16 October 2013

Apa gunanya popular jika di tolak rakyat, kata Khairy

“Tiada gunanya popular jika di tolak rakyat” kata Khairy Jamaludin. Ini merupakan kenyataan yang paling benar yang kita dengar dari mulut Ketua Pergerakan Pemuda yang baru di perbaharui mandat oleh perwakilan Pemuda dalam pemilihan  UMNO minggu lepas.

Bukan sahaja blog ini, tetapi juga oleh banyak pihak, yang populariti kepimpinan itu hanya boleh di nilai oleh orang ramai bukannya oleh ahli-ahli UMNO semata-mata. Selama ini ramai pemimpin khususnya Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah memenangi jawatan penting itu tanpa bertanding, tetapi nyata UMNO menjadi lemah seperti yang kita saksikan sekarang.

Jika kemenangan tanpa bertanding pemimpin utama parti selama itu menjadi kayu pengukur popularnya parti itu, masakan UMNO kini sudah diambang kehancuran? Jika kemenangan tanpa pertandingan itu boleh menjamin kerajaan itu bersih tanpa rasuah dan salahguna kuasa, masakan penyakit itu menjalar begitu menular walaupun hampir setiap pemimpin utama negara menang tanpa bertanding.

Saya sangat bergembira mendengar kenyataan Khairy semalam dan ini membuatkan hati saya berkata, “masih ada harapan UMNO itu segar kembali, tetapi kenalah ada ramai lagi yang berfikiran seperti itu’. Walau bagaimana pun itu baru kenyataannya sahaja. Yang akan di perhatikan ialah tindakan susulan untuk merealisasikan pemikiran beliau itu. Pandangan inilah yang boleh menyejukan hati setengah rakyat yang sudah diambang tua ini untuk mendengarnya.

Bagi saya, saya rela memberikan pandangan dan input yang kasar sahaja kerana mungkin pandangan dan input dari orang seperti saya dan yang lain tidak semestinya betul. Tetapi kami boleh merasakan yang kami diberi peluang untuk berinteraksi untuk kebaikan kita. Khairy tidak perlu menjadi popular di kalangan UMNO tetapi menerima doa popular dari rakyat yang ramai.

Rakyat yang ramai mungkin tidak dapat memberikan undi kepada Khairy tetapi rakyat yang ramai boleh membantu dengan permohonan kepada yang pemberi yang ‘ultimate’ yang Maha Pemberi itu. Pemberian dari Maha Pemberi itu merupakan pemberian yang di berkati dan ia tidak sehebat pemberi dari pengundi dalam parti.

Pemberi dari dalam parti itu boleh berubah mengikut keadaan. Ia boleh datang dan hilang dalam masa yang singkat. Mereka adalah politikus-politikus yang mengamalkan politk mengikut resmi air, di mana lekok di situ mereka berhenti. 'No permanent friends and no permanent enemies'. 

Sandarkan keyakinan kepada yang Esa kerana negara ini adalah negara bertuah dan banyak anugerah Tuhan, yang ramai tidak menyedarinya. Itulah sebabnya mengkufuri segala nikmat dan rahmat itu adalah dosa yang sebesar-besarnya.

Saya dan ramai yang lain memahami tekanan yang ada di dalam jiwa pemimpin muda ini setelah mendapat pembaharuan mandat itu.. Tetapi jika kita bersandar kepada yang hak, ia akan memutikkan jiwa yang tenang dan dalam ketenangan jiwa itu, maka mudahlah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berada dihadapan beliau, sebesar mana pun halangannya.

Hanya tingkatkan syariat tebalkan hakikat, tidak ada siapa dan sesuatu pun mampu menghalang kemaraan perjuangan seseorang itu, ‘come what may’.   

15 October 2013

Selamat Hari Raya korban Dato Seri, mulakan ibadah korban untuk negara

UMNO tidak berdaya lagi untuk melakukan perubahan walaupun itulah tajuk dan permainan lidah pucuk pimpinannya. UMNO tidak lagi segemilang dahulu. UMNO sudah menjadi beban kepada BN yang amat berat.

Jika mahu menyelamatkan BN maka BN sendiri wajar melakukan tugas penting dan jika di sebut sebagai BN maka pemimpin dan parti-parti komponennya dari Malaysia Timur perlu memikul tanggungjawab ini untuk mencari pemimpin persekutuan untuk memastikan kerajaan dapat diperbaiki bagi menyelamatkan negara dari kehancuran.

Masalahnya lebih sulit lagi kerana tiada siapa dikalangan hiraeki parti UMNO dan mereka yang sedang berada di dalam kerajaan mempunyai kemampuan untuk merubah keadaan. Jika BN tidak bersama menguatkan usaha untuk menyelamatkan kerajaan yang dipimpinnya maka kita amat khuatir negara kita akan menjadi sebuah negara setaraf negara Afrika seperti Zimbabwe, Mali dan Congo.

Tugas yang paling penting yang perlu dilakukan oleh pimpinan parti-parti dalam BN ialah untuk mencari seorang yang berpengalaman untuk menukar imej BN kepada tahap yang munasabah untuk terus memerintah negara ini. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan negara di ambang kehancuran hasil dari permainan politik peribadi yang dilakonkan oleh pemimpin kerajaan sekarang dan juga oleh mereka yang sudah bersara.

Semua pimpinan BN wajar bertanggungjawab terhadap negara, lebih-lebih lagi dalam negara sedang menghadapi krisis ekonomi global yang tidak mungkin boleh di halang mempengaruhi keadaan negara kita. Ingat, kita sudah masuk ketahun ke18 menghadapi belanjawan ‘deficit’ dan kali ini jelas pimpinan kerajaan hari ini terpaksa membebankan rakyat untuk menyelesaikan masalah itu sekarang ini.

Dalam keadaan hari ini, kita wajar ditadbir dan dipimpin oleh seorang yang berpengalaman dan telah menunjukan jasa besar kepada negara dan seorang teknokrat yang terbukti keupayaannya. Kita juga mesti mengakui yang negara ini tidak boleh mengikut kehendak UMNO semata-mata. Semua komponen BN telah begitu sabar mengikut karenah dan kemahuan UMNO sehinggakan ada parti seperti MCA dan yang lain yang terjejas prestasi mereka semata-mata kerana mengikut rentak dan lagu UMNO yang tidak lagi secocok dengan keadaan zaman dan waktunya.

Politik negara ini bukan sahaja permainan parti-pati di Semenanjung semata-mata kerana kekuatan BN sebenarnya adalah dari Malaysia Timur. Pimpinan di Malaysia Timur tidak boleh berpeluk tubuh kerana mereka juga menerima tekanan dari rakyat di sana hasil dari kelemahan pimpinan Najib dan rakan-rakannya di Semenanjung.

Najib perlu ingat yang beliau adalah pemimpin bagi seluruh negara dan bukannya pemimpin UMNO yang hanya berkuat di Semenanjung selain dari Sabah. Pimpinan UMNO dan ‘Law Makers’ BN mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk membetulkan keadaan ini dalam kadar yang segera. Kita terpaksa akui yang negara kita sudah tidak terurus lagi dan kita juga mesti menghayati hakikat yang ditadbir Najib ini adalah negara bukannya mentadbir daerah Pekan di Pahang atau persatuan bola sepak atau takraw negara.

Saya selalu bercakap yang kali ini Najib dan sesiapa yang mempunyai tanggungjawab untuk perubahan itu, melakukan yang ‘unorthodox’ semata-mata untuk menyelamatkan negara dari keadaan kegelapan. Jika kita selalu bercakap tentang nasib masa depan generasi kita, tetapi nampaknya kali ini kita terpaksa menumpukan kepada generasi kita sekarang ini.

Rakyat dalam kegelisahan yang teramat sangat dan mereka tidak dapat memberikan sebab yang spesifik dan saintifik kerana kita berada dalam kemurungan dalam semua hal yang melibatkan politik dan rakyat negara ini. Najib tidak boleh membiarkan negara dan rakyat negara ini menjadi bahan ketawa pemimpin dan masyarakat antarabangsa. Negara juga mempunyai masyarakatnya.

