13 June 2012

Tanda-tanda kejatuhan BN bertambah jelas..yang perlu hanya bersabar

Mencapai matlamat perjuangan sememangnya susah dan terpaksa menghadapi pahit maungnya dengan tabah dan sabar yang maksima. Mencari kebaikan akan berhadapan dengan halangan yang rintangannya kadangkala kita rasakan tidak akan tercapai. Tetapi usaha ini terpaksa juga diteruskan kerana dalam keadaan yang mendesak mesti ada pihak yang berani dan sanggup berkorban dan menghadapinya walaupun ianya berhadapan dengan berbagai-bagai  risiko yang tidak ramai  sanggup menghadapinya.

Apa sebenarnya yang membuatkan ada pihak yang sanggup melakukan usaha untuk kebaikan ini? Jika tercapai akhirnya matlamat yang dicari itu, siapakah yang akan menikmatinya? Apakah sebenarnya kepuasan kepada siapa yang berjuang itu? Sebelum itu persoalannya apakah yang menjadi penyebab seseorang atau kumpulan itu sanggup berjuang sambil menghadapi segala rintangan yang bukan kecil itu?

Bagi kita rakyat di Malaysia sekarang ini, perjuangan yang berada di hadapan sekali ialah perjuangan untuk mengembalikan negara kepada landasan yang sebenar dan hakiki itu. Perjuangan setengah pihak sekarang ialah untuk menjaga negara kita yang dianugerahi kekayaan yang melempah-ruah untuk rakyatnya diuruskan dengan baik dan sempurna. Keadaan negara sekarang berada di dalam keadaan yang paling menyayat hati kepada sesiapa yang berfikir dan sayangkan negara ini.

Kebanyakan kemerdekaan dan tamadun sesebuah negara dan ‘empire’ yang tertulis di dalam sejarah dunia ini ialah kerana isu rasuah yang besar-besar. Rasuah merupakan isu yang tidak ada tolok bandingnya kerana rasuah itu boleh menjahanamkan seluruh sistem ampuh sesebuah negara dan jajahan itu.

Negara kita sekarang sedang berada dalam keadaan yang sama semasa ‘Empire Rome’ ketika tamadunnya hendak runtuh dan berkecai dahulu. Begitu juga semasa kekuasaan Uthmaniah dahulu dan banyak lagi contoh-contoh yang sama berlaku di dalam negara dan tamadun  yang  telah  hilang  dimamah sejarah.

Di antara dua puluh enam ‘dynasty China’, dinasti Qing merupakan dinasti yang terakhir yang menghadapi keadaan yang sama sehinggakan dinasti itu jatuh bergelimpangan dengan “people’s power” pada 1910 dahulu dan akhirnya dinasti yang kuat dan kukuh itu telah jatuh dengan penolakan rakyat. Semua tamadun ini merupakan tamadun yang kuat yang tidak ada siapa yang menyangka tatkala itu yang mereka akan jatuh tersembam oleh  kehendak rakyat.

UMNO Baru dan BN juga sedang berada di dalam keadaan yang sama, dalam mana kekuasaan yang telah mereka perolehi selama lebih lima dekad itu nampaknya sudah menunjukkan tanda-tanda akan jatuh. Segala dalil dan petanda kejatuhan yang kita lihat sekarang ini dialami oleh rakyat negara  kita  hampir sama dengan apa yang dialami oleh rakyat ‘empire’ dan negara yang saya sebutkan tadi.

Di antaranya rasuah yang tidak terkawal lagi, kuasa diperguna dengan salah dan ketidakadilan dilakukan terhadap mereka yang berusaha untuk memperbaikinya. Memfitnah dan menggunakan institusi kerajaan sebagai egen kebobrokkan mereka menjadi perkara biasa. Yang benar menjadi salah dan yang salah dijadikan perkara benar.

Inilah yang berlaku apabila kuasa yang dipegang itu berada di dalam tangan dalam tempoh yang terlalu lama. Gerakan yang sama juga sedang dilakukan oleh rakyat negara ini. Reaksi kepada yang berkuasa kita sekarang juga sama dengan pemimpin-pemimpin negara dan ‘empire’ yang telah hilang ditelan sejarah itu. Yang berkuasa selalunya akan hilang hidayah untuk mentadbir secara baik dan sesuai dengan kehendak dan keperluan rakyat semasa

Apa yang perlu kita semua lakukan ialah untuk menunjukkan perbezaan di antara kumpulan reformis dan yang sedang berkuasa. Itu sebabnya saya selalu menulis supaya pendukung perubahan melalui Pakatan Rakyat kali ini perlu dilakukan dengan penuh berhemah dan demokratik. Pihak PR tidak boleh respons dengan tindak tanduk kasar pihak BN dan inilah dia sebenarnya dugaan bagi pihak-pihak yang inginkan perubahan.

Kita mesti ingat yang pihak berkuasa sekarang sedang dalam keadaan ‘desperate’ maka kerja-kerja kasar dan kata-kata yang kotor yang keluar dari mulut pimpinan kerajaan sekarang merupakan perkara yang ‘normal’ yang lazim dilakukan oleh pihak yang akan jatuh tersungkur.  Berbohong adalah sifat mustahil bagi Allah swt dan Tuhan Semesta Alam ini akan memberikan hidayah kepada pihak yang sabar dan istiqomah dalam perjuangannya.

Kejayaan akan hanya didapati oleh mereka yang berusaha, bersabar dan istiqomah dalam perjuangannya. Tidak ada pihak yang sabar itu yang tidak berjaya akhirnya. Percayalah tentang kehendak ‘nature’ ini dan kita hanya menunggu sambil berusaha keras untuk mencapai  apa-apa  matlamat yang  baik itu.

Kepayahan dan kesusahan itu memang pakaian mereka yang berjuang. Perjuangan yang baik itu tidak ada yang mudah dan senang, begitu jugalah kita dalam usaha untuk membina negara untuk kemajuan yang hakiki. Media massa yang digunakan oleh pihak pemerintah secara tidak adil itu telah menjemukan rakyat sebenarnya. Apa yang harus dilakukan oleh mereka yang bertentangan dengan kuasa yang zalim kini ialah dengan memberikan penerangan yang sehabis baik dan jujur tentang isu-isu yang berbangkit di pihak pemerintah pada hari ini.

Apabila rakyat mendapat maklumat yang sebenarnya tidak ada kuasa yang boleh mengalihkan pandangan rakyat dari pemerintah kepada pihak yang bertentangan. Kejayaan akhirnya akan tercapai dan persoalan siapa yang akan menikmati dari kejayaan ini mudah untuk dibayangkan.

Kejayaan usaha pihak yang hendak mengambilalih mandat ini akan memberikan kebaikan kepada rakyat yang sedang hidup dalam kongkongan pemerintah yang memerintah tanpa hidayah ini. Rakyat ramai akan berpeluang untuk bersama hidup dalam harmonis tanpa isu-isu rasis yang diperkayakan oleh UMNO Baru yang 'desperate' ini.

Rakyat akan berpeluang untuk tidak lagi mendengar slogan-slogan kosong yang sekarang dipergunakan oleh pihak pemerintah untuk mengelirukan rakyat. Rakyat juga mempunyai harapan untuk menyekat pengaliran wang negara secara haram seperti yang berlaku sekarang yang jumlahnya melebihi RM1.3 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu.

Mungkin juga rakyat tidak akan mendengar kejadian memelihara lembu dengan belanja RM179 juta untuk mengeluarkan hanya seribu ekor lembu sahaja. Rakyat juga tidak mahu lagi mendengar pemimpin miskin yang mampu membina rumah dan mahligai yang berharga puluhan juta ringgit.

Dengan peralihan kuasa kita berharap tidak akan ada lagi isteri-isteri pemimpin yang lebih 'kuah dari sudu' atau seperti 'kera mendapat bunga' dengan membelanjakan wang rakyat yang jumlahnya amat besar dan tidak dapat dikira.

Jika berlaku peralihan kita berharap tidak ada lagi pemimpin yang berbelanja dengan sewenang-wenangnya wang rakyat seperti apa yang berlaku hari ini. Hari ini pemimpin-pemimpin besar tidak malu-malu membelanjakan wang rakyat dengan pembaziran di hadapan mata rakyat yang bertungkus lumus membina sumber kewangan negara kita. Tetapi dalam masa yang sama mereka menyeru rakyat berbelanja secara berwasatiyah kononnya.

Tetapi seperti yang saya katakan tadi jalan untuk menuju ke arah kebajikan ini amat sukar tetapi insyaallah kita akan berjaya akhirnya. Tanda-tandanya semakin jelas kita lihat.

Bersabarlah dan teruskan usaha… Insyaallah perjuangan kita tidak akan sia-sia.

12 June 2012

Takut-takut Mohamad bermimpi di siang hari

Saya telah dihubungi oleh beberapa pemimpin UMNO Baru di Negeri Sembilan dan meminta saya membuka Free Malaysia Today kerana ada berita hangat yang akan saya temui. Bila saya bertanya apa beritanya dia menjawab, “Bacolah bang. Ado coghito Mad Hasan nak botanding di Paroi. Nak tumpaskan PAS terus bang,” katanya.

Setelah sampai ke rumah saya pun membelek-belek apakah benar cerita yang dikatakan oleh AJK Bahagian UMNO itu. Benar, ada berita tentang kecenderungan MB Negeri Sembilan untuk bertanding di DUN Paroi untuk menentang YB Taufek yang kini ahli Legislatif Negeri Sembilan mewakili  DUN Paroi itu.

Sebenarnya saya percaya apa yang ditulis oleh FMT itu. Kalau berita itu datangnya dari Utusan, kita terpaksa berfikir panjang untuk memastikan berita itu benar atau pun tidak Ini adalah kerana akhbar milik UMNO itu belum lagi berjaya menulis berita-berita yang benar. Akhbar milik UMNO itu tidak ‘professional’ dan tugasnya hanyalah untuk memecah-belahkan pihak-pihak yang hendak bersatu. Akhbar itu tidak sedar bahawa semua rakyat kini mahu bersatu, tetapi di luar UMNO dan BN.

Saya tidak terkejut jika Mohamad mengambil keputusan beralih kawasan dari Rantau ke mana-mana kawasan DUN yang lain.  Saya tidak perlu memberikan sebab-sebab secara ‘detail’ kenapa beliau mahu berhijrah ke kawasan yang baru tetapi cukuplah jika saya katakan yang Rantau tidak lagi kawasan yang selamat bagi beliau. Pengundi Rantau hanya menunggu masa untuk menolak beliau di dalam PRU yang akan datang.

Ramai pengundi Rantau pasti kecewa kerana tidak sampai hajat mereka untuk melihat Mohamad ditewaskan oleh orang-orang kampungnya sendiri. Tindakan Mohamad untuk berhijrah ke Paroi itu memang mudah untuk beliau lakukan kerana beliau adalah Ketua Bahagian Rembau dalam mana Paroi adalah salah satu kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Rembau. Beliau juga adalah Pengerusi kepada Badan Perhubungan Negeri Sembilan.

Mengikut berita itu, Mohamad bertindak berpindah itu kerana beliau mahu menambah aura pilihanraya dengan bertanding melawan satu-satunya ADUN PAS dan ia kononnya akan memberikan uumph yang lebih untuk beliau memenangi kembali kerusi-kerusi yang telah jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya yang lalu.

Baguslah kalau begitu niatnya, tetapi apakah itu sebab yang sebenarnya beliau hendak menukar kawasan itu? Jawapannya ada pada pemikiran pengundi-pengundi di NS dan tidak payah kita sebut-sebut lagi.

Bolehkah Mohamad menumpaskan YB Taufek dari PAS itu sedangkan beliau hanya berjaya memenangi kerusi Rantau dengan majoriti kecil semasa menentang tukang jahit dari PR dalam pilihanraya yang lalu? Kalau di Rantau tempat kariah dan kampungnya sendiri beliau tidak berani bertanding, bagaimanakah perkiraan beliau yang beliau boleh berjaya dengan cemerlang di Paroi?

Bagaimanakah perkiraan pengundi-pengundi di seluruh Negeri Sembilan dengan penghijrahan itu? Tidakkah mereka terfikir bahawa penghijrahan itu adalah untuk lari dari kawasan yang beliau wakili sekarang kerana beliau telah merasakan bahawa pengundi di DUN Rantau sudah tidak lagi diyakini memberi beliau sokongan kali ini?

Tidakkah beliau merasakan bahawa walaupun mungkin beliau merupakan ‘winnable candidate’ untuk Paroi, tetapi tindakan itu akan menjejaskan prestasi UMNO di kawasan-kawasan lain di Negeri Sembilan. Berita ini merupakan berita yang amat menarik, kerana seorang yang bergelar MB yang bertindak lari dari kawasan beliau sendiri dengan alasan yang melakukannya sebagai ‘gerakan strategik’ untuk menumpaskan PAS.

Kalau beginilah keadaannya maka teori saya yang mengatakan bahawa sekarang ini hakikatnya BN sebenarnya sedang melawan PAS, bukannya PAS yang hendak melawan BN. Lain-lain perkataan PAS dan PR di Negeri Sembilan sedang mendahului BN secara psikologinya. BN pula yang sedang bersilat mengikut rentak dan tari PR pula.

Bagaimanapun kita tahu PAS tidak akan mampu ditumpaskan lagi. PAS sudah menyelinap jauh ke dalam sanubari rakyat, bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga mendapat sambutan dari semua kaum di negara ini, termasuk di Negeri Sembilan sendiri.

YB Taufek akan tetap menjadi wakil bagi rakyat kawasan Paroi di Dewan Legislatif Negeri Sembilan itu, Insya-Allah. “Takut-takut Mohamad Hasan hanya bermimpi di siang hari sahaja,” kata beberapa orang pimpinan UMNO di Negeri Sembilan.

Kalaulah benar berlaku pertembungan di antara Mohamad dengan Taufek di Paroi, ianya adalah pertandingan di antara seorang yang sentiasa merendah diri dan berkeperibadian baik dengan seorang yang sombong dan meninggi diri yang merasakan dirinya sebagai pemimpin yang datangnya dari langit.

11 June 2012

Muhy mengaku BN menghadapi persepsi buruk rakyat, tetapi....

TS Muhy mengakui yang BN sedang menghadapi masalah persepsi atau tanggapan buruk dari rakyat. Inilah masalah yang paling rumit untuk diselesaikan oleh BN khususnya UMNO Baru sekarang ini. Pengakuan Muhy ini membuktikan bahawa BN telah mengaku secara ‘indirect’ yang BN telah tewas dalam peperangan mental politik negara.

Peperangan politik bukannya seperti peperangan bersenjata secara terbuka. Ia adalah peperangan mental dan persepsi. Ia adalah peperangan psikologi dan sesiapa yang memenangi peperangan ini akan mendapat sokongan majoriti dari rakyat yang mengundi. Di sinilah masalah besar yang dihadapi oleh UMNO Baru dan BN.

Tetapi Muhy seperti biasa menyalahkan pembangkang yang membuatkan BN tewas dalam peperangan persepsi ini. Kita tidak nampak kenapa BN bermasalah dengan persepsi rakyat ini, kerana selalunya persepsi ini terbentuk oleh kekuatan media yang menyokong sesuatu pihak itu. Dalam kes di negara ini UMNO Baru mempunyai sokongan media yang hebat dan yang terkuat ialah akhbar milik UMNO Baru, Utusan Malaysia dan saluran TV ‘cari makan’ TV3.

Penulisan dan pena itu lebih tajam dari pedang dan selalunya apa yang dikatakan oleh media perdana itu akan diyakini oleh rakyat jelata. UMNO Baru mendapat sokongan padu dari Utusan dan TV3 dan kedua-dua saluran media perdana ini menambah kekuatan sokongan terhadap parti pemerintah dengan melakukan ‘spin’ yang tidak ada batasnya setiap hari dan waktu.

Tetapi persoalannya kenapa kedua-dua media ini tidak lagi sehebat dulu dalam tindakan memberikan sokongan terhadap BN khususnya UMNO Baru? Jawapan kepada persoalan ini mudah sahaja.

Pertamanya segala apa yang dituduh dilakukan oleh UMNO Baru dan BN itu adalah benar dan ‘real’. Misalnya kaitan UMNO Baru dan pemimpin-pemimpin mereka dengan rasuah itu adalah benar belaka. Rasuah yang keterlaluan tanpa had itu telah dengan sendirinya membentuk persepsi buruk terhadap UMNO Baru sehinggakan rasuah dan UMNO Baru itu dianggap seperti ‘aur dengan tebing’, saling menyandar di antara satu dengan lain.

Hampir kesemua pemimpin terkenal dan besar UMNO Baru dipersepsikan sebagai perasuah dan salahguna kuasa dan rakyat melihatnya sebagai isu yang ‘real’. Oleh kerana kejelasan yang dikatakan ‘real’ itulah yang menyebabkan media-media perdana elektronik dan cetak tidak terdaya untuk menafikan persepsi buruk ini walaupun mereka (media) melakukan segala-galanya untuk membenamkan persepsi buruk terhadap parti pemerintah itu.

Utusan Malaysia sudah kehilangan pembacanya dengan begitu banyak dan akhbar yang suatu ketika dahulu merupakan akhbar yang dihormati sekarang sudah menjadi bahan ejekan oleh semua pihak. Tidak ramai lagi pembaca yang mempercayai apa yang ditulis oleh Utusan terutamanya rencana pengarangnya.

Ada pihak yang menganggap berita yang benar dalam Utusan itu hanya keputusan loteri empat nombor ekor dan catatan waktu solat lima waktu sahaja. Begitulah buruknya persepsi orang ramai terhadap Utusan sekarang ini.

Persepsi buruk terhadap BN yang dikatakan oleh Muhy itu merupakan isu yang terbesar yang dihadapi oleh UMNO Baru yang tidak mungkin dapat diatasi selama-lamanya. Baik parti mahu pun pemimpin-pemimpinnya, persepsi buruk ini sudah menjadi ‘stigma’ dan mustahil untuk diperbaiki dengan hanya memberikan wang sogokan seperti ‘BR1M’ dan cokelat-cokelat yang diberikan kepada rakyat.

Berikanlah ‘BR1M’ setiap bulan, persepsi rasuah dan salahguna kuasa dan krisis keyakinan ini tidak akan hilang dari benak dan pemikiran rakyat. Bukannya tidak ada usaha di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO Baru untuk memperbetulkan keadaan ini semasa isu rasuah tegar ini belum berleluasa dahulu. Apabila kepimpinan Mahathir dilihat sudah memulakan budaya pemimpin-pemimpin mencari kekayaan besar-besaran di dalam parti dan kerajaan dahulu, UMNO Baru telah bertindak tegas dengan meminta Tengku Razaleigh Hamzah semasa itu untuk menentang Mahathir dalam Perhimpunan Agong UMNO ke-37 pada tahun 1987 dahulu.

Pertandingan itu telah diselaputi oleh kekotoran pihak yang mempertahankan jawatan dengan penipuan dan akhirnya membunuh UMNO walaupun pihaknya adalah pihak yang menang. Hancurnya segala budaya Melayu dalam UMNO itu bermula dari saat itu dan kekeruhan itu berlanjutan sampai ke hari ini.

Walaupun UMNO itu diganti dengan parti baru yang menggunakan nama ‘UMNO’ itu, kematian UMNO asal itu dan digantikan dengan UMNO tiruan itu tidak dapat membendung perubahan pemikiran dan lanskap politik orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

TS Muhy meminta semua pemimpin UMNO Baru di peringkat bahagian untuk memberikan penerangan jelas kepada orang ramai kerana kononnya orang ramai telah diselewengkan pemikiran mereka oleh pembangkang. Persoalannya mampukah pemimpin-pemimpin bahagian untuk melakukan tindakan penerangan ini sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO Baru itu sendiri memerlukan penerangan yang ‘extensive’ sebelum mereka berhadapan dengan orang ramai?

Persoalan lagi benarkah pembangkang yang melakukan penyelewengan fakta dan melakukan ‘deceptions’ kepada orang ramai? Bukankah persepsi buruk yang dialami oleh UMNO Baru  itu adalah oleh salahlaku UMNO Baru dan pemimpinnya sendiri? Bagaimana orang ramai boleh mempercayai kata-kata pembangkang jika UMNO Baru sendiri beriya-iya untuk menunjukkan kebobrokan mereka sendiri.

