30 March 2008

Tun Dr Mahathir - Hapuskan kuota 30%?

Tun Dr Mahathir (TDM) hari ini meminta UMNO supaya menghapuskan kuota 30% pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO bagi membolehkan UMNO membuat pilihan daripada beberapa pemimpin yang ingin menawarkan diri untuk jawatan tersebut.

Ini merupakan satu kejutan kepada ahli-ahli UMNO kerana beliau sudah sedar bahawa sistem yang beliau perkenalkan dahulu memang membuatkan parti kita menjadi layu dan tidak bermaya.

Sistem yang diperkenalkan beliau inilah yang menghasilkan pemimpin-pemimpin seperti Abdullah Badawi, Najib dan ramai lagi pemimpin yang kurang berkelayakan untuk memimpin kita.

Sistem ini juga telah menjahanam dan menghapuskan pemimpin-pemimpin yang jujur untuk menerajui kepimpinan negara.

Malah sistem yang sedia ada ini telah dijadikan tempat yang amat selesa bagi pemimpin-pemimpin korap, lemah dan yang menyalahgunakan kuasa untuk berlindung dengan selamat.

Akhirnya, kita rakyat telah nampak dengan mata kepala kita sendiri bagaimana negara yang amat kita cintai ini terjebak dengan krisis keyakinan yang amat membimbangkan.

Kita tidak payah menyalahkan TDM. Yang penting ialah beliau telah membuat ‘soul searching’ yang mendalam dan mencadangkan untuk menggantikan sistem yang beliau sendiri perkenalkan dahulu.

Persoalannya sekarang ialah bersetujukah Pak Lah yang lemah ini untuk menerima cadangan TDM?

Pak Lah adalah orang yang menggunakan sistem TDM ini untuk mengekalkan kuasa beliau.

Bagaimana pula pandangan Najib Razak? Bagaimana Ali Rustam menerima cadangan ini?

Saya bertanya kerana bagi pendapat rakyat yang ramai, mereka ini semuanya pemimpin yang mengidap penyakit rendah diri (Inferiority Complex) yang menebal.

Mereka ini lebih rela UMNO itu hancur daripada kehilangan punca kuasa yang ada pada mereka.

Pemimpin-pemimpin besar kita takut kerana anak menantu belum lagi puas untuk mendapatkan projek-projek besar sebelum menjadi ahli politik yang bertaraf menteri.

Ada pula pemimpin-pemimpin yang takut kehilangan kuasa sekiranya rahsia salahlaku mereka diketahui orang.

Jika semua ahli dan perwakilan UMNO menerima cadangan ini, maka UMNO akan mudah mencari penyelesaian kepimpinan hampir serta-merta.

Ramai berpendapat supaya seseorang yang ingin menawarkan diri untuk menjadi Presiden hanya memerlukan 2 pencalonan daripada 2 mesyuarat perwakilan bahagian.

Malah pada awal 70-an dahulu, menyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO daripada satu bahagian sudah memadai untuk melayakkan diri bertanding di peringkat presiden
parti.

Sistem ini akan membolehkan parti menghidupkan kembali demokrasi yang sudah hilang selama 2 dekad.

Orang ramai akan kembali meletakkan keyakinan kepada UMNO dan parti kita ini akan lebih mudah untuk kembali berkuasa di negeri-negeri yang telah terlepas ke tangan pembangkang.

Rakyat mahu melihat pemimpin dan UMNO berubah sikap dahulu.

Jika sistem terbuka ini dapat dikembalikan seperti tahun-tahun sebelum TDM dahulu, ‘sampah sarap’ yang ada di dalam majlis tertinggi parti, perhubungan dan bahagian akan dapat diketepikan.

Rakyat mahu melihat UMNO mempunyai kepimpinan yang berwibawa, ‘magnanimous’ dan jujur dahulu sebelum mereka memberikan kembali mandat yang besar seperti masa yang lalu.

Selagi perubahan ini tidak mampu dilakukan, selagi itulah UMNO akan hilang dari hati rakyat.

Kepada Pak Lah, Najib dan lain-lain pemimpin saya merayu, selamatkanlah UMNO ini.

Jika saudara-saudara terpaksa berundur daripada kepimpinan parti, lakukanlah dengan ikhlas dan jujur.

Jika saudara-saudara tidak mampu untuk mendapatkan penghormatan rakyat melalui ‘skill’ kepimpinan saudara-saudara, dapatkanlah ia dengan mengundurkan diri masing-masing secara terhormat.

Pengunduran diri saudara-saudara akan diingati rakyat sebagai satu pengorbanan yang besar kepada mereka.

Apabila kita hidup dalam usia yang sudah lanjut ini, yang perlu bagi kita ialah penghormatan masyarakat.

Apalah gunanya berpangkat dan berkuasa besar sedangkan rakyat di bawah meluat kepada kita.

Bolehkah kita tidur lena? Tidakkah ada rasa bersalah dan tidakkah kita ingat hari mati kita?

Rakyat telah menunjukkan kebencian mereka baru-baru ini. Undurlah Pak Lah, undurlah Najib.

‘Can both of you just do that small favour for us , please..please..please??’

Kepada Pak Lah dan Najib, kita ingatkan mereka bahawa daripada sudut ketuhanan biarlah kita akhiri kehidupan kita dengan disayangi dan dihormati oleh masyarakat ramai.

Apabila kita sampai di akhir kalam nanti, kita mati dalam kalimah ALLAH.

Jangan kita akhiri hayat kita dengan Kalimullah!


Wassalam……………………………………………………………. Aspan Alias.

No comments: