30 March 2008

Tun Dr Mahathir - Hapuskan kuota 30%?

Tun Dr Mahathir (TDM) hari ini meminta UMNO supaya menghapuskan kuota 30% pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO bagi membolehkan UMNO membuat pilihan daripada beberapa pemimpin yang ingin menawarkan diri untuk jawatan tersebut.

Ini merupakan satu kejutan kepada ahli-ahli UMNO kerana beliau sudah sedar bahawa sistem yang beliau perkenalkan dahulu memang membuatkan parti kita menjadi layu dan tidak bermaya.

Sistem yang diperkenalkan beliau inilah yang menghasilkan pemimpin-pemimpin seperti Abdullah Badawi, Najib dan ramai lagi pemimpin yang kurang berkelayakan untuk memimpin kita.

Sistem ini juga telah menjahanam dan menghapuskan pemimpin-pemimpin yang jujur untuk menerajui kepimpinan negara.

Malah sistem yang sedia ada ini telah dijadikan tempat yang amat selesa bagi pemimpin-pemimpin korap, lemah dan yang menyalahgunakan kuasa untuk berlindung dengan selamat.

Akhirnya, kita rakyat telah nampak dengan mata kepala kita sendiri bagaimana negara yang amat kita cintai ini terjebak dengan krisis keyakinan yang amat membimbangkan.

Kita tidak payah menyalahkan TDM. Yang penting ialah beliau telah membuat ‘soul searching’ yang mendalam dan mencadangkan untuk menggantikan sistem yang beliau sendiri perkenalkan dahulu.

Persoalannya sekarang ialah bersetujukah Pak Lah yang lemah ini untuk menerima cadangan TDM?

Pak Lah adalah orang yang menggunakan sistem TDM ini untuk mengekalkan kuasa beliau.

Bagaimana pula pandangan Najib Razak? Bagaimana Ali Rustam menerima cadangan ini?

Saya bertanya kerana bagi pendapat rakyat yang ramai, mereka ini semuanya pemimpin yang mengidap penyakit rendah diri (Inferiority Complex) yang menebal.

Mereka ini lebih rela UMNO itu hancur daripada kehilangan punca kuasa yang ada pada mereka.

Pemimpin-pemimpin besar kita takut kerana anak menantu belum lagi puas untuk mendapatkan projek-projek besar sebelum menjadi ahli politik yang bertaraf menteri.

Ada pula pemimpin-pemimpin yang takut kehilangan kuasa sekiranya rahsia salahlaku mereka diketahui orang.

Jika semua ahli dan perwakilan UMNO menerima cadangan ini, maka UMNO akan mudah mencari penyelesaian kepimpinan hampir serta-merta.

Ramai berpendapat supaya seseorang yang ingin menawarkan diri untuk menjadi Presiden hanya memerlukan 2 pencalonan daripada 2 mesyuarat perwakilan bahagian.

Malah pada awal 70-an dahulu, menyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO daripada satu bahagian sudah memadai untuk melayakkan diri bertanding di peringkat presiden
parti.

Sistem ini akan membolehkan parti menghidupkan kembali demokrasi yang sudah hilang selama 2 dekad.

Orang ramai akan kembali meletakkan keyakinan kepada UMNO dan parti kita ini akan lebih mudah untuk kembali berkuasa di negeri-negeri yang telah terlepas ke tangan pembangkang.

Rakyat mahu melihat pemimpin dan UMNO berubah sikap dahulu.

Jika sistem terbuka ini dapat dikembalikan seperti tahun-tahun sebelum TDM dahulu, ‘sampah sarap’ yang ada di dalam majlis tertinggi parti, perhubungan dan bahagian akan dapat diketepikan.

Rakyat mahu melihat UMNO mempunyai kepimpinan yang berwibawa, ‘magnanimous’ dan jujur dahulu sebelum mereka memberikan kembali mandat yang besar seperti masa yang lalu.

Selagi perubahan ini tidak mampu dilakukan, selagi itulah UMNO akan hilang dari hati rakyat.

Kepada Pak Lah, Najib dan lain-lain pemimpin saya merayu, selamatkanlah UMNO ini.

Jika saudara-saudara terpaksa berundur daripada kepimpinan parti, lakukanlah dengan ikhlas dan jujur.

Jika saudara-saudara tidak mampu untuk mendapatkan penghormatan rakyat melalui ‘skill’ kepimpinan saudara-saudara, dapatkanlah ia dengan mengundurkan diri masing-masing secara terhormat.

Pengunduran diri saudara-saudara akan diingati rakyat sebagai satu pengorbanan yang besar kepada mereka.

Apabila kita hidup dalam usia yang sudah lanjut ini, yang perlu bagi kita ialah penghormatan masyarakat.

Apalah gunanya berpangkat dan berkuasa besar sedangkan rakyat di bawah meluat kepada kita.

Bolehkah kita tidur lena? Tidakkah ada rasa bersalah dan tidakkah kita ingat hari mati kita?

Rakyat telah menunjukkan kebencian mereka baru-baru ini. Undurlah Pak Lah, undurlah Najib.

‘Can both of you just do that small favour for us , please..please..please??’

Kepada Pak Lah dan Najib, kita ingatkan mereka bahawa daripada sudut ketuhanan biarlah kita akhiri kehidupan kita dengan disayangi dan dihormati oleh masyarakat ramai.

Apabila kita sampai di akhir kalam nanti, kita mati dalam kalimah ALLAH.

Jangan kita akhiri hayat kita dengan Kalimullah!


Wassalam……………………………………………………………. Aspan Alias.

27 March 2008

Gajah sarkas

Hari ini saya nak buat satu cerita yang boleh kita jadikan sebagai bahan renungan kita ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan ini.

Cerita ini akan mudah difahami oleh sesiapa yang pernah pergi menonton sarkas.

Tajuk cerita ini ialah ‘GAJAH SARKAS’.

Saya dan keluarga pernah pergi menonton Royal London Circus di Bangsar beberapa tahun dahulu.

Setelah 2 kali pergi menonton, saya dapat pelajaran yang amat menarik kerana ianya boleh dikaitkan dengan pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Gunanya gajah ini ialah untuk mengangkat besi-besi berat untuk melengkapkan khemah-khemah untuk pertunjukan itu.

Pendek kata, kesemua kerja berat ditanggung oleh gajah.

Tetapi saya perhatikan apabila sampai waktu makan, Harimau dan Singa diberi makan daging yang lazat-lazat tetapi habuan bagi gajah hanyalah batang-batang pisang.

Apabila selesai pertunjukan sarkas tiga minggu selepas itu, sekali lagi gajah ditugaskan menurunkan khemah-khemah dan besi-besi berat dan mengangkatnya ke atas trailer-trailer yang sudah disediakan.

Singa dan Harimau hanya duduk relaks tanpa berbuat apa-apa.

Royal London Circus berpindah pula ke Shah Alam dan gajah berjalan kaki dari Bangsar ke Shah Alam.

Harimau dan Singa serta kancil naik kenderaan yang mewah ke tempat baru itu.

Gajah pula berjalan kaki sehari suntuk untuk sampai ke Shah Alam.

Sebaik sahaja gajah sampai di Shah Alam, gajah diberi makan batang-batang pisang sekali lagi sedangkan Harimau dan Singa sudah berada di kandang kekenyangan setelah makan daging-daging yang disediakan oleh ‘taukeh’ sarkas itu.

Di dalam UMNO situasinya adalah serupa.

Yang bekerja kuat untuk menyelamat dan memperkuatkan UMNO selama ini ialah ahli-ahli biasa di bawah.

Pimpinan di atas hanya relaks dengan menghabiskan masa mengumpulkan kekayaan untuk anak menantu mereka serta kroni-kroni yang berada di sekekiling pemimpin-pemimpin ini.

Yang hampir dengan pimpinan selalu berada didalam “Cigar Room’ hotel-hotel enam bintang di kotaraya.

Cerut-cerut yang mereka hisap berharga ratusan ringgit sebatang sedangkan ahli-ahli cawangan-cawangan dan bahagian UMNO hidup dalam serba kekurangan.

Jika ada apa-apa masalah kepada parti, ahli-ahli di bawah akan dimarahi dan segala kesalahan tertanggung kepada pemimpin-pemimpin di bawah.

Tetapi dua minggu selepas gajah-gajah ini sudah mula naik berang, sehinggakan ramai taukeh sarkas sudah dihumban keluar oleh gajah-gajah ini.

Gajah-gajah ini sudah mula menuntut keadilan terhadap diri mereka dan kini ramai di antara taukeh-taukeh ini sudah bersara daripada bisnes sarkas ini.

Ramai diantaranya yang dibesarkan oleh gajah-gajah ini susah hati, kerana mereka sudah biasa dengan bisnes sarkas yang sangat menguntungkan ini.

