15 July 2013

Isu harga ayam: Hasan Malek elok berfikir dahulu sebelum berkata-kata

Setiap hari raya isu ayam berkumandang khususnya terutamanya di pertengahan bulan puasa. Kali ini isu ayam menjadi isu lebih awal lagi apabila Menteri yang bertanggungjawab, Hasan Malek membuat kenyataan yang melucukan tetapi membayangkan betapa malasnya beliau berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata.

Ayam merupakan makanan yang paling murah berbanding dengan ikan dan daging. Itulah sebabnya isu ayam ini sentiasa timbul setiap musim perayaan. Isu ini adalah biasa kerana rakyat kita belum lagi sampai ketahap rakyat berpendapatan tinggi seperti yang dijanjikan Najib dan Muhyiddin. Bilakah rakyat berpendapat tinggi itu tercapai hanya Tuhan sahajalah yang mengetahuinya.

Hasan telah menimbulkan kemarahan ramai orang kerana beliau menjawab seperti seorang yang terlalu malas untuk berfikir, mungkin kerana terlalu letih menjalankan ibadah puasa. Beliau telah meminta orang ramai menukar menu makanan. “Jika ayam mahal, jangan makan ayam”, katanya. Beliau meminta orang ramai carilah makanan yang lebih murah lagi, tetapi tahu kah beliau ayam itulah yang paling murah jika dibandingkan dengan ikan dan daging.

Saya sendiri terasa kenaikan harga ayam itu, kadangkala sehingga RM9 sekilogram. Jika kita ikut pandangan Menteri ini, pilihan yang ada hanyalah sayur-sayuran hijau atau jika mahu yang lebih ‘solid’ sedikit tidak lain dari memasak gulai ubi dan keledek sahaja. Orang ramai terutamanya yang tua-tua akan teringat pula dizaman penjajahan Jepun dahulu yang orang kampung rata-rata hidup dengan memakan ubi kayu sahaja.

Malahan lagu rakyat dizaman Jepun bagi orang Negeri Sembilan masih lagi saya ingat kerana dinyanyikan oleh orang-orang tua kampung saya yang tidak berapa jauh dari kampung Hasan Malek ini. Lagu rakyat itu lebih kurang begini senikatanya:

Den tembak den potek terigo (trigger),
Den dapek seekor ayam donak,
Den boghi kepado sajan mejo,
Den naik pangkat lance korporal.

Ompek tahun tigo boleh hari,
Jopun datang memerintah nogoghi,
Ghamai oghang yang bongkak kaki,
Kerano banyak makan ubi……

Kenyataan Menteri Hasan ini sebenarnya tidak mengejutkan saya kerana saya mempunyai lama pengalaman bersama beliau menganggotai Jawatankuasa UMNO Bahagian dahulu. Saya bukannya hendak menuduh beliau itu lemah. Tetapi saya hanya hendak menanyakan yang dia ini sememangnya seratus peratus tenaganya diperguna untuk mencari jalan untuk mendapat tempat seperti yang beliau dapati sekarang ini.

Hasan Malek tidak boleh di persalahkan kerana kesalahan atau kesilapan beliau itu. Yang salahnya ialah pucuk pimpinan yang memilih beliau untuk di pertanggungjawabkan dengan tugas berat ini. Hasan ini sememangnya begitu dan kenyataan beliau itu tidak lagi menjadi kesalahan kepada orang seperti saya. Kita tidak boleh memberikan harapan terlalu tinggi kepada Menteri ini dan saya tidak mahu memberikan komen lebih dari ini terhadap beliau.

Tetapi takkanlah isu seperti ini mendapat jawapan segila ini dari beliau yang sudah begitu lama dan veteran dalam parti. Takkanlah tidak dapat mempelajari sedikit ‘wisdom’ sebagai seorang yang sudah begitu panjang usianya.

Hanya saya memberi ingatan kepada Menteri ini, kalau hendak bercakap elok berfikir dahulu. Biarlah lambat sedikit keluar kata-katanya, tetapi berfikir dahulu, agar tidak menyakitkan hati rakyat yang sedang sedia merasa kesakitan dalam hidup ini.

Selepas ini saya berharap kenyataan seperti ini tidak akan berulang lagi, kerana itu merupakan satu kenyataan yang terlalu ‘unnecessary’ dan memalukan mereka yang mendukung beliau selama ini. Kepada Hasan, "you have achieved your ultimate, try your best to be a real Minister, rather than acting like one"

Itu sahaja komen saya. Saya memberikan komen ini kerana ramai yang meminta saya mengomennya sebab saya adalah orang Kuala Pilah.

PAS menang tidak merugikan, UMNO menang pun tidak menguntungkan

Apa pun keputusan PRK Kuala Besut, keadaan tidak berubah. Ia tetap menunjukkan BN adalah pihak pemerintah yang lemah dan tidak mampu menjadi kerajaan yang kuat dan stabil di Terengganu. Jika PAS memenangi PRK ini, ia akan  menjadikan kedudukan BN dan PR sama banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri Terengganu itu. Tidak pula diketahui apakah cara undang-undang dan perlembagaan yang akan mencari penyelesaian terhadap isu ini jika ia berlaku.

Jika BN menang ia akan mengekalkan kedudukan 17/15 dalam Dewan Undangan Negeri itu dan ia tetap melambangkan kelemahan BN di negeri itu. UMNO sebenarnya tidak kuat di Terengganu dan apa sahaja boleh berlaku dalam PRK kali ini di Kuala Besut. UMNO sendiri bermasalah dalaman yang besar. UMNO tidak bersatu diantara pemimpinnya dan ini diketahui umum.

Idris Jusuh, Ketua UMNO Bahagian itu berkata ada usaha PAS untuk melagakan beliau dengan Menteri Besar, Ahmad Said. Ahmad Shabery Cheek pula mengatakan yang tidak akan ada mana-mana pihak yang akan percaya dengan ‘tohmahan’ PAS itu.

Sesungguhnya kata-kata kedua-dua pemimpin UMNO Terengganu itu adalah lambang kepada apa yang sebenarnya berlaku dalam UMNO Terengganu. Ini politk dan kita faham hakikat yang ada di dalam UMNO itu. Jika ada pemimpinnya bercakap sedemikian. dengan menuding jari dan menuduh PAS melagakan kedua-dua kumpulan dalam UMNO itu semata-mata untuk melindungi dan menutup keadaan sebenarnya dalam parti pemerintah itu.

Hakikatnya kedua-dua pemimpin, Idris dan Ahmad Said ini tidak perlu dilagakan, kerana kedua-duanya memang sudah pun berlaga dari dulu lagi. Bagaimana kita hendak menafikannya kerana mereka berlaga secara terbuka sejak selepas PRU ke12 dahulu. Tidak payah diulangi apa yang berlaku kerana itu semua dalam pengetahuan umum. Jadi jika ada dalam UMNO Terengganu menafikannya itu adalah bohong belaka.

Tetapi itu bukannya perkara penting bagi PAS. Bagi PAS yang penting ialah untuk menunjukkan kepada rakyat yang parti itu adalah parti ‘alternative’ terbaik bagi Melayu yang tidak menyokong UMNO. Baik buruknya PAS itu masih ada bau Melayunya. Yang menang dan yang kalah itu Melayu yang sama agama mereka.

Pilihanraya yang baru lalu ini telah memberikan pelajaran kepada kita yang retorik memperjuangkan ‘multiracialism’ itu adalah palsu semata-mata. Ada pihak yang berjuang untuk ‘multiracialism’ nya tetapi mereka sendiri itu adalah rasis dalam ‘approach’ politik yang di tunjukkan kepada rakyat.

Oleh itu orang Melayu yang beragama Islam ini wajar jangan berpecah dan sama-sama membetulkan apa-apa perbezaan dianatara kita. Yang penting kita tidak boleh berpecah kerana politik kepartian ini. Biarlah politik kepartian ini menjadi kehadapan semasa pilihanraya sahaja.

Dalam kes Kuala Besut ini adalah baik jika PAS diberikan tempat kali ini. Bagi setengah pihak PAS wajar mendapat perhatian orang Melayu khususnya yang beragama Islam. Jika PAS mendapat kemenangan di Besut maka kita boleh menunjukkan kepada mana-mana pihak yang lain yang orang Melayu sudah mula bersatu dan jangan cuba memecahkan Melayu itu untuk kepentingan perjuangan rasis mereka itu.

Setiap orang melakukan kesalahan termasuk saudara dan saya sendiri dalam hidup ini termasuk politik. Hidup ini ibarat meniti permatang sawah yang sempit. Dalam penitian permatangan sawah itu kadangkala kita terkelincir dan jatuh kedalam lopak sawah itu. Tetapi kita bangun dan naik kembali ke permatangan itu dan berjalan terus dan melakukan penitian itu. Jika jatuh lagi, naik kembali dan teruskan perjuangan penitian itu sampai ke penghujung penitian itu.

