17 August 2013

Anwar dan Mahathir : kedua-duanya sama, sebab itu tidak sehayun dan selenggang (bhg akhir)

Dalam politik, hari ini berkawan hari esok bermusuhan. Begitulah juga disebaliknya. Perselisihan diantara Mahathir dengan Anwar merupakan insiden yang tidak mengejutkan kerana diantara mereka tidak ada kesetiaan walaupun bekerjasma dalam satu jemaah yang mentadbir kerajaan. Masing-masing bekerjasama kerana kepentingan politik yang sangat besar nikmatnya dan masing-masing meninjau kesempatan di setiap masa untuk mendapatkan kepentingan dan keuntungan untuk diri masing-masing.

Dr Mahathir memilih Anwar sebagai rakan kongsinya dalam kerajaan setelah beliau ‘bercerai’ dengan rakan-rakan kongsi beliau sebelum itu, iaitu Musa dan Ghaffar. Anwar juga berusaha untuk menunjukkan sokongan terhadap Dr Mahathir kerana beliau tidak mahu dalam kerugian seperti yang dialami oleh timbalan-timbalan Dr Mahathir sebelumnya.

Anwar tidak berjaya menyorokkan keghairahan beliau untuk menjadi Perdana Menteri dengan tindakan beliau yang jelas-jelasnya banyak membuatkan Dr Mahathir merasa tersinggung seolah-olah sebagai tindakan ‘insubordination’ dari Anwar bagi menjatuhkan imej dan keyakinan ramai terhadap beliau (Dr Mahathir). Dr Mahathir bukannya jenis pemimpin yang mampu bertahan untuk terus ‘co-exist’ dengan sesiapa yang beliau syaki sebagai cuba mempengaruhi kuasa dan pengaruh politik negara.

Sesiapa pun tidak boleh menyalahkan Dr Mahathir mempunyai sifat seperti ini kerana Mahathir mempunyai latar belakang keluarga yang berlainan dengan latar belakang keluarga Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelumnya. Semua PM sebelumnya adalah berlatar belakangkan pemimpin dari keluarga ‘aristocrat’ yang ‘magnanimous’ sifat mereka.

Tunku, Razak dan Hussein merupakan pemimpin yang mempunyai ‘finesse’ yang begitu tinggi dan mereka boleh ‘co-exist’ dengan sesiapa yang berada disekeliling mereka. Mereka lebih ‘refined’ dalam perhubungan sesama pemimpin dan manusia dan perbezaan ini adalah perbezaan yang sangat ‘natural’.

Kalau dikaji dengan rapi Tunku tahu dan merasakan yang pimpinan beliau di pengaruhi oleh Tun Razak tetapi Tunku tidak pula melatah dan membawa Tun Razak kepada tahap bergaduh. Perselisihan diantara mereka tidak pun diketahui umum kerana mereka kedua-duanya adalah dari keluarga dan latar belakang yang sama. Contohnya Tunku tahu Tun Razak mewujudkan KEMAS dibawah Kementerian yang beliau pegang sedangkan Jabatan Penerangan Khas sudah wujud sejak merdeka lagi.

Jika Tunku hendak mengambil hati ia merupakan isu yang mudah untuk membuatkan kedua-dua mereka berselisih faham dan tidak sebulu. Semasa itu ramai yang tahu mewujudkan KEMAS dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar oleh Tun Razak itu semata-mata untuk mengimbangi pengaruh Jabatan Penerangan Khas yang sudah tersedia ada sejak medeka lagi. Walau apa pun perbezaan diantara mereka, perbezaan itu tidak diketahui umum dan kerana itu tidak ada perbahasan tentang perbezaan pendapat dan pandangan diantara kedua-dua pimpin nombor satu dan nombor dua itu.

Tetapi Dr Mahathir tidak begitu kerana beliau adalah Perdana Menteri yang pertama yang datang dari keluarga orang biasa dan jika ada perbezaan beliau dengan pemimpin sebelum itu, ia merupakan satu isu yang sangat ‘normal’. Dr Mahathir tidak boleh tahan bersama dengan sesiapa yang tidak mengikut kehendak beliau kerana Dr Mahathir mempunyai ‘inferiority complex’ yang wujud secara ‘natural’ bagi orang seperti Dr Mahathir itu.

Orang seperti Dr Mahathir akan membinasakan apa-apa atau sesiapa yang beliau rasakan menjadi penghalang kepada kehendak beliau. Apabila mempunyai seorang Timbalan seperti Anwar yang juga dari keluarga yang biasa sahaja maka pertembungan itu tentulah lebih menonjol lagi. Apabila kedua-duanya datang dari satu keluarga yang mempunyai ‘attribute’ yang sama maka ia mudah menjadi isu yang membawa pergaduhan secara terbuka.

Itulah sebabnya kita mendengar ramai yang melakukan ‘name calling’ terhadap Dr Mahathir oleh pihak yang menentangnya. Kita telah terlalu biasa mendengar panggilan yang tidak beretika terhadap Dr Mahathir seperti panggilan mamak dan sebagainya. Saya bersimpati terhadap Dr Mahathir dalam isu ini. Kenapa dilekatkan panggilan ‘mamak’ terhadap Mahathir dan tidak pada Anwar misalnya sedangkan Anwar juga datang dari keluarga dan darah yang sama dengan Dr Mahathir. Ramai yang tidak sedar perkara ini kerana terlalu tertumpu kepada menghentam Dr Mahathir.

Itu sebabnya saya selalu mengingatkan kepada pengomen-pengomen dalam blog ini suapaya tidak mangamalkan ‘name calling’ itu kerana ia melambangkan kelemahan dan keburukan kepada mereka yang melakukannya. Kita tidak perlu menyebut isu keturunan orang lain kerana orang lain juga boleh melakukan perkara yang sama terhadap diri kita.

Pertembungan Dr Mahathir dengan Anwar seperti yang saya sebutkan ialah kerana isu politik peribadi semata-mata dan hanya sedikit sahaja isu untuk rakyat dan negara. Pergaduhan diantara kedua-dua pemimpin ini juga adalah di sebabkan pengipas-pengipas dan pengampu-pengampu dikalangan penyokong masing-masing. Pengampu serta penasihat masing-masing mahukan pemimpin masing-masing berjaya dan itu selalunya wujud dari pemimpin-pemimpin yang datang dari latar belakang yang biasa kerana mereka tidak mempunyai ‘magnanimity’ yang tinggi di dalam diri mereka.

Itu sebabnya Dr Mahathir menggunakan isu kenakalan peribadi Anwar untuk menjatuhkan dan memecat timbalannya yang ‘overly ambitious’ itu..

Sehingga sekarang ramai yang bertanya kepada diri mereka sendiri, kenapa Mahathir menggunakan isu kenakalan Anwar itu untuk menjatuhkan timbalannya itu? Dr M berkata tuduhan beliau itu adalah berasas kerana Ketua Polis Negara Tun Haniff telah memberikan lapuran kepadanya tentang kenakalan Anwar itu pada tahun 1992 lagi.

Tidak salah jika dikatakan yang Dr Mahathir tidak peduli dengan isu yang dilapurkan oleh Ketua Polis Negara semasa itu kerana beliau (Dr Mahathir) adalah manusia yang liberal. Beliau hanya mendiamkan sahaja isu itu dan beliau simpan semua lapuran dari KPN itu.

Tetapi apabila Mahathir yakin yang Anwar sedang dalam persediaan untuk mengenepikan beliau Dr Mahathir terus sahaja menggunakan isu yang beliau simpan dan sembunyikan itu secara ‘expedient’ untuk menjatuhkan Anwar pada awal September 1998 dahulu.

Pendeknya, seseorang yang berada disekeliling Dr Mahathir itu tidak perlu gusar untuk berada dalam zon yang selamat dibawah Dr Mahathir. Seseorang itu akan hanya menghadapi bahaya jika mula menunjukkan atau memberikan perasaan syak wasangka beliau (Mahathir) terhadap kesetiaan seseorang itu terhadap dirinya.

