22 December 2014

Kepada cendiakawan Melayu: Penggubalan undang-undang Islam tidak perlu 'consent' bukan Islam

Kumpulan 25 orang yang dianggap sebagai cendiakawan yang penting dalam politik kini mempunyai tujuan yang baik dan murni asalkan mereka tidak merentasi larangan agama dan budaya kita. Mereka menggunakan isu ini untuk politik yang lebih baik bagi negara dan jika benar mereka mempunyai tujuan untuk kebaikan dan betul caranya ia patut disokong.

Tetapi sesuatu tindakan itu boleh dinilai dengan betul jika kita fahamai apa yang mereka maksudkan dalam matlamat mereka menulis surat terbuka terhadap kerajaan itu dan juga dari cara mereka mengendalikan isu yang mereka bangkitkan.  Isu yang mereka bawa ialah untuk memberikan input dan pandangan tentang perundangan agama Islam dalam negara kita yang mereka anggap sebagai tidak betul dan salah dari moral dan undang-undang Islam sendiri.

Tetapi niat yang baik sahaja tidak mencukupi jika niat kita itu dikudakan oleh pihak yang mahu Islam itu berkecamuk dan berbelah-belah. Kita mesti sedar yang sesuatu kaum itu selalunya akan dicerobohi melalui agama mereka. Di zaman moden ini jika pihak yang ingin memusnahkan sesuatu bangsa dan menghilangkan identiti mereka cara yang paling ampuh ialah dengan memesongkan akidah dan nilai agama mereka.

Orang Melayu ini merupakan satu-satunya bangsa yang di definasikan oleh perlembagaan negara. Orang melayu itu didefinasikan sebagai yang beragama Islam dan mengamalkan kehidupan secara Islam. Jika orang Melayu meninggalkan Islam mereka sudah tidak Melayu lagi.

Saya bergembira dengan pujian dan galakan yang diperolehi oleh kumpulan 25 orang cendiakawan negara yang merupakan bekas-bekas pegawai tertinggi negara yang pernah berkhidmat dengan kerajaan dan telah mendapat kedudukan yang tinggi dalam perkhidmatan mereka. Mereka perlu pastikan yang apa yang mereka lakukan itu tidak mengurang atau menghilangkan identiti mereka sebagai orang Islam kerana Islam itu merupakan komponen dalam pengenalan identiti bangsa mereka.

Maka kumpulan ini tidak sepatutnya mempunyai apa-apa ‘apprehension’ untuk bertemu dan bersikap ‘inclusive’ terhadap Jabatan-Jabatan pentadbiran Islam seperti Jakim yang dikatakan tidak mendapat layanan dari kumpulan 25 orang ini. Kumpulan 25 orang ini jangan ditenggelamkan oleh pujian-pujian yang melangit yang mereka perolehi dari pihak yang sentiasa mencari jalan untuk melihat Islam itu terseleweng dan nilai serta budaya Melayu mereka.

Sikap memperlekehkan NGO-NGO yang dianggap sebagai puak berhaluan kanan Melayu itu adalah tidak tepat. Jika mereka benar-benar mempunyai masalah kumpulan cendiakawan ini wajar bertemu dan berbincang untuk bertemu mencari penyelesaian. Menghentam dan mengkritik kumpulan seperti Perkasa dan Isma, sebelum pun bertemu dan mencari penyelesaiannya maka jika berjaya pun kumpulan cendiakawan ini untuk mendapat sokongan dan mungkin berjaya memperolehi keadaan tidak akan berubah.

Mempunyai sikap. ‘saya sahaja yang benar dan awak semua salah’ itu merupakan pembawa masalah baru dalam usaha penyatuan umat dan kita mesti mengakui yang hajat untuk mendapatkan penyelesaian yang ‘ultimate’ itu tidak akan tercapai. Tidak guna kita dapat menyelesaikan satu masalah tetapi timbul pula masalah yang baru. Tidak boleh dan jangan dibiarkan nilai agama dan cara kita melaksanakan dan meng ‘addin’ kan Islam itu hanya dilakukan dengan ‘fatwa-fatwa’ yang mendapat ‘consent’ yang diberikan oleh saudara-saudara kita yang bukan beragama Islam.

