15 December 2013

Betul ke UMNO seolah-olah penyelamat manusia dunia akhirat?

Isu Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan Syiah yang dihebohkan sekarang ini tidak kena-mengena dengan akidah atau perjuangan Islam. Itu hanya permainan politik pimpinan UMNO yang kini semakin terhakis dari pandangan rakyat. Pemimpin yang mengeluarkan isu Syiah sejak perhimpunan agung yang lalu sehingga sekarang ini tidak pun mengamalkan cara dan kehendak Ahli Sunnah Wal Jamaah itu.

Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam UMNO itu telah dan masih melanggar pantang larang sebagai ASWJ itu. Ketandusan idea politik mereka menyebabkan ada pihak yang mahu dikalangan kita orang Islam ini bergaduh, kerana sejak beberapa ketika dahulu UMNO itu ‘survive’ di atas perpecahan orang Melayu yang rata-rata beragama Islam itu.

Malahan UMNO yang didaftarkan pada bulan Februari 1988 dahulu diasaskan oleh perpecahan orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO. UMNO tidak mungkin ‘survive’ dalam situasi tenang dan aman, kerana jika keadaan politik itu aman, maka UMNO merasa takut rakyat memberikan fokus untuk menilai prestasi mereka terhadap rakyat.

UMNO sentiasa merasakan mereka sedang berjalan dalam keadaan gelap gelita dan sunyi dan terpaksa membuat bising dengan menyanyi atau membakar mercun untuk memecah kesunyian yang amat mereka takuti. Semasa kampung saya belum mendapat kemudahan eletrik, keadaan pada malam hari amat gelap.

Sesiapa yang berjalan di dalam gelap itu merasakan di depan dan belakang mereka ada hantu atau harimau dan berbagai-bagai lagi yang mereka takuti. Selalulah saya mendengar di jalan-jalan kecil yang sunyi dan gelap gelita itu anak-anak muda menyanyi dengan sekuat hati bagi memecahkan kesunyian dan menghilangkan sedikit rasa takut dan gementar itu.

Bermacam-macam lagi saya dengar. Ada yang menyanyikan lagu P Ramlee, malahan ada juga yang menyanyikan lagi Mat Sentul. Ada yang membakar mercun dan berbagai-bagai cara untuk menghilangkan rasa takut itu sementara sampai ke rumah atau mana-mana tempat yang mereka tujui. Pendeknya mereka akan berbuat bising untuk menghilangkan rasa takut itu.

Tetapi sekarang keadaan itu tidak berlaku lagi kerana api eletrik sudah sampai di setiap rumah dan dijalanraya pula sudah ada lampu yang di pasang oleh pihak Lembaga Letrik Negara atau sekarang ini TNB. Anak-anak muda sekarang tidak tahu dan merasakan keadaan itu kerana mereka tidak mengalami keadaan itu. Lahir mereka ke dunia ini sudah ada lampu eletrik dan air… ‘Air dalam bosi, potik di topi di tongah menyalo’.

Tetapi masih ada lagi manusia yang masih mempunyai rasa takut dan tidak meyakinkan itu, tetapi bukan dirasai oleh orang kampung saya. Perasaan itu masih ada di dalam jiwa pemimpin UMNO dan ramai ahli-ahlinya. Perasaan takut seolah-olah ada hantu di depan dan di belakang dan dalam kesunyian mereka itu membuatkan mereka mencari apa sahaja jalan untuk memecah kesunyian untuk menghilangkan rasa takut dan gementar itu.

Mereka sekarang tidak menyanyikan lagi lagu P. Ramlee atau Mat Sentul, mereka menyanyikan lagu ala rap yang bertajuk Syiah dan Sunni. Mereka mahu menghilangkan rasa takut mereka dengan berbuat bising. Selalunya orang yang penakut ini akan bercakap besar dan garang seperti yang kita dengar di kalangan mereka yang entah macam mana duduk di atas dan memimpin kita itu. Pemimpin seperti ini terpaksa melakukan banyak perkara yang pelik bagi menutup kelemahan mereka yang mudah dilihat oleh orang ramai.