Dr Mahathir mahukan hanya kesetiaan. Siapa dan apa nilai seseorang itu tidak mengapa baginya. Itu sebabnya UMNO tidak ada kepimpinan pelapis yang ‘viable’ sehingga ke hari ini. Justeru UMNO sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat serius dan Tuhan sahajalah yang Maha Mengetahui bagaimana hendak mencari penyelesaiannya.

16 August 2013

Anwar, Mahathir - diantara dua pemimpin yang tamak dengan yang dahagakan kuasa

DAP terpaksa mengadakan semula pemilihan jawatan kuasa pusatnya (CEC) diatas arahan RoS. DAP tidak dapat mengelak untuk mengadakan pemilihan bagi mengelak dari pendaftaran parti itu terbatal. Berbagai cara dilakukan oleh DAP untuk mengelakkan pemilihan diadakan semula tetapi akhirnya akur atas arahan RoS dan akan mengadakan kembali pemilihan CEC itu ditarikh yang bakal di putuskan tidak berapa lama lagi.

Pemilihan semula kali ini mengajar parti itu bahawa sesebuah parti politik tidak boleh dimanipulasi oleh gulungan tertentu sahaja untuk memperkuatkan kuasa satu gulungan dalam parti itu. DAP sepatutnya belajar zaman untuk parti itu hanya di kuasai oleh pihak tertentu sahaja sudah berakhir kerana zaman rakyat berfikir sudah mendatang.

UMNO juga akan mengadakan pemilihan kali ini dan msing-masing yang telah mengambil keputusan untuk bertanding sudah mula berkempen dan lobi hotel yang banyak bintangnya sudah mula dipenuhi oleh bakal perwakilan serta mereka yang bertanding. Tidak lama lagi pusat-pusat hiburan akan dipenuhi oleh bakal perwakilan dan bakal calon yang akan bertanding. Sudah mula ada pihak dalam UMNO sudah menagih wang untuk mendapatkan sokongan tetapi bagaimana hendak membeli undi dari seramai hampir 150 ribu perwakilan tidak tahu pula di fahami.

MIC dan MCA serta parti-parti lain di Sabah dan Sarawak juga akan mengadakan pemilihan dalam persidangan tahunan masing-masing  tetapi yang paling menarik sekali ialah tentang pertandingan dalam UMNO kali ini. Kali ini pemimpin-pemimpin lebih dari 20,000 cawangan bersama jawatankuasa masing-masing boleh memainkan peranan untuk memilih pimpinan peringkat tertinggi dan ini merupakan satu kelainan dari kaedah pemilihan sebelum ini.

UMNO disamping itu sedang menghadapi masalah dalaman yang besar di setiap peringkat dan ini juga mempengaruhi keadaan dalam pemilihan nanti. Kalau keadaan UMNO ini berlaku didalam mana-mana parti di negeri-negeri maju tentulah pimpinan utama seperti Najib akan tumbang. Selalunya pimpinan yang tidak mampu membawa perubahan,  keamanan serta kemajuan rakyat akan tumbang ditangan ahli-ahli yang sedar dan bermaklumat.

Bagi saya walaupun ini peluang untuk UMNO mendapatkan pimpinan yang boleh membawa pembaharuan saya berpendapat UMNO tidak mungkin berjaya berubah seperti laungan pimpinan mereka sejak setahun dua yang lalu. Apakah yang menyebabkan saya berfikiran begitu? Mari kita lihat dari satu dua sudut yang real dan praktikal.

Pertamanya kalau pun hendak mengubah kepimpinan siapa yang hendak menggantikan Najib kalau budaya ‘patronization’ dalam UMNO terus berlaku? Tentulah pilihan mereka itu adalah dikalangan yang berada di dalam Majlis Tertinggi parti itu. Kalau pilihan itu datangnya dari barisan kepimpinan dalam Majlis Tertinggi sekarang ini elok kita lupakan sahaja niat untuk melihat berubahan itu. UMNO sudah terbiar melata dalam kepimpinannya sejak hampir tiga puluh tahun dahulu.

