13 June 2013

Tidak siapa yang berkuasa tanpa sokongan menyeluruh orang Melayu

Saya mendapat banyak pandangan yang agak berlainan dari apa yang kita dengar dan pandangan yang berbeza ini selalunya tidak diutarakan kepada saya melalui komen-komen dalam blog ini. Mereka memberikan pandangan dan komen itu melalui e-mail.

Biasanya komen-komen yang datang melalui e-mail itu lebih jujur kerana mereka memberikan hujah dan alasan yang mencukupi dan tiada setakat melemparkan komen marah dan berselindung di sebalik ‘anonymous’. Mereka menghujahkan isu dengan panjang lebar tidak kira samada hujah mereka itu bertentangan dengan pendapat saya atau sebaliknya.

Banyak kali juga mereka memanggil saya untuk bersama-sama mereka minum petang atau pagi dan mereka adalah dikalangan yang serius dalam memberikan pandangan. Secara kasarnya ramai yang masih berpendapat yang Pakatan Rakyat masih belum bersedia untuk menjadi pihak ‘alternative’ walaupun dikalangan yang memberikan pandangan itu adalah mereka yang cenderung untuk menyebelahi Pakatan Rakyat.

Apa yang menyebabkan susahnya menundukkan BN itu, dan apa pula yang membuat usaha menundukkannya itu tidak mustahil? Jawapannya mudah. Susah untuk menundukkan UMNO itu kerana jika UMNO itu tidak melakukan kesalahan dan menunjukkan kelemahan yang nyata, ia tidak senang untuk di kalahkan oleh mana-mana pihak yang lain.

Isu yang menjadi masalah bagi UMNO sekarang ialah pimpinan UMNO kini sudah hilang hampir keseluruhan wadah perjuangan mereka dan tidak lagi mengekalkan ‘attribute’ asal kewujudan parti itu. Tidak keterlaluan jika kita katakan UMNO itu sudah tidak lagi menyerupai UMNO sebenarnya. Yang tinggal kepada UMNO itu hanyalah sijil  pendaftaran parti itu dan pada namanya sahaja.

Kepimpinan UMNO yang terlalu ghairah untuk memajukan negara sebagai sebuah negara yang maju yang begitu deras sejak hampir tiga puluh tahun dahulu telah melalaikan banyak nilai baik yang selama ini menjadi kekuatan dan ketahanan parti itu. Dalam keghairahan untuk mencapai kemajuan fisikal, kepimpinan UMNO telah melalaikan pembangunan nilai dan etika kehidupan sebagai rakyat timur.

Rakyat dididik untuk mengejar pembangunan fisikal semata-mata justeru menjadikan mereka rakyat yang materialistik yang keterlaluan. Rakyat telah melupakan nilai asas serta etika kehidupan sebagai seorang Melayu dan sekali gus menghilangkan identiti Melayu itu sendiri.

Jika identiti bangsa itu telah hilang maka ia memberi makna yang bangsa itu akan hilang secara beransur-ansur, manusia berbeza-beza dengan identiti masing-masing. Apabila identitinya berubah, maka ia akan merubah segala-galanya dan dalam jangka masa yang panjang Melayu yang sudah hilang identitinya itu tidak akan menyerupai Melayu itu lagi.

Oleh yang demikian kita tidak boleh lagi merasa hairan kenapa UMNO tidak lagi menjadi parti yang kuat kerana ia yang sepatutnya memimpin bangsa Melayu itu, sudah tidak lagi memimpin Melayu yang mempunyai identiti asal tadi. UMNO sedang memimpin bangsa Melayu yang baru. UMNO juga yang menyebabkan Melayu itu berubah kerana selama ini UMNO tidak menumpukan untuk mengekalkan identiti asal Melayu itu.

Malahan ada pimpinan dalam UMNO berpendapat ‘attribute’ yang ada pada Melayu itu adalah penghalang kepada kemajuan bangsanya. Mereka tidak nampak betapa majunya orang Jepun tanpa menghilangkan identiti mereka sebagai bangsa Jepun dengan identiti asal mereka. Begitu juga dengan bangsa Thailand. Tidak hilang identiti bangsa mereka sambil memajukan bangsa mereka selari dengan kemajuan bangsa-bangsa maju yang lain didunia ini. Menghilangkan identiti dan nilai bangsa itu sebenarnya bukan kemajuan.

Kita wajar menerima hakikat yang kelemahan sokongan orang Melayu terhadap UMNO ialah kerana kesilapan UMNO menukar identiti bangsanya sendiri. UMNO memandang rendah kepada bangsanya sendiri Itu sebabnya tidak mustahil jika bangsa Melayu meninggalkan terus UMNO itu dan menggantikannya dengan wadah perjuangan yang menerima dan menghormati bangsa Melayu itu.

Tidak ada satu parti boleh kekal tanpa mendapat sokongan menyeluruh orang Melayu dinegara ini. Berpura-pura menyokong orang Melayu oleh mana-mana pihak akan hanya membuat orang Melayu lari dari mereka apabila kepura-puraan itu jelas terbukti dimata kasar mereka. Kepura-puraan itu akhirnya akan terlondeh juga.

Di atas asas yang disebutkan tadi maka UMNO sebagai parti untuk bangsanya boleh mengembalikan sokongan seperti sedia kala asalkan sahaja pimpinan UMNO itu sanggup melakukan perubahan dan pembaharuan tanpa was-was dan sanggup berkorban untuk masa depan bangsanya itu.

Jika UMNO menyedari apa kesalahan serta kesilapan mereka dan bersedia pula untuk membuat pembaharuan, parti itu tidak akan menghadapi banyak masalah lagi. Tetapi tahukah pimpinan UMNO apa yang hendak diubah itu? Jika UMNO masih di kenali sebagai parti yang rasuah dan tegar dengan penyalahgunaan kuasa maka UMNO akan kekal sebagai parti yang berpontensi untuk mati dalam segala-galanya.

Jika ada usaha setengah pihak samada dikalangan orang Melayu atau rakyat yang lain untuk mencari pimpinan baru yang meyakinkan rakyat maka potensi untuk UMNO kembali pulih itu tetap ada. UMNO memerlukan manusia pemimpin yang lain dari yang ada sekarang ini bagi memusnahkan persepsi rakyat yang UMNO itu adalah parti rasuah dan jahat kepada situasi politik yang berlainan.

Apabila UMNO menukar pimpinan dan berjaya memadamkan imej korup, lemah, salahguna kuasa dan sebagainya, maka tidak mungkin bagi parti-parti lain untuk mengambilalih kuasa dari mereka setidak-tidaknya satu hingga dua dekad yang akan datang.

Ini di sebabkan Pakatan Rakyat mungkin memakan masa yang panjang untuk membetulkan corak dan ‘form’ sebagai parti ‘alternative’ kerana kelemahan-kelemahan itu jelas masih terlihat dalam PRU yang lepas. Sikap pihak pembangkang yang sedang membentuk persepsi masyarakat sebagai parti ‘rebel rouser’ itu, membuatkan mereka memerlukan masa yang panjang untuk diterima sebagai ‘alternative’.

Pakatan Rakyat hanya boleh mengambilalih kepimpinan dari UMNO dalam masa yang singkat jika UMNO dalam masa yang singkat ini masih tidak melakukan transformasi yang sebenarnya.

12 June 2013

Kalau hendak berubah, ia mesti perubahan secara 'total'

Saya tidak dapat mengelak dari memerhati dan memberikan fokus kepada perkara yang saya mudah tertarik. Saya tertarik dengan isu transformasi yang pimpinan UMNO sebut siang dan malam tanpa henti seolah-olah ia kedengaran begitu biasa seperti saya mendengar azan dari masjid yang berdekatan dengan rumah saya.

