14 January 2014

Alhamdulillah, harga kangkung turun...kita akan senang lenang

Terima kasih banyak-banyak DS Najib kerana kangkung sudah turun harganya. Minta maaflah kerana tidak sempat berterima kasih kepada kerajaan kerana saya tidak menyedari yang kangkung sudah turun harganya. Insyaallah dari hari ini saya akan masak sayur kangkung sahaja setiap hari. 

Dato Seri minta supaya semua orang berterima kasih kerana harga kangkung sudah turun, maka saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dato Seri kerana turunnya harga kangkung ini. Turunnya harga kangkung ini membuktikan yang transfomasi ekonomi Dato Seri sudah mula membuahkan hasil.

Barulah kami sedar yang kami dibawah-bawah ini layaknya hanya untuk memakan kangkung sahaja. Maka terlaksanalah apa yang disebut dalam perpatah Melayu, iaitu kita ‘balik kampung, tanam kangkung’. Ini adalah kejayaan perjuangan seorang Perdana Menteri. Kerajaan pimpinan beliau telah berjaya menurunkan harga kangkung.

Dengan itu marilah kita berikan sokongan kepada kepimpinan beliau, kerana kita wajar bersyukur dan berterima kasih kerana telah berjaya menurunkan harga sayuran yang banyak mengandungi iodine ini. Iodine boleh membantu kita untuk tidur jika kita susah hendak tidur malam. Kurangkan makan gula kerana ia akan melemahkan libido kita.

Dengan turunnya harga kangkung ini tentulah ia akan memberikan kesenangan kepada kehidupan rakyat dan kita tunggu sahaja pencapaian negara ketahap negara maju menjelang tahun 2020. Dengan turunnya harga kangkung ini, tentulah impian pimpinan kita untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat kepada USD15,000 setahun akan tercapai.

Dengan pengurangan harga kangkung ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan dan penjimatan itu akan dapat menampung kenaikan tariff letrik dan kadar bayaran tol kepada pemegang konsessi lebuh raya dan menampung kenaikan harga bahan api sekarang ini. Ia juga boleh menampung harga gula yang telah naik berkali-kali dalam setahun ini.

Mungkin kangkung ini boleh menjadi bahan ‘export’ negara dan boleh membantu memperbaiki pendapatan negara dan akhirnya boleh mengurangkan defisit belanjawan negara pada tahun-tahun akan datang ini.

Alhamdulillah, kita ada kangkung untuk memberikan kenikmatan kepada kehidupan rakyat negara ini. Selama ini hanya rakyat termasuk diri saya ini tidak tahu untuk mencari kehidupan yang baik, sehinggalah PM Najib memberikan jalan untuk memperbaiki kehidupan kita pada masa-masa yang mendatang dengan memakan kangkung.

Kepada Menteri Hasan Malek, kita hendak bertanya, kalau kangkung naik pula harganya nanti, adakah saudara akan membuat kenyataan, ‘kalau kangkung mahal, jangan makan kangkung’?

Terima kasih YAB Perdana Menteri. Saya cadangkan supaya diadakan kempen memakan kangkung diperingkat nasional dalam masa terdekat ini. Mungkin PEMANDU boleh berbuat sesuatu untuk melaksanakan kempen makan kangkung ini.

Nasib baik ada kangkung menyelamatkan kita. Rakyat sekalian, bersukarialah kerana segala penat lelah pucuk pimpinan dan barisan kepimpinan keseluruhannya telah berjaya menampakan kejayaannya dalam mentransformasi ekonomi negara kita ini hanya melalui industri kangkung sahaja.

Sekarang semua balik kampong tanam kangkung.

13 January 2014

Selamatkan negara dahulu, baru selamatkan parti

Isu Allah sudah menjadi isu yang tidak mungkin selesai. Saya tidak berani memberikan pandangan tentang hukum dan hakam kepada persoalan ini. Tetapi yang saya tahu penyelesaian tidak akan dapat dicari kerana saya cenderung untuk menuduh isu Allah ini adalah isu yang dipolitikkan oleh setengah pihak untuk kepentingan politik mereka.