UMNO ketandusan kepimpinan. Mereka yang berkepimpinan sudah tiada dalam UMNO dan tidak ada yang boleh dididik sebagai pemimpin pilihan dalam keadaan UMNO sudah melata sekarang ini. Mereka yang akan menawarkan kepimpinan jika ada adalah dikalangan mereka yang sama kualiti, budaya dan tahap kemampuan mereka berfikir. Ia ibarat menukar diantara belacan dengan cencaluk sahaja.

Kebanyakan yang ada dalam UMNO itu ibarat garam dalam gulai sahaja. Walaupun garam itu penting tetapi tidak boleh di masukkan terlalu banyak dalam masakan kita. Garam diperlukan setakat sesedap rasa sahaja. Kalau di bubuh garam terlalu banyak maka gulai dan lauk itu tidak akan mampu di makan oleh sesiapa pun.

UMNO telah membunuh mereka yang berkepimpinan sejak Dr Mahathir mengambil alih kuasa dan budaya membunuh dan mengenepikan pemimpin yang boleh memimpin itu masih berlaku sampai kehari ini. Dr Mahathir akhirnya mendapat set baru pimpinan UMNO dibawahnya. Diantaranya ialah Anwar Ibrahim, Abdullah Badawi, Najib dan selepas bersara wujud nama Muhyiddin Yassin.

Diantara nama yang disebut tadi Anwar lah yang paling menonjol dan keghairahan beliau terlalu nyata, sehinggakan dalam proses beliau menaiki kekuasaan itu terlalu ramai pemimpin yang dilandanya dan ini menyakitkan hati banyak pihak. Dr Mahathir terlalu memilih orang yang beliau hendak kuasai tetapi beliau jauh tersasar niatnya dengan Anwar.

Silat dan langkah Anwar mendapat perhatian termasuk usahanya untuk menjadi terkenal di pentas dunia khususnya di Amerika Syarikat. Anwar menghabiskan banyak masa untuk ‘solicit international support’ sebagai persediaan beliau untuk menongkah Dr Mahathir.

Apabila Anwar rata-rata dikhabarkan akan menentang Dr Mahathir Presiden UMNO, Mahathir dan teman-teman rapat beliau mula melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk menyekat Anwar. Mereka mula sedar yang sokongan Anwar terhadap beliau (Mahathir) hanyalah sementara menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan gerakan mengejut untuk menentang Dr Mahathir yang kian hari kian merosot persepsi orang ramai terhadap beliau,.

Anwar semasa menyertai UMNO telah berjanji kepada rakan-rakannya di dalam Abim yang beliau akan meningkat menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 11 tahun sahaja dan meminta mereka merestui tindakan beliau meyertai UMNO. Silat dan langkah Anwar yang begitu ‘aggressive’ telah akhirnya berjaya menumpaskan halangan seperti Ghaffar Baba dan kumpulan Dr Mahathir sendiri seperti Sanusi dan rakan-rakannya.

Anwar akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan merupakan orang yang mengambil giliran yang ketiga menjadi Timabalan kepada Dr Mahathir. Cita-cita besar Anwar sudah hampir kepada matlamatnya. Anwar begitu yakin yang beliau akhirnya akan dapat mengatasi halangan terakhir iaitu dengan mengenepikan Dr Mahathir melalui pengaruh kuatnya dalam UMNO.

Mahathir begitu ‘innovative’ dalam mencari jalan penyelesaian untuk dirinya dalam menghadapi asakan dari pengaruh Anwar yang tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri itu.

