12 May 2008

Laporan polis terhadap Karpal dan UMNO wajib dilakukan

Sebanyak 9 laporan polis telah dibuat terhadap Karpal Singh berhubung tentang isunya dengan Raja-Raja termasuk DYMM Yang Di-Pertuan Agong.

Tindakan membuat laporan polis ini adalah satu tindakan yang wajar dan pihak berkuasa mesti membuat penyiasatan dengan teliti sebelum Peguam Negara membawanya ke muka pengadilan.

Perkara yang sebegitu sensitif terhadap bangsa Melayu dan negara ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana ianya merupakan suatu perkara besar dan akan merebak sekiranya tiada tindakan dilakukan.

Saya juga ingin melihat pihak polis membuat penyiasatan terhadap beberapa laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang telah menghina Raja-Raja Melayu semasa krisis perlembagaan pada tahun 1993 dahulu.

Tindakan yang lebih tegas terhadap pemimpin-pemimpin Melayu yang terlibat dalam kes ini mesti dijalankan kerana kecurangan mereka kepada bangsa adalah sangat keterlaluan.

Pihak berkuasa tidak boleh menutup sebelah mata terhadap laporan polis terhadap pemimpin Melayu kita sendiri kerana ianya akan menampakkan tindakan berat sebelah pihak berkuasa.

Kita mesti belajar untuk bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan. Jangan kita mengambil sikap >‘buat apa yang aku suruh, jangan buat apa yang aku buat’.

Kalaulah benar kita mahu negara dan generasi kita hidup dalam negara yang maju, undang-undang mestilah dilaksanakan secara adil dan sama rata.

Selagi masih ada pihak yang boleh terlepas daripada undang-undang selagi itulah rakyat akan hilang keyakinan terhadap negara.

Isu Karpal Singh ini mengingatkan kita terhadap krisis 1993 dahulu, dan luka lama kini berdarah kembali.

“For once please be serious about taking care of our great nation’.

Kami sudah naik benci apabila memandang dengan mata kepala kita sendiri salahlaku yang dilakukan oleh orang yang bernama dan bergelar terlepas begitu sahaja daripada undang-undang.

Kami rakyat tidak mahu lagi melihat pemimpin-pemimpin yang membuat salah terlepas daripada hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Hasil siasatan ke atas orang-orang besar adalah ‘predictable’, dan selalunya pihak peguam negara akan mengumumkan tiada bukti dan tiada kes terhadap si polan-si polan itu.

Tetapi, mata-mata yang berjemur di bawah matahari terik akan selesai penyiasatannya dengan begitu cepat kerana rasuah RM200.


Itulah sebabnya saya tidak putus-putus berdoa agar sampai waktu dan ketika undang-undang itu adalah adil untuk semua tanpa memilih bulu.

Walau sebesar mana pun pangkat seseorang itu, ianya mestilah dibawa ke mahkamah samada kesalahan rasuah, salahguna kuasa mahupun meraba punggung atau buah dada pekerja hotel dan sebagainya.

Rakyat mahu melihat penyiasatan dilakukan terhadap semua pihak yang bersalah.

Ambil kesempatan dengan isu Karpal Singh ini untuk menyiasat laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang telah menghina Raja-Raja dahulu.

Jika tidak juga dilakukan maka rakyat terpaksa mengambil tindakan secara aman, iaitu dengan meneruskan sokongan kepada parti alternatif dan bukannya BN.

Rakyat kali ini serius, apatah lagi sesudah berpengalaman mengundi parti pembangkang dalam pilihanraya umum yang lalu.


Fikir-fikirkanlah!

Sekian……………………………………………………………. Aspan Alias






No comments: