17 February 2013

Senator Xenophon tidak tahu di sini demokrasinya acuan sendiri

Seorang Senator bebas Australia Xenophon yang mendarat di Kuala Lumpur pada jam 6.40 pagi semalam ditahan oleh pihak Immigresen negara dan di hantar pulang ke Australia setelah ditahan selama 14 jam di lapangan terbang LCCT. Kerajaan BN telah menyenarai hitamkan nama beliau dan negara menganggap beliau sebagai musuh negara Malaysia yang 'demokratik' ini.

Sesiapa pun yang mempunyai pemikiran yang sedikit waras akan faham yang penahanan beliau itu merupakan tindakan politik sempit dan sedikit sebanyak menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa yang negara kita tidak mengambil kisah tentang kewibawaan hubungan antarabangsanya. Kenyataan Hishamudin Hussein semalam membayangkan yang beliau mempunyai ‘diplomatic language’ yang begitu rendah dan memalukan.

Senator ini telah menjadi mangsa politik negara kerana bercakap benar tentang keadaan demokrasi negara kita. Kesalahan Senator ini sebenarnya sangat besar. Kesalahannya ialah kerana bercakap benar dan tidak mahu berbohong. Mungkin sebelum ini Senator ini belum memahami undang-undang negara ini. Beliau tidak memahami yang di negara ini bercakap benar itu adalah dicegah (forbidden). 

Berjuang untuk menghapuskan rasuah itu salah. Sesiapa yang memperjuangkan untuk diadakan pilihanraya bebas itu lebih salah sehingga ada seorang bekas Perdana Menteri menyarankan supaya di pinda perlembagaan supaya membolehkan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga dilucutkan kerakyatannya. Senator ini mungkin menganggap demokrasi itu semuanya sama seperti yang wujud di semua negara maju yang lain di dunia ini.

Beliau tidak tahu yang Malaysia mempunyai demokrasi acuannya tersendiri. Sepatutnya Senator ini belajar tentang latar belakang demokrasi di negara ini sebelum berbuat apa-apa dalam negara ini.

Apa yang kerajaan Malaysia marahkan Xenophon itu mudah sahaja. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana komen beliau tentang cara Bersih di kendalikan oleh pihak berkuasa Polis Malaysia pada 28hb April tahun lepas. Xenophon berada di sini semasa itu untuk melihat sendiri bagaimana ‘rally Bersih’ itu berjalan. 

Xenophon sepatutnya jangan bercakap benar yang pihak Polis lah yang memulakan keganasan itu yang di mulakan dengan beberapa orang anggota Polis yang menyamar dan menjadi sebagai agen ‘provocateur’ bagi mencetuskan pertempuran di antara Polis dengan peserta rally itu..Di sini bukan tempatnya untuk memberikan pandangan yang adil. Di sini ialah tempat di mana hanya pihak kerajaan sahaja yang benar.

Kenyataan Xenophon yang memberikan kenyataan yang lebih dari dua ratus ribu peserta adalah salah. Xenophon sepatutnya memberikan angka yang sama seperti yang di berikan oleh Rais Yatim, iaitu 22,700 orang sahaja. Senator itu mesti juga memahami yang berjalan beramai-ramai ke tempat rally itu dianggap sebagai demonstrasi jalanan di sini. Kerajaan pimpinan UMNO mahukan semua peserta rally itu terbang dan terus sahaja mendarat  di tempat rally itu diadakan.

Sesiapa bercakap yang tidak di sukai oleh pimpinan UMNO itu dianggap sebagai musuh negara. Jika kita tutup tindakan rasuah yang dilakukan oleh pimpinan UMNO barulah boleh datang ke sini. Sesiapa juga yang membawa berita yang anak seorang Perdana Menteri suatu ketika dahulu telah mengambil wang rakyat hampir RM2 billion itu amat salah kerana anak dan keluarga pimpinan BN di berikan keistimewaan menggunakan wang rakyat untuk menyelesaikan masalah perniagaan mereka.

Menjaga maruah dan integriti bukan perkara penting bagi pimpinan kita. Yang penting ialah kuasa dan kali ini kuasa itu mahu dikekalkan untuk menutup dan menjauhi segala kesalahan mereka di ketahui oleh rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.

Xenophon telah melanggar semuanya ini, maka terpaksalah beliau kembali ke negara beliau serta merta. Kalau setakat hendak sampai ke LCCT itu boleh lah. Xenophon  jangan sekali-kali datang ke sini lagi kerana jika beliau berada di sini beliau akan menjadikan negara kita ini tidak selamat lagi. Bercakap sahaja perkara yang tidak di sukai oleh pihak parti pemerintah, maka orang itu akan di kurung dan dijadikan ‘banduan’ sementara. 

Xenophon mesti memahami kenyataan yang rakyat Malaysia tidak akan bercakap tentang segala ketidak adilan tidak lama lagi, kerana mereka akan bertindak dan berusaha untuk menolak pimpinan dan parti yang sedang berkuasa ini dalam pilihanraya yang akan datang. Sesungguhnya kerajaan kita bukannya mengurung Xenophon atau sesiapa.  Sebenarnya mereka sedang mengurung diri mereka sendiri untuk mengelak diri mereka di kenali sebagai pemimpin otokratik yang berselindung di sebalik demokrasi acuan kita sendiri itu.

Setelah parti yang berkuasa sekarang sudah tidak diberi mandat lagi Xenophon boleh lah datang kembali ke sini. Semasa itu nanti barulah beliau boleh bercakap apa yang benar tanpa was-was. Bukannya lama untuk menunggu perubahan itu.

16 February 2013

Terjumpa Najib peniaga petai

Najib dan pimpinan UMNO menyelenggarakan kempen pilihanraya seperti orang menjual petai dan jering yang saya pernah kenali. Kebetulan namanya ialah Najib dan beliau menjual petai itu di salah sebuah tempat pasar sehari di Selangor. Najib penjual petai ini akan menunggu petai yang di pesannya dari orang asli di sekitar tempat perniagaan pasar sehari itu.

Saya pernah duduk dengan si Najib penjual petai ini di sebuah warung di tempat beliau berniaga itu dan saya bertanya kepadanya apa yang dia sedang tunggu di warung itu. Dia berkata dia menunggu petai yang dia pesan dari salah seorang asli yang akan menghantar petai itu kepadanya setiap hari pasar sehari itu beroperasi. Saya berseloroh dengannya sambil bertanya siapa yang memberi nama ‘Najib’ itu.

 Dia menjawab sambil  tersenyum, “kebetulan bang, nama ayah saya pun Razak, dan dialah yang memberi nama ini kepada saya. Saya sebenarnya berasal dari Tanjung Malim tetapi pindah ke sini mengikut arwah bapa saya yang bertugas sebagai anggota Polis di sini”. Saya menjawab sambil berseloroh, “bagus nama tu, itu nama Perdana Menteri tu!” Dia lantas menjawab, “tak sama bang, saya beli petai untuk di jual, Najib yang satu lagi tu membeli undi dari orang dengan harga RM500 sekali beli untuk di jual juga”

Dalam hati saya ternyata Najib pembeli dan penjual petai dan jering ini seorang yang agak ‘witty’ juga. Saya tidak menjangka seorang pembeli dan penjual petai ini prihatin dengan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Najib penjual petai ini ramah orangnya seperti Najib PM juga. Najib penjual petai ini bercerita yang beliau telah membayar orang asli itu dengan bayaran pendahuluan yang banyak. Jadi orang asli itu akan menghantar sahaja petai itu setiap hari pasar sehari ini beroperasi. Kadangkala dia menghantar selama dua bulan petai tanpa dibayar kerana saya telah membayar pendahuluan dengan penuh dahulu. Dengan cara itu dia dapat petai dengan murah, iaitu lebih kurang RM0.20 sahaja sepapan kalau di kira secara pukul rata.