Caranya tidak lain dan tidak bukan ialah dengan memecat Anwar Ibrahim dari UMNO, dan asas untuk Anwar dipecat di sediakan oleh Anwar sendiri. Mahathir hanya menuai apa yang terbit sahaja bagi memecat Anwar dari parti dan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Hari yang paling baik untuk  pemecatan Anwar sampai pada September !998. Mahathir memulakan kembali usaha memperkuatkan diri beliau dari saat itu. Seperti yang kita semua fahami dalam krisis seperti ini Mahathir sentiasa terselamat dari bahaya politik peribadinya. Mahathir hanya kuat dalam krisis.

(bersambung)

15 August 2013

The awakening': Dr Mahathir tidak benarkan sesiapa berfikir (Tamat)

Berbeza dengan Abdullah, Anwar tidak disukai Mahathir setelah menjadi Timbalannya kerana pengaruh Anwar yang bertambah besar dalam UMNO. Anwar begitu kuat pengaruhnya kerana kemahiran beliau bermain politik dan bukannya kerana beliau pemimpin yang ber ‘consequence’ dalam pembangunan negara. Anwar menampakkan ‘obsessions’ beliau untuk menjadi Perdana Menteri secepat yang mungkin dan dalam proses menaiki tangga kuasa dalam parti banyak juga pemimpin yang menjadi korban beliau. Anwar tidak belajar dari pengalaman Musa, Timbalan Perdana Menteri pertama dibawah Dr Mahathir.

Anwar telah mengorbankan Ghaffar Baba dengan kuasa kewangan yang ada ditangan beliau. Kehadiran Anwar banyak menyumbang kepada perpecahan dan tidak puas hati dalam UMNO kerana beliau dipersepsikan sebagai seorang yang mahu melangkahi ramai pemimpin yang ‘senior’ dalam UMNO, termasuk diawalnya Musa Hitam, Haji Suhaimi serta ramai yang lain seolah-olah beliau dianggap sebagai seorang pemimpin yang turun dari langit ketujuh.

Semasa dalam kuasa, Anwar terlalu jelas meletakkan orang-orangnya di semua tempat dan kedudukan penting dalam kerajaan dan parti dan segala tindakan beliau itu jelas mencetuskan perasaan tidak puas hati terhadap beliau. Malahan tindakan membina 'kronism' yang di lemparkan kepada Dr Mahathir sebenarnya berlaku berluas-luasa di dalam kem Anwar. Di pusat-pusat pengajian tinggi, di dalam sektor korporat dan berbagai-bagai agensi kerajaan dipenuhi oleh ‘orang-orang’ Anwar malahan sampaikan  ‘journalist-journalist’ pun meninggalkan ‘profession’ mereka dan menjadi ahli korporat.

Hampir semua Menteri Besar adalah penyokong Anwar dan tidak hairan ia menjadikan Dr Mahathir begitu gelisah dengan tindakan Anwar yang agak ‘over’ dalam politik Melayu dan dianggap oleh banyak pihak diluar sebagai terlalu jauh keluar dari budaya politik yang sedia ada selama ini. Anwar terlalu jelas ‘overly ambitious’ dan tidak dapat disorokkan dan di samping itu mengampu secara tidak ‘natural’ terhadap Dr Mahathir. Mahathir telah mula hilang keyakinan terhadap Anwar apabila pada pemilihan 1996 sudah ada suara meminta Anwar melawan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO.

Ramai dikalangan ‘foot soldiers’ Dr Mahathir bercakap dimana-mana yang Anwar tidak akan menjadi PM kerana lagak yang ditunjukkan itu amat merbahaya bagi politik negara. Maka bermulalah usaha untuk menjatuhkan Anwar dengan menggunakan kenakalan Anwar sebagai isu untuk menjatuhkannya.

Maka berlakulah apa yang telah kita semua lihat telah terjadi. Abdullah Badawi yang selama ini bermain-main dalam diam untuk mempengaruhi usaha untuk menjatuhkan Anwar mendapat tempat sebagai pengganti timbalan kepada Dr Mahathir yang keempat kalinya. Dalam pada itu Dr Mahathir sudah nampak desakan untuk meletakkan jawatan dan berundur maka Abdullah lah yang bernasib baik yang akhirnya menjadi Perdana Menteri manggantikan Dr Mahathir.

Kebetulan Abdullah pandai mengambil hati Dr Mahathir dan hanya mengangguk sahaja dengan apa yang diarahkan dan perlakuan Dr Mahathir. Mahathir tidak ada halangan maka Abdullah menjadi penggantinya. Beliau mempunyai imej sebagai orang baik tetapi tidak ada pula yang menganggap Abdullah sebagai pemimpin yang baik. Sesungguhnya orang baik sahaja tidak boleh memimpin diperingkat tertinggi kerana yang boleh memimpin peringkat tertinggi hanya pemimpin yang baik, bukannya orang yang baik.

Mahathir boleh bekerjasama dengan beliau kerana Abdullah ini hanya mengangguk semata-mata untuk mempastikan beliau tidak menerima nasib seperti tiga orang Timbalan Perdana Menteri sebelumnya. Abdullah tahu melalui pengalaman yang dialami oleh Musa, Ghaffar dan Anwar yang Mahathir jangan sekali-kali di sanggah pemikiran dan kemahuan beliau.

Dalam UMNO dari zaman itu, hanya Dr Mahathir sahaja yang layak dan sepatutnya berfikir. Yang lain hanya ditugas mengangguk dan bertepuk tangan sahaja dalam Perhimpunan Agung. Abdullah tahu bagaimana hendak kendalikan Dr Mahathir semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Abdullah hanya menunggu masa untuk mengambil alih dan membuat apa yang sepatutnya beliau lakukan sebagai Perdana Menteri. Abdulah berfikir, beliau tidak perlu membayar walaupun sepuluh sen untuk mendapatkan kerusi Perdana Menteri itu. Yang perlu beliau lakukan hanyalah mengiyakan sahaja apa kemahuan Dr Mahathir sahaja. Abdullah tahu Mahathir walaupun nampak berjiwa besar tetapi pada hakikatnya beliau mempunyai jiwa yang kenit sahaja.

Mahathir perlukan orang dikelilingnya hanya penghiburnya sahaja. Beliau tidak boleh disanggah walau sedikit pun. Itu sebabnya Dr Mahathir bergaduh dengan semua pihak. Beliau bergaduh dengan kesatuan sekerja, beliau berperang mulut dengan Bar Council, beliau bergaduh dengan Hakim-Hakim dan kemuncaknya beliau bergaduh dengan Raja-Raja Melayu. Diperingkat antarabangsa beliau bergaduh dengan Australia, dengan Amerika Syarikat, dengan Britain dan dengan semua negara yang lain. Yang kita belum mendengar Dr Mahathir bergaduh ialah dengan anak isterinya dan semua Doktor.

Masalah beliau dengan Abdullah bermula semasa Abdullah menjadi Perdana Menteri. Mahathir merasakan yang Abdullah tidak mengenang budi. Bagi Mahathir semua orang mesti mengenang budinya. Hanya beliau sahaja yang berkelayakan untuk tidak mengenang budi rakan-rakannya yang menaikkan beliau dalam politik. Abdullah tidak mengindahkan apa keputusan yang dibuat semasa kabinet Dr Mahathir dan diantaranya ialah membatalkan projek jambatan bengkok ke Singapura.

Kalau hendak tahu kenapa Dr Mahathir bergaduh dengan Abdullah, elok kita baca sendiri apa yang dikatakan oleh Abdullah dalam wawancara ‘editor’ The awakening itu. Apa yang diperkatakan oleh Abdullah tertulis dalam buku tersebut. Tidak payah blog ini melanjutkan kata-kata Abdullah itu.

Tetapi sebagai penutup, saya hanya hendak menyebut satu perkara. Mahathir jangan disanggah. Kalau disanggah terima sahajalah nasib anda pada masa yang akan datang. Penyakit itu juga merebak dalam parti-pati pembangkang.

Dalam DAP misalnya jangan sekali-kali menyanggah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta seorang dua kroni mereka dalam parti itu. Kalau hendak menyanggah juga terimalah nasib anda dimasa depan.

