12 September 2014

Kebocoran kertas UPSR: Jika diikut budaya dan etika negara maju Menteri Pelajaran patut meletakkan jawatan

Kementerian Pelajaran telah menggantung tugas Pengarah Lembaga Peperiksaan, Na’imah Ishak dan Pengarah Operasi Lembaga itu, Wan Ilias Wan Salleh berkaitan kebocoran kertas peperiksaan UPSR baru-baru ini. Ini telah diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyidin Yassin yang kini sedang berada di luar negara kerana tugas rasmi kerajaan.  Penggantungan tugas kedua-dua orang pegawai kanan kerajaan ini merupakan tindakan yang betul kerana ia telah melibatkan lebih dari empat ratus ribu pelajar yang sedang mengambil peperiksaan itu.

Tindakan ini amat perlu kerana bagi mengekalkan intergriti Lembaga Peperiksaan khususnya dan Kementerian Pelajaran amnya. Kebocoran kertas peperiksaan ini sudah lama kedengaran berlaku dan kali ini merupakan kebocoran yang amat menakutkan untuk dihadapi oleh kanak-kanak sekolah yang sedang menguji kemampuan pembelajaran mereka.

Ia sudah pasti dilakukan oleh individu-individu yang tidak beramanah yang akan menjejaskan prestasi dan intergriti Lembaga Peperiksaan yang sangat penting bagi pembangunan pelajaran dan pendidikan Negara.

Sebagai sebuah Negara yang berdaulat pegawai-pegawai yang tidak jujur itu bertanggungjawab keatas kebocoran ini, tetapi dalam sebuah Negara maju, pemimpin yang memimpin itu perlu mengambil ‘accountability’ terhadap kesalahan yang sangat besar ini. Selalunya dinegara-negara maju Menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian yang berlakunya kesalahan seperti itu.

Tetapi dinegara ini pemimpin Kementerian itu belum lagi mahu menerima hakikat bahawa mereka mempunyai ‘accountability’ terhadap kejadian ini. Itu sebabnya kejadian ini boleh diambil kesempatan oleh kerajaan memerintah untuk meminta Menteri bertanggungjawab untuk meletakkan jawatan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan negara kita ini adalah satu kerajaan yang mengambil isu ‘accountability’ ini sebagai isu yang sangat penting.

Jika Muhyidin mengambil tindakan untuk meletakkan jawatan, ianya akan pasti meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan hari ini dan boleh menunjukkan kepada rakyat ramai yang kerajaan kita ‘mean business’ terhadap semua perkara yang dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang berwibawa.

Tetapi kita semua boleh lihat samada isu ‘accountability’ ini dijadikan perkara dan isu penting bagi kerajaan yang mengaku sebagai kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

Beberapa tahun yang lalu beberapa orang banduan telah meloloskan diri dan keluar dari tahanan dari penjara di Korea. Walaupun Pengarah Penjara nya bertanggungjawab tetapi Menteri Dalam Negeri nya telah meletakkan jawatan setelah beberapa orang banduan dalam penjara di negara itu melepaskan diri  keluar dan melarikan diri ke pendalaman negara itu.

Dalam masa yang sama kalau kita masih ingat begitu ramai banduan dipenjara Kajang telah meloloskan diri dan lari menghilangkan diri di tempat persembunyian mereka. Tidak seorang pun yang mengambil tindakan mengambil ‘accountability’ dan Menteri di Kementerian Dalam Negeri tetap berada di pejabatnya seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di jabatan di bawah Kementeriannya.

Mungkin mengambil  ‘accountability’ seperti ini belum diambil serius oleh kerajaan kita tetapi sebagai sebuah negara yang baru sahaja merayakan ulang tahun kemerdekaan kita yang ke-57 mengambil ‘accountability’ dalam isu seperti ini sepatutnya sudah menjadi budaya dalam kepimpinan kita.

Elok kerajaan kita mengambil isu ini secara serius bagi menjaga intergriti kerajaan yang selama ini selalu tercemar oleh kerana tidak ada pihak yang mahu mengambil ‘accountability’ sebagai elemen yang sangat penting dalam sesebuah kerajaan yang berkepimpinan dan beretika.

