15 September 2013

Jangan tadbir kerajaan seperti mengurus khairat kematian

BN khususnya UMNO perlu kembali kepada asas (basic) politik sebenarnya yang telah membezakan kejayaan dahulu dengan kegagalannya sekarang ini. Tidak munasabah tidak ada kelainannya jika tidak ada perbezaan dahulu dan sekarang. Jika ia sama seperti dahulu masakan sekarang keadaan rakyat tidak seindah dahulu.

Benar, lain dahulu lain sekarang, dan keadaan berbeza tetapi asas perjuangannya jangan sekali-kali berubah. Ia mesti berdasarkan kepada menjaga perpaduan kaum dan mengisi kemerdekaan negara dengan pembangunan rakyatnya secara menyeluruh yang berpandukan kepada budaya dan identiti negara dan rakyat yang kukuh.

Tetapi faktor penyebab kenapa dahulu kita berjaya  perlu diperkaya dan diperkuatkan, itu merupakan tuntutan zaman dan waktunya. Sebenarya budaya kehidupan termasuk budaya politik merupakan faktor yang terpenting. Apabila perubahan kepada budaya itu berlaku maka kita semua harus bertanggungjawab dengan perbezaan dengan dahulu itu, kerana itu adalah hasil dari perbuatan dan perlakuan kita sendiri.

Hidup ini termasuk politik mesti mempunyai nilai dan ‘virtues’ yang selari dengan keadaan rakyat dan dalam kes negara kita ini, budaya itulah yang difahami dengan baik oleh pemimpin-pemimpin dahulu seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak dan Hussein. Asas kita bersatu diantara semua kaum contohnya, ia terlandas kepada asas yang sangat sempit dan tidak boleh dianjak dan dialih dengan mudah jika kita mahu perpaduan itu terus menerus wujud dan mengamankan kehidupan kita semua.

Tetapi oleh kerana kita dipimpin oleh seorang atau kumpulan pemimpin yang kononnya hendak melakukan semua perkara semasa pemerintahannya, maka isu moral dan nilai serta adab dan adat yang ada kepada kita diketepikan maka kita terimalah badainya sekarang ini. Setiap kaum dan bangsa ada adat dan cara hidupnya sendiri.

Bermula dari kepimpinan lapan puluhan, semuanya ini telah diubah diatas nama kemajuan dan kemodenan. Kita hilangkan identiti kita sendiri. Menganjak dan mengalih ‘paradigm’ yang dilakukan oleh Mahathir dahulu memulakan perbezaan keadaan siasah negara kita. Mengalih dan menganjak budaya siasah kita itu telah menghilangkan segala sahsiah politik kita dan ia telah menjadikan rakyat lupa kepada nilai dan ‘virtues’ yang baik yang ada dikalangan bangsa-bangsa dinegara ini.

Jika kita baca dan lihat Bab3 Perlembagaan parti pemerintah UMNO itu pun tidak terlaksana. Dalam Bab itu telah nyata ditulis yang budaya rakyat mestilah budaya keperbilangan kaum yang berteraskan kepada kebudayaan Melayu. Malahan pemimpin-pemimpin besar pun ada yang belum pun terbaca Bab ini dan tidak pun memahami kandungan Perlembagaan parti yang telah menjadikan masing-masing pemimpin yang bernama dan bergelar.

Itu sebenarnya penyakit yang dihadapi oleh siasah negara kita hasil dari peralihan ‘paradigm’ yang sangat sensitif itu. Maka wujudlah masalah dalam mana kerajaan terpaksa melakukan tindakan tanpa perancangan dan tindakan mereka selalu dilakukan secara 'ad hoc'. Masalah tidak diselesaikan dengan perancangan yang betul. Pembayaran BRIM, bayaran ‘one offs’ kepada beberapa sektor awam itu semua tindakan 'ad hoc' tanpa perancangan tersusun. Semuanya ini merupakan tindakan menghilangkan sakit tetapi tidak pernah berusaha menghilangkan penyakit yang menghinggapi negara.

Semuanya tidak terancang sehinggakan terpaksa memujuk kaum India dengan berbelanja puluhan dan ratusan juta ringgit untuk sekolah Tamil dan berbagai-bagai lagi dorongan untuk kaum India. Begitu juga dengan sekolah jenis kebangsaan Cina yang disogok dengan pemberian dan peruntukan secara 'ad hoc' semata-mata kerana hendak membeli jiwa dan raga kaum Cina dalam setiap pilihanraya.

Berbelanja secara ‘impulsive’ ini membebankan rakyat. Jumlahnya berbillion-billion ringgit. Kita bernasib baik kerana kita ada Petronas yang ditubuhkan oleh pimpinan masa dulu yang sentiasa dijadikan sumber kewangan bagi kerajaan berbelanja seperti membelanjakan wang datok nenek mereka sendiri. Selain dari itu sumber wang rakyat yang lain seperti KWSP dan KWAP (Kumpulan Wang Amanah Pencen) dan yang lain-lain terpaksa menjadi bahan gadaian untuk kepentingan politik parti yang kian hari kian lemah.

Sumber kekayaan dari Petronas itu jika ada di negara Scandinavia atau negara Eropah yang lain kita tidak dapat bayangkan bagaimana kemajuan negara-negara tersebut. Tanpa sumber asli seperti minyak itu pun negara-negara tersebut telah menjadi negara yang mempunyai pe kapita pendapat yang lebih tinggi dari negara G8 sendiri. Disebaliknya disebalik kekayaan yang kita ada kita masih ketinggalan dengan banyak negara, waimma dari negara-negara jiran kita sendiri.

Cara Najib dan barisan pimpinannya berbelanja tidak memerlukan orang yang cerdas. Sesiapa yang diberikan kuasa seperti itu boleh berbelanja. Bak kata setengah orang, ‘nothing to shout about’. Pengurusan kerajaan bukannya seperti pengurusan khairat kematian. Bagi Najib, wang yang dibelanjakan itu bukannya wang beliau, tetapi wang itu adalah wang rakyat. Kerana apa keadaan ini berlaku? Jawapannya kerana mereka bukannya ‘planners’ atau perancang yang berkemampuan. Itu sebab semuanya dilakukan kerana kepentingan politik peribadi dan kepartian masing-masing.

Apabila negara di urus secara tidak tersusun dan baik, maka wujud kesan sampingan seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berterusan tanpa had. Di tambah pula dengan kefakiran jiwa kepimpinan itu maka rasuah menjadi cara hidup dan siasah negara.

Politik menjadi kacau bilau dan parti-parti politik yang mana sekali pun tidak dapat diyakini. Kekeruhan perhubungan diantara kaum semakin menjadi-jadi dan polarisasi kaum bertambah nyata. Tidak ada satu kaum pun mempunyai rasa percaya dan mempercayai diantara satu dengan lain.

DAP yang memperjuangkan keperbilangan kaum di negara ini juga tidak melaksanakan apa yang mereka laungkan dan parti ini telah menggunakan kaum Melayu dan India sebagai penampal poster sahaja. Tetapi tidak boleh di salahkan DAP semata-mata kerana parti itu tidak percayakan orang Melayu.

Maka DAP meletakkan semua kaum Cina sebagai calon di Pulau Pinang dan mana-mana negeri sekalipun dan hasil dari kejayaannya sejak akhir-akhir ini. Parti itu nampak lebih angkuh dengan berbagai-bagai kesalahan seperti yang berlaku dalam mana-mana parti dalam BN juga.

Elemen tamakkan kuasa sudah terlalu jelas dan tidak dapat dibayangkan bagaimana sikapnya jika Tuhan izinkan parti ini bersama-sama berkuasa di Putrajaya selepas PRU 13 yang lepas. ‘Attribute’ terlalu 'kecinaan'nya tidak dapat dinafikan kerana sekarang kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri hasil kerja parti itu dalam PRU yang lalu.

Laungan parti itu tidak lagi laku kepada keseluruhan rakyat dan ini merupakan kejayaan yang optima bagi parti itu. Selepas ini dijangka parti itu akan menghadapi zaman menurunnya ditambah pula dengan masalah dalaman yang sangat besar yang sedang wujud di dalamnya.

Semuanya ini kerana kerakusan. Tidak akan kekal lama sesebuah parti yang dikuasai oleh segelintiran atau satu keluarga sahaja. Walaupun parti itu bukannya parti yang bersifat ‘mass movement’, ia mudah di fahami oleh rakyat termasuk ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya sendiri.