Yang melakukan rasuah itu UMNO Baru dan itu nyata kebenarannya. Itu bukan tohmahan pembangkang. Yang menghancurkan semua sistem demokrasi di negara ini dilakukan oleh parti dan pemimpin yang memerintah. Itu bukan kerja pembangkang. Yang menghancurkan bidang kehakiman negara adalah kerja UMNO Baru dan yang mengekalkan ‘Attorney General’ yang sudah tidak diyakini oleh orang ramai itu adalah kerja parti pemerintah dan bukannya dilakukan oleh DAP, parti yang baru saya sertai itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO Baru sepatutnya berkeliaran memberikan penerangan yang jika Sharizat Jalil itu seorang bidan kampung sahaja, suaminya tidak mungkin mendapat pinjaman mudah RM250 juta untuk memelihara lembu yang digunakan untuk membeli kondominium.

Yang disebut oleh pembangkang tentang rasuah dalam pembelian Scorpene itu bukannya fitnah dan jumlah setengah billion ringgit yang diterima sebagai komisyen oleh Paramekar Sdn Bhd itu bukannya fitnah. Malahan isu ini telah dijelaskan oleh pihak berkuasa Perancis.

Mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan kepimpinan UMNO Baru  itu bukannya fitnah tetapi ‘real’ dan Altantuya benar-benar mati diletupkan oleh bom C4 di Shah Alam. Memindahkan sejumlah wang sebanyak RM10 juta melalui pengurup wang yang ‘dubious’ yang dilakukan oleh seorang Menteri Besar itu adalah benar dan itu bukannya kerja pembangkang.

Jika pun UMNO Baru hendak membuat penerangan menafikannya kepada orang ramai, penafian semua isu ini terpaksa dilakukan dengan berbohong lagi. UMNO Baru terpaksa berbohong untuk mengalihkan pandangan orang ramai terhadap isu itu. Kata pepatah ‘UMNO Baru  terpaksa berbohong seribu kali untuk menutupi satu pembohongan yang mereka lakukan’.

Bayangkan berbuat bohong yang telah dilakukan oleh UMNO Baru, maka parti itu terpaksa berbohong beratus ribu kali untuk menutup pembohongan yang telah dilakukan puluhan tahun dahulu. Akhirnya semua tindakan pemimpin UMNO Baru itu adalah pembohongan yang tidak dapat dibuang lagi. Berbohong itu sudah menjadi ‘attribute’ yang ‘basic’ bagi UMNO Baru. UMNO Baru itu bohong, bohong itu UMNO Baru.

Jadi tidak salah sesiapa  kenapa persepsi terhadap UMNO Baru itu sangat buruk? Bagi ahli-ahli UMNO Baru, untuk menutupi pembohongan pemimpin mereka bukannya kerja mudah, kerana mereka terpaksa berkongsi pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Ahli-ahli yang cuba menutup pembohongan itu tidak akan efektif kerana pembohongan yang dilakukan itu bukannya oleh mereka tetapi pemimpin-pemimpin mereka.

Hanya yang berbohong sahaja yang mungkin boleh membalikkan cerita kepada rakyat seperti yang dilakukan oleh Utusan Malaysia. Utusan beriya-iya untuk menyambung pembohongan pemimpin-pemimpin parti yang mempunyai saham di dalam syarikat percetakan itu tetapi apa yang ditulis oleh Utusan sudah tidak dihiraukan oleh orang ramai. DAN Utusan sudah tidak dibaca lagi oleh ramai orang kerana akhbar itu seperti organ UMNO Baru.

Apabila rakyat sudah hilang keyakinan,  apa pun penerangan yang diberikan oleh parti itu tidak akan diyakini oleh orang ramai lagi. Keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan UMNO Baru sangat menyeluruh dan mereka (rakyat) sudah hilang rasa hormat kepada pimpinan kita.

Contoh yang terbaru ialah kes gambar Najib di tin minuman 100 plus semasa himpunan belia di Putrajaya baru-baru ini. Banyak pihak telah menyeru supaya kita ‘boycott’ sahaja minuman 100 plus kerana ada gambar PM Najib di tin minuman itu. Kempen memboikot itu sangat efektif hinggakan F&N terpaksa membuat kenyataan bahawa gambar PM Najib yang melekat pada tin 100 plus itu hanya digunakan semasa himpunan itu dan tidak menyeluruh.