Kerajaan perlu merangka tata-cara untuk menjadikan isu ‘accountability’ ini sebagai satu elemen dan budaya kepimpinan untuk negara untuk menjaga kewibawaan sesebuah kerajaan dan khususnya sebuah Kementerian itu.

Isu rasuah susah hendak jatuhkan pemimpin, isu seks boleh

Dr Mahathir sudah melangkah kehadapan lebih jauh dalam usahanya untuk memberhentikan Najib dari memegang jawatan yang disandangnya sekarang. Jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya buat masa ini merupakan jawatan yang sangat perkasa kuasanya, boleh memasukkan sesiapa dalam penjara dan mengeluarkan seseorang dari penjara. Jawatan Perdana Menteri Malaysia lebih kuat dari Presiden Amerika Syarikat kerana Presiden AS tidak boleh melakukan apa-apa dengan sewenang-wenangnya.

Itulah sebabnya Najib tidak peka dengan undang-undang, etika dan moral dalam mentadbir Negara. Bagi Najib sindiran Dr Mahathir itu tidak membuatkan beliau merasakan apa-apa keperluan untuk menjawabnya. Najib seolah-olah berfikir yang beliau seorang Perdana Menteri dan beliau boleh melakukan apa sahaja yang beliau rasakan hendak lakukan. Berbeza dengan Abdullah Badawi yang juga menjadi sasaran Dr Mahathir dahulu, Najib lebih terbuka kerana mungkin beliau tidak tahu untuk memberikan reaksi bagi mempertahankan diri dari kecaman Dr Mahathir itu.

Abdullah Badawi dahulu mengambil tindakan untuk tidak memberikan ruang kepada Dr Mahathir bercakap dengan senang kepada media massa terbuka ini. Abdullah bertindak terhadap Dr Mahathir seperti Dr Mahathir melakukan tindakan menyekat media dari memberikan liputan untuk Hussein Onn dahulu. Najib pula terbuka untuk dikritik Dr Mahathir melalui media massa tanpa halangan dan Dr Mahathir mudah untuk menyampai mesejnya kepada orang ramai dengan lebih mudah lagi.

Najib tidak membalas kritikan Dr Mahathir di dalam media tetapi beliau mengambil cara bercakap di belakang untuk mengkritik Dr Mahathir kepada sesiapa yang berjumpa dengan beliau. Apa pun tindakan Dr Mahathir untuk membuka pekong kerajaan dengan memberitahu rakyat yang ramai tentang 1MDB itu merupakan pukulan hebat Dr Mahathir terhadap Najib dan ramai yang berpendapat isu 1MDB ini merupakan isu yang akan menghalau Najib dari pejabatnya di Putrajaya itu.

Dr Mahathir telah memberitahu ramai yang 1MDB yang berumur hanya lima tahun itu telah berhutang sebanyak RM38 billion, satu jumlah yang terlalu besar yang akhirnya akan memaksa rakyat dan pembayar cukai membayarnya. Jumlah RM38 billion ini lebih besar dari kerugian semasa Bank Negara melakukan perniagaan pertukaran wang asing pada tahun sembilan puluhanan dahulu yang telah merugikan rakyat hampir RM36 billion.

Selain dari kerugian-kerugian yang disebutkan tadi, kita juga telah membayar kerugian yang dihasilkan oleh tindakan kerajaan pada dekad sembilan puluhan dahulu dalam isu MAMINCO yang merugikan kita sebanyak RM600 juta. Kerugian dalam isu MAMINCO dahulu merupakan kerugian yang di sebabkan percubaan kerajaan kita untuk terlibat perniagaan kerajaan di pasaran timah London dan segala kerugian itu diperolehi dalam masa beberapa minggu sahaja. Saya telah menyebut beberapa lagi kerugian atau komitmen yang diambil oleh rakyat untuk membayar hutang keluarga pemimpin besar kita tetapi saya tidak berselera untuk menyebutnya lagi kerana sudah acapkali blog ini menulisnya.

Isunya sekarang mampukah Dr Mahathir mengenepikan Najib dengan isu 1MDB ini terhadap Najib? Yang pastinya kerugian-kerugian besar yang berlaku semasa Dr Mahathir dahulu tidak mampu mengenepikan Dr Mahathir dari kuasa. Oleh itu barjayakah Mahathir mengenepikan Najib kali ini kerana sumbangan Dr Mahathir diatas kerugian negara semasa beliau mentadbir Negara dahulu  pun lebih kurang sama jumlah kerugian yang berlaku.

Saya berpendapat kalau Dr Mahathir boleh membuktikan yang Najib telah melibatkan kerugian Negara sebanyak dua kali ganda dari apa yang dilibat oleh beliau sendiri dahulu, barulah isu untuk mengenepikan Najib itu akan berjaya.

Isu rasuah, jika diteliti dari pengalaman yang lampau, tidak mampu mengenepikan mana-mana pemimpin kita. Jika isu rasuah itu isu yang ampuh untuk menjatuhkan kepimpinan seseorang itu, sudah lama pemimpin-pemimpin UMNO ini telah dihumbankan oleh rakyat.  Hanya isu seks sahaja yang boleh membawa impak terhadap mana-mana pemimpin untuk diketepikan. Ini hakikat dan jika isu rasuah boleh menyungkurkan kepimpinan negara dan sudah lama negara kita sudah bertukar kerajaan kerana rasuah ini sudah berlaku lama sebelum Najib menjadi Perdana Menteri lagi.

Kita sedang memerhatikan tindakan Dr Mahathir selanjutnya kerana rakyat sedang dalam pencarian. Rakyat sudah tidak dapat lagi mengenali yang mana satu tangan kiri dan yang mana tangan kanan. Rakyat sudah tidak dapat lagi mengenali yang mana satu tangan untuk menyuap makanan dan yang mana satu tangan untuk beristinja’.

Rakyat sudah tidak dapat lagi menilai yang mana satu pilihan selepas ini. Apabila memandang dan mendekati diri kepada pembangkang sebagai alternatif, terdapat keadaan di pihak pembangkang pun sama juga, malahan lebih teruk lagi dari kerajaan yang menyandang sekarang. Pembangkang hanya mendapat sokongan kerana perasaan tidak puas hati terhadap UMNO dan BN, bukannya kerana kehebatan atau kerana kemampuan pembangkang untuk menunjukkan perbezaan.

Pembangkang sudah berjaya mendapatkan mandat di Selangor tetapi hasilnya melakukan kebaikan pun menjadi kesalahan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat itu. Mereka sendiri sedang bergelumang dengan noda kepimpinan parti dan kerajaan yang ditadbirnya di beberapa buah negeri. Belum sempat memanaskan kerusi, mereka sudah berebut harta rampasan di depan khalayak ramai. Mereka juga adalah pembawa dalil hari hendak kiamat. Yang baik dikatakan buruk dan yang buruk dikatakan baik.

Walau apa pun kita berharap Dr Mahathir mampu untuk melakukan perubahan tetapi kita juga hendak tahu, jika pilihan beliau masih tidak betul lagi kali ini maka akan terpahat dalam ingatan rakyat dan penulis sejarah yang pilihan Mahathir selalunya tidak betul.

Jika Dr Mahathir masih mempunyai kemampuan untuk membetulkan kesilapan beliau, mungkin beliau perlu kembali ke persimpangan di mana beliau mula melakukan kesilapan itu. Mungkin semasa beliau mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua kerajaan pada tahun 1981 dahululah yang beliau melakukan kesilapan itu. Membetulkan kesilapan sendiri itu adalah tindakan yang sangat mulia, bukan sahaja di masyarakat kita tetapi juga di sisi Tuhan yang Maha Esa.


Mungkin ditaja balik dari persimpangan itu.  Terlajak perahu masih boleh di undur. Hanya terlajak kata yang emas padahnya. 

10 September 2014

Jika kita tunjuk pandai, ramai lagi yang pandai dari kita, dan kalau bercakap tunduk sedikit, jangan menengadah kelangit

Tindakan PKR dan DAP yang bertegas untuk tidak menamakan lebih dari dua nama untuk menggantikan Khalid Ibrahim bukan sahaja mencabar Tuanku Selangor malahan merupakan tindakan mencabar Perlembagaan itu sendiri. Akhirnya DAP telah memohon ampun kerana tindakan sumbangnya dalam isu ini dan beberapa jam selepas itu Anwar juga memohon maaf tetapi kekal dengan satu nama pencalonan iaitu isterinya sendiri, Wan Azizah Ismail.