Jika masyarakat bagi negara kita tidak menghormati kita lagi, ia akan mempengaruhi kredibiliti negara dalam semua aspek termasuk ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan terjejas.

Kenyataan yang harus kita akui yang imej se sebuah negara itu selari dengan manusia yang memimpinnya. Apabila seseorang pemimpin itu tercalar imejnya maka ia akan menjejaskan negara dengan teruknya. Apa dan siapa pun yang berkata ia adalah hakikat dan tidak siapa yang mampu menafikannya.

Jika seorang pemimpin yang sudah tidak lagi mampu memberikan pentadbiran yang baik ia masih boleh mendapatkan penghormatan dari rakyat terutamanya setelah ia bersara dan tidak lagi bergiat dalam politik negara. Ia boleh dilakukan dengan menunjukkan sayangnya kepada negara dengan mencari kepimpinan yang baru bagi menyelesaikan masalah yang dia tidak mampu menyelesaikannya.

Jika ia bertindak dan membantu rakyat untuk mendapatkan kepimpinan baru yang mampu membawa negara kepada situasi dan keadaan baru. Ini akan menjadi kenangan rakyat buat selamanya. Rakyat serta ahli-ahli sejarah akan menulis tentang jasa Najib sebagai penyelamat negara.

Beliau akan di ingati sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat dengan memberikan pengorbanan menyelamatkan negara dengan menyerahkan kepimpinan kepada orang yang boleh melakukan pembaharuan terhadap negara. Mulakanlah pengorbanan itu bermula di hari raya korban ini dan mengorbankan yang kita sayangi itu merupakan pengorbanan yang benar-benar pengorbanan.

Selamat Hari Raya Korban kepada semua umat Islam khususnya kepada saudara-saudara kita yang baru sahaja selesai ibadah melontar di jumrah di hari pertama tasyrik iaitu di Jumratul Aqobah di Mina.

Semoga semua mendapat Haji yang mabrur.

14 October 2013

Najib perlu bertindak cepat jika beliau seorang yang bertanggungjawab

Tidak dapat saya berhenti untuk menulis tentang isu perubahan yang sering di janjikan oleh UMNO dan Najib serta Muhyiddinnya. Pemimpin-pemimpin utama UMNO khususnya Najib, begitu fasih dan lancar menyebut istilah perubahan dan menyanyikan lagu transformasi dan sebagainya.

Fasih dan lancarnya menyebut tentang perjuangan, perubahan dan transformasi itu sefasih seorang tok lebai membaca ayat Yassin dan Al-fatihah. Lunaknya nyanyian mereka sama seperti Datuk SM Salim menyanyikan lagu Pasir Roboh dan Sharifah Aini menyanyikan lagu Bunga Tanjung.

Tetapi, mana dia perubahannya? Sampai ke hari ini tidak ada perubahan dan tidak nampak kesan dari janji-janji dan nyanyian lunak Najib dan barisan pimpinannya. Rupa-rupanya selama ini Najib dan barisan kepimpinan UMNO hanya menyanyikan lagu-lagu sahaja tanpa menghayati apa yang terkandung di dalam barisan lirik-lirik lagu yang penuh dengan makna dan nilai kata-kata dalam lagu-lagu tersebut.

Mereka hanya tahu menyanyikan lagu UMNO sahaja, dan mereka terus bersatu seperti kehendak lirik lagu itu. Mereka bersatu dan berganding bahu seperti yang terkandung dalam lagu itu. Mereka terus bersatu tetapi hanya semasa menyanyikan lagu itu sahaja. Selepas itu mereka berpecah dan galakan untuk perpecahan itu dilakukan oleh pemimpin besar dan ‘Warlords-Warlords’ dalam UMNO itu sendiri.

Sesungguhnya perubahan yang perlu dilakukan itu melibatkan pucuk pimpinan sendiri. Ini ialah kerana kesalahan-kesalahan yang berlaku dalam UMNO itu adalah kesalahan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan itu sendiri dan jika tidak dilakukan perubahan diperingkat kepimpinan itu, maka tiadalah perubahan akan berlaku dan terlaksana. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan itu dilakukan terhadap UMNO sendiri dan yang lebih besar ialah kesalahan terhadap rakyat dan negara.

