07 April 2012

PERKASA: masih bermain dengan api perkauman dan agama

Seruan pemuda Perkasa supaya orang Islam tidak bersama didalam rally Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28hb April nanti menjelaskan lagi betapa jumudnya pandangan Ketua Pemuda Perkasa itu. Semasa rakyat berbilang kaum sedang bertungkus lumus mencari penyelesaian terhadap penyelewengan dan pencemaran demokrasi ini ada pula pihak yang hendak menyelitkan kepentingan sempit pertubuhan itu dan berniat untuk menggagalkan usaha dan niat rakyat untuk memperbetulkan kepincangan yang dilakukan oleh institusi demokrasi negara ini.

Kenapa pula orang Islam tidak boleh menyertai rally tersebut. Apa yang ‘un Islamic’ nya rally itu sehinggakan orang Islam diseru untuk tidak menyertai rally yang berkepentingan untuk demokrasi dinegara ini? Saya tidak mahu berbahas tentang agama kerana saya tidak berpengetahuan agama yang lengkap. Tetapi apa yang saya fahami Islam memang menuntut umatnya untuk menolak kemungkaran politik dan ekonomi dan memperjuangkan kebenaran.

Pemuda Perkasa meminta supaya Pak Samad (Samad Said) tidak bersekongkol dengan Ambiga dalam rally Bersih 3.0 kerana kumpulan 84 NGO itu adalah semata-mata memperjuangkan perjuangan peribadi Ambiga dan kerja itu adalah kerja anti Islam. Sebagai seorang ahli Perkasa saya tidak nampak niat permuda Perkasa membuat kenyataan itu selain dari berniat jahat untuk memecahkan kesatuan rakyat yang mahukan ‘transparency’ di dalam sistem pilihanraya negara ini.

Bagi UMNO (sokongan Perkasa) mengelirukan rakyat merupakan satu-satunya cara untuk membunuh semangat rakyat yang inginkan sebuah negara demokrasi yang tulin. Mewujudkan kekeliruan ini adalah untuk kepentingan pihak yang gilakan kuasa dan amat takut jika kuasa itu terlepas dari genggaman mereka.

Matlamat kenyataan ini tidak kurang dan tidak lebih untuk memecahkan gerakan yang besar yang inginkan perubahan dan transformasi didalam sistem pilihanraya negara ini. Apabila semua sistem termasuk sistem pilihanraya itu baik dan transperan ia merbahayakan pihak yang sedang asyik dengan kuasa sekarang ini. Apa yang dikecewakan oleh pihak parti pemerintah hari ini, ialah mereka tidak lagi mudah untuk menipu dan mengelirukan rakyat seperti mana yang mereka lakukan selama ini untuk berkuasa.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Samad Said himpunan Bersih3.0 ini tidak kena mengena dengan akidah Islam serta agama-agama lain. Islam itu satu agama universal dan apa-apa tindakan untuk memperbaiki keadaan yang tidak baik itu merupakan tuntutan agama kita dan juga agama-agama yang lain. Kita amat sedih dengan interpritasi agama yang dibuat oleh pemuda Perkasa dan ini amat membingungkan banyak pihak. Banyak pihak merasa kebingungan kerana terkejut dengan tahap pemikiran pertubuhan yang kononnya memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu itu.

Bagi saya tindakan Bersih 3.0 ini merupakan tindakan bukan sahaja oleh tuntutan demokrasi tetapi lebih lagi kerana ia adalah tuntutan agama kita jua. Agama Islam menentang penipuan dan jika ada pihak yang tidak suka dan bersetuju orang Islam membuat tuntutan yang amat penting ini ia merupakan tindakan anti Islam yang nyata. Ini bukan isu Ambiga, tetapi ia merupakan isu sejagat dan isu yang memihak kepada kepentingan umat khususnya bagi rakyat Malaysia. Rakyat selama ini ditekan dengan hebat oleh pihak yang tidak mahu terpisah dengan kuasa walaupun merekalah yang telah menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Kerana takutkan reaksi rakyat kerana kemungkaran mereka, maka pihak yang gila kuasa ini melacurkan institusi-institusi demokrasi dengan berbagai-bagai cara yang hina dan tidak bertamaddun itu.

Saya berpendapat setiap orang yang mahukan kebenaran politik dinihari, mereka tidak sepatutnya merasa terhalang untuk menyertai himpunan Bersih 3.0 ini dan lakukan dengan baik dan tidak melanggar undang-undang seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

Pihak berkuasa terutamanya pihak Polis tidak sepatutnya menghalang penunjuk perasaan secara aman ini kerana itu adalah hak mereka. Negara ini mereka yang punya dan kuasa untuk menentukan masa depan negara juga adalah hak kita semua termasuk mereka yang menyokong Bersih 3.0 ini. Sebaliknya polis wajar memberikan kerjasama dengan penunjuk perasaan ini dengan memudahkan laluan mereka ke Dataran Merdeka untuk melakukan protes ‘duduk’ di sana.

Mereka bukannya pergi ke Dataran Merdeka itu untuk melakukan keganasan. Mereka pergi untuk duduk menzahirkan perasaan tidak puas hati mereka kerana sikap tidak telus mereka yang berkuasa ini.

Kita ketepikan sahaja pandangan Perkasa ini kerana jika tuduhan mereka yang Ambiga mempunyai agenda peribadi, percayalah Perkasa juga merupakan pertubuhan yang memperjuangkan agenda seorang dua pemimpin mereka yang amat jelas dan mudah difahami oleh banyak pihak.

06 April 2012

Rally Bersih 3.0 adalah ikhtiar terakhir untuk mencari keadilan berdemokrasi

Khabarnya Bersih 3.0 akan diadakan pada 28hb April ini. Kali ini akan diadakan di Dataran Merdeka dan rally itu akan diadakan juga diseluruh negara dan diseluruh dunia dimana rakyat Malaysia berada. Pak Samad Said akan mengetuai rally itu untuk meminta semua 8 tuntutan Bersih 3.0 itu dipenuhi sebelum pilihanraya diadakan. Malas rasanya untuk mengulangi apa tuntutan-tuntutan pihak Bersih 3.0 itu tetapi semua tuntutan itu merupakan tuntutan yang asas bagi sebuah demokrasi.

Tuntutan-tuntutan itu bukannya tuntutan yang bukan-bukan tetapi kesemuanya adalah perkara-perkara yang asas bagi sistem pilihanraya dalam negara-negara demokrasi. Tinggal lagi pihak yang sedang memerintah sekarang berasa payah untuk memenuhinya kerana mereka sudah terlalu biasa dengan kerja-kerja cincai dan mengambil semuanya ‘for granted’. Apabila rakyat menuntut semua perkara yang asas ini maka mereka (pemerintah) merasakan itu semuanya sebagai tuntutan yang bukan-bukan dan terlalu payah untuk dilaksanakan.

Tetapi apakan daya rakyat kita seperti rakyat yang ingin merasakan hidup seperti dalam negara yang maju, sistem pemilihan dalam pilihanraya yang sempurna mengikut standard pilihanraya umum itu adalah isu yang sangat penting. Bagi diri saya pula, saya memandang isu ini sebagai isu yang kecil sahaja jika kerajaan yang memerintah mempunyai nilai ‘civility’ yang tinggi.

Tetapi itu bukan keadaanya didalam pemerintahan pada dinihari. Pihak yang memerintah pada hari ini terlalu obsess untuk terus berkuasa dan tidak mempunyai sikap ‘gentleman’ yang didalam demokrasi ini dan tidak bersedia menerima kekalahan. Menggilirkan pemerintahan itu adalah perkara yang biasa didalam sesuatu demokrasi. Rakyat boleh memberikan mandat kepada siapa dan pihak mana yang mereka rasakan boleh dipercayai dan lebih meyakinkan mereka (rakyat).

Tetapi oleh kerana rakyat selama ini telah memberikan keyakinan kepada BN sejak merdeka dahulu, maka mereka (BN) merasakan jika ada kecenderungan rakyat untuk memberikan mandat itu kepada pihak lain yang lebih meyakinkan, mereka (BN) menganggap itu sebagai dosa besar rakyat kepada mereka. Unsur yang sudah terbalik ini jelas sedang menyelubungi pimpinan kerajaan hari ini dan mereka tidak mahu kuasa pinjaman dari rakyat itu terlepas dari genggaman mereka. Untuk memisahkan mereka dengan kuasa yang mereka salahgunakan itu ibarat mengasingkan kulit dengan daging.

Tetapi rakyat sudah memberikan segala-galanya kepada mereka (BN) selama ini tetapi kebaikkan budi dan keyakinan yang diberikan oleh rakyat selama ini telah disalahgunakan oleh mereka (BN) dan seperti yang saya sebut tadi, mereka (BN) mengambil kebaikkan rakyat selama ini dianggapnya sebagai kelemahan dan mereka (BN) boleh lakukan segala-galanya sesuka hati tanpa mengambil kira perasaan rakyat yang sudah lama terguris..

Sejak beberapa pilihanraya yang lalu pihak (BN) dikatakan telah menggunakan taktik yang kotor untuk terus berkuasa dan salah satu dari taktik kotor itu ialah dengan memberi hak mengundi kepada pendatang asing dengan cara haram. Inilah salah satu perkara dan isu yang ditentang oleh pihak parti-parti alternatif kerana mereka merasakan yang mereka ditipu dan diperlakukan dengan perkara-perkara serta taktik yang terlalu tidak boleh diterima oleh sistem demokrasi itu sendiri.

Sekarang BN sedang menghadapi tekanan dari rakyat dan tekanan ini merunsingkan BN kerana apa-apa kesalahan yang mereka lakukan pada masa lampau sudah tidak lagi diterima oleh rakyat. Rakyat mahukan pilihanraya yang transperan dan tidak mahu lagi melihat calon-calon

BN memenangi pilihanraya apabila peti-peti undi orang asli atau peti-peti undi pos yang keadaannya begitu ‘dubious’ pada pandangan rakyat. Rakyat mahukan ahli-ahli legistatif yang mendapat sokongan dan undi yang ‘legitimate’ dan bukannya mereka yang masuk ke dewan Legislatif secara yang meragukan. Pemimpin-pemimpin parti kerajaan wajar belajar untuk menjadi pemimpin yang ‘legitimate’ supaya jiwa akan lebih merasa tenang dan tenteram dari merasa bersalah kerana mereka tahu yang setengah diantara mereka itu memenangi kerusi dalam pilihanraya secara yang tidak betul.

Hanya saya berharap agar Bersih3.0 itu dibenarkan oleh pihak berkuasa dan bantu mereka yang pergi ke rally tersebut supaya tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini. Orang ramai yang akan datang itu nanti hanya hendak menunjukkan perasaan tidak puas hati dengan hanya duduk secara aman di Dataran Merdeka pada hari itu. Rakyat ada hak untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka kerana negara ini adalah negara mereka juga. Negara ini bukan hanya untuk OKU-OKU (orang kuat UMNO) sahaja tetapi juga hak semua rakyat.

Kita tidak mahu negara ini dijadikan sebagai sebuah ‘police state’. PDRM itu adalah polis rakyat bukannya polis BN atau pun polis UMNO. Jika PR yang memerintah nanti polisnya adalah polis yang sama juga. Pihak berkuasa terutamanya pihak polis wajar bertindak adil dan tidak bertindak seperti ‘limau masam sebelah’. Rakyat tidak mahu pegawai polis seperti Datuk Khalid Abu Bakar yang memihak dalam isu Bersih yang lalu.

Yang akan menghadiri rally itu nanti bukan penjenayah. Mereka adalah rakyat dari berbilang kaum yang tidak berpuas hati terhadap keadaan politik yang menyelubungi negara pada hari ini.

Secara peribadi, saya menyokong sepenuhnya tindakan untuk mengadakan rally Bersih 3.0 ini kerana itu sahaja cara yang tinggal untuk menzahirkan manifestasi rakyat jelata. Isu ini adalah isu penting untuk rakyat kerana pilihanraya yang bersih adalah asas kepada kesetabilan politik negara kita yang di diami olih banyak kaum dan cara hidup yang berbeza-beza ini.

