya. Itulah sebabnya rakyat marah kerana harga pembelian peralatan yang berharga RM1 billion, tetapi sebanarnya harganya tidak melebih RM300 million misalnya.

Pemimpin kerajaan pun berubah. Kalau dahulu pemimpin-pemimpin kerajaan bertungkus lumus untuk menyelamatkan wang rakyat dengan berusaha untuk membeli bekalan untuk kegunaan kerajaan sekarang ini pemimpin-pemimpin kita berusaha habis-habisan untuk membayar harga barangan setinggi yang boleh menggunakan wang rakyat untuk mendapat ‘kick backs’ dengan jumlah yang besar. Segala kos ini menggunakan wang dari pembayar cukai dari rakyat yang ramai.

Ada kementerian atau jabatan yang membeli beras yang berharga RM170 dengan harga RM1700 sekampit dan semuanya ini kerana mengisi poket pihak yang dipertanggung jawabkan untuk menjaga rakyat yang rata-rata susah. Orang ramai boleh meneliti lapuran Ketua Audit Negara jika mahukan kepastian tentang apa yang saya katakan ini. Harga blender yang berharga rm400 dibeli oleh pihak kerajaan atau jabatan tertentu dengan harga melebihi seribu ringgit.

Perubahan ini adalah perubahan etika dan nilai kemanusiaan yang sudah terlalu jauh berubah dalam kepimpinan kerajaan di setiap peringkat pentadbiran. Rasuah…rasuah dan rasuah. Ini adalah kerana kekurangan tanggungjawab di kalangan pegawai-pegawai serta politikus yang tidak mempunyai perasaan dan pertimbangan terhadap rakyat yang bertungkus lumus mengisi kantung kerajaan kita.

Tetapi di sebalik perubahan yang tidak baik ini ada pihak yang juga berubah untuk kebaikan dan ingin melakukan sesuatu yang baik untuk negara. Ini juga adalah perubahan. Pihak yang sedar ini sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan dan sedang mengadu kepada rakyat tentang apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan yang sedang berhadapan dengan ‘mahkamah’ rakyat, iaitu pilihanraya yang akan datang ini.

Rakyat dari berbilang kaum dan keturunan sedang berusaha untuk mempastikan kerja hina yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa ini diberhentikan. Kerja ini bukan kerja yang mudah kerana tentangan dan reaksi pihak yang sedang memerintah ini adalah kuat. Segala media perdana dipergunakan untuk menangkis perbahasan yang dikemukakan oleh pihak alternatif ini.

Berbagai cara dan kaedah dilakukan oleh pihak yang sedang berkuasa untuk mengekalkan kuasa. Cara yang paling ampuh selama ini ialah dengan menaikan perasaan perkauman di kalangan rakyat. Orang Melayu dengan UMNOnya menggunakan cara menyemai perasaan benci dengan kaum lain. MCA pula dengan chauvinis Cinanya untuk mengumpulkan sokongan orang Cina terhadap parti itu. Begitu jugalah MIC yang memainkan isu Indianya untuk membawa sokongan kaum India terhadap parti itu.

Tetapi perubahan sedang jelas berlaku. Rakyat sudah begitu jemu dengan permainan isu rasis dari parti-parti BN. Mereka sedar jika isu rasis ini berlarutan ianya tidak membawa negara dan rakyat kemana-mana..Yang untung hanyalah opotunis yang menjadi pemimpin kepada parti-parti tersebut dan keuntungan untuk ‘war lords’ dalam parti-parti dalam BN khususnya UMNO. Mereka yang membentuk perasaan orang berbilang kaum membenci di antara satu bangsa dengan yang lain tetapi di antara pemimpin berbilang kaum mereka bersatu untuk memperdaya orang ramai sambil membina kekayaan yang menggunung.

Parti-parti yang berdasarkan kepada keahlian mengikut kaum sudah mula ditolak dan keadaan ini telah kita lihat dalam pilihanraya yang lalu. Parti-parti yang berlandaskan kepada semua kaum sedang beransur-ansur mengambil tempat di hati rakyat. DAP. PKR dan Pas adalah parti-parti yang tidak berlandaskan kepada kaum tetapi untuk semua kaum, walaupun di antara parti-parti itu didominasi oleh sesuatu kaum.