Mungkin ramai yang membantah apa yang ada dalam pemikiran saya, tetapi saya juga tahu Tuhan menyuruh kita mengenali di antara satu dengan lain serta menghormati di antara kaum dan agama. Di negara lain tidak timbul isu ini dan tidak pernah pula kita mendengar isu ini merebak dimana-mana negara diseluruh dunia ini.

Apabila ada pihak yang menyangkutkan nama Allah ini dengan akidah, maka ia tidak akan selesai kerana selama ini banyak agama menggunakan nama Allah ini dalam agama mereka sejak dari dulu lagi. Tidak usah kita menjadikan isu ini lebih berat dari apa yang kita hadapi sekarang ini.

Kita khuatir isu ini akan membawa padah kepada negara kerana ia amat sensitif. Yang melanggar hukum agama pun menjadi sibuk membahaskan isu ini tanpa mengetahui dan tidak mampu membezakan di antara sifat dengan zat Tuhan itu. Mahu tidak mahu kita perlu selesaikan isu ini dengan baik dan harmonis.

Elok dihimpunkan semua ulamak dan sadiqiah Islam di seluruh dunia bersama dengan ketua-ketua agama lain dan adakan perhimpunan itu di Kuala Lumpur kerana isu ini hanya berlaku di sini. Ambil keputusan yang boleh diterima dan difahami oleh semua pihak tentang isu ini. Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan hari ini untuk menyelesaikannya kerana tidak ada pemimpin kerajaan yang tahu untuk menyelesaikannya termasuk Menteri yang bertanggungjawab tentang agama dalam kabinet kerajaan sekarang ini.

Kenapa tidak ada seorang pun yang boleh memberikan pandangan yang tepat sedangkan kita mempunyai Mufti-Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja dan berbagai-bagai lagi. Kenapa isu ini ditentukan oleh mahkamah dan yang lebih mengaibkan kerajaan isu agama seperti ini diselesaikan oleh mahkamah sivil.

Dimanakah kredibiliti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib kerana tidak mampu menyelesaikan masalah ini? Masalah dan hal ehwal agama adalah dibawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu dan elok kita bertanya kepada Perdana Menteri Najib apakah nasihat beliau sebagai Perdana Menteri kepada Majlis Raja-Raja kita tentang hal ini. Bukankah Perdana Menteri sewajarnya memberikan nasihat kepada Raja-Raja apa yang perlu dilakukan oleh mereka dalam penyelesaian masalah dan isu yang amat merbahaya ini.

Ini juga masalah keselamatan negara selain dari masalah agama kita. Siapa pula yang menasihatkan kabinet dalam isu ini? Adakah Jamil Khir Baharom? Atau siapa?

Dalam sejarah negara merdeka, pentadbiran Najib ini merupakan pentadbiran yang paling lemah yang tidak ada tolok bandingnya. Kita seolah-olah tidak ada kerajaan. Ditempat-tempat awam dan dimana-mana sahaja kita kedengaran orang ramai memberikan ejekan terhadap Najib dan itu jelas menunjukkan betapa rendahnya seorang pemimpin utama negara di mata rakyat yang beliau pimpin. Tidak ada siapa yang ‘accountable’ terhadap banyak isu hangat sekarang ini.

Semalam keluar pula satu kenyataan bekas ahli jemaah kabinet Zainuddin Maidin menyeru supaya Dr Mahathir kembali kePutrajaya untuk memberikan jawapan kepada masalah negara hari ini. Kenyataan Zainudin ini jelas sekali adalah tindakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Najib dan ini tidak berlaku keatas mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Walaupun menjemput Dr Mahathir kembali ke Putrajaya itu merupakan satu tindakan yang boleh dianggap ‘pandir’ tetapi ia merupakan satu manifestasi buruk terhadap Najib dan dari sudut moralnya tidak boleh menunggu siang untuk keluar dari Seri Perdana itu. Dari sudut semangat demokrasinya semua ahli-ahli kabinet negara juga perlu berundur sekali kerana mereka adalah kabinet lantikan Mohd Najib.