Kenapa UMNO memilih untuk menjadikan isu Agama sebagai cara mendinding diri mereka dari kejatuhan itu diketahui ramai? UMNO tahu cabaran kepadanya ialah PAS. Parti Islam itu merupakan parti yang digeruni oleh UMNO walaupun dalam ucapan pemimpinm mereka, mereka cuba untuk melindungi rasa takut mereka dengan kata-kata ego dan pengecut mereka. Mereka tidak berani untuk menunjukkan jiwa besar dengan mengakui kelemahan mereka.

UMNO sarat dengan pemimpin yang palsu yang hanya menunjuk-nunjuk kehebatan mereka sedangkan rakyat semakin hari semakin memahami hakikat ini. Mereka menunjuk-nunjukkan kekayaan mereka yang rakyat tahu adalah hasil dari manipulasi wang rakyat juga dalam sistem pentadbiran yang begitu sarat dengan rasuah dan salah guna kuasa itu.

Bagi saya, isu Syiah dan Sunni ini elok kita abaikan sahaja kerana ia diperbesarkan oleh mereka yang mengaku Ahli Sunnah tetapi segala larangan ahli Sunnah itu dilakukan oleh  mereka secara terbuka. Bagi mereka, UMNO sahaja yang dibenarkan melanggar segala kehendak agama itu.

UMNO seolah-olah maksum dan tidak ada siapa yang mesti meragui mereka. Merekalah pejuang bangsa, mereka lah pejuang pembangunan negara dan yang lebih dahsyat lagi mereka lah pejuang dan pelindung agama kita.

Mereka lebih hebat dari aulia-aulia dan ambia-ambia yang ditugaskan menjaga dunia dan alam ini selepas kewafatan Junjungan Besar Muhammad saw lebih dari seribu tahun dahulu.

Bagi mereka UMNO adalah segala-galanya. Tidak makbul doa seseorang itu dan tidak sampai hajat sesiapa pun tanpa dikehendaki oleh UMNO. UMNO sahaja yang menentukan nasib semua orang dunia dan akhirat. Seolah-olah begitu.

Saya baru sahaja tahu yang dunia dan alam ini diwariskan kepada UMNO untuk menjaganya. Kalaulah tidak ada Najib, Muhyiddin dan Zahid serta Tengku Adnan Mansor, tentu kacau bilau dunia ini.

Barisan pelakon Ali Baba Bujang Lapuk versi terbaru.

"Aku mati dalam Iman"
Kalau boleh, masukkan Anwar Ibrahim sekali sebaris dengan mereka, mungkin pasti kita semua selamat di dunia dan akhirat. Mati kita mungkin mati dalam iman, bak kata P. Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk. Di akhir kalam nak mati pun kita akan bangun seketika, dan senyum.

Mengikut jalan cerita dalam filem itu mereka yang sudah merompak pun mati mereka dalam iman. Itulah cerita yang dilakonkan kembali oleh pemimpin-pemimpin UMNO sekarang ini.

Selamat menonton!

14 December 2013

Berbagai transformasi dilaungkan, tetapi UMNO 'business as usual'

Global Financial Integrity (GFI) sekali lagi memberikan lapuran yang jumlah pengaliran wang secara haram keluar negara meletakkan Malaysia sebagai negara yang keempat tertinggi di dunia ini. Terdahulu Malaysia telah kehilangan sejumlah  RM1.03 trillion dari tahun 2001 sehingga tahun 2009 dan rakyat masih lagi berdiam diri dan hakikat ini tidak menjadi perkara besar bagi rakyat negara ini.

Entah bagaimana negara ini merupakan johan dalam isu yang buruk seperti ini dan isu ini ditatap oleh masyarakat antarabangsa. Tetapi dalam bidang lain Malaysia masih merangkak tidak dapat bergerak untuk kebaikan jika berbanding dengan negara lain. Bola sepak kita tidak menunjukkan apa-apa kemajuan malahan lebih mundur dari keadaan dahulu.

Kita menduduki tempat ke 160 dari 180 buah negara yang berkerajaan dan mempunyai pasukan bolasepaknya sendiri. Kita ketinggalan jauh dari Bangladesh dalam sukan ini dan kita adalah di antara negara yang paling hebat slogan yang di bawa ke negara tempat sukan ini di adakan. Dalam semua bidang, diperingkat antarabangsa kita ketinggalan. Kita hanya duduk di hadapan dalam bidang rasuah dan bidang membawa lari ‘ill gotten monies keluar negara dalam jumlah yang besar.’

