17 October 2012

Kalau benar BN itu telus, kenapa takut isytihar harta?

Kecelaruan yang negara alami kini, bukannya kerana masalah yang disebabkan oleh rakyat sebenarnya. Masalah yang ada pada hari ini adalah masalah yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Rakyat tidak memberi masalah kepada kerajaan. Sebaliknya kerajaan dan pimpinanlah yang memberikan masalah kepada rakyat sehinggakan rakyat sudah berang di dalam hati mereka yang menyebabkan mereka mempersoalkan segala tindak-tanduk pimpinan dan parti yang memerintah negara kita sekarang ini.

Isu yang terbesar di dalam negara kini ialah rasuah yang menyebabkan sistem kerajaan sekarang hampir lumpuh kalau kita sandarkan penilaian kita dengan negara-negara maju. Rasuah ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin justeru itu telah menyebabkan banyak perkara yang tidak betul lagi berlaku di hadapan mata rakyat.

Saya tertarik dengan cadangan Lim Guan Eng, Setiausaha Agong DAP, yang telah pun melakukan usaha yang bertanggungjawab mematikan budaya rasuah di negeri Pulau Pinang yang beliau tadbir. Beliau mencadangkan beberapa cara untuk menghapuskan rasuah seperti yang beliau sendiri telah lakukan di Pulau Pinang sejak beliau mentadbir negeri itu.

Di antaranya setiap ahli-ahli Pentadbir Negeri dari exco kerajaan serta pegawai pelaksana mengisytiharkan harta mereka. Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka termasuk akaun bank mereka di dalam dan di luar negara. Cara ini amat penting dilakukan kerana rakyat yang telah memberikan mereka mandat mahukan mereka mentadbir dengan bersih dan menghilangkan keraguan tentang kebersihan mereka menjaga harta benda rakyat.

Cadangan yang lainnya ialah memastikan tidak ada ahli keluarga pemerintah yang terlibat dengan kontrak kerajaan dan ini merupakan satu cadangan yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan oleh BN tetapi tidak dilakukan. Etika ini memang menjadi pakaian di negara negara maju di dunia ini. Tetapi di negara ini pemimpin-pemimpin kita tidak termampu untuk melakukannya kerana kedudukan mereka itu merupakan modal perniagaan bagi mereka dan keluarga serta kroni-kroni mereka.

Seperti yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng pengisytiharan aset semestinya di‘institutionalized’kan kerana ia merupakan elemen yang terpenting dalam menjaga intergiti sesuatu kerajaan itu. Ini pun yang dilakukan oleh kerajaan negara-negara maju dan kebaikan amalan ini sepatutnya menjadi ikutan kita kerana ia adalah cara yang terbaik untuk menjaga rakyat dan negara. LGE telah memperkuatkan tindakan pengisytiharan harta ini dengan membuat pengesahan dari ‘akauntan bertauliah’ yang tidak boleh dipersoalkan kredibilti mereka.

Tetapi kalau kita hendak meniru dan menjadikan negara-negara mundur di Afrika seperti Zimbabwe dan sebagainya Najib dan BN tidak payah untuk bergegar-gegar berucap dan beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelangnya tahun 2020. Tidak mungkin negara kita akan menjadi negara maju sedangkan kita masih terhambat oleh mentaliti politik dan kerajaan dunia ketiga. Tidak mungkin kita akan menjadi rakyat negara maju jika mentaliti kita masing masing berunsurkan mentaliti dunia ketiga.

Saya pernah diberitahu oleh rakan yang pernah duduk di dalam kabinet kerajaan hari ini yang ramai di antara menteri-menteri kita tidak bersetuju untuk mengisytiharkan harta benda mereka kepada umum. Sebab yang menyebabkan mereka tidak mahu mengisytiharkan harta mereka itu bukanlah susah untuk difahami. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana mereka tidak mahu diketahui umum tentang cara dan bagaimana mereka boleh melonggokkan sejumlah harta yang begitu banyak dengan rumah-rumah mewah, kereta mewah dan segala-galanya mewah.

Itu sebabnya selalu saya katakan rasuah sentiasa tidak membenarkan kita melakukan kebaikan kerana melakukan kebaikan itu akan menyekat masa depan perasuah negara. Kadang-kadang kita tidak memahami kenapa begitu degil dan payah sangat bagi pimpinan kita untuk melakukan kerja yang baik dan menjadi amalan di dalam negara-negara maju.

