30 March 2014

Dr Mahathir sudah berada diluar negara semasa kejadian Memali

Isu Memali kembali menjadi perhatian selepas Tun Musa Hitam, (TMH) bekas Timbalan Perdana Menteri pertama kepada Dr Mahathir yang juga mengetuai Kementerian Dalam Negeri, pada tahun tragedi itu berlaku. Isu ini pernah di sebut dalam beberapa isu politik dalam pertengahan lapan puluhan dahulu dan saya sendiri pernah mendengar penerangan yang di berikan oleh TMH sekali dua dalam tempoh itu.

Saya tidak berniat untuk bercakap tentang isu ini dengan tepat kerana dalam artkel ini saya hanya hendak mengulangi apa yang di sebut oleh TMH semasa itu. Saya masih ingat dengan jelas penjelasan TMH bagi menjawab tuduhan setengah pihak di dalam dan luar UMNO semasa itu yang mengaitkan nama TMH dengan kejadian di Memali itu.

Kami pernah mendapat penerangan dari TMH apabila ada pihak dalam UMNO sendiri menjadikan isu Memali ini semasa pertandingan parti dalam tahun 1987 dahulu. TMH telah kehadapan memberikan penerangan kepada kami yang beliau telah pergi ke Lapangan Terbang Subang untuk memujuk Dr Mahathir supaya membatalkan lawatannya ke negara China kerana isu Memali ini adalah isu yang amat serius. Negara memerlukan Dr Mahathir ada bersama dalam menangani isu Memali yang kian memuncak semasa itu.

TMH berkata Dr Mahathir tidak mempedulikan pujukan beliau itu dan terus juga terbang ke Jepun, sebelum memulakan lawatannya ke negara China itu. Akhirnya berlakulah kejadian Memali itu pada 19hb November 1985 itu sehari sebelum Dr Mahathir memulakan lawatan beliau kenegara China semasa itu. Pada pendapat saya Dr Mahathir tidak berada dalam negara semasa itu kerana beliau tidak mahu menerima pujukan TMH untuk membatalkan lawatan beliau ke China yang telah di uruskan terlebih awal.

TMH telah menyatakan yang Dr Mahathir tidak mahu membatalkan lawatannya itu walaupun TMH merasakan yang lawatan itu boleh dibatalkan dan secara diplomatiknya kita mampu memberikan sebab kepada negara China kenapa lawatan itu terpaksa dibatalkan. Tetapi Dr Mahathir tetap juga pergi dan TMH tidak dapat berbuat apa-apa kerana Dr Mahathir tetap mahu meneruskan lawatan beliau ke China itu. Ini lah yang diberitahu oleh TMH jika ia boleh membantu Dr Mahathir yang berkata beliau sudah lupa tentang dimana beliau berada semasa kejadian berdarah Memali itu berlaku.

Kenyataan TMH di Kota Baru yang Dr Mahathir semasa kejadian itu berlaku agak berbeza dengan apa yang beliau terangkan kepada kami penggiat parti pada tahun 1987 itu kerana kejadian itu berlaku sehari sebelum beliau memulakan lawatan ke negara China itu.

Kalau tidak salah pendengaran saya semasa itu, begitulah yang diterangkan oleh TMH dalam menjawab isu yang dimainkan oleh setengah pihak dalam UMNO semasa itu. Tetapi kita wajar juga mendengar penerangan atau jawapan Dr Mahathir dalam isu ini.

Tentunya perkara ini akan timbul keadaan sebenarnya kerana lawatan rasmi Perdana Menteri selalunya ada rekodnya tercatat.

Dr Mahathir telah berjanji untuk meneliti kesahihan kenyataan TMH itu, kerana beliau berkata kejadian itu terlalu lama untuk di ingati dengan sepenuhnya. Mungkin TMH sendiri ada fakta yang beliau lupa kerana ia berlaku tiga puluh tahun dahulu.

Tetapi setakat ingatan saya Dr Mahathir sudah keluar negara semasa kejadian Memali itu. Tidak kiralah samada Dr Mahathir tidak mahu membatalkan lawatannya keluar negara itu, tetapi yang saya rasa pasti semasa kejadian itu Dr Mahathir tidak berada dalam negara.

Tetapi untuk mendapatkan kesahihannya kita tunggu sahaja apa yang akan diperkatakan oleh Dr Mahathir nanti, kalau pun beliau mahu memberikan jawapannya.

26 March 2014

Anwar jangan berselindung di sebalik telunjuk

Anwar Ibrahim berkata di lobi Parlimen yang beliau akan mencari jalan bagi membawa isu yang mensabitkan beliau bersalah dalam kes sodomi2 yang beliau anggap tidak adil ke Parlimen. Beliau juga akan membawa kes yang mensabitkan Karpal bersalah di Mahkamah Tinggi yang berkait dengan isu ‘sedition’ terhadap Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Bagi Anwar apa sahaja penghakiman yang tidak memihak kepada beliau itu adalah penghakiman yang tidak adil. Tetapi semua penghakiman mahkamah yang memihak kepada beliau semuanya adil. Beliau belum lagi berhenti menuduh yang penghakiman oleh hakim-hakim di Mahkamah di Malaysia ini adalah penghakiman yang mengampu UMNO.

Tetapi begitu banyak agensi-agensi dan badan yang berada di pihak UMNO telah memihak kepada Pakatan Rakyat dan Anwar, tidak pula di sebut dan diakui sebagai satu tindakan penghakiman yang adil. Bagi Anwar mahkamah mesti mengikut telunjuk beliau dan memihak kepada kemahuan dan kehendak beliau sahaja. Jika tidak beliau akan bawa ke Parlimen dan ke jalanraya untuk mendesak dan menekan badan kehakiman untuk menjadi alat kepada kemahuan peribadi beliau.

Mahkamah hanya diakuinya sebagai adil jika ia tidak memihak kepada kepada pihak lawan beliau. Seluruh dunia menganggap tindakan terhadap Ketua Hakim Negara pada tahun 1988 dahulu adalah tindakan yang sungguh zalim dan tidak adil. Tetapi Anwar merupakan pemimpin yang telah bersama Dr Mahathir dan pimpinan UMNO baru semasa itu melakukan tindakan tidak adil terhadap badan kehakiman negara.

Mahathir pun tidak seteruk Anwar dalam bidasan beliau terhadap Tun Salleh Abas dan empat hakim Mahkamah Agung yang di pecat semasa itu dan tidak ada apa pun tindakan Anwar untuk memberikan simpati terhadap hukuman terhadap badan kehakiman semasa itu.

Anwar bukan tidak tahu yang tribunal yang di tubuhkan oleh Mahathir semasa itu dilakukan dalam tempuh sehari sahaja untuk memastikan yang Tun Salleh tidak sempat untuk mendengar rayuan beberapa ahli UMNO yang telah merayu ke Mahkamah Agung untuk menghidupkan UMNO asal itu. Semua orang tahu yang jika Tun Salleh sempat mendengar rayuan beberapa ahli UMNO untuk menghidupkan UMNO itu, parti yang menyudahkan perjuangan kemerdekaan itu akan kembali sembuh dan hidup seperti biasa.

Anwar tidak selayaknya bercakap tentang ‘independence of judiciary’ itu kerana kepada mereka yang mengingati sejarah akan mengakui yang Anwar merupakan orang yang paling kuat menyokong Dr Mahathir untuk melenyapkan badan kehakiman sebagai badan bebas dan berintergriti. Anwar merupakan proponen besar dalam penghakisan badan kehakiman yang bebas itu.

Anwar boleh bercakap seperti sekarang ini jika semua manusia yang melihat kezaliman beliau bersama Dr Mahathir terhadap badan kehakiman semasa itu telah mati dan tidak seorang pun yang hidup lagi di dunia ini.