Kalau kita harapkan pimpinan dan kroni-kroni ini untuk memperbaiki diri mereka dan berhenti atau memulangkan kembali wang yang di bawa lari keluar negara ini secara sukarela diatas kesedaran masing-masing, ia tidak akan berlaku. Sesiapa yang mengharapkan itu berlaku mereka adalah 'bermimpi disiang hari'. Jika ahli-ahli UMNO sedar mereka lah yang boleh melakukan pemulihan itu. Jika ahli-ahli UMNO tidak mampu melakukannya kerana himpitan budaya buruk ini, maka rakyat akan melakukannya.

Puak-puak yang melarikan wang rakyat secara sistematik keluar negara ini jugalah yang bercakap tentang Islam. Mereka lebih Islam dari Islam itu sendiri dan akan berbuat apa sahaja untuk menempelkan imej palsu itu untuk menutup kelemahan dan kesalahan mereka. Malahan mereka memainkan isu yang sebelum ini tidak pernah timbul iaitu isu Syiah dan yang berkaitan.

Tetapi orang ramai menerimanya dan tidak nampak yang mereka (orang ramai) sedang diperbodohkan oleh mereka yang mahir dalam membodohkan manusia yang jujur dan lurus dalam kehidupan mereka. Kali ini mereka memilih agama sebagai umpan dan pendinding untuk menutupi perangai rakus dan tidak bermoral mereka.

Siapa sahaja yang mereka rasakan perlu akan dianggap sebagai musuh mereka. Mohamad Sabu sekali lagi menjadi sasaran dengan menuduh beliau sebagai pengamal Syiah. Mat Sabu, seperti saya sendiri, menghormati dan menjadikan semangat yang wujud dalam naluri pimpinan Syiah seperti Khomeini itu sebagai sumber semangat untuk dibentuk dalam diri saya yang serba serbi lemah ini dalam usaha memperbaiki daya juang sebagai seorang rakyat dalam mana rakyat sedang dikelirukan sebegitu jauh dari kebenaran sekarang ini.

Jika kita hendak mencari sumber semangat jitu untuk diri kita, takkanlah kita hendak meniru dan mengagungkan Najib, Rosmah, Hishamudin, Zahid dan Shafiee Apdal serta Anwar Ibrahim pula. Tentulah kita pilih orang seperti Khomeini, Nelson Mandela, Mohamad al Fateh, Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar dan banyak lagi nama-nama yang baik dan berharga kepada dunia dan umatnya.

Bagaimana pemimpin-pemimpin yang sekarang ini hendak di jadikan contoh. Takkanlah kita hendak jadikan contoh terhadap orang dan pemimpin serta kroni mereka yang membawa lari wang negara keluar kita jadikan ikutan?

Rakyat tidak memberi apa-apa masalah kepada negara. Yang menyumbang masalah sekarang ini ialah pemimpin-pemimpin kerajaan yang sudah hilang hidayah dan tidak berupaya membuka hijab untuk bertindak dan melakukan perkara yag di suruh agama dan mengelak dari melakukan tegahan agama kita yang suci.

Perginya Nelson Mandela diratapi oleh rakyat negara itu, bukan kerana Nelson telah membangunkan negara secara fisikal tetapi pemimpin utama kebebasan manusia yang tidak ada tolok bandingnya. Itu lah sebabnya beliau dihormati oleh dunia dan kematian beliau ditafakurkan oleh manusia seluruh dunia. Walaupun beliau bukan seorang Muslim tetapi nilai Islamnya ada di dalam dirinya sejak dari awal lagi.

Di sini walaupun ramai yang Muslim tetapi amat berkurangan Islamnya kerana kebanyakkan perlakuan oleh pimpinan hari ini di negara kita semuanya bertentangan dengan kehendak Islam itu sendiri walaupun bergegar-gegar bercakap dan beretorik tentang Islam.

Nelson dikenang kerana beliau adalah penyumbang kepada negara dan rakyatnya. Beliau semasa hayatnya tidak pernah merasakan kesenangan kerana hampir satu pertiga dari usia dewasanya dipenjara oleh kerajaan Apartheid Afrika Selatan. Kejayaan beliau melepaskan rakyatnya dari cengkaman Apartheid tidak di ambil kesempatan untuk memperkayakan diri dan keluarganya. Kalau hendak dibandingkan jasa Nelson kepada negaranya dengan pemimpin kita terhadap negara ini, jasa Nelson lebih jauh besar.