Jika gambar PM Najib di tin 100 plus itu menyebabkan kerugian kepada F&N, itu menunjukkan yang gambar seorang PM pun tidak mempunyai nilai ‘commercial’ langsung. Jika Najib mempunyai kewibawaan dan dihormati ramai sepatutnya gambar beliau di tin minuman itu membawa keuntungan, tetapi sebaliknya apa yang berlaku F&N menghadapi risiko diboikot oleh pengguna minuman itu.

Semuanya ini salah pembangkang lagi? DAN bukannya salah UMNO Baru  itu sendiri? Fikir-fikirkanlah…. Sebenarnya persepsi buruk yang dialami oleh UMNO Baru itu adalah disebabkan oleh UMNO Baru dan pemimpin mereka sendiri. Jangan salahkan orang lain.

Tetapi pengakuan Muhy yang UMNO Baru menghadapi persepsi yang buruk itu adalah benar dan meyakinkan, tetapi beliau seperti pemimpin BN yag lain, tidak mengaku yang semua penyebab yang memburukkan persepsi orang ramai itu adalah kerana pemimpin UMNO Baru itu sendiri.

09 June 2012

Jangan tunjukkan sangat sikap 'inferiority' itu

Sampai bila pemimpin-pemimpin kerajaan (BN) hendak berperang dengan rakyat? Perbalahan tentang isu PTPTN  berlarutan sehinggakan TS Muhy dan Menteri Pendidikan Tinggi telah bertindak untuk menjadikan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) mangsa pertembungan di antara kerajaan dan PR dengan melakukan tindakan yang paling bodoh (maaf kerana menggunakan istilah bodoh) yang dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin setinggi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan tinggi negara.

Kalau kita amati secara halus ramai pemimpin yang pandai-pandai telah menjadi bodoh apabila menjadi pemimpin UMNO Baru. Terlalu jelas yang pimpinan tertinggi UMNO Baru yang mengaku untuk mendahulukan rakyat tidak mampu untuk mempertahankan janji-janji untuk menjadi pemimpin yang ‘magnanimous’ sepenuhnya jika dimandatkan oleh rakyat lagi sekali.

Membekukan permohonan pelajar UNISEL untuk mendapatkan PTPTN ini menunjukkan yang pemimpin-pemimpin yang terlibat sesungguhnya tidak mempunyai daya kepimpinan yang sejajar dengan cita-cita untuk menjadi pemimpin negara yang berangan-angan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju. Kemajuan negara bermula dengan kemajuan cara berfikir dan tindakan yang setanding dengan pemikiran pemimpin negara maju yang demokratik.

Alih-alih hari ini keputusan untuk membekukan itu telah ditarik balik oleh kerajaan pusat setelah membekukannya selepas tiga empat hari selepas arahan pembekuan itu. Ini merupakan tindakan yang amat memalukan yang tidak terperi dan ramai tidak menyangkakan yang tindakan ini boleh diambil oleh pemimpin kerajaan yang beriya-iya untuk menandingi kewibawaan pimpinan Pakatan Rakyat.

Sikap pemimpin kerajaan persekutuan nampaknya lebih keanak-anakan dan bagaimana rakyat hendak meletakkan kepercayaan kepada pimpinan seperti itu untuk  mendapatkan jaminan bahawa generasi yang akan datang tidak ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang kurang kemampuan untuk berfikir.

Tindakan pembekuan itu diterima oleh kerajaan Selangor dengan tenang dan Menteri Besarnya telah mengambil tindakan untuk mencairkan aset UNISEL bagi penyelesaian hasil daripada tindakan gila pemimpin persekutuan ini. Kerajaan Selangor pimpinan TS Khalid Ibrahim boleh menyelesaikan isu ini walaupun pemimpin persekutuan telah melakukan pelbagai tekanan terhadap Selangor.

Apabila sudah menyedari kesilapan kerajaan persekutuan telah mendabik dada yang kononnya PR tidak mampu untuk memberikan pelajaran percuma seperti yang dijanjikan. Pimpinan mengambil isu pembekuan dan penarikan balik pembekuan itu sebagai permainan politik yang sangat rendah darjatnya. Mengakui menang yang disuarakan oleh Khaled Nordin merupakan satu kenyataan keanak-anakan.