Tidak boleh kita berpuas hati dengan memperlekehkan pandangan satu puak dari kalangan kita orang Islam itu, tetapi membuat keputusan tentang hukum dan adat resam kita yang beragama Islam itu ditentukan oleh pihak lain seperti bangsa dan agama yang lain dari agama kita sendiri.

Itu sebabnya sehari dua ini kita mendengar dan melihat ada pihak yang beragama dan bangsa yang berlainan bercakap begitu lantang dan bergembira dengan tindakan 25 orang cendiakawan kita itu. Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak yang lain memberikan definasi yang berlainan tentang agama kita.

Islam itu agama fundamentalis dan itu bukannya perkara yang buruk untuk semua yang beragama Islam dan bukan Islam. ‘Fundamental’ Islam itu ialah agama yang menjadi ketua dan pemimpin ummah dan ‘attribute’ Islam itu ialah bersifat sayang menyayangi di antara sesama Islam dan menghormati agama-agama lain.

Tetapi ‘fundamental’ Islam itu disalah tafsirkan dengan sengaja oleh pihak lain dengan menganggap orang Islam yang suka membunuh dan berperang itu sebagai fundamentalis. Jika seseorang itu fundamentalis Islam, ia akan melaksanakan dan mengikut segala fundamental penting dalam agama itu. Dia akan mengikut segala undang-undang yang disyariatkan sebagai seorang yang beragama Islam. Melaksanakan dan mempraktikkan semua rukun Islam yang lima itu untuk membina semangat dan memperkayakan rukun iman yang enam itu.

Hidup seorang fundamentalis Islam itu adalah kehidupan yang ‘spiritual’ dan akan cuba untuk menghalang dirinya melakukan perkara yang salah dari hukum syariat dan undang-undang negara mereka. Orang Islam fundamentalis bukannya mereka yang berperang dan membunuh atau mereka yang bersifat ‘confrontational’ terhadap pihak lain. Pemimpin Islam yang baik ialah mereka yang sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pihak yang dikatakan tidak sesuai dengan tuntutan agama kita.

Jika kumpulan 25 orang yang mengaku sebagai cendiakwan terulung negara ini melihat Perkasa dan Isma tidak betul maka mereka wajar lebih kerap berjumpa dan berbincang dengan kumpulan ini dan bukannya terus sahaja membidas dan menghina mereka dan melihat mereka seperti anjing kurap di tepi jalan sahaja.

Kumpulan cendiakawan ini tidak boleh menjadikan musuh sesuatu pihak itu musuh mereka sekali. Kumpulan cendiakawan ini wajar bersifat ‘magnanimous’ dan menolak cadangan untuk bertemu kumpulan itu oleh pihak yang berkaitan dan agama kita itu, merupakan sikap angkuh dan merasakan mereka itu ‘the best among the best’.

Tidak ada siapa yang mempunyai sifat ini akan berakhir dengan kebaikan untuk diri mereka. itu sebabnya saya tidak dapat mengelak dari memberikan kritikan terhadap mana-mana pemimpin dan individu yang bersikap sombong dan merasakan mereka atau dia sahaja yang lebih baik dari yang lain.

Kumpulan ini dan mana-mana individu pemimpin yang lain yang menganggap mereka seperti pemimpin yang datang dan turun dari langit itu tetap akan mendapat kritikan dari blog ini kerana mereka yang bersifat memandang rendah kepada pihak lain ini merupakan pembawa kepada perubahan budaya yang menjadi ‘attribute’ asas kepada bangsa dan agama kita.

Pemimpin yang berhidung tinggi tidak akan kemana-mana dan tidak akan membawa apa-apa faedah kepada rakyat yang dipimpin mereka, kerana fokus mereka adalah terhadap membina ego mereka sendiri yang akhirnya akan membunuh jiwa dan diri mereka sendiri.

Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang merendah diri dan menjauhi dari berkata-kata secara sombong sambil memandang rendah kepada pihak lain. Hentikan bercakap seperti, ‘you are not within the wavelength to say anything about politics, as you are nowhere compared to me. I have social and political positions and you are just an ordinary drifter who dubiously comes from nowhere’.

Mereka bersifat sederhana dalam segala-galanya dan itulah dia fundamental dalam Islam seperti yang ramai dan saya fahami. Sifat mereka adalah ‘spiritual’ dan tidak mudah melatah dan sentiasa bersifat tenang menghadapi segala cubaan dan pancaroba.

19 December 2014

Nasihat buat Khairy: kurangkan mendongak keatas, nanti terlanggar bendul

Isu Khairy membidas seorang ahli UMNO yang tidak mempunyai jawatan penting didalam parti itu kerana mengkritik Najib Razak sedang hangat diperkatakan ramai. Saya yang mempunyai perasaan ‘soft spot’ terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu terpaksa juga memberikan sedikit komen.

Blog ini pernah menulis dan memberikan pandangan terhadap UMNO dan sebab-sebab UMNO sudah begitu ‘detached’ dengan rakyat yang ramai. Itulah sebabnya kerajaan sekarang sudah tidak diambil endah oleh rakyat sekarang ini dan keadaan ini berterusan, dan tidak nampak ianya akan diperbaiki malahan bertambah buruk dari hari ke hari dan dari masa ke semasa.

Dulu UMNO itu kuat kerana UMNO itu adalah parti kampung, seperti yang pernah disebut oleh Tun Musa Hitam dalam Perhimpunan Agung UMNO 1987 dahulu. Urat dan tunjang UMNO itu adalah dikampung dan di situlah letaknya tewas kekuatan parti itu. ‘Kampung’ yang disebut oleh Musa itu ialah orang Melayu kerana semasa itu ramai orang-orang Melayu masih tinggal dikampung dan pedalaman.

Adalah menjadi amalan kerajaan yang dipayungi oleh ‘orang kampung’ ini sentiasa bertindak rapit dengan orang dibawah-bawahan dan dirasakan begitu hampir oleh rakyat biasa (ordinary people).  

Itu sebabnya saya sentiasa mengingatkan kerajaan yang semua perkara dan pelan yang hendak dilaksanakan sentiasa dibawah kehadapan rakyat ramai dan diberitahu rakyat apa-apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan. Rakyat biasa merasakan yang mereka dibawah-bawah ini dihormati dan dibawa bersama membuat keputusan terhadap isu-isu besar terutamanya yang melibatkan rakyat.

Apa-apa sahaja yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya yang melibatkan orang ramai akan di beritahu melalui majlis-majlis penerangan dalam kursus-kursus sivik yang dikelolakan oleh Jabatan-Jabatan Penerangan Daerah di seluruh negara. Kerana kursus-kursus sivik itulah kerajaan mendapatkan 'feedback' yang berkesan dari orang ramai dan apabila melaksanakan projek yang melibatkan rakyat ramai itu tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya.

Rakyat telah memberikan sokongan yang kental kerana mereka merasakan yang mereka telah dibawa bersama untuk melaksanakan projek-projek penting negara itu. Itu sebabnya rakyat semasa itu sentiasa bergiat bersama-sama memberikan pandangan dan 'feedback' melalui struktur pentadbiran terendah rakyat iaitu JKKK atau JKKR  JKKK dan JKKR merupaka struktur pentadbiran yang terendah kerajaan yang dibawahnya tinggal bahagian rakyat yang terbesar.

Kegiatan penerangan ini sudah tidak lagi dilakukan oleh kerajaan sekarang kerana kerajaan sekarang terlalu ‘detached’ dengan rakyat ramai. Apa-apa yang dilakukan kerajaan tidak dirasakan lagi oleh rakyat kerana mereka tidak dibawa bersama untuk menyokong tindakan kerajaan seperti yang pernah dilakukan kerajaan suatu ketika dahulu.

Sekarang kerajaan membuat keputusan dari atas dan hanya mengarahkan dilakukan oleh kerajaan kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dan lain-lain. Pegawai penerangan daerah sekarang tidak mempunyai tugas dan mereka nampaknya semua kekurangan tugas dan JKKK tidak mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Sikap menjauhkan peranan orang bawah inilah yang menyebabkan rakyat tidak lagi merasakan ‘sense of belonging’ dengan kerajaan yang berimejkan rasuah pada hari ini. Kerajaan sekarang tidak rapat dan hampir dengan rakyat dari mana mereka dituntut untuk sentiasa taat terhadap mereka yang memimpin kerajaan itu. Rakyat bukan kuda atau kaldai tunggangan. Rakyat biasa inilah yang menjadikan kerajaan sekarang masih berada ditampuk kuasa.

Dalam kita sedang mengharapkan tindakan kerajaan untuk sebenar-benarnya merakyatkan kerajaan ini, tiba-tiba Khairy sebagai pemimpin kanan parti itu membidas ahli biasa yang memberikan pandangan terhadap kepimpinan parti sekarang ini.

Khairy sepatutnya merenungi apa yang dikritik oleh orang bawahan ini adalah untuk kepentingan parti itu sendiri. Khairy mesti tahu yang beliau tidak berada diatas itu dengan sendirinya seperti sifat Tuhan yang terdiri dengan sendirinya. Khairy bermula dan berakhir, hanya Tuhan sahaja yang tiada bermula dan berakhir.

Kata-kata Khairy kepada ahli biasa parti yang membawa makna, 'you are  of no consequence, you are just ordinary member' terhadap Syed Rosly itu sangat menyedihkan, kerana tidak ramai yang akan menyangka yang Khairy boleh berkata dengan begitu angkuh seperti itu.Mungkin semua diantara kita dibawah ini wajar berteriak dan mengakui yang beliau adalah orang hebat. Mungkin Khairy masih lagi sangsi yang masih ramai orang dibawah ini masih ramai yang tidak mengetahui beliau itu orang hebat.

Orang bawahan pun tahu Khairy itu orang atasan dan jangan Khairy tidak tahu ini. kalau kita mengetahui diri kita sendiri kita tidak akan menolak kenyataan yang sangat penting ini. Sifat bersalah-salahan merupakan sifat azali kejadian Tuhan. Kalau tidak ada yang bawah, masakan ada yang atas. Jika tidak ada yang panjang masakan ada yang pendek dan jika tiada yang lama masakan ada yang baru.

Tidak perlu bercakap begitu untuk mempertahankan Najib itu. Kita merasakan yang Najib yakin yang Khairy adalah penyokong kuat beliau walaupun beliau tidak mengkritik Syed Rosly itu.

Itu sebabnya orang tua-tua dahulu berkata, orang pandai tidak semestinya bijaksana.  Orang tua-tua dahulu berkata, biar ilmu itu satu belit, asalkan akal itu dua belit. Ilmu itu penting, tetapi akal itu lagi penting. Belajar di universiti ternama itu bukan setakat untuk mendapat 'scroll' yang berjela-jela. Yang terpenting belajar di universiti itu ialah untuk belajar dan berlatih untuk berfikir dan membuat keputusan dan bertindak dengan betul dan 'appropriate'.

Diharap Khairy tidak mengecewakan orang ramai yang menaruh harapan terhadap beliau. Pandanglah kebawah selalu, jangan sentiasa mendongak keatas, nanti ‘tolando bondul (bendul) dibawah’

18 December 2014

Kita tunggu apakah pelan tindakan Najib terhadap kejatuhan nilai ringgit dan harga minyak

Harga minyak mentah dunia jatuh begitu ketara. Harga WTI telah jatuh kebawah USD55 dan Brent telah jatuh sehingga USD60 semalam. Setiap negara dan kerajaan telah mengambil tindakan yang pantas dan setiap negara telah mengumumkan cara dan kaedah tindakan mereka dalam menghadapi masalah yang terbesar yang dihadapi dunia dalam isu ini.