Setiap malam dan pagi istilah transformasi dan perubahan kita dengar dan ini jugalah isu yang sama kita dengari sejak dua tiga puluh tahun dahulu. Tetapi penekanan tentang transformasi ini lebih hebat sekali semasa UMNO sedang duduk diatas hujung tanduk sekarang ini. Janji-janji transformasi itu tidak juga membawa apa-apa perbezaannya. Kenapa begitu? Tentu ramai yang boleh memberikan jawapannya mengikut penilaian dan perincian masing-masing.

Bagi saya tidak ada sesuatu yang kita tidak boleh ubah. Pertamanya kita mesti tahu apa yang perlu diubah dan yang keduanya untuk membaik-pulih itu mesti dilakukan oleh manusia pemimpin yang boleh melakukannya. Sebelum itu kerosakan yang hendak diperbaiki itu mestilah kerosakan yang masih boleh diubah. Jika kerosakan itu sudah terlalu teruk maka mungkin kah pembaik-pulihan itu akan dapat dilakukan?

Ramai tertunggu-tunggu janji-janji pucuk pimpinan UMNO untuk memperbaiki kelemahan dan kesalahan yang lampau. Jika mereka (pemimpin) melakukan introspeksi yang serius mereka akan tahu sejauh mana kerosakan yang dialami dan setakat mana usaha untuk memulihkan keadaan itu boleh dilakukan. Tetapi bagi saya, kerosakan kepada UMNO itu tidak boleh diperbaiki lagi tanpa ‘political will’ yang kuat.

Sebabnya mudah. Jika kita ibaratkan sebagai sebuah kereta, UMNO itu sudah tidak boleh diperbaiki hanya oleh mekanik biasa sahaja kerana kerosakannya melibatkan keseluruhan struktur kereta itu. Setakat mekanik tidak mencukupi untuk memperbaiki kereta yang usang itu.

Mekanik hanya mampu untuk memperbaiki enjin sahaja, tetapi membaiki enjin sahaja tidak mencukupi kerana ia melibatkan ‘body works’ yang ‘elaborate’. Terpaksa ada pengimpalnya dan terpaksa diadakan tukang cat yang baik. Apabila pengimpal sudah ada, terpaksa juga mencari jalan untuk meningkatkan tahap ‘upholstery’ dalaman kereta itu. Malahan berbagai-bagai lagi perkara penting yang perlu diperbaiki dan ia bukan satu usaha yang mudah.

Itulah juga keadaan UMNO, sebagai sebuah parti yang telah memerintah sejak merdeka. Justeru kejatuhannya atau kelemahannya akan membawa ‘consequence’ buruk yang besar kepada negara. Sekarang siasah negara kita adalah ditahap yang terendah dan tidak banyak bezanya seperti siasah dinegara ketiga dan yang mundur seperti kebanyakan negara di Afrika.

Sesungguhnya negara memerlukan seorang ‘political architect’ bagi merombak segala sistem siasah dan negara ini. Blog ini selalu menyebut isu ini. Kita mesti memulakan negara baru. Jika kita hanya setakat membaikinya, apa-apa yang diperbaiki itu tidak akan mampu melihat perubahan kerana terlalu banyak yang lain yang telah tebuk dan bocor dengan kerosakan yang amat parah itu.

Membaiki kerosakan ini bukan setakat memberikan kepercayaan kepada pembangkang sahaja kerana amat susah bagi pembangkang untuk memperbaikinya. Bercakap dan berjanji itu senang, tetapi apabila mendapat mandat belum tentu dapat memperbaiki negara dengan berkesan. Cerita setakat itu masih lagi dalam kategori politiking dan bukannya politik. Pembaharuan yang dimaksudkan bukan setakat siapa yang menang dan siapa yang kalah sahaja.