Sekarang kita mempunyai barisan pemimpin yang tidak mahu mengisytiharkan harta mereka di dalam dan di luar negara kerana mereka mendapatkan semua wang ringgit yang besar itu melalui kedudukan mereka di dalam kerajaan, dan itu adalah cara rasuah.

Pengistiharan harta ini tidak mungkin boleh berlaku selagi barisan pimpinan ini menerajui kita dan selagi mereka boleh melakukannya rasuah ini tidak akan berhenti kerana seperti yang saya sebutkan rasuah ini merupakan ketagihan oleh pimpinan kita. Seperti penagih dadah, penagih rasuah juga tidak akan aman hidup mereka tanpa melakukan rasuah.

Oleh itu kita perlu melakukan sesuatu untuk rakyat Malaysia setanding dengan negara-negara maju dalam mana rakyatnya hanya memilih kerajaan yang bersih dan ‘sustainable’ kebersihan daripada rasuah ini. Untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju, sikap dan nilai, dan persepsi kita terhadap keterbukaan ini amat penting diperbetulkan.

Beberapa cadangan yang diutarakan oleh Lim Guan Eng itu sememangnya senang dilakukan jika semua pihak jujur dan ikhlas untuk melihat negara kita ditadbir oleh pimpinan yang bersih dan beretika. LGE sendiri sedang melaksanakannya dan tidak nampak kenapa pimpinan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri tadbiran BN tidak mahu melakukannya. Malahan apa yang dilakukan oleh LGE ini tidak digemari oleh BN kerana BN sememangnya tidak senang kerana rakyat telah nampak apa yang baik yang ada jika PR mentadbir negeri dan negara kita.

Tidak ada sebab langsung. Tetapi jika ada sebabnya ia tidak lain dan tidak bukan, ialah kerana mereka tidak mahu terbongkar segala kegiatan yang berunsur rasuah dan salahguna kuasa. LGE dan kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR telah pun melakukannya. Bila pula kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri-negari tadbiran BN pula mahu melakukannya? Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan yang rakyat masih ada harapan untuk melihat negara kita dapat diselamatkan daripada bankrap dan kejatuhan tamadunnya.

Jika peluang dan harapan ini tidak diambil kesempatan oleh rakyat maka rakyat tidak boleh lagi menyalahkan sesiapa selepas ini. Rakyat masih boleh melakukan usaha-usaha menyelamatkan negara kita daripada dirompak dan menjadi mangsa oleh pemimpin-pemimpin yang sudah ketagihan rasuah ini. Harapan rakyat ini hanya boleh dilakukan dengan meninggalkan yang buruk dan pergi ke arah kebaikan. Rakyat telah pun nampak di mana dan bagaimana untuk mendapatkan kebaikan itu. Berfikir dan lakukannya dengan baik dan terhormat.

Tentulah kebaikan itu akan mula kita perolehi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Jangan was-was kerana sikap was-was ini merupakan sikap yang terkeji.

16 October 2012

Kasih jangan bertompok-tompok, benci jangan merata-rata

Jika Pakatan Rakyat mendapat mandat untuk menjadi pentadbir kepada negara, satu isu yang mesti diperbaiki ialah tentang keadilan untuk rakyat bersuara dengan jujur dan telus. Sekarang PR sedang menghadapi ketidak-adilan pihak media dan penguasa kepada media perdana. Berita dan sebaran maklumat sungguh tidak adil kerana sikap media yang terlalu berat sebelah yang tidak dapat diterima oleh banyak pihak. Kita latih bahagian editorial Utusan dan TV3 untuk menjadi lebih beretika dan professional dengan menyiarkan berita yang seimbang dan adil. Kita hendakkan perubahan ini kerana hendak melaksanakan demokrasi dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika PR mendapat mandat ini merupakan perkara yang paling utama untuk diperbaiki kerana menyiarkan berita dan isu dengan berat sebelah itu akan menjejaskan imej kerajaan itu seperti yang sedang dialami oleh BN sekarang ini. Jika UMNO dan BN menjadi pembangkang, kerajaan yang mandapat mandat itu wajar memberi peluang kepada parti pembangkang semasa itu (UMNO) dan lain-lain yang bersekutu dengannya untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas.

