16 August 2012

Kalau DAP dan PAS bersatu seperti sekarang, bagaimana Najib hendak bubar Parlimen?

Permuafakatan di antara DAP dengan PAS merupakan satu perkara yang menjeruk hati pimpinan BN. Permuafakatan untuk kepentingan negara dan rakyat serta demokrasinya semakin erat selain dari penyertaan PKR dalam Pakatan Rakyat sangat menggugat BN dalam menghadapi hari muka dalam demokrasi negara.

Sokongan padu di antara PAS dan DAP ini menjadikan BN khususnya UMNO begitu tertekan dan situasi ini memang tidak pernah terlintas di pemikiran sesiapa di kalangan UMNO selama ini. UMNO sentiasa berfikir yang PAS dan DAP tidak akan dapat duduk semeja sampai bila-bila kerana perbezaan dalam banyak isu pokok yang menyelubungi kedua-dua parti itu.

Tetapi apabila kematangan politik itu wujud maka apa yang dianggap ‘impossible’ selama ini oleh BN, kerjasama utuh di antara PAS dan DAP ini sangat-sangat menyakitkan UMNO. Berbagai-bagai cara dan taktik digunakan untuk memecahkan PAS dan DAP itu kerana jika PAS dan DAP berpecah maka senanglah sedikit bagi Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen dan memanggil pilihanraya yang sangat-sangat dinantikan oleh rakyat sekarang ini.

Pilihanraya akan hanya diadakan apabila PAS dan DAP berpecah dan bermasalah. Kita sedia maklum UMNO selama ini hanya kekal kerana perpecahan pihak lain dan UMNO Baru itu sendiri tertubuh di atas perpecahan orang Melayu. Premis kewujudan UMNO itu sendiri adalah di atas perpecahan.

Ia tidak seperti kewujudan UMNO asal dahulu dalam mana penubuhan UMNO asal itu adalah di atas perpaduan yang ditunjukkan oleh semua kesatuan dan persatuan orang Melayu untuk menyambung usaha mancapai kemerdekaan yang telah dimulakan oleh pejuang-pejuang sebelumnya.

UMNO sudah hilang kemampuan untuk menunjukkan dan membuktikan kepimpinannya dengan melakukan kerja baik, maka perpecahan pihak lain merupakan perkara yang ditunggu-tunggu dan UMNO amat mahir melakukan taktik ini kerana pengalamannya memecah-belahkan rakyat itu sangat menonjol dengan ketara.

Keakraban DAP dan PAS dan disalut pula dengan PKR sebagai elemen yang mencantumkan mereka, membuatkan BN khususnya UMNO dan juga MCA amat takut. Kali ini strategi memecah-belahkan rakyat tidak menjadi dan selagi keadaan itu wujud maka BN hanya menunggu waktu untuk terkubur dalam PRU yang akan datang.

Perkara seperti ini berlaku tentulah bersebab. Ia berhubung dan berkait rapat dengan ketelusan PAS dan DAP untuk bekerjasama untuk melakukan kebaikan. Tuhan sendiri menuntut setiap pihak untuk bekerjasama dan bermuafakat untuk membina kebaikan. Kemuafakatan itu hanya berlaku di antara setidak-tidaknya dari dua pihak yang berbeza dalam banyak hal.

Demi kebaikan rakyat dan negara kedua-dua pihak telah membina kemuafakatan yang telus bagi mencapai cita-cita yang luhur untuk negara. PAS sebagai sebuah parti berlandaskan kepada Islam telah beransur-ansur menunjukkan bukti bahawa Islam itu adalah universal dan merupakan agama yang diturunkan Tuhan untuk mentadbir dan untuk memimpin semua dalam dunia yang fana’ ini.

Apabila wujud elemen yang baik di kalangan PR ia menjadi duri dalam daging kepada UMNO yang akhirnya akan menghilangkan ‘hagemony’ UMNO yang selama ini menguasai pemikiran rakyat. Sedikit demi sedikit cengkaman yang dilakukan oleh UMNO itu bertambah longgar dan akhirnya UMNO terlepas sokongan yang selama ini diperolehi oleh parti itu.

Kesatuan yang dipupuk oleh PAS dan DAP ini tidak terlerai oleh segala propaganda yang dilakukan oleh media perdana cetak dan eletronik arus perdana dan ‘goodies’ yang diberikan oleh BN sekarang sudah tidak berkesan lagi. PAS sudah menjadi ‘alternative’ automatik bagi rakyat Melayu dan beragama Islam itu dan DAP merupakan parti yang disokong oleh semua kaum terutamanya ‘alternative’ yang paling baik bagi rakan-rakan kita kaum Cina dan lain-lain.

Benar kata pepatah ‘bersatu teguh bercerai roboh’. Selagi kedua-dua parti PAS dan DAP dan sokongan oleh PKR ini terus seperti yang ada pada hari ini maka tiada apa-apa lagi strategi dan taktik kotor yang dilakukan oleh BN akan memberi kesan kepada ‘coalition’ pemerintah itu.

Usaha MCA untuk memainkan isu hudud jelas menjadi ‘counter productive’ bagi BN. Isu DAP yang dituduh oleh MCA sebagai kuda tunggangan kepada PAS tidak menjadi. Sebaliknya UMNO memainkan isu PAS menjadi tunggangan DAP untuk menakutkan orang Melayu sudah tidak tajam lagi dan kian menumpul.

Taktik bermuka-muka Najib dan kepimpinan BN terhadap kaum-kaum di negara ini kian menjadi penyebab kepada wujudnya perasaan curiga dan tidak yakin rakyat kepada kepimpinan BN kini. Taktik yang dilakukan oleh pimpinan BN dengan bermuka-muka ini sudah menjadi bahan jenaka rakyat sekarang ini. Segala tindakan dan segala kata-kata yang keluar dari mulut pemimpin BN hanya membawa padah kepada BN itu sendiri.

Fatwa-fatwa songsang Abdullah Sa’amah juga telah menjadi ‘counter productive’ yang jelas kepada BN khususnya UMNO dan kian hari UMNO kian dijauhi oleh rakyat, termasuk oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Kesatuan rakyat berbilang kaum dan agama di bawah Pakatan Rakyat merupakan bukti kukuh yang kemuafakatan seperti tuntutan Islam itu merupakan pemangkin yang kuat untuk melakukan perubahan kepada sistem negara yang sudah kacau bilau ini.

Kesatuan rakyat ini menyebabkan BN tidak dapat menentukan tarikh dan waktu untuk mengadakan pilihanraya kali ini. BN tahu jika diadakan pilihanraya cepat maka cepatlah mereka hilang kuasa dan jika dilakukan pilihanraya ini di waktu yang lambat sedikit, maka dapatlah menangguhkan sedikit saat kejatuhannya kelak.

Saya selalu berkata yang rakyat sebenar-benarnya mahu bersatu teguh sesama mereka tetapi mereka mahu bersatu di luar BN. Nampaknya penyatuan rakyat di luar BN ini semakin menjadi kenyataan.

15 August 2012

Siapa yang kafir harbi tu?

Setakat ini belum ada apa-apa tindakan pihak kerajaan terhadap pihak yang memfatwakan DAP sebagai parti untuk ‘kafir harbi’. Sikap kerajaan membiarkan perkara ini terus menerus disebut oleh pihak tertentu yang 'desperate' ini, membawa tanggapan yang pihak kerajaan BN hari ini tidak prihatin terhadap sensiviti rakyat berbilang kaum dan agama di dalam negara ini.

Tidak ada sesiapa berhak untuk melabelkan pihak yang menyokong dan bermuafakat dengan DAP demi kebaikan negara menggelarkan mereka sebagai kafir. DAP merupakan sebuah parti politik yang terdaftar secara halal dengan pendaftaran pertubuhan dan parti itu telah menjunjung segala peruntukan yang tertulis di dalam perlembagaan negara. Hanya pihak UMNO sahaja yang cuba menafikannya.

Ulamak sesat yang memberikan fatwa itu wajar diambil tindakan kerana ia merupakan satu tindakan memecah-belahkan rakyat berbilang agama dan kaum dan ini merupakan tentangan secara 'direct' terhadap agama suci kita. Memecah-belahkan masyarakat merupakan tindakan yang tercemar daripada pandangan agama suci kita, kerana kita dituntut untuk saling menghormati antara semua puak dan bangsa serta agama.