Semua ahli kabinet perlu bersama-sama mengiringi Najib keluar dari Putrajaya dan laksanakanlah kaedah memilih Perdana Menteri seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara, iaitu kepada sesiapa yang mendapat kepercayaan Parlimen walaupun dengan undi ‘simple majority’.

Kaedah memilih Perdana Menteri secara convention yang memilih sesiapa yag memegang teraju UMNO itu tidak dapat dilaksanakan lagi. Ini disebabkan Muhyidin sendiri adalah salah seorang lantikan Najib dalam kabinet negara kita yang sepatutnya bersama-sama mengiringi Najib keluar dari Putrajaya itu.. Yang pentingnya seorang Perdana Menteri itu wajar dari kalangan Ahli-Ahli Legilatif Persekutuan dan seorang Melayu beragama Islam dipilih walaupun dalam perlembagaan tidak termaktub PM itu seorang Melayu.

Terpulang kepada siapa dilantik dan dipilih mentadbir negara itu untuk mengambil kembali mana-mana ahli kabinet yang berhenti itu untuk dilantik kembali ke kabinet oleh pemimpin yang baru dipilih oleh Parlimen itu. Pada pendapat saya yang tidak sepertinya ini, saya beranggapan tindakan ini perlu dilakukan semata-mata untuk mengelak negara ini jatuh kekancah yang lebih hina lagi.

Hentikan ‘partisan politics’ buat sementara ini kerana hakikatnya masih ada pemimpin-pemimpin yang berbakat dalam UMNO sekarang. Ramai juga yang berbakat dalam PAS dan begitu juga dalam PKR serta parti-parti lain yang wujud dan bergerak dinegara ini. Selamatkan negara dahulu sebelum kita selamatkan parti. Tidak guna parti selamat sedangkan negara hancur lebur. Hanya mereka tidak mempunyai seorang yang mempunyai seorang pemimpin yang boleh mengetuai mereka dengan sifat ‘magnanimous’ dan berpengalaman serta berwibawa.

Sesiapa yang tidak lagi menjadi pemimpin mereka tidak kesaorangan. Mereka boleh bersama saya dikedai mamak minum kopi atau teh tarik dan berikan sokongan kepada siapa yang terpilih melalui Parlimen itu. Setakat secawan dua teh dan sebiji dua karipap, saya boleh belanja.

Seperti yang saya sebut ratusan kali dalam blog ini, ‘let’s start this nation anew’. Masanya sudah tiba dan tidak boleh ditangguh lagi.

12 January 2014

Seruan asingkan akaun hasil judi oleh Ahli Parlimen DAP mengaibkan Islam

Beberapa hari yang lepas kedengaran seorang Ahli Parlimen, kalau tidak silap saya, namanya Anthony Loke dari DAP meminta agar kerajaan mengasingkan akaun kerajaan dari hasil judi jika ramai rakyat yang tidak setuju dengan judi dan menganggapnya haram. Saya amat terkejut membaca kenyataan ahli parlimen itu dan ini amat mendukacitakan banyak pihak khususnya penyokong-penyokong parti politik seperti PAS dan UMNO sendiri.

Dalam pada rakyat berjuang untuk pembaharuan sebagai sebuah negara yang tidak bergiat dengan kegiatan ini ada pula pemimpin sebuah parti yang bersekutu dengan PAS membuat seruan yang bertentangan sekali dengan perjuangan PAS. PAS selama ini telah memperjuangkan nilai-nilai Islam dan telah mengkritik UMNO kerana meluluskan lesen berbagai-bagai jenis perjudian, dan itu adalah salah satu sebab utama kenapa orang Melayu berpindah menyokong PAS.

Tetapi PAS yang menunjangi perjuangan menentang UMNO itu telah bersama sebuah parti yang bersetuju perjudian itu diteruskan dan mengasingkan akaun kerajaan yang menerima hasil dari cukai judi itu. Saya khuatir jika perjuangan PAS, sebuah parti yang terbaik dikalangan yang ada dinegara ini tercemar lagi setelah dibuktikan dalam pilihanraya yang lalu terjejas dengan isu ALLAH yang dimainkan oleh DAP.