Kita tahu bagaimana sengsaranya pimpinan PR untuk mendekati rakyat kerana permainan politik kotor oleh media yang terlalu condong kepada BN hari ini. Jika PR mendapat mandat pemerintah yang baru itu mesti jangan mengulangi kejahatan yang dengan jelas sedang dilakukan oleh BN terhadap kita. Kita mesti tunjukkan perbezaan ini disamping melatih rakyat memahami apa itu demokrasi yang sebenarnya.

Lagi pun kebebasan bagi UMNO untuk bersuara sebagai parti pembangkang itu nanti akan sedikit sebanyak mengajar kita sendiri untuk menjadi kerajaan yang bersih, tanpa rasuah dan menyalahgunakan kuasa seperti yang dilakukan oleh BN sekarang ini. Inilah indahnya demokrasi jika dilaksanakan dengan telus dan beretika. Rakyat juga yang akan untung jika Putrajaya itu kita jadikan sebagai 'pusaka' bergilir-gilir. Sekarang ini BN patut mengambil giliran untuk duduk di pihak pembangkang. Lagipun UMNO kini sedang berlatih-latih untuk menjadi pembangkang dengan tindak-tanduk mereka yang tidak semenggah hari ini.

Pakatan Rakyat juga jangan sekali-kali berfikir seperti BN khususnya UMNO yang beranggapan yang Putrajaya itu adalah hak milik kekal kepada parti-parti yang memerintah. Putrajaya itu hanyalah TOL (temperary occupancy license) dan rakyat akan terus memberikan kita kuasa selagi kita bersikap adil dan saksama tanpa melacurkan perlembagaan negara kita yang sudah digubal dengan baik itu. Rakyat adalah ‘supreme’ dalam sesebuah demokrasi.

Jangan sekali-kali menghina rakyat dengan membeli jiwa mereka dengan wang ringgit semasa pilihanraya tiba kerana tindakan itu tidak lebih dan tidak kurang daripada menghina dan memperbodohkan mereka (Rakyat). BN sepatutnya belajar daripada kesalahan dan kesilapan sendiri tetapi mereka tidak berbuat demikian. Oleh itu jika PR mendapat mandat pada hari ini pihak PR sepatutnya menjadikan kesilapan dan kesalahan yang sedang dilakukan oleh BN hari ini sebagai pelajaran untuk kita semua.

Sesungguhnya belajar dari kesilapan orang lain itu merupakan cara pembelajaran yang sangat baik dan mudah. Belajarlah untuk menghormati orang ramai dan rakyat jelata. Jangan menghina dan menjadikan mereka seperti kerbau di sawah yang hanya untuk membajak sawah padi sahaja, sedangkan semua hasil padi dibaham oleh tikus-tikus gemuk dalam kepuk padi.

Binalah ketajaman pemikiran rakyat, dan bukannya memenjarakan pemikiran rakyat dan memaksa rakyat untuk mengikut telunjuk dan kehendak kita sahaja seperti yang dilakukan oleh pimpinan UMNO hari ini. Janganlah mewujudkan projek-projek pembangunan oleh kerana dirancang oleh rakan-rakan dan kroni sahaja kerana melakukan pembangunan cara itu akan membina kelompok kroni yang akhirnya akan membawa kepimpinan ke arah kepimpinan yang tidak bermoral dan beretika. Jangan jadi seperti UMNO: kasihnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata. Jadilah sebuah kerajaan yang penuh dengan ‘magnanimity’ serta beretika yang tinggi.

Gubal undang-undang yang tidak membolehkan sesiapa menjadikan isu bangsa dan agama sebagai topik dan bahan politik kerana apa yang BN lakukan pada hari amat merbahaya kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini yang mahukan kehidupan yang aman dan sentosa tanpa pergelutan dengan isu-isu sensitif ini. Ketegangan dan perasaan curiga-mencurigai semakin menebal di antara kaum dan akan membawa kebinasaan kepada kita semua.

PR mesti serius untuk membendung rasuah terutamanya kerana rasuah adalah kegiatan yang amat hina dan akan menjatuhkan negara dan tamadun kita. Rasuah punca kepada segala-gala kerosakan di muka bumi ini.

