21 March 2013

Chua Soi Lek pemimpin 'touch-no-go'

Kita boleh nampak dengan jelas reaksi dari BN khususnya MCA apabila Lim Kit Siang mengambil keputusan untuk bertanding di Johor dalam pilihanraya kali ini. Tindakan Penasihat DAP untuk menawarkan diri bertanding di Johor ini tidak sepatutnya dijadikan isu oleh MCA jika benar-benar MCA masih kuat dan relevan sekarang ini.

Pertamanya LKS sememangnya berasal dari Johor dan tidak sepatutnya penghijrahan beliau ke Johor menjadi isu kepada mana-mana pihak. Tidak perlu melabelkan LKS sebagi pemimpin ‘touch-n-go’ seperti yang dituduh oleh pihak Chua Soi Lek itu kerana LKS merupakan pemimpin parti yang diterima oleh mana-mana kawasan di negara ini.

Yang bertanding itu bukannya LKS tetapi adalah DAP dan LKS sebagai seorang yang berpengalaman beliau sememangnya boleh meletakkan diri beliau di mana-mana parti merasakan perlu untuk bertanding. Yang penting beliau diterima oleh parti kerana DAP adalah parti yang sudah diterima oleh semua kaum dan rakyat.

Tindakan CSL melabelkan LKS sebagai ‘touch-n-go’ itu hanya melambangkan ketakutan MCA yang kian hari kian merosot sokongan seperti juga UMNO dan MIC serta Gerakan. Kemampuan LKS bertanding di mana-mana menunjukkan yang beliau adalah pemimpin ‘versatile’ dan diterima oleh rakyat di mana-mana.

CSL sebaliknya menghadapi kesukaran untuk mencari kawasan yang boleh menerima beliau secara keseluruhan rakyat di negara ini. Bagi saya jika CSL melabelkan LKS sebagai ‘touch-n-go’ saya pula ingin melabelkan CSL sebagai pemimpin ‘touch–no-go’ kerana beliau tidak dapat diterima oleh rakyat di kebanyakan kawasan di dalam negara ini.

CSL lebih elok tumpukan usaha untuk mencari kawasan yang boleh menerima beliau dengan baik secara peribadi kerana partinya sudah boleh dianggap sebagai parti yang semakin hampir kepada kematian. Sampai sekarang ini CSL masih teraba-raba mencari tempat untuk diri beliau bertanding. Di mana sahaja beliau mencuba jawapannya ialah 'no-go' untuk beliau. CSL tidak boleh hendak 'equate'kan dirinya dengan LKS. Perbezaan beliau dengan LKS ibarat menyamakan buah bacang dengan buah epal.

Biarkan DAP melakukan apa yang baik untuk parti itu dan menjadi parti harapan rakyat untuk bersama-sama dalam kerajaan baru yang bakal dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya ini.

Semasa itu nanti barulah MCA dan rakan-rakannya dalam BN tahu rupa-rupanya ada parti lain yang jauh lebih berkemampuan dan bersih menguruskan kerajaan negeri-negeri dan Persekutuan kita ini.

Semasa itu nanti MCA dan rakan-rakan komponen yang lain mesti belajar dari pimpinan kerajaan yang baru itu bagaimana menguruskan kerajaan dengan cara yang lebih baik dan selari dengan kehendak rakyat dan sistem demokrasi itu sendiri.

Hanya BN sahaja yang terlalu 'obsessed' memuji diri sendiri sehinggakan mereka tidak sedar ada pihak lain yang lebih baik dan tidak pun memuji diri mereka kerana kejayaan DAP dan rakan-rakan lain itu merupakan kejayaan rakyat sendiri.

CSL akan melihat keadaan dalam mana kerajaan baru dengan rakyat itu 'berpisah tiada' buat jangka masa yang lama.

18 March 2013

UMNO sedang mengalami 'brain death'

Setengah pendapat sekarang ini Parlimen sepatutnya telah terbubar jika dikira dari tarikh pembubaran Parlimen dan Dewan-Dewan Legislatif negeri-negeri pada 8hb Mac 2008 dahulu. Setengah pendapat lagi Parlimen dan Dewan Legislatif sesebuah negeri itu terbubar dengan sendirinya jika dikira dari tarikh persidangan Dewan Legislatif yang pertama selepas pilihanraya tahun itu.

Kalau dikira dari sudut mana pun Perdana Menteri sudah kehilangan moral politik beliau kerana beliau selama ini bukanlah seorang Perdana Menteri yang ‘legitimate’ kerana mandat yang beliau arak ke hulu ke hilir sekarang ini adalah mandat Tun Abdullah Badawi.