Masing-masing parti sedang berusaha untuk membuktikan yang mereka mahukan penyertaan semua kaum kerana hanya parti-parti berbilang kaum sahaja yang akan kekal berpengaruh setidak-tidaknya bagi beberapa dekad yang akan datang.. Itulah sebabnya DAP sudah mula di terima oleh kaum Melayu dan parti itu pun mengambil sikap realistik dengan mengalu-ngalukan orang-orang Melayu untuk menyertai parti itu.

Bermacam-macam cemuhan terhadap DAP dan momokan terhadap parti ini sejak penubuhannya sudah mula ditolak oleh sebagaian orang Melayu. Tetapi bagi mereka yang faham pihak chauvinistik Melayu akan membabikan serta menganjingkan mereka yang tidak termakan dengan momokan pihak berkuasa itu. Saya yakin yang benarnya akan akhirnya timbul dan yang bathil akan tetap terbukti dihadapan rakyat.

Tetapi kesusahan merupakan makanan pihak yang berjuang. Tidak ada usaha yang baik itu akan mudah diterima oleh orang ramai apatah lagi dari kumpulan pemerintah yang sesama sendiri tergulung dalam kumpulan yang rakus dan tamak tadi. Berbagai nama dan gelaran yang buruk dilemparkan terhadap pejuang-pejuang ini. Nama dan gelaran-gelaran itu bermacam-macam bunyinya. Di antaranya anjing, babi, sial, bingai, celaka dan berbagai-bagai lagi.

Mungkin itulah sikap semula jadi bagi pihak yang akan hilang kuasa. Oleh kerana mereka sudah terlalu lama berkuasa mereka akan bersikap takbur dan garang sehingga membabikan serta menganjingkan orang lain itu sudah menjadi budaya bagi mereka. Membabikan serta menganjingkan orang lain itu adalah ‘attribute’ bagi manusia yang hilang pedoman dan tidak lagi berdaya untuk mempertahankan budaya yang baik yang sesuai dengan kehidupan manusia yang diberikan akal fikiran oleh Tuhan Maha Esa.

Tetapi panggilan ini tidak mematahkan semangat mereka yang sedang berubah kepada kebaikan. Mereka yang ingin membawa perubahan ini cekal dengan perjuangan mereka. Mereka diberikan oleh pihak yang memberikan sokongan membuta tuli kepada pihak yang rasuah ini tidak mungkin mencederakan mereka yang tulus untuk memperbaiki keadaan.

Tidak ada dalam sejarah perjuangan yang melalui jalan mudah melainkan jalan yang sukar dan berliku. Perkara yang pasti ialah, perubahan terhadap makhluk tetap berlaku dan perubahan itu berlaku secara ‘natural’.

Alam dan manusia tetap berubah mengikut waktu dan masanya. Bak kata perbilangan, sekali ombak memukul sekali pantai berubah. Apabila perubahan digerakan untuk berlaku ianya tidak akan dapat ditahan oleh sesiapa. Ia akan tetap berlaku.

30 October 2011

Kepada Prof Aziz Bari, saya doakan saudara selalu.

Prof Aziz Bari telah menerima surat dengan berisi peluru pada pukul 11.45 pagi semalam dan ini merupakan satu lagi usaha untuk menekan masyarakat yang berfikir. Nampaknya sekarang hanya satu sahaja cara untuk kita hidup aman di negara ini; iaitu dengan mendiamkan diri sahaja dan tidak memberikan tentangan tentang pandangan kuning masyarakat kita khususnya mereka yang bersama pihak berkuasa.

Jika ada telinga hanya dengar sahaja dan jika ada mata hanya tengok sahaja. Jangan bercakap benda yang benar. Tugas kita hanya menganggok seperti burung balam sahaja walaupun yang kita dengar itu adalah perkara bodoh dan sumbang untuk negara. Jika kita telah bersekolah tinggi jangan gunakan ilmu itu kerana yang penting kita di minta mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh pihak yang sedang berkuasa.

