16 August 2014

Jika PR berpecah, jangan dikambing-hitamkan PAS sahaja, semua mesti bertanggungjawab

Tiga tahun lagi pilihanraya umum akan diadakan dan apa yang berlaku semasa itu nanti tidak dapat kita telah. Politik negara begitu ‘fluid’ dan apa sahaja boleh berlaku, dan ia bergantung kepada permainan politik kedua-dua belah pihak BN dan Pakatan Rakyat. Kita lupakan sahaja apa yang baik yang akan dilakukan oleh kedua-dua belah pihak kerana mereka tidak memberikan tumpuan kepada negara selain daripada bermain politik untuk kepentingan peribadi individu-individu dalam parti-parti tersebut.

Politik sekarang ialah politik untuk pergaduhan dan bukan untuk menyatukan rakyat. Rakyat dijadikan sebagai alat mereka membuat tuntutan sahaja. Lagi berkocak rakyat lagi untung setengah pihak. Apa pun yang terjadi ia pihak kerajaan tidak akan berhadapan tekanan seperti yang mereka hadapi semasa PRU ke-13 lalu.

Apa yang berlaku di Selangor kini, akan memberikan impak yang begitu negatif terhadap Pakatan Rakyat. 'Lenggang tidak sehayun lagi, langkah sudah tidak seirama lagi' dan bermacam-macam lagi yang tidak kena samada dalam masalah ‘intra-party’ yang dialami oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat, tetapi mereka juga berhadapan dengan masalah ‘inter-party’ dalam gabungan itu.

Dalam PRU yang lalu ‘life force’ yang ada dalam diri masing-masing dalam Pakatan Rakyat begitu tinggi dan seolah-olah BN akan terkubur selepas sahaja dalam pilihanraya itu. Pemimpin-pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat sudah ada yang mendabik dada dan memberi amaran kepada banyak agensi kerajaan yang mereka akan diambil tindakan setelah Pakatan Rakyat berada di Putrajaya.

Semasa itu saya bersama-sama mendukung perjuangan mereka dan saya telah gambarkan yang selepas PRU itu ramai pemimpin BN akan masuk ke Sungai Buluh kerana sudah ada kecenderungan masing-masing mahu membesarkan keluasan penjara Sungai Buluh semasa itu untuk menempatkan ramai pimpinan BN di sana.

Semasa mereka menyebut tentang penjara Sungai Buluh terasa juga di dalam diri saya yang Pakatan Rakyat tidak akan berjaya kerana kerakusan untuk berdendam semasa itu amat tinggi. Saya tahu yang sikap itu akan digagalkan oleh ‘nature’ kerana itu bukan matlamat perjuangan seperti yang tertulis dalam manifesto Pakatan Rakyat yang sentiasa ada dalam saku saya.

Imbasan yang datang kepada saya memberikan keyakinan yang matlamat PR akan terbengkalai kerana sikap terlalu ghairah untuk berdendam itu akan menyekat kemaraan PKR untuk ke Putrajaya. Keputusannya telah kita saksikan dan apa yang terasa di dalam hati saya dan beberapa orang yang berbincang secara ‘private’ itu benar-benar berlaku. Bagi saya keputusan itu tidak mengejutkan walaupun ada pemimpin DAP yang begitu yakin yang Pakatan Rakyat akan memenangi 125 kerusi di dalam Dewan Legislatif Persekutuan.

Apa pun semasa dalam masa berkempen Pakatan Rakyat telah menunjukkan kemampuan untuk membina aura penentangan yang besar terhadap BN tetapi keputusannya tetap kalah. Berbagai-bagai tuduhan terhadap pihak pemerintah seperti SPR dan sebagainya, malahan ada tuduhan yang mengatakan seramai 40,000 pengundi dari Bangladesh telah mengundi secara haram semasa PRU itu dan berbagai-bagai lagi. Tetapi mereka yang sudah masak dengan politik negara ini isu itu hanyalah isu untuk mengalihkan perasaan kekalahan dan kelemahan mereka kepada pihak lain.

Tetapi bagaimana pula kemungkinan yang akan berlaku dalam PRU yang akan datang? Bagi setengah pihak keadaannya adalah ‘predictable’. Ada yang yakin yang PR akan berjaya menumpaskan BN dan ada yang mengatakan yang BN akan lebih kuat dari sekarang. Semuanya berhak umtuk membuat telahan dan andaian masing-masing.

