15 December 2012

Najib tidak boleh membisu

Apa yang dibongkar oleh Deepak dan Musa Hassan wajar mendapat jawapan dari Najib, Hishamuddin dan Muhyiddin kerana tuduhan yang di lemparkan oleh kedua-duanya, Deepak dan Musa, adalah tuduhan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO dan amat serius. Isu yang melibatkan kepimpinan negara. Negara kita adalah sebuah negara persekutuan yang berdaulat. Bagi sesebuah negara yang berdaulat Malaysia tidak wajar mempunyai pemimpin yang begitu mudah di kaitkan dengan isu-isu seperti membunuh serta isu-isu yang boleh menjejaskan kewibawaan negara kerana pemimpin besar nya di kaitkan dengan kerja yang amat hina dan menjijikkan itu.

Malaysia bukan letaknya di benua Afrika. Kita berada di rantau yang sedang membangun dan juga menjadi negara yang mengamalkan demokrasi berjiran kepada demokrasi terbesar di dunia ini. Jika di pandang dari sudut etika kepimpinan yang sebenarnya Najib sepatutnya meletakkan jawatan sebagai PM dan jawatan-jawatan dalam parti. Apabila seorang Perdana Menteri itu meletakkan jawatan maka keseluruhan kabinet beliau juga sepatutnmya meletakkan jawatan. Begitu juga mereka yang menjadi ahli-ahli Majlis Tertinggi parti. Itulah etika sebenarnya.

Selama ini kita tidak mengamalkan moral demokrasi itu dengan baik dan telus. Kita telah melanggar banyak kali etika kepimpinan bagi negara ini pada masa-masa yang lampau. Itulah sebabnya kita tidak pernah terlepas dari menghadapi masalah moral dalam kepimpinan negara kita. Pihak yang berkuasa tidak mengambil isu moral kepimpinan ini sebagi isu teras bagi kepimpinan negara. Banyak masalah negara sepatutnya telah dapat di selesaikan jika isu moral dan etika ini di ambil berat oleh mereka yang sedang berkuasa.

Dalam isu Deepak dan Musa Hassan yang sedang menjadi perbualan ramai sekarang ini, mereka yang dikaitkan, iaitu Najib dan isterinya sepatutnya tampil kedepan dan memberikan penjelasan terhadap isu yang di timbulkan oleh Deepak terutamanya. Apabila matinya seseorang wanita asing yang di kaitkan dengan orang-orang yang hampir dengan Perdana Menteri, Najib mesti tampil kehadapan dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada rakyat.

Ini sangat penting, kerana Najib itu adalah Perdana Menteri dan Rosmah itu adalah isteri kepada Perdana Menteri. Rakyat ingin tahu kenapa Rosmah mencari Deepak untuk memaksa Bala Subramaniam melakukan ‘retraction’ terhadap akuan bersumpah yang pertamanya dan menyediakan seorang peguam untuk mengadakan akuan bersumpah yang kedua. Ianya tentu ada kena mengena dengan Rosmah dan Najib. Kalau ia tidak kena mengena dengan suami isteri itu masakan mereka sibuk untuk meminta Deepak mencari Bala Subramaniam.

Jika Najib dan Rosmah tidak tampil kedepan dan memberikan penjelasan, apa yang perlu dilakukan sekarang oleh Najib ialah untuk berundur dan seluruh kabinet  patut berundur kerana ini adalah cara demokrasi dan etika kepimpinan negara yang sudah maju mengamalkannya. Itu sebabnya seseorang pemimpin bagi negara yang sedang membangun mesti menjaga kewibawaan mereka dengan tidak terlibat dengan perkara-perkara seperti pembunuhan dan rasuah serta apa jua perkara yang melanggar moral dan etika kepimpinan negara itu.

Di negara barat seperti di Amerika Syarikat dan lain-lain, seseorang yang bersedudukan dengan teman wanita tanpa pernikahan yang sah itu adalah menjadi budaya dan perkara yang biasa. Tetapi Gary Hart seorang calon ‘primary’ dari parti Demokrat telah berundur dari pemilihan itu kerana beliau di dapati pernah bersedudukan dengan seorang wanita di luar perkahwinannya. Kehidupan seperti itu adalah kehidupan yang ‘normal’ bagi orang negara barat.

Tetapi apabila isu itu di ketahui umum, Gary Hart telah mengundurkan diri dari pertandingan itu kerana semata-mata untuk menjaga etika kepimpinan dan moral negara AS itu. John Terry pernah di gugurkan sebagai ketua pasukan bola England apabila beliau di katakan mempunyai hubungan sulit dengan bekas teman wanita sahabatnya sendiri. Tindakan itu ialah untuk menjaga moral dan etika pasukan bola negara England.

Begitulah tingginya nilai moral di mana-mana negara maju jika ia berkaitan dengan kepimpinan. Nilai inilah yang kita tidak pernah mengambil pusing kerana kita menganggap pemimpin itu boleh melakukan apa sahaja yang tidak bermoral dan beretika itu.

Kita perlu ingat yang kita pimpin ini adalah negara. bukannya pemimpin persatuan silat atau persatuan pemandu teksi dan beca.

13 December 2012

Musuh Najib yang sebenarnya berada di dalam UMNO sendiri

BN sedang menghadapi zaman getirnya. Lagi hampir pilihanraya sampai, lagi banyak masalah yang timbul. Dalam ingin memenangi pilihanraya UMNO mempunyai masalah berpuak-puak yang berusaha untuk memenangi puak yang mereka sokong untuk ke hadapan. Dalam masa yang sama Najib sedang menghadapi masalah peribadi yang besar hasil dari pembongkaran oleh mereka yang rapat dengan beliau (Najib) dahulu tentang banyak perkara. Isu Altantunya dengan akuan sumpah Bala Subramaniam dan kenyataan-kenyataan Musa Hassan merupakan isu yang mencengkam pemikiran Najib dan keluarga sekarang ini.

Masalah yang di hadapi Najib ini tidak pula mendapat sokongan dari dalam UMNO sendiri kerana terlalu ramai dalam UMNO sendiri mahukan Najib berundur selepas keputusan pilihanraya yang dijangka buruk diumumkan. Ramai di dalam UMNO mahukan UMNO dan BN hanya memenangi jumlah kerusi yang kurang dari apa yang di dapati dalam pilihanraya yang lalu. Jika ini berlaku maka mudahlah bagi ‘Raja Muda’ UMNO mengambilalih jawatan yang di sandang oleh Najib sekarang ini.

Najib nampaknya kesaorangan kerana dalam UMNO sendiri terlalu ramai yang berkeyakinan UMNO akan tumpas dan jika mendapat kemenangan pun UMNO akan hanya mendapat kemenangan tipis. Dalam kedua-dua situasi ini Najib terpaksa berundur dan melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan. Bagaimana situasi ini boleh berlaku, ia merupakan ulangan sejarah dalam UMNO kerana perkara seperti ini sememang nya biasa berlaku dalam parti itu.

Hanya kali ini perpecahan yang berlaku akan menjahanamkan UMNO buat selama-lamanya kerana kekuatan Pakatan Rakyat yang menonjol dan jelas mendapat dukungan rakyat berbilang kaum sekarang ini. Najib sebagaimana yang saya sebutkan selalu, mempunyai musuh yang lebih ramai di dalam UMNO itu sendiri daripada musuh di luar parti itu.. Najib sedang berhadapan dengan musuh di hadapan beliau iaitu pihak pembangkang dan musuh yang lebih merbahaya sekali, iaitu musuh beliau yang berada di dalam UMNO itu sendiri.

Ramai di dalam UMNO itu sendiri sudah merasakan yang UMNO itu sudah menjadi parti yang semakin hari semakin kurang mendapat  keyakinan dari ahli-ahlinya sendiri. Elemen yang akan menjatuhkan UMNO itu bukannya disebabkan kekuatan pembangkang semata-mata, tetapi yang akan menjadikan UMNO itu kecundang ialah kerana kekurangan keyakinan di kalangan ahli-ahlinya sendiri.

Persoalan yang mesti kita bertanya kenapa UMNO itu semakin hari semakin tidak di yakini oleh ahli-ahlinya sendiri?

Salah satu dari sebabnya ialah kerana pucuk pimpinannya yang mempunyai terlalu besar masalah yang terpaksa memikul ‘baggage’ nya yang terlalu berat. Ahli-ahli UMNO yang pada asasnya tidak mempunyai daya juang yang kuat akan mudah merasa rendah diri apabila mereka melihat kemaraan Pakatan Rakyat yang semakain kuat dan di sebelah diri masing-masing melihat masalah peribadi pucuk pimpinan mereka yang terlalu besar.

Apa yang menjadi masalah lagi ialah, tidak ramai pimpinan UMNO itu sendiri yang bingkas mempertahankan Presidennya sendiri kerana di dalam hati mereka yakin yang isu-isu serta tuduhan  terhadap Presidennya itu ada asasnya dan mereka merasakan mempertahankan Najib itu akan mencederakan kredibiliti mereka sendiri. Malahan ramai di antara mereka tidak mahu di ‘associate’ kan dengan Dato Najib dan lebih mempunyai kecenderungan untuk mengaku untuk berpihak kepada Muhyiddin Yassin.

Di belakang tabir ramai di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri mahukan banyak kerusi di menangi oleh pembangkang kerana mereka tidak mempunyai keyakinan yang Najib mampu memulihkan imej UMNO sebagai parti yang mempunyai kredibiliti. Ramai juga di kalangan pemimpin UMNO yang menangguk di air yang keroh untuk kepentingan peribadi mereka.

Menikam pimpinan dari belakang ini merupakan kemahiran ramai pimpinan UMNO. Sekarang sejarah berulang sekali lagi. Datuk Hussein Onn terpaksa mengumumkan tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 1981 selepas beliau di tandingi oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1978 dahulu. Sulaiman Palestin telah menandingi jawatan Presiden UMNO pada tahun 1978 di atas permainan “Raja Muda’ UMNO semasa itu untuk menekan Hussein berundur bagi ‘Raja Muda’ itu mengambil alih jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Usaha ‘Raja Muda’ UMNO itu berjaya dan kejayaannya membaling batu sembunyi tangan itu menempatkan beliau menjadi Presiden UMNO secara percuma dalam tahun 1981 dan beliau telah mula memecahkan UMNO dengan melagakan Tengku Razaleigh dan Musa Hitam dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO dan inilah cara pemimpin yang saya selalu sebutkan namanya di dalam blog ini bermain politik. Secara sistematik beliau telah menghapuskan semua pemimpin yang berpengaruh dan mempunyai ‘consequence’ kepada negara dalam tempuh kurang dari sepuluh tahun. Tiada siapa yang beliau was-was dan cemburui akan selamat di bawah pimpinan orang ini.

Dalam permainan politik intra UMNO sekarang ini pun, beliau adalah pemain utamanya dan jika di ikutkan kehendak hatinya beliau mahukan Najib berhenti dan memberikan kuasa kepada Muhyiddin. Itulah sebabnya saya selalu berkata UMNO tidak perlu berdepan dengan pembangkang untuk tumpas, tetapi UMNO wajar berperang sesama sendiri terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan pembangkang.

Dalam pada Najib terdesak dengan permainan ini beliau terpaksa tunduk juga kepada pengaruh orang ini dan beliau (Najib) telah mengikut telunjuk dan kerenah orang ini sehinggakan banyak kesempatan di ambil oleh keluaraga orang ini untuk mendapatkan peluang perniagaan secara monopolistik dalam negara ini.

Selagi orang ini masih bercakap politik dan bercakap pasal UMNO selagi itulah politik negara kita akan berkecamuk kerana keadaan berkecamuk inilah yang di kehendaki beliau kerana situasi berpecah belah UMNO itu akan meletakkan beliau sebagai orang penting kepada semua pihak.

Mungkin UMNO akan selamat apabila beliau berhenti bercakap politik yang membingungkan ramai orang itu. Tetapi apa pun samada beliau masih bercakap politik atau tidak UMNO sudah tidak bermaya lagi untuk maju dan eloklah begitu. Biarkan pihak lain pula yang mentadbir kita. Tidak ada salahnya jika kita lakukan secara serius untuk perubahan itu, kerana demokrasi membenarkannya.

Berdoalah dengan intensif agar sentiasa mendapat keredhoan Tuhan

Isu Deepak nampaknya menjadi isu hangat juga. Kehangatannya agak lebih dari kehangatan isu Musa Hassan dengan kenyataan tentang gangguan politik ke atas urusan Polis. Semuanya melibatkan pimpinan besar kerajaan dan parti pemerintah. Tidak pernah lagi keadaan ini berlaku sebelum ini, maksud saya sebelum pentadbiran Dr Mahathir. Saya pernah berkata keadaan yang tidak menentu hari ini adalah sumbangan besar Dr Mahathir kerana perkara seperti ini hanya mula berlaku semasa pentadbiran beliau.