Jika semua ini dan yang lain-lain kesalahan yang dilakukan oleh BN pada hari ini dihindarkan oleh PR yang memerintah nanti, sesiapa sahaja yang menjadi PM tidak akan perlu lagi menjelajah dan mundar-mandir ke hulu ke hilir serta ke darat dan ke baruh untuk mempertahankan diri seperti yang terpaksa dilakukan oleh Najib pada hari ini.

Jika ditadbir negara dengan baik tidak perlu lagi seorang PM itu terpaksa membeli undi dengan agihan BR1M dan sebagainya kerana pemberian itu hanya mampu menghilangkan dahaga tidak sampai seminggu tetapi susahnya sepanjang tahun dan zaman.

Jika PM yang baru dilantik pula, jangan melibatkan isteri keterlaluan dalam hal negara. Lee Kuan Yew merupakan pemimpin rantau ini yang terkenal tetapi isterinya hanya dikenali semasa isteri beliau itu meninggal dunia 2 tahun dahulu. Itu pun sekarang ini saya dan ramai lagi sudah lupa nama isteri beliau. Ini perlu kerana seorang isteri itu adalah kaum yang perlu dibimbing. Hawa itu datangnya dari tulang rusuk kiri Adam.

Hawa tidak datang dari kepala untuk dijadikan ketua dan pemimpin kepada kita dan tidak juga datangnya dari kaki untuk dipijak dan ditekan. Hawa itu dilahirkan melalui rusuk kiri Adam untuk bersama kita semasa susah dan senang bukannya untuk mempengaruhi ke atas kewajipan kita kerana ia akan menjatuhkan negara dan masyarakat jika kita menjadi pemimpin. Hawa itu untuk dibelai dan dikasihi, bukannya untuk ditakuti dan digeruni.

Saya menulis isu ini kerana saya mempunyai keyakinan yang perubahan bakal berlaku jika tidak ada ‘legal cheating’ dilakukan oleh BN dalam pilihanraya ini. Elok kita ingatkan terlebih dahulu supaya tidak payah ditegur semasa mentadbir negara setelah mendapat mandat rakyat nanti.

Pakatan Rakyat tidak boleh tidak, mesti menunjukkan perbezaan dengan BN dalam mentadbir negara. Masa itu nanti barulah kita tahu berbezaannya dan selepas itu rakyat berhak untuk mengalih dan menganjak siapa yang mentadbir negara mengikut selera dan kehendak rakyat sendiri.

Buat masa ini rakyat wajar memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perbezaan dalam banyak bidang dengan BN. Sekarang ini saya berkeyakinan yang PR mampu menunjukan berbezaan itu.

15 October 2012

TV3 akan menghadapi nasib yang sama seperti Utusan?

TV3 sedang merudum ‘rating’nya. TV3 yang termasyhur sebagai lidah UMNO dan BN kini sudah mula tidak mendapat sambutan ramai. Sebelum 2010, TV3 telah mendapat ‘rating’ yang tertinggi sehingga mendapat 3.5 juta penonton sehari dan kini jumlah tontonan dari rakyat telah jatuh sehingga 1.2 juta sehari. Kejatuhan bilangan penonton lebih dari 60% ini tentu bersebab dan sebabnya boleh diagak oleh kita semua. Kejatuhan ini akan akhirnya membawa padah kepada pendapatan syarikat dan menjejaskan prestasi kewangan syarikat televisyen itu.

Selalunya kejatuhan penonton sesebuah syarikat penyiaran seperti TV3 itu adalah kerana kejatuhan keyakinan penonton terhadap kredibiliti saluran itu. Dalam sejarah banyak syarikat penyiaran dan saluran TVnya telah jatuh kerana tidak mendapat sokongan ramai. Keadaan ini tidak mengecualikan TV3 yang kini sudah menampakkan keadaan seperti itu akan berlaku ke atas syarikat televisyen itu.

Kejatuhan penonton yang dialaminya sekarang sudah mula menampakkan apa yang dialami oleh banyak syarikat TV yang terpaksa ditutup di negara-negara yang lain itu akan berlaku ke atas TV3 jika saluran televisyen itu tidak menjaga kredibilitinya di mata penonton yang sedia ada sekarang.