Nelson tetap hidup seperti biasa dan tidak pula mengambil kesempatan untuk menggunakan wang rakyat untuk anak dan isterinya. Nelson tidak membiarkan isterinya menjadi ‘centre stage’ dalam negaranya sehingga boleh menggunakan jet peribadi. Keluarga Nelson tidak 'glamour' dan isterinya tidak dikenali oleh ramai umat di dunia ini.

Ini lah nilai yang sudah tiada kepada negara kita. Kebanyakkan pemimpin kita mungkin juga dikenang jika mereka meninggalkan kita, tetapi mereka akan dikenang kerana sebab yang lain. Mereka akan dikenang sebagai pemimpin-pemimpin yang telah banyak memberi masalah kepada rakyat dan negara ini.

Berbeza dengan Nelson Mandela, pemimpin-pemimpin di negara kita mencengkam rakyat dan membunuh semangat untuk memajukan negara. Rakyat di sini, perasaan dan jiwa mereka terikat kepada tekanan pemimpin-pemimpin dan mereka tidak dibenarkan membangunkan minda mereka. Rakyat tidak dibenarkan berfikir. Tugas untuk berfikir itu tanggungjawab pemimpin UMNO sahaja.

Rakyat hanya diminta menjadi 'burung balam', tugasnya hanya untuk mengangguk sahaja dan setahun sekali hanya diminta bertepuk tangan dengan penuh semangat dalam perhimpunan agung UMNO sahaja.

Itu sebab berbillion ringgit harta benda mereka (rakyat) dilarikan keluar negara setiap tahun. Lagi banyak pemimpin mereka menipu dan mengelirukan mereka lagi kuat sorakan dan tepukan mereka di setiap perhimpunan agung mereka.

Mereka diselangi dengan lawak jenaka yang sangat menghiburkan. Malahan ramai di antara yang hadir dalam perhimpunan agung itu hanya untuk mendengar lawak dan jenaka semata-mata.

Apabila kembali ke tempat masing-masing, ‘business as usual’.

13 December 2013

A'uuzubillah Himinasyaitan Nirajeem

Saya sudah ada kecenderugan untuk mempercayai yang UMNO mahu melihat Syiah berkembang di negara ini tetapi ia tetap berada di dalam hati masing-masing dan tidak ditunjukkan. Malahan diluaran mereka (UMNO) bercakap mempertahankan ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) tetapi jika Syiah berkembang ia boleh dijadikan modal untuk melemahkan PAS kerana PAS adalah parti yang amat ditakuti oleh UMNO.

Mohamad Sabu, seorang pengamal ASWJ, tetapi sengaja isu ini diisukan sebagai pengamal Syiah. Mohamad Sabu merupakan seorang pemimpin PAS yang tahap kekuatan dirinya begitu kental. Mat Sabu telah di jadikan ‘punching bag’ oleh UMNO sejak beberapa lama dahulu tetapi Timbalan Presiden PAS ini tetap menjadi pemimpin yang ber 'consequence' yang membuatkan Zahid melakukan apa yang sedang beliau lakukan sekarang ini.

Mat Sabu tetap unggul setidak-tidaknya dikalangan majoriti ahli PAS. Setakat mana perjuangan ASWJ mereka (UMNO) itu benar-benar jujur sama-sama kita nilai kerana mereka sarat dengan kesalahan-kesalahan yang di cegah oleh Ahli Sunnah Waljamaah itu sendiri. Katakan kepada mereka melakukan rasuah itu bukan ikutan ahli Sunnah. Itu ikutan syaitan yang di rejam.

Syiah dan Mat Sabu nampaknya telah dipilih oleh UMNO untuk dijadikan bahan kempen UMNO untuk menundukkan PAS. Itu sebabnya saya lebih cenderung untuk mempercayai yang jika Syiah berkembang di negara ini maka UMNO akan mempunyai isu besar terhadap PAS bagi memalingkan pandangan ramai tentang kedurjanaan yang dilakukan dan berlaku dalam UMNO di setiap peringkat.

Apa sahaja akan dilakukan oleh UMNO asalkan dapat berkuasa berterusan, dan inilah sebabnya juga yang UMNO semakin hari semakin hilang moralnya dalam perjuangan mereka. UMNO sudah hilang keupayaannya untuk mendapatkan sokongan kerana kebaikan perjuangan mereka tetapi dengan menunjukkan kelemahan pihak lain yang sengaja diadakan bagi memperolehi sokongan berterusan dari rakyat.

