19 November 2012

Kita hanya merancang, Tuhan menjadi penentu

Barisan Nasional tidak dapat meyorokkan perasaan gelabah dan runsing mereka apabila rakyat sudah menyedari yang UMNO itu bukanlah sebuah parti yang ‘invincible’ dan tidak boleh diketepikan oleh sesiapa pun. Malangnya kesedaran mereka (UMNO) sudah agak terlambat kerana selama ini UMNO terlalu lalai dan tidak mengambil tahu yang partinya itu bukannya parti yang tidak boleh diketepikan oleh rakyat. Mereka sudah mula sedar yang rakyat sudah lama memerhati dan menilai mereka dan kini sedang berada di saat mereka untuk membuat keputusan yang ‘decisive’ dalam PRU yang akan datang ini.

Maka pimpinan BN buat pertama kali dalam sejarah negara tidak berani mengadakan pilihanraya walaupun ia telah dipimpin oleh pengganti kapada penerima mandat Abdullah Badawi dahulu. Inilah kali pertama kita mempunyai seorang PM yang belum mendapat pengesahan rakyat untuk beliau duduk di kerusi PM itu.  Tidak mungkin Najib tidak memanggil pilihanraya lebih awal itu kerana sebab-sebab yang lain. Beliau tidak berkeyakinan untuk berjaya mempertahankan parti yang baru beliau pimpin itu.

Selain daripada masalah kejatuhan sokongan orang Melayu termasuk ahli-ahlinya sendiri, UMNO juga sedang menghadapi masalah dalaman yang semakin hari semakin parah. Keadaan ini sedang berlaku tetapi oleh kerana tumpuan UMNO ialah untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat maka pergolakan itu tidak terlihat oleh orang ramai secara jelas. Hanya mereka yang terlibat sahajalah yang tahu dan mampu memberikan penjelasan.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi UMNO jika kita dapat rumusan semuanya ini?

Pertamanya, UMNO terpaksa berhadapan dengan pengaruh PR yang semakin menular di kalangan rakyat. Rakyat sudah sedar, rupa-rupanya bukannya satu tindakan jenayah jika mereka memberikan sokongan kepada pihak lain dari UMNO dan BN itu. Rakyat telah menikmati bukti-bukti yang jelas setelah mereka mencuba-cubanya dengan memberikan ruang dan kesempatan untuk pihak dan parti lain dari UMNO untuk mentadbir negara. Mereka telah nampak apa yang berlaku di empat buah negeri yang ditadbir oleh PR itu mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, jauh lebih baik dari BN selama ini.

Keduanya, UMNO sendiri bermasalah dalaman yang tidak kurang hebatnya oleh kerana sikap Najib yang ‘flip-flop’ dalam banyak hal serta permainan ‘chah keting’ yang menular di setiap peringkat parti itu. Apabila Najib menunjukan kelemahannya, kesempatan telah diambil oleh kumpulan dan pihak-pihak yang sedang menitik air liur untuk mengambilalih tanggungjawab untuk menjadi PM yang ke-7 itu.

Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah keadaan berpuak-puak di dalam parti. Seperti seorang Raja yang sedang gering maka ramailah datang berpusu-pusu untuk memberikan ampuan kepada ‘Raja Muda’ yang mereka sangka akan mengambil alih jawatan tertinggi itu. Saya mempunyai keyakinan dan sedikit ‘authority’ untuk bercakap tentang isu ini kerana saya berada di dalam parti itu selama empat dekad lamanya. Saya dengan mudah sahaja boleh megetahui apa yang sedang berlaku di dalam parti yang sudah uzur itu.

Itulah sebabnya saya sibuk melayani rakan-rakan lama dalam UMNO mendengar rintihan mereka kerana mereka selesa untuk mengadu dengan saya untuk mendengar rintihan mereka. Ramai di antara mereka memberikan kata-kata perangsang kepada saya untuk terus bersama DAP dan Pakatan Rakyat kerana mereka sendiri akan memberikan sokongan secara senyap-senyap kepada PR dalam PRU yang akan datang ini. Hanya mereka ini belum lagi mempunyai kudrat dan keberanian untuk berkata benar secara terbuka.