Isu sodomi terhadap Anwar ini juga telah membuatkan badan kehakiman masih dituduh sebagai agen UMNO walaupun badan itu telah banyak membuat penghakiman yang adil termasuk memihak kepada Pakatan Rakyat dalam banyak isu saman menyaman diantara beliau dan Pakatan Rakyat terhadap agensi-agensi berkepentingan kerajaan seperti Utusan dan yang lain-lain.

Semua perlu bertanya kepada Karpal siapa yang menyediakan ‘Statutory declaration’ (SD) terhadap tindakan sodomi Anwar dahulu terhadap Azizan Abu Bakar. Jika Karpal jujur, beliau akan memberikan jawapan yang sejujurnya.

Jika begini sikap pemimpin ini, jika ada yang mahu dan mempunyai masa untuk melakukannya, elok diadakan forum-forum tentang isu sejarah yang masih baru jika disingkap dengan sebenarnya.

Anwar perlu menghentikan sikap bermuka-muka seolah-olah semua manusia dalam negara ini diperlakukan sebagai ‘disuruh pergi dipanggil datang’. Sikap memperlembukan pemikiran manusia terutamanya kepada yang masih muda ini amat tidak jujur sekali.

Buatlah apa sahaja untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri itu tetapi janganlah sampai memperbodohkan manusia lain. Bolehlah Anwar menyorokkan kesalahan dirinya tetapi janganlah menyorok disebalik telunjuk sendiri.

Anwar mesti berfikir yang tidak semua yang mendengar ucapan dan retorik beliau itu melopong mulutnya dan mengambil sahaja apa yang beliau perkatakan. UMNO sangat susah untuk mempertahankan tuduhan liar Anwar ini kerana mereka semua dalam kabinet dan Majlis Tertinggi parti itu semuanya mengikut Anwar mengampu Dr Mahathir membuta tuli semasa itu.

Masing-masing, baik Anwar dan mereka dalam Majlis Tertinggi semuanya satu kelompok pengampu Dr Mahathir semasa itu. Mereka semuanya sama sahaja. Mereka semua ini yang telah menyesatkan UMNO dan rakyat negara.

Dugaan amat besar, tempuhi dengan kesabaran yang kental

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan secara rasmi yang MH370 mengakhiri penerbangan nya di selatan Lautan Hindi. Walaupun tidak ada bukti-bukti ‘organic’ yang pesawat itu terhempas tetapi Malaysia telah mengambil keputusan untuk menerima pencarian melalui satellite dari UK Inmarsat dan AAIB yang telah mengikuti misteri kehilangan MH370 dan telah memberikan keyakinan kepada Malaysia yang pesawat itu terhempas di Selatan Lautan Hindi, lokasi terakhir pesawat itu dapat di turuti oleh syarikat satellite UK itu.

Semua rakyat negara dan juga masyarakat antarabangsa amat merasakan kesedihan dan kepiluan dengan pengumuman Perdana Menteri itu setelah menunggu selama 17 hari untuk mendapatkan berita tentang nasib pesawat tersebut. Sebagai unit kecil dalam masyarakat negara ini, saya tidak dapat tidur lena dengan kemalangan ‘aviation’ yang paling ‘unprecedented’ ini dan situasi ini belum pernah kita rasai dalam sejarah kemalangan ‘aviation’ sebelum ini. Tentunya lebih ramai lagi diluar sana yang merasakan situasi yang sama.

Saya seperti yang lain, tidak dapat membayangkan kesedihan yang dialami oleh waris dan keluarga penumpang-penumpang dan kakitangan pesawat malang itu kerana kehilangan mereka yang tersayang.

Apa yang dapat kita lakukan hanyalah berdoa agar keluarga dan waris mereka yang malang itu sentiasa kuat dan teguh menghadapi dugaan Tuhan ini dan ingat kepada agama yang percaya kesabaran menghadapi situasi dan dugaan ini adalah peningkatan keimanan kita terhadapNya yang Maha Berkuasa dan Pencipta itu.