Itu sahajalah cerita ringkas saya buat hari ini.

Mungkin cerita ini tidak menarik tetapi ianya memberikan keinsafan yang mendalam terhadap diri saya yang kesiankan mereka yang tidak terbela di kampung-kampung.

Wassalam……………………………………………………….Aspan Alias

26 March 2008

Najib membisu

Najib Razak menyepi seribu bahasa seolah-olah beliau sudah tiada lagi dalam politik tanahair.

Negara sedang dilanda krisis demi krisis tetapi tiada berita baik daripada beliau yang boleh menjadi penawar kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO yang sedang menderita hasil kekalahan teruk pada pilihanraya yang baru selesai ini.

Najib sudah kembali menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab beliau yang begitu terkenal dengan sifat pengecut dan bacul apabila berada di dalam sesuatu krisis.

Yang kedengaran hanya cakap-cakap yang tidak boleh dipakai daripada pemimpin ‘capcai’ di dalam UMNO seperti Mat Taib, Noh Omar, Tengku Adnan dan beberapa yang lain yang mana rakyat tidak hormat dan ambil pusing dengan kata-kata mereka.

Seorang lagi pemimpin yang sudah mula bercakap ialah Ahmad Zahid Hamidi yang tidak memberi apa-apa ‘consequence’ dengan memberi alasan lapuk kenapa pemilihan parti perlu ditangguhkan ke tahun hadapan.

Rakyat, khususnya orang melayu sedang dahagakan berita yang boleh menjadi ubat bagi penyelesaian kepada perasaan tidak menentu sekarang ini.

Pucuk pimpinan kita seperti Pak Lah dan Najib sudah nyata hilang punca dan tidak mampu untuk bertindak secara bijak setelah begitu lama duduk di atas singgahsana kepimpinan kita.

Saya sendiri selalu bersuara sejak beberapa tahun dahulu sehinggalah sekarang menzahirkan perasaan curiga saya tentang kemampuan mereka menerajui negara ini.

Mereka berdua ini sebenarnya bukanlah ‘material’ perdana menteri kerana pada asasnya mereka tidak mempunyai ‘attributes’ seorang pemimpin besar.

Mereka naik semata-mata budaya dan sistem pemilihan UMNO yang diubah sejak 1988 dahulu, di mana seseorang yang hendak menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi parti perlu mendapat pencalonan sebanyak 30%.

Akhirnya sistem ini menjadikan UMNO sebagai tempat paling enak bagi pemimpin-pemimpin yang lemah, rasuah dan yang menggunakan kuasa seluas-luasnya untuk kepentingan peribadi.

Malahan sistem dan budaya inilah yang menjadi penyumbang terbesar kepada kekalahan BN baru-baru ini kerana UMNO sudah menjadi lemah.

Pemimpin-pemimpin berbakat terhumban keluar daripada UMNO.

Akhirnya yang tinggal hanyalah sampah-sarap dari yang besar-besar hinggalah ke peringkat bawah yang tidak berguna kepada bangsa dan agamanya.

Mereka inilah yang UMNO tonjolkan kepada rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini dengan janji-janji manis yang tidak pernah dikotakan.

Maka, rakyat menolak calon-calon BN termasuklah di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Penawaran Tengku Razaleigh untuk menerajui UMNO amat memberangsangkan ramai ahli UMNO dan rakyat jelata secara amnya.

Setidak-tidaknya ada juga seorang yang berani ke hadapan untuk membantu keresahan rakyat jelata yang merasakan kekosongan yang begitu ketara di peringkat pucuk pimpinan negara.

Beliau merupakan seorang ahli siasah yang berpengalaman dan seorang teknokrat yang telah meletakkan asas ekonomi negara yang teguh semasa beliau menjadi orang penting di dalam kerajaan dahulu.

Tuhan memanjangkan usia beliau, mungkin untuk dijadikan ‘medium’ Nya bagi menyelamatkan bangsa melayu yang keramat ini.

Semoga Tengku Razaleigh diberi kekuatan untuk mengharungi ranjau-ranjau sepanjang jalan beliau untuk menyelamatkan bangsa kita.

Sekian…………………………………………………………… Aspan Alias

Undi tidak percaya Muhammad Taib kepada Pak Lah

Muhammad Taib berkata bahawa berpuluh-puluh bahagian menyuarakan pendapat yang pemilihan parti patut ditangguhkan sehingga Jun tahun hadapan untuk meredakan keadaan.