Tetapi saya tetap berkawan dan bersahabat dengan mereka sebagai rakan yang sudah begitu lama dengan saya. Walaupun saya tidak akan berundur dari keputusan meninggalkan UMNO mereka tetap bersahabat dengan saya dan akan memberikan sokongan kepada saya. Saya bersyukur, di mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan begitu ramai sahabat-sahabat lama menunggu saya walaupun mereka masih di dalam UMNO.

Malahan ramai di antara mereka telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan ‘decisive’ kali ini dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Ribuan telah berjumpa saya selama ini apabila saya melawat mereka sambil-sambil menerima jemputan ceramah di mana-mana. Apa yang dilakukan oleh BN sekarang wajar kita fahami. Mereka (BN) sedang dalam keresahan kerana selama ini mereka menganggap kuasa itu hanya untuk mereka. Mereka baru sedar yang sebenarnya rakyatlah yang berkuasa bukannya mereka (BN).

Oleh kerana rakyat sudah merasa sedikit kenikmatan hasil daripada pimpinan PR di empat buah negeri maka pengaruh itu telah menyemarakkan niat dan usaha untuk mereka memberikan mandat kepada PR untuk mentadbir Putrajaya. Menyedari inilah yang membuatkan pimpinan UMNO itu terdesak dan melakukan segala kerja-kerja aib untuk menahan kemaraan PR ke Putrajaya.

Seperti yang saya sebut tadi, UMNO mempunyai masalah dalamannya sendiri yang saya rasa akan terbongkar tidak lama lagi. Najib nampaknya keseorangan sahaja dan tidak ramai pimpinan yang nampak bersama beliau kerana ramai di antara mereka tidak bersetuju dengan tindakan Najib dalam menghadapi tekanan pihak Pakatan Rakyat. Hanya disebabkan mereka hendak menunjukkan yang mereka bersatu, mereka di antara mereka sebenarnya dalam krisis. Krisis ini melibatkan pimpinan atasan dan kegelisahan di antara pimpinan ini berpaksikan yang mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib.

UMNO berpuak kerana mereka sekarang mahukan Muhyiddin untuk mengambil alih secepat yang mungkin, jika boleh sebelum PRU ini. Mereka percaya yang BN akan menghadapi kekalahan dan mereka mahukan Najib tidak lagi mengetuai pilihanraya ini kerana Najib mempunyai terlalu banyak isu yang ada di hadapannya. Perasaan ini turun sampai ke peringkat bawahan seperti di peringkat negeri. Kebanyakan mereka hanya menunggu untuk ‘Raja Muda’ UMNO untuik menaiki tangga kepimpinan negara.

Banyak di antara isu terhadap Najib itu digembar-gemburkan oleh pihak yang mahu Najib berhenti dan bukannya oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini selalu menyarankan kepada UMNO supaya membersihkan halaman masing-masing sebelum hendak membersihkan halaman orang. Kerja memperbaiki parti mereka lebih afdal dari menempelak pembangkang. Najib patut perhatikan apa yang sedang berlaku dalam Pemuda juga. Pemuda pun sedang bercelaru dan tidak terperanjat jika ada kejutan berlaku dalam Pemuda tidak berapa lama lagi.

Saya suka mengulangi yang perpecahan dalam UMNO akan lebih jelas sejurus sahaja calon-calon ‘winnable’ UMNO diumumkan dan keadaan perpecahan dalam UMNO itu bukan dilakukan oleh pembangkang. Pendeknya, Najib sedang dan akan berhadapan dengan pembangkang di hadapannya tetapi musuh yang paling merbahaya bagi PM ini ialah dari kumpulan di dalam UMNO itu sendiri.

Saya tidak tahu bagaimana UMNO boleh ‘survive’ kerana musuhnya terlalu besar dan yang lebih membimbangkan mereka ialah musuh-musuh yang berada di dalam selimut mereka sendiri.