14 August 2013

'The awakening': Mahathir tak sempat bergaduh dengan Abdullah sebelum dia jadi PM (sambungan)

Dr Mahathir menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun 1975 selepas beliau dipulihkan oleh Tun Razak keahlian dalam UMNO, kalau tidak silap saya pada tahun 1972 atau tahun 1973 selepas dipecat dari UMNO pada tahun 1969. Ada pihak-pihak dalam UMNO itu sendiri menyokong kemasukan Dr Mahathir kembali di dalam UMNO tetapi apabila beliau mengemukakan borang untuk menyertai UMNO kembali, beliau memilih untuk menyertainya di Rawang kerana di Kedah tidak begitu ramai yang berminat untuk membawa beliau kedalam UMNO.

Semasa itu di Rawang, Tunku Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen bagi kawasan itu, dan merupakan sahabat Dr Mahathir yang rapat. Maka mudah bagi beliau untuk mendapatkan sokongan untuk kembali kedalam UMNO. Itu sebabnya Dr Mahathir kembali ke dalam UMNO melalui UMNO Rawang dan hanya kembali ke Kedah selepas beliau telah kembali pulih kedudukan beliau di dalam UMNO.

Dr Mahathir menjadi Naib Presiden bersama Tengku Razaleigh yang telah menduduki kerusi ketiga tertinggi di dalam parti itu dua tahun sebelumnya. Seorang lagi tentulah Ghaffar Baba yang telah menjadi Naib Presiden sejak awal tahun enam puluhan lagi. Dr Mahathir mendapat kedudukan yang ketiga dikalangan ketiga-tiga Naib Presiden itu.

Semasa itu Abdullah Badawi belum lagi berada dimana-mana di dalam UMNO kerana beliau masih menjadi Ketua Pengarah Belia dan selepas itu menjadi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Abdullah hanya keluar dari perkhidmatan kerajaan untuk menyertai Pilihanraya 1978 dahulu untuk menggantikan Nordin Sophie bagi kawasan Kepala Batas.

Musa Hitam hanya menjadi Naib Presiden pada tahun 1978. Anwar Ibrahim semasa itu masih tidak terfikir oleh sesiapa dalam UMNO, hanya beliau diingat sebagai bekas pemimpin pelajar dan seorang yang begitu rapat dengan PAS kerana kedudukan beliau sebagai Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) semasa itu.

Anwar hanya menyertai UMNO pada Februari 1982 sahaja dan belum pun kering tanda-tangan keahliannya dalam UMNO beliau telah menumbangkan Haji Suhaimi Kamarudin sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dengan sokongan Dr Mahathir Mohammed.

Seperti yang saya selalu sebutkan semasa Dr Mahathir mendekati kerusi Perdana Menteri, iaitu semasa beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai ‘grassroot’ yang kukuh. Seperti biasa orang yang paling di khuatiri berada di sisinya ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Malahan Mahathir begitu tidak seronok melihat Tengku Razaleigh seolah-olah seorang defacto ‘Prime Minister’ kerana Perdana Menteri Tun Razak dan Hussein telah memberikan tanggungjawab yang besar kepada TR.

Saat untuk menyekat kemaraan TR tiba apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada tahun 1981 diperhimpunan yang sama berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden diantara Musa dengan Tengku Razaleigh. Musa yang dalam diam-diam juga berminat untuk menaiki takhta kuasa, diambil kesempatan oleh Mahathir dan melagakan Musa dengan Tengku Razaleigh sehingga berlaku pertandingan sengit diantara kedua-dua Naib Presiden UMNO itu untuk jawatan Timbalan Presiden.

Mahathir berada dibelakang TR semata-mata untuk menyekat TR menaiki kuasa. Sesungguhnya Mahathir juga waktu yang sama yang Musa juga mempunyai minat yang kuat untuk menjadi Perdana Menteri. Maka Mahathir menjadikan TR dengan Musa mempunyai kekuatan seimbang bagi mengelakkan tentangan dari salah saorang dari kepimpinan yang dibentuk untuk negara oleh Tunku dan Tun Razak.