Hasil dari tindakan itu ramailah dari pihak Pakatan Rakyat yang memberikan definasi kosong dan tidak berisi. Bagi setengah pihak mereka menganggap yang demokrasi Raja Berpelembagaan itu adalah demokrasi yang mana semua yang dikehendaki oleh Parti politik itu wajib disetujui oleh Raja sesebuah negeri itu. Jika itu definasinya maka tidak berperanan lah Raja itu sedangkan nama demokrasi itu pun adalah Raja Berpelembagaan.

Raja itu merupakan proponen besar dalam sistem Raja Berpelembagaan itu. Yang memerintah itu adalah Raja dan yang mentadbir itu adalah seorang Menteri Besar atau  Perdana Menteri yang dipilih dikalangan ahli-ahli 'legislature' di Persekutuan atau Dewan Undangan Negeri jika ia diperingkat negeri dalam persekutuan ini. 

Raja itu adalah pemerintah dengan memilih salah seorang dari ahli-ahli Dewan Undangan Negeri itu untuk menjadi Ketua kepada Kerajaan Baginda dan dalam kes Selangor itu seorang Menteri Besar. Raja juga adalah Ketua Pemerintah Angkatan Tentera dan Polis dan itulah sebabnya Angkatan Tentera itu membawa panji-panji di Raja dengan nya.

Kalau diperingkat persekutuan Parlimen itu ada tiga elemen, iaitu Raja, Dewan Parlimen dan Dewan Negara. Di peringkat negeri Dewan Undangan Negeri itu mempunyai dua elemen dan proponen, iaitu Dewan Undangan itu sendiri dan Raja yang memerintah negeri. Tetapi ada pihak yang cuba membuat interpretasi sendiri dengan menggunakan peguam yang mahu menyebelahi mereka yang kononnya berkuasa penuh itu dan meletakkan Tuanku Sultan itu sebagai pak pacak sahaja. Mereka beranggapan Raja itu hanya sebagai hamba sahayanya

Negeri-negeri yang terlingkung dalam persekutuan itu adalah diperintah oleh Raja yang memberikan ‘empowerment’ untuk mentadbir kepada kerajaan untuk semua takluk dan jajahannya. Itu sebabnya Raja itulah yang memilih siapa yang baginda perkenan untuk mentadbir dan pilihan itu adalah dikalangan mereka yang dipilih rakyat dalam Dewan Undangan negeri itu.

Mereka yang berfikir sedemikian adalah orang yang sengaja hendak menunjuk kebencian kepada Istana atau tidak terbuka hijabnya untuk menerima keadaan dan ‘attribute’ perlembagaan itu sendiri. Mereka ini beranggapan memilih Menteri Besar ini tidak perlu Tuanku Sultan untuk menentukannya dan pilihan itu boleh dilakukan seperti memilih jawatankuasa kilang padi dikampungnya. Kehadiran orang-orang seperti ini amat memilukan kerana akibah dari budaya dan nilai yang kuning ini akan menghilangkan identitI bangsanya sendiri.

Jika budaya kurang ajar ini berterusan kerana mahu menjaga dan memilihara ego orang yang kurang berpedoman dalam hidupnya maka tidak terkejut orang melayu dan bangsa-bangsa lain yang berada dalam negara ini akan menjadi rakyat yang tidak bersatu dan mungkin inilah yang dikehendaki berlaku oleh opportunis politik yang fakir jiwa mereka.

Persoalannya sekarang, jika Raja tidak boleh berperanan untuk melantik atau memilih Menteri Besar maka saya cadangkan supaya parti dan pihak yang membenci raja ini mengusulkan kepada Dewan Undangan negeri masing-masing.  Jika berlaku perbalahan diantara mereka selepas itu carilah Raja yang lain, seperti Raja Kelawar dan Raja Spade.