Kita mesti menerima hukum agama kita secara 'total' dan bukannya mengambil setengah yang sesuai dengan mereka (UMNO) dan membuangkan setengah yang lain yang terkena kepada batang hidung mereka sendiri. Jika kita tidak menerima keseluruhan 6666 ayat di dalam Quran itu maka kita boleh persoalkan keimanan kita sendiri kerana mempercayai Quran secara 'total' itu merupakan salah satu daripada rukun iman yang enam itu. Kalau diambil semua nilai dan hukum agama kita, kita boleh melihat dengan jelas yang UMNO sendiri melakukan banyak perkara yang kafir.

Rasuah itu adalah kafir, menyalahgunakan kuasa itu kafir, memfitnah itu kafir dan memecah-belahkan rakyat itu adalah kerja kafir. Malahan tindakan ramai orang meninggalkan BN khususnya UMNO itu ialah kerana tindakan-tindakan yang kafir yang dilakukan oleh mereka. Banyak kroni di dalam UMNO itu sendiri mempunyai sikap dan sifat Qarun pada zaman Firaun dahulu. Mereka tidak berhenti-henti mengumpulkan harta yang banyak tanpa had dengan menggunakan wang rakyat dan negara.

Sebaliknya di pihak Pakatan Rakyat mereka lebih 'sensitive' terhadap kehendak agama-agama di negara ini dengan melakukan banyak perkara yang dituntut oleh agama-agama khususnya agama Islam. Islam membenci rasuah dan sudah jelas kerajaan DAP Pulau Pinang telah memunafaatkan kuasa yang ada pada mereka mentadbir negeri itu dengan tahap rasuah yang paling rendah dan hampir kepada tahap sifar. Sesiapa boleh menafikannya tetapi kenyataan tetap kenyataan.

Bagi seseorang yang bertuhan dan beragama, yang penting ialah nilai Islam dan agama itu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh. Tidak guna kita menjadi muslim tetapi tindakan kita semuanya menentang agama secara terbuka dan tidak meng'addin'kan agama itu. Kita mesti tuntut agar kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan fatwa mengikut nafsu dan nafsi amarah mereka kerana Islam yang tulen itu adalah lembut dan sejuk untuk semua orang menerimanya dengan ikhlas dan jujur.

Islam itu sentiasa memberikan kesejukan dan bukannya kepanasan seperti kepanasan api neraka. Saya adalah ahli DAP dan itu tidak mengurangkan kemelayuan saya atau mengurangkan Islam saya.

Saya tahu yang penting ialah saya sentiasa mengingatkan diri saya dan keluarga saya supaya terus menerus bertawajjuh dan bertawassul kepada Rasul dan Tuhannya sentiasa. Apa gunannya menjadi ahli kepada parti yang dianggotai oleh orang-orang Muslim seperti UMNO, sedangkan tindakan pemimpin-pemimpin mereka selalu bertentangan dengan kehendak agama anutan mereka.

Saya tidak berhak untuk memunafikkan sesiapa kerana hanya Tuhan sahaja yang berhak untuk melakukannya, tetapi jika kita tarbiah syariat dengan betul saya hanya berhak setakat mengingatkan sesiapa yang terlibat supaya jangan melakukan perkara-perkara yang munafik. Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua pihak, yang munafik ini merupakan satu dosa yang tidak terperi besarnya.

Setakat yang kita ingat UMNOlah yang menolak hukum hudud. Jika UMNO menerima hukum Islam secara 'total' Dr Mahathir tidak sepatutnya menolak hudud dahulu. Kita masih ingat dengan jelas penolakan itu.

Semua parti di dalam BN menolak hudud. Seburuk-buruk Pakatan masih ada niat dan usaha untuk melakukannya. Hanya setakat ini Putrajaya itu masih berada di dalam tangan BN sehingga pilihanraya yang akan datang.

Itulah sebabnya saya selalu mengulangi kata-kata ‘the worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of BN’. Ramai penyokong UMNO marah dengan kenyataan saya ini tetapi saya tidak peduli kerana apa yang saya katakan itu adalah perkara yang benar.