Tetapi jika didasarkan kepada penilaian yang agak ilmiah, tidak mungkin Pakatan Rakyat akan mendapatkan kejayaan lebih dari apa yang mereka perolehi semasa PRU yang lalu. Perpecahan hari ini, mengambil masa untuk bersatu kembali dan cantas-mencatas di antara mereka akan tetap berterusan. Masing-masing ramai yang tidak berpuas hati dengan parti masing-masing dan parti-parti yang menganggotai Pakatan Rakyat itu.

DAP terutamanya, tersangat mengada-ngada dan menekan PAS dalam isu Khalid Ibrahim ini. DAP mahukan semuanya dalam Pakatan Rakyat mahu mengikut telunjuknya dan perasaan tidak puas hati terhadap rakan kongsinya itu dengan mengambil kesempatan untuk melakukan tekanan terhadap PAS sekarang ini. .

Saya begitu tertarik dengan kenyataan Subki Latif, veteran PAS, yang berpendapat amat mudah untuk menyalahkan PAS tetapi DAP dan Anwar tidak melakukan secukupnya untuk mempertahankan Pakatan Rakyat daripada berpecah. PAS tidak bersetuju untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim, samalah seperti DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud. DAP tidak bersetuju dengan hukum hudud tetapi PAS tidak pernah mendesak supaya Lim Guan Eng meletakkan jawatan.

PAS seperti DAP juga, sedar mempunyai kemahuan agar Pakatan Rakyat kuat, tetapi takkanlah PAS sahaja yang berkorban. Sesungguhnya perpecahan dalam Pakatan Rakyat terutamanya di Selangor adalah kesalahan semua parti dan PAS tidak wajar menjadi kambing hitam kerana ketamakan kuasa sesetengah pemimpin dalam Pakatan Rakyat itu.

Kecenderungan Anwar hanya mahukan semua dalam Pakatan Rakyat itu untuk mendengar dan tunduk kepada telunjuknya sahaja itu akan melemahkan semangat parti-parti dan ahli yang menganggotai parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu.

Anwar tidak boleh menggunakan sokongan yang telah diterimanya untuk menyembelih sesiapa di kalangan jemaah kepimpinannya. Yang hendak dipaksanya ini adalah manusia yang mempunyai perasaan dan bukannya haiwan belaannya.

Sedangkan 'anjing kurap pun boleh mengotekkan ekornya kalau dibuli' sedemikian rupa. Apatah lagi manusia yang telah sama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri Selangor dan menaikkan imej parti itu dahulu.

Jika tidak dilakukan ‘langkah kajang’ dahulu, keadaan yang kita hadapi sekarang mungkin tidak akan kita alaminya. Ingat tu. Sesungguhnya keadaan sekarang adalah satu keadaan yang begitu ‘unnecessary’ untuk berlaku.

Perancangan untuk menjatuhkan pemimpin dalam parti sendiri itu adalah perbuatan yang hanya dilakukan oleh mereka yang dipandu oleh ‘devilish intentions’ dan ia bermula dengan ‘Kajang Move’ yang dimulakan oleh ‘semua orang tahu’ itu.

Sesudah itu paksa PAS untuk mengikut telunjuk mereka. Anwar mahukan dirinya seperti Nabi Adam di mana semua malaikat itu tunduk kepadanya. Yang tidak tunduk dianggapnya sebagai Iblis.

Azmin Ali pun okay, malahan lebih dari okay

Kenapa PKR meletakkan Wan Azizah sebagai pengganti Khalid, semua orang tahu sebabnya. Kenapa PKR tidak meletakkan Azmin Ali, Pengerusi PKR Negeri Selangor, ke jawatan itu pun semua orang tahu. Sebagai seorang yang mengetuai parti di Selangor Azmin sebenarnya adalah orang yang ‘legitimate’ untuk mengambil alih Khalid jika benar Khalid tidak lagi mendapat sokongan dari Dewan Undangan. Malahan ramai bertanya kenapa selepas pilihanraya ke13 dahulu Azmin tidak dibawa ke Istana untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar itu?