Ramai yang mengikut hati dan nafsu sambil melayan jiwa amarah dan mulhimah yang sentiasa mahu memesongkan kita dari yang benar. Nafsu amarah itu sentiasa mengintai-ngintai kepada mereka yang berjiwa fakir dan lemah yang mudah untuk dipesongkan malahan itu adalah persumpahan mereka sejak mula dijadikan oleh Tuhan dahulu. Persumpahan mereka ialah tidak mahu tunduk kepada kebenaran dan dalam konteks fisiknya mereka tindak mahu tunduk kepada Adam. Yang lebih mengaibkan lagi mereka ini terasa mereka yang betul-betul benar kerana mempunyai pemikiran yang ‘deluded’.

Itu sebabnya diakhir zaman ramai yang fasih dengan bercakap tentang syariat dan fekahnya tetapi perlakuannya di serongkan dan dipandu oleh elemen yang bathil yang maknawi itu. Yang lebih anehnya DAP yang dikuasai oleh kaum bukan Melayu pun telah memahami keadaan dan memohon maaf tetapi ada pula dikalangan beberapa orang melayu yang lebih marah seperti lebih DAP dari DAP sendiri.

Tetapi sebagai seorang Melayu yang beragama tentunya masih banyak masa untuk berfikir dengan hati dan jiwa yang tenang dan zuhud. Jika ego masih menguasai diri mereka, adalah jalan yang lebih baik untuk membersihkan diri kita dari noda ini, iaitu dengan melakukan solatul daimun dan berzikir terus-terusan terhadap yang Maha Kuasa.

Beristighfar kita buat masa ini, bukan sahaja untuk sesiapa yang saya maksudkan tetapi juga seruan ini juga adalah untuk diri saya sendiri.  Dalam mempersoalkan kewibawaan Raja-Raja itu, baik kita melihat kedalam dan melakukan instrospeksi untuk mengelak dari kecenderungan kita sendiri  berlagak seperti Raja pula.


Bila bercakap itu letakkan hidung kita ditempatnya dan jangan sekali mengalih kedudukan hidung kita di dahi. Bercakap itu biar tunduk sedikit, jangan bercakap sambil menengadah kelangit. Kalau kita mengaku kita pandai, ramai lagi yang lebih pandai dari kita.

Ada parti-parti sedang bermasalah, ada yang sedang tercari-cari masalah

Setiap pihak parti sedang berbelah dan berbalah-balah menghadapi masalah masalah masing-masing. UMNO bermasalah, PKR lagi bermasalah, DAP sedang mencari masalah dan tidak kita ketahui apa terjadi kepada MCA dan Gerakan. Samada MCA dan Gerakan masih ada masalah atau masih berfungsi kita tidak tahu kerana tiada lagi kedengaran hal parti-parti itu. PAS sedang bermasalah kerana  sebahagian dari barisan pimpinannya lebih setia kepada parti-parti rakannya dari Pakatan Rakyat dan bukannya kepada perjuangan dan kepimpinan parti mereka anggotai.

Sekarang semua pihak sepatutnya sedang melakukan introspeksi dan melihat ke dalam dan bukannya melihat jauh keluar mencari kesalahan pihak lain. PAS sudah tegas ingin menyelesaikan masalah mereka dengan serius dan sedang dibantu oleh mereka yang tidak setia kepada parti itu sendiri secara natural. Dengan kejadian di Selangor parti itu sudah dapat mengenal pasti mana-mana dikalangan pemimpin mereka yang lebih setia kepada DAP dan PKR.

Presidennya TGHA telah dengan lantang berpendirian tegas dalam isu Menteri Besar Selangor dan tidak menghalang jika ada dikalangan pemimpin parti itu untuk keluar parti. TGHA telah berkata PAS sudah lali dengan kejadian ini dalam enam puluh tahun usia parti itu. Malahan blog ini berpendapat yang kejadian seperti ini mempunyai hiikmah kerana dengan sendirinya toksik-toksik dalam parti itu keluar seperti toksik seorang yang sedang menghadapi ceret-beret. Selepas ceret-beretnya baik dan pulih tubuh PAS itu akan kembali bersih dan sihat untuk terus berjuang bagi mencapai matlamatnya.