Saya pun menjawab, “pandai kau ni Najib, terhutang orang asli itu kerana pembayaran secara advance itu” Dia pun manjawab, “Nak hidup bang, kena pandai-pandai sikit. Najib ini pun pandai juga bang!” katanya.

“Duit BRIM nanti kau nak buat apa dengannya?” tanya saya. Dia jawab, “Saya nak bayar saman trafik bang dengan duit BRIM tu. “Saya di saman kerana membawa petai berlebihan di jalanraya bang. Ada dua saman. Duit BRIM tu balik balik ke kerajaan bang!” katanya pantas.

Itu sahajalah cerita pendek yang benar-benar saya alami dua minggu lepas. Rupa-rupanya orang bernama Najib ini pandai orangnya....pandai menekan orang susah. Bezanya Najib penjual petai ini menekan orang asli sahaja, Najib yang PM itu menekan orang ramai yang miskin termasuk orang asli serta Najib pembeli dan penjual petai itu sekali.

15 February 2013

Muhyiddin seperti Najib, sangka rakyat rela dijual beli

Muhyiddin Yassin yang di ura-urakan oleh sebahagian pimpinan UMNO untuk mengambil alih kepimpinan dari Najib itu adalah seorang pemimpin yang lebih lagi tidak menggunakan alat untuk berfikir (otak) anugerah Tuhan untuk digunakan dengan sebaik-baiknya. Itu lah sebabnya saya tidak berhenti-henti berkata bahawa siapa sahaja dalam kepimpinan tertinggi UMNO itu adalah mereka yang tidak sempurna akal fikiran politik mereka. Mereka tidak tahu apa yang baik untuk disebut dan yang sepatutnya dihindari untuk terkeluar dari mulut seorang yang bercita-cita tinggi untuk mengambil alih kepimpinan negara kita yang kita sayangi ini.

Saya terpaksa memberikan komen terhadap kata-kata Muhyiddin di Johor semalam di mana beliau telah menjanjikan BRIM akan di tambah menjadi RM1000 selepas ini. Beliau berkata jika menolak BN dan UMNO itu merupakan penolakan terhadap rezki. “kalau hendak rezki yang seribu itu terpaksa lah kekalkan kepimpinan BN dalam pilihanraya ini” kata beliau lebih kurang kepada orang-orang yang menyambut ketibaan beliau dan di siarkan dalam saluran-saluran TV arus perdana malam tadi. Mendengar kata-kata ini membuatkan saya hampir terjatuh dari kerusi kerana terkejut dengan taraf pemikiran seorang yang bergelar Timbalan Perdana Menteri itu.

Kalau ini lah contoh kata-kata seorang yang berselera untuk menjadi PM, beliau akan menjadi seekor tikus membaiki labu. Tiada apa yang beliau boleh perbaiki dalam kerajaan malahan beliau akan menjadikan nilai kepimpinan kerajaan bertambah buruk dan nesta lagi. Ayat yang saya acapkali sebut dalam blog ini ialah sesiapa sahaja dalam kepimpinan tertinggi UMNO itu merupakan jenis yang sama kerana mereka adalah dari acuan yang sama. Acuan ini adalah acuan yang di bentuk oleh Dr Mahathir sebaik sahaja beliau mengambil alih kerajaan pada 1981 dahulu.

Muhyiddin dalam keadaan tertekan beliau telah berkempen dengan terang dan jelas serta di siarkan dalam media perdana yang beliau melakukan pujukan secara rasuah dan ini merupakan satu tindakan yang amat buruk dilakukan oleh seorang pemimpin kerajaan yang semakin hari semakin lemah itu. Apa eloknya menggantikan Najib dengan Muhyiddin ini? Jika Najib berkata kepada orang Cina dan rakyat “Lu tolong gua. Gua tolong lu”, Muhyiddin pula ‘kalau hendak BRIM lebih besar undilah BN dan kekalkan kuasa BN’.