Ramai yang tidak menyedari yang pimpinan UMNO sejak dua dekad dahulu telah melakukan berbagai kesalahan terhadap parti pimpinan mereka sendiri dan yang lebih menyedihkan lagi telah melakukan kesalahan terhadap rakyat keseluruhannya. Kekurangan semangat kenegaraan dan mungkin kekuatan dalaman mereka sebagai manusia yang bertuhan, mereka telah melakukan jenayah moral terhadap negara keseluruhannya. Serendah-rendah orang yang beragama seperti diri saya ini, mereka tidak sepatutnya melakukan apa yang telah mereka lakukan.

Mereka tidak sepatutnya merelakan rasuah bermaharajalela kerana hakikatnya jika berlaku tindakan rasuah maka segala keputusan penting untuk rakyat dan negara tidak akan dapat dilakukan dengan baik dan adil. Ini adalah kerana kepentingan peribadi mereka yang berkuasa akan di selitkan sekali dalam apa-apa keputusan yang dibuat mereka.

Kita tidak tahu kenapa pemimpin tidak menerima hakikat bahawa rasuah itu merupakan kerja yang paling kotor kerana ia tidak kurang kotornya dari penjenayah rompakan dan sodomi, serta salah laku yang lain yang sangat besar bahananya terhadap sesebuah negara, apatah lagi negara yang mempunyai kepentingan Islam yang besar ini.

Sebenarnya apabila seseorang pemimpin lemah di berikan tempat utama maka pemimpin-pemimpin seperti ini akan menumpukan usaha untuk memperkuatkan diri mereka sendiri, maka segala tindakannya akan berkait dengan keuntungan untuk dirinya sendiri.

Apabila ini berlaku maka unsur-unsur negatif seperti rasuah dan salah guna kuasa akan bertambah nyata kerana keputusan yang dibuat mereka itu tidak tepat kerana kepentingan diri mereka itu.

Itu sebabnya orang yang paling sesuai untuk menjadi pemimpin utama negara ialah orang yang cukup serba serbi kehidupan dan di tambah pula dengan manusia yang mempunyai nilai kepimpinan yang baik tanpa rasuah dan tanpa niat untuk menjadi kaya raya di samping menjadi pemimpin utama negara.

Hasil keadaan ini sedang kita lihat sekarang dan unsur-unsur yang di sebutkan tadi menjadi budaya dan di anggap halal oleh pimpinan UMNO. Sekarang rakyat tidak lagi mempercayai apa pemimpin katakan dan rakyat juga tahu yang negara kita sedang tenat dalam segi kewangan. Negara yang dianugerah Tuhan dengan segala kekayaan sudah hampir muflis malahan dari segi teknikalnya bagi setengah pihak sudah pun bankrap.

Najib mungkin boleh bertahan semata-mata kerana beliau memimpin UMNO, tetapi apa faedahnya kuat dalam UMNO sedangkan beliau tidak dipandang tinggi oleh masyarakat, bukan sahaja masyarakat tempatan malahan oleh masyarakat antarabangsa. Malah dalam banyak hal negara kita dan pemimpinnya sekali menjadi bahan lawak dan jenaka yang tertinggi.

Begitu hebat publisiti yang di perbesarkan oleh media massa milik kerajaan yang memuji perubahan dan transformasi dalam UMNO, tetapi tidak pula ada transformasinya. Wanita UMNO misalnya masih diketuai oleh mak cik Shahrizat dan ini menjelaskan hakikat, lagi kontroversi seorang pemimpin itu lagi kuat kedudukannya.

Lagi tidak bermoral seseorang pemimpin itu, lagi tinggi pangkat dan kedudukan yang mereka perolehi, seolah-olah UMNO berlumba-lumba mencari pemimpin yang tidak semenggah menjadi pemimpin mereka. Lagi ramai yang tidak mempunyai apa-apa moralnya lagi ramai yang mendapat gelaran dari Datuk kepada Tun dan sebagainya.