Tentu Dr Mahathir tahu apa yang berlaku di dalam UMNO ini dengan lebih terperinci kerana beliau sendiri memainkan peranan untuk menurunkan dan menaikkan satu pihak lain di dalam UMNO yang sudah lusuh itu. Beliau tidak akan berhenti berperanan seperti ini kerana itu adalah sikap beliau yang tidak dapat dikawal oleh dirinya sendiri.

Hanya saya berharap dan berdoa tidak ada pemimpin seperti Dr M ini dalam pihak Pakatan Rakyat kerana jika ada tidak akan terjumpa keamanan seperti yang kita cita-citakan itu. Kita tidak mahu berulang apa yang berlaku di dalam UMNO dan BN itu selepas merngambil alih Putrajaya jika diizin Tuhan.

Kita hanya merancang, Tuhan sahajalah yang menjadi penentu terhadap segala-galanya. Kita wajar mengakui hakikat ini jika kita benar-benar berTuhan dan beragama. Kita wajar akur dan mengakui yang kerja Tuhan  penuh misteri. Tetapi jika didasarkan kepada hukum akal Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kemenangan.

Jika DIA berkehendak semuanya boleh berlaku.

18 November 2012

Kalau membaca Utusan Malaysia, bacalah dengan terbalik

Banyak kritikan terhadap Utusan Malaysia kerana akhbar itu memainkan isu-isu untuk memecah-belahkan rakyat. Utusan merupakan akhbar untuk UMNO kerana akhbar itu kepunyaan UMNO. Utusan itu merupakan ‘kuda pelejang’ untuk UMNO dan apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO itu adalah kerja baik dari sudut pandangan Utusan. Utusan sudah hilang kredibiltinya yang tidak mungkin dapat dipulihkan lagi.

Tetapi kalau kita pandang dari sudut yang lain ada caranya untuk menganggap Utusan itu akhbar yang mampu untuk memberikan kita berita dan rencana yang baik untuk kita. TETAPI untuk melakukannya ia bersyarat.

Syaratnya hanya satu: iaitu kita mesti ada formula untuk melakukannya. Seperti matematik formula adalah penting untuk mendapat jawapan yang tepat. Formulanya ialah, kita mesti membacanya dengan terbalik. Membaca dengan terbalik adalah jalan terbaik untuk mendapat kebenaran dari Utusan.

Maksud saya jika Utusan mengatakan yang mereka akan dapat merampas Selangor, P Pinang, Kedah dan Kelantan maka yang benarnya ialah ia tidak mungkin tercapai. Jika Utusan kata Himpunan Kebangkitan rakyat di Senawang dan Kota Bharu  itu tidak berjaya ia bermakna himpunan itu telah berjaya.

Utusan pernah berkata yang BN akan mendapat 140 kerusi parlimen dalam pilihanraya nanti, ia bermakna 140 kerusi itu akan didapati oleh Pakatan Rakyat. Kita juga telah melihat Utusan sentiasa mengatakan yang negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat tidak berkemampuan tetapi yang sebenarnya negeri-negeri inilah yang telah menunjukkan prestasi yang baik dan diakui oleh Ketua Audit Negara.

Utusan mengatakan yang PR tidak berkepimpinan maka yang sebenarnya BNlah yang tiada kepimpinan sehinggakan ahli-ahli UMNO sendiri tertanya-tanya siapa yang akan menjadi MB Selangor jika BN memenangi Selangor. Begitu juga di NS tidak ada siapa yang mampu untuk menggantikan Mohamad Hasan jika BN masih berkuasa dan mendapat mandat sedangkan Mohamad Hasan wajib diganti. Bagaimana Utusan boleh mengatakan UMNO itu sarat dengan kepimpinan? Utusan tidak sedar yang kepimpinan UMNO sudah mula susut sejak Mahathir mengambil alih kepimpinan negara.