Jika Anwar dan PKR menganggap Khalid tidak sesuai lagi dan perlu diganti, mencadangkan Wan Azizah itu juga merupakan satu ‘misadventure’ bagi PKR. Keadaaan di Selangor tidak kan kembali seperti dahulu kala lagi. Azmin bukannya seorang yang sakit atau mengidapi penyakit  mental atau sebagainya. Azmin sihat dan segar bugar. Beliau adalah Ketua PKR Selangor dan juga seorang Ahli kepada Dewan Undangan Negeri Selangor.

Azmin merupakan seorang arkitek pembinaan PKR dan beliau bukan calang-calang orang untuk tidak dipertimbangkan kepada jawatan ini. Nasib Azmin yang tidak dipandang oleh pucuk pimpinan PKR ini juga adalah diatas pertimbangan politik peribadi seseorang atau keluarga seseorang itu.

Bukan tidak ada desakan untuk Azmin ditempatkan ke jawatan itu. Kenapa hendakkan Wan Azizah juga? Tetapi persoalan itu hanya boleh dijawab oleh Anwar Ibrahim dan keluarganya sahaja. Jika kita sebut sebabnya yang benar, nanti kita akan dinafikan kebenaran itu.

Ada yang membuat spekulasi supaya meletakkan Dr Idris, ADUN Ijok sebagai calon kompromi. Jika semua pihak termasuk Azmin bersetuju, Dr Idris mungkin calon kompromi yang sesuai. Tetapi Dr Idris sebagai seorang yang saya kenali agak rapat, adalah orang baik dan orang baik semata-mata bukannya pilihan yang tepat. Kita bukannya mencari orang baik, tetapi pemimpin yang baik.

Kalau hendak mencari setakat orang baik, mungkin bilal dan imam di mana-mana masjid di Kuala Selangor dan Tanjung Karang ada yang layak untuk menggantikan Khalid Ibrahim ini.

Nama Azmin ini bukan terbit dari saya atau sesiapa, tetapi itulah yang saya dengar berlegar dipemikiran orang biasa di bawah-bawah ini dan saya bersetuju dengan pandangan itu. Saya sendiri mengenali Azmin dan pernah duduk bercakap tentang apa yang berlaku dalam politik negara.

Adalah tidak adil bagi saya untuk menafikan yang Azmin adalah seorang yang mempunyai ‘sisek’ kepemimpinannya. Beliau mempunyai pemikiran dan jiwa yang mantap untuk menjadi calon pengganti kepada Khalid jika Khalid terpaksa juga berhenti. Azmin menjaga bukan sahaja kekuatan mentalnya, tetapi beliau juga menjaga kesihatan tubuhnya seolah-olah sudah bersedia untuk menyeliakan sebuah negeri yang maju di negara ini.

Tetapi apa yang menyebabkan beliau dipinggirkan tidak dapat ramai yang tahu. Hanya Anwar boleh memberikan jawapannya walaupun agak ramai juga yang boleh ‘menyelam air dalam tunggak itu’.

Tetapi pandangan ini hanyalah pandangan seorang yang di ‘luar kandor’ bak kata pepatah orang kampung saya. Saya hanya memberikan pandangan sebagai seorang biasa yang telah menumpang berteduh di negeri Selangor sejak 44 tahun dahulu.

Relatively speaking, memilih Azmin itu adalah lebih dari okay. Yang nyata Kajang Move dahulu merupakan satu tindakan yang menghasilkan apa kita semua lihat hari ini. Ia tidak berapa nak menjadi.

Kalau benar yang majoriti itu betul, kenapa nak tumbangkan UMNO, kerana UMNO itu pihak majoriti

Jika akhirnya Wan Azizah menjadi Menteri Besar melalui undi tidak percaya terhadap TS Khalid Ibrahim, pertamanya ia adalah Menteri Besar wanita yang pertama di negara ini Tentulah ramai yang ternanti-nanti apa kah perubahan yang hendak dilakukan oleh partinya setelah masih tidak berpuas hati dengan ‘performances’ Menteri Besar sekarang ini.

Badainya ada dua, pertamanya ia akan menunjukkan perbezaan yang jelas lebih baik dari yang ada pada hari ini. Keduanya mungkin keadaan akan sebaliknya. Itu terpulang dari sudut mana kita melihat perubahan itu. Tetapi perubahan tetap ada, mungkin terlalu jelas perubahan itu nanti.

