Barisan Nasional tidak dapat
meyorokkan perasaan gelabah dan runsing mereka apabila rakyat sudah menyedari
yang UMNO itu bukanlah sebuah parti yang ‘invincible’ dan tidak boleh diketepikan oleh sesiapa pun. Malangnya kesedaran mereka (UMNO) sudah agak terlambat
kerana selama ini UMNO terlalu lalai dan tidak mengambil tahu yang partinya itu
bukannya parti yang tidak boleh diketepikan oleh rakyat. Mereka sudah mula
sedar yang rakyat sudah lama memerhati dan menilai mereka dan kini sedang
berada di saat mereka untuk membuat keputusan yang ‘decisive’ dalam PRU yang
akan datang ini.
Maka pimpinan BN buat pertama
kali dalam sejarah negara tidak berani mengadakan pilihanraya walaupun ia telah
dipimpin oleh pengganti kapada penerima mandat Abdullah Badawi dahulu. Inilah
kali pertama kita mempunyai seorang PM yang belum mendapat pengesahan rakyat
untuk beliau duduk di kerusi PM itu.
Tidak mungkin Najib tidak memanggil pilihanraya lebih awal itu kerana
sebab-sebab yang lain. Beliau tidak berkeyakinan untuk berjaya mempertahankan
parti yang baru beliau pimpin itu.
Selain daripada masalah kejatuhan
sokongan orang Melayu termasuk ahli-ahlinya sendiri, UMNO juga sedang
menghadapi masalah dalaman yang semakin hari semakin parah. Keadaan ini sedang
berlaku tetapi oleh kerana tumpuan UMNO ialah untuk menyerang parti-parti dalam
Pakatan Rakyat maka pergolakan itu tidak terlihat oleh orang ramai secara
jelas. Hanya mereka yang terlibat sahajalah yang tahu dan mampu memberikan
penjelasan.
Apakah masalah-masalah yang
dihadapi UMNO jika kita dapat rumusan semuanya ini?
Pertamanya, UMNO terpaksa
berhadapan dengan pengaruh PR yang semakin menular di kalangan rakyat. Rakyat
sudah sedar, rupa-rupanya bukannya satu tindakan jenayah jika mereka memberikan
sokongan kepada pihak lain dari UMNO dan BN itu. Rakyat telah menikmati
bukti-bukti yang jelas setelah mereka mencuba-cubanya dengan memberikan ruang
dan kesempatan untuk pihak dan parti lain dari UMNO untuk mentadbir negara.
Mereka telah nampak apa yang berlaku di empat buah negeri yang ditadbir oleh PR
itu mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, jauh lebih
baik dari BN selama ini.
Keduanya, UMNO sendiri bermasalah
dalaman yang tidak kurang hebatnya oleh kerana sikap Najib yang ‘flip-flop’
dalam banyak hal serta permainan ‘chah keting’ yang menular di setiap peringkat
parti itu. Apabila Najib menunjukan kelemahannya, kesempatan telah diambil oleh
kumpulan dan pihak-pihak yang sedang menitik air liur untuk mengambilalih
tanggungjawab untuk menjadi PM yang ke-7 itu.
Apabila keadaan ini berlaku maka
berlakulah keadaan berpuak-puak di dalam parti. Seperti seorang Raja yang sedang
gering maka ramailah datang berpusu-pusu untuk memberikan ampuan kepada ‘Raja Muda’
yang mereka sangka akan mengambil alih jawatan tertinggi itu. Saya mempunyai
keyakinan dan sedikit ‘authority’ untuk bercakap tentang isu ini kerana saya
berada di dalam parti itu selama empat dekad lamanya. Saya dengan mudah sahaja
boleh megetahui apa yang sedang berlaku di dalam parti yang sudah uzur itu.
Itulah sebabnya saya sibuk
melayani rakan-rakan lama dalam UMNO mendengar rintihan mereka kerana mereka selesa
untuk mengadu dengan saya untuk mendengar rintihan mereka. Ramai di antara
mereka memberikan kata-kata perangsang kepada saya untuk terus bersama DAP dan
Pakatan Rakyat kerana mereka sendiri akan memberikan sokongan secara
senyap-senyap kepada PR dalam PRU yang akan datang ini. Hanya mereka ini belum
lagi mempunyai kudrat dan keberanian untuk berkata benar secara terbuka.
Tetapi saya tetap berkawan dan bersahabat
dengan mereka sebagai rakan yang sudah begitu lama dengan saya. Walaupun saya
tidak akan berundur dari keputusan meninggalkan UMNO mereka tetap bersahabat
dengan saya dan akan memberikan sokongan kepada saya. Saya bersyukur, di mana
sahaja saya pergi dari utara ke selatan begitu ramai sahabat-sahabat lama
menunggu saya walaupun mereka masih di dalam UMNO.