Tiada siapa yang menang tetapi yang sudah pasti mampu menyelesaikannya ialah TS Khalid Ibrahim yang bersedia mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan isu pembekuan itu dengan mencairkan aset universiti itu untuk memberikan penyelesaian kepada pelajar-pelajar yang dianiayai oleh pimpinan persekutuan itu. Penarikan balik pembekuan itu merupakan satu tindakan ‘damage control’ bagi pimpinan persekutuan kerana mereka menyedari bahawa pembekuan PTPTN oleh pimpinan persekutuan itu akan dapat diatasi oleh kebijaksanaan pimpinan negeri Selangor.

Saya amat percaya TS Khalid mampu mengatasi isu itu dengan baik kerana saya tahu beliau boleh lakukannya. Inilah yang tidak mahu dilihat oleh pimpinan persekutuan. Lama juga saya berkhidmat di bawah TS Khalid ini dan saya amat berkeyakinan beliau akan buktikan kemampuan beliau mengatasi isu ini jika kerajaan persekutuan tidak menarik balik pembekuan itu.

Jika isu ini sudah selesai, pimpinan persekutuan dari sekarang jangan menjadikan pelajar sebagai mangsa kepada politik ‘desperate’ mereka dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang ini. Apabila bertindak tanpa berfikir dan bercakap lebih pantas daripada berfikir inilah jadinya.

Janji pemansuhan PTPTN atau pun pendidikan percuma itu merupakan usaha dan janji PR jika dapat dan berjaya menganjak pimpinan BN dari Putrajaya dan itu merupakan komitmen Pakatan Rakyat. Saya dan ramai lagi percaya yang PR mampu untuk menjadikan pendidikan itu tanggungan kerajaan jika mendapat kuasa.

Pimpinan BN pun percaya ia akan mampu dilakukan oleh PR jika PR berkuasa tetapi mereka (BN) juga tahu mereka (BN) tidak akan mampu untuk melakukannya. Inilah yang menjadikan pimpinan BN tidak senang duduk dan tidak nyenyak tidur kerana ketidakmampuan mereka untuk mengatasi komitmen Pakatan Rakyat itu.

Itulah sebabnya saya telah menulis dalam posting saya beberapa hari yang lepas yang pada hakikatnya BNlah yang sedang berusaha menandingi PR dan bukannya PR yang menandingi BN. Pimpinan BN tahu jika Pilihanraya diadakan besok hari, PRlah yang akan mendapatkan mandat itu.

Maka itulah sebabnya pimpinan BN sedang berada di dalam keadaan ‘defensive’ kerana mereka juga sedar bahawa rakyat secara majoritinya sedang bersama PR. Hanya menunggu tarikh pilihanraya sahaja.

Isu pendidikan percuma merupakan isu yang mampu dilakukan oleh PR kerana jika negara Scandinavia boleh memberikan pendidikan percuma walaupun tidak mempunyai hasil minyak dan hasil mahsul seperti yang kita ada, kita tidak nampak kenapa isu ini tidak boleh dilakukan oleh PR.

Maka tindakan kerajaan persekutuan untuk menjadikan pelajar sebagai mangsa kerana ketakutan dan keresahan mereka yang takut dengan kehilangan kuasa itu merupakan satu tindakan yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran ramai orang.

Sememangnya seseorang yang sudah tidak tenang itu akan melakukan perkara-perkara yang tidak betul dan sentiasa ‘flip-flop’ dalam semua tindakan mereka. Hendak tidur tidak lena, hendak makan tidak lalu dan mandi pun tidak basah. Oleh itu segala tindakan mereka tidak berdasarkan kepada pemikiran yang stabil dan tenang.

Inilah bahayanya jika kita mandatkan pimpinan negara kepada pimpinan BN kerana pimpinan yang tidak berfikiran yang tenang akhirnya akan memudharatkan rakyat lebih-lebih lagi bagi generasi yang akan datang. Penyakit ‘inferiority complex’ pimpinan persekutuan ini kian  jelas.

Rakyat Selangor mesti ingat itu. Jangan perjudikan nasib anak-anak kita dengan memberikan sokongan kepada pimpinan yang 'perongos' ini.