Lagi rendah martabat, nilai dan moral mereka, lagi hebat kedudukan sosial mereka. Bagi mereka yang bermoral dan baik, tidak ada apa-apa ‘incentive’ untuk terus menjadi manusia baik kerana masyarakat dan pimpinan menghormati mereka yang kurang dan rendah moralnya kerana negara disarati oleh mereka yang kian hari kian merudum moralnya.

Akhirnya inilah yang kita warisi dari pemimpin-pemimpin seperti ini dan saya berani mengulangai jika pimpinan hari ini masih tidak mahu mengakui hakikat yang mereka tidak berkelayakan untuk memimpin, selagi itulah kehancuran kepada negara dan segala sistem demokrasi yang masih ada sedikit sebanyak lagi akan terhapus dan negara akan kucar kacir.

Najib bertanggungjawab untuk melakukan perubahan ini agar beliau tidak di umpat keji oleh rakyat dan generasi yang akan datang terutamnya semasa beliau sudah tidak berada di dunia ini lagi. Kerja merubah ini adalah tanggungjawab beliau. Ia susah untuk di ubah oleh pihak yang membangkang kerana entahkan bila pembangkang mampu untuk menjerat hati rakyat untuk memberikan mereka mandat memerintah negara. 

Mereka masih lagi terkial-kial untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, bukan oleh kerana siapa, tetapi oleh kerana sikap dan niat mereka sendiri yang dipersoalkan ramai. Suara-suara dalam PAS untuk mengkaji kembali kedudukan partinya dalam gabungan pembangkang itu merupakan pandangan dan suara yang sangat luhur dan jujur. tetapi jika parti itu masih mahu memikul beban yang tidak sepatutnya mereka pikul maka PAS bolehlah terus mengikat perhubungan dengan parti-parti lain dalam gugusan pembangkang itu. This is a free country.

Saya menulis ini bukan untuk apa, hanya sekadar untuk meletakkan rekod secara bertulis kerana suatu hari yang tidak berapa lama lagi apa yang saya catatkan ini akan diakui benar oleh semua pihak. Jika saya sudah tiada lagi di dunia ini, dan apa yang saya catatkan hari ini terbukti benar, jika ikhlas dihati hadiahkan saya dengan bacaan surah Al-fatihah sahaja.

Itu sudah mencukupi untuk menenangkan roh saya dialam baqa’ nanti. Insyaallah.

13 October 2013

Kalau tidak ada perubahan, tunggu sahaja saat kematian

Saya amat percaya, setelah selesai pemilihan diperingkat sayap UMNO semalam, UMNO jauh dari penyelesaian dari masalah. UMNO tetap sebuah parti yang memerlukan penyelenggaraan yang rapat kerana terlalu banyak perkara yang perlu di selesaikan. Masalah datang satu persatu dengan cepat sedangkan penyelesaiannya datang dengan begitu lambat dan perlahan.

Kemenangan Khairy Jamaludin merupakan satu perkara yang baik dan ini sahajalah satu kejadian yang sangat jarang dan payah terlihat di dalam UMNO itu. Kemenangan Khairy macam mana positif pun kepada UMNO ia tidak lah boleh menjamin transformasi itu akan berlaku.

Transformasi dalam kontek penyelesaian UMNO memerlukan pucuk pimpinan UMNO berkorban untuk memastikan transformasi itu boleh dilaksanakan, kerana penyebab yang mendesak dilakukan transformasi itu adalah hasil kesalahan mereka juga. Pelaku-pelaku kepada kesalahan terhadap negara itu tidak mungkin boleh melakukan transformasi itu.

Itu sebabnya dalam posting semalam saya menyatakan yang tugas dan tanggungjawab Khairy amat berat, malahan lebih berat dari tanggungjawab pemimpin yang lain dalam UMNO itu yang sudah pasti akan terus menghalang apa-apa kemajuan yang dilakukan oleh Pemuda UMNO itu. Malahan, Khairy terpaksa berhadapan dengan masalah barisan kepimpinan Pemuda (Exco) yang ada bersama beliau itu. Khairy akan menghadapi masalah memberikan kefahaman dan semangat untuk perubahan yang perlu dilakukan dan yang perlu di pelopuri oleh pemuda itu sendiri.