Saya merasakan tidak ada salahnya jika PAS mendapat tempat di Kuala Besut itu. Setidak-tidaknya jika PAS memenangi kerusi itu kedudukan sama banyak kerusi di DUN Terengganu akan dapat memberikan latihan untuk kita melakukan penyelesaian secara baik apabila berhadapan situasi sedemikian.

Yang penting sekarang kedua-dua pihak mesti menghormati kehadiran pihak lawan dan tidak perlu bergaduh dan bertikam lidah untuk menegakkan perbahasan masing-masing. Jika perbahasan itu terlalu hangat ia sangat tidak kena dengan keadaan pilihanraya di bulan Ramadan al Mubarak ini.

Ada beberapa orang pembaca blog saya dari kawasan itu bertanyakan pihak mana yang mereka harus menyokong. Ternyata mereka adalah dari kumpulan yang duduk diatas pagar. Jawapan saya kepada mereka mudah. Hak untuk mengundi pihak mana itu adalah hak mutlak mereka. Tetapi jika mereka bertanya kepada pandangan dan pendapat saya, saya telah katakan kepada mereka PAS adalah yang sewajarnya diberikan peluang untuk mewakili kawasan Kuala Besut itu.

Memberikan PAS sokongan bukannya tindakan jenayah dan tidak perlu berasa takut untuk memberikan sokongan kepada parti itu. Begitu juga tindakan membelakangkan UMNO dalam pilihanraya kecil di Kuala Besut itu pun bukannya satu tindakan jenayah.

Sementara menunggu UMNO berubah dalam erti kata sebenarnya, memberikan undi kepada PAS itu bukanlah tindakan yang tidak baik, malahan ia akan menambahkan usaha UMNO itu memperbaiki parti itu secara serius.

Setakat hari ini UMNO yang beriya-iya untuk berubah belum pun mendapat ilham apa perubahan yang mereka patut lakukan. Dengan nilai kepimpinan serta keupayaan pimpinan UMNO hari ini ramai berpendapat UMNO tidak akan berubah.

Maka beransur-ansurlah kita memberikan tumpuan untuk menunjukkan yang kita semua adalah manusia yang serius untuk perubahan itu. Tetapi jika UMNO tidak serius untuk berubah pun tidak mengapa kerana orang Melayu mempunyai PAS sebagai pilihan kepada wadah perjuangan mereka.

Tidak ada ruginya jika PAS menang dan tidak pula ada untungnya jika UMNO menang di Besut itu.

14 July 2013

Perjuangan pimpinan dan negara Islam perjuangan sepanjang hayat

Rakyat Mesir akan berhari raya di Dataran Raba’ah dan beberapa dataran lain di Cairo. Mereka tidak akan kembali ke rumah masing-masing selagi Mursi tidak dikembalikan kuasa yang telah dimandatkan rakyat dalam pilihanraya demokrasi yang pertama dua tahun dahulu. Puluhan juta rakyat telah berkumpul dan berhimpun secara terbuka menuntut Mursi dikembalikan ke Istana Presiden di Ittihadiyyah tanpa syarat.

Tiga lagi tuntutan mereka ialah untuk diadakan segera pilihanraya Dewan Rakyat dan kembalikan Dewan Senat yang telah dibubarkan. Mereka juga menuntut agar ditubuhkan Jawatankuasa yang diketuai oleh Mursi yang sebelum ini telah disertai oleh semua pihak. Mereka juga mahukan sistem dalam mana penyingkiran Mursi atau mana-mana Presiden hanya di lakukan mengikut Perlembagaan.

Di Dataran Raba’ah sahaja lebih dari tiga juta rakyat telah berhimpun dan jutaan telah berhimpun di Dataran-Dataran Giza, Ramsis, Istana Ittihadiyyah, Alemena, Qina, Aswan, Asyat dan Fayoun. Mereka mahu keempat-empat tuntutan mereka ini dipenuhi sebelum mereka bersurai dan kembali ke rumah masing-masing. Jika tuntutan mereka tidak dipenuhi mereka akan terus berhimpun dan mereka akan berada di Dataran-Dataran tersebut walaupun semasa Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bagi pemerhati politik himpunan ini merupakan himpunan yang kuat kerana mereka adalah datangnya dari penyokong Mursi yang telah mendapat kemenangan dalam pilihanraya yang lalu dan tentunya mereka adalah dari pihak yang majoriti. Keyakinan  mereka yang berhimpun ini adalah tinggi kerana ini merupakan perhimpunan yang bertembung dengan pihak yang didalangi oleh kuasa asing yang hanya mahu melihat gerakan Islam menjadi kucar-kacir.