Australia telah membuat ‘adjustments’ terhadap angka-angka belanjawannya mengikut situasi sekarang ini. Begitu juga Britain dan banyak negara lain yang juga bertindak pantas menghadapi masalah ekonomi yang begitu mendesak bagi dunia hari ini. Pendeknya banyak negara mengambil initiatif yang agressif untuk mengekang masalah yang mungkin dihadapi oleh negara masing-masing.

Menteri-Menteri Kewangan masing-masing bersama dengan Governor-Governor Bank Pusat mereka telah mengumumkan berbagai-bagai initiatif untuk menghadapi ‘consequence’ buruk yang mempengaruhi ekonomi negara-negara  mereka.

Malaysia tidak terlepas dari menghadapi masalah ini dan yang jelas kita mempunyai masalah yang ‘compounding’ dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan matawang-matawang negara-negara asing termasuk dengan dollar Singapura dan Brunei. Beberapa hari yang lepas dalam pasaran wang antarabangsa harga ‘spot prices’ ringgit telah jatuh ketahap melepasi 3.50 dollar bagi setiap ringgit kita.

Ringgit jatuh begitu mendadak berbanding dengan dollar Singapura dan ini amat menjejaskan ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam perdagangan. Sebagai sebuah ‘trading nation’ Malaysia bakal menghadapi atau telah pun menghadapi masalah besar jika keadaan sebegini berterusan dalam beberapa bulan lagi.

Tetapi apa yang agak membimbangkan kita belum lagi mendengar atau diberitahu apakah perancangan kerajaan bagi menghadapi masalah yang begitu ‘imminent’ yang akan kita hadapi itu. Baik dari Tan Sri Zetti, Governor Bank Negara mahu pun dari Perdana menteri yang juga Menteri Kewangan, tiada apa-apa yang telah diumumkan kaedah menghadapi masalah besar negara kini.

Kita mahu mendengar apakah tindakan secara ‘organic’ dan ‘real’ serta praktikal dalam menghadapi masalah ekonomi sekarang ini. Ini merupakan cabaran kepada PM Najib yang selama ini begitu mengambil mudah dalam menguruskan kewangan dan ekonomi negara. “Najib is going through the mills now” kata seorang ahli ‘academic’ dari universiti tempatan dan beberapa pandangan dari pemimpin-pemimpin ekonomi dunia yang kita baca akhir-akhir ini.

Yang kita dengar sekarang ini adalah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan yang tidak dihiraukan oleh orang ramai. Kenyataannya bukan kenyataan yang menyenangkan melainkan kenyataan yang berunsurkan politik semata-mata. Kita tahu Ahmad Maslan bukan ahlinya untuk bercakap tentang isu ekonomi kerana beliau hanyalah dianggap ramai sebagai ‘conduit’ kepada pemimpin politik yang berkuasa sahaja. PM Najib sepatutnya jangan membiarkan Ahmad Maslan bercakap tentang isu ekonomi kerana ia akan hanya membuatkan rakyat ramai bertambah berkurang keyakinan mereka terhadap kerajaan yang sudah tersedia dengan krisis keyakinan yang amat ketara itu.

Kita tunggu dan tunggu apakah perancangan yang hendak dilakukan oleh pemimpin kita.

16 December 2014

Rakyat Malaysia semuanya baik hati, sanggup bayar semua kerugian skandal pemimpin-pemimpin mereka

Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan sebagai sebuah negara yang unik ia banyak perbezaannya dengan banyak negara dan wilayah yang berkerajaan lain di dunia ini. Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan telah merdeka sejak tahun 1957 lagi. Kini sudah 58 tahun kita merdeka dan dalam jangka masa yang agak panjang ini dunia dapat memahami keunikan yang ada kepada kita.

Di antara keunikan yang jelas terlihat ialah rakyat negara ini adalah rakyat yang baik hati yang kadangkala dianggap sebagai rakyat yang lesu dan tidak bermaya. Mereka tidak mudah merasakan apa-apa yang dilakukan terhadap mereka walaupun banyak perkara yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap mereka. Rakyat negara ini adalah rakyat yang boleh diperlakukan apa sahaja oleh pihak yang memerintah mereka.

Mereka adalah rakyat yang pemaaf sifatnya. Walaupun berbagai-bagai skandal terhadap kewangan dan harta benda negara yang mereka punyai ini, yang memimpin mereka tetap berada ditampuk kuasa tanpa banyak masalah. Skandal kewangan yang dalam jumlah berpuluh-puluh billion jumlahnya boleh dilakukan oleh kerajaan yang memimpin mereka. Mereka tetap tidak merasai apa-apa kerana mungkin mereka mendapatkan negara merdeka mereka tanpa banyak pertumpahan darah dan mendapatnya dengan begitu senang secara ‘comparative’ nya dengan negara-negara lain yang mendapatkan kemerdekaan mereka.

Jika skandal seperti yang berlaku di negara ini berlaku di negara Jepun misalnya, kerajaan kita sudah sepatutnya bertukar tangan puluhan kali sejak merdeka. Negara Jepun pernah menukar Perdana Menteri nya dua kali dalam setahun. Pertukaran itu terjadi hanya kerana kesilapan yang dianggap jauh lebih kecil berbanding dengan apa yang berlaku di negara kita. Negara itu tetap utuh walaupun Perdana Menteri nya bertukar ganti dalam jangka masa yang singkat. Kerajaannya tetap berjalan kerana kerajaan dipandu oleh sistem yang baik dan bukannya oleh individu pemimpin yang boleh melakukan segala-galanya mengikut ‘whim and fancies’mereka.

Di negara kita telah berlaku banyak kali kes pembunuhan yang tidak ada ‘criminal’nya. Pembunuhan itu berlaku seolah-olah berlaku tanpa pembunuhnya. Pada pertengah tahun lapan puluhan dahulu, saya mengenali seorang wanita yang dibunuhnya dan sampai ke hari ini tidak tahu siapa yang membunuhnya. Mustakizah yang saya kenali, dibunuh dan dalam proses siasatannya semua mereka yang dianggap sebagai saksi yang mersik telah sama-sama mati seorang demi seorang juga dengan pembunuhan.

Altantuya, gadis Monggolia mati dan jasadnya dihancurkan dengan menggunakan bom C4 dengan niat untuk menghilangkan bukti pembunuhan itu, tetapi sampai ke hari ini tidak tahu siapa yang membuatkan dua orang anggota keselamatan kita membunuhnya. Di mahkamah tidak pernah disoal dua anggota keselamatan itu siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.

Pendeknya tidak ada usaha untuk mencari dan mengenal pasti motif pembunuhan itu. Semuanya ini dilakukan dihadapan mata dan kepala rakyat dan rakyat hidup seperti sedia kala tanpa merasakan rasa bersalah membiarkan keadaan sebegini berlaku.

Skandal pembunuhan ini diiringi oleh begitu banyak skandal kewangan dan jenayah yang besar yang tidak pernah berlaku di negara lain yang pemimpinnya masih kekal ditampuk kuasa. 1MDB sudah nyata begitu meragukan ketelusan cara pengendaliannya. Hutang yang hampir RM40 billion itu merupakan skandal yang terbesar bukan sahaja dalam sejarah negara tetapi juga dalam sejarah dunia moden ini. Ia lebih besar dari sejarah kerugian RM36 billion yang dialami oleh negara dalam ‘business’ yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pertukaran wang asing pada tahun sembilan puluhan dahulu.