Orang ramai tanpa mengira miskin atau kaya dan dari apa-apa bangsa dan kepercayaan bersama merasakan kepedihan yang di alami oleh mereka yang kehilangan mereka yang di sayangi.

Yang pergi tetap pergi dan kita sendiri sedang menunggu giliran untuk pergi ke tempat yang sama. Hanya Tuhan saja yang tahu waktu yang dikehendakiNya untuk kita kembali ke alam baqa itu. Tetapi sementara kita menunggu giliran kita untuk pergi, ‘life has to go on’ dan tanggungjawab kita terhadap kehidupan perlu dan wajib kita laksanakan sebaik yang di kehendakiNya.

Setiap yang hidup pasti menghadapi dugaanNya. Jika keluarga yang kehilangan yang tersayang dalam kemalangan pesawat ini, kita pula belum tentu apa pula dugaan yang kita pula hadapi sebelum kita kembali kepadaNya. Malahan ramai yang ada sekarang telah pun menghadapi dugaan masing-masing dan kehidupan mereka tetap mereka teruskan sebagai seorang yang penuh dengan keimanan dan mengakui kebesaran Allah s.w.t. itu tidak ada satu pun boleh dijadikan perbandingan.

Teruskan berdoa untuk mereka yang menghadapi keperitan ini, agar mereka menghadapi situasi ini dengan tabah dalam kekentalan iman seperti yang di tuntutiNya.

Al fatihah.

24 March 2014

Perjuangan demokrasi barat, dalam amalan seperti politik Korea Utara

Keputusan pilihanraya kecil Kajang memberikan kemenangan kepada PKR dengan majoriti yang lebih mengecil. PKR mengekalkan kerusi N25 itu dengan kekurangan majoriti sebanyak 1,400 undi dan ia tidak memberikan apa-apa perubahan kepada lanskap politik tanahair khususnya di Selangor. PKR mendapat 16,741 dan BN pula mendapat 11,362 undi dan majoritinya ialah 5,379 dan ia jelas berkurangan dari majoriti yang diperolehi CC Lee dalam PRU yang lepas.

Dari awal lagi blog ini telah memberikan tanggapan yang PRK ini merupakan satu tindakan yang membazir dan tidak memberikan faedah kepada mana-mana pihak. Dengan kemenangan PKR dan Wan Azizah ini kita hendak juga mengetahui apakah nilai tambah kepada PKR selepas ini?

Bagi saya ia hanya menambahkan keyakinan rakyat yang PKR sedang mula menghadapi zaman malapnya kerana PRK ini tidak boleh menambah apa-apa kebaikan kepada politik negara dan Selangor khususnya itu.

Pandangan ini tentunya mendapat bantahan dari setengah pihak tetapi masa akan menentukan yang pandangan setengah pihak yang lain yang PRK Kajang ini hanyalah untuk menutup kelemahan parti yang memerintah negeri Selangor itu. Di samping itu ia hanya memberikan nafas kepada beberapa orang individu politik yang hanya akan relevan semasa keadaan yang bercelaru sahaja.

Sekarang kita juga tertunggu-tunggu apakah keuntungan kepada PKR dan rakyat dalam tumpuan untuk menguasai Putrajaya sebagaimana yang di heboh dan di laungkan semasa mula-mula kerusi N25 ini dikosongkan oleh CC Lee lebih sebulan yang lepas.

Jika sebab utamanya ialah kerana perebutan kerusi Menteri Besar Selangor diantara TS Khalid dan Azmin adalah sebab utamanya CC Lee meletakkan jawatan beliau apakah kemenangan Wan Azizah ini akan membuatkan TS Khalid meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada Wan Azizah untuk mengetuai kerajaan Selangor itu?

Tetapi yang diketahui umum ialah kenyataan yang TS Khalid adalah anak didik Wan Azizah dan kita mahu juga mengetahui apa yang akan terjadi jika Wan Aziziah benar-benar-benar ditekan untuk menjadi pengganti kepada TS Khalid.

Jika itu yang terjadi dan ia disokong pula oleh Azmin, seperti yang beliau nyatakan dalam kempen seminggu yang lalu maka Azmin akan senyap dan tidak bertindak terhadap Menteri Besar yang baru itu maka sekali gus kita akan memahami sikap Azmin yang hanya mahukan TS Khalid keluar dari kepimpinan kerajaan Selangor sahaja dan siapa yang mendapatnya selepas itu beliau akan sokong asalkan sahaja bukan TS Khalid yang menerajui kerajaan negeri terkaya itu.

Apa pun ‘sequence of events’ di Selangor selepas ini ia menunjukkan dan memaparkan beberapa isu besar yang bakal dan telah pun terbina terhadap PKR ini.

Saya sekarang sudah mula meyakini tuduhan setengah pihak yang PKR ini adalah parti untuk keluarga semata-mata atau sebuah parti yang tidak berkepimpinan. Meletakkan Wan Azizah itu menunjukkan parti itu hanyalah untuk keluarga pemimpin utamanya dan yang lain itu hanya penumpang yang aktif sahaja.

Kalau kita semua mahu mengakuinya PKR lah parti yang membawa isu kronism dan kepentingan keluarga terhadap UMNO sejak PKR ditubuhkan. Saya sendiri mengkritik UMNO sebegitu kuat kerana isu kuasa yang berpindah dari bapa kepada anak didalam UMNO itu. Tetapi PKR sendiri mengamalkan sindrom itu dan elok kita bertanya apa akan terjadi jika PKR menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan di Putrajaya dan semua negeri dalam Persekutuan ini?

Setidak-tidaknya anak-anak atau keluarga terdekat dalam UMNO itu hanya mengambil alih kepimpinan ketua keluarganya setelah ketua keluarga kepimpinan itu sudah tiada dalam kepimpinan atau telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Hishamudin menjadi orang UMNO yang kuat dan menjadi pemimpin parti itu setelah Hussein Onn lama meninggalkan beliau dan keluarga beliau.

Semasa Tun Razak meninggal dunia Najib masih lagi bermain karom dan beliau diangkat menjadi PM setelah bapanya meninggalkan kita hampir 40 tahun  kemudian. Dr Mahathir meninggalkan jawatan yang beliau pegang dengan kuat selama 22 tahun itu, hanya melihat Mukhriz sampai ketahap hanya sebagai Menteri Besar selepas 11 tahun bapanya meninggalkan jawatan yang paling berkuasa itu.

Itu pun isu ini sedang menjadi isu hangat dan ramai diantara ahli-ahli UMNO sendiri sudah mual dengan kuasa yang berpindah kepada ahli keluarga pimpinan dalam parti itu. Tetapi perpindahan kuasa dari bapa kepada anak atau kepada isteri dalam PKR dan parti-parti yang bersekutu di dalamnya dilakukan secara ‘direct’ dan cepat. Jika ini keadaannya adakah kemungkinan yang penyakit yang sama akan berlaku jika PKR dan sekutunya menjadi kerajaan di Putrajaya jika diberikan mandat?

Apakah kita akan membudayakan amalan politik di Korea Utara dalam mana kepimpinan dan kuasa politik negara itu akan hanya berpindah setelah pemimpin itu mempunyai anak yang sudah melampaui baligh sahaja? Kenapa laungan demokrasi yang begitu berkumandang, tetapi dalam amalannya, kita mempraktikkan amalan seperti kepimpinan Korea Utara dalam mana kepimpinan negara itu bertukar daripada Kim Jong Il kepada Kim Jong Un, anaknya yang berpendidikan barat itu.

Tidak salah juga jika PKR mahukan cara perpindahan kepimpinan seperti yang berlaku di Korea Utara itu, tetapi janganlah melaungkan perjuangan anti-kronism dan sebagainya pula. Pilihan adalah kehendak parti itu sendiri tetapi mesti tentukan yang cara dan kaedahnya itu mesti selari dengan apa yang diperjuangkan olehnya.