Pembaharuan yang perlu dilakukan ialah merubah ‘outlook’ siasah negara secara ‘total’. Itu sahaja yang boleh membawa rakyat berada dalam situasi politik baru. Jika setakat memberikan peluang kepada pembangkang sahaja situasi politik tidak akan berubah sama sekali. Jika tidak dilakukan perubahan secara 'total' maka sesiapa sahaja atau parti mana yang memerintah sekali pun, rakyat tetap berkelahi kerana isu yang remeh seperti sekarang.

Kita akan melihat pihak yang menuduh pihak lain sebagai rasis itu juga pihak yang rasis dari segi ‘outlook’ dan representasinya kepada rakyat. Bezanya mereka tidak bercakap tentang isu rasis sahaja tetapi rupa dan bentuk parti itu tetap rasis dalam erti kata sebenarnya. Tiada bezanya diantara mereka yang melaungkan isu dan sentimen rasis dengan pihak yang pada rupa dan bentuknya pihak yang rasis walaupun senyap dalam isu rasis itu.

Itu sebabnya ada pihak yang pada mulanya berdoa untuk kemenangan Pakatan Rakyat akhirnya merasa bersyukur dengan kekalahannya kerana pada pendapat mereka jika pun berlaku perubahan pemerintahan dari parti itu kepada parti yang ini, isu yang sama juga akan berulang lagi. Maksudnya perubahan itu tidak akan juga membawa perubahan yang sebenarnya.

Justeru itu, perubahan dan transformasi itu bukan sahaja mesti dilakukan oleh pihak parti kerajaan tetapi juga wajar dilakukan oleh pihak yang bertentangan dengan parti kerajaan itu. Perubahan wajar dilakukan oleh semua pihak dan ia meliputi setiap inci dalam struktur politik dan siasah negara.

Jika keadaan sekarang masih berterusan, matlamat mencapai perpaduan nasional itu tidak mungkin tercapai sampai bila-bila. Perubahan itu wajar berlaku dalam masa yang sesingkat ini kerana masa sudah terlalu suntuk untuk melakukan perubahan sebelum siasah dan politik negara kita berkecai dan roboh sama sekali.

10 June 2013

Tunku, Hussein juga bekas Presiden UMNO, tidak pula sibuk macam...

Kian hari kian ternampak dengan jelas yang ‘ringgit dan sen’ merupakan elemen penting yang menentukan samada satu-satu negara itu mampu untuk mewujudkan politik yang bersih untuk masa depan negara yang aman. Kadangkala kita menjadi hairan kenapa ada sesetengah orang yang pernah menjadi pemimpin penting kembali sibuk berpolitik setelah bersara begitu lama.

Rupa-rupanya yang membuatkan mereka ini sibuk kembali untuk mempengaruhi politik negara ini untuk memberikan keuntungan atau perlindungan kepada kerja-kerja mereka lakukan secara tidak betul semasa berkuasa dahulu. Semuanya mempunyai kepentingan peribadi dan mempunyai ‘stake’ yang begitu besar jika politik negara tidak menyebelahi kemahuan mereka. Dulu saya bertanya kepada diri saya sendiri dan juga kepada rakan-rakan kenalan yang faham tentang politik negara ini.

Kenapa Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn tidak sibuk bercakap politik apabila bersara walaupun mereka mempunyai ‘preferences’ mereka sendiri dalam politik ini. Adakah latar belakang dan cara mereka dibesarkan oleh keluarga mereka itu yang membezakan di antara dua orang pemimpin yang berbeza nilainya?

Mereka, seperti Tunku dan Hussein, meletakkan diri mereka lebih tinggi daripada mereka yang sedang berkuasa dan mereka lebih kepada menjadi seorang negarawan yang dihormati, tempat rujukan kepada mereka dalam generasi sekarang. Begitu juga kepada Menteri-Menteri kabinet yang bersara juga tidak mengambil tempat yang besar dalam ruang politik setelah mereka bersara.