Ramai di antara pengiklan-pengiklan barangan dan perkhidmatan telah mula memikirkan untuk mengiklankan barangan dan perkhidmatan mereka di saluran-saluran yang lain kerana TV3 tidak menjadi saluran sukaramai rakyat lagi. Kejatuhan jumlah penonton untuk saluran ini masih menurun dan dijangkakan yang ia akan melewati bawah dari 1 juta penonton setiap hari.

Keadaan ini berlaku bukan kerana apa….tetapi kerana TV3 sudah menjadi alat pembohongan BN dan UMNO dan rakyat yang berfikiran ‘professional’ tidak menganggap saluran TV3 ini sebagai saluran untuk rakyat. Sikap ‘tidak professional’ TV3 ini menjadi persoalan ramai kerana orang ramai tidak gemar dengan sikap condong yang keterlaluan terhadap sesuatu pihak dalam politik ini adalah tindakan yang dianggap tidak jujur.

TV3 tidak yakin terhadap professionisma kewartawanan dan berita. Ia sudah menjadi seperti pentarama jabatan penerangan dan propaganda kerajaan di zaman peperangan melawan komunis dahulu. Rakyat sudah jemu dengan tingkah laku TV3 ini kerana menjadi penghasut bagi membenci setengah pihak dalam masyarakat secara keterlaluan dan ia amat menjijikkan ramai rakyat yang mahukan berita-berita yang seimbang dan professional dalam penyebaran maklumat kepada rakyat.

Saya sudah tidak membuka saluran ini sejak tujuh atau lapan tahun dahulu. Saya sendiri sudah tidak melanggan dan membaca Utusan Malaysia sejak sepuluh tahun dahulu kerana sebab yang sama. Hanya beberapa orang yang rapat dengan saya memberikan apa-apa keratan tulisan Utusan itu jika ia bersangkut dengan isu-isu panas yang dicetak oleh akhbar lidah rasmi UMNO itu.

Sebenarnya rakyat memahami yang mana-mana saluran TV dan akhbar itu mempunyai ‘inclination’ masing-masing terhadap sesuatu pihak. Tetapi apa yang dilakukan oleh TV3 dan Utusan itu adalah keterlaluan sehinggakan membelakangkan professionalisma kewartawanan. Tidak bergunalah belajar bidang kewartawanan sehingga ke peringkat yang tinggi tetapi mentaliti dan sikap tidak professional itu ditunjukkan dengan terlalu jelas kepada rakyat yang sudah pandai berfikir ini.

Kerana tindakan TV3 ini maka mereka yang tidak menyebelahi mana-mana pihak terpanggil untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dianiayai oleh saluran TV itu. Sesungguhnya apa yang disiarkan oleh TV3 ini merupakan satu yang ‘counter productive’ terhadap kerajaan itu sendiri dan pemantau-pemantau berkaitan dengan berita dari JPM itu tidak dapat merasakan rasa menyampah dan bosan penonton yang ramai-ramai balik ke rumah untuk bersantai dengan keluarga dipaparkan berita-berita yang berbentuk hasutan oleh media massa seperti saluran TV ini.

Bagi pembangkang yang menjadi korban fitnah ini, mereka sepatutnya berterima kasih kepada TV3 dan Utusan kerana kedua-dua saluran berita ini memberikan impak buruk terhadap BN dan tentulah PR yang mendapat keuntungan daripada tindakan mereka itu. Sebahagian besar daripada tanggungjawab pihak pembangkang untuk berkempen itu sudah pun disempurnakan oleh Utusan dan TV3 ini. Seorang yang benci kepada saluran ini menambah seorang yang menyokong kepada pihak pembangkang. Matematiknya senang.

Sikap memecah-belahkan rakyat oleh TV3 ini bertanggungjawab terhadap pembinaan kebencian rakyat kepada pihak yang berkuasa dan tidak adil jika dipersalahkan rakyat memberikan sokongan kepada pihak pembangkang kerana rakyat sentiasa berharap untuk hidup tenang di rumah setelah seharian bekerja kuat untuk keluarga masing-masing.