DAP telah gagal untuk membuktikan yang parti itu adalah ‘multiracial’ dalam PRU yang lalu. Yang nyata parti itu tetap parti Cina dan jangan ada yang menafikannya. DAP tidak boleh menyorok di sebalik telunjuk atau disebalik pelita yang terang.

'Once a liar, it remains a liar'…and forever.

13 September 2013

RCI kad pengenalan: bukan Mahathir seorang yang bertanggungjawab

Semakin hari Mahathir semakin terserlah sebagai pelaku segala kesalahan terhadap negara. Tidak salah lagi jika dikatakan oleh setengah pihak Mahathir adalah penjenayah kepada negara yang terulung. Tetapi ia bukan dilakukan oleh Mahathir seorang sahaja. Mereka yang memberikan sokongan kepada Dr mahathir sekian lama juga adalah pihak yang sama jenayahnya kepada negara.

Mahathir merupakan saksi yang ke 209 dalam RCI tentang pendatang haram yang diberikan kad pengenalan oleh kerajaan pimpinannya di Sabah dan Sarawak. Seperti biasa Mahathir bersikap angkuh dan tidak mahu menjawab pertanyaan dan soalan secara jujur tetapi cuba menafikan penglibatannya dengan cuba menyalahkan semua pihak termasuk Anwar Ibrahim.

Mahathir memberi 'testimony' kepada RCI yang di tubuhkan oleh Kerajaan yang beliau tidak pernah mendengar cerita Projek IC ini sehingga baru-baru ini dan ia tentunya dilakukan oleh pegawai rendahan yang tidak bertanggungjawab. Sememangnya Mahathir terkenal dan termasyor dengan kebolehan bercakap bohong dan mengalihkan kesalahannya kepada pihak lain.

Itulah yang menyebabkan beliau boleh memerintah lama dan ini dianggap oleh banyak pihak sebagai kebolehan luar biasa seorang pemimpin.Sebenarnya jika seseorang itu tidak mengambil pertimbangan untuk mengendung moral, semua perkara boleh dilakukan. Mahathir tidak mengambil isu moral semeskali dan itulah yang membuatkan beliau boleh memimpin kerajaan sebegitu lama tetapi tidak mempunyai 'legitimacy' yang secukupnya untuk memimpin.

Hakikatnya semasa Mahathir berkuasa tidak ada siapa yang boleh mengganggu kehendak dan kemahuannya. Semua yang ada di dalam kerajaan, baik dari pihak pelaksana mahupun dari pihak penggubal dasar di setiap peringkat, tahu yang pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing itu adalah satu isu yang nyata.

Tetapi semasa itu semua ahli politik BN khususnya UMNO, berbangga dapat memenangi pilihanraya melalui pemberian kad pengenalan itu dan ia merupakan ‘open secret’ kepada semua rakyat Malaysia termasuk di Semenanjung Malaysia ini. Mahathir tetap ‘accountable’ terhadap pemberian kad pengenalan itu.

Ini merupakan satu tindakan ‘treason’ atau tindakan menderhaka kepada negara yang tidak sepatutnya ada pihak yang menafikannya. Hukuman terhadap penderhakaan kepada negara ini semua orang tahu dan tidak payah disebut dan di ulangi lagi. Ramai orang tidak berani menyebut apa hukuman terhadap kesalahan ini kerana ia terkena kepada Dr Mahathir.

Tetapi kalau ia terkena kepada Mat Sabu seluruh jentera kerajaan dan badan kehakiman dan perundangan akan mengambil tindakan pantas untuk mengenakan Mat Sabu, jika boleh di masukkan kedalam panjara. Tetapi itu adalah ‘accountability’ Dr Mahathir? Bagaimana pula dengan ‘responsibility’ bagi Ahli-Ahli Jemaah Kabinet’ pula? Kenapa mereka tidak mengambil tindakan terhadap ketua eksekutif mereka yang bernama Dr Mahathir itu?

Kenapa Kabinet serta parti yang memerintah tidak pula mahu menyandarkan kesalahan keada semua pemimpin kerajaan dan parti pemerintah semasa pemberian kad pengenalan itu? Sebenarnya dalam isu ini bukan Mahathir sahaja yang bersalah dan mengambil ‘accountability’ itu. Semua pemimpin kerajaan perlu mengambil ‘responsibility’ terhadap kejadian ini.