Kalau kita kaji lebih kurang sahaja, kita boleh mengambil sikap ‘conclusive’ yang sesuatu perundingan dan persetujuan di antara dua pihak untuk melakukan perkara yang tidak baik dan kotor akhirnya akan terbongkar juga, walaupun sesulit mana pun rundingan itu di buat. Bermuafakat untuk kerja yang tidak baik akhirnya pasti akan terbongkar.

Di dalam hal Deepak ini, masyarakat yakin yang akuan bersumpah Bala Subramaniam yang kedua itu merupakan tindakan yang sengaja di buat kerana tekanan. Masyarakat ramai tidak mungkin percaya yang Bala Subramaniam akan menukar akuan bersumpahnya yang pertama itu kalau tidak ada pihak yang membuat tekanan terhadapnya..

Apabila Deepak membongkarkan rahsia sebenarnya, maka ia memudahkan rakyat ramai untuk membuat penilaian yang ‘conclusive’ bahawa penglibatan pimpinan besar dan isteri atau keluarga dalam kerja-kerja jenayah seperti ini adalah mendukacitakan kita semua. Itulah sebabnya para cerdik pandai yang jujur dan ada sedikit keikhlasan selalu berkata yang negara kita ini dipimpin oleh manusia yang tidak sepatutnya berada di sana.

Negara telah memberikan mandat kepada pihak yang tidak selayaknya berada dipesada kepimpinan negara yang rakyatnya inginkan ketulinan nilai kumpulan yang memerintah. Rakyat tidak putus-putus berdoa semasa sembahyang jumaat dan di mana-mana dan setiap masa untuk mendapatkan rahmat Allah dan syufaat Junjungan Besar Muhammad saw untuk negara kita berada di dalam keadaan aman dan mempunyai pentadbiran yang cekap dan bersih.

Bagi diri saya secara peribadinya saya amat bersyukur kerana doa kita selama ini untuk duduk dalam sebuah negara yang aman dan tenteram secara fisikal dan pemikiran beransur-ansur telah di makbulkan Tuhan. Segala yang kotor dan noda kepimpinan secara beransur-ansur tetapi pasti sedang terbongkar dan rakyat boleh membuat apa yang sepatutnya untuk negara apabila kita sudah mendapat sedikit sebanyak petunjuk untuk kita bertindak dan menentukan haluan rakyat dan negara.

Sebagai seorang Islam adalah elok dan molek kalau kita teruskan doa dan bermunajat agar negara kita dijauhi dari kepimpinan yang terlalu sarat dengan noda terhadap rakyat dan negara yang dipimpin mereka.

Sesungguhnya kita telah melakukan segala-gala perancang mengikut zahiriahnya, tetapi kita mesti yakin yang menjadi penentu yang ‘ultimate’ adalah Allah swt semata-mata. PerancanganNya adalah perancang yang Maha baik dan di sebalik segala-gala yang berlaku pasti ada hikmah dariNya.

Walaupun kita sedih dengan apa yang kita dengar, tetapi hikmahnya tetap ada. Mungkin dengan terbongkarnya segala-gala yang kotor ini merupakan kemakbulan doa kita selama ini untuk mendapatkan petunjuk dari yang Maha Esa itu. Kita boleh melakukan tindakan yang kita fikirkan wajar dan memohon segala apa yang kita lakukan itu sentiasa berada di dalam sepenuh keredhoanNya.

Tuntutan kita dari Tuhan yang Maha Esa hanya satu, iaitu kita sentiasa berada di dalam keredhoanNya. Kalau begini keadaan negara dan kepimpinan kita tidak keterlaluan jika kita katakan hanya Tuhan sahaja yang bakal menentukan masa depan negara kita.

Walau bagaimana pun kita tetap berwajib untuk melakukan segala kerja syariat untuk mencapai matlamat membentuk sebuah negara yang kembali baik dan jauh dari segala perlakuan sumbang dan jenayah oleh kepimpinan negara kita.

Semoga segala usaha kita untuk membawa perubahan itu diredhai Tuhan yang Maha Berkuasa dan Mendengar itu.