Saya menulis isu ini kerana masih ramai yang terpedaya dengan dakyah Utusan yang tidak bertanggungjawab itu. Utusan sekarang sudah hilang matlamat dan tujuan asal penubuhannya. Matlamat Utusan ialah untuk memenjarakan pemikiran rakyat terutamanya orang Melayu. Utusan tidak mampu menyedari yang rakyat boleh menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Utusan masih dengan sifat dan ‘attribute’ lamanya iaitu mengeliru dan menyesatkan pemikiran ramai untuk mengekalkan kuasa.

Saya juga menulis tentang isu ini kerana kita boleh agak apa yang akan dilakukan oleh Utusan dalam pilihanraya nanti. Saya juga pernah menulis tentang TV3 kerana TV3 juga mempunyai ‘attribute’ yang sama seperti Utusan. Itulah sebabnya saluran TV itu sudah mula turun ‘rating’nya dan ia tidak mustahil menghadapi pengalaman yang sama seperti yang dialami oleh Utusan.

Satu lagi formula apabila hendak membaca Utusan itu, dengan membaca ‘auzubillah’ 33 kali sebelum membuka dan membaca akhbar itu. Jangan lupa apabila membacanya, mesti membacanya dengan terbalik.

17 November 2012

Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk ke Putrajaya

Muktamar PAS kali yang ke-58 memberangsangkan Rakyat. Muktamar kali ini merupakan muktamar yang terakhir sebelum PRU diadakan jika pilihanraya benar-benar akan diadakan. Muktamar di Putik Kelantan ini amat memberikan semangat kepada pihak yang inginkan perubahan kerana tanda-tandanya semakin hari semakin jelas tentang kejayaannya.

Semasa menyampaikan ucapan dasarnya, Tok Guru Hj Hadi Awang (TGHA) telah menyentuh isu-isu politik secara menyeluruh dan mampan serta sangat penting untuk diikuti dan ditarbiyah secara menyeluruh oleh sesiapa yang berminat tentang perkembangan dan kemajuan PAS sebagai satu dari tiga komponen penting dalam Pakatan Rakyat.

Yang menariknya ucapan itu juga telah menyentuh tentang apa yang bakal dihadapi oleh PAS dan PR semasa menghadapi PRU itu nanti. TGHA telah meminta semua ahli-ahli dan penyokong serta unit amal parti supaya menjalankan tugas dengan bijaksana dan tekun untuk menghadapi ombak pertahanan BN khususnya UMNO iaitu pencurahan wang yang berbilion ringgit. Wang merupakan senjata yang terakhir untuk BN kerana untuk mendapatkan sokongan dan dokongan rakyat secara sukarela dengan perjuangan sudah tidak wujud lagi di dalam UMNO dan BN.

UMNO akan menggunakan wang yang banyak untuk membeli undi dan ia akan memakan jumlah yang besar dan wang itu tentulah datangnya dari sumber rasuah. Wang rakyat sendiri yang telah dicuri secara sistematik oleh pimpinan UMNO. UMNO sudah tidak ada sokongan, maka parti itu terpaksa membeli perasaan dan jiwa orang Melayu khususnya. Wang jugalah yang akan digunakan untuk menyatukan ahli-ahlinya semasa PRU itu nanti kerana UMNO akan mula berpecah di peringkat bawahan sejurus calon-calon mereka diumumkan.

TGHA juga menyentuh tentang pentingnya PAS bersedia dengan media massa alternatif yang efektif seperti Harakah dan Harakah on line. Untuk menafikan fitnah dan cemuhan yang akan dilakukan oleh UMNO khususnya oleh Utusan serta kumpulan New Straits Times yang berpihak kepada parti kerajaan secara tidak beretika selama ini.

Presiden PAS itu juga telah menelah yang UMNO akan memainkan isu perkauman dengan hebat sekali kerana UMNO kini sudah begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. UMNO sedar yang rakan kongsinya MCA tidak lagi dihormati oleh bangsanya sendiri yang kini sedang memberikan sokongan yang padu kepada PR.

TGHA juga telah memperbaharui azam PAS untuk bersama-sama PR untuk menjayakan cita-cita pembaharuan untuk negara ini. UMNO dan BN akan berterusan untuk memisahkan di antara parti-parti yang ada di dalam Pakatan Rakyat kerana itu sahajalah yang tinggal harapan BN untuk terus mendapatkan mandat bagi menyambung kuasa yang tinggal hanya beberapa bulan sahaja lagi ini.