Jika UMNO mahu melakukan kebaikan pun, parti itu tidak dapat mengenali yang mana satu yang baik atau sebaliknya. Nampaknya hijab pimpinan UMNO sudah tertutup dan tidak mungkin tahu dan faham apa yang baik yang mereka ingin lakukan. Itu sebabnya kita nampak selalu yang mereka melakukan kerja yang tidak baik dan tidak bermoral, tetapi pada pandangan orang UMNO itu adalah kerja baik.

Kadangkala hendak salahkan pemimpin UMNO pun tidak boleh juga kerana mereka sememangnya tidak tahu mana yang baik. Hijab mereka sudah tertutup dan mengambil yang halal sebagai haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Bagi saya UMNO merupakan penyumbang kepada populariti Mohamad Sabu ini. Itu sebab PAS bertambah popular di mata rakyat. Ini sememangnya isu yang hakiki. Jika kita teringat kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Wan Mokhtar, beliau tidak akan laku dalam UMNO jika tidak ada Haji Hadi di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu semasa itu.

Dengan adanya Haji Hadi Awang di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu maka Wan Mokhtar berguna kepada UMNO untuk melawan Haji Hadi dalam isu agama. Wan Mokhtar tidak ada mempunyai kelebihan selain dari bercakap pasal syariat dan hukum hakam agama. Justeru dalam isu Syiah dan Mohamad Sabu pula, ia dijadikan isu oleh pimpinan UMNO kerana UMNO terlalu banyak keburukan yang perlu ditutupinya. Jadi menjadi isu Syiah dan Mohd Sabu ini dikatakan isu yang sangat ampuh bagi UMNO menutupi kedurjanaan yang sedang berlaku dalam parti itu.

Maka UMNO berpendapat rakyat tidak akan memberikan fokus terhadap isu rasuah dan lain-lain yang melekat sebagai daki tebal dalam UMNO itu. UMNO mempunyai kemahiran dalam isu mengelirukan rakyat untuk kepentingan mereka.

Malahan dalam PRU yang lepas UMNO bukannya mendapat tambahan kerusi kerana kebaikan mereka. Mereka pandai memilih isu untuk membuatkan orang ramai tidak mahu berubah terutamanya orang Melayu yang beragama Islam. Mereka menjadikan Anwar Ibrahim dan tanggapan buruk terhadap Anwar oleh setengah pihak sebagai pemimpin yang tidak mempunyai moral peribadi menyebabkan ramai orang Melayu tidak mahu berubah.

Anwar dianggap oleh setengah pihak hanya sebagai aktivis politik kerana dalam ucapan beliau, Anwar tidak lebih dari menonjolkan sebagai aktivis bukannya sebagai pemimpin yang berwibawa. Hanya orang ramai terhibur dengan kepetahan beliau berucap dan membuat sedikit lawak yang sangat-sangat menghiburkan ramai. Saya sendiri berdekah-dekah ketawa mendengar lawak jenaka Anwar yang tidak habis-habis itu.

Pendeknya kehadiran Anwar sebagai pemimpin yang ditonjolkan sebagai PM pengganti kepada BN itu menyebabkan rakyat ramai terutamanya yang kuat agamanya memilih untuk memberikan sokongan kepada UMNO atau tidak keluar mengundi langsung.

Ini semua menjadikan UMNO dapat mengekalkan kuasa dan mendapat mandat walaupun sudah mengecil jika dinilai dari kemajuan BN itu sendiri. Pendeknya Pakatan Rakyat belum lagi mempunyai seorang ‘viable leader’ untuk diyakini dapat mengubah apa yang sepatutnya diubah itu.

Rakyat mahukan perubahan dalam nilai pentadbiran negara, bukannya hendak mengubah parti jika parti yang menawarkan itu juga dalam keadaan kekosongan kepimpinan. Kalau hendak berubah biar berubah betul-betul bukannya setakat mengubah parti semata-mata.

Walaupun melalui parti itu merupakan cara yang lazim dalam perubahan pimpinan negara, tetapi rakyat tidak mahu tertipu oleh pihak yang hendak menggantikan yang ada. Jika itu berlaku ia akan menjadi sesalan hidup yang tidak berkesudahan seperti orang Malaya mahukan kedatangan Jepun kerana marahkan British dahulu.