Malahan ramai di antara mereka
telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan ‘decisive’ kali ini dengan
memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Ribuan telah berjumpa saya selama
ini apabila saya melawat mereka sambil-sambil menerima jemputan ceramah di
mana-mana. Apa yang dilakukan oleh BN sekarang wajar kita fahami. Mereka (BN)
sedang dalam keresahan kerana selama ini mereka menganggap kuasa itu hanya
untuk mereka. Mereka baru sedar yang sebenarnya rakyatlah yang berkuasa
bukannya mereka (BN).
Oleh kerana rakyat sudah merasa
sedikit kenikmatan hasil daripada pimpinan PR di empat buah negeri maka pengaruh
itu telah menyemarakkan niat dan usaha untuk mereka memberikan mandat kepada PR
untuk mentadbir Putrajaya. Menyedari inilah yang membuatkan pimpinan UMNO itu
terdesak dan melakukan segala kerja-kerja aib untuk menahan kemaraan PR ke
Putrajaya.
Seperti yang saya sebut tadi, UMNO
mempunyai masalah dalamannya sendiri yang saya rasa akan terbongkar tidak lama
lagi. Najib nampaknya keseorangan sahaja dan tidak ramai pimpinan yang nampak
bersama beliau kerana ramai di antara mereka tidak bersetuju dengan tindakan
Najib dalam menghadapi tekanan pihak Pakatan Rakyat. Hanya disebabkan mereka
hendak menunjukkan yang mereka bersatu, mereka di antara mereka sebenarnya dalam
krisis. Krisis ini melibatkan pimpinan atasan dan kegelisahan di antara
pimpinan ini berpaksikan yang mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib.
UMNO berpuak kerana mereka
sekarang mahukan Muhyiddin untuk mengambil alih secepat yang mungkin, jika
boleh sebelum PRU ini. Mereka percaya yang BN akan menghadapi kekalahan dan
mereka mahukan Najib tidak lagi mengetuai pilihanraya ini kerana Najib
mempunyai terlalu banyak isu yang ada di hadapannya. Perasaan ini turun sampai
ke peringkat bawahan seperti di peringkat negeri. Kebanyakan mereka hanya
menunggu untuk ‘Raja Muda’ UMNO untuik menaiki tangga kepimpinan negara.
Banyak di antara isu terhadap
Najib itu digembar-gemburkan oleh pihak yang mahu Najib berhenti dan bukannya
oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini selalu menyarankan kepada UMNO
supaya membersihkan halaman masing-masing sebelum hendak membersihkan halaman
orang. Kerja memperbaiki parti mereka lebih afdal dari menempelak pembangkang.
Najib patut perhatikan apa yang sedang berlaku dalam Pemuda juga. Pemuda pun
sedang bercelaru dan tidak terperanjat jika ada kejutan berlaku dalam Pemuda
tidak berapa lama lagi.
Saya suka mengulangi yang
perpecahan dalam UMNO akan lebih jelas sejurus sahaja calon-calon ‘winnable’
UMNO diumumkan dan keadaan perpecahan dalam UMNO itu bukan dilakukan oleh
pembangkang. Pendeknya, Najib sedang dan akan berhadapan dengan pembangkang
di hadapannya tetapi musuh yang paling merbahaya bagi PM ini ialah dari kumpulan
di dalam UMNO itu sendiri.
Saya tidak tahu bagaimana UMNO
boleh ‘survive’ kerana musuhnya terlalu besar dan yang lebih membimbangkan
mereka ialah musuh-musuh yang berada di dalam selimut mereka sendiri.
Tentu Dr Mahathir tahu apa yang
berlaku di dalam UMNO ini dengan lebih terperinci kerana beliau sendiri memainkan
peranan untuk menurunkan dan menaikkan satu pihak lain di dalam UMNO yang sudah
lusuh itu. Beliau tidak akan berhenti berperanan seperti ini kerana itu adalah
sikap beliau yang tidak dapat dikawal oleh dirinya sendiri.
Hanya saya berharap dan berdoa
tidak ada pemimpin seperti Dr M ini dalam pihak Pakatan Rakyat kerana jika ada
tidak akan terjumpa keamanan seperti yang kita cita-citakan itu. Kita tidak
mahu berulang apa yang berlaku di dalam UMNO dan BN itu selepas merngambil alih
Putrajaya jika diizin Tuhan.
Kita hanya merancang, Tuhan
sahajalah yang menjadi penentu terhadap segala-galanya. Kita wajar mengakui
hakikat ini jika kita benar-benar berTuhan dan beragama. Kita wajar akur dan
mengakui yang kerja Tuhan penuh misteri. Tetapi jika didasarkan kepada hukum akal Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kemenangan.
Jika DIA berkehendak semuanya
boleh berlaku.