Yang boleh menelanjangkan Raja-Raja Melayu hanyalah UMNO. Orang lain nak bercakap benar dan tidak pun menderhaka kepada raja akan diambil tindakan seperti Aziz Bari. Dulu UMNO kata kita tidak perlu Raja kerana raja-raja ini hanya memeningkan kepala rakyat kononnya. Kita boleh baca semua kenyataan pemimpin UMNO semasa krisis perlembagaan 1993 dahulu. Saya dah sebut isu ini puluhan kali dan tidak bercadang untuk mengulanginya lagi.

Apabila terdesak UMNO menggunakan raja-raja Melayu untuk berlindung dari pengaruh pembangkang yang kian hari kian bertambah. UMNO cuba memisahkan pembangkang dengan raja-raja sedangkan DAP, PAS dan yang lain tidak pernah membuat tekanan terhadap raja-raja. Sekarang UMNO sudah menjadi parti yang pengecut; terpaksa berlindung macam kucing di celah ketiak raja-raja Melayu yang pernah mereka hina dahulu.

Apabila kerajaan Selangor ingin meminda perlembagaan negeri untuk memberi kuasa kepada Tuanku Sultan dalam memilih Setiusaha Kerajaan Negeri UMNO pula yang menyanggah dan tidak mahu memberikan kuasa itu kepada Sultan Selangor seperti yang di peruntukan kepada Sultan Selangor sebelum krisis perlembagaan 1993 dahulu.

Sekarang pula bila ada seorang prof undang-undang dan pakar dalam isu perlembagaan UMNO marah-marah pula dan menggantung tugas Prof itu. Hari ini prof itu menerima pula surat berisi peluru yang datangnya dari orang yang tidak gemar dengan tindakan prof itu. Saya tidak menuduh UMNO yang menghantar peluru itu kerana nanti kena saman pula kita. Tetapi yang jelas ianya datang dari pihak yang bermain politik kotor yang tidak bersetuju dengan pandangan yang berbeza. Pihak berkuasa amat takut dengan pengaruh Aziz Bari yang kian bercambah di kalangan rakyat yang sudah pandai berfikir.

Yang menentang pandangan Aziz Bari ini hanyalah mereka yang bermain politik dan tidak tahu pun tentang undang-undang jauh sekali untuk memberikan tafsiran undang-undang dari sudut moral demokrasi yang kita kononnya anuti itu. Dengan isu ini kita telah nampak yang UMNO sudah terdesak dan terasak ke dinding. Maka UMNO terpaksa menjadi ‘aggressive’ dan melakukan tindakan provokatif pula.

Kepada Prof Aziz Bari saya hanya memohon supaya bersabar dan melalui dugaan ini dengan penuh keimanan. Walaupun beliau seorang Professor yang hebat tidak salah jika saya yang tidak mempunyai kepandaian seperti beliau untuk memberikan nasihat dan sokongan moral kepada beliau.

Kita mesti akui yang orang yang bersabar akan akhirnya berjaya dan sesiapa yang melakukan apa-apa tindakan dengan niat serong akan akhirnya gagal juga. Itu adalah hakikat yang benar dan real.

Ratusan ribu malahan jutaan rakyat secara moralnya berada dibelakang Prof Aziz dan sentiasa mendoakan beliau agar berada di dalam sepenuh keredhoan Tuhan Maha Esa. Prof Aziz mesti akui yang berkata benar diakhir zaman ini memang susah. Tetapi niat dan hajat yang baik akhirnya akan di redhoi Tuhan juga.

Biarkan sahaja apa yang akan diperkatakan terhadap saudara tetapi jika saudara tetap dengan niat dan pendirian yang baik saudara akan berjaya akhirnya. Kata alim ulamak yang muktabar, jalan ke syurga itu penuh dengan duri dan onak, tetapi sebaliknya jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju yang lazat-lazat.

Bagi saya yang tidak dapat berbuat apa-apa ini, hanya meningkatkan doa untuk saudara ketingkat yang lebih tinggi lagi. Orang ramai percaya kata-kata saudara itu merupakan menifestasi rakyat yang inginkan sebuah kerajaan yang berlandaskan ‘rule of law’, beretika, demokrasi yang luhur, tidak rasuah dan menyalah gunakan kuasa serta pimpinan yang ‘magnanimous’ dan menghormati pandangan rakyat yang setia kepada negara dan bangsanya.

