Kecelaruan yang negara alami
kini, bukannya kerana masalah yang disebabkan oleh rakyat sebenarnya. Masalah
yang ada pada hari ini adalah masalah yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin
kita. Rakyat tidak memberi masalah kepada kerajaan. Sebaliknya kerajaan dan
pimpinanlah yang memberikan masalah kepada rakyat sehinggakan rakyat sudah
berang di dalam hati mereka yang menyebabkan mereka mempersoalkan segala tindak-tanduk pimpinan dan parti yang memerintah negara kita sekarang ini.
Isu yang terbesar di dalam negara
kini ialah rasuah yang menyebabkan sistem kerajaan sekarang hampir lumpuh kalau
kita sandarkan penilaian kita dengan negara-negara maju. Rasuah ini dilakukan
oleh pemimpin-pemimpin justeru itu telah menyebabkan banyak perkara yang tidak
betul lagi berlaku di hadapan mata rakyat.
Saya tertarik dengan cadangan Lim
Guan Eng, Setiausaha Agong DAP, yang telah pun melakukan usaha yang bertanggungjawab
mematikan budaya rasuah di negeri Pulau Pinang yang beliau tadbir. Beliau
mencadangkan beberapa cara untuk menghapuskan rasuah seperti yang beliau
sendiri telah lakukan di Pulau Pinang sejak beliau mentadbir negeri itu.
Di antaranya setiap ahli-ahli
Pentadbir Negeri dari exco kerajaan serta pegawai pelaksana mengisytiharkan
harta mereka. Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka termasuk akaun
bank mereka di dalam dan di luar negara. Cara ini amat penting dilakukan kerana
rakyat yang telah memberikan mereka mandat mahukan mereka mentadbir dengan
bersih dan menghilangkan keraguan tentang kebersihan mereka menjaga harta benda
rakyat.
Cadangan yang lainnya ialah
memastikan tidak ada ahli keluarga pemerintah yang terlibat dengan kontrak
kerajaan dan ini merupakan satu cadangan yang sepatutnya sudah lama
dilaksanakan oleh BN tetapi tidak dilakukan. Etika ini memang menjadi pakaian
di negara negara maju di dunia ini. Tetapi di negara ini pemimpin-pemimpin kita
tidak termampu untuk melakukannya kerana kedudukan mereka itu merupakan modal
perniagaan bagi mereka dan keluarga serta kroni-kroni mereka.
Seperti yang dicadangkan oleh Lim
Guan Eng pengisytiharan aset semestinya di‘institutionalized’kan kerana ia merupakan
elemen yang terpenting dalam menjaga intergiti sesuatu kerajaan itu. Ini pun
yang dilakukan oleh kerajaan negara-negara maju dan kebaikan amalan ini sepatutnya
menjadi ikutan kita kerana ia adalah cara yang terbaik untuk menjaga rakyat dan
negara. LGE telah memperkuatkan tindakan pengisytiharan harta ini dengan
membuat pengesahan dari ‘akauntan bertauliah’ yang tidak boleh dipersoalkan
kredibilti mereka.
Tetapi kalau kita hendak meniru
dan menjadikan negara-negara mundur di Afrika seperti Zimbabwe dan
sebagainya Najib dan BN tidak payah untuk bergegar-gegar berucap dan beretorik
untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelangnya tahun 2020. Tidak
mungkin negara kita akan menjadi negara maju sedangkan kita masih terhambat
oleh mentaliti politik dan kerajaan dunia ketiga. Tidak mungkin kita akan
menjadi rakyat negara maju jika mentaliti kita masing masing berunsurkan mentaliti
dunia ketiga.
Saya pernah diberitahu oleh
rakan yang pernah duduk di dalam kabinet kerajaan hari ini yang ramai di antara
menteri-menteri kita tidak bersetuju untuk mengisytiharkan harta benda mereka
kepada umum. Sebab yang menyebabkan mereka tidak mahu mengisytiharkan harta
mereka itu bukanlah susah untuk difahami. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan
ialah kerana mereka tidak mahu diketahui umum tentang cara dan bagaimana mereka
boleh melonggokkan sejumlah harta yang begitu banyak dengan rumah-rumah mewah,
kereta mewah dan segala-galanya mewah.
Itu sebabnya selalu saya katakan
rasuah sentiasa tidak membenarkan kita melakukan kebaikan kerana melakukan
kebaikan itu akan menyekat masa depan perasuah negara. Kadang-kadang kita tidak
memahami kenapa begitu degil dan payah sangat bagi pimpinan kita untuk
melakukan kerja yang baik dan menjadi amalan di dalam negara-negara maju.
Sekarang kita mempunyai barisan
pemimpin yang tidak mahu mengisytiharkan harta mereka di dalam dan di luar
negara kerana mereka mendapatkan semua wang ringgit yang besar itu melalui
kedudukan mereka di dalam kerajaan, dan itu adalah cara rasuah.
Pengistiharan harta ini tidak
mungkin boleh berlaku selagi barisan pimpinan ini menerajui kita dan selagi
mereka boleh melakukannya rasuah ini tidak akan berhenti kerana seperti yang
saya sebutkan rasuah ini merupakan ketagihan oleh pimpinan kita. Seperti
penagih dadah, penagih rasuah juga tidak akan aman hidup mereka tanpa melakukan
rasuah.
Oleh itu kita perlu melakukan
sesuatu untuk rakyat Malaysia
setanding dengan negara-negara maju dalam mana rakyatnya hanya memilih kerajaan
yang bersih dan ‘sustainable’ kebersihan daripada rasuah ini. Untuk menjadikan
negara kita sebagai negara maju, sikap dan nilai, dan persepsi kita terhadap
keterbukaan ini amat penting diperbetulkan.
Beberapa cadangan yang diutarakan oleh Lim Guan Eng itu sememangnya senang dilakukan jika semua pihak
jujur dan ikhlas untuk melihat negara kita ditadbir oleh pimpinan yang bersih
dan beretika. LGE sendiri sedang melaksanakannya dan tidak nampak kenapa pimpinan
kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri tadbiran BN tidak mahu
melakukannya. Malahan apa yang dilakukan oleh LGE ini tidak digemari oleh BN
kerana BN sememangnya tidak senang kerana rakyat telah nampak apa yang baik
yang ada jika PR mentadbir negeri dan negara kita.
Tidak ada sebab langsung. Tetapi
jika ada sebabnya ia tidak lain dan tidak bukan, ialah kerana mereka tidak mahu
terbongkar segala kegiatan yang berunsur rasuah dan salahguna kuasa. LGE dan
kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR telah pun melakukannya. Bila pula
kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri-negari tadbiran BN pula mahu
melakukannya? Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan yang rakyat
masih ada harapan untuk melihat negara kita dapat diselamatkan daripada bankrap
dan kejatuhan tamadunnya.
Jika peluang dan harapan ini
tidak diambil kesempatan oleh rakyat maka rakyat tidak boleh lagi menyalahkan
sesiapa selepas ini. Rakyat masih boleh melakukan usaha-usaha menyelamatkan
negara kita daripada dirompak dan menjadi mangsa oleh pemimpin-pemimpin yang sudah
ketagihan rasuah ini. Harapan rakyat ini hanya boleh dilakukan dengan
meninggalkan yang buruk dan pergi ke arah kebaikan. Rakyat telah pun nampak
di mana dan bagaimana untuk mendapatkan kebaikan itu. Berfikir dan lakukannya
dengan baik dan terhormat.
Tentulah kebaikan itu akan mula kita
perolehi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Jangan was-was kerana sikap
was-was ini merupakan sikap yang terkeji.