Sebelum Khairy memberikan dan menyuntikkan semangat untuk melakukan perubahan itu Khairy sendiri mesti terlebih dahulu tahu apa yang hendak diubah itu. DAN sebelum memutuskan apa yang hendak di ubah dan di selesaikan itu, Khairy perlu tahu apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh kepimpinan negara kita. Hanya apabila sudah difahami segala apa masalah yang ada yang perlu di selesaikan, barulah Khairy boleh menentukan arah dan cara untuk melakukan perubahan itu.

Kita semua faham yang masalah yang dihadapi oleh pimpinan UMNO itu melibatkan masa depan negara dan tentulah masalah yang hendak di fahami itu mesti berkait dengan masalah negara dan rakyat. Negara sedang berhadapan dengan masalah yang besar dan kalau di fikirkan dengan halus-halusan masalah yang wujud itu adalah ‘beyond computation’ dan bukannya isu yang semudah ABC untuk penyelesaiannya.

Khairy mesti faham untuk melakukan perubahan ini beliau perlu mencari pihak yang boleh memberikan jalan dan semangat untuk perubahan itu. Secara lojiknya beliau perlu mentelaah segala masalah dengan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, tetapi ini juga menjadi masalah kepada Khairy. Masalah yang wujud pada hari ini adalah di hasilkan oleh pucuk pimpinan dan pemimpin-pemimpin yang lebih ‘senior’ dari beliau sendiri. Bagaimana orang yang membawa masalah kepada kepimpinan negara itu boleh di bawa untuk melakukan perubahan?

Masalah yang Pemuda mesti fahami ialah krisis keyakinan yang tidak ada tolok bandingnya terhadap kepimpinan negara. Apa sahaja yang dilakukan oleh pucuk pimpinan tidak diyakini oleh semua pihak. Rakyat yang sedang merasakan keperitan hidup hasil dari kenaikkan harga barangan makanan dan perkhidmatan bukan isu kecil. Rakyat kecewa, walaupun ada terasa yang pimpinan hari ini tidak berkemampuan untuk membendung cabaran zaman ini. Rakyat masih memberikan kepercayaan untuk mentadbir negara dengan janji-janji yang manis beserta dengan permohonan maaf dan berbagai-bagai lagi pendekatan palsu yang dilakukan oleh pimpinan sebelum pilihanraya yang lalu. Akhirnya apa yang dirasakan sebelum memberikan mandat itu benar-benar berlaku dan rakyat sedang menghadapi kesusahan hasil dari kepercayaan mereka terhadap kepimpinan negara sekarang ini.

Jika Khairy benar-benar mahu menjadi pemimpin masa depan, beliau wajar melakukan tindakan yang pernah dilakukan sebelum ini. Yang wajar dilakukan ialah mencari sesiapa yang benar-benar mempunyai roh perjuangan UMNO dan yang telah banyak memberikan jasa kepada negara dan UMNO bagi mencapai matlamat perubahan sebenar. Cara untuk membetulkan permasalahan ialah dengan tindakan drastik tanpa takut dan silu.

Sebagai pemimpin muda Khairy wajar berani kerana sesiapa yang berani bertindak lain dari yang lain untuk kebenaran, maka dialah yang akan menjadi pimpinan utama di masa depan.

Jika Khairy mengambilnya sebagai cabaran untuk membetulkan dan memperkasakan UMNO itu, ia merupakan satu tugas yang teramat berat. Tetapi jika beliau mengambilnya untuk mendapat kedudukan dan ‘glamour’ hidup seperti pemimpin-pemimpin Pemuda dan UMNO yang lazim kita lihat, maka ia bukanlah tugas yang susah.

Jika politiking peribadi adalah pilihan Khairy, apa yang perlu beliau lakukan, hanya bermain politik ‘kau sokong aku, aku sokong kau’ atau bak kata Najib sebelum pilihanraya dahulu kepada orang Cina, ‘lu tolong gua, gua tolong lu’.

UMNO akan terus bermasalah sementara menunggu mati.