12 December 2012

Isu Musa Hassan patut menjadi pengajaran kepada semua

Isu kenyataan Musa Hassan masih menjadi isu hangat dan entah bila isu ini akan surut. Merata-rata dalam media massa alternatif ianya diperkata dan dibincangkan oleh rakyat khususnya mereka yang tampil untuk menulis tentangnya. Minat rakyat terhadap isu ini semakin besar kerana isu permainan politik di dalam institusi penguatkuasa dan demokrasi dalam negara ini sememangnya isu yang begitu sensitif bermulanya dari pentadbiran Dr Mahathir dahulu.

Pihak eksekutif telah mencerobohi semua badan dan institusi demokrasi dan penguatkuasa kerana kepentingan seseorang atau sekumpulan manusia lemah yang memimpin kita. Mereka ini telah lemah untuk mendapatkan sokongan rakyat secara natural dan berdasarkan kepada kemampuan peribadi maka menggunakan institusi kepolisan merupakan kaedah yang ampuh bagi mereka walaupun dalam jangka panjang ia akan terbongkar dan di hina rakyat.

Dengan kenyataan-kenyataan yang tidak henti-henti dari Musa itu, ia membuktikan yang kerjasama secara haram di antara pemimpin lemah dengan individu-individu dalam PDRM semasa itulah yang menyebabkan BN yang sepatutnya jatuh lama dahulu mampu bertahan sehingga hari ini. Tetapi kerja yang tidak baik akhirnya akan di ketahui ramai juga, kerana konspirasi dua belah pihak untuk melakukan kerja yang tidak betul lambat laun akan terbongkar juga.

Bagi saya Musa bukan isunya. Isu yang terbesar sekarang ialah dengan pembongkaran oleh bekas Ketua Polis Negara itu menunjukkan kepada kita bahawa Polis telah di gunakan untuk kepentingan peribadi pimpinan untuk menahan ombak perubahan yang sebenarnya telah bermula sejak zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri lagi. Apa yang pimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan tidak tahu, ialah apabila konspirasi seperti ini dilakukan yang paling penting untuk di jaga ialah mengekalkan perhubungan kedua-dua belah yang berkonspirasi itu.

Hasil dari pembongkaran Musa ini kita mendapat tahu maklumat tambahan bagaimana Polis Di Raja kita rupa-rupanya berpecah belah kerana selagi ada campur tangan pihak politik dalam PDRM yang sepatutnya bertindak secara ‘professional’ itu telah lari dari asas tanggungjawab pihak PDRM itu.

Tidak guna ada pihak yang sedang menuduh Musa itu dan ini, tetapi yang penting Musa telah melambakkan apa-apa kejahatan moral yang dilakukan oleh pimpinan negara kita kerana kuasa politik semata-mata. Politik yang menggunakan kuasa Polis untuk berpolitik merupakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana tidak merasa sensitif dan tidak mahu mengakui yang pencerobohan terhadap Polis itu boleh mengekalkan kuasa tetapi hanya untuk jangka masa pendek sahaja.

Akhirnya rakyat akan tahu dan akan bertindak terhadap mereka dan dalam isu kita di Malaysia ini ia akan dilakukan oleh rakyat yang mengundi di dalam PRU nanti. Sekarang semuanya sudah terbongkar satu demi satu dan pemimpin yang menjadi sasar tuduhan Musa itu sedang diam membisu dan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap isu itu.

Kepada pegawai-pegawai tertinggi Polis atau mana-mana penjawat awam yang sedang berkuasa kini wajar menjadikan isu ini sebagai pengajaran. Satu pengajaran yang boleh saudara/i sekalian pelajari ialah apabila mereka (pegawai kerajaan) menjadi sasaran rakyat ahli-ahli politik yang menggunakan mereka akan berdiam diri dan menyelamatkan diri masing-masing dan tidak akan keluar membantu mereka dalam kesusahan.

Ini jugalah yang sedang berlaku kepada ramai pemimpin yang tidak jujur yang lain. Mereka begitu ‘glamour’ semasa berkuasa kerana ada banyak institusi kerajaan yang membantu mereka melakukan kerja yang tidak baik itu. Tetapi apabila bersara semuanya terbongkar satu demi satu dan zaman persaraan mereka itu tidak aman dan yang besar-besar pangkatnya dahulu gagal untuk mencapai status yang di idamkan mereka.