UMNO tidak akan ada sempadan dalam tindakan mereka mempertahankan kedudukan mereka. Ia akan melampaui batas undang-undang serta etika berpolitik secocok dengan sebuah negara yang mengaku sebagai negara demokrasi.

UMNO akan sanggup untuk menjadikan negara ini kucar-kacir asalkan mereka dapat mempertahankan kuasa mereka. Sebutkan apa sahaja, mereka akan lakukan. UMNO tidak dapat menyerapi unsur demokrasi di dalam pemikiran mereka. Bagi mereka demokrasi itu adalah kemenangan untuk mereka sahaja. Jika mereka kalah dan tidak mendapat mandat itu bukanlah demokrasi bagi mereka.

Tidak ada ruang di dalam artikel ini untuk memberikan ulasan secara ‘detail’ terhadap ucapan yang mantap TGHA ini tetapi cukup bagi saya memberikan gambaran yang ucapan telah menyentuh bidang ekonomi sebagai sebuah negara berkebajikan yang menjadi tuntutan agama itu. TGHA juga telah menyentuh tentang isu sosial yang mendesak untuk diselesaikan serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita.

TGHA telah berkata dengan terang dan jelas yang PAS sudah bersiap sedia untuk menuju ke Putrajaya bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat dan tidak mempunyai masalah untuk membuktikan kepada rakyat yang PR mampu untuk membuktikan kelainan dalam pentadbiran baru negara nanti.

Di dalam muktamar ini juga PAS telah menerima permohonan dari seorang bekas pegawai tinggi kerajaan iaitu Tuan Haji Nahwari Hashim sebagai ahli PAS dan ini merupakan lanjutan kepada tindakan ramai bekas pegawai kerajaan yang menyertai PAS sebelum ini PAS nampaknya semakin jelas merupakan parti pilihan bagi orang Melayu seperti juga parti-parti lain dalam Pakatan dan ini adalah pemangkin kepada PAS untuk menjadi parti yang mendapat sokongan setiap lapisan rakyat yang berbilang kaum ini.

Sempena muktamar ini juga telah diadakan Himpunan Rakyat yang sangat besar kehadirannya di Stadium Sultan Mohamad ke-4. Seramai 30,000 ribu rakyat jelata telah membanjiri stadium itu untuk menunjukkan kepada ramai yang rakyat benar-benar serius untuk melakukan perubahan kali ini. Mereka ini datang tanpa dibayar dan diberi makan karipap dan sebagainya, jauh sekali untuk diberikan baju T atau topi dan perkara-perkara yang lain seperti yang terpaksa diadakan oleh UMNO jika hendak membuat perhimpunan mereka. Satu-satu perhimpunan yang hendak dilakukan oleh UMNO akan memaksa parti itu berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menjayakannya.

PAS yang difahamkan akan bertanding di 70 kawasan parlimen akan memenangi jauh lebih banyak kerusi dari yang mereka dapati semasa PRU 2008 dahulu. PAS tidak syak lagi akan menjadi parti yang dominan dalam pentadbiran baru nanti dan saya secara peribadi tertunggu-tunggu ‘ambience’ politik yang baru itu.

PR akan membuktikan yang mereka lebih baik daripada pentadbiran BN. Seperti biasa dalam politik penilaiannya adalah secara relatif. Tetapi PR pasti merupakan ‘coalition’ yang lebih baik daripada BN.

Seperti yang saya sebutkan selalu, ‘the worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of Barisan Nasional’. Yang ‘perfect’ hanya ada pada Maha Pencipta, Allah SWT sahaja.

16 November 2012

Dengan UMNO, kalau nak berniaga durian pun tak boleh

Semalam saya terbaca tulisan sahabat saya, MSO di dalam blog beliau dalam mana beliau telah menceritakan kepada umum tentang pertemuan seorang pegawai tinggi PDRM dengan Tok Guru Nik Aziz baru-baru ini. Pegawai tersebut diiringi oleh bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah yang saya kenali sejak bersama di kampus dahulu.