03 April 2012

Najib kata jangan tukar pemandu, tetapi beliau memandu dalam keadaan mabuk

Hari ini Najib mengingatkan semua supaya tidak menukar kerajaan yang merbahaya dalam pilihanraya ini. Katanya “jangan tukar pemandu dipertengahan jalan”. Maksudnya jangan tukar kerajaan dalam pilihanraya ini kerana itu adalah tindakan merbahaya. Setiap kerajaan bertukar tangan dalam perjalanan. Parti Conservative dan Liberal Democrat telah mengambilalih kerajaan Britain dari Parti Buruh dalam perjalanan. Mana ada kerajaan yang sudah tiada untuk ditukar? Tentulah kerajaan yang sedang berkuasa yang selalu ditukar dan mereka ditukar kerana bersebab, bukan saja-saja untuk ditukar.

Perjalanan mentadbir negara adalah tugasan yang berterusan kepada siapa yang diberikan mandat. Ibarat sebuah bas yang dalam perjalanan jauh, ia disyaratkan supaya mempunyai pemandu gantian (spare driver). Banyak kemalangan berlaku kerana pemandu itu terlena sambil memandu kerana telah memandu terlalu lama. Maka itulah undang-undang mensyaratkan setiap bas ekspress mesti mempunyai seorang lagi pemandu gantian supaya bas itu dipandu bergilir-gilir supaya tidak merbahayakan penumpang yang sedang tidur lena itu.

Dalam kes kerajaan pimpinan Najib, penumpang-penumpangnya sudah bangun dari tidur dan telah merasakan yang pemanduan Najib sudah cukup merbahaya. Najib memandu dengan tidak mematuhi undang-undang memandu. Maka penumpang menuntut supaya pemandu ditukar supaya bas tidak terhumban kedalam gaung yang dalam. Pemandunya bernama Najib telah memandu bas itu dengan begitu bahaya kerana penumpang nampak yang pemandu bernama Najib itu sudah nampak hendak terlena.

Najib telah terlena kerana keletihan memandu atau pun tidak bijak memandu. Mungkin pemandu (Najib) ini merasa mengantuk kerana makan terlalu kenyang. Apa pun sebabnya dia mengantuk, pemandu gantian itu perlu sangat untuk mengambilalih pemandu yang lalai itu. Kali ini bas yang tidak berapa baik keadaannya itu wajar dipandu oleh pemandu gantian untuk keselamatan penumpang yang ramai itu.

Pemandu sekarang sudah terlalu lemah dan jika tidak diganti ia mungkin merbahayakan penumpang-penumpang dalam bas panduan Najib ini kedalam gaung yang dalam. Sekarang inipun sudah nampak bas yang dipandu Najib itu sedang terhuyung-hayang kekiri dan kekanan sehinggakan selalu memakan jalan dan lorong bertentangan.

Selama ini kita telah mendengar bas-bas ekspress yang telah melanggar jambatan, ‘toll-gate’ dan kenderaan yang berhenti dan sebagainya yang telah menyebabkan penumpang terbunuh bergelempangan ditepi lebuhraya-lebuhraya kerana pemandunya yang keletihan dan tidak ditukar. Kita juga banyak mendengar pemandu-pemandu bas yang tidak jujur membuat ‘duit luar’ dengan menjual ‘spare tyre’ serta menjual banyak alat-alat gantian yang ada didalam bas itu serta lari mencuri minyak petrol dan dijual kepada orang luar.

Kita jangan dengar nasihat pemandu yang sedang memandu kita sekarang kerana bas yang dipandunya telah hampir rosak dan tidak berfungsi dengan baik lagi. Cari sahaja pemandu lain supaya bas-bas itu dijaga dan mendapat ‘maintenance’ yang lebih baik.Lagi pun pemandu yang sekarang ini selalu makan sambil memandu.

Jika pemandu sekarang masih memandu maka ‘premium’ insurannya akan terlalu mahal kerana ‘loading’ kepada premiumnya terlalu tinggi, ‘loading’ kepada insurannya itu menjadi tinggi disebabkan risiko yang terlalu tinggi dan merbahayakan bas-bas yang akan dipandunya itu.

02 April 2012

Mahathir kritik warisannya sendiri, baguslah!

Dr Mahathir berkata yang UMNO sedang kehilangan ahli yang mampu menjadi pemimpin. Kekurangan ini disebabkan ramai orang Melayu yang berkelayakan tidak mendapat tempat kerana mereka takut dengan kehadiran mereka yang berwatak baik, berpelajaran dan berpendidikan professional dalam UMNO. Dalam PRU yang akan datang Mahathir mahukan UMNO menurunkan calon yang baik dan mendapat sokongan ramai.

Saya merasa gembira yang Mahathir mempunyai pandangan seperti ini, tetapi persoalannya kita ingin bertanya kepada Mahathir kenapa dan siapa yang memulakan budaya mengenepikan pemimpin yang berguna kepada rakyat dan membawa mereka yang tidak berguna untuk menjadi orang penting didalam UMNO dan kerajaan selama ini?

Bukankah beliau yang memulakan budaya mengambil dan menaikkan mereka yang hanya digunakan untuk memperkuatkan kedudukan beliau sahaja semasa beliau mula mengambilalih kepimpinan sehinggalah beliau berhenti pada oktober 2003 dahulu?. Budaya menaikkan hanya ‘yes man’ dan ‘yes sir’ bermula dengan jelas semasa beliau memimpin kita. Mahathir dengan begitu sistematik telah berjaya mengenepikan sesiapa sahaja dikalangan pemimpin yang beliau anggap sebagai pencabar kepada beliau.

Budaya yang dibentuknya terus menerus berkembang selepas beliau meletakkan jawatan setelah mengepalai kerajaan selama 22 tahun. Beliau tidak pernah membina barisan pelapis kepada kepimpinan yang baik malah beliau telah membunuh semua mereka yang berpotensi untuk memimpin negara dengan baik. Semasa zaman beliau lah ramai pengampu dan pembodek menyertai parti itu dan menaiki tangga kepimpinan dengan hanya memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada beliau.

Mahathir memerlukan sokongan biar pun sokongan membuta tuli. Akhirnya semua tahu yang beliau hanya bermatlamatkan untuk berkuasa dan perjuangan peribadi beliau berjaya sehingga beliau menjadi PM selama 22 tahun. Bayangkan selama 22 tahun kepimpinan negara tidak pernah digilapnya sehingga wujud kekosongan dalam kepimpinan negara dengan begitu ketara.

Yang tinggal hanyalah mereka yang menjadi pemimpin melalui kegiatan membodek dan mengampu sahaja. Jika beliau benar-benar membina pimpinan pelapis dengan serius orang seperti Abdullah Badawi dan Najib tidak mungkin menjadi PM yang hanya memenuhi masa untuk menempelkan kepimpinan yang begitu ‘artificial’

Isu moral, nilai dan etika kepimpinan tidak menjadi alat pengukur lagi untuk menjadi orang penting kepada UMNO semasa Dr Mahathir menjadi pemimpin utama kita. Kriteria untuk menaiki tangga kejayaan politik hanyalah satu; iaitu memberikan sokongan peribadi yang tidak berbelah bagi. Samada seseorang itu adalah perasuah tegar, keperibadian yang tidak semenggah atau tidak ada ‘sisik’ kepimpinan tidak mengapa kepada Mahathir. Yang penting ‘kamu mesti menyokong aku sebab aku hendak menjadi pemimpin kalau boleh buat selama-lamanya’.

Itulah sebabnya setelah beliau mentadbir begitu lama dan terpaksa meletakkan jawatan kerana desakan banyak pihak, Dr Mahathir telah mewariskan kepada kita pemimpin-pemimpin yang tidak memahami bagaimana hendak mentadbir negara. Itu jugalah sebabnya negara kita kini ditadbir oleh pemimpin yang mentadbir negara seperti mentadbir persatuan sepak takraw dan persatuan gasing. Tidak ada lagi pemimpin yang ‘magnanimous’ yang boleh diyakini oleh rakyat terutamanya kepada rakyat yang bermaklumat.