Tindakan saudara membuat lapuran polis di atas surat yang mengandungi peluru itu adalah wajar dan diharapkan pihak yang berwajib akan membuat siasatan yang adil dan bijaksana.

Saya terus mendoakan saudara dan hadapilah isu ini dengan tabah. Insyaallah saudara akan berjaya melepasi dugaan ini.

27 October 2011

Slogan baru rakyat - ABU! (anything but UMNO) atau (asalkan bukan UMNO)

Perkasa dan Ibrahim Ali begitu kecewa dengan kehadziran yang begitu kecil semasa Himpunan Sejuta umat di Stadium Shah Alam beberapa hari yang lepas. Hanya 5000 orang sahaja yang datang untuk menghadziri perhimpunan itu. Pada awalnya adalah dijangkakan seramai ratusan ribu orang Melayu Islam akan hadzir tetapi jelas walaupun dengan publisiti yang begitu meluas hanya 5000 orang sahaja yang hadzir.

Tetapi kawan rapat saya memberi komen sinis yang jika himpunan itu hendak bercakap kepada 1 juta umat maka pengelola perhimpunan itu terpaksa mengadakan 200 kali perhimpunan seperti itu untuk menyukupkan jumlah 1 juta itu.

Satu hakikat yang sangat jelas ialah jika apa-apa perhimpunan itu di anjurkan oleh kumpulan yang ada kaitan dengan parti pemerintah begitulah keadaan sambutannya. Persepsi rakyat begitu rendah terhadap parti pemerintah dan kedatangan seramai 5000 orang dari seluruh negara itu sudah boleh di anggap berjaya jika di bandingkan dengan persepsi rendah orang ramai terhadap pemerintah.

Ramai dari rakan-rakan yang saya temui beberapa hari sebelum perhimpunan itu diadakan meramalkan yang kedatangan dan sambutan terhadap perhimpunan itu adalah rendah. Masing-masing memberi sebab masing-masing dengan andaian masing-masing.

Tetapi yang pasti himpunan 1 juta umat itu adalah perhimpunan yang dipengaruhi oleh politik dan di sabitkan pula dengan penglibatan parti-parti dalam BN walaupun penganjurnya adalah di atas nama NGO. PAS dan parti-parti lain memang tidak terlibat dengan perhimpunan itu. Yang mampu membawa keluar ramai umat ialah parti-parti dari PR dan tidak ada mana-mana perhimpunan anjuran BN atau kumpulan yang bersimpati dengan BN itu berjaya mengumpulkan umat yang ramai.

Isu tuduhan BN terhadapa kristian yang berusaha memurtadkan orang Islam itu (jika benar pun) tidak mungkin boleh di selesaikan dengan perhimpunan seperti itu. Jika kita sayangkan agama kita orang Islam mesti di hormati dan untuk mendapatkan penghormatan itu hanyalah dengan menunjukan kita sebagai seorang Islam yang baik lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin yang beragama Islam.

Menjadi pemimpin bukannya satu kerja mudah. Pemimpin mesti menunjukan kewibawaan yang tinggi dan jika di pandang dari sudut keagamaan pemimpin-pemimpin kita harus menunjukan yang mereka betul-betul menghormati dan menjunjung agama kita dengan tahap yang sewajarnya.

Kita terlalu obses bercakap pasal Islam tetapi rakyat nampak jelas pemimpin kerajaan sendiri melanggar Islam dengan tidak merasa malu dan silu. Melakukan rasuah adalah bertentangan dengan Islam dan Islam menyamakan perasuah itu sebagai orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Bagaimana sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai modal politik sedangkan apa-apa yang dilakukan itu semuanya bertentangan dengan kehendak Islam.

Dalam lapuran Ketua Audit negara yang baru dikeluarkan itu nampak jelas tidak ada Islamnya lagi. Barang yang berharga RM 400 dibeli oleh jabatan-jabatan yang terlibat dengan harga lebih dari seribu ringgit.