Pakatan DAP, PAS dan PKR wajar diberikan peluang kali ini setidak-tidak buat lima tahun yang akan datang untuk membuktikan kemampuan mereka merubah segala-gala yang tidak baik kepada keadaan yang dituntut oleh agama kita.

Rakyat boleh mengembalikan kepada BN jika PR jelas lebih buruk dari BN. Tetapi PR akan mampu memberikan bukti itu jika Putrajaya berada di tangan mereka (PR). Selepas itu rakyat boleh menilainya kembali kerana setiap lima tahun rakyat mempunyai kuasa untuk menggunakannya.

Barulah kita akan tahu siapa yang kafir harbi itu.

13 August 2012

Khairy, keringkan hingus dahulu sebelum bercakap besar

Khairy Jamaludin memberikan reaksi kepada penghijrahan Ahli-Ahli Parlimen BN ke Pakatan Rakyat seperti orang yang sedang merasakan perasaan ‘jilted’ dan bercakap benar-benar seperti ‘attribute’ yang ada pada UMNO. Khairy bercakap besar dengan mengatakan bahawa penghijrahan orang-orang UMNO dan pemimpin BN itu tidak menjejaskan BN kerana mereka semua adalah orang tidak laku di dalam BN khususnya UMNO.

Kalau mereka semua tidak laku kenapa Khairy bercakap seperti seorang yang kena ‘jilted’? Bunyi kenyataan yang tersiar di dalam akhbar-akhbar perdana hari ini memaparkan sikap sebenar pemimpin UMNO apabila mereka ditinggalkan dan memberikan reaksi seperti seorang yang ‘sour grape’.

Khairy sendiri bukannya laku sangat di dalam UMNO kalau hendak dikaji secara terperinci dan sekarang beliau sedang menjadi seorang kembiri politik yang tersohor, mengambil kesempatan penghijrahan pemimpin-pemimpin BN di Sabah dan tindakan Tamrin Tun Ghaffar keluar daripada UMNO.

Saya tidak kisah jika pemimpin lain di dalam UMNO bercakap seperti yang dikatakan oleh Khairy itu kerana pemimpin-pemimpin lain di dalam UMNO itu merupakan pemimpin-pemimpin yang tidak laku kepada rakyat yang ramai ini. Khairy ini ibarat seorang anak muda yang julung berkeris. Baru kenal selangkah dua batang pisang pun beliau hendak sanggah.

Siapa sebenarnya yang tidak laku? Saya berpendapat Khairy sendiri orang yang tidak laku. Kenapa beliau terlupa yang beliau menduduki kerusi Ketua Pemuda dengan sokongan kurang daripada 50% undi dari perwakilan sedangkan beliau telah menggunakan kedudukan beliau sebagai menantu Perdana Menteri habis-habisan dalam pertandingan itu?

Kenapa Khairy tidak mengendahkan rungutan pengundi beliau di Rembau sendiri? Kalau Khairy menilai diri beliau betul-betul, apakah yang menyebabkan beliau boleh duduk di tengah gelanggang UMNO tetapi membuka langkah silat yang tidak berjawab kerana dia adalah menantu Perdana Menteri semasa itu. Kalau dia sama seperti ahli UMNO yang lain nescaya Khairy tidak mungkin menang untuk menjadi pemeriksa kira-kira cawangan.

Khairy harus sedar bahawa UMNO itu sendiri tidak laku dan tidak ada maknanya jika dia laku di dalam UMNO. Apa faedahnya laku dalam UMNO jika UMNO itu sudah tidak laku lagi? Umum faham yang mereka yang baik dan sepatutnya menjadi pemimpin tidak boleh lama di dalam UMNO kerana budaya UMNO itu hanya mengambil pemimpin yang kurang berguna atau pun pemimpin yang mempunyai pengaruh keluarga mereka semata-mata.

Kalau Khairy anak penoreh getah atau anak kepada seorang penyapu sampah di Majlis Perbandaran Rembau beliau tidak mungkin dikenali oleh sesiapa waimma dari seorang buruh kasar.

Sekarang elok kita ingatkan Khairy agar sedar diri sedikit semasa berada di dalam UMNO itu. Sesungguhnya Khairy mempunyai penyokong yang ramai di luar UMNO. Di dalam UMNO Khairy adalah orang tidak laku kerana beliau bukannya ada sokongan yang ‘legitimate’ dalam parti itu. Beliau masih boleh bersuara sedikit ialah kerana kejayaan beliau mendapat kurang daripada 40% undi dari perwakilan pemuda beberapa tahun dahulu. Itu sahaja.

Khairy sepatutnya memberikan tumpuan kepada pergerakan Pemuda yang beliau pimpin itu. Khairy harus sedar bahawa UMNO menjadi lemah kerana pemuda-pemudanya di cawangan-cawangan UMNO tidak bergerak dan tidak dihormati oleh masyarakat dalam kariah masing-masing. Dulu-dulunya UMNO kuat kerana peranan pemuda di akar umbi. Keadaannya zaman Khairy memimpin ini, Pemuda hanya bergerak jika ada pemimpin besar melawat atau jika ada duit untuk bergerak.

Yang Khairy kritik ini adalah pemimpin-pemimpin yang telah banyak bersusah-payah untuk menegakkan UMNO dan BN. Semasa mereka bergerak dahulu Khairy belum lahir lagi dan semasa mereka berada di persada kepimpinan Khairy masih berak di dalam lampin lagi. Khairy semasa itu belum pun kenal yang mana satu tangan kanan untuk makan dan yang mana satu tangan kiri untuk bersuci selepas keluar dari jamban.

Pemimpin-pemimpin yang Khairy kritik ini bukannya dipecat oleh BN. Mereka keluar kerana tidak berpuas hati dengan perjuangan BN khususnya UMNO yang sudah menyimpang dari perjuangan asalnya. Mereka keluar UPKO dan BN kerana BN sudah tidak relevan lagi.

Kita ramai-ramai ingin sangat hendak tengok ke mana Khairy kesudahannya, kerana dia begitu sombong dan angkuh. Belum pun tahu dan faham tentang UMNO hendak bercakap seolah-olah beliau hebat dan laku di mana-mana.

Saya pernah label Khairy sebagai apam tebal…masak di luar mentah di dalam. Kalau Khairy benar-benar seorang yang laku pastikan yang beliau tidak disabotaj oleh ahli-ahli UMNO di Rembau sendiri, kerana dia bukannya laku sangat pun dalam UMNO itu.

Yang Khairy anggap tidak laku di dalam UMNO dan BN itu, sangat laku kepada rakyat ramai. Ramai di antara yang Khairy anggap tidak laku inilah yang akan menurunkan UMNO daripada memimpin negara dalam PRU yang akan datang ini.

Seperti matematik, formula itu penting. Dalam politik sekarang ini, mereka yang kuat di dalam UMNO itu akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang. Mereka yang tidak laku di kalangan pemimpin UMNO itu akan menjadi laku dalam PRU yang akan datang.

Apa faedahnya laku di dalam UMNO, tetapi tidak laku pada rakyat? Khairy elok keringkan hingusnya dahulu dan terus melakukan introspeksi diri secara intensif. Lama-kelamaan dia akan akhirnya faham siapa beliau sebenarnya di dalam UMNO itu.

12 August 2012

Sudah nak berak baru menggali lubang

Pepatah Melayu ada berkata. ‘dah nak berak baru gali lubang’. Itulah hakikatnya dalam isu pernubuhan RCI berhubung dengan isu kebanjiran pendatang haram di Sabah yang telah menjadikan BN ibarat telor di hujung tanduk. Semalam Najib telah menubuhkan Suruhanjaya di Raja (RCI) berhubung dengan kedatangan ratusan ribu pendatang tanpa izin yang telah menjadi masalah besar kepada negeri Sabah.