Tetapi pemimpin kerajaan semasa itu bukannya hendak mengambil tanggungjawab tetapi menumpukan tenaga mereka untuk memberikan ampunan terhadap Dr Mahathir. Kesemuanya mahu mendapat tempat dalam kerajaan yang penuh dengan ‘nikmat’ rasuah dan penyalah gunaan kuasa itu. Kata Mahathir yang Anwar tahu perkara isu pemberian kad pengenalan itu adalah benar. Bukan Anwar sahaja yang tahu. Semua Menteri kabinet tahu dan semua Menteri Kabinet Sabah pun tahu.

Anwar tidak berani mengambil tindakan, walaupun beliau adalah Timbalan Perdana Menteri semasa itu. Anwar mengambil tindakan mengampu Dr Mahathir sehinggakan beliau berkata, “seandainya awan dilangit boleh dipintalnya akan ku tulis nama mu Mahathir!, sedangkan beliau (Anwar) tahu apa yang berlaku dalam isu pemberian kad pengenalan ini.” Bagi Anwar apa saja yang dilakukan oleh Mahathir itu benar semata-mata kerana ingin mempastikan beliau mengambil alih kepimpinan negara.

Saya berkeyakinan jika tidak ada berlaku pemecatan Anwar oleh Dr Mahathir itu isu pemberian kad pengenalan ini akan tetap berluas-luasa jika Anwar menjadi Perdana Menteri selepas Mahathir dahulu. Hanya setelah berbalah sahaja Anwar mahu sedikit sebanyak bercerita tentang kelemahan Dr Mahathir dahulu. Sesungguhnya Mahathir dan Anwar bersama-sama melakukan kesalahan ini atau setidak-tidaknya Anwar membiarkan sahaja kedurjanaan itu berlaku.

Bagi saya kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan Anwar juga terlibat dengan mendiamkan dirinya itu adalah benar. Kalau Mahathir mengatakan yang semua yang memerintah semasa itu tahu, juga benar. Hanya semasa itu apa yang dikatakan oleh Mahathir itu adalah ‘law’ dan tidak boleh disoal-soal lagi.

Pendeknya semua diantara mereka yang ada dalam kabinet semasa Mahathir itu adalah bersalah. Ada usaha dari dalam pimpinan UMNO untuk menolak kepimpinan Mahathir semasa itu, tetapi tidak berjaya kerana penipuan dan pelanggaran terhadap Badan Kehakiman dan Badan Undang-Undang Negara oleh Dr Mahathir.

Maka segala kerja hina tetapi serius berlaku kerana Dr Mahathir merasakan tidak ada satu pun yang beliau takutkan semasa itu. Undang-undang adalah hak beliau untuk menentukannya, keputusan penghakiman sudah tersedia ditangan Mahathir malahan segala-galanya ditangan Dr Mahathir. Negara ini seolah-olah Dr Mahathir yang punya dan tiada yang lain yang patut berkuasa.

Malahan semua kepimpinan negara selepas beliau bersara adalah pilihan beliau. Akhirnya semua pilihan beliau membawa jahanam kepada negara. Mereka yang beliau naikkan semuanya mereka yang beliau rasakan boleh beliau kuasai dari luar. Sekarang giliran Najib pula yang beliau mahu nyahkan sedangkan Najib itu adalah pilihan beliau sendiri. Abdullah dahulu pun pilihan beliau akhirnya beliau juga yang mahukan Abdullah berhenti dan bersara.

Itu sebabnya saya selalu berkata, seperti matematik, menggunakan formula yang betul adalah cara untuk mendapat jawapan yang betul. Formula untuk mendapatkan pimpinan yang betul ialah dengan memilih siapa yang beliau tidak mahukan berkuasa dari dahulu lagi. Mana yang telah dipilih oleh Dr Mahathir atau yang beliau akan pilih untuk  menggantikan Najib sekarang ini adalah pasti bukannya pemimpin yang baik untuk negara, walaupun ia mungkin baik untuk kepentingan Dr Mahathir sendiri.