Semalam Najib meminta rakyat memberikan beliau mandat yang besar kerana beliau belum lagi mendapat mandat itu. Katanya jika beliau dan BN tidak dapat mandat besar lebih-lebih lagi jika BN kalah dalam pilihanraya ini segala perancangan beliau untuk mentransformasi kerajaan dan negara akan terganggu dan punah. Jika itulah yang dipinta Najib, kita boleh membuat persepsi yang ‘conclusive’ yang beliau akan kempunan untuk mendapatkan mandat itu, jauh sekali untuk mendapatkan mandat yang besar.

Rayuan beliau itu memberikan bayangan jelas yang beliau selama ini tidak memanggil pilihanraya lebih awal ialah kerana takut kepada kekalahan. Najib tersalah langkah dari awal lagi. Oleh kerana beliau menangguhkan pilihanraya itu sampai ke penghujung penggal maka isu terhadap kerajaan dan terhadap beliau sendiri bertambah-tambah dan bercambah-cambah sehinggkan beliau sudah tidak ada apa lagi alasan untuk menyakinkan rakyat yang beliau dan UMNO itu masih relevan.

Penangguhan pilihanraya ini telah menyebabkan beliau tertekan dari rakyat yang mahukan perubahan dan yang lebih menyakitkan beliau lagi ialah tekanan terhadap beliau oleh pimpinan dan ahli-ahli UMNO sendiri. Adalah wajar bagi Najib untuk memandang ke dalam daripada memandang jauh keluar dan menganyang parti-parti pembangkang di setiap ucapan beliau setiap hari. Najib sebenarnya mempunyai banyak masalah di dalam partinya sendiri.

Najib ibarat panglima perang yang besar dalam mana kumpulan dan kabilah beliau adalah kabilah yang terlalu berpecah dan mempunyai masalah dalamannya sendiri. Beliau adalah panglima perang yang tidak mendapat dukungan dari kumpulannya sendiri. Bukan kurang jumlah dari bala tenteranya yang mahukan beliau terkorban dan banyak bukti-bukti yang ramai di antara tentera beliau yang beliau pimpin akan mengacukan senjata terhadap beliau dari belakang apabila sampai waktunya.

Masalah besar UMNO akan bermula pada hari pengumuman calon dan selepas masing-masing calon mendapat surat watikah untuk bertanding mewakili UMNO itu. Sabotaj mensabotaj calon parti sendiri akan menjadi lebih hebat sekali dan saya melihatnya sebagai satu fenomena besar di dalam UMNO semasa pilihanraya nanti.

Seruan Najib meminta beliau diberikan mandat besar itu merupakan satu mimpi di siang hari kerana penangguhan pilihanraya kali ini adalah penyebab kenapa rakyat sudah kehilangan keyakinan yang lebih teruk lagi. Penangguhan itu memberi makna UMNO takut menghadapi pilihanraya dan ketakutan itu membuatkan rakyat ramai tidak berkeyakinan lagi terhadap parti itu. Rakyat tidak akan memberikan mandat kepada kepimpinan dan parti yang takut menghadapi pilihanraya. Apabila sesebuah parti tidak mempunyai ‘self confidence’ ia bermakna parti itu tidak akan berani membuat keputusan dengan baik dalam isu penting yang lain.

Perasaan takut yang menghantui UMNO inilah yang menyebabkan kepimpinan parti itu terpaksa bermuka-muka apabila menghadapi rakyat yang berbilang kaum. Pimpinan UMNO tidak berani bercakap dengan tegas terhadap banyak isu. Itulah sebabnya kita melihat dan mendengar pimpinan UMNO terpaksa menggunakan isu perkauman yang menebal akhir-akhir ini.

Nampaknya kali ini UMNO hanya menumpukan harapan mereka kepada orang Melayu sahaja yang juga sedang lari kepada PAS. DAP sudah sememangnya mendapat sokongan kaum Cina dan akhir-akhir ini saya mendapat banyak respons daripada orang Melayu untuk memberikan dukungan kepada DAP dan itu adalah juga satu fenomena yang jelas.

Pendeknya apa yang dihadapi oleh UMNO itu sekarang ini  amat serius dan yang tinggal hanyalah sokongan dari penggiat tegar UMNO yang tidak tahu apa-apa. Mereka sekarang sedang membina budaya samseng dan mengganggu banyak program parti-parti Pakatan Rakyat di seluruh negara.

Terbinanya budaya samseng yang bertindak kasar dan tidak bertamadun itu tidak dapat menafikan hakikat UMNO semakin hari semakin hilang identitinya sebagai sebuah parti pemerintah. Inilah budaya mana-mana parti pemerintah yang akan kalah dan budaya buruk ini sememangnya satu ‘attribute’ bagi pemerintahan yang berada di penghujung kuasa.

Apa yang dirayu oleh Najib semalam adalah manifestasi kepimpinan UMNO yang sebenarnya. Mereka dalam ketakutan yang keterlaluan. Apabila sudah lemah dan menghadapi krisis keyakinan di kalangan ahli-ahli parti sendiri, maka ia adalah tanda-tanda jelas yang usia UMNO sebagai parti pemerintah itu sudah semakin hampir.

Seperti seorang yang nazak di hospital, UMNO sedang menghadapi ‘brain death’ dan pembubaran Parlimen itu ibarat mencabut mesin tali hayat dari pesakit yang tidak dapat diselamatkan lagi.

Najib sedang berhadapan dengan pembangkang yang kuat di hadapannya. Di belakangnya pula beliau berhadapan dengan ahli-ahli UMNO beliau sendiri yang menunggu masa untuk mengenepikan beliau.

Najib dalam keadaan serba-salah yang amat susah untuk beliau selesaikan. Hanya rakyat dengan keizinan Tuhan sahaja mampu menyelesaikannya.

17 March 2013

Cecil Abraham wajib disiasat

Akhirnya peguam kanan yang dikatakan menyediakan ‘draft’ akuan bersumpah kedua mendiang PI Bala sudah diketahui umum. Beliau sebagaimana yang disyaki ialah Tan Sri Cecil Abraham. Ini telah didedahkan oleh peguam PI Bala, Americk Sidhu yang juga orang yang telah menulis ‘draft’ akuan bersumpah PI Bala yang pertama dahulu. Pendedahan Americk tentang pengakuan Cecil Abraham kepada beliau itu dibuat semasa mesyuarat agong tahunan Majlis Peguam semalam.

Americk Sidhu telah mendedahkan yang beliau ditemui oleh Cecil Abraham dua minggu lepas meminta maaf kerana telah menyediakan ‘draft’ akuan bersumpah yang kedua PI Bala yang telah menarik balik akuan bersumpah Bala yang telah disediakan oleh Americk sebelum itu. Cecil Abraham telah meminta Americk merahsiakan pengakuannya itu. Beliau telah mengaku kepada Americk yang beliau telah menyediakan ‘draft’ akuan bersumpah kedua itu atas arahan Perdana Menteri, Najib Tun Razak (semasa itu Timbalan Perdana Menteri).

Pada mulanya Americk Sidhu telah bersetuju untuk mengekalkan kerahsiaan pengakuan Cecil Abraham kepada beliau (Americk Sidhu) tetapi oleh kerana memikirkan kemahuan PI Bala untuk melihat keadilan terlaksana, maka beliau mengambil keputusan untuk mendedahkannya.

Americk berharap pihak yang berkuasa akan membuka kes pembunuhan Altantuya semula kerana dua orang pegawai keselamatan yang bertugas dengan keluarga Najib, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar telah dihukum gantung kerana membunuh wanita Monggolia itu yang mereka tidak kenal. Dalam perbicaraan kedua-dua anggota Polis itu tidak ada dipersoalkan ‘motive’ pembunuhan yang dilakukan oleh kedua-dua yang didapati bersalah itu.

Americk meminta penyiasatan semula dilakukan dengan pengakuan Tan Sri Cecil Abraham ini kerana ia merupakan isu yang sangat besar. Peguam kanan itu telah membuat pengakuan yang beliau membuat ‘draft’ akuan bersumpah kedua untuk PI Bala itu atas arahan Perdana Menteri.

Apa yang menyebabkan Perdana Menteri mengarahkan Cecil Abraham menyediakan ‘draft’ akuan bersumpah kedua itu? Dalam pada itu salah seorang ahli Majlis Peguam, Fadiah Nadia Fikri akan membuat laporan Polis meminta pihak yang berkuasa membuat penyiasatan ke atas pengakuan Cecil Abraham itu. Ia melibatkan pembunuhan seorang wanita Monggolia dan isu ini perlu disiasat sehingga ke akar umbinya.

Apa yang dilakukan oleh Cecil Abraham itu amat besar kesalahannya dan perkara ini tidak patut didiamkan sahaja kerana ia akan menambah pencemaran terhadap sistem perundangan dan juga sistem kehakiman negara kita.

Rakyat ingin tahu dan keluarga mangsa pembunuhan itu tentunya mahukan kebenaran kenapa ahli keluarganya dibunuh dengan begitu kejam. Rakyat mahu tahu kenapa kedua-dua anggota keselamatan yang bertugas dengan Najib dan keluarganya itu membunuh orang yang mereka tidak mengenalinya.

DAN yang paling pentingnya kenapa Sirul Azhar dan Azilah tidak dipersoalkan motif mereka melakukan pembunuhan itu? Seorang wanita telah dibunuh tanpa diketahui kenapa dia dibunuh dan ini merupakan pencemaran terhadap sistem perundangan yang selama ini telah dicerobohi sejak pentadbiran Dr Mahathir dahulu.

Kes ini perlu diselesaikan ‘once and for all’.

16 March 2013

Rakyat Kelantan kena kelentong lagi

Najib ke Kelantan lagi semalam dan masih cuba untuk mengelentong rakyat di negeri yang telah dipersendakan oleh Najib selama ini. Seperti dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu UMNO berjanji dan berjanji sampaikan tidak ada lagi janji yang tidak dibuatnya. Bagi orang Kelantan elok mereka (orang Kelantan) meminta Najib membuka mulutnya lebar-lebar untuk rakyat Kelantan melihat apakah jenis lidah yang ada di dalam mulut Najib, Mahathir dan kepimpinan UMNO yang besar-besar itu.

Bagaimana rakyat Kelantan hendak mempercayai UMNO sedangkan UMNOlah yang membohongi rakyat Kelantan terang-terangan. Janji Kerajaan Persekutuan melalui Petronas untuk mengotakan perjanjian Vestine pada bulan Mei 1975 tidak langsung ditepati sehinggakan rakyat Kelantan dinafikan punca kewangan untuk membangunkan negeri itu.

Perjanjian itu sudah dimeterai hampir 40 tahun dahulu tetapi sehingga hari ini kerajaan Persekutuan masih melakukan rampasan wang dan harta rakyat Kelantan yang berjumlah lebih dari RM7billion itu. Dalam perjanjian itu telah termeterai yang rakyat Kelantan berhak mendapatkan 5% dari minyak yang dijumpai dan dikeluarkan samada dalam persisiran atau di luar persisiran negeri Kelantan mengikut harga FOB. Pembayarannya pula dibuat dua kali setahun secara tunai kepada kerajaan pilihan rakyat Kelantan pada1hb Mac dan 1hb September setiap tahun.

Perlu diingat perjanjian ini dimeterai di antara Petronas yang diwakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Besar Kelantan semasa itu, Dato' Mohammad Nasir dari PAS. Tunggakan pembayaran itu bukannya kecil tetapi melebihi RM7billion sekarang ini. Janji yang satu ini pun tidak ditunaikan sekarang Najib datang dan mundar-mandir ke Kelantan memberikan janji-janji lagi. Janji-janji BN kepada rakyat Kelantan adalah janji-janji yang tidak ditepati.

Kalaulah perjanjian itu ditepati Kelantan merupakan negeri yang paling kaya, malahan lebih kaya dari banyak negeri di Semenanjung yang lain. Malangnya, rakyat Kelantan mempunyai pemimpin dari UMNO yang berkait rapat dengan pimpinan UMNO, tetapi mereka memilih untuk menyebelahi pimpinan Persekutuan untuk menghimpit rakyat Kelantan.

Selain daripada Tengku Razaleigh Hamzah, semua pimpinan UMNO Kelantan memihak kepada Persekutuan untuk menekan rakyat mereka sendiri. Mereka seperti Mustapha Mohamad, Awang Adek tidak memihak kepada rakyat negerinya sendiri. Ibrahim Ali yang sedang mencuba-cuba untuk menjadi pemimpin itu sendiri menyebelahi pimpinan Persekutuan untuk menekan dan menghimpit rakyat Kelantan.

Itu sebabnya selalu saya katakan, bagi rakyat Kelantan cara untuk mendapatkan hak mereka ialah untuk terus menolak pihak yang melakukan kezaliman terhadap mereka itu. Menolak UMNO habis-habisan merupakan perjuangan yang suci untuk melindungi rakyat Kelantan daripada terus ditipu dan dianiayai oleh pimpinan UMNO Persekutuan.

Jika pemimpin seperti Mustapha dan Awang Adek itu melakukan konspirasi penekanan terhadap rakyat Kelantan, adalah tidak wajar mereka ini dijadikan ayam tambatan untuk rakyat Kelantan. Mereka ini sepatutnya dinyahkan daripada memimpin rakyat Kelantan kerana mereka ini adalah penghalang kepada rakyat Kelantan untuk menuntut hak mereka.

Walaubagaimanapun tekanan terhadap rakyat Kelantan oleh pimpinan UMNO itu, hakikatnya kita wajar percaya yang kebenarannya akan tetap terserlah. Kebenaran itu rasanya akan dapat diperolehi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Jika diizinkan Tuhan, PAS akan menjadi parti di dalam kerajaan, maka mudahlah bagi rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak mereka yang telah dinafikan oleh UMNO selama ini…Insya-Allah.

Mohonlah keredoan Tuhan tanpa henti-henti dan secara intensif. Tuhan akan tetap bersama mereka yang benar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang dizalimi oleh puak pemerintah ini.

Doa orang yang dizalimi adalah doa yang mudah dimakbulkan Tuhan.