Tan Sri Khir Johari tidak menyibuk dalam politik, Bahaman Shamsudin tidak sibuk bermain politik dan Tan Sri Samad Idris tidak bergiat bercakap dan terlibat dalam perkelahian politik setelah mereka bersara. Abdul Manan Othman tidak bercakap sedangkan semua mereka ini mempunyai pandangan dan ‘preferences’ mereka sendiri. Pendeknya mereka tahu membawa diri dan meletakan diri mereka di tempat yang sepatutnya mereka berada.

Begitu juga pimpinan dari kaum lain seperti Lee San Choon, Lee Kim Sai serta ramai lagi bekas-bekas pimpinan utama MCA dan juga Gerakan dan MIC yang lain. Apabila mereka bersara mereka mendiamkan diri dan hanya bercakap jika keadaan dan waktunya memaksa mereka untuk bercakap.

Sesungguhnya pimpinan seperti Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn dahulu, mereka meninggalkan jawatan mereka tanpa sebarang ‘outstanding issues’ untuk mereka. Mereka bersara dengan tangan yang bersih kerana mereka sesungguhnya pemimpin yang mempunyai kredibiliti yang tinggi dan tidak dapat didekati oleh pewaris-pewaris mereka selepas itu.

Keadaan sekarang sudah jauh berubah, Daim Zainudin dan Dr Mahathir, tidak dapat duduk diam dan di atas nama menyelamatkan negara mereka bercakap dan memainkan peranan untuk menentukan segala-galanya dalam politik UMNO dan BN sekarang ini. Mereka tidak senang hati jika pihak dan parti yang mereka rasakan tidak dapat memberikan perlindungan dan keuntungan berterusan kepada peribadi mereka.

Mereka menggunakan pengaruh mereka yang masih ada sedikit saki bakinya untuk berpolitik walaupun mereka tahu keadaan sekarang tidak seperti dahulu lagi. Walaupun secara peribadi mereka tidak ke hadapan tetapi mereka ke hadapan melalui proxy-proxy mereka selalunya melalui syarikat dan individu-individu tertentu. 

Kemunculan Halim Saad ke hadapan dengan tuntutan di mahkamah terhadap kerajaan ini melambangkan yang politik negara ini adalah berkisar kepada ‘dollars and cents’.

Dengan timbulnya isu Halim Saad ini ia memberikan kita makluman bahawa UMNO itu adalah sebuah pertubuhan konglomerat besar dengan menggunakan ahli-ahli dan pemimpin membiarkan keadaan ini berlaku. Bagi pihak Khazanah, mereka tidak mahu memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui dengan Halim dengan menganggapkan semuanya itu adalah hak UMNO, sedangkan Halim yang semua tahu siapa di belakangnya itu pula, beranggapan yang semuanya itu hak peribadi mereka.

Pendeknya apa yang sedang kita saksikan ini adalah hasil dari laba perniagaan yang menggunakan UMNO itu sebagai landasan untuk mereka mendapatkan keuntungan peribadi mereka sahaja.

Di sinilah kita mendapatkan bukti bahawa ahli-ahli UMNO itu diminta terus bersatu mempertahankan parti itu untuk kepentingan mereka yang besar-besar di dalam parti itu. Ahli-ahli di bawah bergaduh sesama sendiri kononnya memperjuangkan negara, bangsa dan agamanya. Akhirnya tidak ada apa yang didapati oleh negara, bangsa dan agamanya.

Hanya mereka yang menjadi pimpinan besar mendapat laba besar, bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk rakan-rakan kroni mereka dalam jumlah yang beratus billion ringgit masing-masing.

Ramai telah menyedari tentang isu ini, maka ramailah yang bertindak dan memberikan reaksi yang berlainan di antara mereka. Ada yang bertukar parti, ada yang menyepi dan ada yang terus mengkririk dari dalam sehingga hari ini. Hanya mereka yang masih terpedaya dengan dakyah yang UMNO itu adalah parti yang berjuang untuk agama, bangsa dan agama sahaja yang masih kekal di dalamnya.