Suruhanjaya ini (RCI) jika benar-benar menjadi kenyataan dan dilaksanakan dengan seratus peratus ketelusan, ia akan menjadi igauan kepada BN. Tetapi dalam pengumuman Najib semalam beliau tidak menyentuh satu pun daripada lapan ‘term of reference’ yang telah dipersetujui itu. Apa yang terpenting di dalam penyiasatan RCI ini nanti ialah siapa yang bertanggungjawab terhadap pemberian kad-kad pengenalan itu serta pemberian kerakyatan kepada pendatang tanpa izin dengan begitu banyak itu.

RCI itu juga berwajib untuk mengutamakan motif dan tujuan pemberian sijil-sijil kerakyatan dan kad-kad pengenalan itu. Kedua-dua isu ini merupakan isu yang tersangat penting yang rakyat ingin tahu. Apakah asas pemberian dengan pengeluaran sijil-sijil kerakyatan yang diberikan kepada pendatang itu? Pemberian itu semestinya bersebab sehinggakan pembajiran pendatang ke Sabah sejak sekian lama telah menjejaskan keadaan sosial, ekonomi dan berbagai-bagai lagi masalah yang terpaksa dihadapi oleh rakyat tempatan Sabah.

Jika usaha memberikan sijil-sijil kerakyatan ini tidak mempunyai asas yang kukuh, maka tindakan itu adalah satu tindakan ‘treason’ yang begitu aib nilainya dan mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke mahkamah tanpa memilih bulu. Yang kita hendak jaga dengan rapi ini ialah sebuah negara yang berdaulat. Jika tindakan itu tidak mempunyai sebab, maka ia adalah tindakan yang mencemarkan kedaulatan negara kita.

Nyata sekarang tindakan pembentukan RCI ini merupakan tindakan yang telah lama ditunggu-tunggu dan desakan pemimpin-pemimpin Sabah sejak puluhan tahun dahulu baru sahaja hendak didengar. Itu pun setelah BN sendiri merasakan bahawa sokongan rakyat Sabah sudah merudum terhadap pimpinan BN di sana.

Kita tidak wajar menafikan hakikat bahawa penubuhan RCI ini dilakukan kerana terpaksa memandangkan pimpinan dan rakyat Sabah sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi selain daripada membenamkan kerajaan BN yang memerintah selama ini yang menjadi penyebab pembanjiran pendatang haram dengan begitu ramai. 

Penubuhan ini dilakukan dengan serta-merta dalam keadaan terdesak dan kita sendiri menyaksikan yang pembentukan RCI ini ibarat ‘sudah nak berak sangat baru gali lubang’. Keputusan kepada RCI ini wajar diketahui umum sebelum PRU ini dan tidak boleh diambil enteng lagi oleh kerajaan dan jabatan yang bertanggungjawab di peringkat persekutuan ini.

Dr Mahathir menentang penubuhan RCI ini dan kita tidak terperanjat dengan pendirian beliau itu. Tidak payah kita membuat apa-apa spekulasi terhadap beliau kerana beliau sememangnya mengetahui perkara itu berlaku dan ini merupakan isu yang sangat hangat yang diperbincangkan oleh rakyat ramai di bawah ini. Jika dengar sangat nasihat Dr Mahathir ini ia akan menjadi laibiliti sepanjang zaman kepada kerajaan hari ini.

Hanya kita mengharapkan agar keputusan RCI ini dibuat dengan telus dan jika terpaksa menghadapkan sesiapa di mahkamah ia perlu dilakukan. Jangan pula menjadi RCI terhadap isu Lingam dahulu. Tidak ada apa-apa tindakan yang diambil terhadap sesiapa yang bertanggungjawab itu. Kita sememangnya menunggu cadangan-cadangan yang akan dibentangkan oleh RCI sesudah selesai melaksanakan tanggungjawab penting terhadap negara ini.

Tetapi yang paling mudah untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab dan motif pesalahlaku dalam isu ini ialah untuk rakyat bersatu dengan mengubah kepimpinan negara dan di Sabah.

Jika perubahan dilakukan di Sabah, bukan sahaja isu pendatang izin boleh diselesaikan, banyak isu-isu lain yang menghantui Sabah dan negara keseluruhan akan dapat diselesaikan dan diatasi dengan mudah.

Sesungguhnya RCI yang dianggotai oleh rakyat merupakan RCI yang paling mustajab untuk menyelesaikannya.