Perpecahan dalam parti UMNO sekarang ini ada kaitan dengan permainan Dr Mahathir. Sekarang sudah ramai yang bercakap dengan lantang, “it’s easier to replace Najib than to change him”.

Kita terpaksa akui UMNO dalam keadaan yang paling dhaif sekarang ini. Pandai-pandailah memilih kali ini. Jika UMNO tidak mampu membuat pilihan yang baik ramai yang berharap BN dan pimpinannya sekali wajar untuk bertindak untuk mencari pemimpin yang lebih berupaya dan mempunyai roh yang kuat dalam isu kenegaraan ini.

05 September 2013

Kalau hendak berubah perlu serius, ubah habis-habisan

Keadaan negara sekarang membimbangkan ramai. Kita seolah-olah tidak mempunyai sebuah kerajaan yang mentadbir negara kerana dalam semua hal pimpinan hari ini tidak berupaya memberikan semangat dan keyakinan kepada rakyat dengan sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegini, samada ia wajar atau tidak kerajaan telah mengambil keputusan untuk menaikan harga petrol dan ia menambahkan rasa kerunsingan rakyat terhadap masa depan kepimpinan negara. Mungkin ada kewajaran untuk menaikan harga minyak itu, tetapi ia tetap membebankan rakyat dan menjadikan negara dalam keadaan krisis keyakinan yang lebih serius dan ‘real’.

Kerajaan mungkin memberikan alasan kenaikan itu hanyalah tindakan mengurangkan subsidi harga petrol tetapi tindakan itu diambil dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kepimpinan negara. Kerajaan mungkin tersepit diantara keperluan mengurangkan defisit bajet negara, dan mengintai peluang untuk mendapatkan tambahan sokongan rakyat kerajaan.

Najib tidak mendapat kepercayaan sepenuhnya dari dalam parti dan diantara komponen BN sendiri. Tidak ada salahnya jika parti-parti dalam komponen BN itu merasakan keadaan begini kerana masing-masing mempunyai matlamat untuk negara. Dari pihak pembangkang pula, masalah bukannya kecil terutamanya dari DAP dan PKR kerana masing-masing sedang menghadapi masalah dalam pentadbiran parti mereka sendiri.

DAP sedang menghadapi masalah pemilihan CEC nya dan akhir-akhir ini timbul kenyataan yang parti itu juga menghadapi sikap tidak telus terhadap ahlinya sendiri. Sehingga hari ini parti itu masih belum menyelesaikan isu senarai 500 ahli yang sepatutnya menjadi perwakilan dalam pemilihan parti itu.

Entah apa yang hendak disorokan dari pengetahuan ROS dan rakyat semua, hanya pimpinan parti itu sahaja yang tahu. Tetapi yang pasti parti itu tidaklah sebersih yang digambarkan dahulu. Mereka tetap sama dengan sikap dan nilai kepimpinan parti-parti dalam BN selama ini.

Pengongkongan kuasa oleh sebahagian kumpulan dalam kepimpinan parti itu tetap bertambah nyata dan jelas. Kumpulan yang menguasai parti itu jelas terlalu takut jika kumpulan mereka tidak lagi menguasai parti itu dan hilang pengaruh mereka dalam pemilihan ulangan CEC sekarang ini.

PKR sibuk mencari helah untuk memalingkan pandangan dan perhatian rakyat terhadap isu membabitkan Ketua Umum nya dalam menghadapi sesi perbicaraan di Mahkamah minggu hadapan. Dalam sistem politik acuan Dr Mahathir ini, akhirnya telah membuahkan politik yang tidak baik dari kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Jika dikaji dengan sehalus-halusnya masalah yang timbul, tidak ada kena mengena dengan ahli-ahli parti dan rakyat. Yang membuat masalah adalah pemimpin-pemimpin mereka sendiri yang membawa perpecahan dikalangan ahli-ahli yang masing-masing mempunyai ‘preferences’ terhadap individu-individu pemimpin yang bertelagah itu..

Masalahnya sekarang tidak ada pemimpin yang boleh menjadi penyelamat di kalangan yang ada dalam kerajaan. UMNO, bukannya kali ini sahaja menghadapi masalah seperti ini, tetapi semasa itu masih ada mereka yang sedang berkuasa mampu memberikan penyelesaian kepada apa jua bentuk kemelut politik negara.