Mereka menunggu kedatangan Jepun untuk menakluk kita kerana mereka mempunyai andaian yang dibawah tadbiran Jepun barang keperluan harian akan bertambah murah dari bawah pentadbiran British. Akhirnya doa mereka semasa itu terkabul, Jepun datang dan barang betul-betul murah.

Rakyat hanya makan ubi kayu yang boleh ditanam ditepi halaman rumah masing-masing. Tidak perlu menggunakan wang kerana wang juga terlalu murah kerana wang semasa itu dipanggil wang batang pisang sahaja.

Berbalik kepada isu Mat Sabu, beliau tidak perlu gentar kerana anda sudah terbukti mempunyai kekentalan menahan segala cobaan dari pihak yang mungkar ini. Jika terjumpa pemimpin UMNO yang mengisukan Syiah dan ahli Sunnah ini, baca di dalam hati, A’uuzubillah Himinasyaitan Nirajeem sampai keakhirnya.

Selepas itu baru bercakap dengan mereka…

12 December 2013

Selamatkanlah negara kita, siapa yang boleh melakukannya?

Hasil dari kelemahan pimpinan dan teraju negara, kita melihat banyak pihak yang telah berani menyentuh tentang isu yang telah dilindungi oleh Perlembagaan. Dulu tidak boleh disentuh kini menjadi isu yang sering disebut dan disentuh oleh setengah pihak. Perlembagaan dan Undang-Undang itu tetap Perlembagaan dan Undang-Undang, dan ia tidak semestinya boleh dilaksanakan jika kepimpinan yang lemah. Ia akan lebih merumitkan lagi jika rakyat dan mereka yang berkepentingan tidak menghormati Perlembagaan itu.

Pimpinan yang lemah menghasilkan persepsi buruk dan kurang hormat setengah pihak terutamanya bagi pihak yang mempunyai banyak kepentingan politik untuk bangsa dan keluarga mereka. Ada pihak yang cuba mempersoalkan keistimewaan orang-orang  Melayu dan Bumiputra sekarang ini, sedangkan itu telah pun dipersetujui sebelum kita mencapai kemerdekaan lagi.

Ada pihak yang mengambil kesempatan dengan kelemahan pimpinan hari ini dan ditambah pula dengan setengah pihak mahu mengambil kesempatan menangguk di ‘air yang keruh’ dengan meminta UiTM dibuka kepada bukan Bumiputra untuk bersama memasuki institusi pengajian tinggi yang dari awal dikhaskan kepada Bumiputra sahaja.

Ia adalah peruntukan yang sedia ada sebelum pun berlaku kejadian 13 Mei 1969 yang menghasilkan DEB (Dasar Ekonomi Baru) dahulu. Tetapi tidak ada siapa yang mahu memberi tahu rakyat tentang isu yang hanya Bumiputra sahaja yang layak menyertai UiTM itu. UiTM atau ITM semasa itu, tertubuh lama sebelum kejadian 13 Mei 1969 yang telah menghasilkan DEB dahulu.

UiTM ditubuhkan untuk melatih Bumiputra yang masih jauh ketinggalan dalam bidang ‘professional’ dan ‘separa professional’ bagi mengisi kekosongan (vacuum) yang besar dalam menempatkan Bumiputra dalam sektor industri serta mengisi kekurangan bilangan Bumiputra dalam pengurusan syarikat-syarikat besar dinegara ini. UiTM wujud bagi membantu Bumiputra untuk ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Tetapi jika ada pihak yang masih berusaha untuk membuka UiTM untuk bukan Bumiputra, ia elok dibukakan polimik dengan telus bagi kita mengolah dan memberitahu rakyat kenapa UiTM ini wujud. Mungkin ada dikalangan orang melayu sendiri mahukan UiTM ini dibuka kepada bukan Melayu semata-mata untuk mendapat perhatian politik, tetapi ini adalah perkara yang telah dipersetujui dari awal sejak tertubuhnya RIDA dalam awal lima puluhan dahulu.

Bagi mereka yang memperjuangkan keharmonian semua kaum, kita wajar mempunyai toleransi yang kuat untuk bersama-sama menikmati kekayaan negara dan jika masih ada yang tidak berpuas hati, ia bermakna mereka ini adalah yang tidak mahu dasar kerajaan yang dipersetujui dan dijayakan.