Ini kah jenis kepimpinan  yang kita hendak letakkan harapan untuk menjamin masa depan anak-anak dan generasi kita yang akan datang?. Pernahkah kita mendengar kerajaan dan parti-parti di negara-negara maju menjanjikan wang tunai kepada rakyat mereka jika mereka di pilih untuk memerintah negara? Bagaimana kah caranya negara kita hendak menjadi negara maju jika mentaliti pimpinan yang memerintah tidak lebih dari mentaliti pemimpin zaman kuno atau zaman batu dahulu.

Apa yang menyebabkan mereka sanggup melutut begitu rendah semata-mata untuk mendapatkan serta menguasai kerajaan yang mereka telah lama menguasainya. Inikah dia hasil dari didikan parti yang telah lama memerintah. Tidak kah mereka belajar dari kesilapan dan kesalahan orang lain atau dari kesalahan diri sendiri yang begitu banyak mereka lakukan itu? Baik Najib mahu pun Muhyiddin, mereka adalah dari kumpulan dan bermentaliti yang sama, iaitu membeli perasaan dan undi rakyat dengan menggunakan wang rakyat itu sendiri?

Kita merasakan amat mual dan menjelekkan mendengar kata-kata Muhyiddin yang mengatakan mengundi pembangkang itu adalah mengundi untuk menolak rezki kerana hanya BN boleh memberikan BRIM kepada rakyat.  Dalam pada mereka ini berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat mereka memalui proses berkempen itu dengan menghina orang ramai seolah-olah hanya BN yang boleh memberikan rezki sedangkan kita tahu rezki itu datangnya dari mana.

Itulah sebabnya janji-janji Pakatan Rakyat itu lebih menepati kehendak ramai kerana dengan hanya menghapuskan tol dan penghapusan PTPTN itu sahaja sudah jauh melebihi keuntungan dari menerima BRIM seribu dua itu. Dengan hanya mendapatkan BRIM rakyat masih terpaksa membayar kos pendidikan anak-anak serta perjalanan orang ramai yang semakin hari semakin tinggi itu.

Dengan penghapusan bayaran tol dan PTPTN ini sahaja sudah menguntungkan rakyat puluhan ribu ringgit jumlahnya setahun. Lebih penting lagi rakyat tidak akan mendengar ungkitan-ungkitan seperti yang dilakukan oleh Najib setiap malam melalui TV semasa melawat seluruh negara sekarang ini. Beri rakyat sejemput tetapi di ungkit setiap malam dalam ucapan-ucapan mereka setiap hari. Wang yang diberikan itu seolah-olah wang Barisan Nasional, tetapi mereka terlupa wang itu adalah wang rakyat sendiri yang tidak putus-putus membayar cukai kepada kantung negara setiap tahun itu.

Sesungguhnya negara mesti bermula dengan politik dan negara yang baru. Rakyat sudah tidak berdaya menahan cemuhan dan penghinaan dari pimpinan setiap hari. Marilah kita berusaha mencari jalan kearah pembaharuan ini. Kata Muhyiddin itu jelas membuktikan yang pemimpin UMNO mahu membuktikan bangsanya boleh dijual beli dengan wang ringgit mereka sendiri yang sejemput.

Kepada kedua-dua pimpinan UMNO ini orang Melayu rendah darjatnya.....beli undi mereka dengan empat lima ratus ringgit sahaja sudah cukup untuk memenangi pilihanraya.Pemimpin-pemimpin ini sudah hilang hidayah dan tidak pun merasakan yang orang Melayu sudah tidak mahu lagi di pujuk dengan wang ringgit. Mereka mahukan sebuah kerajaan yang bermoral dan berdisiplin dan faham tentang tanggungjawab terhadap negara dan rakyat.

Kita mulakan pencarian ini dengan menolak BN dalam pilihanraya kali ini. Insyaallah secara beransur-ansur kita akan dapat memperbaiki mentaliti kerajaan dan rakyat pada masa-masa yang akan datang.