Jika benar kunjungan dan perjumpaan ini ada kena mengena dengan perpaduan Melayu (UMNO dengan PAS) ia merupakan satu usaha yang agak terlambat kerana kebanyakan orang Melayu memangnya mahu perpaduan itu, tetapi perpaduan itu mestilah di luar UMNO. Melayu telah begitu lama berpadu di bawah UMNO tetapi apa yang kita alami sekarang ini menunjukkan yang UMNO bukanlah wadah yang relevan buat masa ini untuk menyatukan orang Melayu.

Bagaimana UMNO mampu untuk menyatukan orang Melayu sedangkan orang Melayu sendiri sedang keluar beramai-ramai dari UMNO. Jika tidak keluar secara rasmi mereka akan keluar melalui sokongan mereka terhadap PR di dalam peti undi semasa pilihanraya nanti. Bagaimana mungkin PAS boleh berbincang dengan UMNO sedangkan tindakan itu akan melemahkan PAS itu sendiri. Tidak ada rasionalnya PAS untuk memikul ‘baggage’ UMNO yang terlalu ‘excessive’, besar dan berat itu.

Jika benar tujuan pegawai-pegawai itu berjumpa TGNA untuk mengusahakan perpaduan Melayu, UMNO sepatutnya menjadi pengikut dan bukannya memberikan syarat-syarat semata-mata untuk memberikan parti yang hampir lumpuh itu nyawa untuk berkuasa lagi. Bagaimana parti yang bertanggungjawab terhadap perpecahan Melayu ini menjadi pemain utama untuk penyatuan ini kerana ia akan hanya memberikan masalah besar bagi pencapaian matlamat itu.

Bagi saya jika PAS tunduk dengan permainan UMNO itu, rakyat akan kecewa kerana rakyat sudah tidak lagi berkeyakinan dengan parti itu. Rakyat yang ramai sedang berusaha untuk merehatkan parti itu buat sementara waktu atau selama-lamanya, bergantung kepada tingkah dan lakunya di hadapan rakyat pada masa-masa yang akan datang.

Apa yang penting sekarang ialah matlamat PR itu sendiri yang bercita-cita kuat untuk mencapai perpaduan kaum yang sedang terjalin dengan kuatnya dalam Pakatan Rakyat sekarang. UMNO yang begitu hipokrit tidak mampu untuk mencapai matlamat yang ‘ultimate’ iaitu perpaduan di antara kaum yang berbilang kaum sekarang ini. UMNO bercakap tentang perpaduan kaum di hadapan rakyat tetapi dalam praktisnya penyokong-penyokongnya masih memainkan isu perkauman yang menebal di peringkat bawahan. UMNO tidak mampu untuk mendisplinkan ahli-ahli dan penyokongnya sedang perpaduan itu amat penting berlaku di peringkat akar umbi.

UMNO mahu kekal berkuasa dengan tipu helah yang keterlaluan tetapi tidak berusaha untuk mendapatkan sokongan dengan manampilkan sikap dan teladan yang baik kepada rakyat. UMNO tertunduk-tunduk dengan MCA yang chauvinis perkauman itu dengan membiarkan Islam dan undang-undang hududnya secara terbuka dan rasmi. UMNO tidak termampu lagi untuk memimpin parti-parti dalam BN itu sendiri. Jadi bagaimana ianya boleh berkemampuan untuk memimpin rakyat dengan baik dan telus? UMNO seperti orang yang hilang akal yang mundar-mandir di jalanan kerana tidak berkesanggupan untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang seperti orang yang fasik yang tidak lagi tahu untuk membezakan yang mana satu tangan untuk makan dan yang mana untuk digunakan untuk beristinjak. UMNO tidak lagi mempunyai roh perjuangan kerana terpengaruh dengan bisikan khatir atau iblis, yang sentiasa mahu parti itu sesat-barat dalam perjuangan memimpin rakyat dan negara.

