Saya dihujani dengan pertanyaan
berhubung dengan keadaan Pakatan Rakyat di NS dan meminta saya memberikan komen
secara jujur. Saya tidak melayaninya selama ini kerana saya bukan pemimpin dan
saya bukannya calon atau berkedudukan dalam mana-mana parti. Saya hanya seorang blogger yang menghabiskan
masa menulis dan memberikan ceramah-ceramah seluruh negara untuk bercakap
sebagai seorang yang luar dari kepimpinan.mana-mana parti politik.
Saya hanya keluar dari UMNO yang telah
saya sertai selama 40 tahun dan memohon menjadi ahli DAP setelah diajak dan dijemput
oleh parti itu untuk bersama dalam parti itu. Sejak saya menyertai parti itu
saya tidak ada berhubung dengan DAP dan pimpinannya walaupun saya sering
berjumpa sebelum saya menyertainya.
Malahan dalam masa ‘mood’
pilihanraya yang sedang panas ini, ramai yang menghantar email bertanyakan samada
saya bertanding atau pun tidak. Saya tidak menjawabnya kerana saya bertanding
atau tidak, itu adalah dalam bab percaturan dan permainan politik dalaman DAP
itu sendiri. Kalau diminta saya bermain percaturan politik dalaman, saya
sememangnya akan ‘crash before taking off’ kerana saya tidak pandai
melakukannya.
Saya tetap mampu untuk memberikan
komen secara bebas dan melayangkan pandangan terhadap isu-isu semasa, termasuklah
tentang isu yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat sekali pun. Itu sebab saya selalu
menyebut dan memberikan pandangan secara terbuka dan ikhlas tentang pilihanraya
ini.
Bagi saya kekuatan kedua-dua
belah pihak adalah sama. Pihak mana yang melakukan kesilapan dalam saat akhir
ini akan menghadapi kekalahan dan kekalahan itu pun tidak menjadi hal kerana
ini adalah demokrasi. Pihak pembangkang tidak ada masalah jika menghadapi
kekalahan kerana mereka telah kalah sejak kita mengadakan pilihanraya pertama pada
tahun 1955 dahulu. Yang merasa gila jika kalah ialah pihak BN kerana mereka
menganggap kekalahan itu seperti menghadapi hari kiamat.
Pembangkang sedang menghampiri
kemenangan pertama jika mereka tidak melakukan kesilapan. Secara jujur saya
menghormati parti PAS kerana parti itu tidak menghadapi hiruk piruk seperti
parti-parti lain samada dalam BN mahu pun dalam Pakatan Rakyat. PAS merupakan
parti yang lebih tersusun berbanding dengan semua parti yang lain.
PAS serius dan tidak memungkiri
janji-janjinya dan sisik kematangan politik PAS itu lebih jauh ke hadapan dari
parti-parti lain. PAS tidak menghadapi masalah perkauman kerana parti itu bukan
parti perkauman. PAS bersandar banyak kepada kehendak agama dalam banyak hal
walaupun ia bukan agama. Walaupun berbagai-bagai tuduhan dilemparkan oleh UMNO
terhadap PAS, parti itu tetap dengan pendiriannya dan tidak terganggu dengan
segala tohmahan pihak lawannya.
PAS telah memenuhi janjinya untuk
menurunkan calon bukan Islam untuk bertanding dalam pilihanraya ini dan ia
telah terlaksana. Ramai bertanya samada DAP akan memenuhi janjinya untuk
menjadi parti berbilang kaum. Untuk menjawabnya saudara boleh teliti senarai
calon-calon DAP yang akan sepenuhnya diumumkan mungkin hari ini.
Samada benar atau tidak yang DAP
hanya memberikan ‘lip service’ sahaja tentang perjuangan ‘multiracial’nya kita
boleh lihat hari ini Samada benar tuduhan
orang ramai yang DAP memerlukan beberapa kerat orang Melayu sebagai ‘window
dressers’nya sahaja juga, boleh saudara lihat pada hari ini. Tidak perlu
mana-mana pihak membidas saya dan mengecam saya secara peribadi kerana semuanya
akan kita lihat pada hari ini.
Saya telah melakukan perkara yang
sepatutnya saya lakukan untuk DAP. Selama lebih dari satu tahun saya menjelajah
keseluruh negara berceramah di pentas PAS untuk memberikan penerangan tentang
perlunya orang Melayu untuk tidak mengekalkan prejudis mereka terhadap DAP. Saya cuba sedaya
upaya untuk meyakinkan seramai mana orang Melayu untuk menghilangkan persepsi
negatifnya terhadap DAP itu. Saya mengeluarkan tenaga untuk melakukannya secara
jujur dan terbuka.
Saya lakukan itu kerana saya
merasa bertanggungjawab untuk memainkan peranan
kecil-kecilan untuk membina masyarakat berbilang kaum untuk hidup dengan
menghormati diantara satu dengan lain. Selebihnya tanggungjawab untuk
menyempurnakan matlamat yang dilaungkan oleh DAP itu terpikul di atas bahu
kepimpinan parti itu. Saya tidak berada dalam barisan kepimpinan parti itu.
Jika parti itu masih mahukan
persepsi rasis yang telah dimomokan terhadapnya maka DAP tidak perlu menurunkan
calon-calon Melayu. Jika DAP merasakan ia boleh ‘survive’ buat selama-lamanya
tanpa orang Melayu itu adalah hak parti itu untuk menentukannya.
Ini demokrasi dan rakyat boleh
menentukan nasib mana-mana parti termasuk DAP itu sendiri. Saya meminta supaya
tidak membidas saya semborono. Saya hanya memberikan sokongan kepada DAP kerana
laungan ‘multiracialism’nya. Itu janji DAP.
Rakyat boleh memberikan tanggapan
yang DAP tidak memerlukan sokongan Melayu jika saudara percaya kepada tanggapan
itu benar. Jika saudara bertanggapan yang DAP masih mahu kekal sebagai sebuah
parti Cina itu juga terpulang kepada saudara dan kita tidak payah bergaduh dan
memaki hamun sesama kita.
Setakat itu sahaja jawapan saya
untuk menjawab ribuan email yang saya terima sejak seminggu lalu dan saya tidak
mampu untuk membaca semuanya itu. Selama lebih setahun penjelajahan saya
keseluruh negara ialah untuk memanjangkan apa yang dijanjikan oleh DAP untuk
perjuangan berbilang kaum. Tetapi jika DAP jelas tidak memenuhi janji-janjinya
itu maka terpulanglah kepada semua untuk membuat penilaiannya.
Yang penting kita mesti berpijak
di atas kebenaran dan realiti. Pilihanraya kali inilah yang boleh memberikan gambaran samada DAP benar-benar jujur dalam laungannya sebagai pejuang semua kaum.
Jika tidak ada tanda-tanda serius yang DAP itu memperjuangkan semua kaum dalam pilihanraya ini, ia tidak akan terjadi sampai bila-bila. (bersambung)
Jika tidak ada tanda-tanda serius yang DAP itu memperjuangkan semua kaum dalam pilihanraya ini, ia tidak akan terjadi sampai bila-bila. (bersambung)