Contohnya Dr Mahathir sendiri telah gagal untuk di anggap sebagai negarawan dari pandangan banyak pihak kerana beliau masih aktif berpolitik kerana terlalu banyak perkara yang beliau terpaksa tutupi. Dr Mahathir terpaksa bercakap sehingga isu buku memoir Rosmah pun terpaksa beliau komen. Beliau terpaksa memberi penjelasan kenapa beliau membidas pewaris kuasa dari beliau, Abdulah Badawi dengan berbagai alasan yang mudah dipatahkan oleh orang ramai.

Pendeknya beliau terpaksa bercakap dan bercakap dan menggunakan isu mempertahankan Melayu sebagai alasan untuk mempertahan diri dari anggapan negatif rakyat terhadap beliau. Beliau cuba hendak menyorokkan fakta yang segala kecelaruan politik dan ekonomi negara ini bermula dari kelemahan zaman beliau sendiri. Rakyat telah memahami bahawa bangunan tertinggi, jambatan terpanjang dan tiang bendera tertinggi di dunia yang ada dalam negara kita ini tidak mampu untuk dijadikan isu untuk Mahathir menunjukkan perbezaaan dengan pimpinan  sebelum beliau.

Segala budaya politik perniagaan dan sebagainya telah rosak sehinggakan sekarang tidak tahu lagi bagaimana dan siapa yang akan mampu untuk memperbaikkinya. Tidak mungkin pemimpin dari gerombolan sekarang mampu untuk memperbaiki nya kerana mereka adalah dari kumpulan yang telah melakukan kerosakkan kepada segala sistem politik dan budaya kehidupan rakyat yang ramai ini.

Jika UMNO hendak memperbaiki keadaan ini parti itu terpaksa memberikan tugas kepada orang yang berpengalaman dalam kerajaan yang tidak berada di dalam kabinet negara. Hanya orang yang tidak terpalit dengan kerosakan ini sahaja yang mampu untuk memberikan imej dan budaya politik dan pembangunan negara yang lebih di yakini rakyat yang ramai.

Kalau pimpinan UMNO sesungguhnya jujur, semua yang berada di dalam kabinet hari ini mesti meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada seorang yang lebih bertanggungjawab untuk meneruskan usaha membangunkan negara agar matlamat pencapaian negara yang mempunyai rakyat yang berpadu tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit hidup aman dan damai setidak-tidaknya 50 atau enam puluh tahun yang akan datamg.

Kurang dari itu, UMNO tidak akan lagi relevan dan akan terbukti dalam pilihanraya yang akan datang. Kalau pun berjaya ia akan hanya kejayaan yang amat tipis dan UMNO akan menjadi parti yang seperti kata perbilangan Melayu ‘hidup segan mati tak mahu’.

Dalam isu Musa yang sedang diperkatakan ini, pimpinan negara sepatutnya mengambil ‘accountability’ dan berhadapan dengan rakyat. Kalau politik tidak masuk campur dan membiarkan PDRM melaksanakan tugas secara 'professional', polimik tentang Musa ini tidak akan wujud.

Sekarang ini biar Mahathir, dan Najib menjawab segala-gala yang di sebut oleh Musa Hassan itu. Kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan termasuk Ketua Polis, Ketua SPRM dan pegawai-pegawai tinggi yang lain elok belajar dari apa yang berlaku terhadap PDRM hasil dari permainan politik pimpinan yang sedang berkuasa.

Pandangan ini penting di ambil kira kerana apabila rakyat melakukan perubahan nanti pegawai-pegawai ini akan terus berkhidmat tanpa sarat dengan isu lama yang buruk melekat di diri anda. Ingat, ahli politik datang dan pergi. Anda di dalam perkhidmatan awam akan kekal sehingga tarikh persaraan.

Berkhidmatlah dengan jujur agar dalam zaman persaraan untuk menunggu mati anda tidak terlibat dengan isu yang tidak baik. Kita perlu ingat di dalam melalui sisa-sisa hidup kita tidak dipandang remeh oleh masyarakat sekeriah dan jiran tetangga kita.

Apabila kita meninggal dunia, biarlah sanak saudara dan jiran tetangga kita mengusung jenazah tanah perkuburan kita akan diiringi dengan doa mereka yang baik-baik bagi kita menghadapi kehidupan yang kekal di akhirat nanti.