Kononnya jika buat pemilihan sekarang ditakuti akan timbul malapetaka.

Kita nak bertanya kepada Mat Taib, apa malapetakanya, selain daripada kemungkinan pimpinan ditolak oleh perwakilan?

Malapetaka yang mungkin dimaksudkan oleh Mat Taib ialah kekalahan pihaknya dalam pemilihan itu.

Jika pimpinan hari ini ditolak, mereka mesti menerimanya dengan baik dan malapetaka itu tidak akan wujud.

Sebenarnya, Muhammad Taib sudah mula hendak berbohong lagi dan memutarbelitkan isu.

Beliau ini memang terkenal dengan kemahiran berbohong sehinggakan Tuanku Sultan Selangor pun pernah dibohonginya.

Kepada Mat Taib, saya ingin memberi sedikit nasihat.

Jika dia mencadangkan pemilihan di dalam UMNO ini ditangguhkan, ianya membayangkan dia tidak ada keyakinan untuk kekal berkuasa.

Ini bermakna Mat Taib sendiri menzahirkan undi tidak percaya kepada Pak Lah secara langsung.

Saya tidak tahu sama ada Mat Taib sedar atau tidak tindakan beliau ini merupakan tindakan yang dianggap bodoh sebagai seorang pemimpin sebuah parti siasah terbesar negara ini.


Saya sanggup memberikan kursus kepada Mat Taib kerana setakat mengajar ilmu yang sekecil ini tak perlu orang yang bijak pandai.

Cukup sekadar saya yang tidak bijak ini untuk memberi kursus kepadanya.

Sekarang ini kekuatan individu di dalam UMNO tidak ada gunanya sekiranya UMNO itu sendiri ditolak rakyat.

Jika benar Mat Taib ini seorang yang boleh berfikir, beliau tidak akan bercakap seperti orang yang mabuk.

Seseorang yang tidak tahu apa yang dilakukannya adalah tergolong dalam kumpulan orang yang mabuk.

Amalan dan ibadah orang-orang mabuk tidak diterima Tuhan.

Mat Taib mesti sedar jika pemilihan ditangguhkan dan berjaya mengekalkan kepimpinan hari ini, bermakna dia mahu mengekalkan kebencian rakyat kepada barisan pimpinan UMNO seperti apa yang berlaku sekarang.

Jika kebencian ini berlarutan, maka pada pilihanraya yang akan datang UMNO/BN akan ditolak sekali lagi dan kali ini banyak lagi negeri akan hilang ke tangan pembangkang.

Mat Taib perlu faham bahawa pemimpin yang ditolak tidak akan mampu memperbetulkan parti kita ini.

Usaha untuk memperbetulkan UMNO hanya boleh dilakukan oleh pemimpin yang berpengalaman dan yang tidak ada dalam kepimpinan tertinggi pada hari ini

Ketua penerangan kita ini seolah-olah ingin sangat melihat UMNO menghadapi kegagalan lagi dengan membawa cadangan yang mengarut ini untuk diluluskan oleh MT parti.

Saya begitu hairan kenapalah orang-orang seperti Mat Taib ini masih ada lagi dalam barisan kepimpinan kita?

Kenapakah orang yang mempunyai imej yang meragukan ini diberikan lagi tempat?

Bukankah orang seperti ini akan membuatkan kita susah untuk menghidangkan kepada rakyat UMNO yang baik dan ber’dignity’?

Jika cadangan untuk menangguhkan pemilihan dalam parti semata-mata untuk mengekalkan kepimpinan yang telah ditolak rakyat, maka UMNO akan kekal ditolak dan beberapa buah negeri lagi akan jatuh ke tangan pembangkang.

Apa yang cuba dilakukan oleh Mat Taib ini seolah-olah dia sedang menggali liang lahat untuk UMNO pada pilihanraya akan datang.

Nampaknya, bersungguh-sungguh benar Mat Taib dan rakan-rakannya nak kuburkan UMNO ini.

Apabila parti sudah terkubur nanti, kita akan ingat siapa yang menguburkan UMNO kesayangan kita ini!

Tentulah salah seorang yang bertanggung jawab menguburkan UMNO ialah Mat Taib selain daripada Pak Lah, Najib, Tengku Adnan dan lain-lain yang ramai di antaranya kita kenal.

Sekian…………………………………………………………… Aspan Alias.