Tetapi kenapa wujud desakan seperti ini? Kenapa masih ada yang berani menyebut dan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dan meminta sistem Raja Berpelembagaan ini dihapuskan?  Dulu-dulunya tidak ada pihak yang berani mempersoalkan isu ini kerana didalam Perlembagaan tercatit peruntukan yang Raja-Raja Melayu tidak boleh dipersoalkan samada dalam atau luar Parlimen suatu ketika dahulu.

Jawapannya telah ada dipemikiran manusia yang menduduki negara ini sebagai rakyat, tidak kira rakyat yang asal atau yang mendatang. Jika ada yang mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu ini, khususnya dari rakyat yang asalnya rakyat mendatang, ia tidaklah begitu mengejutkan kerana sememangnya susah untuk menghilangkan ‘migrant mentality’ dikalangan rakyat ini walaupun mereka adalah rakyat negara ini sejak lebih setengah abad yang lalu.

Yang menjadi persoalannya ada dikalangan yang mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu ini adalah dikalangan mereka yang mengaku rakyat asal atau Melayu dan ini adalah satu perkara dan keadaan yang sangat memilukan.

Masalah besarnya ialah kepimpinan Melayu tidak mempunyai ‘tulang belakang’ dan lemah. Mereka tidak dihormati lagi oleh kaum Melayu sendiri, jauh sekali untuk mendapatkan penghormatan dari kaum bukan Melayu! Pemimpin Melayu tidak dapat lagi membuat keputusan dengan betul. Keputusan mereka tidak akan betul lagi kerana mereka berimejkan rasuah dan ‘stigma’ ini tidak dapat lagi dibuang pada persepsi rakyat khususnya yang bukan Bumiputra.

Hasilnya negara mendapat kepimpinan Melayu yang tidak dihormati dan pemimpin bukan Melayu yang tidak lagi bersetuju dengan semangat Muhibbah yang dibentuk dan dibina oleh pimpinan negara yang sudah tiada bersama kita lagi hari ini. Tidak ada lagi keadaan dalam mana pemimpin dan rakyat menghormati diantara satu bangsa dengan bangsa yang lain dan ini sudah semestinya akan membawa akibah yang tidak sihat kepada negara dalam jangka masa yang panjang.

Masih ramai dikalangan kita yang merasakan yang negara kita ini masih sihat dan berjiwa sebagai sebuah negara, terutamanya dikalangan mereka yang dalam korridor kuasa yang masih enak mengelamun dengan keseronokan dan ‘glamour’ hidup mereka.

Tetapi hakikatnya negara kita memerlukan pembetulan yang pantas dan jika kita tidak berani mengaku keadaan ini wujud, amat kita khuatiri yang keadaan tidak akan dapat diperbaiki lagi dan negara kita akan berhadapan dengan krisis yang lebih besar lagi dalam semua perkara.

Siapa yang hendak melakukan ini semua, kerana mereka yang boleh melakukan perubahan atau setidak-tidaknya kita hambat kedatangan musibah dari mendekati kita lagi. Kata-kata seperti yang saya sebutkan ini mungkin tidak digemari oleh banyak pihak tetapi saya berani bercakap kerana jika kita khususnya mereka yang berkepimpinan tidak tampil untuk menyelamatkan keadaan ini, kita tidak terkejut jika ‘nasi akan menjadi bubur’.

Tidak usahlah kita berpolimik lagi. Polimik diantara kita yang tidak berfaedah ini tidak akan membawa apa-apa kepada kita. Jika kita teruskan juga jangan pula menyalahkan mana-mana pihak sebagai tidak bertanggungjawab kerana semuanya mesti mengambil ‘accountability’ terhadap apa yang akan kita rasai akan datang.

Kepada semua pihak yang berkepimpinan, selamatkanlah negara kita kali ini. Kita tidak ada negara lain untuk berlindung. Kebanyakan diantara kita tidak mempunyai keupayaan untuk lari kemana-mana negara lain untuk berteduh dan kita tidak mempunyai kemudahan jet-jet eksekutif untuk kemana-mana.

Kebanyakan diantara kita tidak mempunyai isteri yang luas ‘networking’ mereka untuk menyelesaikan apa-apa masalah.