Berbagai-bagai alasan diberikan
oleh kumpulan dalam PKR yang menggalakkan Anwar bertanding diKajang dalam
pilihanraya kecil 23hb Mac nanti. Saya tertarik dengan alasan yang diberikan
oleh setengah penyokong Anwar yang tindakan Ketua Pembangkang bertanding dikerusi
DUN Kajang itu ialah untuk mengelakkan UMNO/BN dari menumbangkan kerajaan
Pakatan Rakyat Selangor seperti yang pernah dilakukan di Perak.
Saya berpendapat jika berlaku
tindakan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor ia akan dilakukan oleh
rakan kongsi mereka dalam Pakatan Rakyat itu sendiri kerana UMNO/BN hanya
mempunyai 12 kerusi sahaja dalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu. Tidak
munasabah UMNO boleh menumbangkan kerajaan Selangor dalam dewan Undangan
Negerinya.
Alasan ini adalah alasan yang
paling tidak boleh diterima dan dipercayai kerana tidak mungkin UMNO boleh
berunding dengan DAP atau PAS yang mempunyai lebih banyak kerusi untuk
menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor itu. Kalau hendak memberikan
alasan fikirlah betul-betul dengan sedalam-dalamnya supaya rakyat ramai tidak
merasa tertipu dengan alasan itu.
Sebenarnya Anwar merupakan punca
kenapa PRK Kajang ini berlaku kerana kepentingan peribadi beliau dengan galakan
oleh mereka dalam PKR itu yang tidak berpuas hati dengan Khalid Ibrahim. Khalid
Ibrahim telah berjaya memberikan perbezaan kepada rakyat Selangor walaupun
beliau dipersepsikan sebagai seorang yang tidak pandai bermain politik. Pujian
terhadap Khalid Ibrahim kita dengari dimerata-rata corok rantau Negeri Selangor.
Hasilnya Pakatan Rakyat Selangor kali ini telah berjaya menumpaskan UMNO begitu
hebat sekali sehinggakan UMNO/BN hanya tinggal 'nyawa ikan' di negeri terkaya
itu.
Alih-alih sekarang bermacam-macam
pula cerita yang dibawa oleh pemimpin PKR sendiri terhadap Khalid semata-mata
kerana untuk memberikan alasan bagi Anwar untuk bertanding di kawasan DUN di
Selangor. Baik yang ada kepada Khalid sudah menjadi buruk. Pemimpin PAS tidak
mencerca Khalid. Begitu juga DAP. Yag mencerca Khalid sekarang adalah dari PKR
sendiri yang datang dari gulungan Anwar, Rafizi dan beberapa yang lain yang tidak
berpuas hati dengan Khalid kerana tidak mentadbir secara UMNO mentadbir dahulu.
Itu sebabnya Anwar dan beberapa orang pemimpin dalam PKR itu mempunyai DNA UMNO dan
tidak berpuas hati dengan Khalid kerana tidak mentadbir seperti yang UMNO
lakukan dahulu. Tetapi mereka tidak mahu mengakui yang membuatkan kerajaan
Selangor pimpinan Khalid Ibrahim mendapat sokongan kuat rakyat Selangor dalam
PRU yang lalu adalah disebabkan Khalid tidak mentadbir secara dan kaedah UMNO
yang rakyat Selangor sudah jemu selama ini.
Sesugguhnya Khalid menjadi korban
nafsu serakah pimpinan PKR sendiri. Jika Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri
selepas PRU yang lalu, Khalid tidak akan dimangsakan secara begini.
Rupa-rupanya PKR tidak suka Khalid memimpin cara yang berlainan dari UMNO.
Rakyat telah menjadi susah
semata-mata kerana Anwar tidak berjaya menjadi Perdana Menteri selepas PRU yang
lalu. Anwar dan beberapa orang penyokong kuatnya beranggapan yang jawatan
perdana menteri itu adalah hak milik mutlak Anwar sehinggakan Anwar boleh
bermain politik dengan bertenggek kepada ‘ignorance’ rakyat yang lurus dan
jujur itu.