Oleh kerana beliau belum lagi menjadi, kita hanya mampu mengagak dan menelah sahaja dalam isu ini. tetapi yang pasti PKR akan lebih ‘bergumbira’ jika terjadi peralihan kuasa ini terjatuh ke tangan Wan Azizah. Khalid mempunyai imej kedekut kepada parti, dan itu adalah pengetahuan umum. Kepada beliau wang kerajaan itu rakyat yang punya dan parti tidak boleh menggunakan sewenang-wenangnya wang itu. Parti nak belanja carilah sendiri.

Salah satu yang menyebabkan UMNO merudum dahulu ialah kerana pimpinan parti itu tidak berapa tahu dan faham yang wang kerajaan itu adalah wang rakyat. Mereka mempunyai fahaman yang wang kerajaan itu adalah wang UMNO. Seorang pemimpin UMNO pernah berkata kepada saya, “when you are in power you better be powerful, or else you a bloody fool” katanya mempertahankan isu UMNO menggunakan kemudahan kerajaan untuk mengambil wang rakyat itu.

Mereka menggunakan kuasa untuk memberikan kemudahan kepada parti untuk berebut dengan rakyat biasa berkenaan projek-projek besar kononnya untuk parti bergerak. Sesudah tiadanya Khalid nanti dan diambil alih oleh Presiden parti ini, masalah yang di hadapi oleh UMNO itu akan juga menjadi amalan PKR. Mereka akan beranggapan yang jika parti tidak menggunakan kesempatan untuk membuat wang, mereka akan dianggap sebagai ‘bloody fool’.

UMNO kuat kerana wang, dan dengan wang sahaja boleh melawan ‘supremacy’ UMNO itu. Jika tidak mungkir pandangan ini, sama-samalah kita saksikan yang PKR dan sekutunya akan menjadi parti yang kaya raya, apatah lagi Selangor ini merupakan negeri yang terkaya dan mempunyai peluang yang begitu banyak untuk menambah kantung parti yang kini tidak berapa berisi. Perubahan akan tetap boleh kita lihat tetapi perubahan itu ialah perubahan untuk menjadi sama, sehayun dan selenggang dengan UMNO.

Di sini lah kesilapan Khalid yang terbesar kerana berbuat cara yang baik itu adalah satu kesalahan, dan beliau telah dilemparkan dengan alasan-alasan yang lain semata-mata untuk menjatuhkan beliau. Salah satu sebab timbulnya isu ini ialah kerana mereka menganggap Khalid sebagai ‘bloody fool’ kerana menyekat parti mendapat pertolongan dari kerajaan pimpinannya.

Isu ini pun boleh dibahaskan dan tidak menggunakan kesempatan menghimpunkan wang ini boleh dianggap betul dan ada yang beranggapan sebagai salah. Mempertahankan prinsip wang kerajaan itu wang rakyat, dan wang parti itu wang parti boleh di salahkan. PKR yang mempunyai kuasa majoriti dalam Dewan Undangan sebagaimana yang didakwa itu, akan menerima budaya wang kerajaan boleh digunakan oleh parti. Itu tidak siapa yang boleh menolaknya kerana mereka adalah suara majoriti walaupun itu adalah satu kesalahan besar.

Itu sebabnya saya bertanya dalam posting yang sebelum ini, betulkah yang majoriti itu bertindak benar dan yang minoriti itu salah? Kalaulah yang majoriti itu sentiasa benar kenapa berlaku semua perkara buruk bukan sahaja di negeri ini tetapi berlaku di banyak negara di dunia ini?

Benar untuk memilih siapa yang berkuasa itu bergantung kepada suara majoriti, tetapi persoalan saya tadi, adakah yang majoriti yang terpilih tadi akan melakukan perkara yang benar. Tidak payah kita pergi jauh. Kita tengok UMNO yang hampir dengan kita. Parti itu merupakan parti yang paling besar di Dewan Parlimen. Adakah mereka melakukan perkara yang benar?

Bukankah itu isunya yang PKR dan Pakatan Rakyat berdemonstrasi dan memaki hamun pemimpin UMNO yang mereka anggap sebagai parti yang melakukan kerja yang tidak ada kebenarannya. Jika yang majoriti seperti UMNO jelas tidak melakukan kerja baik dan benar.

Itu sebabnya saya bertanya kepada yang ramai, betulkah yang majoriti itu benar dan yang minoriti itu salah? Sesungguhnya yang ber majoriti itu tidak semestinya benar, dan yang minoriti itu salah.

