Politik pasca pilihanraya ke-13
ini nampaknya lebih hebat daripada kempen sebelum pilihanraya itu. Isu pihak
Pakatan Rakyat terutamanya PKR tidak menerima keputusan pilihanraya adalah yang
paling hingar-bingar kita dengar. Tetapi sejak akhir-akhir ini nampaknya yang
selalu membuat kenyataan tentang ketidakpuasan dengan keputusan PRU ini adalah
PKR dengan Ketua Umumnya berucap di seluruh negara setiap malam.
Anwar keluar setiap malam kerana keputusan PRU yang tidak
menyebelahi parti beliau dan tuduhan yang beliau lontarkan itu belum menunjukkan
apa-apa bukti kebenarannya sehinggalah kes-kes itu dibawa ke hadapan
penghakiman mahkamah. Pihak PKR berkata yang mereka mempunyai bukti kukuh
tentang kewujudan penipuan di 27 kawasan Parlimen.
Setakat ini saya belum lagi
menyertai mana-mana himpunan tersebut kerana saya mahu melihat bukti yang disabitkan oleh mahkamah dahulu. Malahan jika tuduhan itu terbukti benar,
tentulah pemilihan semula akan diadakan di kawasan-kawasan tersebut. Maka saya
tidak nampak perlunya rally ini diadakan. Lainlah jika kita hanya hendak
menunjukkan kebersamaan dengan pucuk pimpinan pembangkang itu dalam keadaan
beliau belum tercapai hajatnya hendak menjadi Perdana Menteri buat masa ini.
Bagi saya tidak perlu berhimpun
kerana mahkamah akan membuat keputusannya nanti. Tetapi saya tidak pula menentang
tindakan sesiapa untuk berhimpun, kerana mungkin berhimpun itu sudah menjadi gaya hidup politik hari
ini. Mungkin mereka mempunyai kepercayaan, jika bergiat dalam politik, mereka
mesti berhimpun. Jika tidak berhimpun itu bukan politik namanya. Kita tidak
boleh menyalahkan sesiapa yang sudah ketagih dengan berhimpun. Itu hak mereka.
Jika itulah caranya untuk menyelesaikan masalah teruskanlah berhimpun waimma
setiap malam dan petang sekalipun.
Dalam dunia politik ini
berbagai-bagai cara masing-masing hendak dilihat kehadiran mereka dalam
politik. Bagi setengah pemimpin mereka berkemahiran berhimpun maka berhimpun
setiap malam itulah baru mereka dilihat sebagai pemimpin. Jika tidak nampak
di atas pentas maka orang seperti ini akan kehilangan ‘consequence’nya.
Sesetengah pemimpin pula bercakap dengan garang dan sampai ke tahap menghalau
orang lain keluar dari negara ini.
Setengahnya pula menggunakan isu
perkauman untuk melakonkan watak wira dan juga untuk menjadikan orang ramai
sebagai penontonnya. Setengahnya melakonkan watak pemimpin Melayu yang menebal
dan akan dipertahankan oleh pemimpin bangsa yang menjadi bahan kritikan itu.
Bagi pemimpin pihak yang bertahan ini juga sangat menebal semangat perkauman
dan mempertahankan kaum mereka.
Yang kita kasihani ialah orang
ramai yang terpengaruh dengan ucapan berapi-api itu dan terus berhimpun
sehinggakan menjejaskan kehidupan seharian mereka. Kalau kita lihat anak-anak
mudalah yang menjadi bahan dan alat
politik semua pihak untuk mendapatkan perhatian masing-masing.
Saya, seperti juga ramai yang
lain sedang bertanya, sampai bila keadaan ini akan berterusan? Sampai
pilihanraya lima
tahun lagi? ATAU sampai pemimpin BN mengangkat bendera putih dan mengangkat
tangan sambil berkata, “kami salah dan sekarang kami meletakkan jawatan”? Atau
apa?
Jika perhimpunan ini diadakan
setiap malam, takut-takut orang ramai akan tersalah anggap yang mereka hanya
dipergunakan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan peribadi mereka sahaja.
Mereka dengan bijaknya menggunakan isu yang dirasakan hampir kepada perasaan
sementara rakyat itu. Jika rakyat tersalah tafsir nanti maka pemimpin yang
menganjurkan perhimpunan itu akan menjadi mangsa celaan ramai apabila sampai
waktu rakyat ramai ini telah merasakan keletihan pada diri mereka.
Ramai masih percaya kepada
perundingan untuk penyelesaian sesuatu masalah tanpa menjadi obses menyalahkan
semua pihak. Bagi saya dalam politik ini baik dari pihak mana pun sentiasa melakukan
kesalahan masing-masing.
Jika benar kita semua mempunyai
tanggungjawab, perundingan adalah cara yang terbaik. Tetapi hasil perundingan
itu, tentulah ada bab kita berundur dan ada pula bab yang pihak musuh kita
berundur. Tidak ada siapa yang mendapat kesemuanya dan tidak ada yang akan
kehilangan semuanya. Jika ada pihak atau pemimpin terpaksa berkorban dan
berundur mereka terpaksalah akur kepada hakikat ini.
Pendeknya jika Anwar patut
berundur maka Anwar wajar berundur. Sebaliknya Najib dan rakannya patut
berundur, maka mereka perlulah berundur dengan cara yang terhormat. Jika
kedua-duanya perlu berundur kedua-duanya wajar berundur. Kejayaan seseorang
sebagai pemimpin itu bukannya dengan mendapat kejayaan menjadi Perdana Menteri
atau pihak yang berjaya mempertahankan kerusi Perdana Menteri itu. Jika orang lain yang perlu dijadikan Perdana Menteri untuk penyelesaiannya, maka itulah yang perlu dilakukan.
Kejayaan seorang pemimpin itu
bukannya kejayaan mengalahkan musuh, tetapi apabila kita dan musuh kita mampu bersemuka
dan menyelesaikan perbalahan di antara pihak-pihak yang berbalah. Jika bersemuka dan akhirnya selesai permasalahan yang ada, maka berjayalah kepimpinannya walaupun tidak menjadi Perdana Menteri atau berhenti menjadi Perdana Menteri. Kejayaan pimpinan ialah apabila tercapai matlamat untuk kebaikan bukannya apabila kita menjadi Perdana Menteri.
Seorang imam kepada jemaah yang besar
itu belum tentu mampu menyampaikan segala doa kepada Allah swt. Mungkin ada
di antara makmum yang ramai itu yang mampu melakukannya. Itu sebabnya kita
dituntut untuk bersolat beramai-ramai kerana mungkin ada di antara yang ramai
itu benar-benar mukmin dan dikasihi Tuhan. Maka dia itulah yang merafakkan doa ke hadirat Allah swt
dengan sempurna.
Imam itu hanya ditugaskan untuk
mengetuai ‘congregation’ jemaah semasa bersolat itu sahaja.