Anwar telah mengambil sokongan
rakyat untuk melakukan apa yang nafsunya menyuruh beliau lakukan. Kebaikan
rakyat telah dipermainkan oleh Anwar. “Anwar is taking the people’s
friendliness as weaknesses’. Perbalahan diantara Azmin dengan Khalid diambil
kesempatan oleh Anwar untuk menonjolkan dirinya sebagai penyelesai kepada
masalah PKR Selangor.
Tetapi apa yang berlaku sekarang
adalah disebaliknya. PKR Selangor telah berpecah-belah dan tidak kurang masalah
timbul dikalangan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat itu sendiri. Baru
beberapa bulan dahulu Khalid masih dipuji tetapi oleh kerana Anwar dan rakannya
dalam PKR, Khalid sekarang sudah dikeji. Begitulah nasib jika berketuakan Anwar
dan masalah tidak akan berkurangan, malahan masalah akan bertambah.
Di mana-mana Anwar membawa
masalah. Saya bergiat secara cergas dalam UMNO dahulu lebih dari sepuluh tahun
lebih awal dari Anwar menyertai UMNO pada 1982 dahulu dan saya nampak Anwar
tidak mempunyai perjuangan untuk negara tetapi hanya untuk peribadinya sendiri.
Semasa beliau bersama Dr Mahathir, beliaulah yang paling lantang menyokong Dr
Mahathir.
Tetapi ini mungkin juga satu
‘retribution’ bagi Dr Mahathir kerana akhirnya mendapat Timbalan seperti Anwar
kerana Mahathir sendiri tidak ikhlas terhadap rakan-rakan seperjuangan dalam
UMNO semata-mata kerana kepentingannya untuk memerintah negara dalam masa yang
lama. Akhirnya Dr Mahathir bertemu ‘buku dengan ruas’ dengan adanya Anwar
sebagai timbalannya.
Akhirnya beliau dicerca oleh
Anwar sendiri, orang yang telah diangkatnya sebegitu tinggi dalam jangka masa
sepuluh tahun sahaja dalam UMNO itu sudah menjamah jawatan Timbalan Perdana
Menteri. Dalam proses mendaki takhta kuasa sehingga jawatan Timbalan Perdana
Menteri, Anwar telah menyepak dan terajang ramai pemimpin yang lain dalam UMNO
semasa beliau berkuasa waktu itu.
Bak kata perpatah Inggeris, ‘what
goes around comes around’. Anwar sekarang mendapat gilirannya pula untuk
menerima apa yang telah diterima oleh Dr Mahathir dan Anwar sekarang terdedah
kepada masalahnya sendiri seperti beliau memberi masalah kepada banyak pemimpin
yang beliau perlakukan sesuka hati beliau semasa di dalam UMNO dahulu.
Anwar membawa masalah kepada
rakyat dan sekarang membawa masalah itu kepada pengundi Kajang tanpa alasan
yang kukuh.
Berpecah rakyat Selangor
dibuatnya. Sekarang ramai yang sudah mempunyai ‘apprehensions’ untuk meneruskan
sokongan terhadap PKR kerana sokongan terhadapnya akan membawa perpecahan yang
berterusan.
Menyokong parti yang berpecah
akan membawa kepada perpecahan rakyat. Mungkin cara terbaik untuk mengekalkan kerajaan Selangor berada dalam Pakatan rakyat, ialah dengan memberikan PAS untuk mengendalikan kerajaan negeri itu sekarang ini.
Pimpinan PKR ini asyik bertelagah sahaja diantara satu dengan lain. Kali ini biarkan pimpinan PKR menjadi penyokong kepada PAS pula. Lagi pun jika PAS menerajui negeri ini, ia masih dalam Pakatan Rakyat juga.
Pimpinan PKR ini asyik bertelagah sahaja diantara satu dengan lain. Kali ini biarkan pimpinan PKR menjadi penyokong kepada PAS pula. Lagi pun jika PAS menerajui negeri ini, ia masih dalam Pakatan Rakyat juga.