Hanya PKR belum lagi sampai waktunya toksik-toksik itu keluar dan dijangka toksik-toksik itu akan keluar dalam masa yang tidak berapa lama lagi. PKR juga memerlukan pembersihan dan tidak tahu siapa dikalangan mereka itu merupakan toksik kepada parti itu. Kalau semasa kita belum hidup secara moden sekarang ini, kita selalu memakan julab untuk membersihkan dalaman perut kita dari toksik itu sekarang ini terdapat banyak cara dan kaedah membuang toksik itu.

Samada toksik-toksik itu dikeluarkan dengan memakan julab atau toksik itu keluar dengan sendirinya itu terpulang kepada keadaan semasa. Bagi setengah pendapat PKR adalah parti yang nyawanya dihujung tanduk. Ada yang berpendapat yang keadaannya akan ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan menentukan nasib Anwar. Ada yang mempunyai kepercayaan yang PKR akan tamat nyawanya setelah Anwar di dapati bersalah dan mengekalkan hukuman penjara terhadap dirinya.

Setengah pihak pula berpendapat yang berlainan pula. Kumpulan ini yakin yang PKR akan lebih kuat dengan ketiadaan Anwar kerana parti itu nanti boleh menumpukan tugasan dan perjuangannya tanpa membawa 'baggage' Anwar yang terlalu berat itu. Ada juga yang menyatakan yang PKR itu hanya mempunyai satu agenda iaitu untuk mempertahankan Anwar.

Jika Anwar tiada lagi maka PKR sudah tidak lagi mempunyai perjuangan dan tidak perlu lagi diberikan sokongan. Itu sebabnya ada diantara ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak melakukan apa-apa kerana bukan tidak ramai dikalangan mereka percaya yang Anwar akan di hukum dan hanya menunggu masa untuk mencari dahan dan ranting yang boleh mereka bertenggek dan berlindung. Hendak mencari perlindungan dari UMNO juga bukannya pilihan yang betul kerana UMNO sendiri sarat dengan masalah dalamannya sendiri.

Saya sudah tidak lagi menulis banyak tentang UMNO ini kerana UMNO itu sudah ‘conclusive’ merupakan parti yang sedang berikhtiar mencari jalan keluar dari kesesatan yang begitu mendalam. Di sini juga saya mengambil kesempatan menjawab pengkritik yang melabelkan saya sudah menyokong UMNO semata-mata kerana saya mengkritik PKR dengan keras. Saya ulangi, yang UMNO tidak perlu dikritik lagi kerana sudah menjadi pengetahuan umum yang UMNO itu sudah sampai ke penghujung perjalanannya.

UMNO hanya akan selamat jika parti itu dipimpin oleh seorang pemimpin yang ‘magnanimous’ dan secara relatifnya mempunyai kejujuran yang jauh lebih tinggi dari barisan yang ada hari ini.  Itu sebabnya saya katakan awal-awal tadi, tidak ada parti yang tidak bermasalah besar. Kini nampaknya PAS merupakan parti yang paling awal bakal menjani pembersihan dari toksik-toksik yang begitu menebal mengalir dalam saluran darah parti itu.

Bagi saya yang mempunyai pemikiran yang tidak sepertinya ini, jika PAS mampu membersihkan partinya dari kekotoran yang ada didalamnya, maka parti itulah yang akan diterima lebih awal dari parti-parti lain oleh rakyat, Parti-parti lain itu masih bermain politik sempit untiuk kepentingan peribadi pemimpin-pemimpin mereka.

Jika ramai yang tidak bersetuju dengan saya itu tidak menjadi hal kepada saya. Yang pentingnya apa yang saya katakan ini jika di izin Tuhan akan menjadi kenyataan. Bagi mereka yang masih muda mungkin mereka akan sempat melihat kebenaran pandangan saya ini, tetapi jika kita dan saya sendiri sudah tiada lagi hanya hadiahkan saya bacaan Al-Fatihah sahaja dengan jujur.

Masalah yang kita hadapi dengan bergaduh dan mencarut sesama kita ini bukannya kerana kita. Ia adalah disebabkan kelakuan pimpinan yang tidak jujur yang hanya memikirkan kepentingan masing-masing.


Tak tentu pasal kita bergaduh sesama sendiri.