Setiap hari raya isu ayam
berkumandang khususnya terutamanya di pertengahan bulan puasa. Kali ini isu
ayam menjadi isu lebih awal lagi apabila Menteri yang bertanggungjawab, Hasan
Malek membuat kenyataan yang melucukan tetapi membayangkan betapa malasnya beliau
berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata.
Ayam merupakan makanan yang
paling murah berbanding dengan ikan dan daging. Itulah sebabnya isu ayam ini
sentiasa timbul setiap musim perayaan. Isu ini adalah biasa kerana rakyat kita
belum lagi sampai ketahap rakyat berpendapatan tinggi seperti yang dijanjikan
Najib dan Muhyiddin. Bilakah rakyat berpendapat tinggi itu tercapai hanya Tuhan
sahajalah yang mengetahuinya.
Hasan telah menimbulkan kemarahan
ramai orang kerana beliau menjawab seperti seorang yang terlalu malas untuk
berfikir, mungkin kerana terlalu letih menjalankan ibadah puasa. Beliau telah
meminta orang ramai menukar menu makanan. “Jika ayam mahal, jangan makan ayam”,
katanya. Beliau meminta orang ramai carilah makanan yang lebih murah lagi,
tetapi tahu kah beliau ayam itulah yang paling murah jika dibandingkan dengan
ikan dan daging.
Saya sendiri terasa kenaikan
harga ayam itu, kadangkala sehingga RM9 sekilogram. Jika kita ikut pandangan Menteri
ini, pilihan yang ada hanyalah sayur-sayuran hijau atau jika mahu yang lebih ‘solid’
sedikit tidak lain dari memasak gulai ubi dan keledek sahaja. Orang ramai
terutamanya yang tua-tua akan teringat pula dizaman penjajahan Jepun dahulu
yang orang kampung rata-rata hidup dengan memakan ubi kayu sahaja.
Malahan lagu rakyat dizaman Jepun
bagi orang Negeri Sembilan masih lagi saya ingat kerana dinyanyikan oleh
orang-orang tua kampung saya yang tidak berapa jauh dari kampung Hasan Malek
ini. Lagu rakyat itu lebih kurang begini senikatanya:
Den tembak den potek terigo (trigger),
Den tembak den potek terigo (trigger),
Den dapek seekor ayam donak,
Den boghi kepado sajan mejo,
Den naik pangkat lance korporal.
Ompek tahun tigo boleh hari,
Jopun datang memerintah nogoghi,
Ghamai oghang yang bongkak kaki,
Kerano banyak makan ubi……
Kenyataan Menteri Hasan ini
sebenarnya tidak mengejutkan saya kerana saya mempunyai lama pengalaman bersama
beliau menganggotai Jawatankuasa UMNO Bahagian dahulu. Saya bukannya hendak
menuduh beliau itu lemah. Tetapi saya hanya hendak menanyakan yang dia ini
sememangnya seratus peratus tenaganya diperguna untuk mencari jalan untuk
mendapat tempat seperti yang beliau dapati sekarang ini.
Hasan Malek tidak boleh di persalahkan
kerana kesalahan atau kesilapan beliau itu. Yang salahnya ialah pucuk pimpinan
yang memilih beliau untuk di pertanggungjawabkan dengan tugas berat ini. Hasan
ini sememangnya begitu dan kenyataan beliau itu tidak lagi menjadi kesalahan
kepada orang seperti saya. Kita tidak boleh memberikan harapan terlalu tinggi
kepada Menteri ini dan saya tidak mahu memberikan komen lebih dari ini terhadap
beliau.
Tetapi takkanlah isu seperti ini
mendapat jawapan segila ini dari beliau yang sudah begitu lama dan veteran
dalam parti. Takkanlah tidak dapat mempelajari sedikit ‘wisdom’ sebagai seorang
yang sudah begitu panjang usianya.
Hanya saya memberi ingatan kepada
Menteri ini, kalau hendak bercakap elok berfikir dahulu. Biarlah lambat sedikit
keluar kata-katanya, tetapi berfikir dahulu, agar tidak menyakitkan hati rakyat
yang sedang sedia merasa kesakitan dalam hidup ini.
Selepas ini saya berharap
kenyataan seperti ini tidak akan berulang lagi, kerana itu merupakan satu
kenyataan yang terlalu ‘unnecessary’ dan memalukan mereka yang mendukung beliau
selama ini. Kepada Hasan, "you have achieved your ultimate, try your best to be a real Minister, rather than acting like one"
Itu sahaja komen saya. Saya
memberikan komen ini kerana ramai yang meminta saya mengomennya sebab saya
adalah orang Kuala Pilah.
