Akhir-akhir ini isu perhubungan
yang tidak sihat di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak semakin lantang, dan masih tidak reda. Isu ini
merupakan isu yang baru sahaja di buat secara terbuka dan rakyat, terutamanya
di Sabah dan Sarawak mula menyedari dan ramai juga dari Semenanjung memahami
situasi sebenar yang berhubung kait dengan penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 dahulu.
Suara yang lantang semalam
datangnya dari Tan Sri Dr James Masing, seorang Menteri Kanan Kabinet Sarawak
yang menuduh pemimpin-pemimpin UMNO dari Putrajaya menyebabkan perhubungan di antara
pimpinan Persekutuan dan Sarawak semakin buruk. Ini tidak sepatutnya berlaku
jika mereka memahami semangat yang ada dalam pernubuhan Persekutuan Malaysia
1963 dahulu.
Masalahnya pemimpin-pemimpin UMNO
terutamanya pemimpin-pemimpin yang muda yang berada di dalamnya tidak memahami
semangat penubuhan dan perjanjian Persekutuan Malaysia yang baru itu.
Saya sendiri mengambil isu ini
sebagai isu serius kerana apa-apa sahaja yang akan menyebabkan lunturnya
perhubungan kerajaan Persekutuan dengan mana-mana kerajaan Sabah dan Sarawak akan menjadikan negara ini tidak aman dan
tenteram. Bagi saya secara peribadi saya bersetuju dengan anggapan TS Dr James
Masing yang Sabah dan Sarawak sebenarnya
adalah ‘equal partners’ dengan Persekutuan Tanah Melayu yang terbentuk beberapa
tahun sebelumnya.
Dr James Masing telah menyebut
yang Sarawak adalah ‘equal partners’ dengan Semenanjung dan perhubungan di antara
Sarawak dan Putrajaya tidak sepatutnya perhubungan di antara ‘master and
servant’. Dr James Masing berkata di Kuching semalam yang menanda tangani
perjanjian itu hanya empat orang sahaja, bukannya 11 atau 15 orang.
Maksud beliau itu ialah
perjanjian itu di tanda tangani oleh empat orang pemimpin yang mewakili
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Ia bukannya perjanjian di antara Sabah dan Sarawak,
Singapura dengan kesemua negeri-negeri yang menjadi ahli kepada Persekutuan
Tanah Melayu.
Semasa Singapura masih berada di
dalam Persekutuan Malaysia,
Lee Kuan Yew masih bergelar Perdana Menteri. Semasa itu ada dua Perdana Menteri
di Malaysia, seorang Perdana Menteri Persekutuan, Tunku Abdul Rahman Putra dan
seorang lagi Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Ini sahaja menunjukkan
yang ketua kerajaan Singapura, Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu ada
perhubungan ‘Equal Partners’ dan Persekutuan Tanah Melayu sebagai ‘leading
Partner’ di dalam Persekutuan Malaysia itu.
Justeru apa yang di sebut oleh
Dr. James Masing itu adalah isu yang sangat relevan dan ia perlu menjadi
pengetahuan umum oleh semua rakyat Malaysia. Semangat ini tidak ada
dalam jiwa pimpinan UMNO khususnya yang muda-muda ini kerana bagi mereka
politik ini hanyalah siapa yang menang dan siapa yang kalah sahaja. Yang menang
ambil semua dan kalah hilang semua. Wang di gunakan untuk menjadi pemimpin dan
apabila berjaya kerana wang ringgit tadi mereka menjadi pemimpin yang keliru,
tidak memahami apa yang patut dilakukan setelah di pilih menjadi pemimpin hasil
belian undi-undi tadi.
Bagi pandangan peribadi saya,
Sarawak lebih mudah untuk melakukan pembetulan ini kerana sekarang ini Sarawak
lebih hampir kepada perlaksanaan semangat Persekutuan Malaysia itu.
Ini di sebabkan di Sarawak tidak wujud UMNO dan UMNO tidak akan sampai ke
Sarawak sampai bila-bila kerana negeri Sarawak adalah ‘equal Partner’ dengan
Persekutuan Malaysia.