Apabila sampai di rumah rakyat mahu relaks dengan isteri dan anak-anak dan mereka tidak mahu berhadapan dengan hasutan pihak saluran TV3 sentiasa memaparkan keburukan pihak lain. Rakyat sudah merasakan yang ‘intensity’ pembohongan dan fitnah yang dilakukan oleh TV3 ini membuatkan ramai yang secara automatik membenci saluran itu dan seterusnya kepada pihak yang disokong oleh saluran itu.

Saya telah berjumpa dan bercakap dengan beberapa ketua syarikat yang saya kenali dan mereka memberitahu saya yang mereka sedang menimbang untuk memberhentikan pengiklanan barangan mereka melalui saluran ini jika saluran penyiaran ini meneruskan sikap buruk mereka itu. Jika hilang sokongan dari pihak industri ini TV3 akan hilang pendapatan syarikat yang berkurangan dan segala ‘glamour’ yang dialami oleh saluran TV3 yang terkenal itu.

Jika itu berlaku ia merupakan pengalaman yang sedang dialami oleh Utusan Malaysia yang tidak lagi mendapat sokongan dari pengiklanan yang besar-besar dan itu pun sebabnya Kumpulan Utusan Melayu itu telah kerugian sejak beberapa tahun yang lalu. Jangan terkejut jika TV3 akan menghadapi tindakan rakyat untuk memboikot saluran ini secara menyeluruh. Di zaman dunia tidak bersempadan ini rakyat boleh memilih saluran TV lain yang tidak membina kebencian di antara rakyat di negara ini.

Kita cuba untuk tidak menonton TV3 buat dua tiga hari ini... Saya yakin anda akan biasa dengan pemboikotan itu dan jiwa akan lebih tenteram dan aman tanpanya. Menjaga ketenteraman hati dan jiwa kita itu adalah satu ibadah kerana kita wajib menjauhi musuh-musuh secara baik, tanpa melakukan perkara-perkara yang ganas yang juga ditegah oleh agama dan juga adat kita.

14 October 2012

George Soros dengan Dr Mahathir

Niat buruk BN terhadap Pakatan Rakyat dengan mengaitkan Soros dengan 'coalition' alternatif itu nampaknya memakan tuan lagi. BN melabelkan George Soros sebagai penyangak matawang dan Mahathir terutamanya cuba membabitkan Soros dengan PR dengan berkata satu undi untuk Pakatan adalah satu undi untuk Soros. Nyata kata-kata ini adalah kata orang yang ‘desperate’ dan sesiapa yang mempunyai pemikiran yang ‘normal’ akan menganggap kata-kata ini sebagai kata-kata orang yang sudah terdesak. Dr Mahathir mencari apa-apa isu walaupun sekecil biji sawi yang boleh dikaitkan dengan parti-parti alternatif.

Kita selalulah mendengar cara-cara berbahas politik seperti ini di kampung-kampung yang dimainkan oleh penyelia-penyelia kemas dan sebagainya. Tetapi untuk dijadikan isu seperti ini dan dihidangkan kepada masyarakat yang sudah berfikir, ia merupakan satu tindakan ‘counter productive’. Di kampung-kampung orang sudah bijak berfikir dan tidak mahu menerima isu ini sebagai isu yang membolehkan rakyat yang telah meninggalkan BN itu untuk kembali ke pangkuan parti pemerintah itu. Saya beberapa kali berkata yang mempercayai isu yang dicipta oleh Dr Mahathir ini adalah ‘self insulting’ dan amat memalukan diri kita sendiri.

Sekarang semua rakyat tahu yang mahu berhubung baik dengan Soros ini ialah pemimpin UMNO sendiri. Barbagai-bagai kata nista Mahathir dilemparkan kepada Soros sambil melabelkan orang yang mahir dengan perdagangan wang antarabangsa itu sebagai penyangak matawang dan semua ‘superlatives’ yang buruk-buruk terhadapnya. Mahathir menyalahkan Soros yang menyebabkan matawang ringgit jatuh di pasaran wang antarabangsa dengan teruknya.

Tetapi dalam senyap-senyap Mahathir berhubung dengan Soros dan meminta bantuan untuk kegiatan beliau yang mengetuai badan NGOnya. Bukan sahaja Mahathir, Najib sendiri berjumpa dengan Soros di New York tahun lepas. Najib berkata Soros yang hendak bertemu dengan beliau bukannya beliau yang hendak berjumpa. Kenyataan ini tidak boleh kita terima bulat-bulat kerana kita semua tahu sikap Najib apabila berada di kedudukan ‘defensif’ seperti ini.