Kini kita menerima warisan Mahathir yang mana semua sistem dan institusi demokrasi negara yang telah hancur lebur. Sistem kehakiman dan perundangan sudah tidak lagi diyakini bukan sahaja oleh rakyat kita sendiri, tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa. Badan Kepolisisan (Polis) diragui oleh rakyat dan terlalu banyak tuduhan dibuat terhadap “attorney general” serta bekas ketua polis negara dan segala tuduhan itu tidak pula dibersihkan dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduh itu.

Dizaman Mahathir itulah kita menyaksikan segala yang telah berjaya dibina telah diporak perandakan. MAS yang semasa sebelum zaman Mahathir merupakan syarikat penerbangan negara yang paling ‘premium’ sekarang ini telah diperkosa dan di‘cannibalized’ oleh kroni Mahathir. Zaman ini jugalah BBMB yang menjadi kebanggaan orang Melayu kini sudah tiada lagi dan dikuasai oleh keluarga yang berpengaruh dalam negara ini.

Apa yang terjadi kepada PERNAS dan banyak lagi kepada semua ‘public companies by guarantee’ kepunyaan rakyat, telah diperkosa oleh mereka-mereka yang diberikan tanggungjawab untuk mentadbir syarikat-syarikat tersebut. Dizaman Mahathir lah terbentuknya budaya orang kaya baru dikalangan mereka yang diberi amanah untuk menjaga syarikat-syarikat kerajaan yang terbang dengan jet-jet eksekutif seolah-olah mereka ini menjadi ‘corporate captain’ di atas kepandaian dan kebijaksanaan masing-masing.

Sekarang ini Mahathir pula yang mengatakan UMNO sudah tiada kepimpinan. Kekosongan pimpinan dalam UMNO bermula dari zaman beliau. Pandangan beliau yang ramai cendiakawan yang telah menyertai parti lain itu bermula dari zaman beliau kerana mereka yang bijak dan mempunyai pandangan yang membangun telah menyebabkan kepimpinan disemua peringkat UMNO itu menolak mereka-mereka (professional) ini.

UMNO kini telah menjadi parti mundur. Mahathir sendiri mengakui tidak berapa lama dahulu yang UMNO itu telah busuk sehingga ke ususnya. Ini kata-kata Mahathir sendiri, bukannya kata-kata mereka yang dari pembangkang. Mahathir telah menyalahkan pembangkang dan membuat berbagai tuduhan dan tekanan terhadap pihak alternatif. Mahathir berkata yang negara akan huru hara jika pembangkang mengambilalih.

Huru hara ini sebenarnya hanya boleh dilakukan oleh UMNO kerana mereka terlalu takut dan gusar dengan arus penentangan terhadap UMNO masa kini. Maklumlah sudah begitu lama berkuasa, apabila kuasa hilang mereka tidak dapat untuk menerimanya. Itulah sistem demokrasi acuan UMNO seperti yang selalu disebutkan oleh Mahathir sendiri. Kemenamgan itu hanya hak UMNO sahaja. Tetapi apabila UMNO itu tidak memberikan keuntungan, Mahathir bertindak keluar dari parti yang beliau tubuhkan sendiri pada tahun 1998 dahulu.

Mahathir boleh keluar UMNO. Orang lain keluar UMNO tidak boleh. Mahathir boleh bunuh UMNO tetapi sesiapa yang menentang UMNO itu orang jahat, melainkan beliau sendiri bertindak keluar UMNO itu.

Sekarang kita lihatlah apa yang sedang diwariskan oleh Mahathir kepada negara ini. Kita berharap Mahathir akan terus sihat walafiat dan hidup lebih lama lagi untuk melihat apa yang berlaku kepada rakyat khususnya orang Melayu hasil dari warisan beliau ini. Kini UMNO tidak mungkin dapat memperbaiki diri sendiri. jangan salahkan orang lain. Salahkan diri sendiri.

Saya yakin Mahathir sangat puas dengan apa yang beliau lakukan selama ini.