Masanya pun sudah hampir tiba. Lakukanlah pembaharuan itu tanpa was-was. Selari dengan usaha-usaha kita itu, kita berdoa dengan intensif agar kita berada di dalam sepenuh keredhoan Allah SWT.

It’s now or never.

Keinginan untuk berubah itu sudah lama terpendam di hati rakyat

Ketidakpuasan hati terhadap UMNO memimpin negara sebenarnya sudah lama di rasakan oleh rakyat khususnya bagi mereka yang boleh berfikir dan menilai sesuatu isu itu dengan baik, telus, ikhlas dan rasional. Hanya mereka tidak perasan yang ketidak puasan mereka itu sudah bersemi di dalam diri mereka sebegitu lama.

‘Sub conscience’ mereka yang inginkan perubahan itu sudah berada di dalam diri mereka sebegitu lama. Hanya setelah mereka nampak ketidak telusan dan elemen-elemen negatif sudah menjadi sebegitu jelas berlaku maka  barulah mereka menzahirkannya melalui parti-parti politik dan NGO-NGO dan berbagai-bagai saluran yang lain. Mereka kini menzahirkan rasa tidak puas hati itu dengan terbuka, lebih-lebih lagi zaman komunikasi yang canggih yang menjadi cara hidup rakyat di zaman kemajuan ini.

Di dalam sesebuah negara demokrasi elemen terpenting yang penyaluran ‘informasi’ yang aktif dan terbuka dan elemen ini sudah menjadi begitu maju sehinggakan kerajaan yang selama ini menekan dan menutup segala ‘avenue’ untuk rakyat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku itu tidak lagi berdaya untuk membendungnya.

Di negara ini, jika penyaluran maklumat itu berlaku dengan baik dua puluh tahun dahulu gerakan perubahan yang sekarang ini sepatutnya berlaku dalam tempuh itu untuk memberikan semangat melakukan gerakan perubahan itu. Semasa itu orang ramai sudah merasakan keadaan ini tetapi tidak terzahir kerana tidak mempunyai saluran maklumat yang bebas, salah satu dari elemen penting di dalam sesebuah demokrasi itu.

Keadaan itu sudah berubah. Apa-apa maklumat pun dari serata pelusuk dunia boleh di ketahui oleh semua asalkan sahaja seseorang itu tekun dan tidak ketinggalan menerima dan membaca semua maklumat itu setiap waktu. Tidak banyak perkara buruk yang dilakukan oleh sesiapa dan semua pihak itu bolih di sorokkan dengan mudah dan tidak juga mudah bagi sesiapa yang melakukan kebaikan itu dapat di lindungi dari pengetahuan umum.

Di negara kita perasaan gusar rakyat sudah begitu lama di rasakan tetapi seperti yang saya katakan tadi ia tidak terzahir dengan jelas dan perasaan itu terpendam di dalam jiwa rakyat sebegitu lama. Apabila timbul sahaja alasan dan sebab yang datang maka dengan sendirinya segala perasaan itu terluah dan selalunya ia akan menjadi isu siasah dan politik yang besar jika perasaan yang terpendam itu adalah perasaan yang terlalu menekan ramai rakyat jelata.

Perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan sudah mula dirasakan semasa kerajaan ini dipimpin oleh Dr Mahathir Mohammad apabila beliau telah mengubah segala-gala nilai pentadbiran dan politik yang menusuk perasaan banyak pihak. Beliau merasakan perkara itu tidak menjadi kudis kepada kerajaan dan parti pimpinannya kerana UMNO tidak pernah berusaha untuk merasakan denyut nadi dan jantung perasaan ramai. UMNO merasakan apa sahaja yang mereka lakukan itu akan di terima oleh rakyat dan tidak akan ada rakyat  menentang terhadap perlakuan kerajaan UMNO itu..

Waktu itu rakyat terpaksa melihat dan berdiam diri sahaja dengan tindakan kerajaan yang menswastakan keperluan asas seperti air, letrik, kemudahan perjalanan dan perkhidmatan kenderaan awam dan berbagai-bagai lagi. Rakyat sudah merasakan keresahan melihat kerajaan memberikan keistimewaan kepada orang-orang dan individu tertentu untuk berniaga secara monopolistik. Sekarang gula di niagakan secara monopoli oleh Syed Mokhtar, misalnya. tepung juga mempunyai kepentingan Syed Mokhtar lagi.  Proton dan berbagai-bagai lagi peluang perniagaan secara monopoli itu di perolehi oleh orang kuat pemimpin besar negara.

Air yang merupakan keperluan yang paling asas untuk manusia di peniagakan oleh nama besar dan kroni kepada parti kerajaan persekutuan dan mendapat gaji melebihi setengah juta ringgit sebulan sedangkan rakyat di biarkan menjadi mangsa politik oleh pimpinan persekutuan. Tidak cukup ruang untuk menyenaraikan salah laku pimpinan sejak tiga dekad dahulu.

Apabila berlaku pertelingkahan di antara pemimpin dan memecahkan parti dan kesatuan di antara mereka selama ini maka wujud puak-puak yang melakukan penentangan terhadap kepimpinan kerajaan. Maka keadaan dan perasaan yang ada di ‘sub conscience’ mereka tadi mula terzahir dan terburai. Segala yang tersorok menjadi terbuka dan segala kerja hina yang selama ini terlindung sudah mula terbuka dan menjadi pengetahuan umum. Rakyat mula menilai semua pihak dan kita rakyat sudah pun hampir 'conclusive' persepsi mereka terhadap kewibawaan kerajaan pimpinan parti pemerintah selama ini.

Pendeknya tindakan pihak rakyat melakukan tentangan terhadap kerajaan pimpinan UMNO pada hari ini merupakan manifestasi sebenarnya dari rakyat. Mereka (rakyat) sudah begitu lama berfikir dan terasa diperdaya oleh kerajaan terhadap mereka yang selama ini telah memberikan sokongan begitu kuat terhadap kerajaan ini. Rakyat sudah begitu kecewa, kerana kebaikan dan kelembutan mereka selama ini di ambil sebagai kelemahan oleh pihak pemerintah.  Kerajaan dan pimpinan terus-terusan melakukan segala kerja hina seperti rasuah yang keterlaluan tanpa had itu dan banyak lagi penindasan yang telah di lakukan secara sistematik itu. Jiwa dan pemikiran rakyat memberontak kerana dikecewakan oleh parti yang di berikan kepercayan secara total selama ini.   

Kini keseluruhan rakyat terbabit dengan politik samada secara aktif atau pun pasif. Rakyat tidak sabar-sabar menunggu hari membuat pilihan itu. Rata-rata rakyat samada yang sudah dewasa atau pun yang muda-muda, tidak sabar menunggu bagi melunaskan tanggungjawab untuk menyertai kegiatan dan tindakan untuk perubahan itu. Satu lagi yang ada di ‘sub conscience’ rakyat ialah tentang cengkaman media perdana yang terlalu berat sebelah yang digunakan oleh parti pemerintah untuk menghina dan menistakan usaha rakyat untuk melakukan perubahan terhadap negara yang mereka sayangi ini.

Di mana-mana pun kita akan di tanya oleh sesiapa sahaja yang kita berjumpa, ‘bila pilihanraya?’ Sememangnya secara psikologi nya, jika rakyat biasa menunggu dengan kurang kesabaran untuk mengundi itu, ia akan membawa perubahan yang drastik. Di mana-mana kita mendengar rakyat berkata, “Letih menunggu pilihanraya ini”. Ini sahaja sudah cukup untuk memberikan keputusan awalan pilihanraya itu.

Itulah sebabnya saya selalu berkata keputusan pilihanraya kali ini adalah ‘predictable’. Hanya hendak menunggu kenyataan dan keputusan rasminya sahaja.

Sudah menjadi bisikan biasa kita dengar di mana-mana, “Let’s change! It’s now or never!” kata mereka