Sesungguhnya Mahathir sendiri mahu menjadi seperti Soros ini untuk bermain dengan pasaran wang antarabangsa ini. Jika Soros menggunakan kepakarannya untuk mengkaji kekuatan sesuatu matawang itu, Mahathir pula menggunakan kuasanya dengan menggunakan kedudukan beliau untuk bermain di pasaran wang antarabangsa ini dengan menggunakan Bank Negara Malaysia, Ketua Jabatan Perbendaharaan BNM semasa itu. Orang yang saya maksudkan ialah Nor Muhammad Yakcop untuk membuat spekulasi matawang di pasaran wang antarabangsa.

Hasilnya kita kerugian dalam operasi itu lebih dari RM30 billion. Yang mendapat sedikit keuntungan hanyalah kesebelasan syarikat-syarikat ‘broker’ wang antarabangsa yang beroperasi di negara ini. Tindakan Mahathir mengarahkan Nor Mohammad Yakcop itu merupakan satu tindakan nakal yang menggunakan kedudukan tertinggi di negara ini untuk mencuba-cuba berkecimpung dalam bidang yang bukan kemahiran beliau. Kata orang tua-tua dahulu, 'baru belajar selangkah dua sudah mahu berpencak silat'.

Bidang kemahiran beliau hanyalah memecah-belahkan pimpinan di dalam UMNO untuk beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Dalam bidang ini beliau telah berjaya melakukannya. Beliau kekal selama 22 tahun menduduki pejabat Perdana Menteri itu sehinggakan UMNO mengalami “vacuum’ kepimpinan yang begitu ketara sehingga ke hari ini.

Di antara Mahathir dengan Soros, banyak perbezaannya walaupun ‘interest’ mereka terhadap pasaran wang ini sama. Soros berjaya melakukan perdagangan matawang asing dengan berjaya, dan sebaliknya Mahathir telah gagal melakukannya dan menyebabkan kita kerugian puluhan billion ringgit. Soros yang dianggap beliau sebagai penyangak itu akhirnya dituruti Mahathir untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi NGO pimpinan beliau walaupun Soros pernah menganggap Mahathir sebagai ‘menace’ terhadap negaranya sendiri.

Sekarang Mahathir menggunakan isu Soros menjadi isu pilihan untuk BN dalam pilihanraya kita kali ini. Soros dianggap sebagai penyangak matawang yang menyebabkan matawang kita merudum pada tahun 1997 dahulu. Tetapi Mahathir tidak mahu menerima hakikat bahawa matawang kita semasa itu dilemahkan oleh dasar dan tindakan Dr Mahathir melakukan peng’import’an ‘capital goods’ yang keterlaluan besarnya untuk membangunkan KLIA dan Pusat Pentadbiran Putrajaya semasa itu.

Semasa itu Malaysia mengalami ‘negative balance of payment’ setiap bulan sehinggakan ringgit kita menjadi lemah di pasaran wang antarabangsa. Apa yang kita telah bina selama ini menjadi hancur berderai dan segala yang kita perolehi dari pembangunan sebelum itu telah lesap sekelip mata. 'Setelah terhantuk baru hendak tengadah' kata orang. Setelah dikurangkan pengimportan selepas itu barulah secara beransur pulih keadaan kita. Kesilapan Dr Mahathir ini amat mahal harganya untuk ditanggung oleh rakyat jelata.

Tetapi Dr Mahathir tidak akan mengaku yang kebanyakan masalah datangnya dari tindakan beliau sendiri. Tetapi biasalah…yang beliau akan menyalahkan semua orang. Dalam masa kita menunggu pilihanraya ini, Pakatan Rakyatlah yang beliau lemparkan kesalahan yang beliau lakukan itu. Mahathir pandai ‘baling batu sembunyi tangan’.

Tetapi secara beransur-ansur rakyat memahami keadaan dan cerita yang sebenarnya, seperti kita secara deras mengenali siapa Najib yang sebenarnya. Itu sebabnya pertukaran pemerintah negara ini adalah satu perkara yang terlalu wajar untuk dilakukan oleh kita.