Apabila Musa sedar apa yang ada di dalam benak Mahathir itu dan datang pula berbagai-bagai cabaran untuk menyekat kemaraan Musa, maka Musa meninggalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada awal tahun 1986. Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu telah menjadikan UMNO kelam kabut dan rombong selepas rombongan terdiri dari Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri serta Menteri Besar telah berduyun ke London untuk memujuk Musa menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan itu.

Tunku Abdul Rahman telah bersuara dalam persaraannya dan menyatakan persaraan Musa Hitam itu sepatutnya di iringi oleh satu Perwakilan Khas UMNO untuk berbincang dan membuat ketetapan. Di sini Mahathir tahu jika Perhimpunan Agung Khas itu dipanggil maka Musa akan mendapat ‘endorsement’ yang kuat dan tidak terkejut jika Musa kembali dan membuatkan dirinya menjadi kuat selepas perhimpunan Agung Khas itu.

Mahathir tidak peduli dan terus memberi kenyataan yang perletakkan jawatan Musa itu diterima dan menutup isu Perhimpunan Agung Khas itu samasekali. Memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO akan membuatkan Musa kuat dan dengan senang sahaja Musa boleh mengambil alih kepimpinan negara dari Mahathir.

Saya dan beberapa orang pemimpin UMNO dibawah-bawah ini berkesempatan bertanya Musa kenapa beliau meletakkan jawatan, Musa menjawab, ‘Mahathir has a freezer in him. Hatinya kering dan tidak boleh bersamanya lagi’.

Dalam pada itu UMNO sudah ada Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pemuda dan ini semua memudahkan Musa menjawab apa yang akan berlaku kepada beliau. Anwar seorang muda yang begitu ‘ambitious’ akan berperanan untuk mengubah scenario politik negara dan akan bermula ‘politiking’ yang hebat dalam UMNO. Setiap pemimpin yang berwibawa yang pengimbangnya yang disediakan oleh Dr Mahathir dan beliau tahu dengan cara ini sahaja beliau mampu untuk berkuasa selama mana yang beliau idamkan.

Selepas Musa, Ghaffar Baba yang tiga bulan lebih tua dari Mahathir, menggantikan Musa dan di zaman Ghaffar menjadi Timbalannya, Mahathir tidak segelabah dahulu kerana beliau tahu Ghaffar mempunyai banyak kekurangan untuk mengatasi beliau (Mahathir). Entah dimana datangnya cerita pada suatu ketika selepas Ghaffar mengambil alih Musa Hitam itu, Ghaffar percaya yang Mahathir akan bersara dan memberikan jawatan Perdana Menteri buat pertama kalinya dari seorang guru biasa  sekolah.

Orang seperti saya amat susah mempercayai cerita itu dan selepas itu nyata Ghaffar juga menjadi mangsa permainan politik kotor UMNO dan kali ini Anwar pula yang menolak Ghaffar keluar dan tentunya dengan perkenan Dr Mahathir sendiri.

Ghaffar bersara dan mengambil keputusan untuk bercuti dan amat sedih melihat Ghaffar keluar negara dengan menjinjing beg plastik mengandungi buku-buku untuk dibaca dalam penerbangan jauh entah kemana itu.

Maka terjunlah seorang lagi Timbalan kepada Dr Mahathir maka Mahathir memilih pula Timbalan yang baru. Namanya ialah orang yang paling ‘famous’ pada hari ini bernama Anwar Ibrahim. Anwar ini ‘famous’ sungguh. ‘Famous’ dalam segala-galanya.

Abdullah yang selepas Anwar tidak sempat diterjunkan kerana waktu untuk Dr Mahathir bersara sampai tatkala Abdullah dan Mahathir belum sempat bergaduh. Mereka bergaduh hanya setelah Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Abdullah lebih bernasib baik dari tiga Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau.

(Bersambung)