Di dalam PRU 13 yang baru selesai ini BN sepatutnya sudah kalah tetapi parti itu masih selamat kerana kesilapan pihak Pakatan Rakyat yang melakukan kesalahan moral dan politik pada saat-saat akhir sebelum pilihanraya itu.

Dari pandangan sesetengah pihak PR telah kehilangan peluang untuk memenangi sekurang-kurangnya 28 kerusi parlimen kerana kesilapan atau kesalahan sendiri yang ‘unnecessary’ itu. Keghairahan yang keterlaluan pihak PR telah memberikan kemenangan kepada UMNO dan BN yang semasa itu sudah begitu defensif dan dalam ketakutan.

Apakah hikmah di sebalik UMNO yang masih memenangi PRU yang lalu itu? Di sebaliknya apakah hikmah di sebalik kekalahan yang dialami oleh Pakatan Rakyat itu?

Hikmahnya hanya diketahui oleh sesiapa yang mengambil berat untuk melakukan ‘soul searching’ yang intensif dan menerima keputusan dengan kesyukuran kerana hikmah yang diperolehi itu.

09 June 2013

Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah lama tiada, kenapa disebut-sebut lagi?

Akhir-akhir ini ramai yang bercakap tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberikan keistimewaan untuk Bumiputra bagi membolehkan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan semua bangsa dinegara ini. Matlamatnya hanya satu iaitu untuk mencapai perpaduan kaum kerana isu pembahagian kekayaan negara merupakan satu isu yang dilihat sebagai penyebab berlakunya tragedi 13 Mei empat puluh tiga  tahun dahulu.

Menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum serta menghapuskan cara mengenali sesuatu kaum itu melalui fungsi ekonominya merupakan teras DEB melalui tindakan ‘social and economic engineering’ yang teratur dan tersusun telah dilakukan dengan baik pada awalnya. Hasilnya tercapailah satu lagi matlamat untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan diantara yang berada dan tidak berada.

Selalu blog ini mengingatkan kejayaan awal itu. Dari 2.7 peratus pegangan kekayaan negara oleh Bumiputra pada tahun 1970 dahulu, orang Melayu telah mencapai ketahap 18.4 peratus kekayaan itu pada tahun 1984 dahulu. Barang diingat pegangan kekayaan oleh Bumiputra itu adalah termasuk harta yang dimiliki oleh agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan Bumiputra.

Sehingga hari ini masih ramai yang tidak tahu definasi DEB itu sendiri walaupun mereka diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya. Pertamanya dasar itu sendiri sudah tidak wujud lagi dan ramai yang tertanya-tanya, mana kah dia DEB itu sekarang? DEB kata orang, DEB kata mereka. Tetapi mereka masih tidak tahu apakah DEB itu dan apakah matlamatnya.

Sebenarnya DEB itu mempunyai hanya satu matlamat. Matlamatnya ialah penyatuan rakyat semua kaum. Apa yang di sebutkan sebagai menghapuskan cara pengenalan kaum melalui fungsi ekonominya, mengurangkan jurang perbezaan pandapatan diantara yang berada dan tidak berada dan yang lain-lain itu hanyalah proses untuk mencapai matlamat perpaduan kaum itu.

Begitu juga usaha untuk membesarkan kek ekonomi dan memberikan peluang untuk orang Melayu mencapai matlamat pegangan 30 peratus harta kekayaan negara itu juga adalah proses kearah matlamat perpaduan rakyat berbilang kaum itu. Dulu semua rakyat berbilang kaum memahami matlamat dasar ini, tetapi oleh kerana dasar ini telah dilacurkan oleh pimpinan kita sendiri bermula pada pertengahan tahun lapan puluhan dahulu maka generasi muda sekarang tidak tahu menilainya dan menghargai dasar itu.

Sekarang baik dari kaum Melayu mahu pun dari kaum Cina atau bangsa-bangsa lain sudah terlalu jauh dari mengetahui roh dasar itu sendiri. Malahan orang Melayu dan kaum Cina sendiri ingat yang dasar itu masih wujud sedangkan sesungguhnya dasar itu telah tamat dan sudah tiada lagi.