Pakatan Rakyat yang jumlah kerusinya minoriti di parlimen sekarang sedang mengatakan UMNO yang majoriti itu salah. Jika benar yang majoriti itu benar, maka kita hentikan sahaja melawan UMNO itu kerana mereka itu adalah majoriti dan yang majoriti itu benar.

Saya tidak pernah menafikan yang cara memilih itu adalah berdasarkan kepada mereka yang mendapat sokongan majoriti. Hanya saya bertanya mereka yang mendapat sokongan majoriti ini sudah pastikah melakukan perkara yang baik dan benar?

Jika benar yang 30 orang ADUN Selangor yang bersama Wan Azizah itu akan melakukan yang benar, sama-samalah kita tengok nanti. Walau bagaimana pun untuk mempastikan yang majoriti itu benar dan yang minoriti itu salah, elok juga diadakan pilihanraya negeri Selangor dahulu.

Itu sebabnya saya memberikan contoh umat di zaman Nabi Nuh Alaihissalam. Terbukti yang majoriti itu salah dan yang minoriti yang hanya berjumlah 83 orang itu yang benar. Kes ini kes yang sahih dan diadili oleh Tuhan Pencipta Alam ini sendiri.

Di zaman Nuh tidak ada Dewan Undangan Negeri kerana yang majoriti itu amat ramai dan berkuasa, tetapi nyata yang majoriti itu adalah dari kumpulan yang salah. Kalau mereka yang majoriti itu benar, masakan mereka dihanyutkan oleh bah yang amat besar.

15 August 2014

Betulkah yang majoriti itu benar, yang minoriti itu salah?

TS Khalid Ibrahim berkata Wan Azizah perlu membuktikan yang beliau telah mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri melalui proses undi tidak percaya terhadapnya. Dakwaan Wan Azizah yang beliau mendapat sokongan seramai 30 orang dari 56 Ahli Dewan Undangan Negeri itu wajar diterjemahkan dengan undian, dan ia perlu dilakukan melalui usul tidak percaya terhadap beliau di dalam Dewan Undangan apabila Dewan bersidang pada November ini.

Sememangnya lah begitu. Buktikan dakwaan President PKR itu yang beliau mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri secara resmi dan muktamad. Tetapi sehingga usul tidak percaya itu dilakukan TS Khalid tetap Menteri Besar. Itu hanya akan boleh dilakukan setelah Tuanku Sultan kembali dari bercuti pada 23hbOgos  ini.

PAS pula akan bermesyuarat pada 17hb ini untuk menentukan pendiriannya berhubung dengan cadangan PKR untuk meletakkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar, satu isu besar bagi PAS kerana beliau adalah seorang wanita. Setakat ini PAS dilihat bersama Khalid dan tidak mahu Khalid diketepikan sehingga tamat penggal pilihanraya ini. Tidak ada isu Khalid tidak mahu berhenti, tetapi hanya selepas penggalnya tamat.

Menamakan Wan Azizah untuk menjawat jawatan Menteri Besar itu tidak mengejutkan kerana dua sebab. Pertamanya beliau adalah Presiden PKR dan keduanya beliau adalah isteri kepada Ketua Umumnya Anwar Ibrahim yang sedang bergelumang dengan isu sodomi yang telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sedang membuat rayuan terhadap ‘verdict’ itu di Mahkamah Persekutuan.

Keduanya dengan jawatan Menteri Besar itu, Anwar yang sepatutnya menjadi calon kepada jawatan dan menggantikan Khalid itu, boleh menjadi pelonjak dan benteng politiknya untuk tidak masuk penjara dan kedudukan itu boleh memberikan peluang kepada beliau untuk mengelak dari tersekat dari bergiat politik seandainya beliau terpaksa memasuki penjara selama 5 tahun nanti.

Pendeknya beliau mahu semua dalam jemaah kepimpinannya dan ahli-ahli serta parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat itu menumpukan waktu, masa dan wang ringgit untuk membela beliau sahaja. Untuk melaksanakan hajatnya itu PKR terpaksa melupakan segala sanjungan dan pujian terhadap Khalid Ibrahim di atas keberkesanan kepimpinannya dalam kerajaan Selangor itu.