Itu sebab dalam banyak hal
Sarawak lebih bebas dari Sabah kerana BN di Sarawak
itu adalah BN yang tidak dianggotai oleh parti-parti yang berada dalam BN
Semenanjung. Malahan Sarawak mempunyai kekuatan yang lebih dari Sabah kerana Sarawak boleh bertindak untuk mencari pembetulan itu
dengan mudah dengan tiadanya UMNO di negeri itu.
Di Sabah keadaannya berbeza
sedikit kerana Sabah di hinggapi oleh penyakit yang begitu ‘contagious’ UMNO
kerana parti itu (UMNO) telah masuk ke Sabah dengan tergesa-gesa pada tahun
1990 dahulu untuk menghadapi pilihanraya umum yang sangat genting bagi BN
semasa itu.
Jadi jika ada pengaruh dan budaya
UMNO yang kuat di negeri itu, ia tidaklah memeranjatkan kerana pemimpin-pemimpin
USNO yang telah berpindah-randah semasa itu mengambil tindakan untuk
kepentingan jangka pendek dengan membubarkan USNO dan menyertai UMNO yang baru
sampai ke Sabah semasa itu.
Kerajaan BN Sabah terpaksa tunduk
kepada kehendak pimpinan UMNO Persekutuan dan dari saat itu pimpinan BN Sabah adalah pemimpin yang ‘subservient’ kepada pimpinan
UMNO dan BN Persekutuan. Itu sebabnya ketahanan atau ‘resilience’ politik bagi
rakyat Sabah lebih rendah kerana budaya UMNO
itu menusuk dalam perihal politik negeri itu. Dengan penyertaan UMNO di Sabah
telah menguntungkan sebahagian kecil pimpinan Sabah
yang telah meninggalkan parti masing-masing bagi menyertai UMNO pada tahun 1990
dahulu.
UMNO dan BN Semenanjung lebih
mudah menundukkan pimpinan politik Sabah kerana rakyat Sabah
telah membiarkan budaya kurang sihat yang di bawa UMNO ke negeri itu sejak 1990
dahulu. Saya masih ingat yang Sabah begitu kuat kedudukannya sebelum UMNO
berada di negeri itu dan segala tindakan rakyat dan parti-parti parti politik
di Sabah telah memberikan ‘consequence’ yang kuat dalam politik tanahair.
Sarawak dan Sabah
mempunyai sebab tidak berpuas hati akhir-akhir ini dengan kerajaan Persekutuan.
Mereka tidak dianggap ‘equal Partners’ oleh pimpinan Putrajaya sedangkan nyawa
politik pimpinan di Semenanjung ini di selamatkan oleh rakyat dan pimpinan
politik Sarawak dan Sabah.
Ketua Menteri bagi Sabah akan
lebih kuat jika Persekutuan menganggap beliau sebagai ‘equal partner’ tetapi
semangat itu di bunuh oleh kerana faktor UMNO sejak 1990 dahulu. Ketua Menteri
Sabah tidak mempunyai ‘consequence’ yang besar dalam politik tanahair jika di
bandingkan denga kekuatan dan ‘consequence’ Ketua Menteri Sarawak yang tidak di
pengaruhi oleh UMNO dari Semenanjung.
Kalau hendak di katakan Sabah
telah di jajah dalam kontek kita di sini, ia sememangnya ada sedikit kebenarannya
kerana UMNO mempunyai wakil di setiap kawasan di Sabah
dan sebahagian dari mereka telah menjadi Menteri Kanan di Putrajaya. Orang Sabah nampaknya berpuas hati hanya dengan di wakili oleh
pemimpin-pemimpin yang berjawatan Menteri sahaja.
Itulah sebabnya Sabah mudah di
pengaruhi oleh Putrajaya sehinggakan banyak perkara dan isu penting sebagai
ahli Persekutuan Malaysia
yang berstatus ‘equal Partners’ dalam Perjanjian Persekutuan Malaysia itu tidak
terlaksana.