Mursi yang menjadi Presiden yang dipilih secara demokrasi buat kali pertama bagi Mesir adalah dari kumpulan pejuang  Ikhwahnul Muslimin. Nyata di Mesir demokrasi yang baru wujud ini tidak bertahan lama kerana Mesir sejak 60 tahun dahulu dipimpin oleh pemimpin yang autokratik dan tidak pernah mengalami demokrasi yang sebenarnya.

Bagi Mesir demokrasi adalah baru dan belum menjadi budaya politik dan cara pemilihan pemimpin bagi mereka. Keadaan itu ditokok tambah dengan peranan yang dimainkan oleh kuasa asing yang berkecenderungan memihak kepada Israel dan zionis yang selama ini menjadi musuh kepada Islam termasuk oleh rakyat Mesir sendiri.

Pejuang Islam telah lama melakukan usaha untuk meminggirkan pimpinan yang autokratik yang pro barat di Mesir. Dalam usaha-usaha itu Presiden Anwar Sadat telah dibunuh oleh pejuang Islam pada 6hb Oktober 1981dahulu, semuanya kerana tentangan mereka terhadap pimpinan yang menjadi boneka kepada barat.

Usaha mereka berterusan dalam beberapa dekad sehinggakan mereka mampu menolak kepimpinan Hosni Mubarak yang telah berkuasa setelah menjadi Presiden menggantikan Anwar Sadat pada 1981 yang lalu dan akhirnya mereka dari puak Islam ini telah berjaya menuntut untuk mengadakan pilihanraya secara demokrasi hampir dua tahun lalu. Kejayaan Ikhwanul Muslimin ini telah menyebabkan pihak yang pro barat tidak berpuas hati dan telah melakukan jenayah politik dengan menyingkirkan Morsi, Presiden yang pertama dipilih melalui demokrasi yang merupakan puak Islam yang berpengaruh di Mesir. Presiden Morsi telah digulingkan oleh pihak yang bersimpati dengan Israel dengan bantuan tentera yang nyata telah mendapat bantuan AS sebayak USD 2billion.

Pendeknya apa yang sedang berlaku di Mesir ini adalah kejadian yang biasa dimana-mana negara yang membiarkan kuasa asing khususnya barat bersama-sama bermain politik dalam negara-negara tersebut. Di Mesir,  pertembungan ini ialah diantara puak pro barat yang takut dengan kekuatan Islam yang bersempadanan dengan negara haram Israel itu.

Israel sememangnya tidak selesa jika ada negara Islam yang berjiran dengannya yang kuat kerana Israel mengakui yang mereka adalah dari negara yang di wujudkan oleh kuasa asing melalui Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1948 dahulu. Israel mendapat sokongan padu dari Amerika Syarikat dan Britain dan apa sahaja yang mereka rasakan boleh mengugat kedudukan Israel, mereka tidak berdiam diri untuk melemahkan pihak ini.

Dalam isu ini banyak negara-negara Timur Tengah yang dalam ketakutan jika ‘arab spring’ berlaku di negara mereka tidak bersama Morsi malahan mereka memberikan dukungan kepada pihak tentera Mesir dalam isu penggulingan Morsi ini. Mereka khuatir jika tidak bersama dengan puak yang menggulingkan Morsi ini mereka akan menghadapi keadaan yang sama kerana mereka tahu yang kuasa luar barat ini akan melengkapkan perjuangan mereka di Timur Tengah dengan melakukan gerakan terhadap mereka dengan menggunakan pihak pembangkang bagi menggugat kedudukan  ‘mornachy’  dinegara mereka.

Qatar, Oman, Emiriah Arab Bersatu serta Jordan memihak kepada tentera dan pembangkang di Mesir dan itu adalah jalan yang selamat bagi mereka untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku di negara mereka.

Pendeknya permainan kuasa asing barat yang menjadikan Timur Tengah sebagai padang permainan politik licik mereka itu adalah semata-mata bagi membenamkan negara-negara islam ke kancah kehancuran untuk memastikan Israel dan sekutunya akan terus bermaharajalela tanpa had. Perjuangan barat yang dikuasai zionis ini adalah perjuangan global dan tidak akan berhenti sampai bila bila.

Di sebaliknya perjuangan negara-negara Islam tidak bersifat global kerana lebih mementingkan puak dan negara sendiri dan itu menyebabkan perjuangan umat Islam tidak padu dan sentiasa menjadi landasan bagi puak barat dukungan zionis ini berkuasa dalam semua bidang  khusunya dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.

Bagi pihak barat memecah-belahkan negara-negara Islam itu adalah perniagaan mereka kerana perpecahan islam dan negara-negara islam itu akan menguntungkan  puak mereka. Itu adalah perjuangan yang ‘ulimate’ bagi puak zionis antarabangsa. Musuh mereka hanya lah Islam dan di Mesir musuh mereka ialah ikhwanul Muslimin yang diketuai oleh Mosri yang baru mereka singkirkan dengan menggunakan tentera Mesir itu sendiri.

Mereka akan menaikkan pemimpin boneka mereka dan perlantikan pimpinan baru Mesir oleh pengguling kerajaan dan pemimpin Islam di Mesir itu adalah permainan mereka yang sangat biasa kita lihat berlaku dimana-mana di dunia ini.

Permainan ganas pihak zionis dan Amerika ini begitu menonjol setelah tamatnya perang dingin diantara Amerika dan barat dengan Soviet Union yang telah berpecah belah dua dekad yang lalu.

Bagi negara kita, rakyat perlu prihatin terhadap elemen ini yang sedang mula berluasa dinegara ini dan rakyat ramai harus berwaspada terhadap isu ini dan jangan sekali-kali membiarkan sesiapa yang menjadi agen permainan zionis dan AS di negara ini mendapat kekuasaan dalam kerajaan dan negara kita.

Perjuangan ini adalah perjuangan yang berterusan dan generasi kita wajar mewariskan semangat menjaga negara ini dari dipengaruhi oleh kuasa asing yang zalim dan jahat ini.

Perjuangan penentang ini wajar ditanam dari mula anak dan generasi kita lahir sampailah keakhir hayat mereka kerana puak zionis yahudi ini akan menggunakan pimpinan Islam sendiri untuk memecah belahkan negara kita yang kita cintai ini seperti yang dilakukannya di Mesir sekarang.

13 July 2013

Mesir akan terus menjadi padang permainan kuasa asing

Mesir sudah menjadi sebuah negara yang kacau bilau. Mesir yang terkenal dalam sejarah sebagai negara yang bermulanya tamadun moden manusia kini boleh dianggap sebagai sebuah negara yang sudah hancur lebur dalam mana di negara itu sudah tidak tentu lagi mana yang benar dan mana yang salah. Semalam telah dijangka puluhan juta rakyat yang menyokong Mohamad Morsi akan berhimpun di Dataran Raba’ah dan ini merupakan himpunan terbesar di negara itu selepas tumbangnya Hosni Mubarak dua tahun lepas.

Hosni Mubarak berkuasa selama 30 tahun dan isu yang dibangkitkan oleh rakyat ialah rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh beliau dan keluarga beliau. Itu adalah isu yang nyata benar. Tetapi kita tidak bertanya siapa dan tangan siapa yang bermain dalam isu penentang terhadap Mohamad Morsi itu? Isu rasuah itu dijadikan oleh pihak  kuasa asing untuk membawa rakyat ke jalanan untuk menentang Hosni sehingga Hosni rebah dan jatuh dimata rakyat dalam kehinaan.

Morsi mengambilalih kuasa setelah ketiadaan Mubarak melalui pilihanraya rakyat. Morsi yang mendapat 52 peratus sokongan rakyat hanya berkuasa selama hampir dua tahun sahaja kerana beliau telah ditumbangkan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan sokongan tentera Mesir setelah jutaan rakyat berhimpun di Dataran Tahrir beberapa ketika.

Semalam, setelah Morsi ditumbangkan oleh sebahagian rakyat dengan bantuan tenteranya maka Mesir kembali bergolak dalam mana penyokong Mohamad Morsi kembali ke jalanan menentang pihak tentera dan yang menyingkirkan Morsi melalui sokongan tentera tadi. Begitulah keadaannya di Mesir dan keadaan ini berlaku tentunya kerana adanya permainan pihak luar dan pengaruh asing untuk melemahkan Mesir.

Kehadiran Morsi sebagai pemimpin baru Mesir sebenarnya tidak di senangi oleh pihak barat terutamanya AS yang begitu tidak senang dengan pendirian Mesir terhadap isu Palestin dan Israel. Kuasa Barat yang begitu senang kedudukan mereka semasa pemerintahan Hosni Mubarak telah begitu gusar dengan pendirian Morsi dalam isu Timur Tengah yang masih bergolak sejak 1967 dahulu.

Masyarakat antarabangsa faham dengan keadaan di Mesir sekarang ini. Mesir dipermainkan oleh AS dan Israel dan itu menyebabkan rakyat Mesir menjadi rakyat yang kacau bilau dan sudah tidak mengenali yang baik dan yang buruk serta yang mana musuh dan yang mana kawan.

Penganalisis politik antarabangsa ada berpendapat yang tentera Mesir itu sendiri telah dirasuk oleh pihak luar dan ada yang menuduh tentera Mesir telah mendapat bantuan kewangan yang besar dari AS. Malahan tentera Mesir merupakan penerima kedua terbesar dari AS selepas Israel. AS tidak rela melihat sebuah negara Islam yang kuat di sekeliling atau dipersempadanan Israel kerana kuatnya Mesir itu akan merbahayakan Israel yang menjadi sekutu terkuat AS itu. Malahan Israel dikatakan oleh banyak pihak sebagai negeri yang ke53 AS yang diwujudkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1948 dahulu yang di ketuai oleh Amerika Syarikat dan Britain.

Tidak hairan jika Mesir diperlakukan begitu oleh Pihak Barat kerana Mesir merupakan negara yang terhampir dengan Israel dan jika Mesir menunjukkan sikap tidak ada kebersamaan perjuangan dengan kuasa asing yang mempertahankan Israel itu maka memecahkan negara itu merupakan cara yang amat biasa dialami oleh mana-mana negara yang tidak bersekutu pendapat dengan AS dan kuasa asing yang lain.

Tetapi tidak semua rakyat yang bersama dalam usaha menjatuhkan pemerintahan Morsi yang baru berusia setahun jagung itu. Hari ini puluhan juta rakyat Mesir akan keluar untuk menunjukkan bantahan terhadap pihak pembangkang dan tentera Mesir yang telah bertindak ganas membunuh puluhan penyokong Morsi yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya pertama selepas kejatuhan Mubarak dua tahun dahulu.

Rakyat telah mempersoalkan siapa Mohamed ElBaradei yang telah dilantik menjadi orang kuat dalam kerajaan sokongan tentera ini. Mohamed ElBaradei seorang yang pernah mengetuai IAEA yang begitu rapat dengan Barat sudah mula dikutuk rakyat Mesir yang telah memilih pemimpin mereka secara demokrasi. Kali ini rakyat Mesir dibawa kembali untuk menumbangkan kerajaan yang mereka pilih sendiri dalam pilihanraya dua tahun lepas.

Dari saat ini sehingga masa yang tidak dapat kita tentukan Mesir akan menjadi medan permainan politik besar kuasa asing, khususnya kuasa barat yang tidak mahu melihat Mesir menjadi negara tetangga Israel yang kuat. Selagi rakyat Mesir masih tidak menyedari yang mereka dilaga-lagakan oleh kuasa dan pengaruh asing, selagi itulah negara itu tidak akan aman.

Morsi tidak disenangi kerana Islamnya. Morsi tidak boleh menjadi pemimpin Mesir kerana beliau akan menggugat kestabilan negara haram Israel dan Morsi adalah musuh kepada mereka yang menentang Islam dan perjuangannya.

Rakyat Mesir dihasut untuk menolak Morsi kerana mereka memberikan alasan yang Morsi tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat selama enam puluh tahun dalam tempoh dua tahun.

Itulah akibatnya rakyat yang tidak mahu mengakui yang pimpinan yang bermain-main dengan kuasa asing untuk mendapatkan kuasa akan akhirnya membunuh rakyat mereka sendiri. Semua pemimpin yang menebal sekularnya sekarang sedang kembali ke Mesir untuk merayakan kemenangan mereka bersekutu dengan kuasa asing.

Apa yang berlaku di Mesir ini semestinya menjadi contoh dan sempadan kepada kita di Malaysia ini. Kita mesti akui dan menerima hakikat yang mana-mana pemimpin yang mengadu dan meminta pertolongan kuasa asing untuk berkuasa akhirnya akan menjahanamkan negara dan demokrasinya sendiri.

Belajarlah dari kejadian di Mesir ini dan jadikanlah alam yang terbentang luas ini sebagai guru. Jangan biarkan mana-mana agen luar untuk menguasai pemikiran rakyat dan politik negara kita ini.

Mesir sememangnya menjadi tempat permainan politik kuasa barat sejak penghujung pemerintahan Gamal Abd Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak sehinggalah zaman pemerintahan Morsi