Pendeknya segala tenaga politik PKR hanya untuk menyelamatkan Anwar dan tidak ada kena mengena dengan pembangunan rakyat dan kerajaan Selangor, dan ini membuatkan Khalid serta yang bersimpati dengan beliau merasakan kerja politik ini adalah sebagai ‘thankless job’.  Jika dipandang dari sudut itu keengganan Khalid untuk berhenti itu tidak dapat dipersalahkan kerana yang baik telah menjadi buruk dalam sekelip mata dan mungkin itu jugalah PAS dan Tuanku Sultan begitu besar dan kuat ‘apprehension’ nya untuk menggantikan Khalid, lebih-lebih lagi dengan seorang wanita.

Ramai yang berfikir termasuk diri saya, masalahnya bukan masalah wanita seratus peratus. Wan Azizah akan dianggap, malahan sudah pasti akan hanya seorang Menteri Besar ‘rubber stamp’ sahaja kerana sebab yang sama-sama kita ketahui dan tidak berniat untuk menyebutmnya kerana menghormati beliau sebagai seorang yang memegang jawatan Presiden, sebuah parti komponen Pakatan Rakyat. Maklumlah 'rubber stamp' boleh dibawa kesana kemari dalam beg eksekutif seseorang dan 'rubber stamp' itu akan dibawa ke Segambut setiap hari. Di siang hari 'rubber stamp' itu akan dibawa ke pejabat di Bangunan Sultan Aziz Sallehudin di Shah Alam.

Pendeknya perjuangan Pakatan Rakyat buat seketika ini hanyalah untuk penyelesaian isu peribadi individu sahaja dan jauh dari penyelesaian isu-isu kepentingan rakyat yang dikatakan dilalaikan oleh Barisan Nasional selama ini. Isu-isu terhadap BN selama ini hanya merupakan isu-isu untuk ‘expediency’ perjuangan peribadi seseorang itu sahaja, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jadi, laungan mandat yang diberikan untuk Pakatan Rakyat itu sebenarnya satu perkara yang benar tetapi kenapa mandat itu diberi tidak disebut. Apakah sebenarnya sebab-sebab rakyat memberikan mandat itu? Rakyat telah memberikan mandat besar kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perubahan kerana rakyat begitu tertekan dengan sikap dan kemampuan BN mentadbir negara termasuk pentadbiran Selangor. Rakyat mahukan kepimpinan yang bersatu dan mengutamakan kepentingan rakyat dan menjauhi dari kemungkinan negeri menjadi bankrap.

Rakyat memberikan mandat bukannya untuk kepentingan peribadi seseorang individu atau kumpulan dan mereka tidak mahu mandat yang diberikan mereka itu dijadikan modal untuk kepentingan dan nafsu serakah beberapa orang tertentu sahaja. Jika apa yang berlaku hari ini disedari rakyat, mereka akan tahu yang memilih di antara Pakatan Rakyat dengan BN adalah seperti memilih diantara ‘the devil and the deep blue sea’ sahaja.

Memilih diantara BN dan Pakatan Rakyat sudah digambarkan oleh apa yang berlaku hari ini sebagai memilih diantara memelihara beruk dengan memelihara kera.. Kedua-duanya menjahanamkan tanaman dan dusun-dusun buah-buahan.

Dalam isu Selangor ini ‘it’s not about numbers in the Assembly , it’s about who is more responsible to the people’. Jika itu keadaannya tidak salah jika Raja yang memerintah mengambil tindakan yang baginda anggap boleh menyelamatkan keadaan negeri dan jajahan takluk baginda’. Apa gunanya memilih yang majoriti jika ia akan memudaratkan negeri? Kita semua telah belajar yang majoriti itu tidak semesti yang benar, kerana ia bergantung kepada keadaan dan situasi negeri dan kawasan itu?

Nabi Allah Nuh dahulu adalah dari kumpulan yang minoriti. Selama 800 tahun berdakwah Nuh alaihissalam hanya mempunyai 83 orang pengikutnya. Setengah ulama mengatakan jumlahnya hanya 81 orang. Tetapi akhirnya yang minoriti bersama Nuh itu yang benar dan majoriti itu telah membawa bala besar dan hanyut termasuk anak dan isteri baginda.

Jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar apa yang akan kita saksikan ‘consequence’ nya. Tunggu, kita beristighfar dahulu dan sambung balik secepat yang mungkin.