Dahulu dalam keadaan parti dan kerajaan, ada pemimpin seperti Ghaffar Baba yang mampu membawa semua pihak untuk menyelesaikan masalah-masalah yang wujud. Tetapi yang ada hari ini yang setaraf dengan kedudukan Ghaffar Baba ini, iaitu Muhyiddin Yassin tidak mempunyai ‘umph’ yang kuat untuk membawa penyelesaian dalam parti untuk jangka masa yang panjang.

Sebaliknya Muhyiddin kerana kelemahan kepimpinannya lebih cenderung untuk mendiamkan diri untuk kepentingan peribadi beliau sahaja. Tidak ada pemimpin yang berani dan berkemampuan untuk bertindak. Itulah perbezaa kualiti kepimpinan dahulu dan sekarang dan itu jugalah membezakan keadaan dahulu dengan sekarang ini.

Sebagaimana yang saya sebut selalu, UMNO sudah ketiadaan kepimpinan. Jika ada pun pemimpin yang boleh melakukan perubahan itu mereka akan di hapuskan dari awal lagi kerana peranan ‘warlords’ dalam parti yang kerja mereka tidak lain selain dari hanya menjaga kepentingan diri dan keluarga sendiri. Pemimpin yang berkemampuan dan ‘viable’ untuk negara hanya duduk di tepian gelanggang politik tanah air, hanya memerhati perlakuan mereka yang sedang asyik dengan kuasa dan glamour politik semata-mata..

Bagi saya seluruh anggotan BN itu termasuk di Sabah dan Sarawak menerima hakikat yang mereka merupakan bahagian yang penting dalam komponen BN itu dan mereka perlu melakukan tugas untuk memberikan pembaikan keadaan ini. Semua pihak wajar mengakui hakikat kelemahan yang ada kepada kita dan perlu bersama-sama mencari penyelesaian terhadap apa yang melanda negara kita kini.

Mungkin dengan mencari seorang pemimpin yang lain dari yang ada dalam barisan kepimpinan sekarang ini boleh membawa arus perubahan dalam ‘ambience’ yang baru bagi melupakan keadaan kekalutan politik yang dirasakan oleh banyak pihak. Keadaan politik dan kerajaan itu amat bergantung kepada individu pemimpin yang mengetuai kepimpinan negara. Baik pemimpin itu maka baiklah kepimpinan negara. Begitu jugalah sebaliknya.

Kekalutan yang berlaku dalam negara kita ini sudah terbukti tidak mampu diperbaiki oleh kepimpinan yang ada pada hari ini, walaupun rakyat telah memberikan masa melebihi satu dekad untuk membetulkan keadaannya. Kalau diberikan waktu yang lebih lama dengan barisan kepimpinan yang ada pada hari ini keadaan tidak akan berubah. Negara terpaksa mencari individu yang mampu menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Mungkin pemimpin itu sudah lama tidak berada dalam ‘mainstream’ kepimpinan negara kerana permainan politik kotor sejak berdekad yang lalu. Bukan sedikit bilangan pemimpin berkemampuan yang telah diketepikan secara sistmatik oleh pemimpin yang tamak dan tindakan mengenepikan pemimpin seperti ini adalah kerana kemampuannya yang jelas. Sudah begitu lama UMNO ketiadaan pemimpin berwibawa kerana permainan pemimpin lain yang begitu 'obsessed' dengan kuasa yang ada ditangan mereka.

Isu ini wajar menjadi fokus dan tumpuan semua pemimpin besar dalam parti-parti yang wujud di negara ini bagi melakukan ‘once and for all’ perubahan drastik agar negara kembali kepada landasan kenegaraan yang betul.

Kita tidak boleh membiarkan negara kita dalam kemurungan tanpa ada sesuatu dilakukan secara betul dan benar.

01 September 2013

Rakyat 'suspects everybody and trusts nobody'

Banyak cadangan dari banyak pihak supaya Anwar mencadangkan dialog perpaduan yang beliau mahukan itu di Parlimen jika beliau serius untuk melihat perpaduan itu. Ramai berpendapat jika ia dilakukan cara itu, ia merupakan jalan yang paling ‘transparent’ sekali dan boleh di lihat dan di dengar oleh rakyat yang sedang dalam pencarian ini.

Dengan cara itu maka ia bermakna membawa rakyat sekali bersama-sama untuk mengambil keputusan besar itu dan jika hasilnya tidak sebaik mana pun, rakyat sekali akan menerima beban kegagalan itu. Rakyat akan merasakan yang mereka telah di bawa bersama dalam mengambil satu-satu keputusan besar itu.

Ianya tentulah lebih baik dari berunding di antara dua orang yang sedang dalam keadaan terdesak dan mahukan rakyat menerima sahaja apa yang mereka berdua putuskan. Berunding cara terbuka inilah yang sebaik-baik cadangan daripada perundingan yang dilakukan di dalam semak atau di sebalik bukit bukan yang tidak diketahui umum.

Berunding dalam gelap ini, walaupun berdua sahaja mereka akan ditemankan oleh pihak ketiga, iaitu syaitan dan iblis. Syaitan dan iblis akan sentiasa menghasut untuk mempengaruhi segala-gala keputusan mengikut kemahuan yang bathil yang menguasai diri mereka yang berunding itu. Jika dilakukan perundingan hanya berdua sahaja, maka pihak ketiga yang tidak nampak di pandang mata itu akan menghasut sesama mereka berdua sebelum sebarang keputusan di ambil.

Iblis dan syaitan akan menasihatkan mereka berdua untuk bersetuju bagi menutup kesalahan mereka kepada rakyat. Iblis dan syaitan akan menutupi segala kesalahan mereka (jika ada) dari pengetahuan rakyat yang sebenar-benarnya empunya kepada negara dan hartanya sekali. Dua orang yang dihasut oleh iblis dan syaitan itu akan digerakan oleh pengaruh yang bathil itu untuk berjanji melindungi masalah-masalah masing-masing dari pengetahuan rakyat khususnya kepada ahli-ahli parti masing-masing.

Maka perundingan secara terbuka itu tentulah di Dewan Parlimen premis yang paling sesuai untuk matlamat perpaduan itu. Berunding secara terbuka itu akan dapat menyelesaikan masalah rakyat sekali. Jika mereka berunding di dalam semak dan belukar mereka akan hanya menumpukan kepada menyelesaikan masalah peribadi mereka sahaja.

Rakyat akan bertanya kepada Najib, sudahkah perundingan itu dipersetujui oleh komponen-komponen BN sebalum berunding itu? Bagitu juga bagi Anwar, sudahkah PAS dan DAP dimaklumkan dn telah mendapat persetujuan dari mereka? Rakyat  tidak boleh di bohongi lagi kerana mereka (rakyat) sudah mengenali siapa mereka yang sedang dalam perundingan itu.

Rakyat mampu bersama memberikan input terhadap isu yang dikatakan sebagai isu penting untuk dibincangkan dan tidak akan hanya tertumpu untuk mengatur siapa yang menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pertama dan kedua misalnya.

Jika ada hasrat untuk Selangor di kembalikan kepada BN dan UMNO sebagai alat kompromi dati pihak Pakatan Rakyat, sudahkah dipersetujui oleh ahli-ahli komponen Pakatan Rakyat? Bagaimana cara untuk melakukannya? Adakah cerita PKR akan dibubarkan dan kembali semuanya kedalam UMNO yang tersiar satu ketika dulu akan menjadi kenyataan? Biarlah ia dilakukan dalam keadaan terbuka dan rakyat tidak akan menyalahkan sesiapa jika perundingan itu membawa kepada keadaan yang tidak dijangka-jangka pada masa depan.

Sebenarnya tidak ada siapa yang tidak mahu bersatu. Tetapi kemusykilan rakyat itu sentiasa wujud kerana rakyat sudah terlalu biasa dikelirukan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini, baik mereka yang memimpin kerajaan atau yang memimpin pembangkang. Pemimpin BN dan pembangkang tidak boleh menyalahkan orang ramai kerana mereka telah mengalami banyak insiden buruk hasil permainan politik pimpinan masing-masing.

Rakyat sekarang sentiasa dalam keadaan tertipu dan kekeliruan kerana perlakuan pemimpin-pemimpin selama ini.

‘They suspect everybody and trust nobody’ kerana dalam politik jejak kita dalam air sekali pun mampu di ikuti oleh pihak lain.