Malahan dasar itu telah diabaikan sejak pertengahan tahun lapan puluhan dahulu kerana semasa itu kepimpinan kita merasakan dasar itu merumitkan mereka sendiri kerana mereka mahukan pembangunan negara dilakukan dengan cepat dan deras melalui penggubalan dasar baru yang menjahanamkan DEB itu sendiri. Zaman lapan puluhan adalah zaman projek raksaksa yang dilakukan melalui rundingan terus. Semuanya hendak dilakukan dengan deras dan tidak payah dimasukkan projek-projek besar ini ke dalam rancangan pembangunan lima tahun itu.

Semuanya hendak dibuat dengan serta merta. Hasilnya mulalah berlaku penyelewengan dan rasuah yang juga raksaksa kerana semua keputusan dibuat secara 'ad hoc'. Apabila budaya ini sudah menjalar kedalam sistem negara kita, maka rasuah dan salahguna kuasa itu sudah tidak dapat dikawal lagi dan itulah sebabnya kita menghadapi banyak krisis diantara kita sekarang ini.

Semua peruntukan dan quota yang sepatutnya di berikan kepada orang melayu seperti yang didasarkan itu telah diambil semua peluang itu oleh rakan-rakan yang hampir dengan kepimpinan dan mereka menggunakan kesempatan itu untuk membina 'empire' kronism diatas nama Bumiputra tadi sedangkan bumiputra yang bekelayakan dan ‘genuine’ tidak mendapat peluang itu misalnya.

Hendak bercerita fasal isu ini sudah menjadi susah kerana generasi sekarang tidak sedar yang mereka adalah mangsa kepada kerakusan pimpinan yang membina kronism yang mereka sokong itu sendiri. Tetapi apa yang orang seperti saya tulis selama ini hanyalah untuk dijadikan rekod sahaja. Kami hanya menulis untuk mereka yang akan datang mengetahui ada kumpulan yang sedar itu tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kekuatan benteng kronism itu sampai lah sekarang ini.

Tetapi sedikit sebanyak bukti itu akan ternyata. Isu yang berkaitan dengan saman Halim Saad terhadap kerajaan yang begitu ‘massive’ sekarang ini akan dapat membuktikan betapa gilanya pimpinan UMNO sejak hampir tiga puluh tahun dahulu. Mereka sudah tidak tahu membezakan diantara harta sendiri dengan harta rakyat dan jumlahnya adalah didalam berbillion-billion ringgit.

Kes saman oleh Halim ini adalah kes perebutan diantara Halim dengan UMNO tentang harta rakyat. Rakyat ramai sekarang hanya menonton bagaimana harta mereka menjadi rebutan diantara UMNO dan Halim  itu tadi. Tetapi UMNO boleh berselindung di sebalik Khazanah Nasional.

Kita bukan hendak tahu siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam kes saman ini. Kita hanya hendak membuktikan ini adalah kes perebutan harta kita diantara dua pihak yang dahulunya sama-sama menyamun kita semua ini.

Isu ini adalah isu rakyat menyaksikan bagaimana dua pihak berebut tentang harta yang mereka rampas dari mereka (rakyat) itu. Satu dari pihak Mahathir, satu lagi bagi pihak Daim pula. Kita mesti faham yang Bumiputra tidak ramai sebenarnya.

Suatu ketika dahulu Bumiputra hanyalah Halim dan rakan-rakan, sekarang Bumiputra hanyalah Syed Mukhtar dan rakan-rakannya. Kita semua yang lain ini bukannya Bumiputra. Kita hanyalah orang melayu yang ditugaskan untuk bertepuk dan bersorak sahaja.

Saya tidak berjanji, tetapi buat sementara ini saudara-saudara ikuti kes ini secara dekat, selepas itu baru blog ini akan mengulasnya secara terperinci. Seronok mengikuti isu ini.