Rakyat ramai dikampung-kampung dan desa yang menyokong PAS terpaksa berada dalam kedudukan defensif dalam pilihanraya lalu. PAS akhirnya tidak dapat penambahan kerusi malahan telah hilang satu kerusi dari 21 yang diperolehinya dalam pilihanraya 2008. UMNO telah memainkan isu itu dengan menuduh PAS sebagai parti yang tercemar kerana bersekutu dengan parti yang tidak menghormati umat Islam.

Akhirnya DAP mendapat penambahan kerusi dan pada hakikatnya UMNO lah yang menambahkan kerusi DAP ‘at the expense of PAS’. Di sini DAP patut berterima kasih kepada UMNO kerana isu yang UMNO mainkan terhadap PAS itu memberikan kelebihan kepada DAP dalam pilihanraya yang lalu. UMNO dan DAP sama-sama mendapat tambahan kerusi.

Kalau kita lihat dan melawat kawasan di luar-luar bandar semasa pilihanraya dahulu, BN dan UMNO telah memainkan isu ALLAH yang di sebut oleh Setiausaha Agung DAP semasa ucapan Hari Krismas beliau pada tahun 2012 dahulu. Saya sendiri melihat PAS yang saya bantu semasa ceramah keseluruh negara, tidak dapat menjawab isu yang dimainkan terhadap PAS oleh BN di bawah-bawah sana.

Ramai yang berbisik kepada saya selagi isu yang disebut oleh DAP dalam ucapan hari natal itu tidak dapat diselesaikan biarlah mereka bersama dengan BN lagi. “Yang baru belum tentu ada kebaikannya” kata ramai yang menemui saya. Saya telah menyebut isu ini beberapa kali yang PAS sebagai parti harapan umat Islam benar-benar tercalar dan menjadi korban rakan dalam ‘coalition’ nya sendiri.

Akhirnya UMNO dapat menambah 9 kerusi dan DAP berjaya menambah 10 kerusi di Dewan Parlimen sedangkan PAS terpaksa menerima kehilangan satu kerusi. Saya telah menghabiskan masa dan waktu bersama program PAS sebulan sebelum pembubaran Parlimen dan saya amat sedih melihat unit amal PAS yang bertungkus lumus dengan jujur dengan komitmen yang tinggi hanya memberikan keuntungan kepada DAP tetapi tidak memberikan keuntungan kepada PAS sendiri.

Jelas oleh kerana terlalu ‘obsessed’ dengan cita-cita hendak ke Putrajaya DAP, parti itu tidak pun mempunyai hati untuk selari serta sehayun dan selenggang dengan parti rakan kongsinya dan membiarkan rakan kongsi terkial-kial dengan masalah dan isu yang disemarakkan oleh DAP sendiri.

Hanya saya berharap PAS tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua kali apabila sampai pilihanraya ke15 nanti. Sekarang PAS sedang dipinggir lubang yang kedua, iaitu isu perjudian dengan DAP. Kalau boleh janganlah jatuh pula kedalam lubang kedua yang digali oleh DAP ini kerana ia akan mengecewakan orang ramai yang telah begitu sengsara dengan gelagat UMNO selama ini.

Lubang yang kedua ini lebih dalam dari lubang yang pertama dahulu. Lubang yang pertama dahulu masih belum terkambus dan sekarang terjumpa pula lubang yang kedua. Saya berharap sangat agar PAS tidak lagi terbeban dengan isu yang ditimbulkan oleh rakan sendiri. Berhadapan musuh yang nyata dihadapan lebih mudah di selesaikan dari mengendalikan musuh dalam kabilah atau selimut kita sendiri.