Pembelian alat keperluan angkatan tentera yang Def Tech boleh bekalkan dengan harga RM450 juta dibekalkan dengan harga lebih dari RM5 billion. Dimana Islamnya dan dimana amanahnya sebagai pemimpin yang beragama Islam. Apa semuanya ini?

Apabila rakyat yang terdesak pergi meminta bantuan dari pihak gereja walaupun tidak ada bukti mereka dimurtadkan maka semua mereka (kerajaan) mempolitikannya dan mengadakan perhimpunan sejuta umat pula.

Rakyat ramai yang terdesak kehidupannya tetapi mereka mendengar pemimpin-pemimpin melakukan kerja yang menyakitkan hati mereka. Mereka mendengar isteri-isteri pemimpin melalui TV memakai emas berlian berkarat-karat beratnya. Tas tangan kepunyaan setengah isteri- isteri pemimpin kita berharga ratusan ribu ringgit bagi satu beg tangan itu.

Kalau dikaji latar belakangnya bukannya datang dari keluarga yang kaya-raya pun. Mereka semuanya datang dari taraf sosial yang tidak jauh bezanya dengan kita semua ini. Sikap menunjuk-nunjuk ini selalunya dilakukan oleh mereka yang berlatar belakangkan mereka yang baru jumpa ‘dunia’. Mereka tidak senang hidup jika orang ramai tidak tahu yang mereka sekarang adalah isteri pemimpin yang kaya raya.

Orang tua-tua dahulu ada berkata, ‘kalau orang berdarah raja itu jika menjadi tukang sapu sampah atau jadi tukang cat sekali pun, ia tetap raja, tetapi jika si sengkek diletakan mahkota di kepala mereka sekali pun, mereka tetap sengkek’.

Rakyat yang terdesak kehidupan mereka tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dengan ‘one-off payment’ sebanyak RM 500 yang diumumkan oleh PM baru-baru ini. Kalau pemimpin kita tidak cukup dengan gaji yang besar sehingga melakukan rasuah bagaimana rakyat hendak hidup dengan bantuan RM500 itu? RM500 itu sebenarnya tidak cukup pun untuk membiayai makanan kucing orang-orang kaya dalam kerajaan pada hari ini.

Rungutan ini memang sudah lama tetapi keadaan masih tidak nampak akan berubah. Jika rakyat mengambil keputusan untuk mencari penyelesaian dengan mencuba memberikan mandate kepada parti-parti lain untuk mentadbir negara itu merupakan satu tindakan yang tidak boleh disalahkan. Ini negara demokrasi bukan?

Lagi pun tidak ada dosa atau kesalahan untuk sesiapa memberikan sokongan kepada pihak lain jika mereka tidak berpuas hati dengan pimpinan yang telah diberikan mandat selama lebih dari 5 dekad ini. Kuasa itu adalah kuasa rakyat bukannya kuasa mereka yang sedang memerintah itu.

Ibrahim Ali semasa ucapan penutup perwakilan Perkasa baru-baru ini telah bertanya, dimanakah perginya orang-orang Melayu dan Islam kerana tidak memberikan sambutan kepada himpunan 1 juta umat itu walaupun tujuannya ialah untuk perjuangan Islam dalam mempertahankan orang Islam dari dipengaruhi oleh kristian dengan tujuan memurtadkan orang-orang yang beragama Islam.

Jawapannya mudah: orang ramai tahu tujuan dan matlamat perhimpunan itu di adakan bermotifkan politik pihak berkuasa. Rakyat tahu himpunan itu bukannya kerana Islam. Rakyat tidak lagi mudah dipengaruhi oleh politik desperate pihak tertentu dan membuang masa sahaja.

Pihak yang menganjurkannya mempunyai matlamat tersirat yang lain dari matlamat untuk perjuangan agama suci Islam itu. Rakyat sudah tidak lagi mahu diperkotak katikan seperti dahulu lagi.

Enough is enough. Sekarang rata-rata orang berkata, ABU! (Anything but UMNO). Semuanya ini bukan salah sesiapa. Itu semua berlaku kerana salah laku perbuatan dan pemikiran UMNO itu sendiri.