UMNO terlalu banyak perkara yang hendak ditutupinya. Tetapi bak kata perpatah, bagaimana 'UMNO hendak menutupi bangkai gajah dengan nyiru'? Rakyat tidak lagi mengambil hirau tentang UMNO sekarang ini kerana pemimpin-pemimpin mereka sendiri tidak menghiraukan ‘dignity’ parti itu. Justeru, bagaimana rakyat hendak meneruskan sokongan terhadap parti yang tidak lagi mempunyai harga diri itu? Bagaimana PAS yang merupakan parti politik yang masih mempunyai ‘attribute’ boleh berjuang dengan UMNO yang rakyat mereka sudah memahaminya sebagai parti taukeh-taukeh dari pucuk pimpinan sampailah ke bawah-bawah ini?

Sikap dan sifat UMNO sebagai parti rasuah itu memang membuatkan rakyat naik mual dengannya. Tugas pemimpin-pemimpin UMNO yang berkuasa hanyalah untuk mengambil wang rakyat dalam perbendaharaan dengan sistem rasuah yang halus. Mereka bukan setakat mencuri apa yang ada di dalam perbendaharan kita tetapi mereka juga sedang berusaha untuk mencuri wang yang ada di dalam poket rakyat sekarang ini.

Perlaksanaan AES yang baru dilaksanakan sekarang ini merupakan satu tindakan yang tidak berhati perut. Sebenarnya rakyat tidak membantah jika saman-saman itu dimasukkan seratus peratus ke dalam perbendaharaan negara tetapi sebahagian besar dari kutipan saman itu masuk ke dalam poket kroni-kroni UMNO yang tamak haloba itu. Bagaimana saman terhadap kesalahan lalulintas itu diambil oleh syarikat kroni kerajaan dan pimpinan kita?

Kerja seperti ini adalah kerja yang dianggap gila kerana terlalu jelas ada pihak di kalangan yang hampir dengan pemimpin kita sedang menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan yang tidak ada tolok banding jumlahnya. Ini merupakan satu bukti yang amat jelas yang UMNO merupakan parti yang menghimpit rakyat dengan tekanan ke atas semua rakyat yang berkenderaan.

Kita tidak membantah untuk memperbaiki sikap dan kelakuan pemandu-pemandu kita tetapi jika mereka (pemandu-pemandu) bersalah tidak ada di antara mereka membantah jika saman terhadap mereka itu dibayar sepenuhnya kepada perbendahaaran kerajaan. Sekarang rakyat sedang begitu berang dengan kerajaan dalam masa inilah pula, ada wakil-wakil UMNO yang ingin berbaik dan mengusahakan perpaduan Melayu bersama PAS.

Bagaimana kita hendak berbaik-baik dengan manusia yang ‘cepat tangan’ itu. Rakyat sudah letih membina pagar-pagar duri agar pencuri-pencuri tidak akan dapat mendekati perbendaharaan kita. Jika mereka masih ada bersama maka usaha membina pagar untuk menyelamatkan perbendaharaan kita dari didekati oleh pencuri dan perompak itu tidak akan sampai ke matlamatnya.

Rakyat akan terus disamun dan dicuri segala harta benda mereka sampai bila-bila. Kata perbilangan, sekali seseorang itu mencuri dia akan tetap menjadi pencuri. Dalam keadaan terdesak sekarang ini, UMNO akan lakukan apa sahaja. Perasaan malu dan silu sudah tidak lagi wujud di kalangan pimpinan UMNO itu.

Walaubagaimana pun kita berharap jika matlamat perjumpaan pegawai tinggi kerajaan berjumpa dengan TGNA itu tidak akan berjaya untuk memerangkap PAS kali ini. Dengan UMNO kita wajar mempunyai sikap, ‘suspect everybody and trust nobody’.

Bak kata sahabat saya dari Terengganu, “dengan UMNO ini kita tidak boleh berurusan lagi. Nak berniaga durian pun tidak boleh dengan mana-mana pemimpin UMNO ni. Kita akan kena tipu!”