Dengan berlakunya skandal yang berskala puluhan billion ringgit ini maka kerugian dalam isu Maminco dahulu yang melibatkan kerugian RM600 juta itu sudah dianggap kerugian yang kecil ibarat sekecil tahi kuku sahaja kepada negara dan pemimpinnya. Banyak lagi kerugian yang disengajakan dilakukan yang melibatkan ratusan juta berlaku tetapi pimpinan tetap selamat berada ditampuk kuasa tanpa masalah tanpa sesiapa yang mengambil ‘accountability’ terhadap kejadian yang mengerikan itu.

Ratusan billion ringgit wang dan harta rakyat telah hilang ‘dilongkang’ kerana kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan ‘accountable’.. Tetapi oleh kerana rakyat begitu pemaaf maka perkara seperti ini berulang-ulang berlaku kerana kebaikan dan sifat pemaaf rakyat itu diambil sebagai kelemahan oleh pemimpin-pemimpin kita yang serong hati dan jiwanya itu. Perlakuan yang menjijikkan itu dilakukan tanpa segan dan silu seolah-olah tidak ada undang-undang atau syariat agama yang melarangnya.

Sudah menjadi budaya yang setiap pemimpin apabila berada dipesada kuasa ‘mencari duit luar’ melalui jawatan dan kuasa yang dipegang mereka itu sudah menjadi sebati dalam jiwa mereka. Budaya ‘Mencari duit luar’ ini sudah menjadi amalan yang dihalalkan. Inilah yang menyebabkan pemimpin kita tidak dapat membuat keputusan yang betul walaupun dasar yang baik itu jelas wujud. Mengimplementasikan dasar yang baik itulah yang menjadi masalah kerana kepentingan ‘duit luar’ mereka itu mengganggu daya pertimbangan mereka dalam membuat keputusan yang betul.

Keadaan sekarang sudah terlalu lama di tanggung oleh rakyat dan rakyat juga ada had kesabaran mereka. Situasi buruk ini sekarang sudah sampai ketahap yang tidak boleh diubatkan lagi, maka rakyat wajar membuat keputusan dan tindakan yang sepatuitnya mereka lakukan sejak lama dahulu. UMNO perlukan perubahan yang drastik kerana jika parti itu masih membiarkan ‘set’ pimpinan yang ada sekarang masih berkeliaran di Putrajaya itu maka riwayat parti pemerintah sekarang tidak akan boleh bertahan lagi.

Selepas ini rakyat mahu UMNO yang dipimpin oleh ‘set’ yang baru atau memilih parti-parti alternatif yang boleh diyakini untuk mentadbir negara dengan wajar dan bertimbang rasa terhadap rakyat.

Ini sahaja lah pilihan yang ada kepada pemimpin UMNO jika mereka benar-benar mahu melihat UMNO itu terus relevan. Yang UMNO masih boleh berada di Putrajaya sekarang ini hanyalah perasaan curiga dan was-was terhadap kemampuan pembangkang kerana di antara mereka masih bercelaru seperti yang kita baca dan dengar melalui media-media massa sekarang ini.

Rakyat pun tidak mahu menggantikan dengan pihak yang akan menyumbang nasib yang sama kepada mereka. Pembangkang perlu menguatkan iltizam dan benar-benar melaksanakan apa yang mereka laungkan, bukan setakat beretorik dengan isu-isu yang lama dan basi sahaja.

Jika perjuangan mereka melaungkan keperbilangan kaum, perlaksanaannya perlu ‘real’ dan bukan hanya tipu helah dan muslihat yang mengelirukan ramai semata-mata untuk mendapatkan kuasa dan menangguk di air yang keruh.

Tetapi jika UMNO dapat melakukan perubahan drastik sekarang ini maka ia merupakan keadaan yang sangat berfaedah kepada rakyat. Perubahan dan transformasi itu pun perlu benar dan 'real', bukan setakat berucap dengan gegaran suara yang lantang seperti halalintar yang kuat sahaja.

Rakyat sudah kenyang dengan tipu muslihat dan janji kosong semua pihak selama ini. Kali ini siapa yang boleh berubah dahulu dengan ‘real’ mereka lah yang selayaknya mentadbir negara yang telah terabai sejak dua tiga dekad yang lalu.