Saya yakin ramai di dalam PAS dan UMNO sendiri tidak bersetuju dengan kerajaan UMNO meluluskan berpuluh lesen perjudian akhir-akhir ini. Tetapi tidak mungkin perjudian menjadi isu langsung kepada DAP kerana DAP itu dianggotai oleh mereka yang bukan beragama Islam kecuali beberapa kerat yang Islam didalamnya. Itu bukan salah DAP juga.

Satu hakikat yang nyata hari ini arus perkembangan Islam sedang bertiup diseluruh dunia termasuk di negara kita. Ia juga bertiup dalam UMNO walaupun pimpinannya tidak mempedulikan isu ini. Bukan sedikit jumlah ahli-ahli UMNO sendiri yang menentang kewujudan tempat-tempat perjudian ini.

Itu sebabnya saya tidak mempunyai rasa minat untuk menentang bertemuan dan perbincangan di antara UMNO dengan PAS dan selesaikan masalah-masalah yang berhubung kait dengan agama dan hal-hal yang lain yang lain yang berhubung dengan negara kita. Jika ia berlaku PAS tidak akan kedengaran lagi ayat-ayat seperti “over my dead body’ dan sebagainya dalam bercakap hal agama Islam ini. Itu semua mengganggu perjuangan parti ini.

Yang pentingnya dengan pemimpin mana PAS boleh berunding dengan UMNO itu. Jika terjumpa orangnya mungkin usaha PAS untuk menghalang kegiatan judi di negara ini dapat di selesaikan.

Seriously, PAS needs a new life partner to move on.

11 January 2014

Buka mulut luas-luas, nak tengok lidah didalamnya jenis apa

Sementara tahun 2014 ini masih baru kita perlu menyingkap kejadian-kejadian pada tahun lepas dan apa yang berbezanya diantara 2014 dengan tahun sebelumnya. Jika dihimpun dan dibariskan perkara dan isu yang perlu ditangani, ia tidak terkira dan dibariskan lagi. Isu yang timbul terlalu banyak dan kita sudah berkeyakinan yang segala isu terhadap kerajaan sekarang tidak akan selesai kerana dalam kemunculan tahun yang baru ini banyak lagi isu-isu baru yang timbul.

Isu lama tidak selesai ditambah pula dengan isu baru yang lain yang datang tanpa sekatan itu. Dihari pertama tahun baru sahaja timbul isu Najib hilang dari tanahair sejak Christmas dan hanya timbul kembali pada 5hb tahun baru ini. Rupa-rupanya beliau suami isteri ke Sydney dan selepas itu ke AS untuk merayakan tahun baru di kedua-dua tempat itu.

Mereka menyambut dua tahun baru dan menyaksikan dua perayaan tahun baru di dua lokasi di dunia ini. Terlupa pula saya yang dunia ini bulat. Malam ini perayaan tahun baru di Australia dan malam besoknya adalah malam tahun baru di Barat AS kerana perbezaan waktu di antara kedua-dua lokasi itu.

Kalau Mohd Sabu ada jet tentu beliau boleh melihat juga matahari tahun baru naik di dua lokasi. Selepas Mat Sabu melihat matahari tahun baru naik di Penang, beliau boleh terbang dan melihat pula matahari tahun baru di AS. Tetapi Mat Sabu hanya ada kemudahan naik Firefly sahaja dan tidak memungkinkan beliau sempat melihat matahari tahun baru naik di dua lokasi di dunia ini.

Tidak ada satu pun janji-janji pilihanraya UMNO dan BN telah ditunaikan sejak memenangi pilihanraya yang lalu, malahan apa yang sebaliknya berlaku rakyat telah dihadapkan dengan masalah kepimpinan dan kerajaan itu sendiri. Rakyat tidak menyebabkan masalah-masalah itu. Kerajaan pimpinan hari ini yang bermasalah tetapi masih lagi duduk tercegat di Putrajaya itu semata-mata kerana memenangi sedikit lebih kerusi dalam PRU yang lalu.

BN bernasib baik kerana semasa pilihanraya itu, rakyat masih lagi teragak-agak dan kurang keyakinan terhadap Perdana Menteri pilihan semasa itu. Pembangkang telah memaparkan pimpinan yang tidak ‘viable’ politiknya dan tidak diasaskan kepada perjuangan rakyat yang sebenar. Dengan penonjolan pimpinan ‘alternative’ oleh pihak pembangkang yang menjadi persoalan rakyat ramai maka UMNO dan BN telah mendapat keuntungan dalam pilihanraya itu. Rakyat belum lagi berkeyakinan yang pimpinan ‘alternative’ anjuran pembangkang itu boleh memberikan kelainan kepada negara.

Hakikat tetap hakikat. Masalah negara kita bukan sahaja memilih siapa yang kita suka untuk mentadbir kita. Masalah negara ialah masalah kepimpinan yang mempunyai ‘magnanimity’. Memilih ketua pembangkang bukan pemilihan orang yang mempunyai ‘magnanimity’. Dalam kita hendak membetulkan negara yang sudah tidak dikenali lagi ini. Oleh kerana budaya politik negara kita ini ‘winner takes all and loser looses all’ tidak akan menjadikan negara kita ini aman seperti yang diimpikan rakyat.

Selagi kita tidak membuat pencarian terhadap kepimpinan seperti ini rakyat boleh memberikan kuasa kepada pembangkang, negara tetap tidak berubah budaya politiknya dan masalah akan tetap wujud seperti yang kita alami sekarang. Contohnya yang menggantikan itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah perkauman kerana isu ‘multiracialism’ itu hanya retorik politik yang sudah terlalu biasa kita dengar dan tidak sedikit pun dibuktikan oleh parti itu.

Rakyat jangan sekali-kali ditipu dan dimuslihatkan dengan isu keperbilangan kaum itu kerana ia hanyalah isu pilihanraya semata-mata yang tidak akan terbukti kebenarannya. Kita elakkan memilih pelakon-pelakon handalan untuk memilih kepimpinan negara semata-mata kerana kepimpinan sekarang begitu jahil dan tidak semenggah ini.

Dalam keadaan sekarang kedua-dua belah pihak telah terbukti berbohong semata-mata untuk mengambil hati dihari mengundi. Ramai percaya yang wujud sejumlah 40000 orang Bangladesh yang telah dibawa masuk untuk mengundi oleh Ketua Pembangkang, tetapi akhirnya beliau menafikan berkata demikian sedangkan kita telah mendengar sendiri tuduhan itu dibuat secara terbuka..

Kita sudah letih dan jemu ditipu dan dibohongi oleh pimpinan utama UMNO, takkan lah pula kita hendak memilh orang yang sama-sama berbohong dan tidak mengakui pula pembohongan secara terbuka pembangkang itu. ‘Once a liar he or she remains a liar, and forever’.

Kita mahukan kepimpinan yang mempunyai kredibiti peribadi yang boleh memperbaiki keadaan kita yang tidak mempunyai kepimpinan lagi ini. Kita mahukan pemimpin yang tidak mempunyai kecenderungan untuk memberikan perhatian kepada kehendak kaum keluarga mereka baik dari parti mana sekali pun.

Pemimpin yang mempunyai kecenderungan untuk mengutamakan kepentingan peribadi dan kaum keluarganya, mereka tidak akan membuat keputusan dengan baik dan sempurna. Keputusan pemimpin seperti ini tidak akan tepat dan betul kerana setiap keputusan itu mesti diselitkan kepentingan anak bini dan kaum keluarga mereka, atau setidak-tidaknya untuk kroni-kroni belaan mereka.

Itu sebabnya buat masa sekarang ini, dalam kita melakukan ‘soul searching’ ini elok pula kita memilih untuk memberikan kepercayaan kepada pemimpin yang tidak ada anak untuk diturunkan warisan kuasa samada dalam politik atau kerajaan.

Di antara pembangkang dan kerajaan sekarang, 'seorang memanjat tiang dan satu lagi memanjat bendul'. Susah hendak dicari perbezaannya. Najib dan Anwar jika ada kesempatan, berbarislah dan bukalah mulut seluas yang mungkin, sebab hendak tengok lidah di dalamnya itu lidah jenis apa....